Sunday, May 31, 2009

KOMENTAR...

bersama Pak Parjo...
Orang marah Chin Peng:
Najib pergi ke negeri China

Arakian Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bersama isteri pergila ia ke negeri China hari ini (31 Mei 2009). Adapun suatu masa dahulu ayahandanya Orangkaya Tun Razak pergilah ke negeri China ketika orang Melayu tak mahu bersamanya. Maka setelah pergi ke negeri China, mahulah orang Melayu bersamanya semula pada pilihanraya 1974. Maka Orangkaya Dato' Seri Najib berfikirlah dalam hatinya gerangan, kalau mahukan orang Melayu bersama hendaklah pergi ke negeri China. Hatta gemparlah sekalian orang banyak dalam negeri mengenai Chin Peng (gambar, kanan), maka Orangkaya Dato' Najib pergilah ia ke negeri China.

Sebermula maka Tun Perpatih Putih, adik Bendahara Paduka Raja, dititahkan Sultan Mansor ke benua China. Maka Tun Perpatih Putih pun belayarlah ke negeri China. Telah berapa lamanya di jalan maka sampailah ke benua China. Maka oleh raja China disuruhnya arak surat dari Melaka itu, dihentikan i rumah Perdana Menteri yang bernama Li Po. Setelah hampir dinihari, maka masuklah Li Po dengan segala menteri dan orang besar-besar hendak mengadap raja China maka Tun Perpatih Putih pun masuklah sama-sama.Maka katanya dalam hati, 'Hendak masuk mengadap raja China pun kena berbaris.' Maka oleh sekalian budak-budak dibuatnya nyanyi:

Mana upih berisi sagu
Hendak santap buah nona
Lama Tun Perpatih Putih menunggu
Hendak mengadap raja China.

Syahdan diketahui oleh Tun Perpatih Putih akan di kemudian hari kelak ada orang besar-besar Melayu berbaris juga mahu mengadap ke negeri China seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG


Lemahkan semangat lawan:
Taktik lapuk kolonial British

Assalamualaikum,

Pelbagai taktik digunakan UMNO/BN bagi melemahkan semangat lawan sepanjang kempen pilihanraya kecil DUN Penanti dengan pengundian hari ini (31 Mei 2009) persis digunakan kolonial British pra merdeka sekitar dekad 1950-an. Ketika calon-calon berkempen misalnya pada pilihanraya 1955, kolonial British akan menghantar wayang jabatan penerangan (atau dikenali wayang penganda - sebenarnya propaganda) untuk mengganggu kempen. Bukan sahaja pada 1955, malah selepas UMNO/Perikatan berkuasa taktik sama digunakan di samping mengerah jentera kerajaan melakukan apa sahaja.

Ironinya, DUN Penanti UMNO tak meletakkan calon tetapi pasukan polis dan SPR melaksana tugas bagaikan mengikut skrip yang ditetapkan. Kalau pada 1999, Ezam Mohd Noor misalnya, dikenakan tekanan di bawah Akta Rahsia Rasmi, tetapi sekarang tak lagi diganggu untuk berkempen. Sebaliknya pimpinan PR dilaporkan dipanggil polis untuk sesi soal siasat yang membabitkan Akta Hasutan. Penggunaan kuasa kepolisan yang keterlaluan, bukan menakutkan orang ramai, sebaliknya menambahkan kebencian mereka terhadap UMNO/BN. Justeru taktik perang saraf kolonial British yang lapuk dan sudah lama berlalu, heh heh heh!

Pada 1987, UMNO begitu arogan mencabar Dato' Shahrir Samad apabila memberi sokongan terbuka kepada Tengku Razaleigh-Tun Musa Hitam. meletak jawatan seterusnya bertanding semula di kerusi Parlimen Johor Bharu. Dato' Shahrir menyambut cabaran tersebut, justeru UMNO terjelepoh jatuh ketika rakyat terlalu membencinya. Pada pilhanraya kecil 25 Ogos 1988 di Johor Bahru, Dato' Shahrir memperoleh 23,581 menewaskan calon UMNO Mas'ud Abdul Rahman sekadar 10,968 undi dengan majoriti lebih 12 ribu. Bagi menutup malu UMNO meminda akta pilihanraya, melarang wakil rakyat yang meletak jawatan bertanding semula bagi tempoh lima tahun.

Disebabkan pilihanraya kecil satu demi satu dimenangi BN pada dekad 1980-an termasuk di Parlimen Ampang Jaya, apabila Dato' Harun Idris juga tewas, UMNO terus berkokok, berkokok dan berkokok. Di Penanti barangkali UMNO berasa lega tak bertanding, tetapi menunggu pula DUN Manek Urai di Kelantan. Aduhai! Selepas ini tak tahu di mana lagi pilihanraya kecil, dan UMNO mahu tak mahu terpaksa juga bertanding. Kekelabutan di Perak sebenarnya sudah terjawab menerusi ucapan Dato' Seri Najib Tun Razak ketika merasmkan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri 24 Mac 2009 iaitu: 'Raja bertakhta tapi tak berkuasa!' isy isy isy!

-Pak Dharma