JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
PILIHANRAYA BUKAN LAGI MISTERI
SIGNAL SUDAH KELIHATAN DI MANA-MANA
Assalamualaikum,
Memang Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop beritahu media sebelum ini bujet akan dibentangkan di Parlimen bulan Ogos nanti, seolah-olah pilihan-raya tak mungkin tahun ini. Tetapi bagi penganalisis politik bukanlah sukar memahami maksudnya, kerana tak pernah bujet dibentangkan bulan Ogos, biasanya ialah Oktober bagi perbelanjaan kerajaan tahun 2009. Apalagi media hari ini (23 Januari 2008), Tan Sri Nor Mohamed umumkan pula Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia memberi deviden tahun lalu sebanyak 5.8 peratus iaitu yang tertinggi sejak 2001 (atau lebih hebat lagi daripada priod pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed). Barangkali!
Pagi ini (23 Januari 2008) saya menerima SMS dari pimpinan UMNO peringkat Bahagian yang tak sabar dengan sikap rakan-rakannya melobi mahu menjadi calon pilihanraya. Mereka beritahu fasal jasa dalam pimpinan parti, di samping kehebatan wibawanya yang berkelayakan menjadi calon; apalagi kesetiaan yang tak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan. Dalam menggerakkan strategi melobi, individu terbabit tak menyedari sudah memecah belahkan UMNO, apabila ada pihak memburuk-burukkan Ketua Bahagian, kemudian pihak yang lain pula memperlekehkan Timbalan Ketua Bahagian. Tak hairanlah Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ‘Majlis Bersama Presiden UMNO’ semalam (22 Januari 2008) ingatkan: pilihlah calon BN yang ditetapkan oleh pimpinan parti.
Justeru tarikh pilihanraya bukanlah misteri kerana signal sudah boleh dilihat di mana-mana sahaja, sama ada secara langsung mahupun tak secara langsung. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui sekarang paling sesuai untuk BN menggerakkan pilihanraya, kerana gerenti akan mencapai kemenangan selesa, bergaya dan ceria. Tun Dr M memang sudah berpengalaman setelah 22 tahun memimpin negara, justeru masa paling sesuai ialah ketika unjuran ekonomi menjanjikan seribu harapan (bukan Altantuya Shaaribu)! Tak hairanlah pula propaganda di Terengganu dengan taktik lapok seperti menjelang pilihanraya 1969 dulu, ramai ahli PAS menyertai UMNO.
Laporan media hari ini (23 Januari 2008) menyebut 3,700 ahli dan penyokong PAS di Terengganu menyertai UMNO dalam program ‘Selamat Tinggal PAS’ (STP) sejak ianya dilancarkan pada 2004. Maknanya dalam tempoh tiga tahun sehingga Januari 2008 ini, kira-kira 1,233 orang ahli dan penyokong PAS menyertai UMNO. Taktik ‘bongok’ yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Idris Jusoh kerana menjelang pilihan-raya 1969 dulu, beliau boleh dikira masih berhingus. Mungkin juga tak pernah dengan Senator Edward Kennedy memberitahu Dewan Senat di Amerika Syarikat: “Kalau setiap hari tentera AS dilaporkan membunuh 400 Vietcong, dalam tempoh tiga tahun tak wujud lagi Vietcong”. Jawapan kepada sinikal Senator Edward @ Ted Kennedy itu ialah pada 1976, berambuslah tentera AS dari bumi Vietnam. Alahai!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
KUTUK KEPONGAHAN ISRAEL
PERLU TUNJUK SIFAT ‘KEJANTANAN’
Kurang wajar bagi Malaysia bersendiri mengutuk kepongahan Israel mengenakan sekatan dengan menutup jalan menyeberangi sempadan antara Israel dengan wilayah Palestin di Gaza menyebabkan penderitaan penduduk di Gaza, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Seterusnya beliau menggesa Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menunjukkan sifat ‘kejantanan’ memanggil persidangan tergempar OIC dalam mencapai persepakatan bertindak balas. “Kalau sekadar mengutuk dari jauh, pertubuhan kecil seperti NGO juga boleh lakukan, malah kepongahan Israel dan Amerika Syarikat tak akan berakhir menindas rakyat Palestin,” katanya.
Dato’ Kamal Amir memberitahu, sebenarnya Israel sudah lali dengan kutukan dari masyarakat antarabangsa, malah suara ‘kutukan’ tak bermakna langsung kepada negara Yahudi berkenaan. Sekalipun Israel dilaporkan hari ini (23 Januari 2008) melonggarkan sekatan dengan membuka pusat lintasan Gaza, tetapi menghadkan penyaluran bahan bakar bagi kemudahan guna tenaga kepada 1.5 juta penduduk Gaza. Kepongahan Israel terhadap rakyat Palestin disebabkan AS melengkapkan Israel dengan senjata, di samping melarang Palestin bersenjata. “Sebagai pemimpin OIC, tak wajar Dato’ Seri Abdullah bersuara bagi pihak Malaysia sahaja, tetapi harus menunjukkan ‘kejantanan’ dengan membawa negara-negara OIC ke meja menggubal keputusan,” beliau menjelaskan.
HARI KE 14 SHARLINIE HILANG
KEMBALIKAN KEPADA KELUARGA
Pihak yang bertanggungjawab melarikan Sharlinie Mohd Nashar yang baru berusia lima tahun, diminta kembalikan semula anak kecil itu kepada keluarganya, supaya tak menyusahkan orang ramai. Justeru usaha yang dilakukan oleh Presiden Ikatan Bomoh Negara 11 Serangkai, Sdr Nasir Mahmud yang juga ahli Jemaah Sabillillah Selangor memang dialu-alukan. Apalagi kehadiran kira-kira 50 pengamal perubatan tradisional pertubuhan itu menggunakan kaedah tradisonal berteraskan ajaran al-Quran memang sebahagian ikhtiar yang digalakkan, kata penulis buku-buku siri pengembaraan kejiwaan, Tok Awang Ngah ketika dihubungi oleh penerbit buku Haji Abu Bakar Ninggal.
Haji Abu Bakar memberitahu sekretariat, penulis buku siri pengembaraan kejiwaan Tok Awang Ngah, kaedah yang digunakan oleh Ikatan Bomoh Negara 11 Serangkai itu adalah sebahagian ikhtiar yang wajar dilakukan. Di samping kaedah tradisional katanya, usaha pihak polis juga perlu diberikan kerjasama sepenuhnya, bagi membolehkan adik Sharlinie dikembalikan dengan selamat kepada keluarganya. Tok Awang Ngah adalah penulis buku siri pengembaraan kejiwaan yang popular sekitar dekad 1980-an dan 1990-an dengan menghasilkna banyak buku berkaitan pengembaraan kejiwaan. “Mudah-mudahan operasi besar-besaran pihak polis di samping kaedah tradisional Ikatan Bomoh Negara 11 Serangkai mampu menghasilkan
kejayaan,” kata Tok Awang Ngah seperti diberitahu oleh Haji Abu Bakar.
INFO SASTERA & BUDAYA
PEMBANGUNAN KORIDOR TIMUR
SEJARAH BANGSA PERLU SEIRING
Kerajaan Pahang bukan sekadar berbangga dengan projek pembangunan koridor wilayah timur, sebaliknya mengabaikan sejarah bangsa di negeri itu, beritahu aktivis sastera Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Dalam masa menggerakkan pembangunan koridor wilayah timur, kerajaan negeri perlu memberikan peruntukan kepada penulisan buku-buku sejarah terutama berkaitan perjuangan nasionalisme di Pahang, katanya. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor memberitahu, negeri Pahang seolah-olah melupakan Koperal 182 Yaakob Bidin dari Kampung Sanggang, Temerloh, ketika mampu memperuntukkan berbilion ringgit kepada pembangunan koridor wilayah timur.
“Apalah salahnya memperuntukkan sejumlah kecil dana bagi menerbitkan buku-buku sejarah membabitkan anak Pahang, ketika berbilion ringgit diperuntukkan kepada projek pembangunan fizikal,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya, berdasarkan kaji selidik PRIMA, Yaakob Bidin yang dilahirkan pada 1916 menyertai Askar Melayu pada 1935. Yaakob Bidin terbabit dalam pertempuran di Bukit Candu, Singapura yang turut mengorbankan Leftenan Adnan Saidi, beliau menambah. Dalam insiden tersebut kata Dato’ Dr Mohd Mansor, Yaakob Bidin bersama Perajurit 1286 Yunus Jamil terselamat, malah mereka yang menjadi saksi dalam pertempuran di Bukit Candu itu.
Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor negeri Pahang belum terlambat untuk merakamkan perjuangan Yaakob Bidin, sekalipun tak sempat menemuramah beliau ketika hayatnya sekitar dekad 1980-an. Di samping negeri Pahang berbangga dengan pahlawan-pahlawan ternama seperti Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Panglima Mansor Chenor, Panglima Haji Kuala Lipis, kepahlawanan Yaakob Bidin juga selaras dengan kebangkitan nasionalisme sekitar dekad 1940-an. “Bagi menghargai perjuangan tokoh-tokoh legasi bangsa, kerajaan negeri seharusnya tak lokek memberikan peruntukan dana menghasilkan buku-buku berkaitan,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
MUFLIS NEGARA KEBAJIKAN
KETIKA MENTERI MUFLIS IDEA
Alkisah kata yang empunya ceritera, muflislah negeri Melayu kalau mengikut cadangan Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang menjadikan ianya negara kebajikan. Entahlah! Adapun yang berkata demikian mungkin juga menteri yang muflis idea, kerana terlalu taksub mahu berpolitik hingga tak mampu membezakan akan perihal ‘negara kebajikan’ dengan ‘negara pembaziran’. Maka disuratkan kepada fakir oleh tukang-tukang canang hari ini (23 Januari 2008), Menteri Pertanian dan Asas Tani yang juga Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, “Dia sendiri pun tidak boleh mentadbir dengan baik sebuah negeri (Terengganu), tetapi bercita-cita mahu jadi Perdana Menteri.”
Sebermula akan Tan Sri Muhyiddin itu turutlah mendedahkan dirinya yang muflis idea, kerana dasar pertanian negaranya terpaksalah Malaysia membawa masuk beras dari Thailand sejak bertahun-tahun. Buah-buahan yang dipasarkan juga dibawa masuk dari negara gajah putih itu yang kononnya teknologi pertanian di Thailand terlalulah maju. Syahdan akan mereka yang ‘muflis idea’ ini disuratkan oleh nenek moyang fakir di dalam ‘Kitab Melayu’, ketika berlaku kebakaran ke atas istana Sultan Mansor Shah yang baru dibina. Maka anak tuan-tuan itu nerlumba-lumba mahu menyelamatkan harta benda raja, termasuklah anak Bendahara Paduka Raja yang bernama Tun Muhyiddin itu. Akan Tun Mat Unta sekali masuk dibawanya barang bebanan sebanyak beban undang, lalu digelar ia oleh orang banyak Tun Mat Unta.
Syahdan akan Tun Muhyiddin yang ‘muflis idea’ itu takutlah ia masuk ke dalam istana yang terbakar kerana tubuhnya berbulu lebat. Disebabkan tak tahu bagaimana mahu masuk menyelamatkan harta benda raja, Tun Muhyiddin yang dipanggil kawan-kawannya Tun Mai sahaja sekadar berkeliling sahaja. Tak mampulah Tun Muhyiddin mahu membawa harta benda raja di dalam istana yang terbakar itu kerana ia memang diketahui sejak dahulukala ‘muflis idea’. Maka digelarlah oleh orang banyak akan Tun Muhyiddin itu ‘Tun Mai Ulat Bulu Pusing Langit Berkeliling’ disebabkan kemampuan dia hanya bersorak-sorak sahaja berkeliling mengikut ceritera:
HIDUP BAHASA MELAYU!!!