bersama Pak Parjo...
Bekokok di luar gelangang:
Raja bertakhta tak berkuasa?
Syahdan pilihanraya kecil di DUN Penanti itu akan diadakan 31 Mei 2009 ini mengikut tarikh anak cucu fakir, adanya. Adapun anak-anak buah Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, tidaklah ia bertarung di dalam gelanggang. Kononnya, mereka berkokok di luar gelanggang macam jalak lenteng ayam Pak Kaduk bersabung. Hatta akan anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Najib dipanggilnya Orangkaya Dato' Seri Nizar itu penderhaka, tetapi dalam perhimpunan anak-anak muda baru-baru ini, Orangkaya Dato' Seri Najib yang menyebut: 'Raja Melayu itu hanya bertakhta saja, tetapi tak berkuasa'!
Gerangannya kerana Orangkaya Dato' Najib berkata demikian, maka malulah mereka mahu masuk ke gelanggang di Penanti. Wallahu'alam! Sebermula maka oleh Hang Nadim si pelulut itu diberinya emas dan kain baju terlalu banyak. Tlah ia memandang harta banyak itu maka tertawanlah hatinya oleh harta dunia. Maka si pelulut itu pun mengakulah menanggung rahsia Hang Nadim. Arakian menderhakalah si pelulut itu lalu diberi ubat guna akan Tun Teja, tidaklah raja Pahang mengetahui akan baginda hanya di atas takhta tetapi tak berkuasa menghalang si pelulut itu melarikan Tun Teja. Maka itulah diperbuat orang nyanyi:
Tun Teja anak bendahara
Dilarikan Hang Nadim ke Melaka
Si pelulut durjana punya angkara
Jahil dan alim sama belaka!
Arakian disuratlah orang seperti dalam 'Kitab Melayu' daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!