JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
PETANG MINGGU YANG LONGLAI
RUMAH PENA SEPI MENUNGGU TAMU
Assalamualaikum,
Petang minggu 12 Ogos 2007 terasa longlai, apabila aktivis PRIMA tiba di Rumah Pena disebabkan sekitarnya sepi, menyepi dan sunyi. Tak siapapun tetamu hadir ketika Persatuan Penulis Nasional (Pena) anjurkan perbincangan mengenai Allahyarham Pak Sako (Dato’ Dr. Ishak Haji Muhammad). Bukan sehaja ahli-ahli Pena tak nampak kelibat, malah tokoh yang dijemput membicarakan perbincangan mengenai Pak Sako juga tak kunjung tiba. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang tiba lebih awal, merungut-rungut dengan sambutan hambar terhadap majlis bagi mengimbau sumbangan Pak Sako dalam kesusateraan Melayu.
“Saya sudah berusaha mengikut kemampuan bagi mendekatkan penulis-penulis muda kepada pemikiran penulis lama,” beritahu Setiausaha Agung Pena, S.M. Zakir (yang juga anak SN Dr. S. Othman Kelantan) yang berseorangan sahaja menunggu tetamu. Apalagi jawatankuasa yang lain juga bagaikan mengambil sikap ‘tak apa’ dengan aktiviti Pena sendiri. Kalau tak disebabkan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon awal pagi, memang saya juga tak berhasrat menghubungi kawan-kawan lain termasuk Mohd Sayuti Omar, Mohd Radzi dan Dato’ Kamal. Memang mereka berminat mahu berkongsi pengalaman apabila membicarakan karya-karya sastera Pak Sako.
Secara spontan pula Dr Mansor memberitahu S.M. Zakir mengenai rakan-rakan Pak Sako termasuk (Tan Sri) Pak Samad Ismail, Subky Latiff dan Dato’ A. Samad Said. Tetapi kata Dr. Mansor anak muda yang sering berpeleseran dengan Pak Sako beliau sendiri, sementara yang mengikutnya bergelandangan (sebenarnya kembara secara hiking) ialah Dharmala N.S. Ironinya, Pena sekadar melihat dari sebalik sebelah tabir yang gelap, sehingga sukar menemukan ‘pembicara’ yang lebih gagah membincangkan pemikiran Pak Sako, hingga menghasilkan karya-karyanya. Disebabkan pertemuan anjuran Pena gagal, akhirnya Dato’ Kamal membelanja makan di Restoran Tupai-Tupai di sebelah Rumah Persatuan Wartawan Melayu berdekatan Rumah Pena.
- Muluk.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
UMNO BAHAGIAN GOMBAK
LULUS USUL ‘BAHASA MELAYU’
UMNO Bahagian Gombak meluluskan sebulat suara usul mahukan ‘Bahasa Melayu’ kekal sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan yang diterima pada mesyuarat perwakilan 12 Ogos 2007 di Dewan Perangsang Templer Golf, Taman Templer di sini. Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan yang membentangkan usul tersebut turut menolak ‘Bahasa Malaysia’ bagi menggantikan ‘Bahasa Melayu’ sebagai jatidiri bangsa Melayu. Usul pendidikan yang dikemukakan kepada perwakilan turut mendesak pihak pentadbiran Universiti Industrial Selangor (Unisel) mewujudkan ‘Kerusi Dato’ Abu Bakar Baginda’ sebagai pemangkin dalam pembangunan industri di Selangor.
Ketika membahaskan usul berkenaan, wakil dari kawasan DUN Sungai Tua, Azni Kassim usul ‘Bahasa Melayu’ adalah selaras dengan dasar pendidikan yang tak sewajar dipersoal oleh mana-mana pihak. Katanya, majoriti bangsa Melayu malah penyokong-penyokong UMNO di peringkat akar umbi tetap mempertahankan ‘Bahasa Melayu’ hingga ke titisan darah terakhir. Sementara itu perwakilan Pemuda dari DUN Gombak Setia, Cikgu Hafiz menyokong usul tersebut atas sifat bangsa Melayu yang cintakan ‘bahasa ibunda’nya. Cikgu Hafiz juga turut mengakui sudah tiba masanya Dato’ Abu Bakar Baginda, Menteri Besar Selangor pertama pasca merdeka diberi penghormatan dengan mewujudkan ‘kerusi’nya di UNISEL.
UMNO Bahagian Gombak berpendapat, Dato’ Abu Bakar adalah contoh anak Selangor yang prihatin dengan pendidikan, hingga melonjak ke pucak kejayaan sebagai anak Melayu pertama menjadi pegawai tinggi polis. Ketika memegang jawatan Menteri Besar Selangor, Dato’ Abu Bakar melaksanakan blueprint pembangunan bandar satelit Petaling Jaya sebagai alternatif mengatasi kesibukan bandar Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia. “Pembangunan industri dan perkilangan di Selangor terutama di Petaling Jaya adalah idea yang diterjemahkan oleh Dato’ Abu Bakar,” menurut Cikgu Hafiz.
MANSOR BERSEDIA JIKA DITAWAR
ISI KEKOSONGAN ‘KERUSI TUN GHAFAR’
Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah bersedia mengisi kekosongan ‘Kerusi Tun Ghafar Baba’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, sekiranya ditawarkan. Dr. Mansor seorang pakar kaunseling sekarang diletakkan sebagai Presiden Kaunseling di Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga mengakui sudah diberitahu mengenai kekosongan tersebut sejak setahun lalu. “Bukan sahaja menghargai jasa Tun Ghafar, malah program di bawah ‘Kerusi Tun Ghafar’ mestilah memberi manfaat kepada pelajar-pelajar Melayu,” beliau menjelaskan.
Beliau juga mengakui pernah bertemu Naib Canselor UPSI Dato’ Dr. Mohd Rais Abdul Karim baru-baru ini, tetapi menafikan berbincang mengenai isu ‘Kerusi Tun Ghafar’. Katanya, beliau ke UPSI bagi menghadiri wacana bersama Sasterawan Negara, di samping bertemu kawan-kawan lama termasuk Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad, Dato’ Dr. A Samad Said, Dr. S. Othman Kelantan, Dato’ Dr Mohd Yusof Hasaan dan Dr. A Wahab Ali yang hadir sama di UPSI. “Memang saya bersedia untuk mengisi kekosongan ‘Kerusi Tun Ghafar Baba’ yang diabadikan di UPSI sebagai satu penghormatan kepada tokoh besar yang berjasa,” katanya.
PENA AKAN MENYERTAI PERJUMPAAN
ISU ‘PERHAMBAAN MINDA’ PERKARA GLOBAL
Penulis-penulis muda dari Persatuan Penulis Nasional (Pena) dijangka turut menghadiri perjumpaan bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran PRIMA di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya 15 Ogos 2007 ini, mulai jam 9.00 pagi. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, Setiausaha Agung Pena S.M. Zakir memberi jaminan beberapa orang penulis muda akan turut serta, kerana isu ‘perhambaan minda’ yang diperjuangkan oleh PRIMA adalah perkara global. Kata Kamal seterusnya, PRIMA juga akan memberi kerjasama kepada Pena dalam usaha menganjurkan perbincangan mengenai pemikiran Pak Sako dalam wacana yang lebih meluas skopnya untuk dibicarakan.
Menurut Kamal lagi, perjumpaan tersebut menolak sebarang unsur-unsur politik, kerana ianya tak mahu mempolitikkan isu-isu yang dibangkitkan. Kita sekadar mahu mempersoal isu mengenai peranan media dalam pembebasan ‘perhambaan minda’ yang menyebabkan sebahagian besar masyarakat kita berfikiran jumud. Setakat ini beritahu Kamal, kalangan profesional ramai mendaftar untuk menyertai perjumpaan tersebut, justeru mereka lebih menumpukan kepada isu-isu yang berkaitan profesionalisme.
INFO SASTERA & BUDAYA:
ARTIS TAK SERIK DENGAN SIKAP
MALU GUNAKAN BAHASA MELAYU
Artis yang pernah dikritik apabila menuturkan bahasa Inggeris, ketika pesta filem dulu, masih tak berbangga dengan penggunaan Bahasa Melayu apabila membuat penampilan dikaca TV. Apalagi segelintir pihak mahu pertahankan tabiat ‘tak elok’ kerana menyangka perkara yang ‘tak elok’ itu terlalu elok, lagi elok malah elok seelok-elok kepada dirinya. Perkara yang berlaku itu tak membabit sebahagian besar artis yang peka dengan bahasa Melayu, kerana ramai artis kita tetap berbangga dengan Bahasa Melayu. Misalnya, sekitar dekad 1960-an pernah juga berlaku di kampung-kampung, mereka menganggap sesiapa yang fasih berbahasa Inggeris adalah golongan terpelajar.
Makanya, apabila mereka ke pekan tak bertangguh membeli akhbar berbahasa Inggeris dengan diselitkan di saku belakang seluar. Ketika menaiki bas balik ke kampung, dia lebih suka berdiri sekalipun terdapat tempat duduk yang kosong. Rupa-rupanya dia mahu memperaga surat khabar yang diselit di saku belakang seluar, bagi memperlihatkan dia orang terpelajar. Begitu juga kalangan yang balik dari mengaji ‘pondok’ di Gunung Semanggol atau di Pattani, apabila bercakap dengan rakan-rakan di kampung menukar jatidiri dengan memanggil dirinya ‘ana’, sementara kawannya pula ’ente’.
Begitulah! Mereka yang bersekolah pondok juga berasa malu menyebut ‘saya’ dan ‘awak’ misalnya, apalagi mereka yang menerima pendidikan Inggeris. Amatlah malang, apabila Melayu berasa malu bertutur dalam bahasa Melayu, kerana merasakan termasuk golongan yang tolol, bahlol dan bedul! Tetapi dalam sejarah perfileman Melayu, masih belum tersua tokoh yang berketerampilan setanding dengan Allahyarham seniman Tan Sri P. Ramlee. Karya-karya P. Ramlee memang memberi keutamaan kepada budaya Melayu, di samping sindiran-sindiran tajamnya kepada budaya asing.
Mungkin sahaja filem ‘Sarjan Hassan’ P. Ramlee bertutur dalam bahasa Inggeris, sebalik secara sinis P. Ramlee selaku penulis lakon layar meletakkan watak pegawai tentera Inggeris bercakap menggunakan Bahasa Melayu. Begitu juga dalam filem ‘Nasib Si Labu Labi’ dalam adegan bertarung dengan M. Zain, sengaja di selit perkataan: Kalau kau boxing Siam, nah ini boxing Melayu – lantas beliau membuka pencak silat. Filem-filem P. Ramlee terus diminat selepas hampir 40 tahun beliau meninggal dunia, sekalipun beliau tak mengutamakan budaya asing.
BAKAR BERDIRI LEBIH 2 JAM
GARA-GARA IDOLA P. RAMLEE
Aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal terpaksa berdiri lebih dua jam, gara-gara mahu menonton pertandingan ‘Idola P. Ramlee’ di Istana Budaya baru-baru ini. Beliau yang juga bekas wartawan hiburan di Singapura pada period kegemilangan filem Melayu, memang berbangga dengan usaha memperingatan keunggulan seniman agung itu. Haji Abu Bakar terlewat ke Istana Budaya, disebabkan menghadiri mesyuarat tak rasmi PRIMA terlebih dahulu. Limpahan penonton dan peminat-peminat P. Ramlee membanjiri Istanan Budaya, membuktikan keunggulan seniman agung itu masih sukar ditandingi.
Bagaimanapun seperti keluhan adik Allahyarham Noordin Ahmad dalam slot TV Astro ‘Gemilang Filem Melayu’, seniman itu mula diberi penghormatan selepas meninggal dunia. Ketika hayatnya, seniman itu sekadar dianggap sebagai pelakon biasa sahaja, yang tak pernah difikirkan mengenai jasa dan sumbangannya. Menurut Haji Bakar, ramai tokoh budaya, sastera dan perfileman Melayu dilupakan semasa hayatnya, tetapi cuba dinilai semula setelah mereka meninggal dunia. “P. Ramlee pernah membuat pinjaman untuk membuat filem sendiri, tetapi ditolak oleh institusi kewangan,” beritahu Haji Bakar menambah.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
bersama Pak Parjo
PENDATANG ASING BERTAMBAH
SEMPADAN MUDAH DICEROBOH
Statistik Jabatan Imigresen menunjukkan pengambilan pekerja asing bertambah 7,000 setiap bulan dari semasa ke semasa. Apalagi Bahagian Perangkaan Demografi Jabatan Perangkaan Malaysia memperlihatkan sehingga Jun 2007 pekerja asing mencecah hingga 1.91 juta, tak termasuk 400,000 pendatang tanpa izin dan 10,000 lagi tahanan di depoh imigresen. Jumlah pendatang asing pula lebih tinggi daripada masyarakat India yang hanya sejumlah 1.88 juta, malah sebahagiannya pula adalah pengundi-pengundi pada pilihanraya. Bagaimana lebih 400,000 pendatang asing boleh membolosi di sempadan Malaysia, seolah-olah kawalan keselamatan terlalu longgar.
Kalau pendatang asing boleh membolosi sempadan negara hingga melebihi 400,000, maknanya pertahanan Malaysia juga boleh ditembusi musuh yang lengkap bersenjata. Justeru negara tak perlu memerangi pengendali laman web dan laman blog yang tak memiliki apa-apa, tetapi wajib memantau sama ada perairan mahupun persempadanan negara yang mudah dibolosi oleh lebih 400,000 pendatang asing, malah meningkat pula setiap bulan hingga 7,000 berterusan dari semasa ke semasa.Apalagi dari sejumlah 27.17 juta penduduk Malaysia, hanya 13.77 juta Melayu, di samping 2.9 juta Bumiputera lain.
Tak mustahil pula angka pendatang asing akan terus meningkat hingga melebihi Bumiputera lain kalau berdasarkan kemasukan 7,000 setiap bulan. Takat hunus dan cium keris; takat berkokok berdegar-degar ekor gelumang taik atau takat menyusukan kera di hutan eloklah berfikir dua tiga kali, kerana yang suka bangun malam satu ketika dulu bancuhkan susu anak ialah:
HIDUP BAHASA MELAYU!