Monday, July 21, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


MUSIM BUAH DURIAN GUGUR
POLITIK KAMPUNG LEBIH MENARIK

Assalamualaikum,

Balik ke kampung di Jelebu semalam (20 Julai 2008), tak terasa kemeriahan kerana kawan-kawan juga tak ceria sangat. Musim buah-buahan belum galak durian gugur, rambutan juga tak lebat di Julai; apalagi manggis macam tak menjadi. Durian yang gugur pula tak laris di pasaran hingga tiga biji (sebesar buah tembikai) dijual RM10 pun masih melambak di kaki lima kedai. Sebelum itu bekas aktivis belia (Gerakan Belia 4B) Dato’ Laksamana Haji Ismail Abdul Kadir menelefon beritahu fasal lokasi tanahnya di Jelebu memerlukan orang yang sanggup uruskan. Tanah berkenaan berdekatan dengan ‘Pusat Serenti’ di Titi sekarang ini dipenuhi pokok-pokok durian, tetapi tak diberitahu sama ada sudah berbuah atau luruh macam bom AS di bumi Iraq pada tahun 2001.

Bom di Iraq dan Afghanistan sekadar untuk melengkapkan dua penggal George W Bush dari Pari Republikan kekal sebagai Presiden AS hingga November 2008. Apabila Presiden AS dari Parti Demokratik bersiap sedia pulalah bom digugurkan di Afrika dan Asia seperti keperihalan Vietnam ketika AS di bawah Lyndon B Johnson atau Congo dalam masa Presiden AS John F Kennedy. Begitulah! Kalau bom mereka tak digugurkan sukarlah mempertahan dua penggal untuk menjadi Presiden seperti Jimmy Carter atau Gerald Ford, cukuplah satu penggal sahaja. Justeru durian di Jelebu belum rahat lagi gugur laksana bom AS yang tak diledakkan sekarang, kerana di AS pun bom Allah SWT meledak seperti taufan Katrina, puting beliung dan hutan terbakar. Heh heh heh!

Disebabkan gerai makan ala masakan Thai belum memulakan operasi (jam baru 2.30 pm), saya sekadar teh tarik di kedai mamak bersama Cu Li (Roseli Deraus) dan Din Janggut. Kebetulan pula Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon, ketika saya masih terconggok di kedai mamak untuk teh tarik bersama kawan-kawan peneroka di Felda. Din Janggut misalnya, berasa hairan apabila isu liwat Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika beliau bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya kecil. Sekalipun kerajaan BN membuat pelbagai penafian, masyarakat di kampung-kampung tetap dengan andaian, BN sedang merancang frasa kedua untuk menghalang Dato’ Seri Anwar daripada bertanding pada pilihanraya.

Pagi ini (21 Julai 2008) Haji Abu Bakar Ninggal menelefon meluahkan rasa berang dengan sikap pimpinan parti politik yang sanggup ‘menikam dari belakang’ sekalipun untuk menggulingkan kawan sendiri. Haji Abu Bakar menyentuh isu muzakarah UMNO-PAS yang membabitkan pimpinan tertinggi parti berkenaan termasuk Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Beliau tak peduli mengenai ‘dilema Melayu’ yang dimanipulasi oleh UMNO, sebaliknya PAS perlu fikir dua kali, kerana kemenangan calon-calon mereka pada PRU12 di kawasan bandar (seperti di Selangor) banyak bergantung kepada kerjasama dengan PKR, di samping pengaruh peribadi Dato’ Seri Anwar. Entahlah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


BUKAN SKOP UNTUK CARI GLORI
PERTEMUAN PIMPINAN UMNO-PAS

Perbincangan pimpinan tertinggi UMNO-PAS sepatutnya tak dieksploit sebagai isu perkauman, tetapi penyelesaian yang rasional bagi mengatasi kepincangan dalam lanskap politik bagi jangka panjang, menurut bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas mengenai isu pimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan sudah mengadakan tiga kali pertemuan sebelum ini, Dato’ Dr Mohd Mansor berkata, sepatutnya pihak media tak membesar-besarkan sebagai ‘berita utama’. Biarlah semuanya berjalan seperti menarik rambut dalam tepung; rambutnya jangan putus, tepungnya jangan berserak, beliau menambah. “Pertemuan tersebut bukan untuk mencari glori, tetapi demi kepentingan negara, agama dan bangsa,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.

Menurut beliau, pertemuan Tun Abdul Razak dengan Tan Sri Asri pada malam 13 Mei 1969, tak siapa pun mengetahui hinggalah terbitkan buku autobiografi ‘Memoir Politik Asri: Menentang Arus’. Kedua-dua pimpinan tertinggi UMNO-PAS ketika itu lebih peka kepada kepentingan negara, agama dan bangsa dengan merahsiakan pertemuan tersebut. Malah selepas pembentukan Barisan Nasional (BN) pun, Tun Abdul Razak dan Tan Sri Asri tetap berahsia dengan butir-butir persefahaman mereka. Justeru, pengganti Tun Abdul Razak yang tak menyedari persefahaman tersebut mengambil langkah terburu-buru apabila menyingkirkan PAS pada 1978. “Sepatutnya media berbahasa Melayu perlu memahami keadaan sekarang, bukan mengejar skop berita untuk mencapai glori,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor lagi.

INFO SASTERA & BUDAYA

PERJUANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI
DIUNGKAP DALAM KARYA SASTERA MELAYU

Masalah masyarakat Orang Asli tak banyak diperjuangkan melalui karya sastera, tetapi menerusi ‘PUTERA GUNUNG TAHAN’ (1937) dari Ishak Haji Muhammad dan ‘JURAGAN’ (1986) dihasilkan oleh Dharmala N.S. memperlihatkan keprihatinan pengarangnya terhadap isu berkenaan kata aktivis sastera, penyair Yassinsalleh. Beliau yang juga bekas pendidik di samping aktivis perfileman mengakui, setakat ini dua buah novel berkenaan sahaja memperkatakan isu masayrakat Orang Asli secara jelas. Katanya, kemungkinan kedua-dua pengarang terbabit memang tersebati dengan kehidupan di perkampungan yang serba terpinggir. “Sekalipun jarak kedua-dua novel berkenaan terhasil hampir 50 tahun, tetapi pemikiran kedua-dua pengarangnya hampir selari,” beritahu Yassinsalleh.

Menurut Yassinsalleh, memang dalam karya sastera Melayu tak banyak dibincangkan masalah kehidupan masyarakat Orang Asli, disebabkan fakta kebanyakan pengarang tak mendalami persekitaran mereka. Misalnya, dalam ‘Putera Gunung Tahan’, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) memaparkan dua orang pegawai kulit putih yang tersesat di perkampungan Orang Asli, disebabkan Pak Sako memang memahami budaya masyarakat berkenaan. Begitu juga menerusi ‘Juragan’ Dharmala N.S. mampu mengangkat watak Batin Itam sebagai pelopor mendamaikan persengketaan guru agama dengan adiknya tokoh radikal, kerana pemerhatiannya terhadap persekitaran masyarakat Orang Asli. “Pemikiran yang terjelma dari kedua-dua pengarang itu ialah perjuangan mereka terhadap golongan prolitar,” menurut Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

MAT TAIB TAK TAHU BAHASA MELAYU?:
KOMEN ORANG PKR TAMPAR MENAMPAR

Tak hairanlah Mat Taib (Tan Sri Muhammad Mohd Taib) komen, wakil ADUN PKR di Selangor tampar ahli Parlimen PKR. Kononnya berlaku perpecahan dalam PKR. Hai, kesian Mat Taib. Bukan saja tak tahu bahasa Inggeris, hingga terlepas kes bawa duit juta-juta di mahkamah luar negeri. Rupa-rupanya Mat Taib tak tahu bahasa Melayu pun. Kes tampar menampar kata PKR pecah belah. UMNO pernah hadapi kes bunuh membunuh di Tampin pilihanraya 1982. Tapi masa itu Mat Taib baru nak belajar jadi calon, gantikan tempat Rosedin Yaakob. Patutlah! – (SMS; 20 Julai 2008, 19:26:09 – Tok Lah Janggut, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

DUKACITA ORANGKAYA DATO’ SERI
RASUAH PULA SEMAKIN MNEJADI-JADI

Alkisah tersebutlah perihal Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan dua orang ahli perniagaan bergelar Dato’ kerana disyaki memalsukan tandatangan Orangbesar jabatan syahbandar (KDRM). Syahdan bertambah dukacitalah akan mamak Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana di mana-mana sahaja berlaku rasuah. Maka diberitahu kepada fakir akan anakanda Mohd Ezam Mohd Noor sudahlah berjanji mahu memerangi rasuah apabila berbaik-baik dengan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu. Arakian fakir juga diberitahu bukanlah jabatan syahbandar sahaja berlaku rasuah, malah banyaklah lagi jabatan yang terbabit, apalagi jabatan temenggung. Maka banyaklah pengaduan yang diterima akan jabatan temenggung itu yang sepatutnya akan anakanda Mohd Ezam itu perlulah memberitahu Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu.

Sebermula ada kepada suatu hari Tun Hassan Temenggung duduk di balainya, dihadap orang banyak. Maka Ali Manu Nayan pun datang. Maka katanya pada Tun Hassan Temenggung, ‘Orangkaya, semua orang-orang besar di dalam Melaka ini datang ke rumah hamba, melainkan orangkaya juga yang tiada datang. Jikalau dapat marilah apa orangkaya bermain-main ke rumah hamba; hingga berdiri-diri sahaja di hadapan kedai hamba, sepuluh tahil emas ku persembahkan’. Maka kata Tun Hassan Temenggung, ‘Nuni haramzadah! Aku engkau hendak beri makan sedekah, jika pada bapa-bapamu yang lain boleh demikian’. Adapun adat segala orang-orang muda Tun Hassan Temenggung, apabila ia tiada belanja, maka diminta ukur lebuh, maka pemilik rumah yang terkena rentangan tali akan menghulur emas, begitu disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU.