Monday, September 7, 2009

DARI LAMAN BLOG

BANJIR BESAR DI KG BACANG MANTING
PEMBANGUNAN MENYUSAHKAN RAKYAT


Ketika masyarakat menjalani ibadah puasa disamping persediaan untuk menyambut hari kemerdekaan yang ke-52, jangan kita pinggirkana isu yang melanda penduduk di Kg Bacang Manting, Jelebu, Negeri Sembilan. Sukar untuk diramalkan perubahan cuaca yang kadangkala tidak diduga namun pembangunan yang sedang diratah di kawasan perkampungan Gagu telah mengakibatkan ekosistem berlaku perubahan besar dalam sejarah perkampungan Kg Bacang Manting.



Menurut salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai nek Safiyah, memberitahu pada malam 27 Ogos 2009 (Jumaat) selepas waktu berbuka puasa keadaan sekeliling rumah mula dinaiki air. Sehingga lewat pukul 9.00pm air mula naik sehingga ke paras dada. "Selepas berbuka nek megerjakan solat maghrib, selepas itu air mula naik di bahagian dapur dan naik sehingga ke tingkat atas. Nek suruh anak perempuan nek telepon bomba untuk dapatkan bantuan," keluh nek Safiyah. Menurut anak perempuan nek Safiyah, hujan pada ketika itu tidaklah selebat hujan sebelum ini yang dulunya pernah berlarutan selama seminggu. Ketika itu, keadaan banjir hanya pada paras buku lali dan surut beberapa jam selepas itu.



Namun banjir yang berlaku ini, turut diakui oleh penduduk yang dikenali sebagai Pak Tam. Menurut beliau, banjir yang berlaku pada Kg Bacang Manting adalah disebabkan oleh pembangunan yang dijalankan di Kg Gagu untuk membina empangan. Keadaan tanah yang tidak seimbang menyebabkan air yang datangnya dari Kg Gagu melimpah ke perkampungan Bacang Manting. "Orang lain sibuk sambut merdeka, kita pula dalam darurat. Kena bersihkan rumah yang disalut lumpur, malam terpaksa bergelap sebab plug dah dimasuki air. Telepon pun tak berfungsi", rungut Pak Tam.




Apa yang menghairankan pihak PRIMA, tidak ada berita dicanangkan di media cetak mahupun media elektronik mengenai banjir besar yang berlaku di perkampungan Bacang Manting. Kampung Bacang Manting juga hampir lupus, kerana namanya sudah tak tercatat dalam peta di daerah Jelebu (sekadar disebut dalam buku daftar Suruhanjaya Pilihanraya sahaja), kerana generasi sekarang mengenalinya sebagai ‘Kampung Teriang’ (sebenarnya Teriang atau Hulu Teriang ialah sebuah mukim merangkumi Kampung Gagu, Kampung Sungai Legom, Kampung Cenderak, Kampung Durian Gasing, Kampung Sepam, Kampung Tengah, Kampung Bacang Manting, Kampung Petaling, Kampung Seperi, Kampung Cempedak, Kampung Pianggu dan Kampung Durian Daun). Tak hairanlah, pengkritik sastera Drs Ramli Isin mengandaikan ‘Kampung Bacang Manting’ mungkin sahaja wujud dalam imaginasi pengarang.

Selepas seminggu perkara ini berlalu, kesannya pada penduduk amat dirasai kerana tidak ada seorang pemimpin dari kalangan orang politik sanggup turun menjengah ke kediaman penduduk yang dilanda banjir. Hanya sekadar memberi sumbangan dimana penduduk Kg Bacang Manting turun ke Kg Gagu untuk menerima wang tersebut. Hairan bukan kepalang, memikirkan gelagat 'mereka' yang berpakaian kot, bersepatu kilat takut mencalitkan lumpur di kaki seluar. Sumbangan satu hal, projek masih diteruskan. Apakah tindakan yang akan menyusul selepas banjir ini? Takkan sampai Kg Bacang Manting bertukar menjadi Tasik Bacang Manting? Astaga!


-Waris Pak Dharma

SASTERA DAN BUDAYA

SAJAK

...Kesan langsung yang dirasakan oleh sahabat Yassinsalleh bila
membaca sajak, Sewaktu Kami Terjun Tarzan. Beliau mengimbas
kembali pula zaman terjun tarzannya sendiri..

(SMS Beliau kepada Yassinsalleh : "abangku yassinsalleh
minta maaf lambat balas sms, sajak abang terjun tarzan mengingatkan

saya sayup ke zaman terjun tarzan saya pula.")


Zaman Terjun Tarzan

Terjun tarzan, main combat / vick morrow
panjat pokok pinang ambil upeh kering,
main kereta tarik.
Buat andang daun kelapa kering
untuk persiapan pergi mengaji,
lampu pelita minyak tanah.
Parut sagu untuk buat lempeng.
Pukul beduk di surau.
Pergi menjala di sungai.
Memasang lukah di parit-parit.
Mengahalau burung di sawah.
Mengangin padi di batas.
baju kurung sekolah agama buat baju raya
kasut plastic sekolah yang tercantik di dunia.
Malam pergi memanggil burung wak-wak untuk hidangan.

Jam 4:00 pagi bangun membantu ibu memotong getah
jam 5:30 pagi tinggalkan ibu keseorangan dalam kebun,
balik buat persiapan nak ke sekolah.
Petang balik dari sekolah
tambat lembu di tepi sungai sambil potong rumput.
Angkut pakai basikal jaguar karier besar, bapak punya.
Duduk belakang tak boleh kangkang
kelangkang sakit sebab karier terlalu besar.
Karier saiz satu guni / satu pikul (timbangan lama).
Basikal dah siap pakai simpan bawah rumah
sandar di tiang rumah
ikat dengan tiub basikal ynag dah tak pakai
takut tumbang,
nanti bapak marah
kena rotan batang ubi kekabu
kalau kena badan atau betis
melelas sampai tiga hari.

Roda basikal depan belakang lapik papan, sayang!
basikal cap anjing, beli seken hand
itu basikal kebanggaan keluarga.

Tutup reban ayam tugasan biasa
dilakukan tanpa arahan.
Sebelum maghrib mandi siap-siap
ke sarau nak pasang lampu geslem
sebelum bilal sampai.
Bulan puasa buat tapai,
petang jual tapai di simpang
jual kambing bobok dapat duit beli gula,
tepung dan lain-lain bahan
untuk buat kuih semperet dan kuih keras.
ada duit lebih beli ikan tongkol.
Upah penat bela kambing dapat mercun setepek
bakar hanya pagi raya saja

ada kawan sebaya dan beberapa orang yang senior
kira-kira campur tolak sepuluh orang
tiga puluh jus bagi sepuluh orang
dapat tiga jus
malam nuzul quran,
semua samdol-samdol ini mesti khatam di surau.
ayam kampong panggang, pulut kuning
hidangan istimewa.

Meriam buluh / meriam tanah
mesti direka bentuk mengikut akitek kampong
keselamatan diutamakan
simpan duit sekolah tiga bulan untuk beli karbait


Samad DEMila Luv
Seremban Negeri Sembilan
September 2, 2009