Menyeru Orangkaya Muhyiddin,
Anak-anak Buah Menyokongnya
Sebermula tersebutlah pada suatu ketika Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menyeru ia akan anak-anak buah supaya menyokong harakah Melayu (UMNO) kerana yang bertanding untuk menjadi wazir kepada ketua itu memang dirinya. Arakian sesiapa yang menyokong UMNO itu maknanya adalah menyokong dirinya, heh heh heh! Maka Orangkaya Tan Sri Muhyiddin tak mengaku dirinya bersubahat mahu menjatuhkan lawannya Orangkaya Dato' Seri Mohd Ali Rustam, kerana segala tuduhan itu adalah fitnah semata-mata. Syahdan akan Orangkaya Tan Sri Muhammad Mohd Taib taklah digeruni oleh Orangkaya Tan Sri Muhyiddin. Adapun dikata orang banyak Orangkaya Muhammad itu tak tahu berbahasa Inggeris, maka terlepaslah ia daripada dihukum di negara atas angin pada masa dahulu.
Syahdan istana yang baru dibuat itu terbakar. Maka tatkala itulah segala anak tuan-tuan itu banyak bergelar. Yang pertama masuk itu Tun Isap namanya, ialah menghulu-hulukan orang masuk itu dengan pantasnya, maka beberapa dibawanya harta raja keluar, tetapi sekali juga ia masuk tiada lagi masuk, takut ia; dinamai orang Tun Isap Barakah. (Pada hari kemudian dinamai orang Tan Sri Isa, kerana dikeluarkan ia dari harakah itu). Akan anak bendahara bernama Tun Muhyiddin itu dipanggil orang Tun Mai, hendak masuk takut romanya hangus kerana tubuhnya berbulu belaka; maka dinamai orang Tun Mai Ulat Bulu. Akan Tun Ibrahim hendak masuk takut; sekadar berkeliling istana saja, dinamai orang Tun Ibrahim Pusing Langit Berkeliling seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!