Wednesday, September 19, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


DILEMA PENIAGA-PENIAGA AYAM
KEMENTERIAN SEKADAR PANTAU DI PASAR



Assalamualaikum,



Bekalan ayam tiba-tiba sahaja berkurangan, ketika puasa baru sahaja semiggu (19 September 2007), apabila siling harga ayam ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pasar Besar di Ipoh dikatakan mengalami tekanan pihak pemborong dan pembekal ayam, dengan syarikat terbabit mendakwa ianya dicatu bagi menjamin semua pengguna mendapat bekalan yang cukup. Peniaga-peniaga merungut mengenai bekalan ayam yang biasanya memuatkan 10 ekor bagi satu raga, tetapi sekarang sekadar lapan ekor sahaja. “Kekurangan bekalan ayam yang berlaku kini adalah paling teruk sejak 50 tahun lalu,” kata seorang peniaga berusia 65 tahun.



Maknanya peniaga berkenaan sudah terbabit menjual ayam sejak beliau berusia 15 tahun, tetapi sekarang fenomena kekurangan bekalan ayam berlaku terlalu teruk. Alahai! Peniaga-peniaga pula mematuhi harga siling ditetapkan oleh kerajaan dengan menjual pada paras RM6 sekilogram, seolah-olah kementerian terbabit sudah mencapai sasaran menjadi juara pengguna. Sebaliknya peniaga runcit menyedari, pembekal meletakkan harga RM5.80 sekalipun harga siling ditetapkan RM5.40 sekilogram. Justeru peniaga-peniaga runcit terpaksa berhadapan dengan dilema kekurangan bekalan ayam, di samping mematuhi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.


Pegawai-pegawai kementerian sekadar memantau di pasar-pasar, bagi menjadi juara pengguna dalam isu harga ayam. Sebaliknya pencetus masalah sebenar yang menjadikan pengguna-pengguna terkapai-kapai menghadapi isu harga ayam menjelang hari perayaan, sekadar menerima jawapan pihak kementerian ‘sedang menyiasat punca masalah itu’. Tak payah siasat pun sudah jelas kekecohan berlaku apabila pihak ladang ternak ayam memonta kenaikan harga akibat ‘bahan makanan ayam’ iaitu dedak dilaporkan naik harga secara mendadak. Maknanya, kalau mahu bertindak segera ialah kapitalis yang naikkan harga dedak, dengan tak bersebab atau langsung tak munasabah, seperti keperihalan memahami lagu rakyat ‘Bangau Oh Bangau’. Begitulah!



-Muluk



INFO HAK ASASI MANUSIA



GANGGUAN BANJIR SUNGAI MUDA
DUA NEGERI TERPAKSA BERJAGA-JAGA



Laporan berita radio jam 5.00 petang hari ini (19 September 2007) menyebut mangsa banjir di Kampung Rantau Panjang, Seberang Prai Utara sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, setelah 108 daripada 27 keluarga diarahkan berpindah berikutan rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter. Limpahan air di Sungai Muda, seolah-olah memberi amaran kepada penduduk dua negeri di Kedah dan Seberang Prai, kekuatan banjir mampu menewaskan kepongahan manusia. Di Pendang, Kedah pula 163 orang penduduk dipindahkan, apabila paras air Sungai Rambai meningkat daripada 2.31 meter pada jam 7.00 pagi (18 September 2007) kepada 2.34 meter menjelang petang.



Banjir di Pendang pula dikatakan apabila arus Sungai Pendang bertembung dengan Sungai Rambai menyebabkan limpahan air mengombak ke kawasan yang dialirkan dari lokasi tadahan akibat hujan sejak empat hari. Begitulah! Di Yan pula seramai 463 mangsa banjir dari Kampung Titi Teras dan Kampung Teroi Bukit dipindahkan sejak hari Sabtu (15 September 2007). PRIMA merasakan isu mangsa banjir di Seberang Prai dan Kedah ini wajar ditangani bersama oleh semua pihak, apalagi parti-parti politik tidak wajarlah salah menyalah atau menuding jari ke pihak lain. Isu kemanusiaan adalah masalah sejagat yang memerlukan semua pihak prihatin dengan kesedihan yang dihadapi mangsa.



GEMPA DARI SETIAP PENJURU
KEPULAUAN MELAYU DIGUGAT



Belum pun reda dengan gempa di Bengkulu dan Padang di propinsi Sumatera Barat, Indonesia, laporan berita radio 6.00 petang hari ini (19 September 2007) gegaran melanda pula Ambon di Jawa pada paras 5.5 skala Ritcher. Sekalipun tak berlaku ancaman tsunami sejak 2004, tetapi gegaran gempa seolah-olah mengganggu di segenap penjuru kepulauan Melayu. Memang setiap individu boleh memberikan persepsi yang berbeza mengenai bencana alam di Kepulauan Melayu sekarang, sebaliknya secara sinis seolah-olah ianya melambangkan kebobrokan, keberantakan dan kekalutan masyarakat itu sendiri. Entahlah!



Insiden di Ambon masih belum dilaporkan secara terperinci, tetapi tragedi gempa di Bengkulu, mahupun di Padang dikatakan menimbulkan kemarahan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, apabila Gabenor Bengkulu memberikan taklimat yang tak disenangi. Apalagi laporan kemusnahan yang disampaikan jumlahnya terlalu besar, di samping ianya memerlukan peruntukan yang di luar jangka. Keberangan Presiden Susilo hingga memaksakan gabenor memberhentikan memberi taklimat, seharusnya menjadi iktibar di mana-mana, terutama dalam isu menyalurkan bantuan kemanusia. Misalnya, isu bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Pulau Pinang sejak 2004. Isy isy isy!



INFO SASTERA & BUDAYA



LAMBAKAN KEMASUKAN ARTIS LUAR
BUKAN MENCARI PUBLISITI DAN GLAMOUR



Kalau mahu dibawa ke Parlimen sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara isu lambakan artis luar masuk mencari rezeki di negara ini, tak perlu memorandum dari Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita). Apa sangat dengan kemampuan seorang Ahli Dewan Rakyat mahupun Ahli Dewan Negara, sekadar boleh bersuara sama seperti Presiden Papita, M. Daud Wahid juga. Bezanya, M Daud bersuara di luar Dewan, sementara Ahli Parlimen bersuara di dalam Dewan. PRIMA difahamkan memorandum mengenai isu berkenaan sudah pernah disampaikan kepada menteri, sama ada Menteri Penerangan mahupun Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (maknanya sudah lama dah!).



Isu lambakan kemasukan artis luar, bukan skadar mahu mencari publisti atau glamour tetapi tindakan positif secara menyeluruh. Apabila promoter membawa artis Indonesia ke Malaysia misalnya, mereka mensasarkan kepada hampir dua juta pekerja-pekerja negara berkenaan yang menetap di negara ini. Secara rasional, pendatang-pendatang dari negara jiran Indonesia, memang prihatin dengan kepentingan negara mereka. Promoter mampu mengaut untung semahu-mahunya menerusi artis-artis Indonesia, berbanding artis-artis Malaysia kalau harapkan konsert mereka diserbu penggemar-penggemar seni muzik dari negara ini.



Bukan sahaja pendatang-pendatang dari Indonesia menghargai artis-artis mereka, malah masyarakat mereka di Malaysia juga dikatakan meminati membaca buku-buku atau majalah-majalah yang diterbitkan di sini. Misalnya, penerbit majalah Haji Abu Bakar Ninggal, mengakui kemerosotan penerbitan bahan bacaan bermula apabila dasar pemutihan dilaksanakan oleh kerajaan pada 2003. Haji Abu Bakar yang pernah menerbit majalah popular ‘INTISARI’ dan buku siri Tok Awang Ngah yang mendapat sambutan luar biasa, memberitahu penerbitan majalah dan buku siri Tok Awang Ngahnya terpaksa dihentikan pada 2003, berikutan ramai pekerja-pekerja Indonesia dihantar balik dalam dasar pemutihan yang dijalankan.



“Jadi, berfikirlah secara rasional untuk menjadi penerbit buku mahupun album lagu-lagu dari artis, untuk mendapat keuntungan atau lingkupkan perniagaan?” ujar Haji Abu Bakar menyentuh isu lambakan artis dari luar memasuki Malaysia. Katanya lagi, jangan fikirkan isu artis-artis Melayu terjejas apabila promoter membawa masuk artis-artis dari Indonesia, sebaliknya membiarkan arti-artis dari Bollywood atau Taiwan dan Hongkong bebas membuat persembahan di negara ini. Menurut Haji Abu Bakar, masyarakat kita seharusnya mendidik komuniti di Malaysia mencintai karyawan tempatan bukan lebih meminati karyawan dari Bollywood atau Taiwan.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PENCURI TANGKAP PENCURI
KISAH SULTAN TURUN PADANG


Penjelasan Pengarah Eksekutif Supremme Systems Sdn Bhd, Dato’ Nordin Yahaya yang menerima kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengendalikan aplikasi’eKesihatan’, memanglah logik. Pihaknya, sekadar memperoleh RM10 sahaja dari jumlah kadar bayaran RM80 bagi pemeriksaan kesihatan untuk membaharui atau memohon Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL). Kononnya, 50% bayaran diperoleh doktor panel yang berdaftar dengan eKesihatan (RM35 – RM45), 34% untuk ujian makmal (RM25 – RM35) dan caj kutipan pos Malaysia 3% (RM2).



Kalau banyak sangat ‘tol’ menyebabkan bayaran dikenakan terlalu tinggi, buat apalah gunakan khimat eKesihatan, apalagi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga turut membantah, malah melanggar Akta Perubatan 1971. Maknanya sistem monopoli yang diberikan kepada eKesihatan, bukanlah menjamin pemandu-pemandu berhemah, tetapi lebih merupakan ‘pak pung pak mustape, ade dule di rumah nye’. Begitulah, yang jadi masalah kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengenai harga buku di pasaran DBP dalam lingkungan RM400 satu set, menjadi lebih RM10,000 satu set apabila dibeli oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


Takkan disebabkan insiden bas eskpres terhumban ke dalam gaung di Bukit Gantang, Perak makanya diwujudkan eKesihatan kononnya untuk memantau pemandu-pemandu kenderaan. Apabila kenang naratif di Melaka pada dekad 1580-an ketika Sultan Alauddin Riayat Syah mengejar pencuri di waktu malam dengan menyamar menjadi pencuri, barulah Temenggung Seri Maharaja (Tun Mutahir) terpaksa perkemaskan kawalan, kerana kekecohan, kelecohan dan kelecehan yang berlaku adalah akibat sistem yang tak kemas dalam pentadbiran dan perlu diperbetulkan. Pencuri tak perlu dipantau dengan menunggu lebih banyak kecurian berlaku, tetapi perlulah menyamar sama menjadi ‘pencuri’ seperti keperihalan Sultan Alauddin yang dikagumi oleh:














HIDUP BAHASA MELAYU!!!