Monday, April 27, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI

What A Wonderful World

Hari ini hari
Ahad,
aku letak kereta
di tepi jalan
sekejap
masuk duit
mesin bank
bayar hutang
credit card.

Sampai kat kereta
polis tengah
tulis saman
salah parking
dedikasi betul
polis
hari cuti am pun
Sedia
Berkhidmat!

Nak bagi duit kopi
aku takut polis
tu nanti kata
"Encik tak nampak
ke kat dada saya ni?"
aku tengok,
menjerit megah
slogan:
KAMI BENCI
RASUAH
Alhamdullillah!

Aku pun pergi
Chow Kit
gunting rambut
bagi kontot
nanti tak payah
beli syampu,
mahal.

Sampai kat kereta
kono saman lagi den
ayo golo dek eh
jang oi,
padan muko den
gomarlanggar undang-undang
untung tak kono
lokap!
Alhamdullillah
Malaysia bertuah
polisnya amat dedikasi
dan benci rasuah.

Alhamdullillah
polis benci
rasuah
makanya
hukum lojik
merumuskan
justeru polis
benci rasuah
polis akan tangkap
semua orang yang rasuah.

Alhamdulillah
Masya Allah
siapa nanti nak ketuai
kampung dan mukim
sapa pula yang nak jaga
daerah dan wilayah
siapa pula yang
nak luluskan
balak dan AP
softwares dan hardwares
PPSMI
tergendala pula
nayalah anak-anak
nak belajar
nanti tak layak
pula jadi glokal.

Tapi syukurlah juga
takde menteri
yang akan kena
tangkap
kalau salah
parking
drebar
menterilah yang
kena saman
Alhamdullillah
pentadbiran negara
takkan terjejas
kerana polis
tak dapat nak
benci menteri
sebab menteri
tak ambil rasuah
menteri ambil
komisyen je!
Alhamdullillah
what a wonderful
world

-Yassinsalleh
jam 2317
April 09
esok nak motong
kumpul duit
nak bayar
kompaun dua saman
den kono jang oi.

Kalaulah Dalam Mimpi

"Tolong berhenti
nyanyi boleh
tak?"
khianatnyalah
nyanyian itu
mendera
bagaikan
menabur bara
pasir
ke mata fikir
nestapa.

Btapalah ya
mampunya aku
sekadar
menyisir rambutnya
bagaikan angin timur
menunda buih
ke pasiran rindu
yang tak
kesampaian.

Lagu yang kau
tak mau
kedengaran itu
kalaulah dalam
mimpi
itu adalah genta
sepiku
yang tak terbisikkan
itu adalah
rontaan rinduku
membenamkan
gelisah pilu yang singgah
kakinya luka
tertancap
pec ahan kaca
jendela yang
enggan terbuka.

Alahai
kalaulah sekadar
menyanyipun
sudah demikian
kau angkuh
serakah
betapalah gerangan
amarahmu meledak
sekiranya aku minta
pinjam sebiji viagra
dan angsa tua
yang kau tiduri
itu.

-Yassinsalleh
jam 2023
April 27, 09
mencari esok
untuk menempah lusa
yang tak tau
berkata-kata

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Wabak selsema babi merebak:
Kenapa orang banyak terlalu takut
Sebermula gemparlah orang banyak kerana wabak penyakit selsema babi merebak di negeri-negeri atas angin di Mexico, Amerika Syarikat dan New Zealand. Arakian akan Orangkaya Menteri Kesihatan Dato' Seri Liow Tiong Lai sudah menyuruh bilik gerakan dicergaskan untuk memantau wabak penyakit itu. Adapun sekali persetua wabak penyakit JE disebabkan haiwan babi merebak ia di negeri Melayu, tetapi ladang ternakan babi itu semakin banyak dibuat. Maka fakir pun berfikir di dalam hati, kenapa orang banyak terlalu takut dengan wabak selsema babi, tetapi tak takut mempersenda-senda heh heh heh!

Syahdan maka ada selang dua hari, raja China pun sakit gatal semua tubuhnya lalu menjadi kedal. Maka raja China menyuruh memanggil tabib, minta ubat. Maka diubati oleh tabib itu, tiada sembuh. Sebermula beberapa ratus tabib, tiada juga sembuh. Maka ada seorang tabib tua berdatang sembah (gerangannya di negeri Melayu juga ada tabib tua itu) pada raja China, demikian sembahnya, "Tuanku, seri kopiah, adapun penyakit kenohong ini tiada akan sembuh dengan ubat patik sekalian, krana penyakit ini bersebab datangnya." Maka titah raja China, "Apa sebabnya penyakit ku ini?"

Arakian maka sembah tabib itu, "Tuanku ini tulah oleh raja Melaka berkirim sembah itu; dan jika tiada air basuh kaki raja Melaka Tuanku santap dan basuhkan muka, tiada akan sembuh penyakit Tuaku ini." Maka tiadalah tabib Melayu berani berdatang sembah kepada raja Melaka memberitahu perkara yang benar, kerana apabila sekalian anak-anak muda itu duduk sesamanya mereka akan berpantun:

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan
Burung terbang dipipiskan lada.

Syahdan demikianlah yang disampaikan kepada fakir dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Konsep 'Kerajaan Perpaduan'
Pilihan Ku Li atau Hadi Awang?

Assalamualaikum,

Presiden PAS Dato' Seri Haji Hadi Awang menarik balik saranannya berkaitan 'Kerajaan Perpaduan', tetapi sebelumnya gagasan berkenaan sudah disuarakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Pergolakan dalam PAS juga sukar dibendung apabila pandangan Hadi Awang mengenai kerajaan campuran bersama UMNO disanggah oleh Dato' Nik Aiz Nik Mat, Mursyidul Am PAS. Malah ura-ura mahu mencalonkan Nik Aziz bagi jawatan presiden parti Jun 2009 ini mula kedengaran, sekalipun kedua-dua pimpinan terbabit menolak sebarang spekulasi pertandingan jawatan Presiden PAS.


'Kerajaan Perpaduan' memang idea Tengku Razaleigh sebelum pemilihan UMNO Mac 2009 lalu, tetapi tak menyebut secara terperinci. Selepas gagal dicalonkan bagi jawatan Presiden UMNO, Tengku Razaleigh turut mengambil sikap berdiam diri. Sebaliknya Tengku Razaleigh tak boleh berharap 'Kerajaan Perpaduan' itu disokong oleh UMNO, ketika mereka menolak secara total dalam pimpinan. Malah sebahagian aktivis UMNO sendiri tak berapa yakin dengan kemampuan Tengku Razaleigh atas alasan era gemilangnya sudah berakhir.

Tengku Razaleigh secara kronologi adalah sama seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim yang gagal dalam persaingan politik menentang arus deras kelicikan 'The art of possible' Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi Anwar cuba bangkit seperti keperihalan Tun Dr Lim Chong Eu yang dicantas oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 1958. Dr Lim Chong Eu tak bangkit bersendirian, tetapi memerlukan sokongan daripada Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Profesor Dr Syed Hussein al-Attas, V. David, V Veerapan dan lain-lain profesional. Justeru Tengku Razaleigh tak mampu bersendirian, apalagi mengharapkan skongan aktivis UMNO sendiri.

Konsep 'Kerajaan Perpaduan' sudah disambut oleh Hadi Awang, tetapi seolah-olah tak menerima restu Nik Aziz. Tengku Razaleigh masih kekal mempunyai populariti di Gua Musang yang sukar digugat oleh lawannya sama ada UMNO, PAS mahupun PKR, tetapi beliau tak mampu melebar pengaruh berkenaan ke seluruh negeri Kelantan. Malah Tnegku Razaleigh masih mampu bertahan, ketika Tun Musa Hitam sukar menyaingi kelicikan Tun Dr Mahathir. Senario politik sekarang dikatakan banyak dicorakkan oleh Tun Dr Mahathir, tetapi ianya sekadar spekulasi. Apakah di tengah senario sekarang, Tengku Razaleigh mampu merealisasikan 'Kerajaan Perpaduan'.


-Pak Dharma

AHMAD NIZAM MENULIS...

Wan Esah ibu Manap Jepun:
Siapa terhutang budi kepadanya?

Siapa berjasa kepada siapa? UMNO berjasa kepada Melayu atau bangsa Melayu berjasa kepada UMNO? Barangkali yang diungkapkan melalui laman blog http://www.matamin.blogspot.com/ hanya sekelumit perjuangan bangsa Melayu. Apalagi yang berkaitan dengan sumbangan Manap Jepun menyelamatkan nyawa Allahyarham Dato' Hussein Taib; iaitu ayahanda Tun Abdul Razak dan datuk kepada Dato' Seri Najib, Perdana Menteri sekarang. Barangkali juga Dato' Najib tak pernah tahu mengenai Manap Jepun (gambar dengan ihsan muzium sejarah Kampung Chulaborn Patana 12, Thailand) dan Wan Ali tokoh gerila Melayu yang berjuang di sekitar Jerantut, Pahang sekitar dekad 1950-an.

Dalam buku 'Askar Melayu 50 Tahun' (Tan Sri A Samad Idris; Pustaka Biduman, KL, 1983) juga menyebut keberangan Brigedear Jeneral Syed Muhammad al-Sagoff kepada Inggeris kerana meletakkan mayat Manap Jepun di bumbung kereta, kemudian diarak di pekan Jerantut. Ketika itu Syed Muhammad al-Sagoff sekadar berpankat leftenan sahaja. Maknanya, Askar Melayu yang terdahulu teta menghargai pejuang gerila Melayu seperti Manap Jepun, Wan Ali, Abu Samah Kassim, Abdullah CD dan ramai lagi. Tetapi apa sumbangan Najib terhadap pejuang-pejuang bangsa in?

Dalam blognya Mat Amin mengungkapkan: "Sewaktu penjajahan Jepun,Dato Hussien menjadi Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Temerloh yang telah dijawatnya semenjak tahun 1924. Sewaktu Jepun menduduki Temerloh,maka bermulalah kisah ini yang tidak pernah dicatat di dalam mana-mana buku sejarah, Orang Kaya Indera Shah Bandar Ke-9 Dato Hussien Bin Mohd Taib telah ditangkap oleh Kempetai Jepun atas tuduhan menjadi tali barut Inggeris. Jepun yang terkenal dengan keganasan mereka diluar perikemanusiaan akan menyiksa siapa sahaja yang ditangkap tidak kira yang ditangkap itu bersalah atau sebaliknya malah bukti juga tidak perlu cukup sekadar syakwasangka sahaja.

Itulah nasib yang menimpa Dato Hussien apabila beliau ditangkap dan dibawa ke Rumah Pasung Temerloh. Ketua Polis Jepun ketika itu dikenali dengan nama Tuan Nagai yang cukup terkenal dengan kebengisannya. Diceritaka jika ada anak-anak kecil yang nakal, maka si ibu akan memberikan amaran jika tidak dengar kata akan dihantar jumpa Tuan Nagai; malah anak-anak kecil yang merengek atau menangis pun akan berhenti merengek jika nama Tuan Nagai ini disebut. Begitulah reputasi Tuan Nagai dikalangan masyarakat orang Melayu di Temerloh ketika itu.

Maka dapat dibayangkan layanan yang diterima oleh Datok Hussien tatkala beliau dibawa ke Rumah Pasong untuk diinterrogasi oleh Kempetai Jepun. Pelbagai siksaan dikenakan terhadap Orang Besar Pahang ini tanpa henti. Menjadi "adat" Jepun,mereka yang ditangkap akan disiksa di khalayak ramai kononnya untuk dijadikan contoh. Malah sering dikatakan,mereka yang bernasib baik ialah yang kena libasan katana,pedang samurai Jepun untuk "potong kepala" kerana tidak perlu melalui penyiksaan Jepun.

Dato Hussien disiksa di khalayak ramai.Beliau diikat di sebatang tiang di hadapan Sekolah Cina (Sekolah Rendah Khee Chee ketika ini) dan menderita disiksa Jepun dengan pukulan serta kaedah "water treatment" yang terkenal itu, yakni diberi minum berbaldi air sabun.Tidak ada walau seorang pun yang berani membantu beliau.Hanya sekadar memerhatikan dari jauh sambil didalam hati bersyukur kerana "bukan aku yang kena". Di dalam keadaan Dato Hussien mengalami siksaan dan penderitaan sebegitu rupa, rupa-rupanya ada seorang perempuan yang berhati mulia punya keberanian untuk membantu beliau dan berhadapan dengan Jepun yang zalim itu.

Wanita itu yang rumahnya berhampiran dengan Sekolah Cina tempat Dato Hussien disiksa rupa-rupanya tidak dapat menahan diri melihat penyiksaan terhadap Dato Hussien.
Wanita tersebut dikalangan orang Temerloh di panggil Wan Esah. Suaminya Aki Sewang,bekas kelasi kapal.Wan Esah ini berasal dari Jepun berkahwin dengan Aki Sewang dan dibawa menetap di Temerloh.Wan Esah dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup masyarakat Melayu Temerloh malah khabarnya cukup fasih bercakap loghat Temerloh dengan lidah Jepun.

Perkahwinan Wan Esah dengan Aki Sewang melahirkan sepasang anak;putera pasangan ini menjadi tokoh terkenal sewaktu zaman darurat iaitu Manap Jepun,manakala puteri mereka hanya dikenali dengan nama Bi. Manap Jepun memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris dengan menyertai Rejimen Ke-10*,PKM.Noel Barber,pengarang Inggeris yang terkenal itu,didalam bukunya War Of The Running Dog ada menyentuh tentang kisah Manap The Jap ini.
Suatu kisah yang ironi dan tragiks ialah berkenaan adik ipar Manap Jepun,suami kepada adik perempuannya,Bi,meninggaldunia di tembak gerila PKM di jalan Triang apabila bas yang ditumpanginya kena ambush.

Menurut narasumber kejadian malang ini berlaku kerana mereka tidak ada maklumat tentang adik ipar Manap Jepun,jika mereka tahu,kejadian malang ini tidak akan berlaku.Narasumber saya tidak dapat mengingati nama adik ipar Manap Jepun ini.Manakala kejadian lain yang berlaku kepada abang ipar Manap Jepun (abang kepada isterinya),juga orang Temerloh yang dikenali dengan nama Mat Zali.Mat Zali juga memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris.Di Pulau Tawar,berikutan tawaran menyerah diri oleh pihak Kerajaan dan kerana mempercayai janji Dato Yeop Mahidin,Mat Zali mengambil keputusan untuk keluar dan menyerah diri kepada orang kampung tersebut.

Beliau keluar ke Kampung Pulau Tawar dengan membawa senjata sepucuk senapang carbine yang tidak berisi peluru dengan niat menyerah diri. Apa yang berlaku,orang kampung kemudiannya membuat laporan kononya Mat Zali ditangkap,bukannya menyerah diri, semata-mata kerana hendak menuntut wang reward (reward money) dari Kerajaan.Mat Zali akhirnya dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Inggeris diatas fitnah tersebut padahal beliau sebenarnya menyerahdiri dan bukannya ditangkap homeguard.

Berbalik kepada kisah penyiksaan terhadap Dato Hussien,Wan Esah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Tuan Nagai.Maka pergilah wanita mulia ini ke Rumah Pasong Temerloh mengadap Tuan Nagai yang bengis itu.Wan Esah akhirnya berjaya memujuk Tuan Nagai untuk membebaskan Dato Hussien dari tahanan dan penyiksaan Jepun. Dato Hussien setelah dibebaskan dari penyiksaan Jepun,kembali ke Bentong.Beliau dan seluruh keluarganya,saya kira,berhutang nyawa dengan Wan Esah,ibu kepada pejuang Manap Jepun.

(*Ahmad Nizam Hamid ialah peguambela an peguamcara, trbabit dalam gerakan persuratan dan pendeklamator puisi. Aktivis Dewan Persuratan Melayu Pahang [DPMP], beliau juga pengedali laman blog www.lanailestari.blogspot.com)

DARI HARAKAHDAILY...


Isu model Indonesia hilang:
Husam tak mahu anggapan negatif

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa berharap media tempatan dan luar negara menghentikan tindakan memburukkan rumahtangga Tengku Temenggong Kelantan, berikutan laporan hubungan baginda dengan isterinya kelihatan sentiasa mesra sejak berkahwin tahun lalu. Sebelum ini katanya, pasangan diraja tersebut sering hadir pada program anjuran pihak istana dan kerajaan negeri. "Jadi tidak timbul lagi ia berlaku sebagaimana dilaporkan sesetengah media sebelum ini," ujarnya pada majlis kenduri sempena perkahwinan anaknya di sini, semalam (26 April 2009).

Tengku Muhammad Fakhry Petra bersama isteri, Cik Puan Temenggong yang berasal dari Indonesia turut berangkat ke majlis kenduri di rumah Husam di Kampung Kota kira-kira jam 1.30 petang. Kenduri kesyukuran itu diadakan sempena menyambut menantu iaitu isteri kepada anak sulungnya Ahmad Syafi?, 21 - Indah Purnama Sari, 19 juga berasal dari Indonesia.
Sebelum ini ibu kepada Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, Daisy Farajina mendakwa sebagaimana disiarkan media di Indonesia anaknya menghadapi masalah rumahtangga.

Sehubungan itu Husam yang juga Naib Presiden PAS berharap pihak tertentu supaya tidak lagi menyebar berita negatif terhadap pasangan terbabit. "Biarkan pasangan diraja berkenaan hidup dengan aman dan melayari bahtera rumah tangga mereka tanpa campurtangan pihak lain," katanya. Sementara itu, anak Husam dan pasangannya diijabkabul di Banten, Tangrang, Jakarta pada Disember lalu.

Indah Purnama Sari anak kedua daripada tujuh adik beradik merupakan anak kepada pegawai kerajaan Republik Indonesia, Haji Didin Solahuddin Aep Hasbuna. Pada majlis itu Tengku Temenggong kelihatan mesra dan sesekali ketawa bersama isterinya. Pasangan diraja itu sempat meraikan pengantin dan beramah mesra dengan Husam dan isterinya, Datin Rohana Abdul

INFO ANTARABANGSA...

Dunia makin cemas
Angkara selsema babi

Malaysia didesak secara sinikal membantu dunia yang cemas seperti dilaporkan akhbar arus perdana hari ini (27 April 2009) menggunakan ISA, OSA atau Akta Polis bagi menghalang virus selesama babi yang mengancam dunia sekarang. Desakan itu dibuat oleh aktivis PAS di Jelebu, Haji Hassan Abdul Rahman ketika menziarahi guru agama di Kampung Teriang, Tuan Haji Abu bin Saat, 93 yang berpulang ke rahmatullah petang ini (26 aPRIL 2009). Katanya, Malaysia tak perlu bimbang dengan selsema babi, kerana ianya lengkap dengan ISA, OSA dan Akta Polis, apabila media elektronik melaporkan ancaman virus berkenaan di Mexico semalam.

Dalam laporan akhbar arus perdana hari ini memperlihatkan petuga lapangan terbang di Mexico City melakukan pemeriksaan ketat terhadap para penumpang bagi mencegah menularnya wabak virus selesema babi. Sehingga semalam, wabak itu telah mengorbankan 81 nyawa, memetik laporan agensi berita AFP. Jumlah kematian akibat selesema babi di Mexico semalam, meningkat kepada 81 orang berbanding 68 orang kelmarin. Wabak itu mula menular ke Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah mangsa meningkat 10 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan itu berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak
di seluruh dunia. Di Malaysia, orang ramai diminta segera berjumpa doktor jika ada simptom batuk, demam dan sakit badan.Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan.Malaysia Airports Holdings Berhad akan memantau penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS mulai hari ini.

ANWAR & BOLA


Kemuncak bolsepak piala FA 09:
Anwar diberi sambutan istimewa

Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih diberi penghormatan daripada pimpinan kerajaan negeri, apabila tampil menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala FA 2009 antara Selangor dan Kelantan. Sama ada secara kebetulan atau disengajakan pihak penganjur seolah-olah bersetuju Anwar menjadi wira sukan bolasepak, hingga kenamaan lain seolah-olah sudah diketepikan. Justeru Anwar melabelkan perlawanan akhir bolasepak itu sebagai acara kemuncak Pakatan Rakyat, seperti diungkapkan beliau menerusi laman blognya. Heh heh heh!

"Sabentar tadi saya hadhir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2009 antara Selangor dan Kelantan. Antara pimpinan yang hadhir termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid, YB Azmin, YB Yaakob Sapari dan saudara Shamsul Iskandar. Kelihatan juga YM Tengku Faris Petra dan juga barisan kepimpinan KAFA di pentas VIP. Turut serta adalah Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Perlawanan ini dikategorikan ‘perlawanan panas’, sehingga memaksa pasukan polis mengerah ratusan anggotanya mengawal keamanan di sekitar stadium.

Pun begitu,profesionalisme kedua-dua belah penyokong jelas terlihat tanpa sebarang insiden provokasi yang keterlaluan.Ada yang bertanya pasukan mana yang saya sokong. Haha! Bukankah kedua-duanya pasukan Pakatan Rakyat? Pun demikian, penentuan menerusi sepakan penalti di penghujung perlawanan telah menobatkan pasukan Selangor sebagai juara Piala FA tahun ini.Tahniah saya ucapkan buat barisan pemain! Semuga kejayaan malam tadi bakal membangkit semangat untuk terus mengukir kecemerlangan."

-ANWAR IBRAHIM