Wednesday, April 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

TERGAMAM SELEPAS SOLAT SUBUH
TIBA-TIBA TERIMA SMS SYED HUSSIN
Assalamualaikum,

Selepas solat subuh seperti kebiasaan, saya berbaring semula hingga kadangkala terlelap juga hingga santak jam 7.30 pagi. Hari ini (23 April 2008), memang saya sudah bercadang membawa anak saya Ikram Hafiz membuat ‘pemeriksaan kesihatan’ (medical check-up) bagi persiapan memasuki Universiti Industrial Selangor (Unisel) 3 Mei 2008 ini. Apabila SMS berbunyi saya boleh meneka rakan-rakan yang mengirimnya sama ada penyair Yassinsalleh, Sdr Zakaria Bidin, Sdr L Mankadir Shamsi atau Haji Sayuti Omar. Kalau Dato’ Kamal Amir, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Bakar Ninggal atau Sdr Zainal Abidin Rasidin mereka lebih selesa menelefond daripada mengirim SMS. Kadangkala Dr Haroun Haji Kidam dari Melaka, Dr Leo A.W.S. dari Kelantan atau Ustaz Azmi dari Negeri Sembilan juga akan mengirimkan SMS juga. Begitulah!


Rupa-rupanya awal pagi ini (23 April 2008) Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Hussin Ali dan Haji Sayuti Omar serentak mengirimkan SMS beritahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah aktivis masyarakat dan penulis Rustam A Sani jam 3.00 pagi akibat serangan sakit jantung. Rustam bekas pensyarah di UKM bukan sahaja pengandali laman blog, malah terbabit dalam kesinambungan perjuangan ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam. Beliau juga dikenali pejuang hak asasi manusia, malah ikut sama dalam gerakan awal isu keadilan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada September 1998. Ketika GERAK digerakkan diibu pejabat PAS oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor, memang Rustam tak ikut sama.

Memang semasa GERAK digerakkan selepas rumah Dato’ Seri Anwar digempur FRU malam 20 September 1998, saya tak melihat Rustam. Mungkin sahaja ketika itu PRM diwakili oleh Dr Syed Hussin Ali dan Dr Sanusi Osman, sementara saya pula bersama Allahyarham Abang Mat (Sdr Ahmad Noor) dan Dr Tan Seng Giaw mewakili DAP, di samping Dato’ Fadzil Noor, Subky Latiff dan Haji Mahfuz Omar pula mewakili PAS. Kalangan akademik yang saya kenali pula ialah Dr Aziz Bari dan Shaari Sungip, sementara dari NGO pula Dato’ Syed Jamal, Tian Chua dan Anuar Tahir. Sekalipun Rustam tak bersama di peringkat awal, tetapi beliau terbabit dalam gerakan seterusnya sehinggalah Parti Keadilan Nasional ditubuhkan di bawah pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Bagaimanapun saya mengenali Rustam melalui ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) yang lebih rapat dengan saya. Ketika menggerakkan akhbar ‘Mingguan Bumi’ bersama Hussein Yaacob, Abu Bakar Ninggal, Yusuff Jalil dan Saroji Mokhtar memang Pak Boes ikut sama terbabit. Setiap petang kami akan berjumpa, sekalipun Pak Boes menghadapi masalah penglihatan berikutan pembedahan mata. Sebagai aktivis pula Rustam bukanlah mempunyai karektor yang sama seperti Pak Boes, sebaliknya beliau mirip seperti Dr Syed Hussin yang serius (malah jarang berjenaka). Kalau terserempak di pasaraya Taman Seri Gombak pun, kami sekadar bertanya khabar sahaja. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:




SALAHKAN PENGERUSI PERHUBUNGAN
MAT TAIB PERLU SALAHKAN ABDULLAH



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan sikap Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib meletakkan beban kesalahan kekalahan BN pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu di Selangor ke bahu orang lain sebagai budaya pimpinan ‘korup idea’. Katanya Tan Sri Muhammad tak mampu mengkritik diri sendiri (self ciriticism), hingga menjadi ‘prasit politik’ yang bergantung kepada ihsan pimpinan bagi survival perjuangan yang dangkal. Mengulas keserabutan pemikiran Ketua Penerangan UMNO itu yang juga Menteri Pebangunan Luar Bandar menyalahkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menyumbang kepada kekalahan di Selangor, beliau memberitahu Tan Sri Muhammad bukan sahaja korup idea, malah dangkal politik dan terikat dengan perhambaan minda.

“Kalau di Selangor salah Dr Khir, bagaimana dengan Pulau Pinang, Perak dan Kedah adakah kesalahan dibeban ke bahu Pengerusi Perhubungan UMNO,” kata Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO. Seterusnya Dato’ Kamal Amir mencabar Tan Sri Muhammad menyalahkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyebabkan negeri berkenaan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. “Tan Sri Muhammad harus membebaskan dirinya daripada perhambaan minda bagi mencerminkan keterampilan sebagai seorang Ketua Penerangan UMNO yang setanding dengan Tan Sri Jaafar Albar,” jelas Dato’ Kamal Amir.




INFO SASTERA & BUDAYA:

PIMPINAN DBP MAHU DITUKAR
PAK LAH BUAT KEPUTUSAN MUTLAK



Pelbagai pihak mahukan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr Firdaus Abdullah yang tamat tempoh kontraknya tahun ini, tak disambung semula. Dalam pertemuan dengan aktivis budaya di PWTC hari ini (23 April 2008) dikatakan seorang ahli Parlimen UMNO menelefon ke pejabat kementerian pelajaran mendesak supaya jawatan berkenaan diberikan kepada tokoh akdemik yang lebih muda, di samping berkarisma serta terbabit dalam gerakan bahasa di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun dilaporkan pihak pejabat kementerian memberitahu, memang pandangan tersebut sudah dalam pertimbangan kementerian berdasarkan kebobrokan pimpinan DBP setakat ini. Sebaliknya keputusan mutlak membuat pelantikan di pejabat Perdana Menteri bukan di kementerian terbabit.


Justeru menurut sumber, ahli Parlimen terbabit terkejut apabila kementerian pelajaran tak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP. Baru-baru ini SN Dato’ Dr A Samad Said dilaporkan enggan menggunakan status yang dianugerah selaku ‘Sasterawan Negara’, berikutan kekecewaan terhadap peranan DBP dalam pembangunan sastera di negara ini. Malah ketika ‘Pesta Buku Antarabangsa’ baru-baru ini sekali lagi Dato’ A Samad Said melahirkan rasa kecewa apabila suratnya kepada Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr Firdaus berkaitan isu mahu menerbitkan smeula karya-karyanya tak diberi layan. “Pembangunan sastera dan bahasa adalah berasaskan kepada hubungan baik sasterawan dan DBP, kalau sebaliknya ialah kegagalan pimpinan agensi kerajaan itu,” kata sumber berkenaan.




INFO SUARA PROLITAR:



JANGAN LAGI RABUN MATA
FIKIR-FIKIRLAH SAMPAI 10 KALI

Bila Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu melakukan peralihan kuasa? Kalau calon penggantinya 2 X 5 dengan Pak Lah samalah macam melepaskan batuk di tangga. Tempoh pemilihan ialah sehingga Disember 2008. Sekiranya ahli-ahli UMNO tak mahu pisang berbuah dua kali, calon yang dikira terbaik ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Janganlah rabun mata lagi. Memang pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO memerlukan 30% sokongan. Tapi kalau budaya RM200 di Kubang Pasu diteruskan, ahli-ahli UMNO kena fikirlah 10 kali, bukan lagi dua kali. (SMS; 23 April 2008 – Rimau Karak, Pahang).


Oleh:Fuad Rahim

BETULKAH BLOGGER PENYEBAR FITNAH?


Blogger atau penulis blog boleh sahaja dianggap tukang fitnah atau penyebar kepalsuan tetapi bukan semua bersikap sedemikian.Jika blogger atau penulis blog dari kalangan wartawan, mereka pastinya ‘terikat’ dengan etika kewartawanan, walaupun menulis di blog atau laman web, seolah-olah seseorang itu tidak dipantau sesiapa. Disebabkan laman web yang menentang kerajaan dilihat lebih ramai dikunjungi, tetapi bukanlah bermakna laman-laman ini terlalu berpengaruh – kecuali pengendalinya mengakui sendiri kononnya laman mereka ‘cukup menyengat’. Pengunjung (baca: pembaca) dari kalangan mereka yang boleh mengundi tetapi tidak kurang juga mereka ini belum layak mengundi.

Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12), banyak pihak membuat analisis kononnya blogger dan laman web adalah salah satu faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kecundang.Seorang penulis politik yang juga Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus berpendapat, terlalu kecil peratusan mereka yang terpengaruh dengan tulisan dalam blog dan laman web yang menyebabkan pengundi beralih arah. “Saya sendiri seorang yang ketagih melayari laman-laman web, tetapi saya mempunyai akal untuk berfikir. Yang mana betul, saya percaya dan yang mana saya curiga, saya akan siasat sendiri. Mustahil saya boleh diperbodohkan kerana saya tidak membaca hanya senaskhah akhbar sehari dan rujukan saya bukan setakat akhbar tempatan. Saya membaca laman web dan saya juga membaca majalah dan akhbar lain termasuk terbitan antarabangsa.” Tegasnya.



Seorang lagi penulis, Zakaria Bidin ketika mengulas mengenai laman blog dan blogger pula berpandangan; “Masing-masing mempunyai hak menulis tetapi hak itu bukanlah kebebasan tanpa batasan. Saya tidak mempunyai banyak masa untuk melayari laman-laman web, tetapi bukan bermakna saya anti laman web,” Kata Zakaria lagi, “Pembaca perlu menimbang secara matang setiap maklumat yang dibaca. Jika boleh, siasat siapa penulisnya. Ambil tahu latar belakang penulis dan keperibadiannya. Jika tidak pasti, berbincanglah dengan kawan-kawan terhadap satu-satu isu yang dibaca,”.


Penulis Wan Yusof Wan Ngah pula berkata; “cara seseorang menulis sudah boleh diberikan ‘markah’ sama ada tulisan itu palsu, fitnah atau benar,” Wan Yusof yang banyak menulis di akhbar-akhbar tabloid berpendapat, seseorang blogger atau penulis laman web tidak terlepas dari dosa dan pahala. “Dia kena bertanggungjawab dengan apa yang ditulisnnya. Jika di dunia dia terlepas dia tidak mungkin terlepas di akhirat,” hujahnya.Wan Yusof berpendapat, penulis yang sengaja menulis fitnah adalah seseorang yang sakit jiwa dan mentalnya tidak stabil. “Untuk apa dia lakukan fitnah terhadap seseorang jika bukan kerana jiwanya sedang sakit?” soalnya lagi.


“Bagi saya, seseorang yang sengaja memfitnah sebenarnya menunjukkan dirinya yang tidak baik dan keperibadiannya yang songsang.” Tambahnya. Sebenarnya laman-laman web dan blog ini bermula sekitar 10 tahun yang lalu. Kalau kerana politik, ia lahir betul-betul ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan dari Umno. Ketika itu, laman-laman web dan blog muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, tiada siapa yang menghiraukannya. Ada yang menyindir kalau timbul cerita ‘aku dapat maklumat ni dari laman…..’


Hari ini, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Menteri Penerangan yang baru, Datuk Ahmad Sabbery Chik berjumpa dan berkenal-kenalan dengan blogger, semua blogger dan pengendali laman-laman web terasa mereka penting.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
PERIHAL PERKARA BUDAYA
ORANG MUDA PERLU MEMAHAMI

Kata sahibul hikayat akan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Shafie Apdal mahukan anak-anak muda lebih memahami budaya dan adat resam dua benua di negeri-negeri atas angin dan di bawah angin. Adapun disuratkan orang banyak hari ini, 16 Rabiulakhir 1429 (yakni 23 April 2008 kepada anak cucu fakir) akan orangkaya menteri itu berkata semasa perjumpaan dalam muafakat ketiga orangkaya-orangkaya menteri negeri atas angin dan bawah angin (ASEM CMM). Berkatalah akan orangkaya menteri itu, “Perkembangan di seluruh dunia sekarang menunjukkan masyarakat antarabangsa berhadapan pelabagai isu kebudayaan, yang mana salah faham terhadap budaya orang lain masih jelas berlaku dari semasa ke semasa.” Adapun yang diminta memahami budaya itu orang muda sahaja, kononnya orang tua faham sangatlah mereka.

Syahdan datanglah sebuah kapal Feringgi dari Goa. Maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya, dan bandarnya pun terlalu ramai. Maka segala orang pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya heran melihat dia. Arakian kata orang Melaka, “Ia ini Benggali Putih’. Sebermula akan kapitan Feringgi itu naik menghadap Bendahara Seri Maharaja. Maka oleh bendahara di angkat anak kapitan itu, dipersalin. Syahdan kapitan itu persembahkan pada bendahara rantai emas berpermata seutas dimasukkan ke leher bendahara dengan melangkau kepala. Maka sekali anak-anak buah hendak gusar akan kapitan itu, tiada diberi oleh bendahara, katanya, “Jangan dituruti, kerana ia orang tiada tahu adat Melayu,” seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU.

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:


BUAT KERJA DI SALAH ANGGAP
TAK BUAT KERJA AKAN DICEMUH


Assalamualaikum,



Dilema dalam pimpinan UMNO sejak dulu lagi ialah ‘buat kerja akan disalah anggap seolah-olah mahu cepat mencapai kedudukan; sekiranya tak buat kerja pula dipersalahkan malah dicemuh’. Begitulah! Bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris pernah memberitahu saya mengenai dilema yang dihadapinya ketika menjadi timbalan menteri, apabila beliau sering mendapat liputan media setiap kali menjalankan tugas kementerian. Justeru beliau dikatakan mahu cepat meningkat naik, hingga Tun Abdul Razak ingatkan beliau, “Tak apalah Mat, saya pindahkan you bawah Manickavasagam, dia tu ok!” Mujurlah ‘taukeh’ memahami situasi, bagaimana kalau ‘taukeh’ wal hasil balik hasal?


Hari ini (22 April 2008) dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang turut mendedahkan dilema berkenaan, apabila beliau terlalu menumpukan kepada ‘kerja’. Tak hairanlah ketika menjadi Menteri Besar Selangor, beliau dikritik oleh pimpinan dalam UMNO sendiri apabila berusaha mahu memastikan kerajaan negeri yang dipimpinnya mencapai kejayaan cemerlang. Beliau turut mengakui di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, usaha beliau disenangi disebabkan Tun Dr M ‘turun padang’. Misalnya, menurut Dato’ Seri Dr Khir beliau pernah bertelagah dengan Tun Dr M berkaitan pemasaran industri kampung di pasaraya besar.


Tak disangkanya Tun Dr M ‘turun padang’ ke pasaraya besar berkenaan, di samping mengakui industri kampung yang disebut beliau (Dato’ Seri Dr Khir) dipasarkan di situ mampu mengaut keuntungan hingga RM5,000 sebulan. Apabila industri kampung (termasuk kerepek ubi dan sebagainya) mahu dieksport ianya dibantah oleh pasaraya besar, kerana boleh mengurangkan input mereka hingga 50% dengan tak menghiraukan kepentingan rakyat jelata di peringkat akar umbi. Dialog PRIMA bersama Dato’ Seri Dr Mohd Khir turut disertai Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Suhaimi Ibrahim, Sdr Aspan Alias, Sdr Sallehuddin, Sdr Zakir, Sdr Sobri Ahmad dan rakan-rakan pengendali laman web dan laman blog.



Pandangan yang berbeza berlaku juga misalnya, apabila Sdr Zakir menolak pendapat Dato’ Suhaimi yang mengakui UMNO masih ‘kuat’ dan diterima oleh orang Melayu. Kata Zakir kemerosotan prestasi UMNO di seluruh negara pada pilihanraya ke 12, bukan lagi undi protes sebaliknya manifestasi orang Melayu terhadap pimpinan UMNO. Justeru Sdr Aspan bersetuju UMNO perlu dipimpin oleh golongan muda yang dinamik seperti Dato’ Dr Mohd Khir. Malah Sdr Sallehuddin juga mengakui sekiranya UMNO enggan menerima perubahan, ianya sesuai dipamerkan di muzium sahaja. Apalagi Dato’ Kamal Amir turut menolak konsep ‘ketuanan Melayu’ yang dibangga-banggakan UMNO, kalau ketuanan berkenaan tak ‘berdaulat’. Heh heh heh!

-Pak Dharma




INFO HAK ASASI MANUSIA:

PEMUDA PERLU MENJADI BENTENG
PRIHATIN MEMBAWA ‘SUARA RAKYAT’


Bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo berikrar menjadikan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai benteng kepada orang Melayu di peringkat akar umbi, di samping prihatin membawa ‘suara rakyat’ apabila menawarkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan tersebut pada pemilihan UMNO Disember 2008 nanti. Ketika berdialog dengan pegendali laman web dan laman blog hari ini (22 April 2008), Dato’ Seri Dr Mohd Khir berkata, persepsi salah selama ini ialah apabila pihak Pemuda tak dapat membezakan ‘kerajaan’ dengan ‘UMNO’, menyebabkan isu yang dibangkitkan tak prihatin dengan ‘suara rakyat’. “Apabila Pemuda tak membawa ‘suara rakyat’, pihak lawan menggunakan kesempatan tersebut, menyebabkan mereka mendapat manfaat,” beritahu Dato’ Dr Mohd Khir.



Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengakui pimpinan Pemuda UMNO di bawah Allahyarham Dato’ Harun Idris adalah period kegemilangan yang sukar dicapai selepas dekad 1970-an. Menurut beliau, pimpinan Pemuda di bawah Dato’ Harun bukan sahaja dikagumi di dalam negeri, malah dihormati di peringkat antarabangsa hingga mampu menarik pelabur-pelabur luar menjana pembangunan ekonomi. Katanya, Dato’ Harun dengan ‘pressure group’ mampu melonjak martabat Pergerakan Pemuda UMNO, justeru usaha menjatuhkannya digerakkan oleh kalangan dalam UMNO sendiri yang melihatnya boleh menjejaskan kewibawaan mereka. “Pemuda UMNO perlu kembali kepada akar umbi iaitu menjadi benteng orang Melayu dan prihatin dengan suara rakyat,” beritahu Dato’ Seri Dr Mohd Toyo selanjutnya.




PILIHANRAYA MACAM PEPERIKSAAN
UMNO MASIH LULUS DENGAN ‘GRED A’


Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Dato’ Suhaimi Ibrahim menolak tanggapan ramai mengenai kemerosotan prestasi UMNO pada pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 lalu. Katanya, anjakan pengundi Melayu sekadar 20 peratus sahaja di seluruh negara, justeru pencapaian UMNO bolehlah dianggap cemerlang. Beliau yang juga bekas ADUN Benta di Pahang memberitahu dalam dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang petang ini (22 April 2008). Menurut Dato’ Suhaimi, pilihanraya bolehlah dianggap seperti juga menghadapi peperiksaan, apabila calon terbabit sekadar gagal satu atau dua subjek tetapi keputusan keseluruhannya masih lagi ‘gred A’.


Bagaimanapun pandangan Dato’ Suhaimi dipertikai oleh pengndali laman blog Sdr Zakir, yang meminta aktivis UMNO mengakui kekalahan drastik pada pilihanra lalu. Menurut Sdr Zakir, kalau kemerosotan undi Melayu di Johor dijadikan ukuran, UMNO sebenarnya dalam keadaan ‘paling lemah’ dalam sejarah pilihanraya. Apalagi katanya, kekalahan UMNO bukan disebabkan undi protes, sebaliknya pemikiran pengundi-pengundi muda membuat anjakan paradigma berdasarkan keterbukaan mereka. “Dari 16 juta pengundi di Malaysia, ahli UMNO sekadar 3.2 juta sahaja, di samping pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab ialah 11 juta, kalau undi protes pun sekitar 3.2 juta ahli UMNO sahaja,” kata Sdr Zakir.


KETUANAN MELAYU MESTI DITOLAK
KONSEP USANG YANG SUDAH LAPUK


Ketuanan Melayu yang menjadi kebanggaan UMNO perlu ditolak secara total, kerana ianya konsep usang yang sudah lapuk, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Bagi memulihkan semula krisis keyakinan pimpinan UMNO sekarang sudah tiba masanya konsep ketuanan Melayu itu tak perlu disebut-sebut lagi, katanya dalam dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO menjelaskan, adalah memalukan ‘ketuanan Melayu’ sekiranya tak berdaulat dan tak bermartabat. “Apa yang penting sekarang ialah kedaulatan Melayu sama ada agama, politik, kebudayaan, ekonomi dan negara,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Saranan Dato’ Kamal Amir dipersetujui oleh pengendali laman blog Sdr Sallehuddin yang menganggap ‘ketuanan Melayu’ sekadar gimmik politik sekiranya tak disertakan dengan memartabatkan kedudukan orang Melayu. Malah aktivis masyarakat Sdr Aspan juga turut merasakan ‘ketuanan Melayu’ menjadikan orang Melayu lalai, di samping terikut-ikut dengan pandangan pihak lawan terhadap pentingnya ‘Dasar Ekonomi Baru’. Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir juga menganggap ‘ketuanan Melayu’ lebih baik ditukar kepada ‘ketahanan Melayu’ yang lebih relevan, terutama bersaing dengan orang lain sama ada dalam bidang yang baik mahupun yang tidak baik.



INFO SASTERA & BUDAYA:


SAJAK

Deklamasi Puisi Perdana


Ku cari damai abadi
ku dapat sumpah sampai mati
aku ingat nak jadikan
menantu menteri
depa titik aku dengan keji
tak apa –
aku masih lagi seorang perdana!


Ku cari Imam al-Ghazali
ku terjumpa ka ka ka ri…
Anwar al-Pakati
ku konspirasi
biarpun UMNO dah nak mati
asal puas di hati
alahai hebatnya Islam Hadhari.

YASSINSALLEH
Kajang, Selangor
21 April 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

DULU BERANI KRITIK KETUA
SEKARANG SEMUA IKUT LEMBIK!


Even the founder member of UMNO, Dato’ Onn Jaafar had been push out when it comes to his questionable suggestion. Bapa Kemerdekaan, Tunku (Abdul Rahman Putra) had been urged to step down when 13 May Tragedy hits the nation in 1969. Bapa pemodenan Dr M (Tun Dr Mahathir Mohamad) had been fought in 1987 battle which leads to S46 (Parti Melayu Semangat 46) separation & ‘pengharaman UMNO’. So, previously/once upon a time, UMNO members are amazingly brave in challenging their leader! So, I wonder where all ‘the balls’ gone when the weakest leader of weakest era of UMNO in our history run the show in 2008! Want to wait to see UMNO becomes irrelevant? Or maybe they have all lost their balls at the golf courses! Then, let it be… (SMS; 22 April 2008 – Orang Lama, Hulu Langat, Selangor).


TERKILAT IKAN DI AIR
SUDAH TAHU JANTAN BETINA


Apa hal? Hari ini (22 April 2008) diumumkan pembatalan jembatan Pulau Pinang dengan alasan masalah reka bentuk, kenaikan harga dan tanah yang tak sesuai. Kenapa dulu tak fikir fasal reka bentuk, harga dan tanah tu? Terkilat ikan di air, dah tau jantan betina! Jadi, tak perlulah beri banyak dalih. Baru nak dera rakyat Pulau Pinang, Dato’ Lee Kah Choon dan protes. Beri surat tunjuk sebab pun tak guna, sebab Parti Gerakan pun ‘tak hidup tak mati’! (SMS; 22 April 2008 – Mat Buntal, Kepala Batas, Pulau Pinang).



BIAR HARGA BERAS NAIK
SUDAH BIASA KURANG MAKAN


Biarlah harga beras naik. Saya memang sudah biasa makan sekali sehari sahaja. Kalau harga beras melambung naik, saya boleh kurangkan makan lagi. Dua kali sehari sahaja makan lempeng. Setidak-tidaknya boleh elakkan penyakit kencing manis, darah tinggi atau lemah jantung. Taklah tergolek di bilik air, sebelum diusung ke hospital. Malaysia yang aman makmur, dengan kenaikan harga barang. Lagi rakyat benci dan meluat kerana harga barang naik sebelum pilihanraya; lagi BN dan pimpinan Dato’ Abdullah Ahmad Badawi tambahkan benci dan meluat rakyat. (SMS; 22 April 2008 – Ali Serabut, Cheras, Kuala Lumpur).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MEROMBAK PERATURAN KEHAKIMAN
DILAKSANA SECARA TERUS, TELUS DAN TURUS


Syahdan tersebutlah dalam negeri Melayu itu memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi beriya-iya mahu merombak peraturan kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) seperti disuratkan orang banyak hari ini 15 Rabiulakhir 1429 (atau bagi anak cucu fakir 22 April 2008). Berkatalah orang banyak peraturan kehakiman yang diwar-warkan itu tak memberi makna, sekiranya tak dilaksanakan secara telus, tulus dan turus. Begitulah juga perihal BPR bukanlah peraturannya yang salah, tetapi apabila ianya dilaksanakan mengikut seperti disebut oleh ‘Tok Nikah Kahwin’ dalam cerita yang dijadikan filem oleh Tan Sri P. Ramlee iaitu ‘Musang Berjanggut’ katanya, “Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin.

Arakian apabila anak-anak orang besar di Melaka tak mencukupi perbelanjaan ketika menyambut perayaan ‘hari raya’, mereka pun menemui Tun Hassan Temenggung kerana mengadukan hal mereka. Maka oleh Tun Hassan Temenggung disuruhnya rentang tali di segenap kampung bagi meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong dalam negeri Melaka. Syahdan anak-anak orang besar itu pun merentang tali mahu meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong hingga terkenalah pada kedai-kedai dan rumah-rumah. Maka pemilik-pemilik kedai dan rumah-rumah itu pun menghulurkan peremasan kepada anak-anak orang besar yang merentang tali itu supaya tak terkena kediaman mereka. Terlalulah amat gembira anak-anak orang besar itu serta memuji-muji Tun Hassan Temenggung seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!