JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
“MENJELANG HARI MENGUNDI PILIHANRAYA KE 12, PADA 8 MAC 2008,
WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA) MENYERU RAKYAT MALAYSIA DAN PENGUNDI-PENGUNDI BUDIMAN ‘UNDILAH CALON, BUKAN MENGUNDI PARTI’ DEMI MASA DEPAN NEGARA, BANGSA DAN AGAMA”
WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA) MENYERU RAKYAT MALAYSIA DAN PENGUNDI-PENGUNDI BUDIMAN ‘UNDILAH CALON, BUKAN MENGUNDI PARTI’ DEMI MASA DEPAN NEGARA, BANGSA DAN AGAMA”
-PIMPINAN PRIMA.
DARI LAMAN BLOG
CORAT CORET HARI PENAMAAN CALON
6 WAKIL BN MENANG KERUSI PARLIMEN
6 WAKIL BN MENANG KERUSI PARLIMEN
Enam kerusi Parlimen dimenangi calon BN hari ini (24 Februari 2008) apabila pusat penamaan calon ditutup jam 12.00 tengah hari, di samping PAS menang di DUN Kijang di Kelantan setelah tak ditentang calon lawan. Apalagi kerusi Parlimen Pengerang di Johor meletakkan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Azalina Othman Said menang tak bertanding berturut-turut pada dua kali pilihanraya. Pada 2004 Dato’ Seri Azalina juga menang tak bertanding di kerusi Parlimen yang sama, sebagai legas kubu pertahanan UMNO paling kental di Malaysia dan di Johor sejak pilihanraya 1955. Secara historikal kerusi Parlimen Pengerang memang kawasan paling selamat kepada UMNO, berdasarkan geografinya yang sukar ditembusi oleh lawan UMNO.
Pada pilihanraya 1955 misalnya, kawasan berkenaan dikenali ‘Johor Timur’ dengan calon UMNO Tun Dr Ismail Abdul Rahman memperoleh 10,800 undi menewaskan calon Parti Negara, Jaafar Haji Ali (350 undi) dan calon Bebas, Haji Abdullah Taib (253 undi). Berikutnya pada pilihanraya 1959 dilaksanakan secara 100%, persempadanan kerusi Parlimen Pengerang dikenali ‘Johor Tenggara’ dengan UMNO meletakkan calonnya Tan Sri Jaafar Albar. Nah, Tan Sri Jaafar Albar menang tak bertanding, begitu juga pada pilihanraya 1964 beliau terus melestarikan kemenangan tak bertanding. Mungkin sahaja senario pada 1969, kerusi Parlimen Johor Tenggara diberi tentangan sedikit oleh calon Parti Gerakan. Sebaliknya apabila persempadanan baru pada 1974 dikenali kawasan Parlimen Panti, Tan Sri Jaafar kembali menang tak bertanding.
Memang sekitar dekad 1960-an dan 1970-an, mereka yang mahu ke Pengerang terpaksa ke Singapura terlebih dahulu disebabkan jalan perhubungan yang sukar dari Kota Tinggi, justeru lebih mudah ianya melalui jalan air dari seberang Selat Teberau. Begitulah! Bukan sahaja Dato’ Seri Azalina, sesiapa calon UMNO yang diletakkan di kawasan berkenaan mempunyai peluang baik menang tak bertanding, iaitu kerusi paling kebal kepada UMNO sejak 1955 lagi. Bagaimanapun kemenangan enam kerusi Parlimen pada hari penamaan calon tak bermakna BN sudah boleh berbangga, kerana pada pilihanraya 1969 UMNO bersama komponennya menang 14 kerusi Parlimen (bukannya 6) ketika hari penamaan calon.
Malah di Pulau Pinang pada pilihanraya 1969, Parti Perikatan menang satu kerusi Parlimen pada hari penamaan calon iaitu di kerusi Parlimen Bagan. Sebaliknya pada hari pengundian hanya kerusi Parlimen Seberang Utara (sekarang Kepala Batas) sahaja yang mampu dipertahankan. Apalagi kerusi Parlimen Seberang Selatan dan Penang Selatan, calon-calon UMNO iaitu Senawi Ismail dan Ismail Idris tewas kepada calon bukan Melayu parti lawan, V Veerapan dan Gabriel Thomas Selvaraj. Aduhai! Bukan sahaja UMNO yang menang tak bertanding enam kerusi Parlimen, PAS juga tak boleh bangga sangat dengan kemenangan satu kerusi DUN di Kelantan, kerana senario politik sekarang individu calon lebih bermakna daripada parti yang diwakilinya. Insya Allah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
KU LI ENGGAN MENANG TAK BERTANDING
PILIHANRAYA SERAH MANDAT PADA RAKYAT.
Calon BN bagi kerusi Parlimen Gua Musang di Kelantan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) enggan diproklamir menang tak bertanding, apabila calon dari PAS didapati melakukan beberapa kesalahan teknikal dalam kertas pencalonannya. Ku Li meminta penyokong-penyokongnya tak membuat sebarang bantahan kepada pegawai pengurus pilihanraya bagi mencapai matlamat menyuburkan amalan demokrasi dengan menyerahkan mandat kepada rakyat bagi memilih Ahli Parlimen mereka. Pada penamaan hari ini (24 Februari 2008), Ku Li hampir diproklamir menang tak bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang, tetapi beliau enggan membuat bantahan berikutan beberapa kesilapan teknikal dalam kertas pencalonan wakil PAS.
Menyentuh kemenangan tak bertanding beberapa orang calon BN, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap keputusan tersebut bukannya pilihan rakyat menentukan wakil mereka, sebaliknya kesilapan teknikal berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dato’ Kamal Amir yang menyertai rombongan Ku Li ke pusat penamaan calon di kawasan Parlimen Gua Musang hari ini, menyokong penuh pendekatan calon UMNO berkenaan yang mahukan pemilihan diserah kepada rakyat. “Biarlah rakyat menentukan wakil mereka menerusi pengundian pada pilihanraya, bukan diserahkan kepada SPR apabila berlaku kesalahan teknikal,” menurut Dato’ Kamal Amir ketika menghubungi sekretariat PRIMA.
KECOH DI KAWASAN PARLIMEN GOMBAK
PENYOKONG BN MENYUSUP MASUK KEM LAWAN
Kekecohan berlaku di kalangan penyokong-penyokong parti yang bertanding di kawasan Parlimen Gombak berhampiran pusat penamaan calon di Sekolah Sungai Pusu hari ini (24 Februari 2008), apabila seorang penyokong BN memakai jaket berlambang ‘dacing’ menyusup masuk ke kem parti lawan. Bagaimanapun kekecohan tersebut berjaya dipantau oleh pihak polis, apabila mereka berbalas-balas sindiran. Penyokong-penyokong BN mendesak individu terbabit menyerahkan semula jaket berlambang dacing yang dipakainya, sebaliknya disindir dengan menyebut: “Saya pakai baju dacing, tapi hati saya tetap PKR!” menyebabkan kekecohan berterusan dengan pihak BN cuba mendesak individu berkenaan memulangkan jaket tersebut.
Menurut aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal yang menyertai rombongan calon PKR bagi kerusi Parlimen Gombak, Sdr Azmin Ali kekecohan tersebut dapat dikawal oleh pihak keselamatan sebelum ianya melarat. Haji Abu Bakar yang sebelumnya dijangka ke Permatang Pauh membuat keputusan di saat-saat akhir dengan memilih kawasan Parlimen Gombak. Beberapa aktivis PRIMA terbabit memberi sokongan moral kepada calon-calon yang bertanding dengan ketetapan yang dibuat ‘PILIH CALON, BUKAN PILIH PARTI’. Malah aktivis PRIMA juga dibenarkan memberi sokongan moral kepada mana-mana calon UMNO berdasarkan penilaian yang menepati pendekatan PRIMA iaitu calon yang berkualiti serta mampu memberi khidmat kepada rakyat.
INFO SASTERA & BUDAYA
WACANA SEJARAH DI MUZIUM NS
PIMPINAN PRIMA DIBERI PENGHORMATAN
Pimpinan PRIMA Sdr Dharmala N.S. diberi penghormatan oleh Muzium Negeri Sembilan menyampaikan pengkisahan mengenai perjuangan nasionalisme Tuanku Tambusai, Dato’ Siamang Gagap dan ‘Perang Bukit Putus’ dalam wacana sejarah, besok (25 Februari 2008). Pengkisahan yang bermula jam 8.30 pagi itu akan disertai oleh peminat-peminat sejarah di Negeri Sembilan, menurut penolong kurator Muzium Negeri Sembilan, Sdr Asrul Effendi Kamaruzzaman. Sdr Dharmala bekas penyelidik bersama Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan (1990-2003), masih meneruskan usaha kaji selidik dengan menghasilkan buku-buku berkiatan sejarah nasionalisme menerusi aktiviti PRIMA.
Tuanku Tambusai yang akan dibicarakan diangkat menjadi ‘Pahlawan Nasional Indonesia’ pada dekad 1990-an oleh pentadbiran Presiden Suharto dengan pusarannya di Rasah, Seremban dipulihara di bawah selenggaraan Muzium Negeri Sembilan di samping dibiyai oleh kerajaan Indonesia. Dalam gerakan nasionalisme di Indonesia Tuanku Tambusai terbabit bersama Tuanku Imam Bonjol menentang Belanda sekitar dekad 1830-an, dengan meninggalkan legasi perjuangannya ‘benteng tujuh lapis’ yang masih kekal di pulihara di Dalu-dalu, Pasir Pengaraian, kabupatin Rokan Hulu di propinsi Riau. Dato’ Siamang Gagap pula terbabit dalam frasa gerakan nasionalisme di Seri Menanti, Negeri Sembilan pada dekad 1870-an yang mencetuskan ‘Perang Bukit Putus’, beritahu Sdr Asrul Effendi selanjutnya.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
MENTERI TAK GUGUR JADI CALON
TAPI BELUM TENTU KEKAL JAWATAN
Syahdan di sebuah negeri Melayu yang disebut orang Malaysia, berkatalah memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semua menteri-menterinya dicalon semula dalam pilihanraya pada 8 Mac 2008, tetapi tiadalah jaminan akan dilantik semula memegang jawatannya. Sebermula disuratkan oleh segala jurutulis adapun memanda Perdana Menteri itu memberitahu semasa di Seberang Jaya (iaitu di suatu tempat yang pernah fakir dibawa menemuinya pada 1999 dahulu) semalam (23 Februari 2004) dengan mengakui pemilihan mereka bagi mengukuhkan kemantapan dalam memenangi hati rakyat jelata untuk memilih calon-calon memanda semuanya. Sebermula diketahuilah oleh semua orang sekiranya menteri-menteri itu digugurkan nescaya musnahlah segala impian mahu mencapai kemenangan dalam pilihanraya kelak.
Kata sahibul hikayat dalam ‘Kitab Melayu’ adapun raja apabila dihadap di balairong, maka segala anak-anak orang bergelar duduklah di kelek-kelekan, supaya dengan limpah kurnia akan dilantik menjadi pegawai-pegawai di istana. Akan bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar segala sida-sida duduk di seri balai. Maka segala sida-sida yang muda duduk di selang-selang antara bentara dan hulubalang berdiri di ketapakan balai. Anak cucu menteri akan menjadi bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung; anak cucu hulubalang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija Diraja duduk di selasar balai. Adapun yang bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja, dan barangsiapa bergelar Sang Guna bakal Laksamana, dan barangsiapa bergelar Tun Pikrama bakal Bendahara menurut yang disuratkan oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!