
SUARA <<< >>> PRIMA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
KERENAH BIROKRASI DALAM TAKAFUL:
HAL EHWAL PELAJAR MAHU PERJUANGKAN
Assalamualaikum,

Bagaimanapun pihak hal ehwal pelajar tak berputus asa apabila pihak insuran Takaful masih belum memberikan imbuhan kepada Allahyarham. Sekalipun dokumen sudah diserahkan kepada pihak Takaful, tetapi masih tak diselesaikan atas alasan ‘surat kebenaran pengkebumian’ tak dikepilkan bersama. Ironinya, pihak Takaful macam tak mahu melayani ‘sijil kematian’ sebagai dokumen terpenting. Justeru pihak keluarga saya tak berminat lagi mahu melayani kerenah Takaful (yang janjinya molok-molok belaka), tetapi pihak hal ehwal pelajar masih mahu meneruskan usaha membuat tuntutan insuran. Alhamdullillah. Sepatutnya ‘sijil kematian’ (yang dikeluarkan oleh jabatan pendaftaran negara) itu lebih bermakna daripada ‘surat kebenaran pengkebumian’ (yang dikeluarkan oleh hospital); apalagi surat berkenaan diambil oleh JPN. Tapi, begitulah kerenah birokrasi dalam Takaful. Aduhai!
SUMBANGAN DANA RM5 RIBU:
SOKONGAN MORAL KEPADA PRIMA

-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA
KETUANAN MELAYU CIPTAAN UMNO:
SUDAH DIPINDA RAJA ADIL RAJA DISEMBAH
Oleh: Mohd Affandi Hassan
Petaling Jaya, Selangor

Kini semuanya ditafsir dan dihukum mengikut istilah “ketuanan Melayu” yang dicipta oleh UMNO untuk mengabui mata orang Melayu sambil menakutkan orang bukan Melayu. UMNO mendakwa mereka telah diberi hak istimewa untuk mempertahankan “ketuanan Melayu” itu, oleh itu mereka boleh berbuat apa saja dalam konteks itu, termasuk menolak demokrasi jika didapati tidak memihak kepada mereka. Peristiwa di Perak adalah contoh paling baik membenarkan kesimpulan ini. Dalam politik Malaysia moden, raja-raja Melayu telah mengkhianati rakyatnya dengan menyebelah kepada penjajah untuk menerima Malayan Union; tetapi raja-raja ini telah diselamatkan oleh para pembesar Melayu, golongan bangsawan Melayu, yang kehilangan kuasa dan kedudukan jika Malayan Union itu dilaksanakan.

Walau bagaimanapun sejarah Tanah Melayu dan raja-rajanya ditulis, hakikat ini tidak dapat ditolak. Penenggekan raja-raja Melayu di atas takhta adalah bukti kegagalan perjuangan orang Melayu untuk medapat kemerdekaan sebenar. Oleh itu mereka akan menghadapi masalah politik seperti di Perak sepanjang hayat dan sepajang sejarah mereka. Demikianlah celakanya orang Melayu yang menerima perjanjian Demang Lebar Daun dengan perlente Keling yang dilantik orang Melayu menjadi raja mereka di Palembang, yang kemudiannya diturunkan di Tanah Melayu. Yang pertama harus berani menerima hakikat ini ialah ahli sejarah sendiri, yang telah mengkhianati sejarah bangsanya.
INFO SASTERA & BUDAYA:
DESAK TARIK KERAKYATAN SASTERAWAN:
GEROMBOLAN MELAYU LATAH KERANA UMNO
Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Tokoh Pengkritik Sastera Melayu Moden)
Dalam tahun 1972, ketika Hadiah Sastera mula-mula diperkenalkan oleh Tun Razak atas nasihat para sasterawan sendiri, sebuah cerita pendek saya berjudul “Biarlah Orang Tahu” terpilih; tetapi kerana beberapa sebab saya menolaknya. Rupanya keputusan saya itu menimbulkan kemarahan ahli politik UMNO, khususnya seorang yang sangat dekat dengan Tun Razak. Katanya: “Berani ini Affandi lawan Tun Razak. Kita patut cabut kerakyatannya …” Yang menyampaikan cerita itu seorang wartawan, sahabat saya. Episod ini saya abadikan dalam judul buku kumpulan cerita pendek terbitan DBP, Biarlah Orang Tahu (2005).

Walaupun mereka sangat bangga mendesak supaya undang-undang dilaksanakan sekeras-kerasnya, tetapi undang-undang tidak boleh digunakan untuk menentang kezaliman. Mereka berkata kerajaan baru yang dirampas oleh UMNO di Perak dilakukan berasaskan undang-undang dan perlembagaan; tetapi mereka marah jika orang lain menggunakan undang-undang untuk mencabar perbuatan haram mereka. Bilakah orang Melayu akan cerdik dan menunjukkan kecerdikan bila berguam dan berhujah? Sudah 50 tahun lebih mereka diajar menjadi bodoh dan Pak Turut. Adakah mereka akan meneruskannya? Keputusan ini telah ditentukan oleh ketua-ketua UMNO supaya diteruskan, kerana itulah intipati makna ketuanan Melayu yang taat kepada raja dan pemimpin. Malah ulama sendiri memberi nasihat supaya orang Islam jangan jadi cerdik, sebaliknya terus taat kepada kezaliman kerana itulah kadak dan kadar, sudah ditakdirkan sejak azali.
Jika ulama sendiri demikian keliru dan cetek, maka siapa lagi yang boleh diharapkan oleh orang Melayu? Raja-raja mereka telah mengkhianati mereka zaman Malayan Union dulu; dan warisan Malayan Union itu masih diteruskan dalam sistem politik yang berteraskan dua mitos agung, Mitos Sejarah Melayu dan Mitos Malayan Union. Bangsa Melayu hanya akan menjadi cerdik dan merdeka jika mereka faham bagaimana dua mitos agung ini telah mencengkam pemikiran dan tindakan mereka. Mereka akan terus menjadi bodoh dan bangga menjadi bodoh jika mereka tidak memahami dua mitos agung politik ini. Inilah cabaran orang Melayu dalam Abad 21 ini.
PUISI
Imbauan Ikan-Ikan Dikaca
-buat saudaraku
Dato’ Yazid Othman
Ikan-ikan di kaca indah alamnya
indah alamnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca gemulai lenggangnya
gemulai lenggangnya ikan-ikan di kaca.
Ikan-ikan di kaca manja hidupnya
manja hidupnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca, ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.
Terpenjara sebenarnya ikan-ikan di kaca
demikian aku terilham dari wajah bangsaku
dari jiwa orang Melayu dalam segala kealpaannya
Iya, ikan-ikan di kaca kau lahir sebagai perbantahan
hati seorang remaja yang cuba belajar
menjadi dewasa ketika bangsanya
terlonta-lonta mencari pengertian
apa dan siapakah mereka di bumi keramat
tanah airnya sendiri.
Dan kini bukan lagi
kau keli dan puyu
tapi kelisa dan flowerhorns
aduhai ikan-ikan di kaca?
-Yassinsalleh
Kuala Lumpur
12 Februari 2009
jam 1604
INFO SUARA PROLITAR
JADIKAN PRIMA NGO YANG KUAT:
PERLU BAHAGIAN PENYELIDIKAN CEKAP
Untuk PRIMA menjadi NGO yang kuat, perlu ada bahagian penyelidikan yang cekap. Baik jika sdr. atau sesiapa dari PRIMA boleh bekerjasama dengan Dr. Abu Hassan Hasbullah dari UM yang banyak menjalankan penyelidikan politik, sosiologi dan lain2. Dikemukakan komen saya seterusnya tentang situasi politik Malaysia sekarang. - (Emel; 13 Februari 2009 - MAH, Petaling Jaya, Selangor)
PR MENANG KENA SANTAU:
BN MENANG RAKYAT TERBUNGKANG
Bukit Selambau Bukit Gantang, banyak ampu banyak limau, UMNO & BN akan terpukang, macam kerbau dibaham limau. Beras secupak jadi segantang, tanak nasi gulai kelayau, BN menang rakyat terbungkang, PR menang kena santau. Mujur juga Bukit Selambau dan Bukit Gantang, kalau Behrang, Jelapang dan Cangkit Jering, tak ke haru biru? Macam mana pula Pensiangan di Sabah. Masya Allah. Takut-takut UMNO kena sembelit, atau buasir tak mahu sembuh. Apalagi buasir, kalau dah kena tak senang duduk. Kabarnya ramai sangat ahli UMNO dah kena buasir. - (SMS; 12 Feberuari 2009; 22:19:24 - YS, Puchong Perdana, Selangor)
HIDUP BAHASA MELAYU!