Thursday, September 11, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PERPADUAN LAHIR DI LUBUK HATI
BUKAN MENERUSI KEMPEN POLITIK

Assalamualaikum,

Petang ini (11 September 2008) kira-kira jam 3.00 petang, keluarga saya masih dikunjungi sahabat handai bagi mengucap takziah atas berpulangnya ke rahmatullah permata hati kami, Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 lalu. Puan Susila, rakan sekampung isteri saya (berasal dari Sungai Haji Muhammad, Bagan Datoh, Perak) datang bersama kakaknya, di samping mengakui terlewat mendapat khabar berkenaan. Memang ketika Allahyarham Ikram Hafiz, di sekolah rendah isteri saya sering menunggu di luar pagar menjemput anak-anak balik sekolah bersama Puan Susila (yang juga menunggu anaknya di sekolah yang sama). Justeru naluri keibuan tetap terpancar di hati Puan Susila (sekali pun beliau bukan Melayu), dengan tak perlu disebut mengenai kempen ‘perpaduan’ yang diwar-war kerajaan selama ini.

Bukan sahaja Puan Susila, malah Dr Raju dan isterinya Rani juga turut mengalirkan air mata apabila berkunjung ke rumah selepas jenazah Allahyarham Ikram Hafiz selamat dikebumikan. Mereka tak pernah memikirkan kempen ‘perpaduan’ yang penuh gimmik politik, sebaliknya menyedari Allahyarham Ikram Hafiz rakan sepermainan anaknya Princeson. Begitu juga dengan ayah Gavin (yang juga rakan sepermainan Ikram Hafiz) terisak-isak menangis ketika menatap jenazah, malah terus lari keluar akibat tak sanggup menahan sebak di dada. Mereka tak pernah mempersoal ‘kontrak sosial’ seperti pimpinan parti-parti politik bukan Melayu yang celupar, bacar dan tegar membangkitkan isu yang berkaitan hak istimewa Melayu. Sebaliknya mereka menganggap Allahyarham Ikram Hafiz sama seperti anaknya juga dikasihi, disayangi dan dilindungi. Begitulah!

Tetapi Parti Gerakan di bawah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon merasakan kekalahan mereka pada PRU12 hingga kerajaan negeri Pulau Pinang terlepas daripada genggaman, seolah-olah terlalu mengikut telunjuk ‘orang Melayu’. Parti Gerakan tak pernah memikirkan kelemahan sendiri, hingga sanggup memperlekeh PPP di bawah Dato’ M Kyveas yang dianggap menerima ihsannya bagi mendapatkan kerusi Parlimen Taiping. Dari perspektif sejarah, PPP sebelum menyertai BN memenangi 4 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN di Perak, berbanding dengan Parti Gerakan sekadar bertapak di Pulau Pinang. Parti Gerakan yang menganggap memperjuangkan polisi berbilang kaum, tak pernah menampilkan Ahli Parlimen mahupun ADUN dari kalangan bukan Cina (mirip seperti DAP).

Justeru keberangan bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Dato’ Ahmad Ismail terhadap Tan Sri Dr Kho Tsu Koon dan Parti Gerakan, bukan disebabkan isu perkauman tetapi kepongahan kerajaan negeri di bawah Parti Gerakan sebelumnya. Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah membangkitkan isu Melayu Pulau Pinang sebelum PRU12, di samping bantuan perumahan kepada mangsa tsunami hingga memakan masa dua tahun untuk diselesaikan (selepas Dato’ Seri Abdullah sendiri campur tangan). Malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengkritik kerajaan negeri dengan isu sampah serta pencemaran udara di Jelutong (hingga Pulau Pinang diejek oleh DAP sebagai ‘Darul Sampah’). Sepatutnya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Parti Gerakan cermin diri sendiri, bukan menyalahkan Dato’ Ahmad Ismail dan UMNO Pulau Pinang.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KALAU SISTEM KOUTA TAK DIHAPUS
UMNO AKAN DIMUZIUMKAN DISEMBER

Ketika isu ‘kerajaan baru’ 16 September 2008 terus diperlekeh oleh pimpinan UMNO, di samping komponen BN pula mendiamkan diri, isu kes liwat Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga turut dihangatkan oleh media. Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur milsanya semalam (10 September 2008) menetapkan 24 September 2008 bagi mendengar hujahan pendakwaan bagi dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Dato’ Seri Anwar yang semakin optimis dengan ‘kerajaan baru’ 16 September ini mengakui, harga minyak akan turun pada tarikh tersebut, di samping beliau bersedia ke Taiwan menemui 49 Ahli Parlimen BN yang berlepas ke negeri berkenaan mengikut rombongan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).


Aktivis sosial, Penyair Yassinsalleh ketika meghubungi sekretariat PRIMA mengakui ‘perahu sudah di air, dayung sudah di tangan’, justeru pimpinan UMNO tak perlu berteka teki lagi. Majoriti Ahli Parlimen UMNO tak senang dengan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak sebelum PRU12, menurut Yassinsalleh yang juga penganalisis politik, di samping dikatakan banyak membantu mengedit buku-buku politik popular sebelum diterbitkan. Kata Yassinsalleh sejak Jun 2007 gerakan meminta Dato’ Seri Abdullah berundur sudah dimulakan dengan beberapa siri perbincangan yang diatur bersama pimpinan veteran UMNO. Sekiranya sistem kuota dalam pemilihan UMNO tak dihapuskan, bermakna menjelang Disember 2008, UMNO akan menerima nasib menjadi dinosour yang dipamerkan di dalam muzium, beritahu Yassinsalleh.

MT UMNO AKAN MENYESAL
JATUH HUKUM ORANG BERJASA

Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mempertahankan kenyataan awalnya bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Dato’ Ahmad Ismail tak bersalah dari segi perspektif sejarah apabila melabelkan bukan Melayu sebagai imigran. Malah kata Dato’ Kamal Amir, Dato’ Ahmad Ismail juga tak membangkitkan isu yang berbau perkauman, justeru tak munasabah beliau digantung keahlian oleh MT selama tiga tahun. Sekalipun bekas Ketua UMNO Bukit Bendera menerima baik segala keputusan MT, tetapi pimpinan di peringkat akar umbi akan tetap mempertikaikannya, beritahu Dato’ Kamal Amir. Seterusnya ujar Dato’ Kamal Amir, MT UMNO jangan menuruti jejak Sultan Melaka yang menyesal setelah menghukum Hang Tuah. “Dato’ Ahmad Ismail berkempen untuk membantu BN, ketika Parti Gerakan bermuka-muka,” beliau menambah.

Dalam mesyuarat MT UMNO semalam (10 September 2008) mengikut fasal 20.9 Perlembagaan UMNO, Dato’ Ahmad Ismail digugurkan semua jawatan yang dipegang dalam parti, tetapi kekal sebagai ahli UMNO. Dato’ Ahmad dilabel membangkitkan isu perkauman apabila menyebut masyarakat bukan Melayu sekadar imigran (penumpang) ketika berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya Dato’ Ahmad dianggap menghasut adalah wajar dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan seperti pernah dilaksanakan ke atas Fan Yew Teng (Ahli Parlimen Menglembu pada 1974) dan Oh Keng Seng (ADUN Jimah, Negeri Sembilan pada 1972). “Kalau masyarakat bukan Melayu bukan imigran dari perspektif sejarah, apa pula definasi Parti Gerakan secara ilmiah?” ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)


(6)

2
MENGEJAR BAYANG:

“TIDUR lagi, budak-budak macam tu le!” sahut atuk tergaru-garu rusuk akibat berlenging tak berbaju. Kemudian mengajak Alang Seman masuk ke dapur sama-sama bersarapan.

Alang Seman tak membantah. Dia tak terus mengekori atuk masuk ke dapur, tetapi masih tercegat di muka pintu. Segera dia mendesak supaya atuk memanggil semua cucunya bangun.

Abah juga berasa hairan kerana wajah Alang Seman kelihatan cemas. Lelaki itu tak ceria seperti sebelumnya asal sahaja terserempak abah. Dia terlangah-langah memandang ke atas di tengah rumah.

Kak Wa terjongol di kepala tangga ke dapur apabila dipanggil opah. Adang bersama Adik Mi juga menerpa sama. Justeru mereka terpinga-pinga kerana digesa segera bangun untuk bersarapan.

“Kenapa Hafiz tak turun ke dapur?” soal abah memerhati Kak Wa menggeliat-geliat malas.

“Hafiz dah bangun, tak ada di tempat tidurnya,” beritahu Adang perlahan.

“Sah, memang dia ke laut!” jelas Alang Seman menggeleng-geleng. Berulangn kali dia mengurut dada beritahu mengenai anaknya Abang Din bawa bot bersama kawan-kawan.

“Bila masa pula budak bertuah tu bangun?” gerutu emak melepaskan geram kerana tak menyangka segalanya berlaku.

“Budak-budak ni pakat, larikan bot aku,” ujar Alang Seman mendengus. “Aku dengar di TV, ombak besar di sebelah utara pagi ni,” katanya serba salah setelah menyedari bot dilarikan oleh anaknya Abang Din.

Beristighfar panjang abah sebaik sahaja diberitahu mengenai indisen tersebut. Apalagi dia sudah mendengar laporan mengenai ombak tsunami menggegar perairan. Sebelum balik bercuti Hari Natal, memang abah mendapat tahu dari stesen meteorlogi mengenai ombak besar di sebelah utara.

Abah tak peduli sangat ombak besar (tidal wave). Bukan sahaja disebabkan abah tak pernah turun ke laut jadi nelayan, malah mereka yang sering mengharung ombak sudah menjadi perkara biasa sahaja fasal gelombang. Asal sahaja angin berpusar kencang di kaki langit, memang nelayan tahu akan berlaku ombak besar atau tidal wave itu.

Apalagi abah memang tahu tidal wave tak sama dengan tsunami. Faktor tekanan angin yang menyebabkan tidal wave, sudah menjadi alah bisa tegal biasa kepada mereka kaum nelayan. Baik atuk mahupun Alang Seman tak bimbang apa-apa sekiranya angin berpusar kuat. Mereka akan berlindung di pulau-pulau kecil tengah laut, sementara menunggu angin reda semula.

Tetapi tsunami disebabkan faktor pergerakan kerak bumi di bawah laut. Ombak bergerak laju sampai 800 km sejam. Dalam masa 24 jam tsunami boleh merentasi habis Lautan Pasifik. Bayangkan!

“Betulkah Hafiz ke laut?” tak jadi abah meneruskan menjamah nasi goreng. Cawan kopi di depannya juga tak disentuh, sekalipun Alang Seman mula duduk di depan pintu.

“Mereka dah berpakat, kononnya nak jadi macam Hang Tuah larikan sampan ayahnya,” ujar Alang Seman mencapai cawan kopi yang dihulurkan oleh emak. “Aku fikirkan budak-budak tu tak berani, lagipun dah dengar di TV fasal ombak besar nak berlaku,” katanya lantas meneguk kopi panas.

(bersambung…)

MENJATUHKAN MARTABAT AGAMA ISLAM
PERLU DILIHAT SECARA BERTIMBAL BALIK

Langkah menyalahkan pihak lain apabila agama Islam diperlekeh dianggap kurang bijak, ketika pihak pentadbir sendiri tak menunjukkan komitmen yang boleh dibanggakan beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Menyentuh mengenai saranan beberapa orang mufti mahukan sesiapa yang menjatuhkan martabat Islam disekat, Dato’ Dr Mohd Mansor bersetuju langkah susulan diambil segera bukan sekadar publisiti di media. Isu berkenaan dibangkitkan oleh pengendali laman web Malaysiakini Raja Petra Kamaruddin yang dilabel sengaja mahu menjatuhkan martabat agama Islam menerusi penulisannya. “Melabelkan pihak lain sebagai menjatuhkan martabat Islam, perlulah dilihat secara bertimbal balik, bukan mengikut emosi semata-mata,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.

Di samping menarik perhatian kepada isu menyelesaikan perceraian keluarga Islam memakan masa hingga dua tiga tahun, Dato’ Dr Mohd Mansor turut mempersoal pihak pentadbiran agama dalam usaha mengangkat sumbangan para ulama terdahulu. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor dalam kajian akademik di negara kecil seperti Kepulauan Maldives pun, pentadbiran agamanya mengakui Ibnu Batutah sebagai pendakwah yang menyibarkan Islam. Di Malaysia, seolah-olah tak memiliki jatidiri dalam menelusuri sumbangan ulama-ulama terdahulu yang memartabatkan agama Islam di rantau Melayu, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Seterusnya beliau mengambil contoh di Turki, makam ulama besar sezaman dengan Rasulullah, Salman al-Farisi dipulihara sebagai usaha memartabatkan syiar Islam.

“Kita ketandusan kajian akademik terutama dari jabatan agama sendiri mengnenai ulama yang menyibarkan Islam di rantau Melayu seperti Sheikh Abdul Aziz yang pernah mengIslamkan Parameswara di Melaka pada 1400 Masehi,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Jabatan Agama Islam sepatutnya bekerjasama dengan ahli-ahli akademik dan muzium bagi menjejaki semula makam Sheikh Abdul Aziz sebagai ulama besar yang mengangkat martabat agama Islam di rantau ini. Malah di Melaka ramai ulama-ulama besar dalam mengangkat martabat agama Islam setanding dengan Pasai seperti Maulana Abu Ishak, Maulana Yusuff dan Kadi Munawar, tetapi semuanya dilupakan. “Kalau kita tak tahu menghargai ulama silam, jangan salahkan ibu mengandung kalau diri kita juga diperlekehkan fasal memartabatkan syiar Islam,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SUARA PROLITAR

LOMPAT AKAN SAMPAI KLIMEKS
LEBIH GEMPAR DARIPADA DIJANGKA

Proses melompat dijangka bermula hari ini (11 September 2008). Apa pun siri lompatan ini dijangka berakhir dengan satu klimeks yang lebih menggemparkan dan di luar jangkaan ramai kebelakangan – Ruhanie Ahmad. Maklumat lanjut silalah layari
http://kuda-kepang.blogspot.com.-/ - SMS; 11 September 2008; 14:03:15 – YS, Kajang, Selangor).

NASIHAT LEBIH BERSIFAT BERHEMAH
KELUAR SAMAN MACAM TUNJUK KUASA!

Musim perayaan menakutkan semua ibu bapa. Anak-anak yang bekerja di kota akan balik ke kampung. Kalau mereka tak dapat bas, anak-anak akan menunggang motorsikal. Apakah cara memantau kemalangan jalanraya, terutama kepada penunggang-penunggang motorsikal? Syabas kepada kenyataan pihak ketua polis trafik yang akan menasihati penunggang motorsikal, bukannya keluarkan saman! Saman itulah menyebabkan lebih banyak kemalangan berlaku, kerana mereka mahu melarikan diri daripada polis - (SMS; 11 September 2008; 22:38:51 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TUN DR M MAHU BALIK SEMULA:
MACAM RAJA KASIM MENAIKI TAKHTA

Sebermula akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan mahu balik semula bersama harakah Melayu (UMNO). Maka gembiralah semua anak-anak buah dalam harakah Melayu itu kerana bekas Orangkaya Perdana Menteri sengaja mahu menguji hati sekalian rakyat jelata yang hina dina. Syahdan di masa lalu akan bekas Orangkaya Perdana Menteri itu dibuang orang banyak; tiada ia duduk dalam harakah Melayu beberapa lamanya. Arakian dipujuklah oleh orang besar-orang besar dibawa semula menghadap ke balairongseri. Itulah disebut orang banyak akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang beranakkan Orangkaya Jerlun, Dato’ Mukhriz seorang. Maka tiadalah dilantik oleh Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi setara menteri, menyebabkan terasalah di hati bekas Orangkaya Perdana Menteri itu, adanya.

Arakian telah demikian fikirnya, maka Raja Kasim pun pergilah kepada Seri Nara Diraja. Maka segala kata Maulana itu semuanya dikatakannya kepada Seri Nara Diraja. Maka sahutnya, ‘Baiklah, hambalah menyertai Tuanku.’ Telah sudah berteguh-teguhan janji itu, maka Seri Nara Diraja pun berlengkaplah menghimpunkan segala orang besar-orang besar yang serta menghadap bendahara dan orang lain sekalian. Telah hari malam, maka Raja Kasim naik gajah bernama Juara Demang, Seri Nara Diraja mengepalakan gajah, Maulana itu pun sama di atas gajah itu. Maka orang kapal pun naik dengan segala alat senjatanya. Maka kata Raja Kasim pada Seri Nara Diraja, ‘Apa bicara tuan hamba, jika bendahara tiada serta kita, tiada akan hasil pekerjaan kita?’ (kerana berteguh-teguhan janji mahu menaikkan Raja Kasim itu menjadi raja di dalam negeri bagai Tun Dr Mahathir itu menaikkan Dato’ Seri Abdullah), seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:












HIDUP BAHASA MELAYU!
WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


JUMPA SAUDARA BULAN RAMADHAN
EKSPLOITASI SYARIKAT LUAR NEGERI


Assalamualaikum,


Selepas zohor hari ini (10 September 2008), sengaja berligar-ligar di kawasan perumahan Taman Seri Gombak, sementara menunggu anak saya balik dari tuisyen jam 4.30 petang. Disebabkan tak menetapkan destinasi yang dituju, saya bersama isteri singgah di sebuah kedai dobi. Tak pernah pun saya menemui pemilik kedai berkenaan, tetapi sekadar beliau menelefon sebelumnya ketika berpulangnya ke rahmatullah anak saya Allahyarham Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 lalu. Pemilik kedai berkenaan mahu tahu sama ada benar atau tidak saya ialah ‘bapa saudaranya’, disebabkan sepupunya memberitahu mengenai Ikram Hafiz meninggal dunia. Apabila bertemu Liza, memang sah beliau pangkat ‘anak saudara’, yang selama ini merupakan aktivis wanita UMNO di sini, di samping suaminya ‘orangkuat’ Rukun Tetangga. Alhamdullillah!


Belumpun selesai solat terawih, adik angkat saya Ir Adnan Khalid pula datang ke rumah beritahu mengenai dirinya menjadi mangsa syarikat Jepun apabila dilantik menjadi pengarah syarikat terbabit. Beliau dijadikan umpanan oleh syarikat berkenaan bagi buat pinjaman bank menjangkau RM4 juta, kira-kira dekad 1990-an. Apabila syarikat Jepun berkenaan tak beroperasi sejak 11 tahun lalu, Ir Adnan tak menyedari hutang masih tak dilunaskan. Dua orang ahli lembaga pengarah syarikat berbangsa Jepun terbabit sudah balik ke negara mereka, justeru bank ‘mengejar’ ahli lembaga pengarah warga tempatan. Bukan sahaja syarikat berkenaan mengeksploitasi warga tempatan, malah banyak lagi syarikat asing yang konon melabur di negara ini mencari kesempatan. Begitulah!

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:


KEWIBAWAAN MT UMNO DIPERTIKAI
AKAR UMBI SOKONG DATO’ AHMAD ISMAIL


Pimpinan peringkat akar umbi UMNO melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Majlis Tertinggi (MT) menggantung keahlian Ketua UMNO Bukit Bendera Dato’ Ahmad Ismail, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Rata-rata pimpinan peringkat akar umbi menyokong kenyataan Dato’ Ahmad Ismail kerana ianya tak bertentangan daripda persfektif sejarah, beritahu Dato’ Kamal Amir. Menurutnya, beliau dihubungi oleh pimpinan Pemuda di Kelantan, termasuk Sdr Azizi dari Gua Musang yang kecewa dengan keputusan menggantung keahlian Dato’ Ahmad Ismail, semata-mata kerenah pimpinan Parti Gerakan. “Pimpinan Parti Gerakan sendiri kucar kacir, hingga ramai menyertai PKR, kenapa UMNO bimbang?” tegas Dato’ Kamal Amir yang mempertikai kredibiliti MT UMNO dalam isu berkenaan.


Menurut Dato’ Kamal Amir ketika Parti Gerakan mempersoal ‘kontrak sosial’ yang sebenarnya sudah diterima sejak sebelum merdeka, Dato’ Ahmad Ismail tak pernah membuat laporan polis mahupun mengkritik Parti Gerakan. Malah apabila Parti Gerakan ‘mencuri’ ahli MCA dan memperlekeh PPP dan Dato’ M Kyveas dalam isu kerusi Parlimen Taiping, UMNO terus bersabar dengan kerenah mereka. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, hebat sangatkah Parti Gerakan dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hingga MT UMNO tunduk dengan desakannya. Menurutnya lagi, Parti Gerakan sekadar bertapak di Pulau Pinang dalam masa yang sama cuba merebut pengaruh MCA di negeri-negeri lain. “MT UMNO sepatutnya menghormati MCA yang memberikan kerjasama sejak 1952, bukannya Parti Gerakan yang menempel pada 1973,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA:


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA


Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(5)

2
MENGEJAR BAYANG:


PAGI LAGI HOBI TEKUKUR
CUCU HILANG KETIKA TIDUR


NASI goreng sudah terhidang untuk sarapan. Tak perlu menghadapi meja makan, tetapi sekadar terconggok di lantai sahaja. Memang tak selesa atuk makan berjuntai kaki duduk di kerusi. Dia lebih senang bertinggung dengan sebelah lutut tupang ke bawah ketiak. Sudah menjadi kebiasaan atuk, selepas jamah makanan atau sarapan dia akan gulung rokok daun tembakau cap kapal terbang sampai sebesar ibu jari kaki.


Kadangkala atuk akan gulung beberapa batang buat bekalan kopek kelapa. Sejak semua anak-anak dewasa atuk juga tak larat turun ke laut. Sebab itu dia tumpu kerja-kerja di kebun kelapa sahaja.

Terpaksa abah dengan emak juga ikut sama bersila tengah dapur menghadap sarapan. Tetapi atuk tak jamah nasi goreng apabila bersarapan. Tahu sangat opah kegemaran atuk lempeng tepung cecah dengan gula. Pagi-pagi lagi emak sudah bangun membantu opah sediakan sarapan.

Bagaimanapun atuk masih belum terjongol, setelah abah terconggok menghadap sarapan. Apalagi anak-anak juga masih lingkup selimut akibat cuaca sejuk tatkala angin pantai memuput. Memang emak tak peduli sangat anak-anak lewat bangun apabila sekali sekala balik ke kampung. Opah juga tak benarkan emak bangunkan anak-anak, kalau sekadar mahu menggesa bersarapan bersama-sama.

Hai, ke mana pula bapak ni?” gerutu emak disebabkan atuk masih belum terjongol.

“Ke mana lagi, kalau tak dengan burung tekukurnya!” sahut opah mencebek bibir kerana faham sangat dengan hobi atuk. “Lama-lama ikut sama terangguk-angguk macam tekukur,” ujar opah mendengus.

“Biarlah mak, asalkan bapak bahagia,” sengaja abah bergurau sambil mengerling emak sibuk menyediakan sarapan.

Dia tahu bapa mentuanya gemarkan burung tekukur sejak masih remaja. Kalau memikat burung tekukur, memang tak siapapun di Sungai Belukang mampu tandingi atuk. Hingga di sekeliling rumahnya banyak tergantung sangkar burung. Atuk sendiri yang raut buluh atau tarah kayu membuat sangkar burung ikut citarasanya sendiri.

Mujurlah abah tak berminat memelihara burung tekukur, sekalipun di sekeliling rumah atuk banyak tergantung sangkar. Kadangkala riuh bunyi tekukur mendekur apabila salah seekor mula nyaringkan suara.

“Cukuplah tu main dengan burung, marilah bersarapan dulu,” laung opah sebaik sahaja ternampak atuk memetik jari mengacah-acah tekukur di dalam sangkar tepi tingkap.

“Minumlah dulu, jangan susahkan aku!” sahut atuk terangguk-angguk mengacah burung tekukur galak mendekur.

“Tengoklah orang tua ni, anak menantu dah tunggu nak minum sama, leka dengan burung pula!” rungut opah disebabkan atuk masih terangguk-angguk acah burung di depan tingkap dapur.

“Emmm, kamu tu kalau tak berleter satu hari, tak sah gamaknya!” atuk mencemik muka lantas melangkah ke muka pintu dapur.

Belum sempat atuk masuk ke dapur, tergamam dia apabila dipanggil Alang Seman. Cepat-cepat pula Alang Seman berhentikan motorsikal di tengah halaman. Dia masih terconggok di atas motorsikal sambil menggamit atuk. Tak bertangguh atuk mara mendekati Alang Seman.

“Cucu kamu Hafiz, di mana Abang Ngah?” segera Alang Seman mendesak.

(bersambung…)


PUISI

Balada Kepondanan Melayu

Melayu kena gertak sikit je
UMNO pun minta maaf
sampai hantar menteri pergi
negeri China minta ampun
- orang lain sumpah seranah Melayu
ungkit ‘kontrak sosial’, takpe
diam aje macam pondan bisu.

Paling berani hunus keris
di gelanggang sendiri –
orang lain marah
UMNO pun terketar-ketar
minta maaf mohon ampun
- dengan orang lain kecut koro
hilang ‘telur’
TAPI sesama Melayu
bukan main gagah
pordah!

Ketuanan Melayu konon!
mana ada dah –
yang tinggal lagi hanya
kepondanan kepimpinan Melayu
‘Biarkan Si Luncai terjun
dengan labu-labunya!’

ITU AJE LAH YANG MELAYU TAU
nyanyi, janji, tamakhaloba
berlagak, rasuah, fitnah, sumpah
dan MINTA AMPUN MINTA MAAF
meluatnya aku! Loya! Nak muntah
balada kepondanan Melayu!

Yasleh Rita Ayu
Universiti Malaya
10 Sep 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

JANGAN GADAI NYAWA PENGGUNA
TUTUP KALAU LEBUHRAYA BERBAHAYA

Lagi-lagi ‘Lebuhraya Lingkaran Tengah’. Kalau tiangnya retak, mungkin sia-sia saja dibaiki. Maknanya, struktor pembinaan lebuhraya itu tak kukuh. Hari ini dibaiki, macam mana dua tiga bulan lagi retak semula? Kalau di peringkat awal sudah ada masalah, ianya akan berterusan bawa masalah. Sekiranya tak selamat digunakan, tutup sahaja. Justeru bukan takat (nak) siasat, tetapi perlu tindakan. Jangan biarkan nyawa pengguna jalanraya jadi mangsa, ketika pihak lain menikmati hasil pembangunan negara kita. – (SMS; 10 September 2008; 16:42:09 – Man Cincai, Selayang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA PANGLIMA GELABAH SEMACAM
BELUM BERPERANG BIMBANG KESELAMATAN


Kata sahibul hikayat berasa masyghol Panglima Angkatan Tentera negeri Melayu itu Orangkaya (atau disebut anak cucu fakir Jeneral) Tan Sri Abdul Aziz Zainal akan perihal keselamatan. Syahdan Orangkaya Panglima itu mengakui perkara kaum berbahaya pada rakyat jelata. Akan hulubalang-hulubalang Orangkaya Panglima (ATM) bersama anak buah Orangkaya Temenggung (PDRM) sudahlah bersiap sedia. Arakian Orangkaya Panglima itu memberitahu orang banyak ketika majlis penyerahan sumbangan hari raya wanita harakah Melayu (Wanita UMNO) yang diketuai oleh Orangkaya Kuala Kangsar Tan Sri Rafidah Aziz semalam 9 Ramadan 1429 (9 September 2008), adanya. Syahdan diberitahu oleh Orangkaya Panglima sejumlah 15,000 hulubalang dikerah bertugas untuk menjaga keselamatan sepanjang hari raya ini. Arakian diberitahu orang banyak kepada fakir, sebelum ini tak pernah pula Orangkaya Panglima bercakap demikian. Aduhai!

Hatta, berapa lamanya di laut, sampailah ke Pasai. Maka orang Melaka pun naiklah ke darat berperang dengan orang Pasai, ada empat lima kali, tiada juga alah Pasai; kerana orang Melaka yang datang itu hanya dua laksa, rakyat Pasai dua belas laksa banyaknya. Pada sebuah dusun seorang tuanya. Telah tiada hasil pekerjaan orang Melaka, maka laksamana dan Seri Bija Diraja (pada masa itu ia yang menjadi Orangkaya Panglima) dan segala hulubalang sekaliannya berkampung pada bendahara mesyuarat, membicarakan pekerjaan Pasai itu. Maka kata bendahara, ‘Apa bicara tuan-tuan sekalian, kerana kita lama di sini; suatu pun pekerjaan kita tiada bertentu?’ Maka kata laksamana dan Seri Bija Diraja, ‘Adapun kita akan mengalahkan Pasai ini sahaja musykillah, kerana kita sedikit, orang Pasai terlalu banyak, pada bicara saya baiklah kita kembali.’ Ketika Orangkaya Panglima gelabah, Tun Mat anak bendahara (yang tak berpangkat) tetap bersemangat seperti disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU!