Wednesday, March 18, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA....


PUISI HUMOUR

Warkah Pencuri Ayam




-Peringatan kepada para
pencuri ayam



Kalau curi ayam
jangan lebih dari seekor
bila kena tangkap
hukumannya amaran saja
kalau curi lebih seekor
cepat siat kulit
buang taik dan bulu
dalam mulut buaya,
buat gulai buat sup
lepas makan cepat-cepat
gali lubang tanam tulang
sorokkan bukti.

Cepat-cepatlah basuh mulut
dan pastikan tak terselit
serpih ayam kat celah gigi
insya Allah tak kena
tapi kalau curi
lebih lima ekor
nanti cuma kena
tak boleh tanding
tekong sepak takraw aje,
masih tetap boleh terus
jadi tukang jaga kandang
he he he.

Takde hallah tu
makanya, para pencuri ayam sekalian
teruskanlah mencuri ayam
memang sahaja begitu adanya
encik-encik dan tuan-tuan
Undang-undang ini Dato' yang bikin
(apologi kepada Musang Berjanggut).


-Yassinsalleh
Lebuhraya ke Utara
18 Mac 2009
17:59:11

INFO SUARA PROLITAR...


Prosedur Luar Biasa Digunakan
MP Tak Diminta Tarik Balik Tuduhan

Laporan akhbar 'Liberation' di Perancis menjadi turning point kepada drama seorang Ahli Parlimen digantung bagi tempoh 12 bulan, di samping tak menerima elaon dan sebarang kemudahan. Sepatutnya mengikut prosedur biasa, Ahli Parlimen terbabit seharusnya dirujuk kepada jawatankuasa Dewan. Beliau wajar didesak memohon maaf atau menarik balik tuduhan yang dilimparkan kepada seseorang. Ironinya prosedur luar biasa sudah digunakan kepada Ahli Parlimen berkenaan, apabila peruntukan yang luar biasa juga digunapakai. Malaysia baru sahaja mahu memulihkan reputasi badan kehakiman yang tercalar, di samping perilaku polis juga turut belum dipulihkan sepenuhnya. Bukan sahaja isu 'lebam mata' 1998, malah kematian seorang suspek S Kugan di lokap polis juga mencemarkan Malaysia.

Desas desus menyebut isu dalam laporan akhbar 'Liberation' di Paris itu sekadar 'mukaddimah' sahaja, kerana masih ada lembaran yang belum disiarkan secara terperinci. Malah berdasarkan desas desus berkenaan, Perancis juga berhadapan dengan desakan dari kerajaan lain (mungkin sahaja Mongolia) bagi menafikan laporan berkenaan. Tetapi sebagai kerajaan berwibawa, malah dianggap kuasa besar di samping Amerika Syarikat, Great Britain dan Russia, bukan mudah bagi Perancis membuat penafian. Apalagi syarikat yang terbabit dengan isu pembelian peralatan perang di Perancis itu, mungkin sahaja terjejas produknya. Khabarnya, pihak kedutaan Perancis di Kuala Lumpur sudah menemui seseorang yang berpengaruh di Malaysia baru-baru ini tetapi tak diketahui butir-butir perbincangan mereka...

L MANKADIR MENULIS...


Jangan peduli pergolakan UMNO
Pejuang bahasa teruskan lawan PPSMI

Pejuang bahasa Melayu yang mahu menghapuskan PPSMI (pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) jangan leka dengan isu pergolakan dalam UMNO dan jangan menaruh harapan pada Najib (Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak). Janganlah harapkan guruh di langit air di tempayan dicurahkan. UMNO tetap UMNO, tak kira siapa pun yang akan jadi Presiden UMNO. Politik wang, salah guna kuasa dan 'gertak' memang jadi amalan UMNO. Pada masa Mahathir (Tun Dr Mahathir) dulu begitulah, sekarang sudah semacam nampak kelibatnya di belakang Najib. Tapi majoritinya ahli UMNO bukanlah 'tahu bahasa' sangat. Kalau mereka nak jadi Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan!

UMNO/BN jangan ingat rakyat dan pengundi macam kera yang boleh diumpan dengan jagung untuk masuk perangkap pilihanraya. Kempen pilihanraya di Bukit Gantang (di Perak), Bukit Selambau (di Kedah) dan Batang Ai (di Sarawak) kalau 'anak jantan' UMNO jemputlah Mahathir dan Hishamuddin (Dato' Seri Hishamuddin Hussein), ceramah dalam Bahasa Inggeris. Mereka berdua bersungguh-sungguh mahukan PPSMI, sila jumpa pengundi Melayu prolitar dan gunalah Bahasa Inggeris. Mahathir yang masih berminat dengan 'jambatan bengkok' ke Singapura tentu sedang menunggu-nunggu Najib dan Hishamuddin naik. Sekarang pun Mahathir dah mula tunjuk belang, dengan PERKASA yang diketuai Berahim Ali (Dato' Ibrahim Ali) buat perjumpaan Melayu pada 22 Mac ini di Dewan Sukan TNB, Kuala Lumpur. Alahai Melayu!

(*L Mankadir Shamsi ialah aktivis teater dan budaya di Pahang, di samping terbabit dalam perfileman dan drama TV. Pernah memenangi hadiah saguhati skrip drama pentasdianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, pada dekad 1980-an. Di samping menulis skrip TV, beliau juga pengarah dokumentari untuk TV swasta)

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...


Penghulu Tata Tertib Heh Heh Heh...
Tak Hukum Khir Toyo, Aduhai, Aduhai!
Sebermula sekalian orang banyak diberitahu akan Orangkaya Dato' Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo itu tiadalah ia dihukum oleh penghulu tata tertib harakah Melayu (UMNO), Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin. Arakian ketika diumumkan semalam (20 Rabiulawal 1430 atau 17 Mac 2009), terlepaslah Orangkaya bekas Menteri Besar Selangor itu daripada hukuman. Sebermula kata sekalian orang banyak Orangkaya Dato' Seri (Tabib) Mohd Khir itu, memang bukan anak buah Orangkaya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sejak zaman bahari lagi ia mengaku akan dirinya anak buah Tun (Tabib) Mahathir Mohamad, adanya. Maka diberitahu oleh sekalian orang banyak kepada fakir yang harakah Melayu itu berebut-rebut antara anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Abdullah dan anak-anak buah Tun (Tabib) Mahathir, bukannya Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, gerangannya!

Syahdan, maka pada tatkala itu, Hang Nadim ada di bawah penghadapan itu. Telah ia mendengar titah demikian itu, maka Hang Nadim pun berbicara di dalam hatinya, katanya, "Baiklah aku pergi ke Pahang, mudah-mudahan dapat Tun Teja itu ku bawa ke bawah Duli Yang Dipertuan akan menghspuskan dosaku." Telah demikian fikirnya maka Hang Nadim pun pergilah, menumpang baluk orang ke Pahang. Telah datang ke Pahang maka Hang Nadim pun bersahabat dengan seorang nakhoda Chempa, Saiyid Ahmad namanya, terlalu berkasih-kasihan. Maka kata Hang Nadim pada Nakhoda Saiyid Ahmad, "Sungguhkah Tun Teja anak Bendahara Pahang itu terlalu baik parasnya?", tetapi sekalian orang banyak tahu akan Hang Nadim itu sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' dikarang oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!