Thursday, March 19, 2009

ANALISIS DATO' KAMAL AMIR...

Misteri Kenyataan Media Ali:
T/k Najib Kekalkan Jawatan KM


Belumpun Perhimpunan Agung bermula (24-28 Mac 2009), UMNO sudah kelam kabut, berkelabut dan berserabut. Ada yang bersalah tak boleh bertanding; ada yang bersalah kena beri amaran, ada bersalah tak pula diambil tindakan. Teringat pula babak filem 'Pendekar Bujang Lapok' apabila Sudin mengeja sekolah buat huruf- alif tendang mim, nun tendang wau - sarkas! Barangkali itulah hakikat sebenarnya sekarang. Tak hairanlah, apabila Dato' Muhd Ali Rustam dalam kenyataan media hari ini (19 Mac 2009) tiba-tiba sahaja mengucapkan terima kasih kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Melaka. Kenapa berterima kasih kepada Najib? Misteri di sebalik kenyataan itu perlulah dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Desas desus menyebut terdapatnya konspirasi bagi menjatuhkan Ali Rustam yang kononnya diketuai oleh seseorang yang berpengaruh kepada UMNO, bersama seorang calon yang akan bertanding jawatan tertinggi dan dua orang ahli Lembaga Disiplin. Ironinya, Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut mengulas dengan meminta Lembaga Disiplin tak melayan rayuan Ali Rustam, seperti laporan akhbar Utusan Melayu. Sepanjang ingatan saya Tun Dr M belum diminta nasihatnya oleh pimpinan UMNO; justeru sama ada Lembaga Disiplin mahu melayan atau tidak, terpulanglah! Dalam masa komunikasi semakin canggih banyak SMS yang boleh diterima oleh perwakilan yang UMNO yang bertumpu ke KL, 24 Mac ini.

Bersama ini dilampirkan antara SMS yang diterima, tetapi tak diketahui daripada puncanya: "Asm. Wbt. Sdr sekalian. Ini adalah random 'academic survey'. Tolong berikan senarai nama heh heh heh atau hus hus hus yang terbaik, baik atau patut dibuang..." Nampaknya ekonomi dunia sekarang gawat, UMNO mungkin akan bercawat. 'Politik wang' tak ada bukti, semuanya pakai 'tembak rambang' sahaja. Tak apa kita tabik dengan Pengerusi Lembaga Disiplin; apalagi SPRM juga sudah bersiap sedia 'on your mark, get set, go go go...!'. Tetapi kenyataan media Ali Rustam yang berterima kasih kepada Najib (kenapa tak kepada Pak Lah) kerana mengekalkan jawatan Ketua Menteri Melaka, perlu diambil kira oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen. Alahai!


(*Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz, ialah bekas Exco Pemuda UMNO bagi biro hal ehwal antarabangsa pada period Pemuda UMNO dipimpin oleh Dato' Seri Mohd Najib Razak. Beliau mempunyai banyak hubungan dengan pimpinan UMNO sekarang yang sebelumnya adalah dari kalangan Pemuda. Bekas wartawan Utusan Malaysia dan Ketua Editor di Karangkraf, beliau adalah pengasas persatuan wartawan hiburan EJA bersama Allahyarham Dato' Khalid Jaffri dan Norshah Tamby pada dekad 1970-an).

KOMENTAR:

Pak Parjo...

Maka Orangkaya Pun Memangkis:
Siasatlah Hamba Jua Fasal Rasuah
Arakian tersebutlah ceritera yang empunya ceritera akan Orangkaya Jerlun Dato' Mukhriz Tun Mahathir mengakui lawannya Orangkaya Rembau, Khairy Jamaluddin itu tak mempunyai kelebihan apabila penghulu tatatertib melepaskan ia daripada hukuman. Maka dalam beberapa hari lagi memencaklah mereka di tengah gelanggang bersama Orangkaya Sungai Panjang Dato' Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo, untuk menjadi ketua segala anak-anak muda harakah Melayu (UMNO) itu adanya. Syahdan Orangkaya Semberong Dato' Seri Hishamuddin Hussein itu tiba-tiba marahlah ia hari ini 22 Rabiulawal 1430 (iaitu 19 Mac 2009 kata anak cucu fakir) dengan memangkis, "Ceh, siasatlah semua calon yang bertanding termasuk hamba jua!".

Sebermula maka Tun Umar pun berdatang sembah, "Tuanku, jika ada kurnia Duli Yang Dipertuan, patik hendak memohonkan jadi raja laut." Maka titah Sultan Mahmud, "Baiklah, tetapi laksamana lagi ada, apa daya kita mengambil daripadanya. Hendak pun kita pecat ia, suatu pun tiada apa salahnya pada kita. Tetapi apabila laksamana tiada lagi, Tun Umarlah kita jadikan raja laut. Telah dilihat oleh Hang Isa Pantas dan Hang Hussein akan sembah orangkaya itu tiada lulus, maka keduanya fikir seketika. Maka titah Sultan Mahmud Shah pada kedua mereka, "Berdatang sembahlah engkau, apa kehendamu kepadaku?" Maka sembah Hang Isa Pantas, "Tuanku, jikalau ada kurnia mohonlah emas barang dua tiga kati, dan kain barang dua tiga banian." Maka diperkenan oleh Sultan Mahmud kerana ketika itu tiadalah penghulu tata tertib seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...


Nasib Yang Menimpa UMNO:
Mengadu Kepada Ketua Penyamun

Makan tengahari di gerai gulai masak kawah di Taman Seri Gombak hari ini (18 Mac 2009) bersama Dato' Kamal Amir dan Haji Abu Bakar Ninggal, memang berselera dengan ulam-ulam kampung yang disediakan. Gerai yang sentiasa penuh dengan pelanggan, bukan sekadar dari persekitaran sahaja, malah datang dari luar juga. Dato' Kamal Amir yang memang peramah tiba-tiba sahaja menegur beberapa orang pelanggan di kalangan anak muda berusia 20-an ke 30-an di meja sebelah. Anak-anak muda terbabit memang tak mengenai kami; apalagi mereka beritahu datang dari Kuantan. Justeru Dato' Kamal Amir terus bertanya kalau sekarang diadakan pilihanraya, siapakah yang mereka undi.

Anak-anak muda berkenaan tak bertangguh memberitahu mereka akan mengundi parti pembangkang. Mereka berterus terang mengakuinya, sekalipun tak mengenali kami bertiga di sebelah mereka. Maknanya, trend pemikiran anak-anak muda sekarang tak akan memberi sokongan kepada UMNO, walau apapun mahu dilakukan sekarang. Bagi mereka tiada lagi pemulihan kepada UMNO yang terlalu banyak meletakkan bangsa Melayu terguris hati terutama dalam isu PPMSI dan kekebalan raja-raja. Apalagi membawa kelibat pimpinan yang mengkucar-kacirkan negara, sekalipun di mulut mengakui demi kepentingan bangsa, agama dan tanahair. Aduhai!

Perpecahan UMNO amat ketara sekalipun disembunyikan dengan pelbagai cara. Misalnya, malam ini (18 Mac 2009) di TV1 calon Naib Presiden UMNO Dato' Seri Rais Yatim secara terbuka menyerang lawannya yang juga pesaing dalam merebut jawatan berkenaan. Sekalipun Dato' Seri Rais Yatim tak menyebut nama lawannya, tetapi memberitahu beliau tak mahu pemimpin yang mencium keris kemudian meminta maaf. Apabila pengacara menyentuh bukunya sebagai 'gula-gula', beliau bingkas bersuara menafikan dengan menjelaskan ianya sebagai 'selimut bangsa'. (Selimut untuk menahan kesejukan atau selimut untuk dikebumikan?).

Lebih 150 penyokong Dato' Seri Mohd Ali Rustam pula menemui Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelah petangnya berikutan keputusan Jawatankuasa Disiplin UMNO yang diketuai Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddin. Ketegasan dalam pimpinan UMNO juga dipersoal, dengan kesalahan yang sama tetapi hukuman berbeza-besza. Maknanya, UMNO menunggu kehancuran sekalipun pimpinannya mahu membersihkan dari segala gejala yang tak sihat. Sukar mahu mempercayai apabila senario dalam 'Ali Baba Bujang Lapok' Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee mahu dilestarikan oleh UMNO.

Tan Sri P. Ramlee secara sinis menerusi 'Ali Baba Bujang Lapok' apabila ketua penyamun (P Ramlee) dijadikan tempat mengadu oleh orang kaya (Kemat Hassan) dan (Shariff Dol). Akhirnya orang kaya Shariff Dol papa kedana di pasar pesara, dengan meminta sedekah. UMNO sedang menuju ke era yang difilemkan oleh Tan Sri P Ramlee menerusi watak orang kaya yang meminta bantuan 'ketua penyamun'. Dalam masa sekarang UMNO memerlukan Marjina bagi menyelamatkan Ali Baba daripada ketua penyamun. Bagaimanapun dalam pimpinan UMNO sekarang Ali Baba sudah dikorbankan terlebih dahulu di Melaka, justeru Melayu akan terus hidup, sekalipun UMNO mati. Begitulah!

-Pak Dharma


PEMERHATIAN MOHD AFFANDI HASSAN...

Masih Adakah Ahli Politik:
Yang Layak Bicara Fasal Rasuah?

Kini Era Rasuah dalam politik Melayu UMNO sudah diakui dan diterima oleh ahli-ahli UMNO sendiri, satu era yang dibanggakan oleh ahli UMNO kerana ketelusannya. Sesiapa pun tidak dapat berselindung daripada perbuatan rasuah yang sudah dibudayakan dalam politik UMNO, malah mereka berebut-rebut ingin mendedahkan sesama mereka sendiri apabila menghadapi sesuatu pertandingan dalam pemilihan UMNO. Berdasarkan pengalaman yang lama sebagai pemerintah, UMNO memperkenalkan peraturan yang cantik dan adil kepada semua yang disabitkan rasuah dan dihukum dengan memberi peluang kepada mereka untuk merayu supaya sabitan dan hukuman itu dibatalkan dan dimansuhkan.

Peraturan ini cantik dan adil kerana ia memberi peluang kepada para perasuah untuk dibebaskan daripada perbuatan rasuah, dengan itu perbuatan rasuah tadi bertukar menjadi satu kesilapan pihak yang menjatuhkan hukuman. Dengan itu semuanya menjadi masalah teknikal yang boleh dipinda-pinda apabila keadaan memerlukan. Pada hakikatnya apa yang dikatakan perbuatan rasuah itu tidak wujud; yang wujud ialah tuduhan yang disalah tafsir oleh badan yang menjatuhkan hukuman. Jadi tidak ada rasuah dalam UMNO, kerana tidak seorang pun ahli UMNO bertindak memberi dan menerima rasuah. Apa yang terjadi hanyalah perpindahan wang, kemudahan, jamuan, hadiah, dan sebagainya.

Semua itu mencirikan tingginya sifat persaudaraan dalam UMNO, yang begitu aktif membahagikan kekayaan yang mereka perolehi hasil tindakan politik mereka yang cekap, yang kesemuanya mengarah kepada pembelaan kepada rakyat. Maka itulah sangat aneh apabila para pemimpin yang pemurah itu dihukum, padahal sifat pemurah itu adalah salah satu sifat mulia dalam persaudaraan UMNO. Membantu sesama sendiri dalam konteks yang disebutkan itu adalah perbuatan mulia dan terpuji di kalangan ahli-ahli UMNO dalam persaudaraan politik yang matlamatnya membela rakyat dan memajukan negara.

Apa yang disebut sebagai rasuah politik tadi adalah salah satu nilai murni yang menjadi kebanggaan ahli-ahli UMNO. Oleh itu, tidak ada alasan sama sekali untuk menghukum sesiapa juga yang terlibat dalam persaudaraan UMNO tadi. Mereka hanya bertindak pemurah dengan membahagikan kekayaan mereka kepada sesiapa juga yang mereka fikir layak menerimanya. Rasuah hanya bisa terjadi jika sifat pemurah itu mempunyai tujuan lain yang bersifat peribadi, yang tidak mungkin terjadi dalam persaudaraan UMNO yang begitu kukuh dan mulia.

Sebenarnya inilah juga pandangan ahli-ahli politik bukan UMNO. Mereka juga menyokong apa yang disebut perbuatan rasuah itu sebagai sebahagian daripada sifat pemurah ahli-ahli politik yang bertarung sengit untuk memikat hati pengundi dan untuk memastikan mereka menang pilihan raya. Kemenangan itu perlu direbut daripada tangan pihak lawan dengan menggalakkan perbuatan rasuah di kalangan rakyat sendiri. Rasuah ini dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk, misalnya melalui bantuan segera, menurap jalan rosak yang selama ini tidak dipedulikan, membetulkan rumah senget yang selama ini hanya terbiar tanpa sebarang minat daripada sesiapa pun untuk membaikinya, atau memberi hadiah dalam pelbagai bentuk: anak ayam, kain pelikat atau kain sarung, beras, gula, biskut, dan lain-lain.

Yang pemurah itu ialah pihak yang memegang kuasa, yang banyak wang, yang mempunyai pegawai dan kakitangan kerajaan yang boleh dikerah untuk mendengar ceramah (satu jenis rasuah juga) atau menyediakan wang untuk projek khas dalam pilihan raya. Pihak yang tidak dapat membalas sifat murah hati UMNO ini menggunakan kemurahan hati UMNO itu sebagai senjata untuk menikam balik pihak pemurah dengan memberi sokongan kepada rasuah politik tadi. Satu masa dulu terkenal kata-kata hikmah yang berbunyi begini: “Beri wang ambil, beri beras tanak (masak), beri gula kacau, beri kain pakai, beri kambing pelihara, beri ayam sembelih; tapi bila tiba hari mengundi, tetap undi yang itu juga.” Pada ketika itu strategi ini dianggap sangat bijak, apatah lagi bila kata-kata hikmah itu keluar dari orang agama yang dihormati.

Apakah maknanya dalam konteks rasuah? Terang-terang orang yang memberi nasihat itu menggalakkan rasuah, menerima rasuah sebagai satu budaya politik yang mesti digunakan untuk faedah parti, menerima hakikat bahawa pihak lawan banyak wang dan para penyokong parti mesti digalakkan mendapat faedah semaksimum mungkin daripada sifat murah hati UMNO itu. Apakah bezanya puak yang memberi rasuah dengan puak yang menggalakkan penerimaannya di kalangan para penyokong sendiri? Tidak ada bezanya; malah orang agama selalu mengingatkan hadis terkenal, pemberi dan penerima rasuah sama-sama masuk neraka. Mengapa orang agama yang alim dan jujur itu menggalakkan pengikutnya menerima rasuah? Itulah politik, semangat politik itu lebih kuat daripada semangat agama bila tiba waktu untuk menentukan siapa yang akan berkuasa.

Jadi sama ada UMNO atau bukan UMNO, kedua-duanya menerima rasuah sebagai senjata penting dan menentukan dalam pilihan raya, oleh itu mesti digalakkan di kalangan pengundi. Akhirnya tidak ada seorang pun daripada ahli politik ini yang tidak rasuah atau yang tidak menyokong rasuah. Hanya bentuknya saja yang berbeza, matlamatnya sama: untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Oleh itu, orang politik tidak berhak bercakap tentang penghapusan rasuah, kerana dalam hidup mereka sebagai ahli politik memberi dan menerima rasuah itu adalah “nasi makan air minum” mereka. Apakah hujah anda untuk menolak kesimpulan ini? (19/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian yang menentang rasuah menerusi karya-karya sasteranya. Berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, tetapi kemahiran dan kepakaran beliau tak diminta untuk membantu pembangunan negara, seperti lantikan yang dibuat kepada pegawai-pegawai tinggi kementerian yang sudah bersara. Beliau juga dikenali sebagai 'trouble shooter' seperti Dato' Hassan Ibrahim dan Tan Sri Ishak Tadin)