Thursday, March 5, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(nenentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


HIMPUNAN 100 RIBU
DI HADAPAN ISTANA NEGARA
7 MAC 2009, JAM 2.00 PETANG
Bersatu Mansuhkan PPSMI
(Pembelajaran dan Pengajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris)

Berkumpul sebelum berarak ke Istana Negara
o Di depan Pasaraya Sogo
o Di Pasar Seni
o Di Masjid Negara

“KITA DI PANGGIL MELAYU KERANA BAHASA MELAYU. KITA JADI MELAYU
KERANA BERBAHASA MELAYU. KITA BERKETURUNAN MELAYU KERANA BAHASA MELAYU. JUSTERU KENAPA BIARKAN PPSMI MEMBUNUH BAHASA MELAYU”

UMNO hidup kerana Bahasa Melayu!
PAS bertahan kerana Bahasa Melayu!
PKR berjaya kerana Bahasa Melayu!


Nah! Sertai Perhimpunan 100 Ribu
Di hadapan Istana Negara 7 Mac 2009!

DARI LAMAN BLOG

FORMULA NAK SELELSAI KRISIS:
RAMPAS KUASA LEBIH MEMALUKAN

Assalamualaikum,

Hampir sebulan krisis perlembagaan di Perak sejak ‘rampasan kuasa’ pada 6 Februari 2009 lalu, masih belum mampu diselesaikan. Segala pakar undang-undang, SPRM dan apa sahaja jentera keraja Pusat sudah dikerah membantu, tetapi Ketua Perhubungan UMNO Perak Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak terus terkial-kial seperti keperihalan kutu belahak George W Bush dimalukan dengan lontaran kasut di Iraq. Bush juga menjangka selepas menceroboh Iraq, segalanya akan berakhir dalam tempoh beberapa hari sahaja dengan kekuatan militan dan kelengkapan senjata tercanggih. Najib juga tak mampu mencari formula untuk memudahkan segalanya berakhir di Perak.

Sebaliknya pimpinan UMNO sekadar membakar ‘meriam buluh’, dalam masa Menteri Pasola juga tak boleh memanggil Sidang DUN. Tak pernah pula dalam amalan sebelum ini istana yang memanggil sidang DUN, malah pada period kolonial British pun ianya diperlembagaankan BA (British Advisor) itu menjadi ‘penasihat’, tetapi ‘nasihat’nya adalah ‘perintah’ yang perlu diterima oleh istana. DUN Perak tak akan bersidang, kerana Speaker baru perlu dilantik melalui siding DUN. V. Sivakumar masih kekal Speaker, justeru beliau yang berhak memanggil sidang Dewan.

Menteri Pasola mendakwa sidang DUN di bawah pokok untuk memalukan Negara; tetapi tak mengakui kesilapan rampasan kuasa yang digerakkan pada 6 Februari 2009 lebih memalukan Negara kepada masyarakat antarabangsa. Sultan Negara ‘Pasir Dua Butir’ juga bersidang di bawah pokok, hingga kemunculan Laksamana Do Re Mi dengan barang-barang hikmat tikar pandan terbang, teropong dan bangsi. Menteri Pasola yang bersembunyi di dalam gua kekebalan, merasakan benteng pertahanannya tak ditembusi. Jangan sampai dipantunkan orang: Pulau Pangkor jauh ke tengah/Gunung Kerbau tinggi mengawan/Silap catur UMNO termengah/Salah pantau hilang kawan!

SPRM mengaku Sivakumar boleh disiasat, tetapi Dato’ Ahmad Said Hamdan juga perlu disiasat selepas laporan polis dibuat terhadapnya. Kes membelasah aktivis UMNO oleh SPRM, ketika diminta ke Temerloh juga pelrukan siasatan rapi. Maknanya, UMNO juga mengakui SPRM sendiri macam ketam yang jalan mengereng, tetapi cuba nak mengajar orang lain berjalan betul. Krisis perlembagaan di Perak, perlu diselesaikan secara perlembagaan juga. Kolonial British juga menyelesaikan ikut perlembagaan apabila menceroboh negeri ini dengan membelakangkan undang-undang. Justeru Najib juga perlu belajar daripada sejarah, bukan terburu-buru mahu ‘mencipta sejarah’. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KELEMAHAN PIMPINAN MELAYU:
MENGUNDANG BANYAK MALA PETAKA

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Ilmuan dan Pengkritik Sastera Melayu)

Banyak perkara yang terjadi akhir-akhir ini membuktikan betapa lemahnya kepemimpinan Melayu dalam UMNO terutamanya. Sejak dulu hingga kini UMNO terlalu bergantung kepada raja-raja Melayu. Setiap kali UMNO menghadapi masalah, raja-raja Melayu dibebankan dengan masalah itu untuk diselesaikan bagi pihak UMNO. Contoh terbaik ialah rampasan kuasa di Perak yang hanya boleh berlaku dengan mengheret raja dalam membuat keputusan politik, padahal keputusan politik itu telah dibuat oleh rakyat dalam pilihan raya Mac 2008.

Oleh kerana keputusan pilihan raya itu tidak memihak kepada UMNO, maka institusi raja digunakan untuk mencapai matlamat UMNO yang kalah dalam pilihan raya. UMNO membuat pertimbangan ini berasaskan tiga perkara. Pertama, UMNO tidak dapat menerima kekalahan kerana baginya kuasa adalah hak kepunyaannya yang menjadi warisan. Oleh itu (sebab kedua) kuasa mesti dipertahankan dalam cara dan bentuk apa sekalipun. Selama ini yang paling berkesan ialah dengan menggunakan kedudukan raja-raja Melayu yang memang bersimpati dengan UMNO (mungkin kerana terhutang budi setelah diselamatkan daripada malapetaka Malayan Union).
Tetapi kebergantungan kepada raja-raja ini melemahkan pemikiran orang Melayu, yang cepat menjadi lesu dan buntu apabila menghadapi masalah yang mendesak. Mereka tidak kreatif dan tidak berani menentang arus untuk menyerlahkan peribadi mereka sebagai bangsa yang merdeka. Keterikatan kepada institusi raja membuat orang Melayu cepat hilang sabar, oleh itu cenderung bertindak secara amuk-amukan. Tentu saja cara ini tidak sesuai lagi dengan keadaan sekarang. Ternyata sekali pemimpin UMNO ketinggalan jauh dalam seni mempertahankan prinsip secara logik dan hujah.

Serbuan pemuda UMNO di Parlimen untuk “mengajar dan memberi amaran” kepada YB Karpal Singh memperlihatkan betapa naifnya kepemimpinan Melayu, malah para pemimpin yang senior pun sangat naïf ketika diminta mengulas tentang perkara ini, dengan berkata puncanya harus disusur, dan punca itu ialah YB Karpal Singh yang kata mereka memulakan semua ini terlebih dahulu. Apa yang terjadi hanyalah reaksi spontan yang perlu difahami. Kenaifan ini cukup jelas memperlihatkan betapa lembeknya cara berfikir para pemimpin UMNO.

Kelemahan UMNO paling menonjol (sebab ketiga) ialah kegagalannya melahirkan pemimpin yang berwibawa dari segi ilmu dan peribadi. Adalah aneh dalam abad 21 ini UMNO paling lemah, kucar-kacir dan gagal melahirkan pemimpin yang tidak boleh dipersoalkan integritinya, bergelumang dengan rasuah. UMNO tidak mempunyai pelapis yang kuat dan berwibawa. Hal ini terjadi kerana UMNO selama menjadi pemerintah hanya melahirkan seorang negarawan dalam tokoh Tunku Abdul Rahman Putra. Tun Razak tidak mencapai taraf Tunku, apatah lagi ketua-ketua UMNO selepas Tun Razak. Mereka adalah hanya ketua parti, bukan negarawan. UMNO mula menjadi lemah dan rosak di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamed.

Keistimewaan Dr. Mahathir ialah keupayaannya mencantas sesiapa juga yang bakal menjadi pemimpin UMNO yang kuat. Oleh sebab itu, sebagai pemimpin Dr. Mahathir Mohamed sudah gagal. Sikap dan tumpuannya kepada pembangunan kebendaan melumpuhkan UMNO yang tidak lagi mempunyai inspirasi dan tokoh untuk diteladani. Beliau tidak menghormati bangsa Melayu yang dianggapnya bangsa haprak dan tidak menghormati aspirasi bangsa Melayu dalam perjuangan bahasa. Beliau mengkhianati perjuangan bahasa dengan kembali menjadi agen kolonial dengan mengutamakan bahasa Inggeris, kononnya melalui bahasa Inggeris itulah orang Melayu akan maju.

Kepercayaan yang aneh ini diterima oleh UMNO dan dari saat itulah UMNO mula dikutuk oleh para pejuang orang Melayu dan pejuang bahasa Melayu. Barangkali dosa paling besar UMNO ialah sikap permusuhannya kepada orang Melayu di Pantai Timur kerana tidak memilih UMNO dalam pilihan raya. Orang Melayu di Pantai Timur dibiarkan dan ditindas. Anak-anak mudanya yang keluar dari Kelantan dikutuk kerana kononnya mengemis di tempat lain. Padahal Malaysia adalah untuk semua dan tidak wajar anak-anak muda Kelantan yang mencari kerja di luar Kelantan dikutuk begitu hebat.

Kerakusan kepada kuasa dan kekayaan membuat UMNO sanggup mengutuk bangsa sendiri, suatu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh sejarah. Kutukan bangsa Melayu terhadap UMNO sepatutnya tidak terjadi jika sekiranya UMNO berlaku adil kepada Melayu yang tidak memilihnya. Sekarang segala-galanya sudah terlajak, maka kita dengar di sana sini orang Melayu mengutuk bahawa UMNO tidak relevan lagi dalam abad 21 ini. (1 Mac 2009)

INFO SASTERA & BUDAYA

PELAJAR ALIRAN SAINS DIPILIH:
WAKIL SEKOLAH BERTANDING PANTUN
Pelajar aliran sains Elmi Fadzimah Abdul Muluk, 16 (pelajar Tingkatan 4) dipilih mengetuai pemantun Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest, Taman Seri Gombak menyertai pertandingan ‘Berbalas Pantun’ zon daerah Gombak di Selangor semalam (4 Mac 2009). Beliau dipilih bersama Zaid Mahmud (pelajar Tingkatan 3) dan Filzah Lina (juga pelajar Tingkat 3) yang berlangsung di Sekolah Menengah Sungai Kertas, Batu Caves. Sekalipun gagal memasuki pusingan akhir, tetapi pemantun Sekolah Menengah Hillcrest itu berjaya melepasi pusingan ketiga dalam pertandingan mengikut format ‘kalah mati’.

Bagaimanapun kalangan ibu bapa merasakan peminggiran subjek sastera Melayu mendorong pihak sekolah terbabit memilih pelajar aliran sains, di samping tak menampilkan pelajar daripada Tingkatan 5. Pihak ibu bapa juga difahamkan, kekurangan pelajar aliran sastera menyulitkan pihak sekolah bagi menyertai aktiviti kebudayaan dan kesusasteraan yang digerakkan oleh jabatan pelajaran. Justeru pelbagai pihak mendesak jabatan dan kementerian pelajaran tak meminggirkan subjek sastera Melayu, ketika pelajar-pelajar digalak mengutamakan kelas sains. Elmi Fadzimah bukan pemantun atau pendeklamator sajak, tetapi adalah anak sasterawan Dharmala N.S. (Pak Dharma).

INFO SUARA PROLITAR

MENCARI NEGERAWAN MALAYSIA:
DALAM KETANDUSAN KEPEMIMPINAN MELAYU

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Pesara PTD & Bekas Pegawai Tinggi Kementerian)
Selepas Dr. Burhanuddin Helmi, negarawan Melayu yang ulung itu, selesai disiksa oleh pemerintah negara merdeka yang diperjuangkan sepanjang hayatnya, Malaysia melahirkan ramai pemimpin politik yang pada hakikatnya hanya layak menjadi ketua parti, tetapi tidak layak menjadi seorang negarawan. Kecuali mungkin Tunku Abdul Rahman Putra, seorang putera raja berjiwa rakyat (menurut pandangan umum) yang sanggup menjadi pemimpin UMNO paling miskin, tanpa kemewahan dan kekayaan ketua-ketua UMNO selepasnya. Usaha untuk menobatkan Dr. Mahathir Mohamed sebagai negarawan hanya mengundang cemuhan dan ejekan, kerana rekodnya sebagai ketua parti dan Perdana Menteri terlalu kaya dengan persoalan-persoalan aneh dan pelik yang diketahui umum, tetapi tidak dibicarakan secara terbuka pada waktu hayatnya kerana orang-orang UMNO tidak mahu kelihatan terlalu miskin dengan pemimpin besar selepas Tunku Abdul Rahman Putra.

Negarawan Melayu pertama, yang terbesar pernah dilahirkan oleh bangsa Melayu, tidak lain daripada Tun Perak, Bendahara Melaka yang cerdik, pintar dan tegas itu, yang sanggup menentang perintah raja Melaka jika perintah itu merugikan bangsa dan rakyat (seperti dalam kes pembunuhan Hang Tuah). Tetapi Tun Perak tidak melahirkan cucu-cicit sehebat beliau, kerana selepas beliau, jawatan Bendahara itu dipegang (lebih tepat dirampas) oleh penjawat keturunan Tamil, anak cucu Mani Purindam. Rampasan itu terjadi setelah raja-raja Melayu bertukar menjadi raja-raja keturunan Tamil selepas Tun Ali berjaya merebut kuasa dan meletakkan seorang nelayan, anak saudaranya, menjadi raja Melaka dengan bantuan seorang saudagar dari India, seperti diceritakan dalam Hikayat Sejarah Melayu. Warisan Tamil dan Hindu begitu kuat dalam sistem politik Melayu sehingga ke zaman moden.
Dalam awal tahun 1980-an Anwar Ibrahim muncul sebagai seorang pemimpin muda yang mempunyai harapan besar dalam UMNO; tetapi Dr. Mahathir Mohamed membawa Anwar ke dalam UMNO untuk mengurangkan pengaruh PAS sambil memperkuat kedudukannya dalam UMNO, jadi kehadiran Anwar dalam UMNO tidak pernah diterima oleh ahli-ahli UMNO sebagai satu tindakan yang menguntungkan UMNO. Bagi Anwar pengalamannya dalam UMNO adalah sangat berguna untuk masa depan politiknya. Melalui UMNO dia melihat dan mengalami sikap politik bercorak munafik yang rasuah, yang menjadikan penipuan sebagai budaya politik yang sangat dikagumi sekiranya penipuan itu tidak terbongkar.

Pengalaman pahit dan getir yang dilaluinya difitnah dan disumbat ke dalam penjara hasil tindakan Dr. Mahathir Mohamed telah menyerlahkan ciri-ciri kenegarawan beliau yang jelas dalam PRU 12 (Mac 2008). Sama ada beliau berjaya dinobatkan sebagai Perdana Menteri atau tidak tidak lagi penting, kerana perubahan politik yang dibawanya cukup untuk melonjakkan ketokohannya melampaui yang dapat dicapai oleh Dr. Mahathir Mohamed. Dr. Burhanuddin tidak menjadi Perdana Menteri, tetapi beliau akan dikenang dalam sejarah sebagai negarawan besar Malaysia kerana tindakan poilitiknya dan pemikirannya tentang politik.

Sekiranya Anwar Ibrahim meninggalkan warisan politik dalam keluarganya, maka tokoh itu ialah anak perempuan beliau Nurul Izzah yang sejak remaja menjadi pembelanya hingga ke luar negara menemui ketua-ketua negara memberitahu tentang kezaliman yang dikenakan ke atas bapanya. Jika nanti Malaysia akan menerima seorang Perdana Menteri wanita pertama, maka orang itu ialah Nurul Izzah. Tetapi semua ini tidak akan terjadi jika orang Melayu tidak memandang jauh ke depan dan berani membuat pilihan bijak serta waras ketika memilih pemimpin. Jika tidak, mereka akan menjadi sesak sebak seperti yang berlaku dalam UMNO sekarang, yang akan menghadapi pemilihan pemimpin di kalangan “tokoh2” yang begitu meragukan kemampuan intelektualnya dan keupayaan menjadi pemimpin yang bersih.

Di kalangan mereka ini muncul seorang tokoh muda yang paling kontroversial, yang amat dibenci oleh Dr. Mahathir Mohamed. Tokoh itu ialah Khairy Jamaluddin. Dr. Mahathir bencikan tokoh muda ini kerana dia tahu tokoh ini akan menjadi seorang pemimpin besar jauh mengatasi beliau. Khairy menjadi tokoh yang dipersoalkan oleh sebahagian ketua-ketua UMNO kerana keupayaannya memperlihatkan bakat kepemimpinan yang hebat. Beliau fasih berbahasa Inggeris (dimestikan menurut UMNO jika mahu jadi tokoh global) dan baik pula bahasa Melayunya.

Di atas segala-galanya ialah kemampuan intelektualnya yang tinggi, ketangkasan berhujah dan kesediaan menghadapi lawan politik di pentas debat. Adakah Khairy akan muncul sebagai seorang negarawan dalam masa 20-30 tahun nanti? Kemungkinan itu ada, sekiranya beliau bersedia untuk belajar menjadi lebih cerdik dan lebih rendah diri. Beliau mempunyai keupayaan intelektual yang mencukupi untuk belajar bahasa Arab dan Mandarin. Beliau perlu tahu bahasa Arab dan Mandarin kerana kedua-duanya adalah bahasa yang wajib diketahui oleh para pemimpin Melayu abad 21.

Selain itu, Khairy harus belajar mengenal Islam dengan lebih mendalam, sirah dan sejarah Islam, politik dan ekonomi Islam. Jika beliau sanggup menjadi pelajar yang rajin dalam perkara-perkara itu, Malaysia akan beruntung mempunyai seorang anak muda yang pintar dan cerdik yang diharapkan akan menjadi seorang yang warak dan tawaduk sebagai seorang pemimpin. Perhatikan watak Tunku Abdul Rahman. Perhatikan watak Dr. Burhanuddin. Di situ anda akan dapat melihat ciri-ciri seorang negarawan.

Khairy boleh mencapainya jika dia mahu. Tetapi jika orang Melayu membunuhnya lebih awal, seperti pernah dilakukan kepada budak cerdik ketika todak menyerang Singapura, maka kita kehilangan seorang calon negarawan yang boleh kita didik bersama dengan jujur dan berani. Jujur memberinya pelajaran. Berani menegurnya jika beliau tersasar. Dan dia juga perlu jujur untuk belajar dan berani menerima teguran. (1/3/2009)

‘TUN ALI’ PUNCA KUCAR KACIR:
RAMAI SANGAT MELAYU ABDUL WAHAB

Tak sangka di Perak jadi begitu perkauman, ketika istana Perak sendiri mengingatkan betapa jahatanya perkauman. Negara kita jadi kucar kacir kerana terlalu ramai ‘Tun Ali’. Inilah huraian saya. Elakkan terlalu ramai ‘Tun Ali’, dan jauhkan tabiat Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib yang relakan diri ‘kena jual’! (Emel – Suka Komen, PJ, Selangor; 4 Mac 2009)





KOMENTAR

Bersama Pak Parjo

ORANGKAYA YANG TIDAK KEBAL:
SEKADAR HARAPKAN PENITIR CANANG

Sebermula sekalian orang banyak pun terpinga-pinga melihat segala hulubalang dan binti-binti perwira memencak ke tengah gelanggang. Adapun hulubalang serta binti-binti perwira itu sekadar menjalankan perintah Orangbesar yang menggunakan nama Sultan untuk menghalalkan tindak tanduk mereka. Arakian akan Orangbesar Balairong, Orangkaya V. Sivakumar itu diingatkan oleh hulubalang itu (dikenali Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM) Dato’ Abdul Razak Musa, bahawasanya Orangkaya Sivakumar itu tidaklah kebal. Maka penitir-penitir canang pun memalu gendang ke segenap kampong memberitahu Orangkaya Sivakumar itu bukanlah kebal yakni akan lut senjata jua, adanya.

Syahdan diberitahu oleh sahabat-sahabat fakir, kalau Orangkaya Sivakumar itu tak kebal, kenapa gerangan tak disalang sahaja supaya habis segala pekerjaan. Arakian telah sudah hadir sekaliannya, maka Sultan Mansur Shah pun berangkatlah ke Majapahit, diiringkan oleh segala raja-raja itu, dan segala hulubalang yang muda-muda semuanya (seperti kejadian di Perak pada akhir zaman kerana yang muda-muda itu semuanya mahu menjadi Menteri Pasola belaka) dibawa oleh baginda, dan segala orang besar-besar semuanya tinggal menunggu negeri, seperti Orangkaya Sivakumar yang menunggu Balairong Seri di negeri Perak pada akhir zaman kelak, adanya. Setelah berapa lamanya di laut, sampailah ke Majapahit, maka dialu-alukan oleh menteri hulubalang, bagaikan Menteri Pasola di Perak itu mengalu-alukan dirinya merampas kuasa, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang dibacakan oleh:













HIDUP BAHASA MELAYU!