Friday, September 12, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

DAKWAH TERANCANG ULAMA BESAR
SEBARKAN ISLAM KE NEGERI MELAYU

Assalamualaikum,

Khutbah Jumaat di Masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak, Selangor hari ini (12 September 2008) disampaikan oleh Imam 2, Ustaz Ramli. Teks khutbah yang disampai oleh Ustaz Ramli berkaitan persepsi mengenai bulan Ramadan, sekalipun ianya ditakrif mulia tetapi semua bulan-bulan yang ditetapkan Allah mempunyai keistimewaannya. Apalagi 12 Rabiulawal terlalu istimewa dengan kelahiran (Mauludir Rasul) junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Muharram juga istimewa sebagai awal Hijrah, malah setiap tahun, bulan, minggu dan hari tetap suci dan mulia, asal sahaja kita mampu memulia dan memartabatkannya. Begitulah! Justeru kita tak wajar membezakan bulan, mahupun fizikal sendiri hingga kadangkala tangan kiri dianggap kurang mulia dibandingkan tangan kanan kepada mereka yang ‘tak mahu memikirkan’.


Merujuk kepada pandangan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah dalam laman blog ini semalam (11 September 2008) berkaitan penyibaran agama Islam di rantau Melayu, kita terikut-ikut dengan mitos dan legenda berdasarkan pertuturan lisan. Selepas lebih 500 tahun Islam berkembang di negeri Melayu, kita sekadar merasakan ianya disibarkan menerusi batu bersurat (di Terengganu) atau mimpi Raja Kecil Besar (Parameswara) di Melaka bertemu Rasullullah, malah dirujuk kepada Sheikh Abdullah mengembara menerusi ‘Merong Mahawangsa’ yang melihat iblis kencing dalam air minuman (berisi arak) sultan. Kita seolah-olah menolak syiar Islam disibarkan di negeri Melayu dengan pembabitan ulama-ulama besar.

Justeru apabila Islam diperlekeh, kita menyalahkan orang lain, seolah-olah jabatan agama tak melakukan sebarang kesilapan. Satu ketika Majlis Agama Islam Negeri Selangor mengakui kakitangan jabatannya ramai berkelulusan SPM, apabila bertindak kasar terhadap pasangan remaja di pasaraya atau di tempat awam. Dalam insiden tersebut jabatan agama terbabit sekadar mengakui ‘sebagai insan memang mempunyai kelemahan dan kekuatan’, tetapi tak pernah memperbaiki kelemahan tersebut. Hingga sekarang jabatan agama (seolah-olah) enggan bekerjasama dengan ahli akademik, persatuan sejarah mahupun penyelidik budaya bagi memastikan agama Islam tersibar di negeri Melayu adalah menerusi dakwah terancang ulama-ulama besar, bukan melalui mimpi raja-raja, mitos batu bersurat atau legenda pertuturan lisan.

Di Jawa misalnya, mereka berbangga dengan peranan ‘Wali Songo’ dalam menyibar Islam, di samping makam ulama-ulama besar dipulihara sebagai lambang memartabat ajaran Islam. Di Tukri juga makam Salman al-Farisi dipulihara, begitu juga di Afrika Selatan, Sheikh Yusuff diktiraf sebagai pendakwah teragung. Bagaimana kita mahu memartabatkan Islam, sekiranya percaya penyibaran ajaran berkenaan menerusi mimpi Raja Kecil Besar diludah mulutnya oleh Rasullullah? Setidak-tidaknya jabatan agama sendiri mampu membuktikan Islam disibarkan ke negeri Melayu menerusi dakwah terancang ulama-ulama besar, termasuk mewarisi legasi para sahabat. Hingga sekarang kita tak menemui makam Sheikh Abdul Aziz yang kononnya ditemui solat di tepi pantai pada period pra-Islam di Melaka.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


PENAHANAN ISA RAJA PETRA

SINAMBUNG WARTAWAN BERANI


(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala NS di Kuala Lumpur pada 12 September 2008 mengenai isu penahanan pengendali laman web Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA)


PRIMA memandang berat isu penahanan Raja Petra Kamaruddin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini (12 September 2008), di samping mengutuk keras Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Abdul Hamid Tan Sri Syed Jaafar Albar bertindak menyalahgunakan akta berkenaan berdasarkan prejudis. Dato' Seri Syed Hamid seharusnya memahami peranan ayahnya Almarhum Tan Sri Syed Jaafar Albar yang menyokong ISA bagi membanteras militan komunis dan anasir subversif. Raja Petra bukanlah pro komunisme atau anasir subversif, tetapi penulis laman web yang mengamalkan 'menentang perhambaan minda manusia kepada manusia'. Isu agama yang dibangkitkan oleh Raja Petra harus dilihat daripada pelbagai pendekatan, malah bukanlah berbahaya seperti insiden lelaki dan wanita Melayu yang memproklamir diri mereka sebagai 'rasul palsu'.


Malah Dr Kassim Ahmad yang pernah mempertikaikan hadis sekitar dekad 1980-an lebih berbahaya daripada isu yang dibangkitkan oleh Raja Petra. Bekas Perdana Mentdri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah meminta al-Quran ditafsirkan semula, malah memang lebih mengelirukan, tetapi beliau tak dikenakan ISA. Justeru PRIMA mendesak Kementerian Dalam Negeri membawa Raja Petra ke muka pengadilan bagi memastikan sama ada beliau bertindak di luar perlembagaan atau sebaliknya. Penulisan yang digerakkan oleh pengendali laman web dan laman blog adalah kesinambungan kerjaya Abdul Rahim Kajai, Pak Sako, Ahmad Boestamam, Tan Sri A Samad Ismail, A Samad Ahmad, Ibrahim Haji Yaakob, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Tok Kenali dan lain-lain yang sukar dilestarikan menerusi media arus perdana.
PEMIMPIN TERTINGGI SERTAI PKR
SPEKULASI YANG GUGAT WIBAWA UMNO

Spekulasi menyebut salah seorang pemimpin tertinggi UMNO akan menyertai PKR menjelang 16 September 2008, iaitu tarikh yang disebut-sebut oleh Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim pembentukan ‘kerajaan baru’. Sekalipun isu ‘kerajaan baru’ diperlekeh oleh pimpinan UMNO seperti keperihalan sebelum PRU12 apabila mereka menyifatkan Dato’ Seri Anwar berangan-angan kosong memenangi pilihanraya, tetapi mereka dikejutkan apabila lima negeri jatuh kepada pakatan pembangkang. Pemimpin tertinggi UMNO yang disebut-sebut akan menyertai PKR dikatakan berstatus ‘Naib Presiden’, sebaliknya dalam UMNO sekadar mempunyai tiga sahaja yang dipilih dan dua lagi secara automatik memegang jawatan atas kapisiti ketua sayapnya.
Berdasarkan lanskap politik sekarang berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin lantang mengkritik pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, penganalisis politik mungkin memfokus kepadanya selaku salah seorang Naib Presiden UMNO. Di samping Tan Sri Muhyiddin, mereka yang berstatus Naib Presiden UMNO ialah Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, sementara Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pula sudah dilucutkan jawatannya berikutan digantung tiga tahun. Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein juga memegang jawatan Naib Presiden atas kapisiti Ketua Pergerakan Pemuda, begitu juga Tan Sri Rafidah Aziz selaku Ketua Pegerakan Wanita. Memang kemelut menjelang tarikh 16 September 2008 sedang menguji kewibawaan Dato’ Seri Abdullah dalam menghadapi senario politik sekarang.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(6)

2
MENGEJAR BAYANG:

KOCAKAN AIR DALAM AKUARIUM
HATI EMAK SEMAKIN MENGOMBAK

KETIKA emak mengerling ke arah abah, tiba-tiba opah pula berasa pening kepala. Dia melihat seolah-olah rumah bergegar. Tetapi beberapa minit sahaja opah kembali pulih, sekalipun perutnya memulas hingga tekak juga memual bagaikan mahu termuntah. Tak bertangguh pula emak memicit tengkuk opah kerana bimbang diganggu pitam.

Bagaimanapun atuk tak bimbang apa-apa sekiranya opah pitam. Sudah kerapkali dia mengalami pening kepala terutama apabila diserang ‘athma’. Sekiranya opah sukar mahu bernafas diganggu ‘athma’, atuk sudah sediakan ‘aerosol inhalation’, ‘Butahale’, ‘salbutamol BP’. Setidak-tidaknya pernafasan opah lega semula selepas menyedut oksigen berkenaan.

“Mak, air dalam akuarium berkocak kuat!” terjerit kecil Kak Wa ketika melihat kocakan kuat air di akuarium macam dirempuh.

“Kamu tu dah lulus diploma pun, macam budak kecil,” gerutu emak terkejut apabila Kak Wa tiba-tiba sahaja terjerit panik.

“Tak apa, kita di rumah bolehlah dianggap selamat,” tutur abah mengeluh pendek. “Kenapa pula Hafiz tu berani ke laut, memang budak ni nakal betul,” ujar abah luahkan rasa geram yang mendongkol.

“Nak buat macam mana ni?” desak emak lantas menampar bahu abah. “Takkan nak biarkan Hafiz jauh ke tengah laut,” kata emak bertambah tak keruan.

“Din tu yang besar akal!” ujar Alang Seman mendengus perlahan. Kesal benar dia dengan perbuatan anaknya mengajak kawan-kawan turun ke laut ketika amaran sudah dihebahkan mengenai ombak besar akan berlaku. “Aku dah cakap jangan dibawa bot tu, bekalan minyak petrol aku tak beli lagi,” jelasnya beritahu mengenai enjin bot tak cukup bekalan petrol.

Tetapi dia berasa bersalah juga tak sorokkan enjin bot setelah ditanggalkan. Ketika terdengar Abang Din beri jaminan mampu kendalikan bot di tengah laut, dia tak berusaha mencegah anaknya. Alang Seman menjangka Abang Din sengaja temberangkan kawan-kawan. Apalagi kenang Hafiz tak pernah turun ke laut macam anak nelayan di bagan berkenaan.

Sudah tentu Hafiz mudah terpengaruh dengan Abang Din!

Sebaliknya bukan Abang Din sahaja yang mengaku tak bimbang meranduk ombak. Usin Sodok menepuk-nepuk dada mengaku dirinya Hang Kasturi apabila dicabar ikut sama turun ke laut. Ditambah lagi dengan Mail Kengkang beritahu fasal petua hilangkan mabuk ombak macam Hang Lekir mendayung sampan. Kalau Usin Sodok atau Mail Kengkang tunjukkan hebat, apa pula kurangnya dengan Sahak Salai?

Memang penduduk-penduduk di Bagan Sungai Belukang tahu mengenai keberanian Sahak Salai menyelam lelaki tenggelam lemas di muara bagan. Tak disangka-sangka lelaki sedang menjala udang di muara diseret tali jala ke dasar. Menggelepar dia mahu lepaskan diri disebabkan tali jala terikat kuat di pergelangan tangan.

Tak bertangguh Sahak Salai terjun dari sampan mahu membantu. Tetapi tubuh kecilnya tak mampu menarik tangan lelaki berkenaan. Ketika orang ramai berkumpul di tebing bagan, lelaki berkenaan sudah tenggelam di dalam selut. Sekalipun gagal untuk selamatkan lelaki lebih dewasa daripadanya, namun dia tetap bangga dipanggil Hang Lekiu oleh kawan-kawan.

“Kalau kamu semua tak buktikan, siapa nak tahu kamu berani ke laut tak ditemani orang dewasa!” ujar saya sengaja mengejek.

“Besok kita turun ke laut macam Hang Tuah lima bersahabat,” sahut Usin Sodok tergaru-garu ketiak diganggu agas kebun kelapa.

(bersambung…)

PUISI

Mendayu Si Luncai

Diperingatkan kamu semua
wahai kaum wanita:
Jangan pandang Si Luncai terjun
dia tak pakai heh heh heh
- spendar dah dicuri dek ikanYEW
pakai mandi kat Batu Putih
jauh di mata
ku tahu
dekat di hati
ku tahu!

Mana lagikan ku harap janjimu
mana lagikan ku pinta
apa lagikan ku harap darimu
jangan harap kau datang lagi
padamu jangan harap
ku kan kembali denganmu.

(Kesiannya Si Luncai mendayu
sayu sebelum terjun tanpa labu
yang dah hilang & spendar
yang dah dicuri ikanYEW!)

-Penyair Melayu
Kuala Lumpur
12 September 2008.


Luncai Versi Baru

He he he, kah kah kah
bangau oh bangau
kenapa jadi gitu
- macam mana tak jadi gitu
sebab kita gitu.

Bangau oh bangau
kenapa kita gitu
macam mana kita tak gitu
sebab takde batu.

Bangau oh bangau
kenapa takde batu
macam mana nak ada batu
Luncai dah hilang labu.

Luncai oh Luncai
ke mana hilangnya labu
UMNO dah curi
beri pada Khairy.

Luncai oh Luncai
macam mana engkau nak terjun
nanti aku terjun
bogel togel aje!

Luncai oh Luncai
kenapa tak pakai spendar
- spendar aku dah hilang
ikanYEW curi.

IkanYEW oh ikanYEW
kenapa curi spendar
aku nak pakai mandi
kat Batu Putih.

Heh he he, kah kah kah
What a wonderful world!

-Penyair Melayu,
Kuala Lumpur,
12 September 2008.


INFO SUARA PROLITAR

PKR SABAH LAPOR PADA BPR
RM50 RIBU SEORANG KE TAIWAN.

The Sabah Parti Keadilan Rakyat (PKR) lodge report with the Anti-Corruption Agency (ACA) today over allegation that each of the Barisan Nasional (BN) members of Parliament who joined the study trip to Taiwan had received RM50,000 (Bernama – 20/9/08) – (SMS; 12 September 2008; 13:43:01 – YS, Kajang, Selangor)

KALAU TUN DR M MASUK UMNO
KENA TANYA MT TERLEBIH DULU.

Apa nak jadi dengan UMNO ni? Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) nak masuk (semula) UMNO kena tanya ‘empty’ (MT), Ezam (Mohd Ezam Mohd Noor) nak masuk UMNO pandai-pandai si dia aje sendiri. Luncai oh Luncai kenapa hilang spender? What a wonderful world? – (SMS; 12 September 2008; 13:18:42 – Dr Seri Intan, Kuala Lumpur).

DALAM TEMPOH 8 BULAN
BSKL MERUDUM TERUK SANGAT

BSKL down by 21.63 to 1041.07, lowest in 8 months. RM at its lowest too. “… Bank Negara has reported a capital flight of 1.1 billion US dollar in August alone. Farish A Noor, Read: http://mt.m2day.org/2008/content/view/12539/84. Luncai oh Luncai. - (SMS; 12 September 2008; 12:58:58 – Mat Londeh, Kuala Lumpur)

SERIUS FIKIR PERKEMBANGAN BARU
BOLEH DITAFSIR UNDI TAK PERCAYA


Dato’ Seri Najib berkata, ‘Sebarang perubahan dalam pelan peralihan kuasa antara Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri seharusnya ditentukan melalui mesyuarat Bahagian UMNO’ (Utusan Malaysia – 12/09/08) – Apa pun Abdullah perlu memikirkan perkembangan terbaru ini secara serius, kerana apa yang berlaku mutakhir ini boleh ditafsirkan sebagai undi tidak percaya kepada kepimpinannya – Ruhanie Ahmad. Baca: http://kuda-kepang.blogspot.com/. - (SMS: 12 September 2008; 16:02:07 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).


PAK LAH TERKEJUT ATAU
BUAT-BUAT TERKEJUT?

Oleh : Asalbayu

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan terkejut dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Singapura yang mempersoalkan tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara seperti yang diputuskannya akan diadakan pada 2010.Muhyiddin dilaporkan menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama selain mendakwa pelan peralihan yang telah diumumkan dua bulan lalu itu kini telah `tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.


Sebenarnya rakyat sudah tidak hairan dengan terkejut Abdullah itu kerana dia tidakpun terkejut dengan keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 di mana Barisan Nasional (BN) kecundang di empat buah negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta tewas di semua kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan. Kegagalannya menawan Kelantan juga tidak mengejutkannya sekalipun bukan kecil jumlah wang yang dicurahkan untuk tujuan tersebut dan perbelanjaan sehingga menjangkau jumlah RM 218 juta bagi melaksanakan PRU 12 itu juga tidak menjadi kudis kepada BN dan dia dikatakan bersedia mencabarnya di mahkamah.


Abdullah masih mendabik dada mengatakan BN masih utuh biarpun ribut sedang melanda dengan begitu teruk di kalangan parti-parti komponen serta ‘batang tubuh’ BN sendiri buat ‘lembu kenyang’ dengan pelbagai tekanan termasuk oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.Manakala rakyat pula lebih terkejut dengan kenaikan harga minyak pada awal Mei 2008 yang sekali gus mempengaruhi harga barang, sedangkan sebelum berlangsung PRU12, kerajaan yang diterajui oleh BN memberi jaminan harga minyak tidak akan dinaikkan.Sebelumnya, Abdullah pernah berdusta bila ditanya oleh media berhubung dengan pembubaran parlimen bahkan sehingga ke saat pengumuman parlimen dia masih menafikannya.


Semua pihak jangan rasa hairan kerana BERDUSTA adalah salah satu RUKUN ISLAM HADHARI di samping melakukan perkara-perkara mungkar yang lain dan bakal diperlihatkan oleh Imam Abdullah Ahmad Badawi.Kenaikan harga minyak bukan sahaja menyebabkan rakyat di semua lapisan ‘menderita’, malah pemilik kenderaan berpusu-pusu mengambil giliran bagi mengisi tangki di semua stesen pam kerana selepas tengah malam 4.5.2008 (maaf jika tarikh itu kurang tepat) harga petrol dan deisel akan meningkat. Keadaan sedemikian berlangsung sehingga menyebabkan kalangan pemilik kenderaan yang beragama Islam tidak dapat menunaikan solat fardhu Maghrib pada hari tersebut. Itu juga sebahagian daripada ajaran ISLAM HADHARI: MERINGAN-RINGANKAN SOLAT!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MENTERI BERKIAS-KIAS
LETAK JAWATAN DAN PERALIHAN KUASA

Arakian terkejutlah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tak disangka-sangka Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tak bersetuju dengannya. Alkisah tersebutlah ceritera Orangkaya Menteri Tan Sri Muhyiddin itu, mahukan peralihan kuasa disegerakan. Syahdan akan Orangkaya Menteri itu jugalah yang menyebut bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohammad akan kembali semula menyertai harakah Melayu (UMNO). Maka menjelang 16 Ramadan 1429, semakin berserabut, berkelabut dan bersemabut akan pembesar-pembesar negeri Melayu itu. Syahdan akan Orangkaya Menteri Tan Sri Muhyiddin sudah lama ia mahu Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu meletakkan jawatan, tetapi secara berkias-kias jua dengan menyebut peralihan kuasa, adanya.

Syahdan maka kedengaran kepada Sultan Muhammad Shah, raja Pahang, bahawa Telanai Terengganu menghadap ke Melaka tiada memberitahu baginda. Maka Sultan Muhammad pun terlalu murka. Maka baginda menitahkan Seri Akar Raja ke Terengganu membunuh Telanai. Telah Seri Akar Raja datang ke Terengganu, maka disuruhnya panggil Telanai. Arakian tiada Telanai mahu datang, katanya, ‘Tiada adat hulubalang dipanggil samanya hulubalang.’ Maka oleh Seri Akar Raja disuruhnya datangi Telanai, disuruhnya bunuh. Maka Telanai pun matilah. Maka Seri Akar Raja kembalilah ke Pahang. Syahdan maka oleh Sultan Muhammad, Terengganu itu diserahkan baginda pada Seri Akar Raja. Maka kedengaranlah ke Melaka perbuatan Seri Akar Raja membunuh Telanai, maka secara berkias-kias disuruh Laksamana Hang Tuah membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:













HIDUP BAHASA MELAYU!