Friday, July 31, 2009

Musa Hassan tunjuk power...

Polis mulakan sekatan jalan:
Bagi halang perhimpunan esok

KUALA LUMPUR: Polis memulakan sekatan di beberapa jalan yang menuju ke bandar raya ini bagi menyekat penyokong kumpulan yang membantah dan juga menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) daripada meneruskan niat mereka mengadakan perhimpunan esok. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sekatan jalan raya itu dilaksanakan bagi memastikan kedua-dua perhimpunan itu tidak berlaku. "Kita terpaksa melakukan sekatan jalan raya bagi menyekat perhimpunan haram yang bakal diadakan oleh dua kumpulan (kumpulan menyokong dan membantah ISA) esok," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sekatan jalan itu dibuat sejak jam 8 pagi tadi di beberapa jalan masuk ke ibu negara termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew Jalan Travers dan Lebuhraya KL-Kajang berhampiran Taman Connought. "Sekatan itu akan dihentikan jika keadaan dijamin selamat. Anggota polis yang bertugas akan memeriksa setiap kenderaan yang masuk (ke ibu negara). "Saya berharap pengguna jalan raya yang lain dapat bersabar dan tolonglah beri kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi melancarkan tugas mereka," katanya.

Katanya polis akan mengambil tindakan yang adil terhadap kedua-dua kumpulan berkenaan tanpa mengira fahaman mereka sama ada menyokong atau membantah ISA. "Kita tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak kerana perbuatan (perhimpunan) ini tetap akan mengganggu-gugat keselamatan orang awam," katanya. Musa berkata orang ramai yang mengambil bahagian atau menyertai termasuk menghadiri perhimpunan dan perarakan haram tanpa permit polis melakukan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan. - (Gambar, sekatan jalan raya di Cheras-Lock Yew sejak malam 31 Julai 2009)
Difahamkan perhimpunan GMI yang dikenali sebagai Gerakan Mansuh ISA merancang untuk berhimpun di beberapa lokasi antaranya di Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pada hari sama, Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pembelaan Negara (Magaran)dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan perhimpunan di Padang Merbuk, Pasar Seni dan Masjid Negara bagi menyokong ISA dikekalkan. - Bernama

YASSINSALLEH DENGAN 3 PUISI

PUISI
Akan Digoda Lagilah

Akan digoda lagilah
si perawan tua
kali ini,
di Permatang Pasir pula
akan bagaikan kesanggupan
Sultan Melaka menunaikan
syarat Sang Puteri Gunung Ledang
yang dinafsuinya;
siang malam tanpa henti
akan digomol
sampai sesak nafas
dada akan sampai
jadi lempeng kena ramas.

Aduhai, Permatang Pasir
perawan tua
yang akan jadi rebutan
para katak puru
dan serindit fana
yang akan banyak
membawa bekalan viagra.

-jam 1951
Julai 31, 09
berminyaklah muncung
orang makan kenduri.

Yang Tak Pandai
Cabut Gigi

Serban, kopiah dan songkok
bendera, slogan dan sepanduk
akan bertindan-tindan
berlapis-lapis seiring
sendaloka kata mengata
berpuing-puing, berpusing-puisng
jari-jemari menuding-nuding
dan Permatang Pasir
akan tiba-tiba kenduri besar
tujuh hari tujuh malam.
Dan sepanjang
kenduri marathon itu
setiap orang besar
akan tiba-tiba jadi amat peramah
merendah diri setiap orang kaya
akan tiba-tiba jadi amat pemurah
menabur budi.

Dan sang katak
akan berlompatanlah
di antara belitan sang ular lidi
dengan lidah bercabang
bersumpah dan berjanji
sambil membeli tali pinggang
yang lebih panjang
kerana perut tiba-tiba
bertambah gendut
dan celana asyik terlondeh
kerana berat
saku yang sarat.

Aduhai kelakarnyalah nanti
di Permatang Pasir
gelanggang laga dendam kesumat
ketamakan kuasa mempamirkan
gelagat para penyamun tarbus
yang rakus menjadi toyol
yang tak pandai cabut gigi.

-jam 2141
Julai 31, 09
Kat mana nak cari
kedai jual tarbus?
(gambar dengan ihsan http://www.biaqpila.blogspot.com/ )
Hikayat Janji Syurga

(Mengimbau Kenangan
Kg Peria, Manek Urai)

Pilihan Raya Kecil datang lagi
akankah Permatang Pasir menyambung
hikayat janji-janji syurga Manek Urai
aduhai romantisnya pujuk rayu
dan sumpah setia episod kisah cinta
perawan tua yang bertunang
kahwin tak jadi?

Atau akankah berlanjutan
orang taknak tamak kuasa?
kalau tamak pula jadinya kali ni
temasya jual orang beli orang
di pasar lelong manusia
akankah sepenuhnya harga dibayar
pada pelacur-pelacur
kelas anjing itu segalanya?

Atau akan cuma sekadar tiris sedikit
dan selebihnya bagaikan biasa
tersangkut dalam kantung
para pembeli bangkai anjing
macam si katak yang kenyang
makan kelkatu di Manek Urai dulu?

Jual orang lebih untung
dari jual unta!
(dengan apologi kepada Tan Sri P Ramlee)

-Yassinsalleh
jam 1720
Julai 31, 09
mengimbau kenangan
di Kg Pria, Manek Urai.

Pilihan raya kecil lagi...


Belasungkawa keluarga Hamdan:
Adun PAS Permatang Pasir meninggal dunia


Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Pulau Pinang Dato' Hamdan Abdul Rahman yang meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Sekalipun secara peribadi hubungan pimpinan PRIMA tak begitu akrab, tetapi ianya dikira rakan seperjuangan yang sama-sama menentang perhambaan minda menerusi wadah yang berbeza. PRIMA difahamkan menerusi kenyataan media Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man jenazahnya di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu. - (Gambar fail - Hamdan bersama Wan Azizah)

Menurutnya, allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. "Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an.

Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, " jelasnya. Baru-baru ini allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71. Jenazah allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini. Pimpinan PRIMA mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan pimpinan PAS, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.

SEKALI PERSETUA...

Pulut kuning di menara Dato' Onn:
Sambut ulangtahun Dato' Perdana

Syahdan menteri dan pegawai dan hulubalang sekalian yang dipilih dalam pimpinan harakah Melayu (UMNO) berkumpullah mereka di Menara Dato' Onn kerana mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) petang ini (31 Julai 2009). Adapun Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dialah yang mempengerusikan mesyuaratMT itu. Arakian akan penitir-penitir canang itu gerangannya bercelaru kerana mengatakan Oranngkaya itu yang menjadi ketua bermesyuarat. Siapa lagi yang mempengerusikan mesyuarat kalau bukan Orangkaya Perdana Menteri itu. Sebermula kata yang empunya hikayat, sebelum mesyuarat MT itu, maka sekalian menteri dan pegawai dan hulubalang memotong pulut kuning meraikan hari jadi Orangkaya itu. Terlalu gembiranya hati Orangkaya melihat semua menteri, pegawai dan hulubalang semuanya taat setia belaka.

Arakian maka Sultan Mahmud terlalu sangat menyesal dirinya oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja itu. Sebermula oleh Sultan Mahmud anakanda baginda Sultan Ahmad itulah dirajakan baginda, dan segala pegawai, menteri dan hulubalang dan segala alat kerajaan sekaliannya diserahkan diserahkan baginda kepada Sultan Ahmad. Maka Sultan Mahmud Shah pun diam ke hulu Melaka, pada suatu tempat Kayu Ara namanya; hanya Sang Sura seorang jua dengan baginda. Adapun diceriterakan orang, akan Sultan Ahmad itu ke mana sahaja baginda pergi maka segala menteri, pegawai dan hulubalang berdahulu-dahuluan mengampu, tak lagi dihirau akan Sultan Mahmud di hulu Melaka. Maka itulah diperbuat orang pantun:

Ke hulu-hulu bawa muatan
Bunyi lamat waktu senja
Berdahulu-dahulu mengampu sultan
Sultan Ahmad menjadi raja

Sebermula disuratkan oleh sekalian orang banyak pada 'Kitab Melayu' bersama:




HIDUP BAHASA MELAYU!

JEMPUTAN KEPADA SEMUA...

============================================

BACA PUISI 'MANIFESTASI RAKYAT'

Warga Prihatin Malaysia (PRIMA)

menjemput ke majlis
BACA PUISI MANIFESTASI RAKYAT
menentang PPSMI dan isu rakyat prolitar.

Tempat: Kelab Golf Perangsang, Templer Park, Selangor
Masa : 8.30 malam
Tarikh : 15 Ogos 2009

Tetamu Istimewa:..............

Semua dijemput hadir.

Turut mengundang
Pimpinan PRIMA:

Pak Dharma - Yahaya Ismail - Dato' Kamal Amir - Prof Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah - Yassinsalleh - Dr Seri Intan Mokhtar - Datin Rozie Rahman - L Mankadir Shamsi - Ahmad Nizam Hamid - Zainal Rasidin - MSO - Yasleh Rita Ayu - Adiah Mat Lana - Haji Abu Bakar Ninggal - Zakaria Bidin.

===============================================

SEKILAS PANDANG...

'Pahlawan' dalam khutbah:
Jangan tampilkan berpilih-pilih





Terlalu banyak isu yang mahu diberi fokus termasuk UMNO tak mahu lagi layan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, tetapi jika ada peluang akan terus memutar belitkan fakta; tak peduli rakyat semakin meluat, menyampah dan menyumpah. Aduhai! Apalagi di Kedah pun sudah menyibuk dengan kes balak, sekalipun sebelumnya Pahang sahaja yang popular dengan politik balaknya. Hari ini (31 Julai 2009) khutbah Jumaat di Masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak berkaitan 'Hari Pahlawan' yang membawa persepsi salah kepada masyarakat, di samping Tugu Negara yang diberi penghormatan itu adalah 'haram'.

Bagaimanapun saya tak mahu fokuskan kepada 'Tugu Negara' yang sudah menjadi budaya politik kepada pimpinan negara (kalau tak ada Tugu Negara, barangkali berang pula pasukan keselamatan!); tetapi seperti disebut bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak di Selangor, Omar Sudi Abdul Manan kewajaran 'Hari Pahlawan' bukan sekadar mengutip derma tabung pahlawan. Omar Sudi menerusi blog ini dua hari lalu menyebut 'nilai pahlawan' kepada rakyat Malaysia juga perlu diangkat tinggi, bukan terhad kepada pasukan keselamatan semata-mata. Negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan mampu menampilkan 'pahlawan' mereka yang terbilang, terjulang dan tertatang!

Kita sekadar berbangga dengan 'Bapa Kemerdekaa' Tunku Abdul Rahman Putra, tetapi seolah-olah tak wujud 'Pahlawan Nasional' seperti Jose Rizal di Flipina, Mahatma Ghandi di India, Ir Sukarno di Indonesia atau Jamal Abdul Naser bagi negara-negara Arab. Apabila kita membunuh pahlawan-pahlawan kita sendiri, justeru kita tercari-cari di mana mereka. Bagi mengisi kekosongan tersebut bangsa Melayu mengangkat Leftenan 90 Adnan Saidi, sebagai pahlawan sekalipun beliau sekadar 'wira peperangan'. Di Hollywood mereka berbangga memilemkan kisah 'wira peperangan'nya Audey Murphy sekitar dekad 1950-an dengan membawanya turut berlakon menerusi filem 'To Hell nad Back'. Begitulah!

Dalam khutbah Jumaat di Masjid al-Khairiyyah disampaikan Imam Ramli Ariffin hari ini, nama pahlawan nasional yang disebut selain Mat Kilau, Dato' Maharajalela, Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin ialah Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Masya Allah! Barangkali Imam Ramli sekadar membaca teks sahaja, sebaliknya khutbah disediakan oleh heh heh heh! Justeru penampilan pahlawan juga berpilih-pilih. Tak disentuh mengenai sumbangan Ibrahim Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam yang paling lama merengkok dalam penjara kolonial British kerana perjuangan merebut (bukan menuntut) kemerdekaan, sebelum diperkenal ISA pada 1960.


-Pak Dharma