Tuesday, April 29, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,


Laporan media hari ini (28 April 2008) menyebut Sidang Parlimen ke 12, akan bermula besok (29 April 2008), dengan dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Mungkin sahaja sudah diwar-warkan siaran langsung persidangan Parlimen bagi sesi soal jawab boleh ditonton di TV, tetapi malam ini rakan-rakan sudah menelefon mengenai isu yang dijangka menghangatkan sidang Dewan Rakyat. Misalnya, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah masih terkilan dengan sikap Ketua Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein tak melambangkan keterampilan pimpinan pergerakan berkenaan, apabila tersungkur dengan isu ‘keris’. Malah beliau mempelawa Dato’ Seri Hishamuddin ke persidangan agenda Melayu di Johor Bahru mulai 2 Mei 2008 ini, bagi memahami kebudayaan dan legasi kepimpinan Melayu.


Aktivis teater Sdr L. Mankadir Shamsi kecewa dengan segelintir penulis di Pahang apabila merasakan kritikan beliau terhadap pimpinan Gapena disalah anggap sebagai usaha memecah belahkan kalangan penulis. Begitulah! Ketika Ismail Hussein memimpin Gapena di peringkat awal sekitar dekad 1970-an, di samping belum berstatus ‘Tan Sri’, ‘profesor emeritus’ mahupun ‘pendeta’, tak seorang pun penulis di Pahang tampil untuk mempertahankan Gapena apabila dikritik berterusan. Ketika saya bersama Allahyarham Zakry Abadi menjadi terompet ‘Gapena’, sebahagian kerabat penulis ‘tunggu dan lihat, kerana mahu memastikan reaksi dari DBP (majoritinya pimpinan PENA) termasuk Kris Mas, Usman Awang, Awam al-Sarkam atau Wijaya Mala. Masing-masing bimbang karya mereka tak disiarkan oleh majalah-majalah di DBP.

Apalagi ketika Hadiah Sastera Nasional digerakkan, karya-karya yang disiarkan oleh majalah-majalah DBP juga mendominasi senarai pemenang-pemenang. Ismail Hussein pula terpaksa meluangkan masa menghadiri sebarang aktiviti kerabat badan-badan penulis, malah satu ketika saya juga terpaksa ikut sama ke MPSI (sekarang UPSI) bagi memberi sokongan moral bersama Sdr Zakry, semata-mata mahu melihat Gapena terus mempelopori gerakan ‘pemupukan kebudayaan nasional berteraskan kebudayaan Melayu’. Ironinya, selepas persaingan Tun Musa Hitam-Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1982, Ismail Hussein seolah-olah mahu membawa Gapena kepada aliran pemikiran yang sukar ditafsirkan.

Ketika omong-omong kosong di premis kedai Zakry Abadi, beliau mengakui sikap arogan ‘anak raja’ yang dimiliki Tengku Razaleigh perlu dikurangkan. Justeru Tengku Razaleigh yang tak pernah merasa kalah, perlu berhadapan dengan kekalahan apabila bersaing dengan Tun Musa Hitam pada 1982 itu. Begitulah! Mungkin sahaja Mankadir Shamsi tak banyak mengetahui pembabitan awal saya dalam Gapena, apalagi pada 1980 ketika mesyuarat agung Gapena di Ipoh – penyata kewangannya hampir tak dapat untuk dibentangkan. Hingga jam 2.00 pagi, pemeriksa kira-kira Sallehuddin Mohammad dan S.Hussein al-Attas tak mampu menyelesaikan segala yang berserabut, berkelabut dan berkemelut di premis pejabat Sdr Zakry di Jalan Pahang. Akhirnya, saya bermurah hati menurunkan tanda tangan pada beberapa bocer kosong bagi memperseimbangkan penyata kewangan Gapena sebelum dibentangkan di mesyuarat agung di Ipoh. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

RTM SELARAS PERJUANGAN PRIMA
LANGKAH MENOLAK PERHAMBAAN MINDA

Langkah Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek membenarkan RTM menampilkan pengendali laman web ‘Malaysiakini’, Raja Petra Kamaruddin dalam wawancara khas malam semalam (27 April 2008), diikuti dengan slot mengenang Rustam A Sani malam ini (28 April 2008), dianggap selaras dengan perjuangan PRIMA menolak perhambaan minda, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menurut beliau, sepatutnya RTM sudah melaksanakan program menghapuskan perhambaan minda di samping menggalakkan percambahan pemikiran menerusi ‘kebebasan intelektual’ sejak beberapa dekad lalu. “Di harap Dato’ Ahmad Shabery tak bersikap hangat-hangat tahi ayam, tetapi berterusan sebagai manifestasi kewartawanan,” katanya.

Bagaimanapun ujar Dato’ Kamal Amir, RTM juga seharusnya memberi ruang kepada slot wawancara bersama Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam ke arah memulihkan semula krisis keyakinan yang dihadapi oleh orang Melayu. Malah RTM juga wajar mempelawa Tun Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani atau Tengku Ahmad Rithauddin bagi mencerna pemikiran tokoh-tokoh veteran UMNO bagi dikongsi bersama dalam mencapai sasaran memulihkan krisis keyakinan itu. Menurut Dato’ Kamal Amir lagi, sekiranya RTM bersedia memberi ruang kepada Raja Petra Kamaruddin dan Allahyarham Rustam A Sani, pihak PRIMA juga bersedia memberikan kerjasama. “Pimpinan PRIMA sedia menyampaikan kritikan membina demi kepentingan mendaulatkan martabat Melayu,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
INFO SASTERA & BUDAYA:

KEMBALIKAN GAPENA KEPADA KERABAT
BELAJARLAH DARI SEJARAH, BUKAN ULANGI
Kita belajar dari sejarah dan bukan mengulangi sejarah, tetapi kita boleh mencipta sejarah. Cukuplah kita dijajah disebabkan busuk hati orang-orang kita sendiri. Biar mati anak (petualang-petualang Melayu); jangan sekali-sekali mati adat (negara Melayu). Gapenalah saja yang dapat menentukan ketuanan/kedaulatan Melayu untuk negara yang tercinta ini. Jangan bunuh Gapena. (DATO’ DR MOHD MANSOR ABDULLAH)

Kirim salam saya pada mereka dengan ucapan terima kasih banyak-banyak. Beritahu mereka dan siapa saja, Mankadir ini tidak akan berhenti menentang kezaliman dan pendirian saya menolak kepimpinan Ismail Hussein di Gapena, dianggap oleh heh heh heh, hanya saya seorang saja. Sudah lama saya berseorangan dalam DPMP menentang penyelewengan kuasa pimpinan secara terus terang. Terima kasih jika ada yang secara diam. Saya yang bodoh dan bangsat ini tidak semudah itu untuk bersekongkol menjadi kuda tunggangan si zalim. Harap maaf jika tak sehaluan. (L. MANKADIR SHAMSI)
INFO SUARA PROLITAR:

GANGSTERISM DI IPTS JADI KACAU
ORANG LUAR IKUT CAMPUR TANGAN
Minggu orientasi di IPTS sudah bermula sekarang. Pengambilan pelajar baru hujung April dan awal Mei 2008 ini. Orientasi ada pula yang bertukar jadi ‘membuli’. Apabila dipersoal, si pembuli panggil orang luar. Pelajar yang kena buli beritahu ibu bapa, si pembuli bertukar jadi gangsterism. Jemput ‘abang long’, ‘abang ngah’ dan ‘ayahanda’. Sepatutnya grup yang bangga dengan ‘abang long’, ‘abang ngah’ dan ‘ayahanda’ ini lebih baik ke Palestin, Iraq atau Afghanistan. Kenapa nak tunjuk ‘cengih’ pada adik-adik yang baru sekadar ‘freshie’ di IPTS. (SMS; 28 April 2008 – Freshie; IPTS, K Lumpur)
ORANG MENCABUL MASIH WARAS
DIA KENAL LELAKI DAN PEREMPUAN.

Kecoh lagi fasal bekas menteri mencabul. Tak apalah dia hanya cabul saja. Sebab itu gamaknya, wanita berusia 30-an itu tarik balik laporan polis. Dulu ada wakil rakyat bawa masuk isteri orang dalam bilik. Ada pula yang didakwa meliwat. Astaga! Takat mencabul boleh kena lima rotan saja. Bawa isteri orang masuk bilik, boleh kena rejam. Meliwat tentu 200 rotan. Mencabul kira ok le! Maknanya, dia masih kenal yang mana lelaki yang mana perempuan; masih kenal isteri orang dan bukan isteri orang. Tentu dia orang yang waras. Eloklah dibawa ke muka pengadilan orang yang waras ni! (SMS; 27 April 2008 – Abu Bengang, Alor Setar, Kedah).

‘ORANG TENGAH’ OH ‘ORANG TENGAH’
MARUAH BOLEH DIBELI DENGAN WANG.
Kabarnya pihak yang rapat dengan Havana Club, dikatakan jadi ‘orang tengah’ meminta wanita yang terbabit dalam kes cabul menarik balik laporan polisnya. Tak penting lagi perkara kehormatan yang dicabul. Sekarang ni, kedaulatan juga dicabul, maruah dicabul, martabat dicabul. Biarlah! Kedaulatan boleh dibeli, maruah boleh dibeli, martabat boleh dibeli, apalagi kehormatan juga boleh dibeli. Kalau tak dijual, macam mana nak dibeli? Selagi duit boleh digunakan beli maruah, belilah! Qarun yang banyak harta pun, ditelan bumi. Apa sangat dengan wakil rakyat! (SMS; 27 April 2008 – Orang Kampung, Cheras, Kuala Lumpur).

JATUH ADA BANYAK MACAM JATUH

Oleh Zakaria Bidin

Perkara paling galat dalam tempoh Januari hingga Mei ini ialah apabila saya tidak dapat bersama rakan-rakan PRIMA ke Kuala Krau. Hanya kerana kaki terseliuh sahaja. Tapi sungguh menyakitkan. Kadang-kadang kita ni macam budak kecik. Bila sudah rancang hendak pergi ke sesuatu tempat itu, terutama aktviti pembacaan puisi di perkampunagan orang Asli, memang terasa macam mahu berhijrah ke satu tempat pelancongan pula gamaknya. Sudah terbayang betapa garaunya suara Yassin Salleh mengumandangkan puisinya yang selalunya pasti tajam dan menikam.
Begitu juga Mankadir Samsi yang sentiasa membawa sebuah dua sajak dalam poketnya untuk dideklamasikan. Lebih-lebih lagi beliau tuan rumah pada hari itu, tentunya suasana meriah, ceria dan penuh dengan gelak ketawa. Yang lebih rasa menghayat sedikit apabila kawan-kawan yang sudah saya beritahu yang saya akan ke Kuala Krau untuk menghadiri majlis bacaaan puisi itu. Pada keesokan harinya, awal-awal lagi sudah ada yang bertanya macam mana dengan Kuala Krau. Terpaksalah saya terangkan bahawa pemergian saya terpaksa dibatalkan akibat tergelincir di tangga rumah sendiri. Pada hal tangga itu sudah saya gunakan lebih dari lima atau enam kali sehari selama lebih lima tahun. Itu pun tergelincir juga.
Kawan-kawan menasihatkan saya supaya berhati-hati bila turun naik tangga terutama sudah berusia hampir 60 tahun. Pada saya, jatuh ni subjektif. Selama hampir 60 tahun ini jumlah jatuh tak terkira banyaknya. Sejak belajar berjalan bertatih-tatih dulu entah berapa kali jatuh tak taulah. Lepas tu entah berapa puluh kali jatuh dari basikal, siapa nak kira. Sampai handle basikal nak tertembus dada pun pernah. Bila dah besar, jatuh motor pulak. Tertiarap pernah, terlentang ada, terpelantig ada dan yang nyaris-nyaris maut pun ada. Itu tak termasuk jatuh dari pokok rambutan, pokok duku, pokok manggis lagi. Itu pun kebanyakkannya kerana diserang tebuan, kerengga dan semut api aje.

Jadi, apalah nak hairan sangat dengan hanya tergeliat dan terseliuh dan bengkak sikit di buku lali buat beberapa hari. Kena sapu dengan minyak but-but, kena bacakan tangkal sikit, sekarang dah boleh jalan. Sedangkan bila dah dewasa sangat hari ini, saya lihat, ada wakil rakyat jatuh, ada menteri jatuh, ada pegawai kerajaan jatuh yang saya kira lagi sakit rasanya. Ada yang sampai tak boleh lagi mengadap orang ramai pun ada.
Maka kecil sangatlah takat terseliuh ini. Yang membuatkan tak boleh tidur bukan kerana kesakitan, tetapi kerana tidak dapat bersama kawan-kawan. Itulah yang paling saya galat. Insya’Allah, selepas ini, saya bertekad dalam hati untuk akan ke sana juga dalam tempoh terdekat sebelum berakhirnya bulan Mei nanti untuk berada di Kuala Krau. Akan tidur di sana dan bersantai dalam sehari dua untuk menghapuskan rasa terkilan yang terkendong sehingga hari ini. Mendengarkan apa yang Dharmala N.S gambarkan dalam rencananya dalam blog ini, lagi menguatkan saya mahu ke sana lebih cepat.

PAK LAH: ANTARA KEPERCAYAAN DAN HARAPAN
(Warkah untuk semua Bahagian-bahagian UMNO seluruh Negara)
Di dalam temuramah Anwar Ibrahim baru-baru ini, sewaktu memperkatakan keyakinan beliau tentang isu ’30 Ahli Parlimen lompat parti’ beliau turut ditanya tentang krisis kepimpinan di dalam UMNO sekarang. Beliau menjawab;

“Ia memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat.”
Dan ketika ditanya mengenai kerusi hangat Presiden Parti UMNO, beliau berkata;
“Jika Abdullah meletak jawatan, UMNO akan berpecah. Jika Abdullah kekal sekalipun, ia bagus kerana beliau kononnya lemah.”

Satu Malaysia sudah maklum, malah hampir satu dunia sudah tahu yang Anwar memang seorang yang petah dalam berbicara, tetapi beliau masih bukan seorang yang mempunyai bola kristal untuk meramal masa depan. Barang tentu beliau betul tentang Abdullah lemah, tetapi beliau sama sekali tidak pasti yang UMNO akan berpecah belah sekiranya Abdullah Badawi meletak jawatan.

Sementelah tidak perlu seorang genius pun untuk menilai kelemahan Abdullah Badawi, dan Anwar betul tentang itu. Keputusan pilihanraya baru lalu sekadar mengesahkan sahaja sokongan yang memang sudah lama terhakis sejak 2005. Maka sebagai ahli UMNO, saya berharap selepas apa yang berlaku pada 8 Mac lalu, Abdullah akan meletak jawatan lantas memberi nafas dan sentimen baru di segenap pelusuk negara. Sementelah rakyat negara ini memang suka dengan sentimen baru. Lihat sahaja Pilihanraya 2004 sebagai contoh.

Tetapi apabila Abdullah Badawi dengan tegas dan yakin mengatakan bahawa beliau akan kekal sebagai presiden UMNO dan Perdana Menteri untuk melunaskan janji yang belum dikota, maka saya berdoa semoga UMNO akan kembali gah dan diyakini kembali. Kerana pada saya, hari ini adalah ketika di mana UMNO berada pada tahap yang paling lemah dan membimbangkan dalam sejarah. Tetapi hakikatnya sekali lagi, Pak Lah gagal memujuk keyakinan ahli UMNO keseluruhannya selepas tsunami 8 Mac.

Jangan silap tentang rasa hormat saya kepada Pak Lah. Saya amat menghormati beliau sehingga saya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘kalau politik itu kotor, masakan ada Mr. Clean seperti Pak Lah di dalamnya.’ Ya, beliau adalah bersih sehingga tahun 2003 tetapi benarlah power corrupts, absolute power corrupts absolutely!

Apa yang berlaku sekarang adalah krisis keyakinan terhadap Pak Lah, maka ahli UMNO membuat protes senyap dan individu di atas pagar berpindah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Sebenarnya secara semulajadi, pemimpin dipilih berpaksikan ‘kepercayaan’ dan ‘harapan’. Nabi Muhammad SAW juga secara tidak langsung dilihat sebagai membawa ideologi ini ketika mula menjadi rasul apabila dipercayai lantaran gelaran awal Al-Amin baginda dan dilihat membawa harapan baru kepada kejahilan puak Arab ketika itu (pengambilan contoh ini hanyalah berbentuk conceptual dan tidak berkaitan dengan agama dan politik).

Malah kadangkala, rakyat atau secara khususnya kita semua meyakini seseorang pemimpin itu tanpa sebab. Tetapi dalam struktur kepimpinan biasa yang tidak berkaitan dengan agama, bukan sebab itu yang penting, tetapi kepercayaan itu yang lebih mustahak. Saya bimbang Pak Lah masih tidak mempunyai kepercayaan itu. Malah tindakan Pak Lah pasca 8 Mac juga mengelirukan dan tiada harapan benar yang baru.

Saya percaya ramai yang tidak selesa dengan isu Tun Saleh Abbas ketika ianya berlaku pada tahun 1988, tetapi majoriti memilih untuk percaya. Percaya yang Dr. Mahathir ketika itu mempunyai alasan tersendiri. Itupun sekiranya beliau terlibat secara langsung. Ramai yang meragui integriti kepimpinan negara sewaktu tragedi pemecatan Anwar, tetapi sekali lagi majoriti memilih untuk percaya. Percaya yang UMNO tidak memerlukan Anwar Ibrahim. Jadi kepercayaan adalah segala-galanya dalam politik. Sama juga senarionya di dalam Pakatan Rakyat, sokongan menggila berpaksikan kepercayaan pada Anwar.

Maka, apabila Pak Lah merencana dan mengambil tindakan selepas ‘tragedi’ 8 Mac, sepatutnya kepercayaan ini yang cuba dipupuk. Membuat sesuatu yang popular bukan bererti betul. Pakatan Rakyat boleh menyokong dan meraikan perubahan Pak Lah pasca pilihanraya 2008, tetapi jangan mimpi satu undi pun dari mereka. Malah saya bimbang apa yang Pak Lah lakukan akan menjadi satu lagi backfire. Lihat sahaja bagaimana Pakatan Rakyat menggunakan lantas mentertawakan isu Islam Hadhari, Suruhanjaya DiRaja Video VK Linggam, tekad awal memerangi rasuah, Masjid Kristal, pengumuman koridor itu koridor ini dan pelbagai lagi.

Pak Lah memilih untuk menentang musuh yang salah sebenarnya. Dr. Mahathir bukan musuh Pak Lah. Anwar Ibrahim sebenarnya adalah orangnya. Anwar yakin UMNO akan berpecah selepas era Pak Lah, hakikatnya semua tertanya-tanya apa akan jadi pada Pakatan Rakyat pasca Anwar? Daripada analisis saya, kekuatan Pakatan Rakyat terletak kepada Anwar Ibrahim yang mewakili PKR, Hussam Musa (PAS) dan Lim Guan Eng (DAP). Malah jika Anwar menjadi Perdana Menteri pun, orang inilah yang paling layak menjadi TPM 1 & TPM 2 (sudah tentu jawatan baru ini akan diwujudkan).

Tetapi isunya, masih ada lagi individu seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ngeh Koo Ham, Hadi Awang, Nasaruddin Mat Isa, Mahfuz Omar dan tidak ketinggalan Salahuddin Ayub. Perebutan kuasa pasti berlaku. Jika tidak di kalangan pemimpin PAS, ia akan berlaku di dalam struktur umum Pakatan Rakyat itu sendiri. Kalau trend PAS diambil kira, mereka akan mementingkan senioriti, seperti yang berlaku di Kedah. Maka, Hadi Awang akan menjadi TPM. Kalau DAP pun hendak mengikut trend itu, Lim Kit Siang juga akan jadi TPM. Maka, tidak perlu pun saya ulas apa akan terjadi. Umum tahu pandangan orang Melayu pada Lim Kit Siang mahupun Karpal Singh dan pandangan orang Cina pada Hadi Awang. Itu sekiranya ada Anwar, bayangkan sekiranya tiada Anwar!

Maka, saya bersetuju dengan Najib Tun Razak yang kita perlu memandang serius isu lompat parti ini, bukan menyerang sesama sendiri. Dr. Mahathir tidak akan berhenti, itu pasti. Tetapi dengan komposisi beliau sebagai rakyat biasa dan ahli UMNO biasa, rakyat lebih dekat dengan beliau. Tetapi apabila Pak Lah atas komposisi seorang PM menyerang balas ahli UMNO lain termasuk mempersoal kesetiaan ahli-ahli UMNO di Perak dan Kedah, UMNO jadi berpecah belah. Jadi sekiranya Pak Lah boleh mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan dirinya sendiri (atau menantunya, barangkali), beliau sudah tentulah perlu meletak jawatan. Tiada jaminan PM baru akan kebal dari kritikan Dr. Mahathir atau rakyat biasa lain, tetapi sekurang-kurangnya sentimen baru muncul, kepercayaan akan kembali, harapan akan berputik.

Maafkan saya Rafidah Aziz dan Nazri Aziz yang mengatakan menukar Presiden UMNO bererti menukar PM dan ahli UMNO tiada hak untuk menukar PM, ulasan anda berdua tidak boleh saya terima. Sekiranya rakyat sudah tidak boleh menentukan Perdana Menterinya sendiri, negara ini sudah bukan lagi demokrasi. Ahli UMNO perlu ada keyakinan dan keberanian untuk menukar pimpinan parti dan negara. Sekiranya keberanian itu tidak ada, maka kita perlu redha dan jangan merusuh pada hari Anwar Ibrahim mendaftar masuk ke Putrajaya.

Mungkin ramai ahli UMNO akan marah dan berang dengan sentimen keredhaan di atas, tetapi hakikatnya apalah yang ada lagi pada UMNO kalau semuanya nampak tetapi buat-buat buta, semuanya jelas tetapi buat-buat meraba. Semuanya demi poket sendiri, barangkali. UMNO bukan Malaysia dan Malaysia bukan UMNO, jadi kita perlu bekerja, bertindak dan berfikir seperti parti politik dan parti untuk rakyat, bukannya menjaga poket masing-masing. Sekiranya ada pihak yang lebih mampu memerintah Malaysia dengan baik, kita beri laluan, lantas bermuhasabah demi memulihkan parti.

Maka, sekali lagi saya akan ditempelak dengan sentimen di atas. Tetapi hakikatnya ahli UMNO dahulu berani bertindak apabila berdepan sesuatu masalah mahupun krisis kepimpinan. Tahun 1951 – hatta pengasas UMNO pun terpaksa meninggalkan parti apabila usul beliau ditolak ahli. 1969 – hatta Bapa Kemerdekaan Malaysia sekalipun tidak kebal dari reformasi ahli UMNO apabila digesa berundur selepas Tragedi 13 Mei. 1987 – gelaran Bapa Kemodenan pun tidak membawa kekebalan kepada Dr. Mahathir dari berhadapan dengan peperangan jawatan Presiden paling bersejarah, Cuma bezanya beliau bertahan. Jadi ini membuatkan saya terfikir 2 soalan; 1.Apa jasa besar atau mega Pak Lah sehingga beliau tidak boleh digulingkan? Dan, 2. Mana perginya keberanian ahli UMNO yang sekian lama menjadi kebanggaan dan tunjang UMNO? Maka, atas muhasabah inilah saya sanggup membiarkan sahaja Malaysia diperintah parti lain kerana kita sekarang bukan berada di dalam semangat UMNO yang sejati.

Apa yang kita dengar saban hari adalah kita tidak boleh meminta itu dan ini, seperti pengunduran Pak Lah pada masa ini kerana parti akan berada dalam keadaan tidak stabil dan goyang. Sekali lagi saya tidak boleh menerima saranan ini. Krisis kepimpinan 1951, 1969 dan 1987 memang menggoncang UMNO. Tetapi ketidakstabilan itu bersifat sementara dan UMNO kembali dengan lebih kuat dan jauh lebih berkesan. Sekiranya pemimpin-pemimpin sekarang (terutamanya yang bergelar menteri) amat gerun, menggigil mahupun menggeletar takut akan ketidakstabilan yang sekejap ini, maka UMNO akan musnah untuk jangkamasa panjang. Sedikit, demi sedikit….

Sudah tidak ada konsep ‘kepercayaan’ dan ‘harapan’ pada nama Abdullah Hj. Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO. Maka, kita perlu mencari sentimen baru. Saya menyeru semua Bahagian untuk TIDAK menamakan Abdullah Hj. Ahmad Badawi sebagai calon Presiden untuk undian keramat Disember ini. Saya sebenarnya sudah berkira-kira untuk keluar dari parti ini apabila kecewa dengan krisis kepimpinan (dan krisis sikap pemimpin-pemimpin) 2004 – 2008. Tetapi atas rasa sayang kepada UMNO, bangsa dan negara, saya menulis warkah ini dengan penuh rasa rendah hati. Sambil penuh mengharap, akan dapat melihat perubahan pada pucuk tertinggi kepimpinan UMNO Disember ini….

MOHSIN MOKHTAR S.Z.
No. Keahlian UMNO:
02863634

(apa yang tertulis di atas adalah coretan peribadi penulis
dan tiada kaitan dengan pendirian UMNO Perak
)


KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
SOKONGAN KEPADA KETUA
JANGANLAH SOKONG BAWA REBAH

Sebermula disuratkan orang banyak hari ini 21 Rabiulakhir 1429 (yakni disebut anak cucu fakir 28 April 2008) akan UMNO di Pulau Pinang itu semuanya mencalonkan nama memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengetuai UMNO itu, adanya. Syahdan sudah diketahui sekalian rakyat jelata, akan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Orangkaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perusahaan (seperti disebut orang di akhir zaman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) memang kasad di hatinya, mahukan memanda Perdana Menteri itu memberitahu waktu untuk berundur. Maka orang-orang Melayu di Pulau Pinang di bawah UMNO memberitahu mufakat itu untuk mengingatkan Orangkaya Menteri berkenaan ‘sarang tebuan janganlah dijolok’.

Hatta, beberapa lamanya datanglag peredaran dunia. Maka Raja Fatimah mangkatlah, dimakamkan di Seluyud, kerana amanat Raja Fatimah minta dimakamkan bersama-sama kekanda baginda Sultan Muzaffir Shah. Kemudian daripada itu ada kira-kira selang setahun maka Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Riayat Shah pun mangkat pula. Maka dimakamkan, diperintahkan oleh Bendahara Paduka Raja seperti adat, ditanamkan di makam yang diperbuat baginda itu; itulah yang disebut orang Marhum Mangkat Di Batu. Maka oleh bendahara hendak dirajakan Raja Abdullah dengan keredaan Raja Mansor. Tak mahulah Raja Abdullah kerana kekanda baginda Raja Mansor masih hidup, kerana manusia hanya mampu merencana, tetapi Allah SWT jua yang lebih tahu merencana seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!