Thursday, January 1, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:


PENCAPAIAN 25.6% DALAM PPSMI
PMR SEKADAR DITURUNKAN GRED




Assalamualaikum,




Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 seolah-olah memberi paspot kepada Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dengan segala kepongahan mahu meneruskan agenda PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Daripada 472,060 calon PMR, 26,378 pelajar lulus dengan gred A atau 5.96% bagi semua mata pelajaran. Aduhai! Kononnya penguasaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik meningkat berdasarkan keputusan di atas kertas, untuk memberi paspot kepada Dato’ Seri Hishamuddin. Tetapi bagi mereka yang terbabit dengan PMR sama ada guru-guru mahupun kesatuannya memahami tahap gred sengaja diturunkan bagi propaganda kononnya anak-anak Melayu berjaya cemerlang apabila 25.6% mencapai prestasi PPSMI bagi PMR tahun ini.




Mungkin sahaja Dato’ Seri Hishamuddin tak mampu menyorokkan bangkai gajah di sebalik daun lalang sehelai, apabila jumlah graduan menganggur meningkat secara mendadak. Rakyat Malaysia wajar diberitahu ada kalangan pelajar yang lulus akauntans sekadar mampu menjadi guru di sekolah rendah, malah lulus syarie di Universiti Azhar, Kaherah pun balik ke tanah air untuk mengajar di sekolah rendah. Graduan yang turut berbangga memperoleh ijazah dengan kepujian kelas pertama tak berupaya membuat praktikal, disebabkan kelulusan bersandar kepada kekuatan menghafal. Justeru anak Melayu yang keluar meninggalkan IPTA/IPTS dengan segulung ijazah, memang sebelah mata pun pihak korporat atau syarikat-syarikat bukan Melayu tak sudi memandang.



Dasar pendidikan yang berbangga dengan pencapaian menerusi di atas kertas dengan menurunkan tahap gred untuk mengabui mata ibu bapa yang menyangka anak-anak mereka lulus cemerlang Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, semata-mata mahu dijadikan propaganda kepada kejayaan kementerian pelajaran melaksanakan agenda PPSMI. Aduhai! Cukuplah pelajar-pelajar Melayu dijadikan eksprimen pada pasca merdeka dengan kegelojohan UMNO melaksanakan ‘sekolah menengah Melayu’ dengan tak mempunyai persediaan bagi IPTA Melayu, guru-guru terlatih dan buku-buku teks yang mencukupi. Pelajar-pelajar terbabit melongo sebaik sahaja lulus di peringkat SPM (atau setaraf MCE) dengan kertas peperiksaan masih dikendalikan oleh Oxford, kerana tak wujud lagi IPTA untuk mereka.




Tak seorang pun pelajar-pelajar terbabit terus mengambil peperiksaan HSC untuk ke IPTA (ketika itu Universiti Malaya sahaja), sebaliknya melongo sebagai penganggur, memohon jawatan guru normal class, DTC atau maktab perguruan. Majoriti bekas pelajar-pelajar terbabit adalah daripada keluarga prolitar di kampung-kampung, bagi memenuhi kemahuan pimpinan UMNO dalam menghadapi pilihanraya 1959. Tunku Abdul Rahman terpaksa memenuhi tuntutan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KKGMS) yang mendesak disegerakan pelaksanaan sekolah menengah Melayu, semata-mata mahu meningkatkan populariti UMNO menjelang pilihanraya1959 dalam krisis dengan MCA pimpinan Tun Dr Lim Chong Eu pada 1958.

PPSMI bukan sahaja menghina pengorbanan bekas pelajar-pelajar yang dieskprimen, malah tak mempedulikan pengorbanan mereka bagi menaikkan populariti UMNO pada pilihanrayan 1959. Pelajar-pelajar pendidikan menengah Melayu ketika itu, terpaksa menumpang di bangunan sekolah lain (macam bangsat), guru-guru lepasan Kirkby College di United Kingdom menterjemahkan sendiri buku-buku teks semasa mengajar (sebelum DBP menerbitkan buku-buku kimia, fizik, sains tambahan, geometri dan algebra secara terjemahan pada 1960), malah mereka berhadapan dengan seribu satu macam kesulitan. Apalagi ketika itu Dato’ Onn Jaafar pemimpin Parti Negara terus membangkitkan isu kepentingan Melayu yang memeningkan kepala pimpinan UMNO.

Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:


LEBIH 48 JAM JENAZAH TAK DIKEBUMI
ALIM AGAMA WAJAR TAMPIL JELASKAN




Banyak pihak terkilan dengan isu kelewatan permakaman jenazah Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman melebihi 48 jam yang mangkat pada 27 Disember 2008 jam 11.45 pagi, kemudiannya istiadat permakaman dijalankan 29 Disember 2008 kira-kira jam 4.45 petang atau selepas asar. Menurut pemerhati-pemerhati, adalah tak munasabah kelewatan tersebut disebabkan menunggu kepulangan putera-putera baginda di luar negara, kerana hukumnya amat jelas jenazah seseorang mukmin perlu dikebumikan seberapa segera. Justeru kata pemerhati-pemerhati terbabit, alim agama termasuk dari parti-parti politik Islam perlu memberikan penjelasan. “Pada tarikh berkenaan tak berlaku sebarang darurat bagi melambat-lambatkan permakaman,” beritahu kalangan pemerhati.


Seterusnya pemerhati-pemerhati terbabit meminta, pihak jabatan agama seharusnya memberikan penjelasan sama ada melambat-lambatkan pengkebumian jenazah seseorang mukmin dibenarkan bagi menunggu kepulangan keluarga. Ketika membuat huraian itu, kalangan pemerhati terbabit berasa musykil apabila pihak jabatan agama mengambil sikap sambil lewa dengan tak menasihatkan pihak berwajib dalam urusan keagamaan. Isu kelambatan permakaman Almarhum Tuanku Jaafar bukan diperkatakan di Negeri Sembilan sahaja, malah turut mendapat perhatian umat Islam di Malaysia. “Justeru tak hairanlah satu perbincangan akan dibuat TV Bernama secara langsung hari Sabtu (3 Januri 2009) ini jam 10.00 malam menerusi saluran 502,” menurut sumber berkenaan.


PEMBUNUH BAHASA MELAYU
PENGKHIANAT DAN ‘BAHLUL’ SEJARAH


Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato’ Dr Hassan Ahmad melabelkan golongan yang menjadi pembunuh Bahasa Melayu sebagai pengkhinat dan ‘bahlul’ sejarah. Serentak dengan itu beliau menggesa PRIMA dan kumpulan aktivis bahasa melengkapkan memorandum bersepadu kepada pembunuh-pembunuh Bahasa Melayu sebagai mesej bersama, dua minggu dari tarikh 31 Disember 2008. Dato’ Dr Hassan dalam amanatnya kepada khalayak yang menyertai malam baca puisi PRIMA di kediaman Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz malam kelmarin menyebut, beliau tak pernah menolak bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, tetapi pelaksanaan PPSMI memperlihat kebahlulan mereka yang tak memahami sejarah bahasa.


“Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa ilmu sejak lebih 400 tahun dulu iaitu sama dengan perkembangan bahasa Inggeris di barat,” beritahu beliau yang terbabit sebagai penyelidik bahasa sejak berkhidmat di DBP. Dato’ Dr Hassan yang turut menjadi penggerak dalam mengarak ‘Keranda 152’ pada 1966, mengingatkan PRIMA tak perlu mengulangi strategi 1966 apabila melebarkan aktiviti baca puisi di Pasir Salak 24 dan 25 Januari 2009 ini, tetapi menggerakkan strategi baru bagi menyampaikan mesej yang lebih keras kepada pembunuh-pembunuh Bahasa Melayu dan ‘bahlul’ sejarah. Sambil merujuk kepada pakar-pakar jantung di IJN mencapai tahap kemahiran sekarang adalah berdasarkan sistem pendidikan terdahulu iaitu sebelum wujud PPSMI enam tahun lalu.


Di samping menyifatkan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) sebagai tak mempunyai ciri-ciri ‘kejantanan’, Dato’ Dr Hassan mengajak penyair, penulis dan aktivis bahasa kembali ‘menjantankan’ Gapena. Menurutnya, IJN yang dikomersilkan kepada syarikat korporat tak pernah mengajar tenaga pakar di hospital berkenaan berunding dalam usaha mempertingkatkan pengurusan, sebaliknya perundingan dijalankan berdasarkan ringgit dan sen bersama syarikat korporat terbabit. Menurutnya usaha Gapena untuk menyaman tak akan mencapai sasaran selagi institusi kehakiman dikuasai oleh pembunuh-pembunuh bahasa. “Jangan fikir dua subjek sahaja diajar dalam bahasa Inggeris, tetapi mengandungi 89 subjek pengajian tersebut hingga ke IPTA/IPTS yang akhirnya membunuh Bahasa Melayu,” kata Dato’ Dr Hassan.


TIGA BEKAS PELAJAR MELAYU
TAMPIL LAWAN PELAKSANAAN PPSMI


Tiga bekas pelajar pendidikan Melayu yang dieksprimen dengan penubuhan sekolah menengah Melayu secara tergesa-gesa oleh kerajaan UMNO/Parti Perikatan pada 1950-an bagi menghadapi pilihanraya 1959 tampil bersama peguam Siti Maryam Othman dalam majlis baca puisi menjelang tahun baru malam kelmarin (31 Disember 2008). Mereka yang terbabit ialah sasterawan Dharmala N.S. (Pak Dharma) sebagai pelajar eksprimen di Negeri Sembilan, aktivis budaya penyair Yassinsalleh yang dieksprimen di Pahang dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pelajar eksprimen di Perak. Dato’ Dr Mohd Mansor yang mewakili tiga bekas pelajar terbabit menjelaskan, “Kami akan melawan habis-habisan sehingga kerajaan UMNO sedar kesilapan dan dosa besar mereka kepada bangsa Melayu.”


Sambil merujuk kepada pertemuan pimpinan PRIMA diketuai Pak Dharma pada 15 Ogos 2007 dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau bersetuju dengan saranan untuk menghantar mesej kepada pimpinan negara. Dalam pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu, pimpinan PRIMA mengakui bekas Perdana Menteri meminta maaf kepada rakyat Malaysia sekiranya beliau membuat kesilapan semasa mentadbirkan negara. Malah Tun Dr Mahathir menasihatkan supaya terus menyampaikan mesej bagi membawa perubahan, kerana yang bersalah bukan UMNO sebaliknya orang-orang tertentu di dalam UMNO. “Justeru dalam usaha menentang PPSMI kami menerima nasihat Tun Dr Mahathir untuk menyampaikan mesej kepada Dato’ Seri Hishamuddin,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


PENGUNDI DI TERENGGANU DIGESA
SAMPAIKAN MESEJ MENOLAK PPSMI


Pengundi-pengundi Melayu digesa menyampaikan mesej kepada pimpinan UMNO dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari 2009 ini sebagai manifestasi menolak PPSMI. Gesaan tersebut dibuat oleh Jurucakap PRIMA yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dalam majlis baca puisi sempena tahun baru malam kelmarin (31 Disember 2008) di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail. Katanya, kekalahan calon UMNO di Kuala Terengganu sahaja boleh menyedarkan Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, betapa bangsa Melayu menolak sama sekali PPSMI yang menghina kedaulatan Bahasa Melayu. “Kalau mahu tingkatkan Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar Melayu, subjek sastera Inggeris yang perlu diberi penekanan,” menurut Dato’ Kamal Amir.



Sementara itu pimpinan UMNO Kelantan Dato’ Suhaimi Yaakob mahukan semua orang Melayu tak mengira aktif dalam politik yang berbeza, bersatu menggembeling tenaga bagi mendaulatkan Bahasa Melayu. Dato’ Suhaimi yang turut membaca puisi bagi memberi sokongan moral kepada PRIMA tergesa-gesa meninggal majlis kira-kira jam 11.00 malam apabila diminta oleh Persatuan Anak Melayu Kelantan di Kuala Lumpur menghadiri majlis tahun baru mereka di Ampang. “Sekalipun saya mempunyai tiga acara penting pada malam, tetapi saya memilih baca puisi PRIMA bagi diutamakan kerana ianya perjuangan Bahasa Melayu yang membabitkan semua golongan orang Melayu yang berbeza fahaman politik,” katanya apabila meninggalkan majlis.




INFO SASTERA & BUDAYA:


BACA PUISI SEMPENA TAHUN BARU
MANIFESTASI RAKYAT MENOLAK PPSMI



Majlis baca puisi di kediaman Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di Taman Tun Dr Ismail sempena tahun baru malam 31 Disember 2008 dihadiri ramai penyair tersohor dan aktivis bahasa yang menolak agenda kerajaan mahu melaksanakan PPSMI (Pengajaran dan Pebelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Antara barisan penyair dan aktivis bahasa terbabit termasuklah Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dato’ Ruhanie Ahmad, Yassinsalleh, Dato’ Dr M. Ashikin, Dr Seri Intan Mokhtar, L. Mankadir Shamsi, Pyan Habib, Zakaria Bidin (Zek), Dato’ Kamal Amir, Pak Dharma, Dato’ Suhaimi Yaakob, Haji Mohd Sayuti Omar (MSO), Yasleh Rita Ayu, Peguam Siti Maryam Othman, Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah (Presiden Kelab Penyokong Kerajaan) dan ramai lagi jemputan dan rakan-rakan tuan rumah.


Penyair Pyan Habib menjadi tumpuan dalam isu menolak PPSMI menerusi dua buah puisinya ‘Surat Kepada Tuan Perdana Menteri’ dan ‘Surat Kepada Gapena’ dengan tepukan gemuruh daripada khalayak. Apalagi bait-bait sinikal Pyan Habib yang menyebut ‘turunkan seluar Gapena, hingga terbuka ke terkemaluan’, di samping ‘Surat Kepada Tuan Perdana Menteri’ mengingatkan ‘Tuan Perdana Menteri’ akan kebodohan rakyat semakin bertambah bodoh dengan dasar PPSMI itu. Sekalipun dasar PPSMI dilaksana pada period pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi khalayak tak menyalahkan beliau yang sudah bersara. Sebaliknya pimpinan sekarang bertanggung jawab kerana meneruskan legasi dasar yang tak menguntungkan bangsa Melayu.


BACA PUISI PRIMA DITERUSKAN
PAHANG BERSEDIA JADI TUAN RUMAH


Mesej penentangan terhadap PPSMI yang digerakkan oleh PRIMA akan diteruskan ke Terengganu dan Pahang dijangka pertengahan Januari 2009, kata aktivis masyarakat di Pahang, L. Mankadir Shamsi. Memberitahu sekretariat PRIMA ketika majlis baca puisi sempena tahun baru di Taman Tun Dr Ismail kelmarin (31 Disember 2008), Mankadir berkata, majlis baca puisi akan diadakan di pekan Lancang dikediaman Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia, Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku). Menurut Mankadir, Abang Engku sudah memberikan persetujuan bagi memastikan kedaulatan Bahasa Melayu tak diperkotak-katikkan. “Saya akan berbincang dengan rakan-rakan di Terengganu bai membawa mesej PRIMA dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dijangka 17 januari 2009,” beritahu Mankadir.


Seterusnya Mankadir menjelaskan, PRIMA tak menjadikan ianya isu politik, tetapi tetap menggunakan setiap saluran bagi menyampaikan mesej menolak PPSMI. Memang kami menyedari kepongahan kerajaan UMNO yang degil sekalipun dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’, sebaliknya PRIMA tetap bersikap macam memukul ular tengah belukar; ularnya biar mati, kayu pemukul jangan patah, tanahnya jangan lembang. Justeru dalam menghadapi isu PPSMI, kita sedia bersemuka dengan menterinya mahupun Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. “Kami menyokong sebarang pertemuan dengan pimpinan kerajaan dalam isu PPSMI, malah bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad juga bersedia mewakili PRIMA,” katanya menambah.


MENERUSKAN PENGAJIAN SARJANA
MASA TERLUANG DATO’ RON KE UKM


Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC) Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron) menggunakan masa terluang melanjutkan pengajian peringkat kesarjanaan di UKM sejak pertengahan tahun ini (2008). Beliau yang juga ahli lembaga pengarah Utusan Melayu (M) Bhd dan bekas ahli Parlimen Parit Sulong tak terkilan dengan keputusan UMNO tak mencalonkannya untuk bertanding Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan Mac 2009 nanti. Dalam mesyuarat UMNO peringkat Bahagian yang berakhir November 2008 lalu, Dato’ Ron sekadar memperoleh 8 pencalonan sahaja dengan tak melepasi kouta 10 pencalonan bagi jawatan MT seperti yang ditetapkan. “Sebagai ahli parti yang setia, saya tak terkilan dengan keputusan tersebut,” katanya.


Sementara itu pendeklamator Yasleh Rita Ayu pula meneruskan pengajian di peringkat kesarjanaan bagi memperoleh Phd di Universiti Malaya. Beliau yang turut mendeklamasi sajak sempena tahun baru anjuran PRIMA kelmarin (31 Disember 2008) memberitahu akan terus menyertai siri baca puisi menentang PPSMI. Sekalipun sibuk dengan kuliah pengajian, tetapi Yasleh tak keberatan membabitkan diri dalam gerakan mendaulatkan perjuangan Bahasa Melayu. Menurutnya, tak ada apa-apa lagi yang boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu untuk generasi akan datang, kecuali bahasanya yang semakin tercabar. “Kita akan kehilangan segala-galanya kalau Bahasa Melayu diinjak-injak oleh pimpinan Melayu sendiri,” beritahu Yasleh.



LAWAK ZEK MEMANG MENGHIBUR
BAHASA MELAYU KAYA DENGAN IDEA


Di samping beberapa pendeklamator bersemangat dalam majlis baca puisi PRIMA di kediaman Dato’ Kamal Amir di Taman Tun Dr Ismail, pengerusi majlis Zakaria Bidin (Abang Zek) berjaya mencuri perhatian dengan lawak spontannya mengendalikan majlis berkenaan. Bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad yang juga ‘abang long’ beliau, turut terpesona dengan gelagat Abang Zek sepanjang majlis berkenaan. Abang Zek bukan sahaja mampu membuat 35 ayat spontan dengan dimulakan huruf ‘j’, malah menyusun cerpen dengan perkataan ‘ri’. Tak siapa menyangka Abang Zek membuktikan kekayaan idea Bahasa Melayu yang diperlekeh oleh kerajaan menerusi PPSMI menerusi 35 ayat bermula huruf ‘j’ dan cerpen daripada perkataan ‘ri’.



Bermula dengan ‘Jamal’ pergi ‘joging’ lalu ‘jumpa’ ‘Jamilah’ yang ‘jeling-jeling’ menyebabkan si Jamal ‘jatuh’, Abang Zek terus menyusun ayat dari huruf ‘j’ hingga kepada 32 ayat. Dengan kekurangan tiga ayat, Abang Zek menyelitkan pula ‘jeng jeng jeng’ merujuk kepada ‘jeanne, jeanne, jeanne’ bagi mencukupkan 35 ayat. Begitu juga cerpennya yang menggunakan perkataan ‘ri’; daripada pasangan suami isteri, ke pasar sari, dengan anak tiri, di samping mencari-cari sampai tengahari, Abang Zek terus menggamatkan majlis kerana ke rumah Perdana Menteri, yang tak ada isteri, jumpa Nuri dan menantunya Khairy, bincang fasal Islam Hadhari. “Pandai juga budak ni melawak,” kata Dato’ Dr Hassan terkekeh-kekeh dengan gelagat Abang Zek.


PUISI


Arca Makrifat


Bendera megah di mega nusa
merias angkasa di kota Bentan
perwira gagah menjaga bangsa
tegas perkasa membela watan.


Tumbuk padi di Langkapura
untuk hidangan si hulubalang
tunduk padi tunduk perwira
tunduk lalang jadi petualang.


Kerawang lilin dibelah bujur
gangsa dipangsa dengan teliti
pejuang tulen mestilah jujur
nusa bangsa jangan dikhianati


Kuala Bidara gugusan jati
sendi penarik Pekan Sedili
kata bicara luruskan hati
jadi munafik jangan sekali.


Kuala Kelawang pekan rawa
bumi rahmat di ceruk maya
bila berjuang putihkan jiwa
resmi khianat buruk adanya.


Teluk Datuk Teluk Pandan
memilir wangi kasa baiduri
tumbuk rusuk meremuk badan
mungkir janji membinasa diri.


Gelora ombak meniti hikmah
memancar kilat arca makrifat
cara bertindak mesti berhemah
biarlah selamat dunia akhirat.


Pulau Pengail merajang mata
dengan kilau geliga Andalas
jikalau kail panjang sehasta
jangan kau duga segara luas


Bangka Laut puja-pujaan
diserlah lulut kemboja utan
jika dianut kepura-puraan
jadilah badot pemuja setan.


Di Kuala Balah kota sejarah
ukiran batu penangkal budi
kepada Allah kita berserah
pohonkan restu kekal abadi.

-Ruhanie Ahmad
Selangor.
22 Disember 2008.



INFO SUARA PROLITAR:


KANAK-KANAK DIPERALAT JERIT
BAGAIMANA SAMBUT PIMPINAN BN?



Eskpedisi berbasikal ‘Mengayuh Perubahan’ dipelopori JERIT dikatakan menyalah gunakan kanak-kanak bagi kepentingan pihak tertentu. Isu kanak-kanak bukanlah perkara baru, malah sudah dibantah oleh pertubuhan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa. Sayangnya bantahan tersebut tak dipedulikan oleh semua kerajaan di dunia, seolah-olah laungan pertubuhan hak asasi manusia tak bermakna apa-apa. Tetapi apabila JERIT melancarkan ekspedisi ‘Mengayuh Perubahan’, polis juga digunakan mahu menakut-nakutkan pihak terbabit. Walhal polis tak digunakan bagi menghalang buruh kanak-kanak di gerai-gerai makan dengan upah yang tak setimpal. Buruh kanak-kanak juga ramai di estet-estet, malah di sektor pembinaan juga.




Kerajaan BN juga menggunakan kanak-kanak dan murid-murid sekolah menyambut pemimpin-pemimpin BN yang berstatus menteri malah Perdana Menteri. Dalam buku Dato’ Chamil Wariya mengenai Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, juga menyebut bekas Menteri Besar Selangor itu dibangunkan awal pagi oleh ibu bapanya ketika di sekolah menengah, bagi berbaris di kiri kanan jalan menyambut ketibaan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad. Buku tulisan Dato’ Chamil Wariya itu adalah bukti jelas, murid-murid sekolah diperalatkan bagi menyambut pemimpin BN. Bukan sahaja kejadian di Sabak Bernam, malah setiap perayaan Hari Kebangsaan atau perarakan Mauldir Rasul kanak-kanak dan murid-murid sekolah terus diperlatkan.



Kanak-kanak juga didedahkan sebagai pelakon bagi TV atau filem, semuanya adalah ditakrif mengeksploitasi kanak-kanak. Justeru pihak polis harus dikerah membanteras eksploitasi kanak-kanak itu yang upahnya tak setimpal dengan tenaga yang dicurahkan. Apabila kanak-kanak terbabit dalam ekspedesi ‘Mengayuh Perubahan’ ditakrif sebagai memperalatkan kanak-kanak kerana kelihatan aktivis pembangkang bersama, lalu dikerah polis bertindak, kenapa polis tak digunakan membanteras kerajaan BN melakukan perkara yang sama. Pertubuhan hak asasi manusia antarbangsa sudah merumuskan dalam apa bentuk pun, memperalatkan kanak-kanak adalah berlawanan dengan hak asasi manusia – (Dr Seri Intan Mokhtar, UPM, Selangor).




KOMENTAR
Bersama Pak Parjo



AZAM PAK LAH BAGI TIGA PURNAMA
& PERIHAL MENUMPANG KAPAL DISUMPAH



Syahdan ketika menyambut tahun baru, selepas Maal Hijrah maka Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berazam untuk memelihara kekuatan iktisad negara, di samping melindungi kepentingan rakyat. Maka rakan-rakan fakir tertanya-tanya perihal keazaman Orangkaya Dato’ Seri Abdullah dalam tempoh tak sampai tiga purnama sahaja lagi. Adapun sejak bertahun-tahun berazam tak memberikan apa-apa kemanfaatn, bagaimana gerangannya dalam tempoh tak sampai tiga purnama sahaja lagi mahu melaksanakan azam itu? Arakian berkatalah orang tua-tua Melayu dahulukala: ‘Salangkan bah kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang!’. Maka akan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu pada kasadnya mahu lagikah meneruskan azamnya itu?


Arakian akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menitir canangnya sendiri http://www.1malaysia.com.my/. dalam perutusan tahun barunya mahu menyelamatkan rakyat daripada berdepan kesukaran jika iktisad dunia tak menentu. Entahlah! Ketika iktisad dunia ‘menentu’ pun kesukaran rakyat masih tak dapat diselamatkan, bagaimana gerangan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib mahu memenuhi janji itu. Kalau iktisad negara lebih kukuh daripada kegawatan 1997/98, maka kenapa gerangan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib menitir canang nak selamatkan rakyat? Hatta terlalulah banyak persoalan daripada canang yang dititir oleh Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib, hingga malaslah fakir nak memikirkan. Adanya!




Sebermula Hang Isap yang disumpah saiyid itu belayar kembali ke Melaka. Adapun Hang Isap disumpah itu kerana dia menipu saiyid dalam perniagaan. Telah datang ke laut Sailan, hujan tiada, ribut tiada, tiba-tiba kapal itu dengan segala isinya tenggelam. Maka Hang nadim dengan beberapa orang sertanya lepas dengan sampan, serta harta ada sedikit-sedikit, lalu ke Sailan. Setelah didengar oleh raja Sailan, maka dipanggilnya Hang Nadim. Maka diperbuat oleh Hang Nadim tanglong telur, kulitnya diukir, dipasangi dian, terlalu indah rupanya. Syahdan akan Raja Sailan hendak dipegangnya Hang Nadim, lalu berleps ia menumpang kapal orang ke Melaka. Telah sampai lalu menghadap Sultan Mahmud. Maka titah Sultan Mahmud, ‘Sudah diketahui Hang Isap kena sumpah saiyid kerana menipu, mengapa Hang Nadim menumpang juga kapal Hang Isap itu’, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU!!!