Monday, July 27, 2009

JEMPUTAN KEPADA SEMUA...

============================================

BACA PUISI 'MANIFESTASI RAKYAT'
'Warga Prihatin Malaysia (PRIMA)

menjemput ke majlis

BACA PUISI MANIFESTASI RAKYAT
menentang PPSMI dan isu rakyat prolitar.

Tempat: Kelab Golf Perangsang, Templer Park, Selangor
Masa : 8.30 malam
Tarikh : 15 Ogos 2009

Tetamu Istimewa: ............heh heh heh!

Semua dijemput hadir.

Turut mengundang
Pimpinan PRIMA:

Pak Dharma - Yahaya Ismail - Dato' Kamal Amir - Prof Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah - Yassinsalleh - Dr Seri Intan Mokhtar - Datin Rozie Rahman - L Mankadir Shamsi - Ahmad Nizam Hamid - Zainal Rasidin - MSO - Yasleh Rita Ayu - Adiah Mat Lana - Haji Abu Bakar Ninggal - Zakaria Bidin.

============================================

SEKILAS PANDANG...


UMNO sendiri cantas mencantas:
Apa sangat yang diharap dengan PAS!

Siapalah Salahudin Ayub yang nak mengingatkan UMNO agar tak memanipulasikan kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kerjasama yang ingin dijalinkan yang bersifat antara kerajaan dengan kerajaan. Harakahdaily melaporkan hari ini (27 Julai 2009) Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menyangkal kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin mengalihkan perhatian daripada isu pokok yang dibangkitkan oleh Ustaz Nik Aziz. "Ini bukan masalah antara parti UMNO dengan PAS, jangan alihkannya isu sebenar," kata Salahuddin kepada Harakahdaily.

Apa sangat dengan Ahli Parlimen Kubang itu kepada UMNO, kalau Dato' Nik Aziz mahu pun Dato' Seri Hadi Awang boleh dipermain-mainkan oleh pimpinan UMNO. Sebaliknya, mengapa pimpinan PAS masih juga memberi ruang kepada UMNO untuk memutar belitkan kenyataan, apabila mahu berbaik-baik. Sekali sudah menutup pintu, tak perlu lagi bersandiwara untuk bersikap sporting. Salangkan sesama pimpinan UMNO sendiri mereka saling cantas mancantas; apalagi PAS 'terbang sama bersayap; melompat sama berkuku!'. Ironinya, PAS sendiri hampir terperangkap dengan isu 'kerajaan perpaduan', tetapi masih juga mahu menjalin kerjasama fasal royalti minyak. Tak adakah formula lain bagi membuat tuntutan royalti minyak, ketika UMNO cuba gunakan pendekatan 'menghalal cara'.

"Saya percaya tindakan Tok Guru adalah untuk menuntut peruntukan daripada kerajaan pusat yang merupakan hak kerajaan negeri Kelantan seperti royalti minyak dan gas. Sebagai Kerajaan Pusat, mereka perlu tunaikan tanggungjawab kepada kerajaan negeri dalam merealisasikan konsep federalisme atau persekutuan, bukan memutar belitkan fakta," kata Salahuddin seolah-olah baru semalam, seminggu atau sebulan menenali UMNO. Jangan cuba nak mengajar UMNO mengenai konsep 'Kerajaan Pusat' yang didominasi mereka sejak 1955; sebaliknya PAS sendiri perlu mengkritik diri sendiri: Kalau susuh katakan susuh/tidaklah Jalak akan menerkam/ kalau musuh katakan musuh/tidaklah marak api disekam.

Apabila PAS sendiri mempunyai agenda macam helang berligar di udara menunggu peluang untuk menyambar; memang UMNO juga berminat melihat PAS menjadi katak di pucuk pokok kelapa ketika angin mengelus kencang. Kalau reptalia berkenaan sukar dijatuhkan menerusi elusan kencang, angin boleh mengubah persepsi dengan usapan bayu yang melekakan. PAS akan jatuh tergolek akibat puputan bayu, kalau menerusi tiupan angin kencang sukar menolaknya ke bawah. Pada 1990 PAS sendiri tak jujur kepada S46 berikutan jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang perlu diwujudkan TMB1 dan TMB2; tak mungkinkah isu tarik tali dengan UMNO mempunyai intrigue politik yang sukar diselami bak 'air di dalam tunggak'?


-Pak Dharma

INFO SASTERA & BUDAYA


PUISI

Yang Menanti Pelaminnya

Citra tunjang remaja perkasa
melamar saujana tanah kampung
yang terbiar bagaikan perawan tua
yang menanti pelaminnya.
Lalu rindu yang ditempah itu
menanti langit malam menarikan
seloka bintang-bintang mengetarkan
rindu yang syahdu
di dinding kalbu nan permai.

Dan Jeram Besu sebenarnya
amat mengerti betapa pelangi
adalah cuma tarian warna ilusi
yang sekadar tersenyum permai
tak mungkin tergapai
kiranya rindu hanyalah
sekadar rindu yang dikirim
pada sayap angin yang singgah
mendesah daun-daun kering
berguguran di rambut embun
dingin dan bening.

-Yassinsalleh
jam 1545
Julai 26, 09
Kem Kolonel Nik
Jeram Besu, Raub.

Seperkasa Jeram Besu

Adikku Nahar,
taulah kau bahawa semangat
adalah kelahiran dari tapak
semaian benih-benih pengertian
yang mengasuh cita-cita sasarannya
puncak langit yang penuh janji
di situ bintang-bintang gemerlapan
menari-nari dan menanti.

Dan itulah citra
cinta dan cita-cita kalian
duhai wira-wira perkasa
remaja yang berarak
menatang harapan
demi hakikat tuntutan
mempertahankan bumi pusaka
tanah air tercinta
kembali berdaulat
terhormat dan keramat
segagah Jeram Besu perkasa
menguak terjahan air
zaman berzaman
tanpa tewas atau mungkir.

-Yassinsalleh
jam 1503
Julai 27, 09
Kuala Lumpur.

SURAT PILIHAN DARI EMEL

Pengajian secara online:
Kelolaan Ustaz Abu Salman

daripada: Mohd Yaakub

Assalaamu'alaikum

Pihak pengurusan Laman web www.al-fikrah.net mempersembahkan Pengajian Tauhid secara online oleh Ustaz Abu Salman Nur Affendi Arradhi. Diantara kelayakan akademik Ustaz Abu Salman Arradhi adalah:

* Tahfiz al-Quran (30 juzuk) beserta sanad, Karachi Pakistan
* Takhassus hadis dan ilmu2nya, Karachi Pakistan
* Tamat Kuliah Syariah, Universiti Madinah
* Mempunyai sanad hadis kutub sittah, sanad kitab-kitab tafsir, sanad kitab-kitab fiqh dalam 4 mazhab dan lain-lain.

Ikutilah Pengajian Tauhid secara online pada 27hb Julai 2009 (Isnin) pada pukul 10.00 malam.
Untuk urusan pendaftaran Pengajian Tauhid secara online ini sila layari http://mumble.asrulmunir.com untuk download client dan cara install.

Selayang Baru kagum Keprihatinan Rosmah...


100 hari pentadbiran PM:
'First Lady' juga turun padang

Bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak Omar Sudi Abdul Manan menganggap keprihainan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang kerap turun padang memberi kredit kepda kesinambungan perjuangan UMNO. Omar Sudi yang juga Ketua Cawangan UMNO Selayang Baru menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (27 Julai 2009) berkata, dalam tempoh 100 hari pentadbiran Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, penampilan beliau (Datin Seri Rosmah) memperlihat kesungguhannya memperkasa perjuangan UMNO. "Datin Seri Rosmah bersama persatuan isteri menteri-menteri turut sama turun padang menemui anak-anak istimewa di samping memberi perhatian kepada kanak-kanak pra sekolah," jelas Omar Sudi (gambar).


Seterusnya beliau menambah, setakat ini keprihatinan Datin Seri Rosmah terhadap pimpinan negara dilihat sebagai negatif, sebaliknya semua pihak perlu menerima hakikat beliau sekarang adalah 'first lady' Malaysia. Omar Sudi juga menegur mereka yang sengaja mencari kesalahan orang lain, dengan tidak berusaha memperbaikinya. Datin Seri Rosmah sudah membuktikan sifat-sifat positif dalam tempoh 100 hari sebagai 'first lady' Malaysia, justeru rakyat Malaysia wajar memberikan sokongan kepada pimpinan negara. "Seacara rasional, negara memerlukan pimpinan negara yang sentiasa menerima sokongan rakyatnya dengan positif," kata Omar Sudi selanjutnya.

Info ringkas pagi Isnin...

Amaran angin kencang, laut bergelora

27/07/2009 3:39am

KUALA LUMPUR 27 Julai - Angin kencang dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, dijangka berlaku di kawasan utara perairan Condore, Reef North, Pulau Layang-layang dan Palawan (Utara Sabah) bermula hari ini sehingga Rabu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini malam tadi memaklumkan bahawa keadaan itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil dan aktiviti rekreasi laut.

Ribut petir di perairan Laut Sulu dijangka berterusan sehingga pagi ini yang boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40km sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Bekas Ahli Parlimen Pakistan ditahan kes pembunuhan jurutera Poland

27/07/2009 3:39am

WARSAW 26 Julai - Bekas Ahli Parlimen Pakistan ditahan berhubung dengan penculikan dan pembunuhan seorang jurutera Poland oleh Taliban, menurut Kementerian Luar Poland semalam.

Shah Abdul Aziz disoal siasat di Pakistan berhubung dengan pembunuhan Piotr Stanczak, 42, yang dipenggal kepalanya pada Februari lepas selepas diculik semasa bekerja di negara Asia itu.
“Kami telah dimaklumkan bahawa penahanan bekas ahli parlimen itu berkait dengan penculikan dan pembunuhan Stanczak, kata jurucakap kementerian, Piotr Paszkowski kepada AFP.

Aziz ‘sangat aktif’ di dalam perbincangan bersama penculik Taliban itu, jelas jurucakap itu.
“Tetapi saya akan berhati-hati untuk menyatakan bahawa dia adalah dalang penculikan dan pembunuhan tersebut,” tambahnya.

Pendakwa raya Poland mahu terlibat dalam proses soal siasat itu tetapi permintaan tersebut ditolak, kata Paszkowski.

Penangkapan itu dilakukan 10 hari selepas polis menahan salah seorang pembunuh Stanczak, Attaullah Khan, di ibu negara Pakistan, Islamabad.

Menurut agensi berita Poland, PAP, Khan menyatakan bahawa Aziz adalah dalang pembunuhan itu. - AFP

MUTAKHIR

Gempa kuat gegar Bengkulu, Sumatera

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 6.2 magnitud melanda bandar Bengkulu di Sumatera, awal pagi tadi. Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa yang berlaku jam 6.10 pagi waktu tempatan (2310 GMT) itu berpusat di 135 kilometer di barat daya bandar Bengkulu, di barat Sumatera. Bagaimanapun, tiada laporan segera mengenai kerosakan dan mereka yang cedera. - AFP