
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
Assalamualaikum,
SUBJEK SEJARAH DI SEKOLAH-SEKOLAH
SARANAN PAK LAH DI PENGHUJUNG KERJAYA

Sebaliknya murid-murid yang belajar di sekolah agama memang diajar mata pelajaran (subjek) ‘Tarikh’ (iaitu sejarah atau tawarikh). Bagaimanapun subjek ‘Tarikh’ sekadar sirah Nabi Muhammad SAW, bukan membabitkan ‘Sejarah Islam’ dengan skop meluas seperti kerajaan Himyar, Saba’ atau glori pemerintahan Abrahah di Habsyah. Ulama-ulama di masa lalu juga mengakui sebahagian al-Quran memang mengajar umat Islam kepada kepentingan sejarah bagi dijadikan tauladan. Dalam surah-surah yang merakam perjuangan Rasul-Rasul sebelum Nabi Muhammad, memang jelas pengajaran mengenai pedoman yang perlu diikuti oleh umat Islam. Maknanya, al-Quran juga mengajar betapa pentingnya sejarah sebagai tauladan berguna kepada manusia.



-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA
RUMAH TERBUKA DATO’ SUHAIMI
DI KELAB UKAY PADA 26 OKTOBER

INFO SASTERA & BUDAYA
NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(sambungan kelmarin…)
(23)
7
STRATEGI PERANG BONEKA
CAHAYA SOLAR DARI MATA
BOLEH TEMBUSI BESI KELULI
“KITA tak boleh tunggu lama bos, mesti bertindak cepat,” tutur Bung Hirman mencebek bibir. “Saya tahu Bapak Profesor boleh jadikan budak-budak tu robot, selepas fungsi otak mereka diubahsuai,” katanya bersetuju dengan keputusan Si Tongkol.
“Sekarang kita ke sana; kita mesti masuk ke zon planet boneka orang tua tu,” tegas Si Tongkol menyuruh siapkan bekalan peluru M-16 mencukupi.
Kunco-kunco Si Tongkol tak membantah. Segera mereka mencapai senjata M-16 keluar dari gua persembunyian. Sebaik sahaja sampai zon sempadan, beberapa objek tentera boneka sudah menunggu mereka. Tak bertangguh pula Si Tongkol melepaskan tembakan bertalu-talu, tetapi satu pun objek tentera tak terjejas. Semakin banyak mereka mara mengepung kedudukan Si Tongkol.
Cepat-cepat Si Tongkol mengatur strategi perang. Sia-sia dia lama berkhidmat dalam tentera hingga berpangkat kolonel, kalau tak mampu menyaingi strategi tentera boneka. Tahu sangat dia tentera boneka sekadar objek yang bergantung kepada butang suiz di tangan Bapak Profesor. Tentera bonek dipantau dari bilik operasi berkomputer. Kalau mereka dapat menembusi bilik operasi berkenaan, segala kekuatan Bapak Profesor nescaya hancur lebur.
Lantas dia arahkan berpecah kepada empat penjuru. Dia sendiri memanjat lereng bukit terumbu batu karang menyerang dari arah belakang. Jojo pula menyusur pantai melalui zon hadapan. Bung Hirman mengambil kedudukan dari sebelah rusuk kanan, sementara Bung Superman mara di zon bertentangan. Strategi perang Si Tongkol lebih sistematik sebagai bekas kolonel tentera.
“Kenapa kamu menceroboh planet boneka, Kolonel Si Tongkol?” serentak objek tentera boneka menjerkah, apabila Bapak Profesor bercakap di bilik operasinya.
“Kamu yang ceroboh tempat kami, serahkan semula budak-budak tu kepada kami!” sahut Si Tongkol menerusi hanset. Tetapi hanset di tangannya tak berfungsi setelah sistem solar di lokasi tersebut dikuasai Bapak Profesor. Justeru dia terpaksa mnejerit kuat biar dapat didengar hingga ke bilik operasi di bawah terumbu batu karang.
“Aku tak pernah menceroboh lokasi kamu,” Bapak Profesor menjelaskan menerusi alat pembesar suara terlekat pada objek tentera boneka yang berkeliaran di sekitar terumbu batu karang. Memang tak siapapun menduga di bawah terumbu batu karang itu terbina terowong jana teknologi. Di situ Bapak Profesor menguasai tentera-tentera boneka yang dipantaunya dengan kepongahan.
“Kalau begitu bagaimana budak-budak tu dapat keluar dari bilik kurungan?” laung Si Tongkol memerhatikan pergerakan objek tentera boneka mara ke arahnya.
“Budak-budak tu yang menceroboh masuk ke zon larangan, aku tak tahu bagaimana mereka keluar dari lokasi kamu!” beritahu Bapak Profesor memantau menerusi monitor komputer yang tersergam banyak di sekeliling bilik operasi.
Di bawah bukit memang Si Tongkol terdengar tembakan senjata automatik M-16 yang dilepaskan bertalu-talu. Tembakan tersebut dilepaskan oleh kunco-kunconya. Tentera boneka tak melepaskan tembakan M-16 kalau menyerang musuh. Mereka sekadar guna sistem solar menerusi lingkaran mata, hingga mampu menembusi besi keluli.
Sebab itu Si Tongkol ingatkan kunco-kunconya supaya elakkan daripada tembakan solar mata objek tentera boneka. Mereka perlu bersembunyi di sebalik terumbu batu-batu karang. Sekalipun lokasi mereka mudah dikesan oleh Bapak Profesor, tetapi orang tua itu terpaksa menghadapi serangan dari segenap penjuru.
(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).
(bersambung)
PUISI LAMA
Syair Hikayat UMNO
Alkisah tersebut satu ceritera
bomoh UMNO membaca mentera
Pak Lah berundur perintah negara
Najib pengganti sudah dikira.
Sekalian ahli berpaling arah
memilih Najib peluang cerah
biarlah Pak Lah luahkan marah
sokong Najib rezeki murah.
Begitulah sudah disebut orang
UMNO tempat rezeki bersarang
tak bermaruah bukanlah kurang
asalkan peluang terang benderang.
Ku Li bersedih mencari ruang
ditinggalkan ahli laksana terbuang
tiada berkuasa hilang peluang
walaupun melabur dengan wang.
Bomoh menilik ke dalam geluk
Najib mula dipandang elok
kalau berjumpa mesti dipeluk
seperti dikasihi sekalian makhluk.
Begitulah UMNO sejak dahulu
jasa bakti bukanlah perlu
ketua dipilih seperti dedalu
biarlah negeri mendapat malu.
Tunku digelar ‘Bapa Merdeka’
boleh dibuang sekiranya suka
monomen dibina dikutuk belaka
kerana Tunku nasihatkan mereka.
Tun Razak pula dipandang rendah
membuka hutan rancangan mudah
walaupun ayah berkorban sudah
tetapi anak tak tahu bermadah.
Aduhai bomoh sekalian alam
tiliklah nasib semakin kelam
UMNO laksana si burung balam
terangguk-angguk siang dan malam.
-Alba
Jelebu, N. Sembilan.
20 Oktober 2008.
INFO SUARA PROLITAR
ORANG TAK PANDAI BERPATIK-PATIK
SUKAR MAHU MENDEKATI KEM KU LI
Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) masih belum dapat pencalonan. Sikapnya masih tak berubah dengan perangai anak rajanya tak lebih daripada: ‘Cerdik tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar’. Dengan Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak), beliau dapat ‘telur’. Boleh jadi Ku Li tak minat dengan orang yang nak tolong, kerena terpesona dengan glori Gapena. Orang yang benar-benar mahu tolong nak jumpa pun, semua disekat oleh pagar-pagarnya. Tak apalah Ku Li, kerana orang yang tak pandai nak berpatik-patik dan berengku-engku, sebenarnya tak rugi apa-apa! – (SMS; 20 Oktober 2008; 13:00:12 – YS, Kajang, Selangor).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
ALKISAH ORANGKAYA WAZIR PERDANA
KATA ANAK-ANAK BUAH CARI KETUA TERBAIK

Syahdan bermula segala orang yang beremas, bagaimana sekalipun kayanya, jikalau tiada dianugerahi raja tiada boleh dipakai. Apabila sudah dianugerahi barang sekalipun jua, dapatlah dipakai selama-lamanya. Dan jikalau orang masuk ke dalam jika tiada kain berpancung, dan berkeris di hadapan, dan bersebai, tiada dapat masuk, barangsiapa pun baik; dan apabila berkeris di belakang masuk ke dalam, dirampas oleh penunggu pintu. Maka inilah dahulukala larangan raja Melayu, barangsiapa melalui dia salah ke bawah duli hukumnya didenda pati, yakni seketi lima. Bermula payung puith lebih daripada yang kuning, kerana payung putih itu nampak dari jauh, sebab itulah maka payung putih lebih daripada kuning; dan pakaian raja payung putih, dan pakaian anak raja payung kuning. Sebermula akan peraturan-peraturan dari dahulukala kepada anak-anak buah harakah Melayu itu yang membolehkan ketua itu selesa, bukanlah kerana ianya memang sedia orang yang baik seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!