JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
PILIHAN RAYA KE 12 BERMULA
PARLIMEN DIBUBAR UNTUK MANDAT
Assalamualaikum,
Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen hari ini (13 Februari 2008) bagi membolehkan menerima mandat baru, sekalipun tempoh UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbirkan negara hingga April 2009. Tempoh awal bagi mengadakan pilihanraya juga dikaitkan dengan penampilan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tak boleh bertanding dalam pilihanraya hingga April 2008. Justeru pilihanraya sebelum April 2008 dilihat sebagai usaha menghalang Dato’ Seri Anwar tampil di Parlimen; apalagi dalam prosedur suruhanjaya diraja untuk menyiasat kes klip video Linggam juga, Dato’ Seri Anwar tak dipanggil bagi menjadi saksi terpenting.
Tetapi usaha menghalang Dato’ Seri Anwar pula mungkin sahaja bagi langkah jangka pendek sahaja, kerana keputusan pilihanraya sekarang tak semestinya menutup ruang penampilan Dato’ Seri Anwar. Misalnya, sekitar dekad 1980-an Ahli Parlimen MCA Ampang Jaya Dr Lim Ann Koon meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Dato’ Harun Idris bertanding atas tiket Bebas (ketika PSM46 dalam proses penubuhan). Sekalipun Dato’ Harun gagal memenangi kerusi berkenaan, tetapi mesej kepada BN amat jelas iaitu Ahli Parlimen BN sendiri bersedia memberi laluan. Tak hairanlah selepas April 2008, sekiranya berlaku insiden seperti pernah dilakukan oleh Dr Lim Ann Koon dengan memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar. Heh heh heh!
Mungkin juga benar penjelasan Dato’ Seri Abdullah, fakta Dato’ Seri Anwar bukan menjadi penentu apabila beliau mengadakan pilihanraya sebelum April 2008, kerana Dato’ Seri Anwar boleh bertanding dalam pilihanraya kecil selepas April 2008. Malah ketika Dato’ Seri Anwar tak dibenarkan memegang jawatan dalam gerakan politik bagi tempoh hingga April 2008, beliau terus terbabit menggerakkan agenda politik. Apalagi isu klip video membabitkan prosedur kehakiman hingga mendorong kerajaan terpaksa menubuhkan suruhanjaya diraja penyiasat. Semalam (12 Februari 2008) Dato’ Seri Anwar juga mengadakan perjumpaan dalam ‘Majlis Bersama Karyawan’ iaitu majlis baca puisi dengan kerjasama PRIMA.
Penyair-penyair PRIMA termasuk Yassinsalleh, Ruhanie HR, L. Mankadir Shamsi, Dr Harun Kidam turut terbabit mendeklamasikan sajak, di samping penyair jemputan khas Dinsman dan Pyanhabib sekalipun Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir, isterinya Datin Rozie dan Haji Mohd Sayuti Omar tak sempat mendeklamasi puisi, berikutan masa yang tak mengizinkan. Sekalipun majlis baca puisi itu dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikediaman Setiausaha Agungnya, Tan Sri Khalid Ibrahim di Bukit Damansara, tetapi ianya menepati permintaan PRIMA kerana tak disertai rakan-rakan PKR dalam Barisan Alternatif (BA). Malah karyawan dan aktivis bahasa seperti bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad, penulis lirik tersohor Hajjah Habsah Hassan dan aktres Hajjah Rubiah Suparman turut hadir menyerikan majlis.
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
TAK IKUT PROSEDUR ORGANISASI
BARISAN NASIONAL PERTUBUHAN HARAM?
Sejak diproklamir pada 1973 Barisan Nasional (BN) tak pernah mengikut prosedur organisasi, malah tak membabitkan sebarang ‘Perhimpunan Agung’ bagi memilih pucuk pimpinan mengikut sistem demokrasi. Justeru menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, BN boleh ditakrif pertubuhan haram yang tak sewajarnya dibenarkan bertanding dalam pilihanraya. Katanya, setiap organisasi diperlukan mengadakan kongres atau ‘Perhimpunan Agung’ bagi memilih pucuk pimpinan, melaporkan ‘penyata tahunan’ dan mengemukakan ‘penyata kewangan tahunan’. “Setakat ini BN tak pernah pun wujud sebagai organisasi, tetapi sekadar bergantung kepada parti-parti komponen sahaja dalam menentukan survivalnya,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Seterusnya jelas Dato’ Kamal Amir, sebagai sebuah pertubuhan pimpinan BN tak ditetapkan secara automatik, tetapi melalui pemilihan yang ditentukan menerusi delegasi dalam Perhimpunan Agung. Buat masa sekarang Presiden dan Timbalan Presiden UMNO secara automatik dilantik menjadi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN dengan ianya tak memerlukan ‘Perhimpunan Agung’, di samping memilih perwakilan bagi menyertai perhimpunan tersebut. Kalau BN sebuah pertubuhan halal ianya perlu mengikut prosedur sesebuah organisasi dengan membenarkan perwakilan memilih pimpinan sama ada dari UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, USNO mahupun parti-parti kecil yang turut menjadi komponen BN, menurut Dato’ Kamal Amir lagi.
TAKRIF YANG SERING DIKELIRUKAN
RAKYAT ADALAH KERAJAAN DEMOKRASI
Dalam sistem demokrasi ianya tak pernah dibahagikan kepada ‘ala barat’ mahupun ‘ala negara tertentu’, sebaliknya takrif dibuat mengikut kepentingan pihak yang sengaja mengambil kesempatan. Menurut Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asean, Sdr Sobri Ahmad sistem demokrasi ialah ‘kuasa rakyat’ iaitu pembentukan sesebuah kerajaan berdasarkan komponen ‘tata negara’. Sdr Sobri yang juga aktivis pertubuhan belia di Malaysia sejak 18 tahun lalu mengakui, takrif ‘kerajaan’ sering di kelirukan hinggakan BN dianggap kerajaan, sekalipun pada asasnya ialah sebuah pertubuhan politik dengan statusnya sama dengan PAS, PKR, DAP dan lain-lain. Parti politik yang memproleh majoriti di Parlimen diberi hak mentadbir kerajaan, sebaliknya kerajaan ialah komponen yang membentuk institusi Parlimen, katanya.
“Parlimen yang menggubal undang-undang adalah institusi kerajaan dengan setiap komponen termasuk ahli-ahli parti yang menerima sokongan majoriti, ahli-ahli yang terpilih sebagai Ahli Parlimen dan rakyat sebagai pemilih adalah kerajaan dalam sistem demokrasi,” beritahu Sdr Sobri yang juga penganalisis politik. Justeru katanya, parti-parti politik yang ditakrif sebagai pembangkang selama ini adalah sebahagian komponen kerajaan di Parlimen dalam sistem demokrasi yang mempuyai status sama iaitu selaku penggubal undang-undang. Berdasarkan sistem tersebut kata Sdr Sobri, Ahli Parlimen dari parti yang kurang majoriti juga diberi kemudahan sama dengan Ahli Parlimen yang menerima majoriti, kerana mereka mempunyai status yang sama dalam institusi kerajaan.
TAK AKAN JADI CALON PKR
ULANGI PENDIRIAN DI DEPAN ANWAR
Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen, Dato’ Ruhanie Ahmad mengulangi pendiriannya tak akan menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Parit Sulong, Johor dalam pilihanraya umum ke 12 ini. Dato’ Ruhanie yang juga bekas Ahli Parlimen UMNO di kawasan berkenaan berkata demikian dalam majlis baca puisi yang turut dihadiri Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, dikediaman Setiausaha Agung PKR Tan Sri Khalid Ibrahim di Bukit Damansara semalam (12 Februari 2008). Beliau yang lebih dikenali di kalangan rakan-rakan sebagai ‘Ron’ adalah penyair Melayu tersohor dengan nama penanya ‘Ruhanie HR’, sentiasa menyertai aktiviti baca puisi bersama PRIMA.
“Saya bekas Ahli Parlimen UMNO datang ke sini adalah memenuhi undangan bagi mendeklamasikan sajak, bukan untuk jadi calon PKR seperti spekulasi baru-baru ini,” beritahu Dato’ Ruhanie sebelum mendeklamasikan sajaknya ‘Mentera Sang Nila Utama’. Ketika menjadi Ahli Parlimen Parit Sulong sekitar dekad 1990-an, Dato’ Ruhanie memang dikenali kelantangan bersuara dalam isu kepentingan Melayu, malah sering bertikam lidah apabila setiap kali menegur pendirian Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang memainkan sentimen kaum. Sebelum dijemput mendeklamasikan sajak, Dato’ Ruhanie kelihatan berbual mesra dengan Dato’ Seri Anwar.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PAK LAH SEOLAH-OLAH CELARU
BUDAYA MELAYU PERLU BERHEMAH
Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap oleh masyarakat bukan Melayu sebagai berfikiran ‘celaru’ apabila semalam (12 Februari 2008) menyebut Parlimen tak akan dibubarkan esok hari (iaitu 13 Februari 2008). Sebaliknya apabila beliau membubaran Parlimen hari ini (13 Februari 2008), ianya dilihat tak berhemah sebagai ketua kerajaan kerana dilihat seolah-olah berdolak dalih, kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. “Sepatutnya Perdana Menteri perlu membawa pendekatan yang berhemah, kalaupun mahu merahsiakan tarikh pembubaran Parlimen bukan dengan menyebaut ‘tak akan bubar’,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga aktivis kebudayaan di samping Presiden Majlis Kaunseling Malaysia.
Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, beliau sudah membuat kaji selidik kepada 100 orang bukan Melayu di Pekan, Pahang hari ini (13 Februari 2008), majoriti berpendapat Dato’ Seri Abdullah seolah-olah dalam keadaan ‘celaru’ apabila kenyataannya semalam (12 Februari 2008) berbeza dengan hari ini (13 Februari 2008). Bagi masyarakat Melayu pula kata Dato’ Dr Mohd Mansor, Dato’ Seri Abdullah dilihat seolah-olah tak berhemah. Sebagai ketua kerajaan setiap kenyataan Dato’ Seri Abdullah perlulah serius, bukan kelihatan ‘bermain-main’, jelasnya. Berbeza dengan Tun Dr Mahathir Mohammad yang mampu menangkis soalan wartawan, Dato’ Seri Abdullah kelihatan mengecewakan, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PANTANG ANAK MELAYU DERHAKA
BENDAHARA TAK TAHU BUBAR PARLIMEN
BENDAHARA TAK TAHU BUBAR PARLIMEN
Sebermula akan Parlimen Malaysia itu sudah dibubarkan pada 13 Februari 2008 setelah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu menyerahkan semula kuasa pemilihan kepada rakyat jelata. Syahdan akan peraturan memilih segala pegawai-pegawai dan sida-sidah di zaman nenek moyang fakir dahulu, bukanlah diserahkan kepada rakyat jelata, adanya. Adapun ketika di zamna bahari pelantikan dibuat oleh pihak istana, kerana segalanya ditentukan oleh duli tuanku, apalagi rakyat jelata Melayu ketika itu sudah berteguh janji: ‘Pantang anak Melayu derhaka’! Maka percayalah fakir akan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah itu memang gerangannya berteguh janji dengan segala anak-anak buahnya seperti keperihalan rakyat jelata Melayu dahulukala.
Syahdan tersebutlah akan Bendahara Seri Wak Raja menghadaplah ia ke istana pada satu hari raya. Tetapi sebelum Bendahara Seri Wak Raja masuk ke balairong seri, Sultan Muzaffar pun berangkat ke dalam. Maka terfikirlah oleh Bendahara Seri Wak Raja, tentu Sultan Muzaffar itu murka kepadanya, kerana sebelum ia masuk ke balairong seri, sultan sudah berangkat masuk ke dalam istana. Disebabkan berasa malu Bendahara Seri Wak Raja yang berteguh janji ‘pantang anak Melayu derhaka’ segeralah ia balik ke rumah lalu meminum racun, kerana ketika itu belumlah lagi bendahara itu tahu mengenai peraturan mahu ‘membubarkan Parlimen’. Gamaknya! Setelah mati Bendahara Seri Wak Raja, akan anaknya Tun Perak itu digelar Paduka Raja dijadikan Penghulu di Kelang seperti disebut-sebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang diberitahu:
HIDUP BAHASA MELAYU!