Monday, April 13, 2009

SUARA ANAK JELEBU...


Banjir resahkan penduduk:
Projek Takungan Air di Kg Gagu
Penduduk beberapa buah kampung di Jelebu merungut dengan masalah banjir sepanjang musim berikutan projek takungan membabitkan Mukim Ulu Teriang, beritahu seorang pekebun Zainal Maakir, 69. Menurutnya, sebelum ini banjir berlaku apabila membabitkan bah besar seperti tahun 1971 atau 1926. Apalagi dengan geografi daerah Jelebu sebagai kawasan paling kering (kurang menerima hujan) di Tenggara Asia, fenomena sekarang dianggap luar biasa. Zainal atau dikenali Tok Busu mengakui, sekarang ini banjir kerap berlaku. Pekebun-pekebun di sepanjang dataran Sungai Teriang mengalami kerugian dengan fenomena banjir ini. "Tanamn kontan seperti pisang, jagung, keledek dan kacang turut dimusnahkan oleh banjir," jelas Tok Busu lagi.

Aktivis UMNO Abdul RazakHarun, 60 juga mengalami kerugian apabila beberapa ekor ayam ternakannya mati akibat banjir, disebabkan tak sempat dipindahkan dari reban. Abdul Razak pesara tentera dari Kampung Jambatan Serong, Ulu Kelawang mengakui lokasi rumahnya berdekatan dengan projek mengorek terowong batu ke Sungai Terip di Kampung Pantai di Seremban. Terowong berkenaan akan disambung ke projek takungan air di Kampung Gagu yang menyebabkan 'Jeram Lesung' turut lupus, beliau memberitahu. Sumber dari Kampung Gagu mengakui dua buah trektor kepunyaan syarikat terbakir dibakar oleh penduduk-penduduk sebagai provokasi kepada langkah Menteri Besar Negeri Dato' Seri Mohamad Hassan berdegil melaksanakan projek tersebut.

SUARA ANAK PERAK


Zamry Kadir dinasihatkan:
Jaga kawasan sendiri baik-baik

Menteri Besar UMNO Dato' Zambry Kadir dinasihatkan memberi khidmat yang baik kepada kaasan yang diwakilinya bagi mengelakkan hilang kerusi pada pilihanraya akan datang menurut seorang penduduk di Manjong, Ishak Mat Lana. Memberitahu mengenai dakwaan Zambry hari ini (13 April 2009), orang Cina terpedaya dengan janji PAS menyebabkan calon UMNO tewas dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang 7 April 2009 lalu, beliau mengingatkan ianya sebagai menghina masyarakat Cina. "Apakah dengan mengantung permit Harakah dan Suara Keadilan, di samping TV dan media arus perdana bekempen sakan tak boleh mempengaruhi rakyat untuk menyokong UMNO," katanya.
Serentak dengan itu Ishak meminta Zambry turun padang bagi mengetahui masalah semua penduduk, jangan bergantung kepada publisiti di media yang menjadi 'sokong membawa rebah', beliau menjelaskan. Katanya lagi, pergilah ke Kampung Telaga Nenas dan saksikan sendiri tanah perkuburan Islam terhakis masuk ke Sungai Dinding yang menimbulkan keresahan kepada penduduk di situ. Kampung berkenaan dikuasai oleh UMNO, tetapi masalah tanah perkuburan Islam tak mampu diselesaikan. "Apakah sehingga semua kubur-kubur orang Islam tenggelam bersama Sungai Dinding baru UMNO nak menjengah?" menurut Ishak.

INFO SUARA PROLITAR:


Jenama rokok guna Putrajaya:
Macam menerima sokongan k'jaan


Kempen hentikan merokok di kalangan penagihnya tak memberi kesan positif, sekalipun sudah digerakkan sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dekad 1980-an. Harga rokok yang melonjak juga tak menghalang perokok meneruskan tabiat merokok. Apalagi pada dekad 2000-an, jenama rokok juga menampilkan Putrajaya yang dibangunkan oleh Tun Dr Mahathir. Jenama rokok 'SAAT' menggunakan latar belakang 'Putrajaya', tetapi tak diketahui sama ada ianya mempromosi pelancongan kepada Putrajaya atau untuk tujuan komersil ke atas jenama rokok berkenaan.

Justeru kerajaan dan kementerian kesihatan perlu memberi penjelasan mengenai kaitan syarikat rokok berkenaan dengan kerajaan Tak munasabah kerajaan membantu mempromosi rokok berkenaan, apabila Putrajaya dibenarkan diletakkan pada kotak rokok, seolah-olah kredit kepada syarikat rokok terbabit. Ketika kerajaan dan kementerian mengggerakkan kempen melarang merokok, ianya bagaikan memberi galakan pula dengan membenarkan syarikat rokok menggunakan Putrajaya mempromosikan jenama rokoknya. Menteri Kesihatan perlu memberi penjelasan bagaimana Putrajaya dibenarkan untuk diguna pada kotak rokok berjenama SAAT.

CATATAN ANWAR DI BUKIT SELAMBAU


Arus perjuangan baru:
Ikrar berkhidmat utk rakyat
Terik matahari dan hari bekerja buat warga Bukit Selambau tidak menghalang mereka untuk menghadiri acara perasmian Pusat Khidmat Bukit Selambau. Hadir sama ialah YB Ahmad Kasim, YB Dato Rashid Din, YB Senator Zamry, YB Gobala dan mantan Naib Presiden PPP Dato V. Nadarajan.
Majlis ini juga menyaksikan YB Manikumar melafazkan ikrar untuk berkhidmat demi rakyat tanpa mengira sempadan kaum, agama dan perbezaan fahaman politik. Arus perjuangan baru untuk bangsa sangat diperlukan di saat politik lama masih tegar dianuti oleh segelintir walaupun diberi bungkusan baru. Saya mengucapkan semoga berjaya kepada rakan-rakan yang masih bersama-sama dengan proses pembungkusan semula tersebut.
Saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk Bukit Selambau kerana memilih Perubahan dan kerana memilih PKR.
Acara kedua pagi tadi membawa saya ke jamuan rakyat di Pekan Bukit Selambau. Hidangan yang maseh panas dari kawah sangat menyelerakan. Majlis kesyukuran yang serba sederhana ini hendaknya diberkati Allah S.W.T.

Dari Bukit Selambau saya menuju ke Permatang Pauh, mengambil kesempatan menziarahi rakan seperjuangan yang sedang terlantar di Hospital Seberang Jaya. Kelihatannya hospital ini sesak dan perlu ada langkah segera dari kementerian kesihatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yg selesa. Janganlah pula kerana Permatang Pauh sekarang di tangan Pakatan Rakyat pihak kementerian mengabaikan kesejahteraan semua.
Pada sebelah petangnya akan ada mesyuarat bahagian dan perhubungan negeri. Kemenangan pilihanraya kecil tidak boleh dijadikan alasan untuk pendokong PKR leka dan enak diulit khayal. Usaha penerangan serta pemantapan tekad juga iltizam perjuangan perlu diperhebat. Ahli parti perlu diingatkan rasuah dan gagal melaksanakan tanggungjawab hanya akan mengundang kekalahan. Kita tidak perlu kepada mereka yang sengaja menghampakan amanah rakyat.
(*Dato' Seri Anwar Ibrahim ialah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan pelopor reformasi politik di Malaysia. Terbabit dalam gerakan pelajar dan belia, d samping memimpin ABIM sekitar 1970-an, malah turut mempromosikan 'Malay Dilemma' Tun Dr Mahtahir Mohamad)

MOHD AFFANDI SANGGAH DR M...

Antara Argumen dan Sentimen:
Biarkan Mahathir Dengan Labu-labunya

Orang Melayu nampaknya masih terpesona dengan borak Dr. Mahathir Mohamed, masih mahu mendengar celoteh poli-tikus lihai yang pandai menjerat lawannya sehingga hampir semua pemimpin UMNO yang baik-baik dan pandai-pandai dihumban ke telaga buruk politik UMNO. Semua yang dihumban ke telaga buruk itu tidak muncul-muncul lagi, kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil dengan gerakan politik yang memukau rakyat Malaysia, sehingga tiga parti pembangkang terbesar (PKR, PAS dan DAP) dapat disatukan untuk menjadi Pakatan Rakyat.

Inilah yang menakutkan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan diri mereka dan rakyat bahawa tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat hanya pandai bermain dengan retorik, tetapi tidak mampu menjadi pemerintah yang baik, dengan memberi bukti Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dapat dirampas dengan mudah, dan yang lain-lain di empat negeri sedang digoncang untuk dicabut akarnya.

Maka tertubuhlah Kabinet Rakyat, sebuah kabinet kitar semula yang di dalamnya berkeliaran ketua-ketua parti yang telah ditolak rakyat, atau dipilih dalam perhimpunan parti yang bergolak dengan rasuah politik. Dengan memberi definisi rasuah politik itu sebagai pertukaran wang dalam perundingan pencalonan untuk memilih ahli Majlis Tertinggi UMNO, maka konsep rasuah disempitkan begitu rupa sehingga terbatas kepada pertukaran wang dalam beli-membeli undi di kalangan perwakilan UMNO. Padahal erti rasuah itu jauh lebih luas, yang seharusnya diketahui oleh anggota UMNO yang dididik dalam Islam Hadhari selama lebih dari lima tahun.

Dalam Islam, konsep rasuah itu diungkapkan dengan menyeluruh dalam konsep fasad, atau kerosakan besar dan terancang oleh manusia yang menentang hukum Allah. Siapakah yang menentang hukum Allah itu dalam politik Malaysia? Maksud pertanyaan ini dikhususkan kepada orang Melayu yang beragama Islam, terutama sekali kepada UMNO yang bersumpah untuk membela bangsa, negara, dan agama (Islam). Oleh sebab mereka telah mengaku dengan sesungguhnya bahawa mereka telus, jujur, ikhlas, dan beradab, maka mereka seharusnya, sewajarnya, menggunakan konsep rasuah dalam konteks fasad yang disebut oleh Al-Quran.

Konsep fasad seharusnya menjadi teras dalam membasmi rasuah dalam Islam Hadhari, kerana itulah ajaran Islam yang jelas tentang perbuatan rasuah. Dalam konteks inilah seharusnya pembangunan ekonomi, pembangunan politik, dan pembangunan masyarakat ditakrifkan dan dilaksanakan. Penjelasan tentang perkara ini boleh diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang disebutkan, oleh itu tidak perlu dijelaskan di sini.

Yang lebih penting ialah pertanyaan-pertanyaan yang menjurus kepada penjelasan yang membolehkan kita mengerti mengapa kita menghadapi masalah sosial yang teruk, masalah ekonomi yang menekan rakyat, masalah politik yang memberi keutamaan kepada kuasa dan penggunaan kezaliman dalam mendapatkan kuasa itu melalui undang-undang yang diwujudkan untuk menyekat kebebasan bersuara dan bertindak dalam lingkungan nilai-nilai peradaban yang memihak kepada kebenaran dan kesejahteraan manusia, bukan kelangsungan kezaliman yang mencengkam rakyat.

Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Antaranya ialah: Mengapa kita perlu sebuah Putrajaya, yang di dalamnya termasuk litar lumba kereta yang membawa segala budaya lucah yang jelas bertentangan dengan Islam? Sejauh mana kita telah terjebak dalam tindakan berpaksikan fasad dalam membina bandar baru itu? Adakah Putrajaya contoh pembangunan berteraskan Islam? Seorang pakar seni bina dari sebuah universiti di Lembah Kelang berkata, kurang daripada 5% ciri Islam dan Melayu di Putrajaya.

Jadi ciri siapa yang menjadi kebanggaan kerajaan itu? Kita jangan lupa, pada mulanya Putrajaya dicadangkan diberi nama Taman Firdausi. Apakah tujuan sebenar nama itu dipilih pada mulanya, kemudian ditukar kepada Putrajaya? Jawapan kepada pertanyaan ini akan memberikan kita penjelasan yang tepat erti dan makna pembangunan yang dipakai dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang dirancang oleh UMNO/BN. Inilah satu kajian kes yang perlu dibuat, kerana ini akan menyerlahkan hakikat sebenar projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di Malaysia.

Kerajaan Malaysia menyewa Putrajaya, bukan memilikinya. Berapa sewanya setiap bulan? Siapa pemiliknya? Putrajaya Holdings Berhad. Siapakah tokoh-tokoh anggota pengurusannya? Siapa yang mendapat faedah daripada penyewaan harta itu? Sepatutnya tidak ada perkara yang perlu dirahsiakan tentang Putrajaya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah nanti, bolehkah kerajaan Pakatan Rakyat menyewa Putrajaya? Kalau sudah ada “Kabinet Rakyat”, sudah patut benar rakyat tahu rahsia Putrajaya ini. Sepandai-pandai Si Luncai pun, rahsia khianatnya terbuka juga.

Pertanyaan lain yang tidak dapat dielakkan ialah: Mengapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar matematik dan sains? Dr. Mahathir Mohamed telah memberikan 26 dalil, yang sebenarnya bukan dalil, untuk mempertahankan kewujudan PPSMI dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Yang dianggap dalil oleh Dr. Mahathir Mohamed bukanlah dalil, tetapi hanyalah sentimen beliau terhadap bahasa Inggeris, berasaskan andaian yang salah dan keliru tentang peranan bahasa dalam pembinaan tamadun manusia.
Jika anda mempelajari sejarah pemikiran manusia dan melihat bagaimana tamadun manusia dibina, maka anda akan dapat melihat dengan jelas dan terang, bahawa asas utamanya ialah bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tepat dan fasih. Sebelum ilmu perubatan dan fizik berkembang dalam tamadun Islam, telah lahir terlebih dahulu para genius dalam bidang-bidang sejarah, ilmu-ilmu bahasa dan sastera, filsafat (yang memerlukan penggunaan bahasa yang tepat dan jelas), undang-undang, politik dan semua jenis ilmu yang kini dipanggil ilmu-ilmu kemanusiaan.

Hanya selepas itulah baru lahir ahli sains dan ahli matematik, termasuk fizik, kimia dan lain-lain. Asasnya tetap bahasa. Tetapi di Malaysia terbalik, bahasa diabaikan. Yang terjadi ialah ramainya pakar-pakar sains dan teknologi yang bisu, yang tidak berupaya berbicara dengan teratur, tersusun dan fasih dalam ilmu yang mereka kuasai. Jika ada orang berkata, dengan kesedaran itulah maka Malaysia mengutamakan sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa itulah yang senang dikuasai oleh rakyat Malaysia sebab mereka sudah biasa menggunakannya, dan itulah tujuan dan matlamat PPSMI.

Jika kita bertemu dengan orang itu, kita harus melemparkan tahi lembu ke mukanya, kerana cara berfikirnya bercorak dan bersifat kelembuan. Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis sahih, yang dikutip oleh Sheikh Abdul Samad al-Palembangi dalam kitabnya, bahawa jika seseorang memuji seseorang lain, maka simbahlah debu ke mukanya. Pemikiran bercorak kelembuan ini tidak diasaskan kepada pengertian yang mendalam tentang prinsip-prinsip pembinaan tamadun manusia. Pemikiran bercorak kelembuan ini bukanlah pemikiran dalam pengertiannya yang hakiki, tetapi hanyalah peluahan sentimen berasaskan kejahilan tentang bagaimana ilmu-ilmu baru dibangunkan oleh ahli fikir dan pakar-pakar bidang tertentu.

Penjelasan tentang aspek ini amat diperlukan, kerana hampir semua ahli politik yang berada dalam UMNO dan Barisan Nasional tidak saja jahil tetapi menentang dengan gigih sebarang gerakan intelektualisme untuk mencerdikkan bangsanya. Adalah tepat dan jitu sekali jika orang membuat kesimpulan bahawa UMNO dan rakan-rakannya telah berjaya membodohkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, sehingga sampai ke kemuncaknya dalam projek PPSMI tajaan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO ini. Apa juga “hujah” palsu yang bercorak sentimen oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya adalah tidak lebih daripada sejenis bullshit semata-mata.

Seorang profesor filsafat dari Amerika Syarikat telah menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah bullshit ini dalam budaya Amerika sendiri, dibahas dan dijelaskan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli falsafah dari Amerika dan England. Sila rujuk buku dan tulisan mengenainya oleh Prof. Harry G. Frankfurt berjudul “On Bullshit” (mula terbit seawal 1980-an, diterbitkan semula oleh Princeton University Press, 2005).

Corak pemikiran (??) bullshit seperti yang diutarakan oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya dalam UMNO telah dikritik dengan tajam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak tahun 1970-an lagi di Malaysia, dalam buku-bukunya yang tertulis dalam bahasa Inggeris (terutamanya Islam and Secularism, 1978) dan dalam rencana serta syarahannya. Apa yang disebut oleh Prof. Frankfurt sebagai bullshit itu dihuraikan oleh Prof. Naquib sebagai masalah kekeliruan dalam konsep ilmu. Orang-orang yang keliru konsep ilmunya itu menjadi biadab, lantas muncullah kehilangan adab secara meluas dalam masyarakat.

Akibatnya yang paling parah ialah munculnya para pemimpin palsu, yang memperoleh kuasa politik dan lain-lain dengan cara tidak beradab. Buku Prof. Syed Naquib al-Attas berjudul “Islam and Secularism” wajib dibaca oleh sesiapa saja yang ingin berbicara tentang adab dan ilmu. Orang-orang tidak beradab dan keliru ini tidak malu sedikit pun melontarkan bullshit mereka dalam akhbar, di TV, dalam syarahan mereka, dan dalam percakapan mereka. Dokumen palsu tentang 26 dalil mengapa PPSMI perlu dikekalkan adalah contoh klasik tentang aspek bullshit di kalangan ahli politik kita.

Hujah bercorak sentimen yang mengatakan bahasa Inggeris menjadi asas sains dan teknologi tidak saja karut dan bohong, tetapi juga satu penghinaan terhadap ahli-ahli ilmu Islam yang meletakkan asas tamadun moden Barat. Jika anda membuat kajian paling dasar sekali pun, anda akan dapat lihat berapa banyak istilah Arab digunakan dalam Ilmu Kimia, tak kurang dari 400 istilah. Jika anda teliti pula matematik moden, anda akan melihat di mana-mana anda berpaling wajah tersenyum dan warak seorang al-Khawarizmi, yang memperkenalkan aljabar dan mempopularkan angka sifar yang berasal dari India.

Malah angka yang kita pakai sekarang masih dipanggil Arabic Numerals oleh orang Barat sendiri. Angka itu kemudiannya ditinggalkan oleh ahli ilmu Islam kerana mereka mempunyai angka mereka sendiri yang serasi dengan tulisan Arab. Yang penting bukan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, tetapi menggunakan kaedah yang membolehkan murid-murid mengenal keagungan sains dan matematik dalam Islam, yang menjadi asas tamadun Barat. Itu yang kita perlukan.

Itulah yang akan memberi ilham dan dorongan kepada anak-anak kita untuk mencapai taraf seorang Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd (ulama besar dan ahli falsafah yang menghuraikan pemikiran Aristotle yang menjadi rujukan dan model kepada Barat), dan beratus lagi ahli sains dan matematik yang dilahirkan oleh tamadun Islam melalui bahasa Arab. Dengan berpaksikan Islam, orang Melayu pun akan mencapai ketinggian Ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu. Hanya pemikiran kelembuan yang jahil saja yang tidak dapat melihat hakikat ini. Adalah tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa hanya orang yang berfikiran bullshit saja yang sanggup mengemukakan PPSMI untuk rakyat Malaysia dan bermati-matian pula mempertahankannya.

Jika anda melihat PPSMI dalam konteks yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt tentang bullshit dan Prof. Syed Naquib al-Attas tentang adab dan kekeliruan dalam konsep ilmu, anda akan faham mengapa PPSMI hanya sejenis bullshit sahaja, yang tidak perlu diwujudkan sama sekali. Membersihkan bullshit dalam pemikiran dan mengusahakan wujudnya konsep ilmu yang benar dalam masyarakat adalah tugas penting rakyat Malaysia, terutama di kalangan orang berilmu dan ahli akademik. Kerja begini tidak boleh dan tidak mungkin dilakukan oleh Si Luncai yang secara tabi’i jenis manusia penipu. [12/4/2009]

(*Mohd Affandi Hassan bekas pegawai tadbir dan diplomatik [PTD] pada period pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, yang secara tak langsung memahami secara dekat polisi dalam kerajaan pimpinan Tun DrM. Sebagai pengkritik sastera yang tak berkompromi dengan hujah keilmuan, beliau memberikan pandangan berdasarkan ilmu kritikan sastera).

INFO SASTERA & BUDAYA...


PUISI

Tinggal Cuma Nesan Terdiri

Terkenang ke masa dulu
waktu Jepun
langgar Tanah Melayu
hari-hari makan ubi kayu
badan gemuk tak menentu.

Masa berganti masa
hatiku takkan lupa
oh oh oh ohhh
ohhh ohhhh
terbayang di ruang mata
bintang tiga
potong kepala
kalau hangpa
tak sedaq juga
buanglah teloq
buatlah dadar.

Terbayang ke masa depan
bila Melayu
semua jadi setinggan
hari-hari nangis
tak berlagu
berbinkan kerbau
bintinya lembu.

Masa berganti masa
hatiku takkan lupa
oh oh oh ohhh
ohhh ohhh
terbayang di ruang mata
Melayu kaya lari
luar negeri
hari-hari duduk
meja judi
kiri sundal
kanannya babi.

Terbayang ke masa itu
Tanah Melayu
jadi kandang babi
sejarah Melayu
dah takde lagi
tinggal cuma
nesan terdiri.

-Yassinsalleh
jam 2075
April 11, 09
seawal ini
malam Kuala Lumpur
sudah sepi.

KOMENTAR...

bersama PakParjo...

Dikaji semula 'Islam Hadhari'
Senyaplah sekalian alim ulama

Sebermula akan 'Islam Hadhari' yang diwar-warkan oleh bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu dikaji semula di bawah pemerintahan Orangkaya Perdana Menteri yang baru Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Syahdan segala alim ulama yang pada masa dahulu mempertahankan 'Islam Hadhari' itu senyaplah semuanya macam tikus jatuh ke beras, adanya. Segala hulubalang santeri yang memencak di gelanggang asal sahaja dicemuh 'Islam Hadhari' tiadalah ia mengangkat tombak dan lading lagi. Maka akan Orangkaya Dato' Seri Najib itu bukan sekadar mahu dikaji 'Kanun Keselamatan Dalam Negeri' (ISA), tetapi sudah didengar oleh sekalian orang banyak, jambatan bengkok juga akan ditarik balik setelah ianya dibatalkan oleh Tun Abdullah. Barangkali!

Syahdan jambatan bengkok itu tak sama dengan jambatan emas dan jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang. Adapun jambatan bengkok mahu menggantikan tambak dari Johor hingga ke Singapura, adanya. Arakian negeri Singapura itu pada zaman dahulu, Seri Bija Diraja memegang ia. Maka disuruh bunuh oleh Sultan Mahmud. Arakian tiadalah lagi Singapura itu berpenghulukan anak Melayu lagi. Maka kepada suatu hari Sultan Mahmud mahu beristeri, disuruhnya Tun Mamat ke Gunung Ledang. Sebermula Tun Mamat itulah yang mula-mula mendengar jambatan emas dan jambatan perak itu hendak diperbuat seperti yang diminta oleh Puteri Gunung Ledang. Bahawasanya Tun Mamat juga yang mendengar tuan puteri itu berpantun: Dang Nila memangku puan/berembang buah pedada/adakah gila bagimu tuan/burung terbang dipipiskan lada, seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!