Tuesday, March 17, 2009

DARI LAMAN BLOG...

Akta Hasutan Kembali Berfungsi
Selepas 37 Tahun Tak Digunakan!

Selepas 37 tahun sejak 1972, hari ini (17 Mac 2009) seorang lagi Ahli Parlimen didakwa di bawah Akta Hasutan. Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dihadapkan di mahkamah apabila menyuarakan hasrat mahu menyaman Sultan Perak dalam isu 'rampasa kuasa' pada 6 Februari 2009. Pada dekad 1970-an Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Teng, menjadi Ahli Parlimen pertama didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan ketika pentadbiran Tun Abdul Razak. Beliau sekadar menyiarkan teks ucapan seorang aktivis Dr Ooi atas kapisiti pengarang organ partinya.

Teks ucapan Dr Ooi aktivis parti berkenaan di Pulau Pinang menyarankan bahasa pengantar di sekolah-sekolah Melayu disamakan dengan sekolah-sekolah lain. (Sekarang pun sarana itu mahu dilaksana oleh UMNO dengan dasar PPSMI). Fan Yew Teng didapati bersalah, justeru dijatuhkan hukuman di samping hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Ironinya, beliau menerima pencen sebagai ADUN Selangor, tetapi tak pula pencen Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen kedua yang didakwa di bawah Akta Hasutan, Ahli Parlimen Petaling Oh Keng Seng pada period Tun Abdul Razak juga awal dekad 1970-an. Oh Keng Seng didapati bersalah, justeru dilarang lima tahun tak boleh bertanding dalam pilihanraya. Beliau didakwa kerana berucap dalam pilihanraya kecil Rembau-Tampin (sekarang Tampin) tak mahu Askar Melayu dikekalkan, tetapu mewujudkan Askar Malaysia (sekarang pun Asklar Melayu sudah ditukar kepada Tentera Darat. Aduhai!).

Tun Musa Hitam tak didakwa apabila ucapannya mahu menutup sekolah jenis kebangsaan dianggap menghasut, tetapi Tan Sri Melan Abdullah (Pak Melan), Ketua Pengarang Utusan Melayu pula didakwa di bawah Akta Hasutan. Selepas kes-kes berkenaan tak lagi dikuatkuasa Akta Hasutan; apablagi Tun Razak meninggal dunia pada 1976. Karpal Singh Ahli Parlimen ketiga yang didakwa di bawah Akta Hasutan, sekalipun sebelumnya beliau pernah mahu menyaman Sultan Selangor pada dekad 1980-an, tetapi tak pula dikenakan Akta Hasutan.

Dato' Seri Nazri Aziz tak pula dikenakan Akta Hasutan apabila mendakwa Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tungku Naqiuddin mempunyai agenda apabila mendesak dipulihkan kekebalan raja-raja Melayu. Tun Dr Mahathir Mohamad tak juga didakwa di bawah Akta Hasutan apabila meminda perlembagaan pada 1993, dengan menghapuskan 'kekebalan raja-raja' (sebenarnya seperti dikehendaki oleh Malayan Union). Tak hairanlah Karpal Singh mentakrifkan dakwaan ke atas dirinya adalah bermotif politik.

-Pak Dharma

Luahan rasa Dato' Kamal Amir...

Agihan 200 Permit AP Dipersoal:
Pembersihan Yang Mudah Ditafsir

Dato' Seri Mohd Ali Rustam calon Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 24-28 Mac 2009 ini, diisytihar tak berkelayakan bertanding petang ini (17 Mac 2009) oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin Ismail. Sumber yang rapat dengan pimpinan UMNO mengakui, Ali Rustam sudah diberi jaminan tak akan diambil sebarang tindakan, sekiranya menerima keputusan Jawatankuasa Disiplin dan tak mempersoalkan apa-apa berikutan keputusan berkenaan. Mungkin sahaja Ali Rustam dianggap pro Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti insiden Dato' Seri Azalina Osman Said yang diserbu pejabatnya oleh SPRM atau Khairy Jamaluddin yang diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin.

Bagaimanapun desas desus sudah lama kedengaran berkaitan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO mengagihkan 200 permit AP kepada anak pimpinan yang mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa Disiplin. Sehingg sekarang tak didedahkan siapa pemberi permit AP, dan anak pimpinan yang mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa Disiplin itu. Sekalipun Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam kenyataan kepada media petang ini (17 Mac 2009) mahu melakukan pembersihan di dalam UMNO, tetapi adalh dibimbangkan pmmbersihan sekadar 'membalas dendam'. Kalau pada 2004 Tan Sri Isa Samad (dikatakan pro Najib) dikenakan tindakan, justeru pada kali ini Ali Rustam (atau pro Pak Lah) pula menerima risikonya.

Tengku Ahmad Rithauddin akan dipersoal kalau tindakan jawatankuasanya mempunyai unsur-unsur tak sihat. Isu 200 permit AP juga terus menghantui penyokong-penyokong UMNO di peringkat akar umbi, kerana kementerian tertentu sahaja yang boleh memberikan permit tersebut. UMNO akan kembali kepada gelora 1987 apabila wujud 'A Team' dan 'B Team', malah berakhir dengan tragedi diharamkan di mahkamah. Berikutan tragedi itu sistem kehakiman dipersoalkan, menyebabkan kerajaan menanggung beban pada 2008 dengan membayar pampasan kepada hakim-hakim yang diberhentikan ketika krisis 1987. Dalam tempoh 22 tahun pada 2009, UMNO sedang menunggu hari-hari terakhir selembar sejarah...!

(*Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz ialah bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an, dan pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Melayu dan Ketua Editor Karangkraf yang menerbitkan akhbar Bacaria dan lain-lain penerbitan. Sekarang beliau adalah usahawan yang terbabit dalam beberapa perniagaan).

PUISI HUMOUR



LAGU JERITAN BATIN
VERSI YASSINSALLEH


Ali Rustam mengundang
Dato' Shah Rukh Khan ke PWTC
untuk berjoget lambak
sambil menyanyikan lagu
'Jeritan Batinku':
Memekik-mekik
memanggil-manggil namamu selalu!
sehari rasa setahun
24-28 Mac 2009
hanyut macam kiambang
tak dapek den nak nolong
mengabeh boreh joh!

Berduet dengan Azalina
(Kajol TDC)
& lagu penutup
seiring dan sejalan
seindah bunga di taman
bak gunung dan bukit
Bukit Gantang, Bukit Selambau
Batang Ai ai ai ai
marilah kita tibai!

-Yassinsalleh
Puchong Perdana
17 Mac 2009
15:17:32

(diolah daripada rangkap asal untuk
disesuaikan dengan senario semasa*
)

Perhimpunan Melayu PERKASA:

Dua Perkara Dr M Perlu Jelaskan:
Kekebalan Raja-Raja dan Isu PPSMI!

Perhimpunan Melayu yang dianjurkan oleh Pribumi Perkasa (PERKASA) 22 Mac 2009 ini di Dewan Sukan TNB, Bangsar dianggap sebagai platform bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen membantu anaknya Dato' Mukhriz Mahathir memenangi jawatan Ketua Pemuda, kata aktivis budaya Melayu di Pahang L. Mankadir Shamsi. Dalam masa pesaingnya Khairy Jamaluddin diberi amaran oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin Ismail, laluan Mukhriz lebih mudah sekiranya menentang Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, beliau menjelaskan. "Undangan daripada PERKASA juga penuh misteri kerana tak disebut tetamu khas yang dijemput, kecuali melayari laman web pertubuhan itu," beritahu Mankadir menambah ketika mengulas perjumpaan tersebut.

Seterusnya Mankadir meminta PERKASA berterus terang mengakui kepada umum pengerusi mereka ialah Dato' Ibrahim Ali, bukan menampilkan timbalannya Dato' Fuad Hassan. PERKASA juga menurut Mankadir tak memberitahu Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama dalam kad jemputan seolah-olah mahu mengelirukan orang ramai. Kata Mankadir, orang Melayu sukar memaafkan dosa-dosa Dr Mahathir selagi beliau tak mahu mengakui kesalahannya dalam isu PPSMI dan menghapuskan 'kekebalan' raja-raja Melayu. Memang melucukan Dr Mahathir mahu menjadi juara Melayu, apabila tangannya berlumuran dengan dosa mengkhianati bangsa Melayu. "Biarlah ahli-ahli UMNO terpedaya dengan sandiwara 24-28 Mac 2009 ini, tetapi bangsa Melayu perlu bersatu menolak UMNO," menurut Mankadir.

PADA PEMERHATIAN MOHD AFFANDI HASSAN...

Beberapa Keistimewaan Era Rasuah:
UMNO Sebagai Pembela Bangsa Melayu

UMNO menutup usia politiknya dengan mencipta Era Rasuah dalam politik Malaysia. Tidak perlu bercerita panjang tentang kehebatan UMNO dalam rasuah politik, yang menjadi kebanggaan para pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Kata mereka, rasuah dalam parti-parti lain tidak diketahui, atau tidak dibincang secara terbuka, kerana parti-parti itu tidak telus dan tidak malu menutup rasuah dalam parti mereka. UMNO lain, kata ketua-ketua UMNO dan ahli-ahlinya dengan bangga. UMNO telus dan jujur kepada rakyat, dengan mendedahkan keburukan di dalam UMNO supaya diketahui rakyat bahawa para pemimpin UMNO jujur dan tidak takut mendedahkan perangai rasuah mereka.

Inilah keistimewaan pertama UMNO pada saat-saat terhapusnya parti Melayu ini. Memang istimewa, kerana selama ini UMNOlah yang paling berapi-api menafikan adanya rasuah di kalangan mereka. Tidak ada politik wang, kata mereka dengan bangga. Sekarang pula, mereka berkata dengan bangga: “Kita mengaku terdapat politik wang, tapi bukan rasuah. Kita telus dan jujur memberitahu rakyat kita pun sama dengan orang lain sukakan wang yang mudah diperoleh dengan adanya kuasa memerintah negara. Siapa boleh cabar kita? Kita boleh tumbangkan mana-mana kerajaan pembangkang yang tidak rasuah.”

Inilah keistimewaan UMNO yang patut dibanggakan: Tidak saja UMNO melaksanakan pembangunan negara, malah lebih istimewa lagi UMNO juga kini mengaku mereka melaksakan rasuah dalam negara dengan teratur dan menurut undang-undang. UMNO sangat tegas dalam melaksanakan undang-undang ini. Satu sejarah baru telah dimulai oleh UMNO untuk mengugut lawan politiknya. Inilah keistimewaan kedua Era Rasuah UMNO. Seorang Ahli Parlimen digantung satu tahun tanpa gaji dan elaun kerana menuduh Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak terbabit dalam isu Siti Altantuya yang malang itu, yang datang dari Monggolia mencari kekasihnya dan wang sagu hati kerana telah melaksanakan tugas dengan baik dan memuaskan.

Penggantungan ini istimewa kerana motifnya untuk melampiaskan kemarahan UMNO terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan bapanya yang tidak mengikut undang-undang walaupun beliau dan bapanya seorang peguam. Tidak perlu mengikut peraturan biasa dalam melaksanakan penggantungan itu, kata Menteri yang membawa usul penggantungan itu dalam Dewan Rakyat. Peraturan dan undang-undang hanya melambatkan tindakan yang perlu disegerakan demi kebaikan rakyat dan demi menjaga maruah ketua UMNO yang difitnahkan. Inilah kehebatan Era Rasuah UMNO, yang menguasai Dewan Rakyat sejak Malaysia merdeka.

Yang paling istimewa di atas segala-galanya ialah usaha gigih UMNO menjadikan bahasa Inggeris bahasa glokal (?) Malaysia melalui pelaksanaan PPSMI, walaupun projek ini bertentangan dengan undang-undang yang diluluskan oleh UMNO sendiri (kata orang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan menyalahi Akta Pelajaran). Kata Dr. Mahathir Mohamed, hero UMNO yang melaksanakan PPSMI itu, bangsa Melayu mesti maju dalam ilmu sains dan teknologi dan matematikK, yang hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris. Rugi besar orang Melayu jika tidak tahu bahasa Inggeris, malah tidak cukup patriotik dan tidak nasionalistik sepertinya jika hanya tahu bahasa Melayu. Bahasa Inggeris kepunyaan semua manusia, termasuk orang Melayu.

Itu bahasa dunia. Zaman dulu, kata hero Melayu UMNO ini, orang putih dari Eropah belajar bahasa Arab kerana nak tahu ilmu-ilmu yang maju ketika itu yang tertulis dalam bahasa Arab. Ketika itu orang Eropah pandai berbahasa Arab dan semua mereka dapat memahami ilmu matematik, aljibra, ilmu perubatan kerana mereka belajar bahasa Arab. Ketika itu sudah ada PPSMA dilaksanakan oleh kerajaan Eropah. Tidak ada yang membantah kerana yang betul-betul mendalami bahasa Arab hanya beberapa kerat ilmuan mereka, bukan semua rakyat Eropah seperti kini semua orang Melayu mesti tahu cakap Inggeris. Itulah keistimewaan Melayu yang dipimpin oleh UMNO.

Dalam Era Rasuah UMNO yang serba mungkin ini, hero Melayu yang istimewa ini (yang pernah dipanggil superman oleh Subki Latif dalam majalah Mastika lama dulu) adalah satu-satunya pemimpin UMNO yang tidak rasuah sedikit pun, malah dengan penuh jujur dia melepaskan jawatannya (sambil menangis terisak-isak dalam perhimpunan UMNO yang bersejarah itu) kepada penggantinya Mr. Clean yang kemudiannya dikutuknya sebagai Raja Rasuah yang mencipta Era Rasuah UMNO. Sungguh istimewa para pemimpin UMNO ini, kerana mengikut hero Melayu ini, seorang pemimpin UMNO boleh berubah sekelip mata dari Mr. Clean kepada Raja Rasuah.

Maka berwasiatlah hero Melayu ini kepada pengganti Mr. Clean alias Raja Rasuah supaya jangan ambil ketua-ketua UMNO yang rasuah yang semua orang tahu memang rasuah menjadi menteri dalam Kabinetnya, supaya UMNO tidak kalah besar dalam pilihan raya dan hapus dari arena politik Malaysia. Ini satu keistimewaan yang sangat pelik: biasanya orang dari jahat menjadi baik, tetapi UMNO terbalik, dari “baik” menjadi jahat. Tidakkah rasuah itu jahat? Baiknya UMNO ialah para pemimpinnya mengaku mereka rasuah. Itulah kutukan terbesar yang boleh menimpa manusia apabila mereka dengan sedar mengaku kejahatan mereka dan meneruskannya dengan bangga kerana sangka mereka itulah kejujuran paling agung yang perlu dikekalkan. MashaAllah! (17/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan ialah sasterawan dan pengkritik sastera Melayu. Beberapa kali memenangi hadiah karya sastera, tetapi beliau menolaknya. Antara karyanya yang terpenting ialah 'Le Masque'; DBP, 1974, 'Bukan Ahli UMNO: Bukan Salah SSB; Fajar Bakti, 1998 dan 'Aligupit' Fajar Bakti; 1993. Pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian, Mohd Affandi berpengalaman sebagai pentadbir negara)

KOMENTAR...

bersama Pak Parjo:


Kalau rasuah banyak di bawah:
Maknanya lebih banyak rasuah di atas.

Kata sahibul hikayat sekali persetua gemparlah sekalian orang banyak kerana rasuah berlaku dalam pemilihan harakah Melayu (UMNO). Arakian maka penghulu tata tertib Tan Sri Tengku Ahmad Ritahuddin Ismail menjadi masyghol di dalam hatinya, kerana nasibnya seakan-akan Orangkaya Laksamana Khoja Hussein pada masa dahulu. Kononnya, hendak ditelan mati emak, hendak diluah mati ayah gerangannya. Adapun mereka yang mengadu kepada penghulu tata tertib itu semuanya Kitul belaka. Syahdan akan Raja Mendeliar pula berada di mana-mana. Maka anak-anak buah Orangkaya Perdana Menteri juga akan menerima nasib seperti sekalian anak buah Bendahara Seri Maharaja, hendak mengamuk tetapi dilarang oleh bendahara itu. Maka semakin gembiralah Sultan Mahmud mendengar kata-kata Raja Mendeliar yang bendahara itu melakukan rasuah.

Syahdan telah demikian fikirnya, maka oleh Nina Sura Dewana diambilnya emas sebahara, dibawanya kepada Bendahara Seri Maharaja. Telah datang ke luar pagar bendahara, kata Nina Sura Dewana pada penunggu pintu Bendahara, "Beritahu Dato' Bendahara, katakan Nina Sura Dewana datang menghadap Dato' Bendahara." Maka emas yang sepuluh kati itu pun dipersembahkannya pada bendahara. Maka kata Nina Sura Dewana pada bendahara, "Tuanku, emas ini persembah saya akan pembeli sireh pinang, Tuanku." Maka ada seorang Keling, keluarga Nina Sura Dewana, Kitul namanya. Akan Kitul itu berhutang kepada Raja Mendeliar sekati emas. Arakian Bendahara Seri Maharaja itu dibunuh bersama keluarganya kerana dituduh melakukan rasuah, kasadnya hendak menjadi raja di Melaka seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!