
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
GERAKAN MASSA 10 NOVEMBER
MESEJ SEMPURNA GELOMBANG KUNING
Assalamualaikum,


Menjelang 1.30 tengahari Haji Abu Bakar memberitahu menerusi SMS, pihak polis mula bertindak agresif meminta mereka yang memakai baju kuning membuang pakaian (seolah-olah membawa pendekatan budaya kuning). Astaga! Mungkin sahaja media yang sudah ditetapkan polisi mereka begitu, akan melaporkan mengenai GEMASPUNOV itu gagal, sekalipun hakikatnya hegemoni kuasa polis ‘diperalatkan’. Ketika hampir jam 3.00 petang apabila melalui Jalan Ampang menuju ke Hulu Langat, hujan turun lebat tetapi kelihatan ‘sekatan jalanraya’ digerakkan berdekatan masjid Batu 14. Maknanya, polis dikerahkan mengawal jalan masuk dari Hulu Langat ke Kuala Lumpur dengan matlamat memberi gambaran GEMASEPUNOV gagal. Heh heh heh!


Apabila menonton TV jam 8.00 malam di Jelebu, Negeri Sembilan laporan mengenai insiden di Dataran Merdeka turut diberi liputan beberapa minit; apalagi berita Bernama di Astro Ria memberitahu GEMASEPUNOV gagal menarik perhatian masyarakat (memang laporan berkenaan sudah digubah bagaikan irama orkestra). Aduhai! Sebaliknya TV3 pula macam tak sempat membuat suntingan dengan menyiarkan limpahan aktivis yang sama-sama menggerakkan ‘gelombang kuning’ berhimpun bagai benteng kebal menunggu serbuan 5,000 anggota polis yang dikerah ke situ dalam usaha memberi gambaran kepada masyarakat di luar Kuala Lumpur GEMASEPUNOV itu gagal.
(Gambar-gambar ihsan dari www.klpos.com)
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
USAHA TANGANI PROTES AWAM
PERLU PENDEKATAN SECARA BERHEMAH


“Kekacauan tak merebak menjadi rusuhan, disebabkan pihak polis memahami aspirasi rakyat yang sekadar mahu menyampaikan mesej melibatkan pentadbiran agensi kerajaan yang sepatutnya bebas dan telus,” beritahu Dato’ Kamal Amir sejurus selepas senario di Kuala Lumpur kembali tenang berikutan ‘gelombang kuning’ yang ditakrif oleh PRIMA sebagai ‘Gerakan Massa Sepuluh November’ (GEMASEPUNOV). Beliau turut memuji Ketua IPD Kuala Lumpur, apabila menggerakkan anggotanya mengawal keadaan dengan mengurangkan provokasi. Seterusnya beliau memberitahu, GEMASEPUNOV bukanlah memperjuangkan kepentingan individu sebaliknya membabitkan setiap unit masyarakat termasuk anggota IPD dan tentera di seluruh negara.

KESAL DENGAN SIKAP IPTS
PENTADBIR MASIH KURANG PRIHATIN
PENTADBIR MASIH KURANG PRIHATIN

Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah kesal dengan laporan PRIMA baru-baru ini mengenai sikap kurang prihatin pihak pentadbir Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) iaitu Universiti Industrial Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (Batang Berjuntai) yang berkeras meminta pelajar-pelajar menjelaskan yuran peperiksaan, dengan tak mengambil kira budi bicara pinjaman PTPTN masih belum diterima. Menurut sumber pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan Isnin (12 November 2007) ini dipaksa menjelaskan yuran sejumlah RM3,600.00 bagi mengelakkan tertangguh satu semester, seolah-olah macam memasang perangkap untuk memanjangkan tempoh akademik pelajar-pelajar terbabit.

Dalam tinjauan pihak PRIMA memang diberitahu pihak Naib Canselor sentiasa menggalakkan pendekatan ‘budi bicara’ bagi memperkasa ‘modal insan’ yang menjadi iltizam Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebaliknya kampus Unisel di Bestari Jaya dikatakan seolah-olah membelakangkan arahan Naib Canselor yang berpejabat di kampus induknya di Shah Alam. Malah pihak ‘Kewangan’ lebih banyak bertindak mengikut keputusan sendiri, menyebabkan terdapat pelajar yang didenda hingga RM80.00 (lewat sehari 1 subjek RM5.00) kerana kelewatan mendaftar pra-pendaftaran subjek (sebelum ini lewat sehari denda sebanyak RM5.00 sahaja), di samping terpaksa beratur selama lima jam berikutan kelembapan pentadbirannya.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PENGGIAT TEATER KANAK-KANAK
GIGIH TERUSKAN KERJAYA SENINYA

Penggiat teater kanak-kanak kumpulan ‘Bingkas Kebayan’, Ladin Nuawi membuat persembahan sempena ‘Hari Kanak-Kanak Sedunia’ hari ini (10 November 2007) di Pusat Sentral Kuala Lumpur (KLCC). Persembahan teater yang disiarkan secara langsung menerusi RTM sebelum penyampaian ‘Anugerah Pingat Hang Tuah’ dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah. Menurut Ladin, teater kanak-kanak yang kurang diberi perhatian oleh karyawan sendiri tetap mempunyai fungsi dalam kerjaya seni, di samping memerlukan pengamatan yang serius, apalagi di IPT sendiri sudah diwujudkan kurus ‘Educational Theatre’.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PELAJAR MINAT JADI ANGKASAWAN
MENTERI TAFSIR ARTIS BUKAN ILMUAN

Sebermula terdengarlah akan perihal Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis bergembira dengan pencapaian kementeriannya berjaya menghantar Dr Sheikh Muszaphar Shukor Dato’ Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebagai angkasawan Malaysia pertama. Syabas! Makanya ramailah pelajar-pelajar yang menjadikan angkasawan sebagai idola baru, berbanding pelajar-pelajar sebelum ini memilih artis-artis sebagai idola. Dato’ Seri Jamaluddin dilaporkan oleh warta di radio 1.00 tengahari (10 November 2007) berkata demikian, ketika berucap dalam majlis Hari Raya dan Deepavali kementeriannya hari berkenaan.


Maka tersebutlah oleh yang empunya ceritera, perihal disuratkan kepada fakir dari ucapan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dalam Persidangan Agung UMNO pada 23 Januari 1971 menyebut: “Di sini saya hendak mengingatkan ahli-ahli UMNO sekalian, bahawa orang-orang yang dikatakan tidak pandai dan tidak layak itu adalah orang-orang yang telah mempelopori perjuangan UMNO untuk merebut kemerdekaan tanah air daripada asal dan mula-mula lagi. Mereka itulah yang telah membina dan membentuk UMNO dengan tidak menghiraukan kepentingan diri mereka…” Begitulah yang tersurat oleh fakir kerana yang terus menerus menyurat akan ‘Kitab Melayu’ itu ialah:

HIDUP BAHASA MELAYU!