JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusa)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusa)
DARI LAMAN BLOG
NARATIF ‘KONTRAK SOSIAL’
USAHA MAHU DIDOKUMENTASI.
Assalamualikum,
Usaha dilakukan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mahu mengkaji semula naratif ‘kontrak sosial’ sejak legenda di Bukit Seguntang, dirasakan memang wajar malah selaras dengan kepentingan nasional (national interest) sekarang. Ketika menghubungi malam ini (3 September 2007), anggota lembaga pengarah Finas, Dato’ Azman Salleh berhasrat mahu menjadikan naratif ‘kontrak sosial’ berkenaan sebagai dokumentasi bernas, lunas dan tunas kepada generasi akan datang. Apalagi naratif ‘kontrak sosial’ yang digembar gembur pula sekadar memberi manfaat kepada pihak lain, dengan memesong makna sebenar demi kepentingan pihak yang sengaja mahu memutar belit fakta sejarah negara, tawarikh bangsa dan sirah kedaulatan raja-raja.
Bagaimanapun ‘kontrak sosial’ yang dipersetujui bersama bukan sekadar naratif kesetiaan Demang Lebar Daun menerima kedaulatan Sang Sapurba sahaja, tetapi ianya melangkaui kedaulatan raja-raja, kemuliaan tata bahasa dan keunggulan nilai budaya yang terkandung dalam ungkapan: ‘Titah Tuanku Patik Junjung’, ‘Pantang Anak Melayu Derhaka’ dan ‘Raja Adil Raja Disembah. Raja Zalim Raja Disanggah’. Apalagi sudah terlalu banyak insiden yang membobrok dalam masyarakat di masa lalu, sekalipun ianya menerima ‘kontrak sosial’ berkenaan sebagai peraturan hidup yang perlu dipatuhi.
Sebaliknya semua insiden tersebut mampu dibendung dengan menerima pakai kata-kata: ‘Laksana memalu ular di belukar; ularnya biar mati, kayu pemukul jangan patah, tanahnya (lokasi memukul) jangan lembang (berbekas)’. Begitulah! Tetapi, sekali air bah sekali pantai berubah, sekali raja mangkat sekali resam bertukar! Justeru ‘kontrak sosial’ yang mahu didokumentasi ini memerlukan tenaga pemikir budaya yang mampan, nasihat cendekiawan yang prihatin dan pembabitan semua pihak insaf akan kepentingan jatidiri bangsa, meningkatkan martabat bahasa dan melonjakkan kedaulatan budaya. Usaha yang mahu dilestarikan oleh Dato’ Azman ini, sesungguhnya wajar diberi sokongan bersepadu bagi mengimbangi kebobrokan, kekorokan dan keberantakan nilai-nilai budaya!
-Muluk.
INFO HAK ASASI MANUSIA
SETPOL MB JOHOR HANTAR SMS
KONSERT ‘BAHTERA MERDEKA’ DI PWTC
Setpol Menteri Besar Johor, Haji Ahmad Yusuff aktivis Gapena dan Angkatan Penulis Kreatif Kuala Lumpur (AKTIF) sekitar dekad 1970-an memberitahu mengenai agenda konsert anjuran Yayasan Warisan Johor (YWI) dan UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam 3 September 2007. Sebaik sahaja Haji Ahmad Yusoff megirim SMS pada 2 September 2007, pihak PRIMA terus menghubungi rakan-rakan yang lain sebagai penghargaan kepada YWI yang bermurah hati menghubungi PRIMA bagi menghadiri acara konsert ‘Balada Bahtera Merdeka’, malah diberitahu Perdana Menteri, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi dan Meteri Besar Johor, Dato’ Seri Haji Abdul Ghani Othman turut hadir.
Aktivis PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah bersama isteri bersetuju mewakili PRIMA menghadiri konsert tersebut, sekalipun beliau dikatakan sibuk dengan urusan yang lain di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, melahirkan rasa gembira kepada kerajaan negeri Johor yang turut mengundang PRIMA ke majlis yang dianjurkannya. Bagaimanapun bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman pula tak berkesempatan hadir, disebabkan terbabit menjadi hakim dalam pertandingan deklamasi puisi kemerdekaan di Dewan DBKL yang berjalan serentak.
Konsert ‘Balada Bahtera Merdeka’ adalah teater yang memaparkan naratif perjuangan bangsa Melayu bermula sejak Sang Nila Utama membuka Singapura, berterusan dengan kebangkitan empayar Melaka, di samping manifestasi rakyat terhadap pembabitan Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai ikon bangsa yang menjana kualiti pimpinan dalam masyarakat majmuk. Beberapa artis popular termasuk Dato’ Rahim Razali, Aishah, Tan Sri S.M. Salim dan Ramli Sarip terbabit dalam persembahan yang diarahkan penggiat teater Othman Zainuddin.
SOLAT HAJAT DI MASJID KG BARU
KHUSUS DOAKAN KESIHATAN DR M
Aktivis PRIMA Mohd Sayuti Omar memberitahu, solat hajat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur diadakan malam 3 September 2007, khusus mendoakan kesihatan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjalani pembedahan pintasan di IJN pada 4 September 2007. PRIMA sudah memanjangkan kepada rakan-rakan yang lain mengenai aturcara di Masjid Kampung Baru yang memang dikenali menjadi tumpuan dalam sebarang isu yang berkaitan dengan manifestasi rakyat. Salah seorang aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal yang sebelumnya berhasrat mahu ke PWTC bagi menghadiri konsert ‘Bahtera Merdeka’, mengambil keputusan untuk bersama menyertai solat hajat bagi mendoakan kesihatan Tun Dr. M.
“Harap Tun segera sihat selepas menjalan pembedahan di IJN hari ini (4 Setember 2007) ,” beritahu Haji Abu Bakar mewakili PRIMA. Justeru PRIMA meminta orang ramai terus bersama-sama mendoakan kesihatan Tun Dr M yang menjalani rawatan di IJN sekarang. Baru-baru ini PRIMA menerbitkan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ adalah aspirasi dari sajak Tun Dr M yang pernah dideklamasikan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2001. PRIMA juga berharap Tun Dr M akan kembali aktif berkarya terutama menulis buku yang boleh dikongsi bersama pengalaman dan ilmu yang beliau miliki selama ini.
KEHILANGAN IBU SAUDARA
AKTIVITI PRIMA BERJALAN TERUS
Aktiviti PRIMA berjalan terus pada 3 Ogos 2007, sekalipun ketua pimpinannya Dharmala N.S. kehilangan ibu saudara yang meninggal dunia pada pagi semalam (3 Ogos 2007). Ibu saudara Dharmala, Puan Sepiah binti Maarif, 80 meninggal dunia di Bukit Perah, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan, setelah diberitahu menerusi telefon oleh anak saudaranya, Shaharuddin Marzuki awal pagi semalam. Dharmala tak sempat untuk menghadiri majlis pengkebumian ibu saudaranya, kerana menghadiri mesyuarat bagi pelaksanaan ’10 Panel Pengarang’ jam 10.00 pagi, sebelum ke Universiti Industri Selangor (UNISEL) di Batang Berjuntai bagi urusan anaknya yang menuntut di sana.
Semasa hayatnya, Puan Sepiah dikenali sebagai wanita yang sanggup berkorban demi pembangunan di kampungnya dengan menyerahkan tanah getahnya lot 76 EMR 2178 seluas 0.200 ekar untuk membina Sekolah Kebangsaan Batu Kikir dengan menerima bayaran pampasan sejumlah RM1,300 sahaja. Beliau juga menyerahkan satu ekar tanah getahnya daripada 2 ekar 3 rod 0.04 pool untuk membina bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Batu Kikir, sekalipun kebun getah berkenaan adalah sumber pendapatan beliau sebagai pekebun kecil. Mungkin sahaja pengorbanan dan sikap dermawan Puan Sepiah dilupakan begitu sahaja, tetapi anak-anak Melayu yang menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Kikir seharusnya menerima hakikat, pencapaian mereka dalam akademik adalah bermula dri pengorbanan dan kedermawaan Puan Sepiah.
INFO SASTERA & BUDAYA
ANTOLOGI ‘MELAYU MUDAH LUPA’
SAYUTI BAWA GEMANYA KE KELANTAN
Masyarakat prihatin di Kota Bharu, Kelantan menyambut baik antologi sajak ‘Melayu Muda Lupa’, apabila dideklamasi oleh aktivis PRIMA Mohd Sayuti Omar bersama rakan-rakan penyairnya ketika menyambut kemerdekaan di Kota Bharu, Kelantan malam 31 Ogos 2007. Gema ‘Melayu Mudah Lupa’ menerima sambutan menggalakkan, malah di kalangan penyair yang tak sempat dihubungi merasa terkilan apabila tak ikut bersama menjayakan penerbitan antologi berkenaan. Menurut Sayuti, memang ramai penyair di Kelantan berasa kesal kerana tak dijemput untuk memberi sumbangan menulis sajak-sajak mereka dalam antologi ‘Melayu Mudah Lupa’.
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang sekarang di London sehingga 15 September (2007) ini menyampaikan mesej kepada isterinya Puan Rozie, antologi sajak ‘Melayu Muda Lupa’ akan diteruskan bagi fasa kedua, sekiranya sambutan yang diberikan oleh khalayak penulis memberangsangkan. Setakat ini antologi berkenaan sudah pun dipasarkan kepada umum, sekalipun majlis pelancaran yang dijangka pada awalnya dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ditangguhkan atas sebab-sebab kesihatan beliau belum mengizinkan. Bagaimanapin Kamal memberitahu, gema ‘Melayu Mudah Lupa’ akan diteruskan hingga ke pekarangan istana, jelasnya menerusi mesej yang disampaikan kepada Puan Rozie.
PENGALAMAN PENULIS VETERAN
TETAPI ISMAS ENGGAN TULIS NOVEL
Pembabitan penulis veteran Ismas Saring dalam kesusasteraan Melayu sudah dikenali sejak dekad 1960-an, apabila cerpennya ‘Patawanit’ dipilih memenang hadiah RM100 majalah ‘Mastika’. Bagaimanapun Ismas Saring enggan menulis novel setelah wibawa beliau dalam penulisan sajak, cerpen dan skrip drama tak boleh dipersoal lagi. Misalnya dalam dekad 1960-an, drama pentas Ismas Saring ‘Seruan Damai’ dipilih sebagai skrip wajib bagi kategori purbawara pertandingan drama anjuran kementerian kebudayaan, belia dan sukan, di samping ‘Serunai Hati’ karya Usman Awang bagi kategori moden (citrawara). Ismas juga dikatakan gemar mengembara dengan berkeliling dari Medan di Sumatera Utara, ke kepulauan Riau dan di Jawa.
“Fasal tulis novel aku kalah, macam tak ada masa untuk menulis,” beritahu Ismas menerusi perbualan telefon. “Lagipun mana orangn percaya, kalau aku beritahu fasal mengembara ke seluruh nusantara,” jelasnya merendah diri. Ismas atau nama sebenarnya Saring bin Sirad, dikenali di kalangan kawan-kawan dengan panggilan ‘Wak’, kerana beliau memang keturunan Jawa, yang masih faseh berbahasa ibundanya. Beliau juga pernah terbabit dalam perkhidmatan SC (Police Special Constable) pada 1956, dengan dikerah mengawal kawasan yang dikategorikan ‘hitam’ di Kuala Langat pada period darurat. Justeru pengalamannya yang luas sama seperti dilalui SN Usman Awang, rupa-rupanya tak menggerakkan hatinya untuk menulis novel.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
CEMERLANG ANAK MELAYU DI LONDON
KEJAYAAN BUKAN UNTUK DIBANGGAKAN
Tahniah. Kejayaan Nur Amalina Che Bakri, mencapai kecemerlangan akademik dengan memperoleh 5A bagi program A-Level di Cheltenham Ladies College (CLC), di United Kingdom (atau di sini STPM), sepatutnya bukanlah untuk dibanggakan tetapi menjadi galakan dan rangsangan kepada anak-anak Melayu yang lain. Amalina yang dihantar ke CLC, Gloucestershire berikutan memperoleh 17A1 dalam peperiksaan SPM 2004 tak lama dulu, terpaksa menunggu hingga tiga tahun bagi A-Level. Beliau dilaporkan berjaya memperoleh 5A bagi Matematik Tambahan, Matematik, Biologi, Kimia dan Ekonomi. Alhamdullillah. Bagaimanapun anak Melayu memerlukan lebih ramai Amalina, bukan sekadar mempunyai ‘udang di sebalik batu’ apabila memperkatakan kejayaan beliau.
Tunku Abdul Rahman Putra ketika diwawancara pada 1982 bagi menyiapkan buku ’25 Tahun Merdeka’ pernah mengingatkan orang Melayu, janganlah terlalu berbangga dengan kepahlawanan Laksamana Hang Tuah, sebaliknya jadilah keterampilan tokoh legenda itu sebagai pendorong bagi mencapai kejayaan. Kata Tunku, Hang Tuah seorang tak mampu ‘buat apa-apa’, malah empayar Melaka juga dijajah oleh Portugis pada 1511. Begitu juga Dato’ Dol Said tak mampu pertahankan Naning, kalau sekadar beliau seorang sahaja digeruni penjajah Inggeris, atau Dato’ Maharajalela Pandak Lam di Pasir Salak berseorangan melonjakkan semangat Melayu berkobar-kobar.
Maknanya, orang Melayu perlukan lebih ramai Hang Tuah, Dato’ Dol Said atau Dato’ Maharajalela. Orang Melayu juga mahukan lebih ramai Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Ibrahim Haji Yaakob, Pak Sako, Dr Burhanuddin al-Helmi atau Ahmad Boestamam menjadi arkitek penggerak nasionalisme. Dalam bahasa mudah, sekarang ini orang Melayu masih memerlukan ramai Tun Razak, Tun Dr Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir atau Tengku Razaleigh Hamzah bagi mengangkat keunggulan Melayu dalam bidang masing-masing. Justeru kejayaan Amalina bukan sekadar untuk dibangga-banggakan, tetapi harus menjadi pendorong untuk melahirkan lebih ramai Amalina, kerana yang tak perlu ramai, diramaikan dan diperamaikan ialah:
HIDUP BAHASA MELAYU!