Sunday, December 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

EDISI KHAS:

BAGINDA TUANKU JAAFAR MANGKAT
BELASUNGKAWA SEKALIAN RAKYAT JELATA

Assalamualaikum,

Kira-kira jam 1.45 tengahari, 27 Disember 2008, Kamarudzaman Salleh menelefon dari Balai Undang Luak Rembau beritahu beliau di pejabat YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau. Balai Undang dikawal rapi oleh polis, sebaik sahaja diumumkan DYMM Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Bagaimanapun sebelum Kamarudzaman menelefon, memang saya sudah mendengar berita ringkas di radio jam 12.00 tengahari mengenai kemangkatan baginda. Kamarudzaman sekadar beritahu YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip berkirim salam, di samping beliau menyaksikan fenomena di Balai Undang dengan pengumuman kemangkatan Yang Dipertuan Besar.

Secara peribadi saya pernah mengadap DYMM Tuanku Jaafar di Istana Hinggap, Seremban pada 1981, apabila menemani Tan Sri Abdul Samad Idris bagi mengundang baginda mencemar duli merasmikan muktamar Nasrul Haq di Seremban. Bagimanapun saya mengadap bukan atas kapisiti Pemangku Setiausaha Agung Nasrul Haq ketika itu, tetapi berbincang untuk menyediakan teks titah ucapan baginda pada hari perasmian muktamar. Baginda sendiri menitahkan teks titah ucapan tersebut diselitkan dengan pepatah petitih serta perbilangan Adat Perpatih. Kemudian pada dekad 1990-an, saya bersama Tan Sri Abdul Samad berlepas ke Padang di Propinsi Sumatera Barat terlebih dahulu sebelum baginda bersama keluarganya berangkat tiba membuat lawatan tak rasmi.

Kebetulan pula lawatan ke Sumatera Barat ketika baginda masih lagi Yang Dipertuan Agong, justeru Konsul Malaysia di Medan terpaksalah turun ke Padang. Malah Duta Malaysia di Jakarta juga turut menghadiri majlis-majlis rasmi bersama Gabenor Sumatera Barat ketika itu, Drs Hassan Basri Durin yang juga kenalan rapat Tan Sri Abdul Samad. Bersama Tan Sri Abdul Samad memang saya terbabit membantu membuat kaji selidik mengenai takhta kerajaan Negeri Sembilan, justeru serba sedikit pembabitan baginda dalam aktiviti kemasyarakatan dalam pengetahuan saya. Baginda diputerakan di Kelang pada 19 Julai 1922, ketika ayahanda baginda berkhidmat sebagai pegawai tadbir Melayu di Kelang, Selangor.

Memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seri Menanti pada 1928, baginda melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar mulai 1933. Menamatkan pengajian di Kuala Kangsar pada 1941, baginda dihantar ke Raffles College di Singapura tetapi tergendala akibat pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu. Pada period pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah Daerah Seemban. Berikutan Jepun menyerah kalah pada 1945, British kembali ke Tanah Melayu dengan mengirim Harold Mac Michael memaksa raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan menerima retorik penubuhan Malayan Union.

Ketika Harold Mac Michael ke Seremban pada 14 November 1945, bagi mendapatkan tandatangan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad bersama YTM Undang Yang Empat (Dato’ Kelana Putera Dato’ Maamor Kassim, Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman Dato’ Shahmaruddin Abdul Rahman, Undang Luak Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Kamat Sulaiman, Undang Luak Johol dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Ipap Abdulla, Undang Luak Rembau) serta wakil Tunku Besar Tampin, Sharifah Loyah – baginda Tuanku Jaafar menurunkan tanda tangan sebagai saksi bersama Tengku Nasir dan Tengku Hussain.

Apabila pembentukan Malayan Union, baginda berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) Rembau pada 1946. Baginda ditukarkan ke pejabat Sekretariat Negeri Selangor di Kuala Lumpur pda 1948, tetapi meletakkan jawatan beberapa bulan sahaja berkhidmat di situ. Seterusnya pda 1948, baginda berangkat ke London bagi melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Nottingham. Selepas menerima ijazah LL.B, baginda menerima kursus di seberang laut bagi persediaan berkhidmat dengan kerajaan apabila balik ke tanah air. Sekembalinya ke tanah air baginda dihantar berkhidmat selaku ADO Parit di Perak, kemudiannya Penolong Setiausaha Kerajaan III Perak di Ipoh.

Baginda mula berkhidmat di Negeri Sembilan pada dekad 1950-an dengan menjawat Pegawai Daaerah (DO) Tampin, tetapi pada 1957 memulakan perkhidmatan dalam bidang diplomatik. Dalam tahun 1957 baginda memegang jawatan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa-Bangsa Bersatu, diikuti Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London (1958-1962). Baginda mula berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kaherah dan Republik Arab Bersatu (1963-1965) dan ditukarkan ke Nigeria dan Ghana (1965-1967). Ketika berkhidmat di Nigeria, baginda dipilih oleh Undang Yang Empat menaiki takhta kerajaan Negeri Sembilan pada 18 April 1967, berikutan kemangkatan kekanda baginda, Tuanku Munawir.

Sewaktu menuntut di Universiti Nottingham, baginda Tuanku Jaafar aktif dalam sukan malah pernah menjadi juara badminton, skuasy dan tenis di kalangan pelajar-pelajar di situ. Memang baginda merupakan pemain badminton, skuasy dan tenis yang baik sejak menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tak hairanlah baginda juga merupakan aktivis badan sukan dengan menjadi Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Melayu Malaya dan Yang Dipertua Persatuan Bolasepak, Kriket dan Hoki Melayu bagi negeri Perak. Baginda dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong ke 10 (1994-1999) dalam Persidangan Raja-Raja Melayu, selepas berakhir pusingan sembilan raja-raja Melayu memegang jawatan Yang Dipertuan Agong Malaysia. Al-Fatehah!

-Pak Dharma