Thursday, March 12, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA: Buku 'Legasi Ketuanan Rembau' - Mengangkat Daulah Melayu

PENULISAN BUKAN UNTUK GLORI:
TETAPI MELESTARI DOKUMENTASI

Ketika dijemput memperkatakan Adat Perpatih di TV502 (Bernama) bagi slot 'Helo Malaysia' pengacara Dahalan Makmur beberapa kali menyebut buku 'Dato' Lela Maharaja, Dato' Haji Muhamad Sharip Haji Othman: LEGASI KETUANAN REMBAU'. Sukar bagi saya mahu menjelaskan kerana ketika itu buku berkenaan belum dicetak, sebaliknya sekadar disiapkan contohnya sahaja sempena majlis ulangtahu ke 10 Ke Bawah Kaus YTM Dato' Haji Muhamad Sharip menyandang pesaka Dato' Lela Maharaja, Undang Luak Rembau. Memang penulisan buku berkenaan bagi memberi kefahaman kepada generasi sekarang fungsi Undang Yang Empat di Negeri Sembilan dalam sistem pemerintahan 'Raja Berperlembagaan'.

Generasi sekarang hampir hilang pedoman laksana 'tulisan jawi' yang sudah pupus hingga membaca al-Quran terpaksa menghafal (by heart), disebabkan tak mampu lagi mengeja. Memang generasi muda tak menyedari peranan Undang Yang Empat menurunkan tanda tangan 'Perjanjian Kemerdekaan' mewakili Negeri Sembilan bersama Yang Dipertuan Besar. Undang Yang Empat juga bergambar bersama raja-raja Melayu selepas upacara tersebut sebagai manifestasi kedaulatan ketuanan Melayu. Menerusi buku 'Legasi Ketuanan Rembau' juga dilengkapkan perjuangan Undang Luak Rembau, Dato' Nganit, Dato' Haji Sahil dan Dato' Abdullah menentang kepongahan kolonial British.

Pembabitan Dato' Nganit, Dato' Haji Sahil dan Dato' Abdullah melawan kolonial British menerima risiko yang tak mungkin mampu dilestarikan oleh generasi yang mabuk dengan 'politik wang'. Dato' Nganit misalnya, bangkit membantu saudara Melayunya di Naning melawan kolonial British pada 1831, diikuti dengan Dato' Haji Sahil yang rela dipecat kemudian dibuang ke Singapura pada 1883. Dato' Abdullah pula tampil bersama Tuanku Muhammad Shah, Sultan Alang Iskandar dan Raja Sir Chulan mendesak kolonial British menubuhkan pasukan tentera pertahanan Melayu dikenali 'Askar Melayu' pada 1 Mac 1933. Justeru buku ini bukanlah untuk glori penulisan, tetapi menjadi dokumentasi yang sewajar, sejajar dan sejanjar!

KOMENTAR: bersama Pak Parjo..

ORANGKAYA BENDAHARA KE HULU LANGAT
MENEMUI LAKSAMANA BERGURU DENGAN SHEIKH...

Sebermula maka gemparlah orang banyak akan pejabat Orangkaya Menteri Pelancongan Dato' Seri Azalina Othman Said diseru anak-anak buah Dato' Ahmad Said Hamdan atau disebut orang SPRM. Maka orang banyak juga diberitahu perihal Dato' Norza Zakaria akan setara dengan penghulu yang mengetuai anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) di Kuala Lumpur itu akan dibicarakan ia esok hari (13 Mac 2009 mengikut tarikh anak cucu fakir). Syahdan fakir pun dimaklumkan oleh rakan-rakan kedua-dua mereka itu memang menteri dan hulubalang Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Arakian semakin berdebar-debarlah sekalian orang banyak menunggu beberapa hari lagi, Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak itu akan menaikki singgahsana. Huh Huh Huh!

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Dato' Seri Abdullah ditemui oleh orang banyak bertemu ia enam mata dengan Orangkaya Dato' Seri Anwar Ibrahim dan petara guru Sheikh Mahmud di Madrasah Darul Iman di Hulu Langat. Maka fakir pun teringatlah pada suatu masa dahulu Orangkaya Bendahara Paduka Raja itu menemui Laksamana Hang Tuah yang berguru dengan Sheikh Mansur di Hulu Melaka. Syahdan dititahkan oleh Sultan Melaka akan Laksamana Hang Tuah yang sekian lama disishkan oleh orang-orang Melayu untuk membuang Hang Jebat yang mengamuk di dalam istana. Habislah sekalian hulubalang Melayu dibunuh oleh Hang Jebat kerana disangkanya Laksamana Hang Tuah sudah mati seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:








HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG... Air Mata Ibu Bapa Anak-Anak Lulus SPM

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini menambahkan lagi kepongahan Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishamuddin Hussein dengan sandiwara yang sukar ditandingi oleh seniman legenda Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee. Apabila pihak kementerian umumkan peningkatan pencapaian pelajar-pelajar tahun ini lebih baik daripada 2008, dengan 6277 calon memperoleh keputusan A semua subjek, tentulah terasa hebatnya Hishamuddin. Justeru Hishamuddin dan pegawai-pegawainya yang menjadi pendukung PPSMI (tak semua pegawai yang bersetuju) sekadar melihat air mata kegembiraan ibi bapa sahaja.

Hishamuddin tak peduli dengan majoriti ibu bapa menitiskan air mata duka dengan dasar yang akan menghancur lebur; memunah ranah, menghapus lupus kedaulatan Bahasa Melayu. Air mata ibu bapa bukan sahaja mengenang nasib Bahasa Melayu, sebaliknya kecemerlangan pencapaian pelajar-pelajar hanya di sekolah bantuan penuh kerajaan. Pelajar-pelajar MRSM misalnya, guru-guru pun berhamburan air mata kerana tak menyangka keputusan yang tak diduga. Segalanya dalam fikiran Hishamuddin, justeru jangan orang Melayu menangis lagi apabila pelajar-pelajar terbabit tak mampu bersaing kerana keputusan peperiksaan mengikut acuan kementerian pelajaran.

Pendudkung-pendukung PPSMI mungkin sahaja menutup sebelah mata dengan senario di sekolah-sekolah, apabila buku-buku praktikal yang dibekalkan menerusi SPBT (Skim Pinjaman Buku Teks) tahun ini, ibu bapa terpaksa membeli buku lain yang ditetapkan oleh guru-guru dengan kosnya lebih mahal daripada buku-buku SPBT. Pelajar-pelajar terpaksa membeli buku lain, disebabkan skima yang berubah-ubah. Guru-guru sendiri memberitahu murid-murid buku-buku SPBT tak sesuai lagi dengan silibas sekarang. Justeru sandiwara apakah yang sedang dimanuskripkan oleh Hishamuddin dan pegawai-pegawai kementerian selepas laporan Audit Negara mengenai kos bekalan peralatan untuk PPSMI itu, alamak!

Pegawai-pegawai dan pendukung-pendukung PPSMI sekadar menyampaikan laporan yang molok-molok kepada Hishamuddin, seperti senario Rafi dalam 'Madu Tiga' filem P. Ramlee yang memenangi 'hadiah filem komedi terbaik' di Festival Filem Asia dekad 1960-an. Rafi yang mahu menyenangkan hati Jamil (bosnya) sanggup berbohong sahaja kepada Pak Ali, dengan mengakaui bosnya bujang alif ba ta (Angkatan Bujang Tua). Justeru Pak Ali secara spontan memberitahu, "Bulan ni gaji awak naiklah, Cik Rafi!". Justeru Rafi juga menyahut, "Kita ni sama aje Pak Ali, menyenangkan kerja saya, Pak Ali pun tak perlu susah-susah lagi." Sandiwara inilah yang dilestarikan oleh Hishamuddin dan pendukung-pendukung PPSMI, sekalipun Bahasa Melayu menjadi taruhan. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...PPSMI dan Melayu Berjiwa Hamba







Ramai juga Melayu yang sokong bahasa Melayu dihapuskan perlahan-lahan melalui projek PPSMI, dengan memberi alasan bahasa Inggeris adalah bahasa dunia yang akan memberi pekerjaan kepada anak-anak kita nanti. Mereka berhujah seperti tabiat katak puru bahawa tanpa kefasihan berbahasa Inggeris, siswazah tidak akan dapat kerja dalam semua organisasi swasta yang mengutamakan bahasa Inggeris dan Mandarin. Mereka bercakap seolah-olah tiap organisasi yang hendakkan bahasa Inggeris itu perlukan 30-40,00 pekerja yang semuanya mesti fasih berbahasa Inggeris. Mengapa mereka tidak sebut para ahli Dewan Rakyat bercakap Melayu seperti orang kelemasan, tidak saja tidak fasih, tetapi biadab pula hingga terpaksa ditegur oleh Agong.

Tapi kita perhatikan Dewan Rakyat sekarang sudah mula menggunakan bahasa Inggeris, hatta oleh Speaker sendiri. Tak perlu sebut “dengan izin” lagi. Sudah bebas betul. Adakah ini gara-gara projek PPSMI? Kata mereka, dengan mengukuhkan PPSMI di sekolah-sekolah, bahasa Melayu tidak diketepikan, hanya tidak dijadikan bahasa matematik dan sains. Bahasa Melayu terus diajar dan terus dipertuturkan di rumah dan di sekolah, oleh itu tidak ada sebab PPSMI mesti dihapuskan. Pandangan cetek dan bodoh begini begitu yakin diucapkan, begitu membanggakan, walaupun setelah 51 tahun lebih merdeka, membuktikan betapa kuatnya pengaruh kolonial dalam cara berfikir.


Mereka yang berpandangan begini hanya mementingkan keperluan jangka pendek diri sendiri (misalnya alasan untuk senang dapat kerja), tetapi langsung tidak memberi perhatian kepada akibat jangka panjang apabila bahasa Melayu diketepikan sebagai bahasa ilmu. Mengapa bahasa Melayu diperlekehkan begitu rupa? Sebab pertama ialah tidak ada kepercayaan kepada kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Ini pandangan orang yang agak fasih berbahasa Inggeris, tetapi bukan golongan berilmu. Silapnya ialah merekalah yang diberi kuasa dan yang membuat dasar. Sebab kedua, pakar-pakar yang telah dihasilkan melalui bahasa Melayu selama 40-50 tahun ini dianggap sangat lekeh, masih bergantung pada bahasa Inggeris dan akan lumpuh sebagai ahli matematik dan ahli sains jika tidak kerana bahasa Inggeris.


Penghinaan ini dilakukan oleh golongan pertama tadi, yang berasa sudah ketinggalan kerana bahasa ilmu dalam bahasa Melayu berada di luar kemampuan mereka untuk difahami. Ketiga, dan paling penting, ahli politik yang berkuasa lebih 51 tahun di kalangan UMNO/BN melihat lubuk kekayaan yang melimpah ruah jika bahasa Inggeris dijadikan bahasa pendidikan moden. Mereka memperdagangkan bahasa Inggeris, dan sekali gus mengetepikan bahasa Melayu. Yang perlu diberi perhatian di sini ialah hakikat bahawa mereka memang mengetepikan bahasa Melayu yang dianggap menghalang mereka daripada mendapat kekayaan melalui perdagangan pendidikan itu.

Siapa mahu belajar bahasa Melayu di Malaysia? Tetapi pelajar seluruh dunia akan tertumpu ke Malaysia jika bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar. Sekarang orang Melayu harus faham bahawa mereka telah ditipu oleh para pemimpin mereka, ahli-ahli politik yang seronok bercakap tentang masa depan bangsa dan bahasa Melayu, tetapi perbuatan mereka menuju kepada terhapusnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ini satu pengkhianatan, dan ini mesti difahami oleh orang Melayu/Malaysia. Kita harus memanggil mereka pengkhianat kerana pada dasarnya mereka adalah berjiwa pengkhianat. Tidak saja mereka pengkhianat, tetapi cara mereka mengaut keuntungan daripada perdagangan bahasa Inggeris itu terlalu kasar dan biadab.

Jika tujuan mereka untuk mencerdikkan bangsa Melayu, mengapa tidak boleh dibuat dengan meningkatkan mutu bahasa itu sebagai bahasa ilmu? Mengapa mesti digantikan dengan bahasa Inggeris? Jika mereka ingin menjadikan matematik dan sains sebagai asas pembinaan tamadun Malaysia, mengapa mesti melalui bahasa Inggeris, tidak bahasa Melayu? Inilah kekeliruan mereka yang lahir dari jiwa mereka yang memang memperlekehkan bahasa Melayu. Inilah bukti bahawa mereka sebenarnya hanya berminat mendapat kekayaan kebendaan, bukan membina tamadun. Sebab itulah mereka mesti disebut dan dianggap sebagai pengkhianat.

Sekarang pengkhianat ini melemparkan semua jenis kejahatan kepada pejuang bahasa, dengan tuduhan paling keji bahawa para pejuang itu tak lebih daripada alat pembangkang untuk mencapai cita-cita politik mereka. Satu lagi jenis perlekehan para pengkhianat ini terhadap sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan mereka dan menentang mereka. Mengapa orang Melayu melahirkan dan membiarkan hidup pemimpin seperti ini? Semuanya kerana kekeliruan mereka terhadap peranan sebenar UMNO. Orang Melayu tidak diajar untuk membezakan antara “perunding” kemerdekaan, iaitu peranan UMNO dan para pemimpinnya yang ditaja oleh Inggeris (tegasnya: UMNO adalah tajaan penjajah Inggeris), dengan “pejuang” kemerdekaan yang sebenarnya.

UMNO telah berjaya menghapuskan nama-nama penting pejuang kemerdekaan dalam sejarah Malaysia, dengan mendakwa merekalah “pejuang” sebenar yang telah pun berjaya mendapatkan “kemerdekaan” daripada Inggeris tanpa tumpah setitik darah. Satu kejayaan besar dan satu keistimewaan, kata mereka. Mereka lupa pembunuhan terjadi selepas merdeka, hasil hasutan mereka setelah diketepikan dalam pilihan raya 1969. Sekarang mereka menunggu 13 Mei II untuk membuang dasar PPSMI ke Lautan China yang mereka harap akan terjadi untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Segala ucapan mereka pada waktu ini semuanya terarah untuk menimbulkan huru-hara, penuh amaran dan fitnah untuk menyediakan suasana yang membolehkan mereka mencetuskan huru-hara. Ada yang sampai melanggar Dewan Rakyat untuk menunjukkan kehebatan mereka. Sanggupkah orang Melayu berbunuhan kerana PPSMI? Nampaknya mereka disediakan oleh para pengkhianat ini untuk menuju ke arah itu. (9/3/2009)

(* Mohd Affandi Hassan ialah sasterawan, pengkritik sastera dan pemikir budaya yang banyak menghasilkan novel, cerpen dan artikel yang berkaitan budaya dan sastera Melayu. Beliau juga pesara PTD dan bekas pegawai tinggi dalam beberapa kementerian yang lantang menyuarakan pandangan dari kritikan yang bernas.)