
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
TAMU BERKUNJUNG 12.00 MALAM
LEBIH 30 TAHUN TAK BERTEMU RAKAN
Assalamualaikum,


Haji Abdul Rahman sekarang menetap di Melaka, dengan mengajar membaca al-Quran kepada kanak-kanak di samping memberikan usrah bersama kalangan dewasa. Ketika saya menemuinya di Jelebu pada 1976 sewaktu berkhidmat di hospital daerah di situ, beliau tak menolak apabila diajak ke Hulu Langat menemui Pak Sako, sekalipun sudah jam 8.00 malam. Ketika sampai di rumah Pak Sako hampir jam 10.00 malam, mereka berselera apabila dijamu dengan nenas yang baru di petik di kebun di belakang rumahnya. Bagi saya perkara biasa kalau Pak Sako menjamu nenas, atau makan nasi di dapur dengan ikan masin dan jeruk maman, tetapi Haji Abdul Rahman masih segan-segan apabila diajak ke dapur. Begitulah!
Memang Haji Abdul Rahman berpendidikan Inggeris, sebaliknya beliau prihatin dengan Bahasa Melayu, malah sering membantu saya membuat terjemahan dari bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu sekitar awal dekad 1970-an. Disebabkan beliau berkhidmat di jabatan pendaftaran negara di Seremban ketika itu, banyak urusan yang membabitkan permohonan kerakyatan saya meminta bantuan beliau. Bagaimanapun selepas berkahwin beliau berpindah ke Melaka, menyebabkan terputus komunikasi, apalagi ketika itu memang tiada kemudahan telefon selular. Hinggalah pada 1976 saya diberitahu beliau berkhidmat di hospital daerah Jelebu iaitu kampung saya sendiri.
Sekalipun beliau aktif dalam pimpinan belia di kampung sekitar awal dekad 1970-an, Haji Abdul Rahman sentiasa memberi sokongan kepada pembabitan saya dalam politik pembangkang. Malah naskhah bahasa Inggeris yang saya minta terjemahkan kepada Bahasa Melayu memang berkaitan dengan pembabitan saya dalam politik, kebetulan pula Haji Abdul Rahman amat berminat terhadap sastera Melayu. Beliau menunjukkan banyak naskhah cerpennya, tetapi yang saya ingat salah sebuah cerpen berjudul ‘Ke Mana Perginya Si Manjaku Sayang’ tersiar di Berita Minggu. Selepas bertukar ke Melaka, saya tak pernah lagi melihat karya-karya beliau menggunakan nama ‘Manhara M.N.’ disiarkan di mana-mana penerbitan.
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
DBP PERLU BERASA MALU
BUAT PILIHAN BERTANGGUNGJAWAB
BUAT PILIHAN BERTANGGUNGJAWAB


Minggu lalu, Ahli Parlimen Grik, Dato’ Dr Wan Hashim Wan Teh membidas DBP kerana gagal menangani isu Bahasa Melayu, di samping dianggap ‘mandul idea’ dalam memperkasa istilah-istilah, ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat. Sekalipun DBP mampu memberi pelbagai alasan seperti lazimnya, tetapi rakyat yang menjadi hakim lebih menyedari ‘kemandulan idea’, hingga pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan pembelajaran subjek metametik dan sains di sekolah-sekolah menggunakan Bahasa Inggeris. Menurut Dato’ Kamal Amir, pentadbiran Tun Dr Mahathir tak akan melakukan dasar berkenaan sekiranya DBP tak ‘mandul idea’ lebih awal lagi.
Kata Dato’ Kamal Amir lagi, pentadbiran DBP akan berterusan ‘mandul idea’ sekiranya berterusan menjadikan agensi berkenaan tempat ‘menyubur’ pengaruh, bukan mengutamakan ‘tanggungjawab’. Seterusnya beliau menambah, DBP pada dekad 1950-an dan 1960-an bergerak di atas landasan yang betul, hingga sastera Melayu turut mampu berkembang. Berdasarkan kajian para sarjana, penerbitan novel Melayu sekitar dekad 1950-an dan 1960-an amat menggalakkan berbanding dekad 1970-an dan 1980-an, ujar Dato’ Kamal Amir. “Kalau Dato’ Wan Hashim yang juga sarjana bahasa sudah tak sabar dengan peranan DBP, apalagi dengan mereka yang prihatin dengan perjuangan bahasa,” tegas Dato’ Kamal Amir selanjutnya.
BOSAN DENGAN JANJI KOSONG
PENDUDUK TUMBUK ADUN UMNO
PENDUDUK TUMBUK ADUN UMNO


Kata Haji Kamaruddin lagi, insiden yang berlaku ke atas ADUN terbabit adalah signal kepada pimpinan UMNO, kerusi berkenaan tak akan selamat dalam pilihanraya akan datang. Justeru Pengerusi Perhubungan Negeri yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hassan mahupun Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, perlu prihatin dengan kehendak rakyat yang menolak ADUN tersebut. Kalau pimpinan UMNO masih terus memberi kepercayaan kepada ADUN berkenaan, bukan sahaja membuka ruang kepada pihak lawan, malah penyokong-penyokong UMNO juga akan menolak ADUN tersebut. “Insiden ADUN itu ditumbuk bukan kerana ianya pertahankan hak rakyat, tetapi tak disukai oleh rakyat,” ujar Haji Kamaruddin.
INFO SASTERA & BUDAYA:
MELAKA SAMBUT ‘HARI PUISI’
SELEPAS ANUGERAH ‘DUNIA MELAYU’
SELEPAS ANUGERAH ‘DUNIA MELAYU’


Memang Melaka pernah menggerakkan ‘Hari Puisi’ di Tanjung Bidara, sekitar dekad 1970-an ketika Dato’ Ali Haji Ahmad menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Beliau juga turut bersama keluarganya menghadiri ‘Hari Puisi’, yang sebelumnya menampilkan Dr Atondra sebagai pelopornya. Bagaimanapun ‘Hari Puisi’ apabila ianya digerakkan bagi membolehkan kerabat penulis bersatu padu, terpaksa pula berhadapan persaingan dengan ‘Hari Sastera’ yang dipelopori Gapena. Formatnya sama sahaja iaitu pembentangan kertas kerja oleh para sarjana, jamuan makan oleh Exco dan Menteri Besar atau Ketua Menteri, seterusnya balik dengan pelbagai kenangan.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
‘PEMBOHONGAN JAHAT’ SUDAH DIKETAHUI
KENAPA PULA SUKAR SANGAT BERTINDAK?

Sebermula tahulah fakir akan demonstrasi jalanan minggu lalu (25 November 2007) berkaitan dengan ‘pembohongan jahat’ seperti yang disebut Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Berita Minggu, 2 Disember 2007). Apalagi ‘pembohongan jahat’ itu lengkaplah dengan bukti-buktinya iaitu ekstrimis Islam yang disokong kerajaan mahu menghapuskan etnik dengan merobohkan kuil di Kampung Jawa (Kelang, Selangor) pada jam 4 pagi, 15 November 2007. Tak pula disebut fasal merobohkan surau dan tempat ibadat orang Islam sebelum ini yang dikatakan tak mengikut peraturan yang mesti dipatuhi. Sama ada ianya penghapusan etnik atau berkaitan perbezaan pemikiran politik dan penghapusan idealisme. Entahlah!

Maka kata sahibul hikayat perkara yang dikatakan penghapusan etnik sudahlah berlaku pada masa nenek moyang fakir di zaman purbakala. Bermuafakatlah saudagar-saudagar Jawa di pelabuhan Melaka tak mahu mereka membantu raja Melaka sekiranya diserang Feringgi, disebabkan perbuatan Syahbandar Raja Mendeliar mengusir akan saudagar-saudagar Jawa. Adanya! Kabarnya Syahbandar Raja Mendaliar bermuafakat dengan Laksamana Khoja Hassan hanya memberi keutamaan kepada saudagar-saudagar dari Gujerat sahaja berniaga di Melaka. Maka diberitahulah kepada Bendahara Seri Maharaja berlakunya penghapusan etnik di pelabuhan Melaka, tetapi sukarlah mahu difikirkan etnik mana mahu menghapuskan etnik mana, kerana sukarnya mahu menyurat ‘Kitab Melayu’ yang dibaca oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!