Saturday, May 30, 2009

PENANTI, PENANTI, PENANTI ESOK...

Pimpinan UMNO tak tanggugjawab:
Nafi kenyataan Khairy mewakili parti


Sikap UMNO menafikan kenyataan pemimpinnya dengan menganggap sebagai 'kenyataan peribadi' memperlihatkan pimpinannya tak lagi bertanggungjawab, jelas Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz. Menyentuh penjelasan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyeru penyokong parti itu di Penanti tak keluar mengundi sebagai kenyataan peribadi, Dato' Kamal Amir menganggap ianya tak bertanggungjawab. "Pimpinan UMNO perlu bertindak secara kolektif, bukan membuat penafian terlalu mudah," katanya.

Najib boleh membuat penafian kalau yang membuat kenyataan itu ketua Pemuda Cawangan, tetapi yang meminta penyokong parti jangan keluar mengundi ialah Ketua Pemuda UMNO yang berstatus Naib Presiden. Tindakan disiplin perlu dikenakan kalau bertindak di luar keputusan kolektif pimpinan MT, jelas Dato' Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO. Serentak dengan itu beliau melahirkan rasa kesal dengan sikap Najib dan Khairy seolah-olah berlaku percanggahan idea di peringkat atasan. "Pimpinan UMNO perlu bertanggungjawab apabila kenyataan dibuat oleh anggota pimpinan, bukan melepas batuk di tangga dengan menganggap kenyataan peribadi," Dato' Kamal Amir menambah.

ADAPTASI DI KRATON KEHANTUAN ...


Watak Sang Pertala Raya:
Novel 'Semperong' di Penanti

Dalam novel 'Semperong' (Kantung Network, KL; 20o7) saya mengangkat watak Sang Pertala Raya (@SPR) menjadi pengacau di kraton Betara Ningrat (@BN) d atas perintah Pawang Fakeh Makudum dalam alam kehantuan. Pertandingan kemahiran pawang-pawang di alam kehantuan berakhir dengan kebrantakan apabila Pawang Bagindo Gadang, Pawang Fakeh Makudum, Pawang Tumanggung, Pawang Bandaro dan Pawang Rajo Batuah yang mewariskan kepawangan Maulana Umarak gagal menghalang perebutan jamu ancak spesies hantu. Pawang-pawang dari perguruan lain cuba menyelamatkan penduduk, tetapi minda mereka sudah diracuni.

Hanya 'kenyanyukan' sahaja mampu menghancurkan perguruan Maulana Umarak diikuti angin ribut memusnakan fizikal perkampungan. 'Semperong' seakan-akan menjanjikan fenomena dalam pilihanraya kecil Penanti besok (31 Mei 2009) apabila SPR mengenakan pelbagai peraturan. "Tiga hari lalu…YB Zuraidah diperintahkan hadir ke Balai polis untuk diambil kenyataan berikutan ceramah yang didakwa mengandungi hasutan. Semalam…Chegu Bard pula dihadiahkan waran tangkap," menurut laporan blog http://www.chegubard.blogspot.com/

Seterusnya blog Chegu Bard menjelaskan,"Sepanjang tempoh kempen..PKR berhadapan dengan polis. Bermacam-macam peraturan baru dikeluarkan untuk menghalang penceramah dari berceramah.Peneceramah tak boleh cakap pasal Altantuya…tak boleh sentuh pasal Sidang DUN Perak..tak boleh pasang video…pembesar suara mesti tak boleh didengari diluar kawasan ceramah…semua kawasan ceramah mesti cerah…SB mesti dibenarkan mengambil gambar dan video….macam-macam peraturan baru yang tak masuk akal."

Seterusnya kata Chegu Bard, "Dalam mesyuarat diantara PKR dengan SPR diPutrajaya..SPR telah memperkenalkan beberapa syarat baru.Mula-mula mereka bercadang untuk menghapuskan pondok panas. Kononya untuk mengelak pertembungan diantara penyokong PKR dengan Umno. Tup-tup Umno tak bertanding dan depa tak ada alasan lagi. Lalu dibenarkan pondok panas dibina. Hari ini..semua pondok panas telah dinaikkan…tup-tup SPR buat arahan baru melalui telefon….pondok panas mesti bersaiz 8 kaki X 8 kaki! Gila ka? Kat mana nak cari khemah saiz tu dalam masa sehari? Pasai apa tak mau cakap dari awal?" - Pak Dharma.

DARI PEJABAT ANWAR IBRAHIM...

Fasa akhir di Penanti:
Macam 'Tadau Kaamatan'

Kempen di Penanti hari ini memasuki fasa akhir. Esok, para pengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat masing-masing. Sekali lagi saya nyatakan, calon Pakatan Rakyat, saudara Dr. Mansor Othman bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang seandainya diberi kepercayaan oleh para pengundi esok.

Sehubungan dengan itu, saya memohon sokongan rakan-rakan pengundi DUN Penanti untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat, inshaallah.Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat meraikan Tadau Kaamatan buat semua teman-teman Kadazandusun di Sabah dan Sarawak. Semoga rezeki yang dituai semakin berhasil serta bertambah baik dan lumayan.
- DATO' SERI ANWAR IBRAHIM,
Ketua Pembangkang Parlimen
dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

SUARA DARI LANCANG...


Anak muda mahu reformasi:
Jangan tunggu usia 60 tahun

Aktivis budaya di Pahang, L Mankadir Shamsi mengalami batuk hampir sebulan setengah di samping demam hampir seminggu, tetapi tak ada kaitan dengan virus A H1N1. Pada 26 Mei lalu kata Mankadir, kena pulak penyakit perut hingga ke malam saja hampir 20 kali ke tandas. "Bukan menerang tapi dah melancur. Bukan lagi isi tapi dah air saja. Kain pelekat dah 8 helai kena kincit. Terpaksa pakai kain batik.Esoknya petang 27 Mei aku terlentang di wad sementara poliklinik," menurut Mankadir selanjutnya.

Beliau juga enggan ke hospital, tetapi terpaksa juga masukkan air 2 beg. Katanya, satu jarum cucuk vitamin dan pembantu hospital (HA) menasihatkan, kalau tak cukup 2 beg air kena hantar ke hospital. "Alhamdulillah sekarang sudah sembuh! Cuma ada lagi sedikit lemah badan. Terima kasih pada keluarga yang sabar menunggu giliran ke tandas," beritahu Mankadir. Justeru beliau mengingatkan anak-anak muda yang mahukan perubahan, bermulalah dari sekarang kerana katanya, dalam usia 60 tahun seperti beliau, faham sajalah.

"Orang kampong kerja kuat sikit untuk mengubah kehidupan tapi usia dah senja. Badan tak daya. Nafsu kuat tenaga kurang!Kerana itu anak muda kalau nak perubahan (reformasi) kena buat dari sekarang kalau dah tua, berarak di jalan raya kena sembur gas pemedih mata pun tumbang!" jelasnya menerusi laman blog http://www.tokperan.blogspot.com/.

INFO SASTERA & BUDAYA

Lebih 2000 simpulan bahasa:
Bahasa Melayu, tetap bahasa ilmu

(Penulis: Ainon Mohd dan Abdullah HassaTerbitan: PTS Professional Publishing Sdn Bhd)

Perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu, tak sekadar menolak PPSMI. Bahasa ilmu bukan sekadar menumpang heh heh heh UMNO, atau pendukung-pendukung PPSMI yang menjadi 'langau di buntut gajah' (kalau tak faham tanyalah Dato' Seri Dr Rais Yatim, bekas guru lepasan LI, sebelum menjadi peguam dan ahli politik), tetapi perlu dipraktikkan. Tahniah kepada Puan Ainon Mohd dan Profesor Emeritus Abdullah Hassan yang menghasilkan buku bagi melonjakkan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Mereka tak bercakap, tetapi menghasilkan. Silalah pendukung-pendukung PPSMI hasilkan buku matematik dan sains untuk dijadikan buku teks di sekolah-sekolah!

Kamus ini adalah koleksi terbesar simpulan bahasa Melayu yang pernah diterbitkan sehingga hari ini dan ia adalah himpunan yang paling kemaskini. Ia mengandungi sekitar 9 500 simpulan bahasa yang terdiri daripada tiga kategori iaitu simpulan bahasa Melayu klasik, moden dan lisan. Lebih kurang 2 000 entri simpulan bahasa yang terdapat di dalam kamus ini belum pernah diterbitkan dalam mana-mana kamus lain. Puan Ainon Mohd. Pernah menjadi Ketua Unit Penyelidikan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka. Professor Emeritus Abdullah Hassan ialah Professor Bahasa Melayu dan Komunikasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.Buku-buku peribahasa lain yang sudah mereka terbitkan adalah Kamus Lengkap Peribahasa Melayu, Koleksi Terindah Peribahasa Melayu dan Kamus Pepatah, Bidalan dan perumpamaan - (http://www.cikgumalaysia.blogspot.com/)

LAPORAN DARI PENANTI 2.00 PM..


UMNO dlm p/raya Penanti:
Macam keldai pakai sarung singa
Pilihanraya kecil DUN Penanti di Pulau Pinang, seolah-olah sepi apabila UMNO/BN tak ikut bertanding, beritahu Penasihat Undang-Undang PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid dalam laporan terkininya jam 2.00 petang ini (30 Mei 2009). Poster PKR pun tak banyak kelihatan, kerana dianggap tak perlu 'perang poster' dalam senario politik di Penanti sekarang, katanya lagi. Bagaimanpun menurut Ahmad Nizam, tak bermakna UMNO/BN berdiam diri malah mereka terbabit dalam ceramah-ceramah calon Bebas, Aminah Abdullah. "UMNO cuba nak sembunyi di sebalik jari telunjuk, tapi penyamaran mereka mudak dikenalpasti," katanya.

Dalam kempen terakhir semalam beritahu Ahmad Nizam selanjutnya, aktivis UMNO dari Johor Lokman Nor Adam (gambar ceramah UMNO bantu calon Bebas di Penanti) tampil di platform ceramah calon Bebas, Aminah Abdullah. Beliau juga menjelaskan Lokman Nor Adam ialah ikut sama 'Kumpulan 12' dari PKR (sebelumnya Parti Keadilan Nasional) diketua Ruslan Kassim yang keluar parti sebeum pilihanraya 2004. Sekalipun calon terbabit menafikan ditaja oleh UMNO, tetapi masyarakat tempatan Penanti mudah mengenali pasti. "Macam cerita keldai pakai sarung singa, semua orang tahu identiti keldai tetap keldai," jelas Ahmad Nizam.

CORAT CORET UMNO...


Tindakan secara 'berpilih':
Mempercepat musnahkan UMNO

Kuala Lumpur: Berkuat kuasa serta-merta, pemimpin Umno di semua peringkat yang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik akan digantung semua jawatannya dalam parti. Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata peraturan baru itu diputuskan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam meneliti cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pengurusan parti. "Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Ibu Pejabat Umno di sini.

Perdana Menteri juga mengumumkan persetujuan MT menambah ahli Lembaga Disiplin Umno, termasuk Panel Siasatan, Tribunal dan Panel Rayuan. Antara ahli baru lembaga itu ialah bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ismail Said; peguam Datuk Zuraidah Atan; bekas Penolong Kanan Penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR), Wahab Wahid; pesara penguasa polis, Mohd Zain Ismail dan pesara inspektor polis, Nordin Saidin, seperti dilaporkan laman blog http://utusan.com.net/ pagi ini (30 Mei 2009).

Bagaimanapun dengan menambah ahli Lembaga Disiplin, Panel Siasatan, Tribunal dan Panel Rayuan tak akan memberi sebarang kesan positif, sekiranya tindakan dilakukan sekadar 'dakwaan berpilih'. Rungutan dari majoriti ahli UMNO sudah kedengaran berikutan langkah-langkah pembaharuan Najib dilakukan 'secara berpilih'. Pimpinan yang dilihat pro-Pak Lahmula disingkirkan satu demi satu seperti Dato' Azalina Othman Said, Dato' Nuraini Ahmad, Dato' Norza Zakaria, Dato' Seri Zulhasnan Rafiq mahupun Kahiry Jamaluddin. "Pembaharuan dengan tak merapatkan semula saf akan mendorong kepada kemusnahan," beritahu kalangan pimpinan veteran UMNO.