JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
JKKK LEBIH BERLAGAK DI NS
STATUS PEMBESAR ADAT MENGECIL
STATUS PEMBESAR ADAT MENGECIL
Assalamualaikum,
Hampir jam 2.30 petang sampai di Balai Undang Johol, sekalipun jadual pertemuan ditetapkan jam 10.30 pagi, 28 November 2007 lalu. Terpaksa pula Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Haji Md Jan Abdul Ghani menunggu lama, disebabkan pemandu kereta dari Muzium Negeri Sembilan tersesat jalan ketika ke Kuala Lumpur menjemput saya. Memang pada peringkat awalnya saya akan turun sendiri ke Seremban, justeru meminta kurator Drs Shamsuddin Ahmad menunggu sahaja di pejabat. Sebaliknya pihak Muzium Negeri Sembilan mahu ke Kuala Lumpur juga menjemput, kerana bimbang saya tak hadir dalam perjumpaan berkenaan.
Memang Dato’ Haji Md Jan semacam kecewa menunggu saya begitu lama, tetapi selepas berbincang hampir setengah jam, beliau (atau susunan adat dipanggil Yang Amat Mulia) semakin ceria. Apalagi Dato’ Haji Md Jan mahukan sistem adat diperkasakan di Negeri Sembilan sebagai lambang ketuanan Melayu. Berdasarkan sistem adat menyebut ‘Ibu Adat Muafakat’, memang Yang Amat Mulia bersetuju permuafakatan semua pihak mampu mempertingkatkan keyakinan rakyat di Negeri Sembilan terhadap adat. Yang Amt Mulia juga terkilan dengan rungutan Undang Luak Rembau, Dato’ Mohd Shariff Othman dalam media arus perdana mengakui pelajar-pelajar sekolah di Rembau tak mengenali Yang Amat Mulia, selaku Undang Luak Rembau. Aduhai!
Atas sifat saya ketua penyelidik dengan Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan sejak 1990 yang juga dipengerusikan oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, memang saya lebih terkilan dengan rungutan Yang Amat Mulia. Sekalipun fenomena berkenaan bukan kesalahana Jawatankuasa Penyelidikan Budaya, tetapi saya merasakan tugas saya selama ini semacam gagal memperkasakan adat. Kalau tak disebab jawatankuasa berkenaan dibubarkan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) pada 2003, saya masih kekal bersama apabila ianya dipulihkan semula pada 2004. Sebaliknya saya enggan menerima semula tanggungjawab apabila jawatankuasa itu dipulihkan pada 2004 dengan pengerusinya Dato’ Dr Abdul Samad Hadi.
Apabila kurator Muzium Negeri Sembilan Drs Shamsuddin meminta saya kembali membantu jawatankuasa penyelidikan dalam kunjungannya pada awal Ramadan lalu, saya mengambil tanggungjawab tersebut sekalipun fungsinya hampir sama dengan PRIMA yang saya bentuk bersama Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Sayuti Omar, Peguam Mohd Radzi Mutapha, Haji Rahman Osman, Haji Abu Bakar Ninggal dan Zakaria Bidin. Memang saya berasa kecewa apabila Yang Amat Mulia Undang Luak Rembau dan Undang Luak Johol tak dikenali oleh rakyat di luaknya, akibat kelonggaran sistem adat itu sendiri.
Sewaktu bersama Tan Sri Abdul Samad sekitar dekad 1990-an, saya sering turun ke Negeri Sembilan berkunjung ke rumah dato’-dato’ lembaga setiap luak bersama setiausaha jawatankuasa, Haji Muhammad Tainu. Memang banyak sumber maklumat yang diterima, mengenai kelonggaran sistem adat berkenaan. Di samping Empat Undang Luak (Undang Yang Empat), Negeri Sembilan turut diperkuatkan dengan Lima Penghulu Luak sebagai pembesar adat. Bagaimanapun sistem yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sembilan seolah-olah dipinggirkan hingga Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dianggap lebih berstatus daripada Lima Penghulu Luak berkenaan. Begitulah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
LORI HANTU MERAJALELA
SERI GOMBAK JADI SASARAN
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap Majlis Perbandaran Selayang tak mahu ‘turun padang’ apabila ‘lori hantu’ beroperasi di Fasa 9 Taman Seri Gombak, di Batu Caves hingga membahayakan keselamatan penduduk. Katanya, beliau menerima laporan penduduk hari ini 30 November 2007, mengenai ‘lori haram’ hampir 20 buah merajalela di Jalan 9/1 dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang, denga memunggah tanah yang disasarkan berdekatan surau di Fasa 9. “Apakah pihak berkuasa mahu bertindakan, setelah berlaku nahas atau kematian kepada penduduk?” tanya Dato’ Kamal Amir menambah.
Seterusnya Dato’ Kamal Amir menarik perhatian kepada insiden pelajar terbunuh akibat digilis ‘lori hantu’ tak lama dulu di negeri Selangor juga, di mana pihak berkuasa bertindak setelah perkara malang itu berlaku. Menurut Dato’ Kamal Amir, berdasarkan laporan penduduk ‘lori hantu’ sudah beroperasi beberapa bulan lalu, tetapi berhenti seketika selepas isu berkenaan disiarkan oleh TV3. Bagaimanapun kata Dato’ Kamal Amir lagi, hari ini (30 November 2007) ‘lori-lori hantu’ itu seolah-olah mengamuk dengan memunggah tanah melalui jalan perumahan, disebabkan laluan di jalan besar (antara Fasa 8 dan Fasa 9) sering kelihatan polis meronda.
“Saya difahamkan pekerja-pekerja Indonesia terbabit memberi maklumat kepada pemandu-pemandu lori hantu sekiranya pihak berkuasa menjalankan operasi,” jelas Dato’ Kamal Amir membidas sikap sambil lewa pihak berkuasa menangani isu ‘lori hantu’. Kalau pihak berkuasa bersungguh-sungguh mahu menghapuskan operasi ‘lori hantu’ ini dalam masa 24 jam sahaja boleh dibereskan, iaitu mengheret ‘kontraktor’nya ke muka pengadilan. Mungkin sahaja, pihak berkuasa menunggu hingga berlakunya nahas kepada penduduk, barulah mahu bertindak terhadap kontraktor terbabit, katanya. “Pihak berkuasa tentu tahu siapa kontraktor yang menggunakan lori-lori hantu berkenaan,” menurut Dato’ Kamal Amir seterusnya.
Bagaimanapun pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. difahamkan sudah membuat laporan kepada pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan dan Pengangkutan (LPKP) petang ini, di samping menerima panggilan dari pihak LPKP no tel: 03-88901096 jam 3.00 petang yang mengakui aduan sudah disampaikan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di samping memberi jaminan akan mengambil tindakan segera. Beberapa buah no kenderaan ‘lori hantu’ terbabit sudah diserahkan kepada LKPK, justeru terserahlah kepada JPJ membuat tindakan susulan, beritahu Dato’ Kamal Amir lagi.
PEMIKIR ADAT DIMINTA UBAH
‘BALAI’ TAK SESUAI DIGUNAKAN
Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Haji Md Jan Abdul Ghani meminta pemikir-pemikir adat membuat permuafakatan bagi mengubah nama kediaman ‘Undang Yang Empat’ daripada ‘Balai Undang’ kepada yang lebih sesuai mengikut peredaran zaman. Katanya, berdasarkan perbilangan adat juga disebut, usang-usang diperbaharui, yang elok dipakai, yang pendek dihubung, justeru perkara yang dianggap ‘sudah lapok’ memang boleh ‘diganti’. Disebabkan rakyat terkeliru dengan status ‘balai polis’ atau ‘balai bomba’, beliau merasakan sudah sampai masanya nama ‘Balai Undang’ ditukar kepada lebih berprestij, ujarnya ketika bertemu pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. di Johol 28 November 2007 lalu.
Bagaimanapun beliau belum membawa cadangan itu kepada Dewan Keadilan (Institusi permesyuaratan sistem beraja di Negeri Sembilan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar dengan ahlinya termasuk Undang Yang Empat), bagi menukarnya kepada nama yang lain. Setakat ini beberapa nama sudah dikemukakan oleh pihak dato’-dato’ lembaga di Johol termasuk ‘Istana Undang’ bagi diberi perhatian oleh pemikir-pemikir budaya dan pemuka-pemuka adat tempatan. Memandangkan ‘Undang Yang Empat’ adalah sebahagian daripada fungsi pemerintah dalam institusi beraja di Negeri Sembilan, memang wajar kediaman Undang Yang Empat ditukar kepada ‘Istana Undang’ bagi membezakan dari institusi adat di Pagaruryung iaitu ‘Basa Ampat Balai’.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PENGAKUAN TERBUKA SWEE TIN
MEMPERKASA PUISI DARI DHARMALA
Penyair Leo A.W.S. dari Kelantan memberitahu, penerima anugerah SEA Write 2002, Dr Lim Swee Tin mampu memperkasa puisi-puisinya setelah menerima kritikan dari sasterawan Dharmala N.S. sekitar dekad 1970-an. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA 24 November 2007 lalu, Leo menjelaskan Dr Lim yang aktivis persatuan penulis dan pendeklamator terkenal tanah air dalam bukunya ‘Berkelana Di Belantara Kata’ (Pustaka Nusa; Kajang, Selangor; 2002) menyebut Dharmala berperanan di peringkat awal penulisannya bagi memperkasa kemampuannya menghasilkan puisi yang bermakna kemudiannya, sehingga diberi anugerah SEA Write.
“Saya akan kirimkan pada Pak Dhar buku berkenaan secepat mungkin, sebagai satu dokumen yang jelas sejelas-jelasnya,” menurut Leo yang juga aktivis Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Menurut Leo lagi, Dr Lim memberi penghargaan kepada Dharmala menerusi bab 1 buku berkenaan ‘Menjengah Diri’ dan bab 2 ‘Makna Puisi: Tiga Dekad Berkelana Di Belantara Kata’. Menyentuh ura-ura PRIMA akan ke Kelantan Januari 2008 nanti, Leo memberi jaminan pihak PPK akan memberikan kerjasama bagi ‘acara baca puisi’, di samping akan mempelawa sama Dr Lim yang juga pensyarah di Univerisiti Putra Malaysia (UPM) di Kuala Lumpur menyertai aktiviti berkenaan.
BELASUNGKAWA BUAT AKTOR TERNAMA
KENANG WAKTU SURAM PERFILEMAN MELAYU
KENANG WAKTU SURAM PERFILEMAN MELAYU
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan mencadangkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) nama aktor Hussein Abu Hassan yang meninggal dunia 26 Novermber 2007 lalu diabadikan di dataran bintang di halaman bangunan Finas di Studio Merdeka Hulu Kelang. Setakat ini nama-nama seniman dan seniwati ternama sudah diabadikan, katanya mengucapkan takziah kepada keluarga aktor berkenaan. Menurut Omar Sudi, ketika beliau berkhidmat sebagai pengarang sebuah penerbitan, Hussein adalah rakan akrabnya disebabkan pejabat mereka bersebelahan di Jalan Haji Hussein, Kuala Lumpur.
“Hussein juga aktor ternama, malah di samping mengucapkan belasungkawa adalah wajar namanya diabadikan di dataran bintang di Finas,” beritahu Omar Sudi seterusnya. Beliau yang turut mengunjungi rumah Allahyarham Hussein di Gombak bagi memberi penghormatan terakhir mengakui lama tak menemui aktor berkenaan, apalagi ketika mengalami keuzuran. Katanya, ketika filem-filem Melayu mengalami period kesuraman sekitar dekad 1970-an, Hussen tampil mempertahankan maruah perfileman Melayu dengan menerbitkan ‘Bunga Padi Berdaun Lalang’ menerusi Baiduri Filem Production, sebelum syarikat Sabah Filem meneruskan usaha menjadi penerbit filem yang prolifik.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
RAKYAT MAHUKAN KEAMANAN
PERIHAL JANGAN ATASI UNDANG-UNDANG
Sebermula terbacalah oleh fakir akan hulubalang-hulubalang UMNO tak mahu sesiapa membelakangkan undang-undang, demi menjaga keamanan negara. Setahu-tahu fakir tak siapapun di negara ini mahukan huru-hara, apalagi membelakangkan undang-undang. Adapun yang membelakangkan undang-undang itu, mereka yang tahu fasal undang-undang. Tak hairanlah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan kerajaan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani isu demonstrasi jalanan. Hulubalang-hulubalang BN juga tak lepas peluang untuk menyatakan sokongan kerana heh heh heh!
Kata sahibul hikayat, fakir diberitahu oleh peminat filem Melayu lama yang pernah menonton ‘Musang Berjanggut’ karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Maka ditanya oleh Puspawangi kepada Dato’ Nikah Kahwin yang menceroboh masuk ke rumahnya ketika Nila Utama tiada di rumah. “Tak salahkah Dato’ masuk ke rumah hamba ketika suami hamba tiada di rumah?” bertanya Pupawangi kepada Dato’ Nikah Kahwin itu. Lalu di jawab oleh Dato’ Nikah Kahwin, “Salah tu, memang salah. Tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin!”. Begitulah! Mereka yang membelakangkan undang-undang adalah, mereka yang ‘bikin’ undang-undang, seperti diberitahu oleh Dato’ Nikah Kahwin.
Maka akan demonstrasi jalanan itu, sama sahaja dengan ‘perhimpunan bersama rakyat’ yang pernah dianjurkan oleh BN, sebaliknya anggota polis dan pegawai-pegawai polis sentiasalah mereka mengiringi akan pemimpin-pemimpin BN kerana ditakrif sebagai menteri. Astaga. Disebabkan Dato’ Nikah Kahwin itu memang setara dengan menteri-menteri BN yang mengadakan ‘perhimpunan bersama rakyat’, ‘gelombang biru’ dan macam-macam lagi yang fakir rasa nak termual mendengarnya ialah kerana ‘salah tu memang salah, tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin’. Justeru fakir pun terlalu sukalah mengkaji akan ‘Kitab Melayu’ seperti menjadi amalan:
HIDUP BAHASA MELAYU!