WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
SOLAT HAJAT UMAT ISLAM
ISU PALESTIN MENCEMAR KESUCIAN
Assalamualaikum,
Sudah berturut-turut Jumaat hari ini (16 Januari 2009), jemaah setia di Masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak mengadakan solat hajat selepas selesai solat Jumaat bagi memohon pertolongan Allah SWT menyelamatkan umat Islam Palestin. Memang tak diberi sebarang publisiti kerana solat hajat di samping derma yang dihulurkan wajar dilestarikan ‘tangan kanan memberi, tangan kiri juga tak tahu’. Begitulah! Keberangan umat Islam terhadap Israel sekadar disampaikan menerusi mesej, disebabkan buat masa sekarang ‘hari dia’ yang diperkuatkan dengan senjata dan militan Amerika Syarikat (AS). Justeru isu Palestin perlu dilihat sebagai lanjutan ‘Perang Salib’ Salehhuddin al-Ayubi, bukan sekadar berkaitan politik al-Fatah dan Hamas!
Dana membantu rakyat Palestin terutama perubatan, kemanusiaan dan pakar-pakar kedoktoran seperti digerakkan oleh Mercy Malaysia atau Aman Malaysia, adalah perkara yang berbeza daripada solat hajat. Bantuan secara fizikal memang berbeza dengan yang berbentuk spritual, malah tak kelihatan di media massa, publisiti atau hurah hurah hurah! Justeru sumbangan jemaah Masjid al-Khairiyyah berturut-turut Jumaat mengadakan solat hajat tak diketahui oleh penduduk Palestin mahupun PBB. Mudah-mudahan Ehud Olmert atau George W Bush (satu ketika dulu tercekik biskut) akan mengulangi pula nasib Ehud Barak yang berbulan-bulan koma dalam keadaannya ‘hidup segan mati tak mahu’. Insya Allah!
Apabila bakal Presiden AS pertama daripada kulit hitam Barrack Hussein Obama mendakwa Osama Laden masih musuh nombor satu negaranya, umat Islam juga harus mengambil pendekatan bersama AS dan Yahudi adalah musuh nombor satu umat Islam. PBB juga tak boleh diharapkan selagi sekretariatnya berpusat di AS, kerana negara Yahudi itu sendiri diwujudkan oleh PBB menerusi Resolusi 181 pada November 1947. AS dan PBB seolah-olah mahu memaksa negara-negara Islam mengiktiraf Israel, justeru gerakan ketenteraan disasarkan kepada Iraq dan Afghanistan bagi menakut-nakutkan umat Islam. Apalagi Mahmoud Abbas yang kalah dalam pilihanraya Palestin dijadikan boneka Yahudi dan AS di Palestin yang kononnya mahukan perdamaian. Bagi Yahudi dan AS, perdamaian ialah mematuhi segala kemahuan mereka dengan menjadikan Mahmoud Abbas boneka di Palestin.
PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU
TERUSKAN ‘PILIH CALON BUKAN PILIH PARTI’
Pengundi-pengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu wajar untuk meneruskan motto bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu pilih calon bukan pilih parti. Sebelum PRU12 lagi Tun Dr Mahathir sudah mengingatkan rakyat Malaysia supaya memilih calon bagi memastikan mereka diwakili oleh pimpinan yang perihatin dengan masalah rakyat. PRIMA menyokong mesej yang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir, bagi mengajak pengundi-pengundi keluar dari kepompong ‘kebangsatan’ di samping menolak perhambaan minda. Justeru pengundi-pengundi tak perlu terikat dengan sumbangan UMNO di masa lalu, kalau calonnya tak mencerminkan perjuangan UMNO yang diasaskan untuk kepentingan Melayu.
Langkah mencurahkan peruntukan ke Terengganu yang diklasifikasikan bukan rasuah atau bertujuan memancing undi, sebaliknya sudah dirancang beberapa tahun sebelum ini adalah jelas meneruskan tradisi ‘perhambaan minda’. Rakyat di Sarawak yang diganggu bencana banjir, lebih wajar diberikan peruntukan sekarang berbanding Terengganu. Atau peruntukan tersebut boleh disalurkan sebelum pilihanraya kecil, kerana pimpinan UMNO sendiri menyedari ‘rasuah politik’ hampir memusnahkan mereka. Tun Dr Mahathir turut mengakui hanya dengan RM200 seorang disogokkan kepada perwakilan di Bahagian Kubang Pasu, beliau sekadar memperoleh undi kesembilan bagi memenuhi kouta tujuh delegasi untuk ke Perhimpunan Agung UMNO. Heh heh heh!
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
BABI MASUK KE KAWASAN MASJID
RAHSIAKAN SUPAYA TAK TERSEBAR
Umat Islam yang mencari perlindungan di masjid ketika berhadapan mala petaka, tetapi melupakan semula selepas terlepas bencana dianggap lebih teruk daripada regim Zionis di Israel, kata pendakwah Ustaz Rizal ketika menyampaikan tazkirah sebelum solat Jumaat di Masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak hari ini (16 Januari 2009). Serentak dengan itu beliau menarik perhatian kepada insiden yang berlaku di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini apabila babi memasuki masjid berikutan spesies haiwan berkenaan terancam oleh pembangunan di persekiataran. “Babi pun tahu mencari perlindungan di masjid ketika spesiesnya terancam, menyebabkan orang ramai menjadi panik dengan kehadiran haiwan itu,” beritahu Ustaz Rizal.
Beliau mendedahkan isu babi masuk ke masjid sekalipun cuba dirahsiakan oleh pihak jawatankuasa masjid terbabit, bagi menjadi iktibar kepada umat Islam yang berebut-rebut ke masjid ketika berlaku malam petaka. Menurutnya, selepas tragedi tsunami banyak masjid di Selangor terutama sekitar Shah Alam menjadi tumpuan untuk beribadat, tetapi sekarang suasana di masjid-masjid kembali seperti sebelum tragedi tsunami, ujar beliau menambah. Seterusnya dengan tragedi pencerobohan regim Zionis ke Gaza sekarang, masjid menjadi tumpuan umat Islam bagi mengadakan solat hajat di samping mengutip dana membantu Palestin. “Janganlah selepas keadaan di Palestin reda, umat Islam kembali rileks dan tak pedulikan lagi masjid,” menurut beliau selanjutnya.
HASSAN ALI PIMPIN QIAMULAIL
JEMAAH DIGESA KE MASJID 4 PAGI
Exco Selangor Dato’ Haji Hassan Mohd Ali memimpin qiamulail di Masjid al-Khairiyyah dengan mengajak jemaah ke masjid mulai jam 4.00 pagi, Sabtu 17 Januari 2009. Beliau seterusnya memberikan kuliah subuh kepada jemaah sebagai gerakan memakmurkan masjid yang sebelumnya didominan oleh pimpinan UMNO. Dato’ Haji Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) kawasan Gombak Setia mengambil inisiatif turun padang menggerakkan qiamulail di masjid berkenaan. Bagaimanapun menurut bekas nazir masjid terbabit Haji Ahmad Radzi, aktiviti bagi memakmurkan masjid memang menjadi agenda terancang apabila pembinaan masjid siap dilaksanakan pada 2006. Program qiamulail, kuliah subuh, tazkirah Jumaat dan semua majlis ilmu digerakkan secara tersusun di Masjid al-Khairiyyah.
MENGALAMI GANGGUAN MINI-STROK
ABANG ENGKU DIMASUKKAN KE HOSPITAL
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku) dimasukkan ke Hospital Daerah Mentakab akibat gangguan mini-strok semalam (15 Januari 2009), kata aktivis sosial di Pahang L. Mankadir Shamsi. Abang Engku yang sentiasa bersama aktiviti PRIMA sebelum ini menelefon sekretariat yang mengakui beliau terjatuh di rumahnya di Lancang. Bagaimanapun Abang Engku dibenar pulang selepas menerima rawatan beberapa hari. Sebaliknya kata Mankadir malam ini (16 Januari 2009) beliau dihubungi oleh isteri Abang Engku memberitahu ia dimasukkan semula ke hospital. Disebabkan Mankadir masih di Kuala Terengganu membantu calon PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, beliau masih belum tahu lagi mengenai perkembangan Abang Engku.
INFO SASTERA & BUDAYA:
DALAM MELESTARI PIMPINAN DBP
JAUHKAN BUDAYA BURUNG TEKUKUR
Struktor pembangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar mahukan identiti Melayu menjana keperkasaannya, malah perlu dilestarikan dalam pimpinannya di samping menjauhkan ianya dikuasai ‘budaya burung tekukur’. Golongan yang dianggap antagonis budaya sebenarnya mempunyai kecintaan yang besar terhadap pembangunan Bahasa Melayu seperti pernah dilestarikan oleh Tun Syed Nasir Ismail dan Profesor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid. Bagi mengelakkan DBP dikuasai ‘budaya burung tekukur’ ianya perlu dipisahkan daripada momentum Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang sebenarnya terlalu daif dalam perjuangan ormas. Justeru pimpinan DBP juga memerlukan kelainan pendekatan terutama yang membabitkan jatidiri bangsa setanding dengan keberanian Tun Syed Nasir dan Ungku Aziz.
Mungkin sahaja DBP memerlukan aktivis budaya dari kalangan yang berpengalaman dalam pentadbiran awam bagi jawatan pengerusinya seperti Dato’ Abdul Aziz Deraman (bekas Ketua Pengarah DBP) atau Mohd Affandi Hassan (bekas pengarah di beberapa kementerian) mahupun Dato’ Tengku Alauddin Abdul Majid (bekas KSU di kementerian kebudayaan, pelancongan dan kesenian). Dari kalangan pimpinan politik bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga antara tokoh yang cenderung dalam kebudayaan Melayu sesuai untuk jawatan Pengerusi DBP. Ketangkasan mereka disusuli beberapa nama yang layak menduduki kerusi Ketua Pengarah DBP seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah (bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM) atau Drs A.F. Yassin (bekas editor pengurus di Penerbitan Fajar Bakti), mahupun Dato’ Chamil Wariya antara wartawan yang berpengalaman.
INFO SUARA PROLITAR:
BANTERAS PEMBOROSAN UMNO
JANGAN UNDI CALON DI TERENGGANU
Sepanjang kempen pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos 2008 terlalu banyak peruntukan dihantar ke kawasan berkenaan. Pengundi-pengundi di Permatang Pauh juga berasa bingung dengan kemurahan hati kerajaan pimpinan UMNO yang boros apabila pilihanraya. Sekarang kerajaan pimpinan UMNO memboroskan wang rakyat di Kuala Terengganu, dengan macam-macam peruntukan. Pakatlah semua rakyat dan adik kakak yang jadi pengundi di Kuala Terengganu, janganlah undi UMNO yang boros tak tentu fasal setiap kali menjelang pilihanraya. Jadikan Kuala Terengganu sebagai bermula protes membanteras pemborosan UMNO – (SMS; 16 Januari 2009; 21:36:14 – Nik Lah, pengundi DUN Ladang).
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo
UMAT ISLAM BERPECAH BELAH
RAJA MUDA TERLALU BERDUKACITA
Syahdan terlalu dukacitalah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah akan nasib umat Islam di negeri ini kononnya berpecah belah, adanya. Baginda bertitah pada majlis penutup Perhimpunan Iktisad Islam Ketiga (KEI 3) di Kuala Lumpur semalam, 18 Muharam 1430 (15 Januari 2009). Arakian terlalulah gembira Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mendengar titah baginda itu, kerana merasakan dirinya sudahlah menjadi wira KEI 3 sekalipun sekalian orang banyak mengetahui akan kokoknya sahaja berderai-derai, ekor bergelumang taik jua. Maka baginda pun bertitah di depan orang banyak, “Sifat umah yang lebih taksub dan lebih setia kepada kumpulan masing-masing mengalihkan mereka daripada menuju kiblat yang sama.” Astaga!
Sebermula telah Maharaja Jaya melihat Tun Demang mati, maka baginda pun terlalu marah, segera menampilkan gajahnya, mengusir Seri Nara Diraja. Maka oleh Seri Nara Diraja ditikamnya dengan lembingnya, kena dada Maharaja Jaya, lalu mati. Telah dilihat segala orang Kampar, Maharaja Jaya dan Tun Demang sudah mati, maka segala orang Kampar pun pecahlah (tak pula disebut dalam ‘Kitab Melayu’ pecah belah). Maka diperikut oleh segala orang Melaka, sambil dibunuhnya lalu dimasukinya ke dalam kota sekali. Maka segala orang Melaka pun merampas, terlalu banyak beroleh rampasan. Syahdan gajah kenaikan Maharaja Jaya pun dapat dibawanya kembali ke Melaka. Maka kata segala orang banyak, kalau tak taksub dan setia kepada kumpulan masing-masing akan berlakulah seperti perihal orang Kampar dibunuh serta harta benda dirampas orang Melaka yang termaktub dalam ‘Kitab Melayu’ disebut oleh: