Friday, March 7, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)







PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA



DARI LAMAN BLOG:


PELAJAR SEKOLAH JUGA MELUAT
KEMPEN KETERLALUAN MENERUSI TV

Assalamualaikum,


Pelajar sekolah juga meluat dengan kempen keterlaluan menerusi TV, hingga turut mencemuh BN, bukannya TV terbabit. Bukan sekadar pelajar yang baru menuntut dalam Tingkatan Tiga, malah beberapa orang remaja juga mencemik lantas meninggalkan TV begitu sahaja. Ironinya, remaja-remaja terbabit baru sahaja merungut disebabkan ketika membantu calon PAS tak diberi imbuhan dengan penat lelahnya, tetapi tiba-tiba pula meluat dengan kempen keterlaluan di TV. Maknanya, media yang dikuasai kerajaan turut menyumbang saham menambahkan kebencian dan keberangan rakyat kepada BN akibat TV digunakan seenak-enaknya untuk berkempen. Gambaran berkenaan semasa saya berkunjung ke rumah kawan di sebuah kampung di Rembau, Negeri Sembilan semalam iaitu 6 Mac 2008. Alahai!


Sebelumnya saya sudah memberitahu Sdr Rozmal Malakan, pengarah pilihanraya PAS bagi kawasan Parlimen Rembau untuk turun ke Rembau bersama pimpinan PRIMA termasuk Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dan Haji Mohd Sayuti Omar, tetapi disebabkan tak diberitahu sama ada nama kami dimasukkan atau tidak ke dalam permit polis, justeru kami tak ikut sama berceramah. Bagaimanapun Rembau bukanlah asing kepada saya, apalagi ramai kawan-kawan termasuk bekas aktivis belia Dato’ Laksamana Ismail Kadir, bekas aktivis politik Haji Mohd Shariff Harun, malah menantu saya juga dari Rembau. Begitulah! Pagi ini (7 Mac 2008) Dr Harun Kidam dari Melaka pula mengirim SMS bertanyakan senario politik di Kuala Lumpur. Heh heh heh!


Saya menerima laporan ceramah anjuran pakatan pembangkang di Pulau Pinang malam semalam (6 Mac 2008) dihadiri lebih 45,000 orang, sementara di Bangsar (dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai) berlaku kesesakan lalu lintas hingga lebih dua kilometer, berikutan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terbabit memberikan ceramah bagi calon PKR (anaknya sendiri) Nurul Izzah yang diberi jolokan ‘Puteri Reformasi’. (Secara fakta sempena sambutan ke atas ‘Puteri Reformasi’ ini jugalah UMNO melahirkan ‘Puteri UMNO’). Maknanya dua hari berturut-turut media ‘diarahkan’ membuat serangan peribadi terhadap Dato’ Seri Anwar, sambutan terhadap penampilan beliau seolah-olah gelombang 1999 berulang semula. Barangkali!



Sekalipun saya diminta berceramah oleh calon pilihanraya malam 6 Mac 2008, tetapi tak sempat hadir disebabkan memberi latihan kepada anak-anak muda yang berminat dengan ‘Nasrul Haq’. Sebaliknya hari mengundi esok hari 8 Mac 2008, sudah berbagai-bagai laporan dibuat termasuk amaran Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang secara langsung campur tangan dalam urusan pilihanraya di sebalik alasan ‘keselamatan’. Walhal beliau sendiri membuat kenyataan ‘lapan negeri dalam keadaan panas’, malah peniaga-peniaga kecil Cina secara terbuka memberi sokongan kepada PAS. Apalagi mereka tak segan silu membenarkan PAS menggantung poster di premis kedai, sebagai mesej jelas kepada BN dan kepimpinan negara.



-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


PELAJAR DIGERAKKAN KE TERENGGANU
DALAM USAHA REALISASI ‘PENGUNDI HANTU’


Bas yang membawa pelajar-pelajar bagi dijadikan ‘pengundi hantu’ mula bergerak masuk ke Terengganu hari ini (7 Mac 2008) bagi memastikan BN mampu bertahan ketika kebencian dan keberangan rakyat sukar dibendung. Menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, sekalipun peajar-pelajar terbabit menafikan mereka ‘pengundi hantu’, tetapi balik ke kampung untuk bercuti, sebaliknya terbukti mereka balik menerusi bas yang disewa khas. Dato’ Kamal Amir menyentuh insiden dua buah bas yang ditahan sekumpulan aktivis ketika memasuki Terengganu pagi ini (7 Mac 2008) seperti dilapor berita radio petang ini. “Bagaimanapun PRIMA berasa kesal apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan secara langsung masuk campur dalam urusan pilihanraya,” kata Dato’ Kamal Amir.

Menurut Dato’ Kamal Amir, beliau bersetuju dengan penjelasan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan PRIMA pada 15 Ogos 2007 lalu, apabila kerajaan menafikan sesuatu dakwaan terhadap kritikan tak bermakna ianya ‘tak berlaku’. Misalnya, kata Dato’ Kamal Amir ketika Tun Dr M dimalukan dengan penyingkiran sebagai wakil Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO dengan nilai RM200 memang ianyanya ‘dinafikan’, tetapi tak bermakna insiden tersebut ‘tak berlaku’. “Justeru apabila pelajar-pelajar yang diangkut secara konvoi dengan bas khas menafikan mereka bukan ‘pengundi hantu’, tak bermakna penafian itu benar-benar betul,” jelas Dato’ Kamal Amir selanjutnya.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir turut mempersoal pembohongan media yang dikuasai kerajaan mengenai kemunduran di negeri Kelantan. Katanya lagi, media arus perdana hari ini (7 Mac 2008) menyiarkan lawatan dua orang menteri Pusat ke kawasan di negeri yang dikuasi BN. Beliau turut mengirimkan gambar-gambar berkenaan menerusi emel kepada sekretariat PRIMA bagi penelitian semua pihak termasuk pimpinan kerajaan.


GAMBAR SATU:


Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohammad Yakcob menemui penduduk di Labuh Banting, Padang Menora, Butterworth. Selepas 50 tahun merdeka, di samping kerajaan negeri Pulau Pinang dikuasai oleh Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) sejak 1955, kemudiannya di bawah BN sejak 1974 apabila Parti Gerakan menyertai kerajaan campuran sejak 1971, rumah wanita di Padang Menora ini boleh dilihat lantainya yang reput. Gambar lawatan Tan Sri Nor Mohammad ini disiarkan oleh media arus perdana hari ini (7 Mac 2008). Sekalipun menteri itu menyebut mengenai Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sejak 2000, tetapi rumah wanita berkenaan tak diberi perhatian setelah lapan tahun, hinggalah menjelang pilihanraya esok 8 Mac 2008. (Peringatan: Butterworth tak terletak di negeri Kelantan).

GAMBAR DUA:


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Seri Azmi Khalid melawat ke rumah (atau banglo?) Puan Sabariah di Kampung Kolam, Pasang Besar di kawasan Parlimen Padang Besar disiarkan oleh akhbar arus perdana hari ini (7 Mac 2008) menjelang hari mebuang undi besok (8 Mac 2008). Beliau diiringi calon BN bagi awasan DUN Titi Tinggi Sdr Yip Sun Onn, dengan berkonvoi menaiki motorsikal (kerana jalannya yang sempit serta dikelilingi tanah belukar yang tak dimajukan). Rumah Puan Sabariah yang daif itu tak menggambarkan wilayah berkenaan pesat membangun, malah ianya adalah propaganda bohong BN terhadap kemunduran di Kelantan. (Peringatan: Kampung Kolam terletak di kawasan Parlimen Padang Besar di Perlis, bukannya di Kelantan).

GAMBAR TIGA:


Pertandingan badminton All England yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham bermula dua hari lalu (5 Mac 2008) seolah-olah memberi signal kepada pengundi-pengundi di Malaysia dengan papan tanda iklan bagaikan menonjolkan simbol PAS. Peminat-peminat sukan turut berasa bangga apabila simbol PAS seolah-olah kelihatan di arena berkenaan. Heh heh heh! Sekalipun ianya secara kebetulan sahaja, tetapi ianya memberi gambaran jelas di mana-mana sahaja mata dipalingkan pengundi tak lagi melihat lambang yang lain daripada ‘bulan mengambang penuh’ atau ‘mata’. Malah ketika menonton pertandingan badminton di luar negara pun lambang berkenaan terus menjadi pilihan penonton. Barangkali!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


FIKIRLAH TAK SEKALI TIBA
AKAL PUN TAK SEKALI DATANG!


Sebermula disebut orang banyak akan Perdana Menteri negeri Melayu bernama Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu menyerulah ia akan masyarakat Cina berfikir semasak-masak jika mahukan wakilnya dilantik menyertai jemaah menteri. Syahdan akan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditanya oleh para penyurat ketika melancarkan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan menaik taraf serta pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam (6 Mac 2008) iaitu dua hari sebelum membuang undi pada 8 Mac 2008. Maka diberitahu oleh nenek moyang fakir adalah ‘fikir itu tak sekali tiba, akal pun tak sekali datang’.

Syahdan sahabat-sahabat fakir juga menghubungilah dengan memberitahu akan Tan Koon Swan yang pernah dipenjara di Singapura pada 1980-an dahulu ialah wakil rakyat dari MCA juga, adanya. Adapun Dato’ Dr Chua Soi Lek itu kabarnya juga ianya wakil rakyat MCA yang dipilih, kemudian dilantik menjadi menteri jua. Maka fakir juga diberitahu akan Tan Sri Mohd Taib Muhammad, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Tan Sri Abu Hassan Omar juga semuanya bukanlah wakil rakyat di luar BN, adanya. Sebermula akan kata-kata memanda Perdana Menteri itu amat baiklah dituruti iaitu berfikirlah semasak-masaknya.

Arakian kata sahibul hikayat setelah berfikir semasak-masaknya, maka bersetujulah Tameng Sari menerima pelawaan Pateh Aria Gajah Mada untuk beradu kekuatan dengan pahlawan Melayu dari Melaka bernama Hang Tuah itu. Adapun Tameng Sari itu adalah pahlawan gagah lagi banyak tau dengan ilmu kebatinan, maka dialah yang dicari oleh Pateh Aria Gajah Mada. Apabila masuk ke tengah peseban, lalu dicabar oleh Tameng Sari akan pahlawan Melayu itu setelah menerima upah berketi-keti emas. Maka cabaran pahlawan Majapahit itu disambut oleh Hang Tuah dengan menyenseng lengan bajunya sambil memangkis, “Ceh, tiada Melayu membuang baka!”, seperti disurat dalam Kitab Melayu daripada penyurat:


HIDUP BAHASA MELAYU!