S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
INSIDEN RAIKAN ‘HARI KEBANGSAAN’
SEMANGAT PATRIOTISME REMAJA TERJEJAS
Assalamualaikum,
Memang terkilan adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid, berikutan insiden anak saudaranya Mohd Haziq Dinie Mohd Rafik (anak abangnya, Mohd Rafiq Haji Khalid), berusia 16 tahun (pelajaran Tingkatan 4, Sekolah Menengah Selayang Baru, Batu Caves) di tahan polis malam 30 Ogos 2008 (kira-kira jam 12.00 menjelang count dowan ‘Hari Kebangsaan’) di KLCC. Dinie ke KLCC sekadar untuk sama-sama meraikan ‘Hari Kebangsaan’ sebagai pernyataan semangat patriotik, tetapi tak dijangka berlaku naratif pergaduhan anak-anak remaja Melayu, menyebabkan seorang remaja ditikam. Kalangan saksi memberitahu, anak remaja yang menggunakan pisau itu berbaju merah. Justeru Dinie yang berbaju ‘orange’, ditahan polis malah dibelasah orang ramai (dengan dibiar sahaja) sebelum dibawa ke balai polis Sungai Besi (berdekatan kem tentera).
Bagi pihak keluarga Dinie saya dan PRIMA sudah menghantar faks ke pejabat Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar di samping kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta campur tangan dengan perilaku pihak polis terhadap pelajar sekolah yang ‘masih mentah’ (sepatutnya diberi nasihat, malah dilindungi keselamatannya). Di samping itu PRIMA juga turut kesal dengan insiden Muhammad Hizam Shukri dipukul polis di Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson pada malam sambutan kemerdekaan. Anak-anak remaja terbabit perlu dipupuk semangat patriotisme, bukan dipukul ketika mahu meraikan ‘Hari Kebangsaan’. Sekiranya ‘Hari Kebangsaan’ mendatangkan mudarat, kerajaan seharusnya ‘mengharamkan’ sebarang perhimpunan meraikan sambutan kemerdekaan itu. Begitulah! \
Hari ini saya menghubungi Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong yang juga seorang peguam, setelah usaha menghubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Yaacob gagal bagi memastikan pejabat Perdana Menteri menerima surat yang dikirim PRIMA melalui faks sudah diterima atau sebaliknya. Disebabkan isu terbabit disaksikan oleh orang awam, justeru kerajaan seharusnya memberi respons segera, apabila aduan disampaikan. Tentulah sia-sia PM menerima aduan menerusi laman web, sekiranya sukar bertindak dalam waktu ‘tertentu’, berikutan tindakan ganas ke atas anak-anak remaja. Sama ada Muhammad Hizam mahupun Dinie, sepatutnya berada di bangku bilik darjah hari ini (2 September 2008), tetapi terus ditahan kerana kekeliruan yang berlaku.
Dalam kes Dinie misalnya, rakan-rakan mangsa sendiri (selaku saksi) mengkui ianya dilakukan oleh remaja berbaju merah dan berambut punk. Sebaliknya Dinie berbaju oren, di samping bukan berambut punk. Penahanan Dinie pula disebabkan bapa dan bapa saudaranya mempersoal tindakan kasar yang dilakukan, malah diugut untuk digari ketika mahu menjamin anak mereka. Mungkin masyarakat umum akan hilang keyakinan terhadap kerajaan, berikutan perilaku yang keterlaluan hingga menjejaskan slogan pasukan polis yang sentiasa berkhidmat dan mesra rakyat itu. Justeru PRIMA mendesak, SUHAKAM juga mengambil langkah positif mengelakkan tindakan keterlaluan hingga pihak lain mendahului mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
SURAT PRIMA MENERUSI FAKS
KPD PM, MENTERI DAN SUHAKAM
(31 Ogos 2008) - Bagi pihak Encik Mohd Rafik Haji Abdul Khalid, Lot 8411 Jalan Nakhoda Kiri Satu, Kampung Nakhoda, 68100 Batu Caves, Selangor ayah kepada Mohd Haziq Dinie, pelajar Tingkatan 3 (4), Sekolah Menengah Selayang Baru, memohon jasa baik dan campur tangan YAB Dato’ Seri dalam kes anak beliau. Mohd Haziq Dinie, 15 sama seperti rakyat Malaysia yang cintakan negara, keluar ke KLCC semalam (30 Ogos 2008) jam 10.00 malam, bagi meraikan ‘Hari Kebangsaan’ untuk menyahut seruan pemimpin negara. Tak semena-mena berlaku pergaduhan di lokasi yang berhampiran dengan beliau. Mohd Haziq Dinie ditahan di Balai Polis Dang Wangi, malah pihak polis menjatuhkan hukuman lebih awal sebelum pihak mahkamah mendapati ianya bersalah, di samping turut mendakwa pergaduhan membabitkan pisau.
Justeru pihak PRIMA merasakan berlaku kekeliruan, kerana Mohd Haziq Dinie bukan sahaja pelajar yang baru berusia 15 tahun, dengan fizikal yang kecil, malah tak membawa sebarang pisau kerana kehadirannya dari jauh (kira-kira 15 kilometer) semata-mata mahu meraikan ‘Hari Kebangsaan’. PRIMA merayu kepada YAB Dato’ Seri supaya Mohd Haziq Dinie dibebeaskan serta merta tanpa sebarang syarat, kerana pihak kami percaya beliau tak terbabit dengan pergaduhan berkenaan. (Berdasarkan saksi di kalangan rakan-rakan mangsa, pisau digunakan remaja berbaju merah dan berambut punk, sebaliknya Dinie berbaju orange dan tak berambut punk). Budi bicara, kerjasama dan perhatian segera YAB Dato’ Seri adalah sangat dihargai.
UMNO DIBUAI MIMPI MEDIA
REALITI SAMA MACAM PRU12
Pimpinan Sarawak dan Sabah dikatakan menuntut kuasa autonomi yang termaktub dalam perjanjian Malaysia, bagi mengekalkan kerajaan Pusat di bawah BN menjelang 16 September 2008. Kalangan pemerhati dan penganalisis politik yang kelihatan di lobi Parlimen mengakui sudah diberitahu, ketika pimpinan UMNO dibuai mimpi dengan laporan media arus perdana, realiti sebenarnya mirip kepada PRU12. Kesediaan pimpinan Sarawak dan Sabah meninggalkan BN, adalah bagi melindungi kepentingan rakyat kedua-dua negeri berkenaan di bawah kuasa autonomi. “Malah kalangan wakil rakyat sudah berani menyebut, kami tak mahu ikut ‘rules’ (peraturan) Putrajaya, tapi Putrajaya kena ikut ‘rules’ kami’,” beritahu sumber yang sering mengikuti perkembangan ketika sidang Parlimen yang berlangsung sekarang.
Bagaimanapun menurut sumber berkenaan, pimpinan Sabah dikatakan bersedia untuk berkompromi sekiranya pimpinan UMNO berubah secara drastik pada Disember 2008 bagi membolehkan pertandingan lebih sihat, bukan dipengaruhi kouta pencalonan bagi jawatan tertinggi parti. Rundingan sulit di kalangan pimpinan Sabah dan Sarawak juga dikatakan sudah diadakan beberapa kali bagi memantau senario politik dalaman UMNO sekarang, sebagai titik tolak kepada perubahan politik di kedua-dua negeri berkenaan, kata sumber tersebut. Sekalipun belum diumumkan secara rasmi, tetapi setakat ini menurut sumber berkenaan, Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah menerima sokongan 34 Ahli Parlimen BN, bagi membentuk kerajaan baru.
Sebaliknya jelas sumber tersebut, langkah UMNO Langkawi mencadangakan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Penasihat UMNO, mungkin sahaja sudah terlambat kerana kebobrokan pimpinan yang sukar dibendung. Sebaliknya, pimpinan UMNO seharusnya tak memperlekehkan keupayaan Dato’ Seri Anwar, tetapi memperkukuhkan semula perpaduan parti itu (bukannya perpaduan Melayu) dengan mendapatkan khidmat nasihat pimpinan berpengalaman seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam. “UMNO memerlukan khidmat nasihat Ku Li, Tun Dr M dan Tun Musa, bagi memartabatkan semula UMNO dalam jangka panjang, termasuk menghadapi PRU13 akan datang,” menurut sumber berkenaan menambah.
INFO SASTERA & BUDAYA:
LANTIKAN PIMPINAN DALAM DBP
ELAKKAN PENGARUH POLITIK KETERLALUAN
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dikatakan masih belum dilantik berikutan tamat tempoh perhidmatan Dato’ Dr Firdaus Abdullah baru-baru ini, beritahu kalangan aktivis persuratan. Dato’ Dr Firdaus bekas wartawan dan penyair sebelum menjadi tenaga pengajar di Universiti Malaya dikatakan tak serasi dengan Pengerusi Pengelola DBP, Dato’ Johan Jaafar yang juga dramatis tersohor sebelum dilantik mengetuai media selaku Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. DBP yang pernah dipimpin oleh Profesor Emeritus Ungku Aziz Abdul Hamid ketika diasaskan pada 1956 dulu, memerlukan hala tuju yang tepat dalam isu perjuangan Bahasa Melayu. Justeru kalangan aktivis persuratan merasakan lantikan pimpinan DBP seharusnya tak diserahkan kepada pengaruh politik yang serba bobrok, korok dan buruk!
“Bagi memastikan DBP mampu mendaulatkan Bahasa Melayu, pelantikan pimpinan mengendalikan DBP hendakalah dijauhkan daripada sebarang pengaruh politik,” menurut aktivis badan persuratan, L Mankadir Shamsi. Beliau juga turut sangsi dengan langkah mahu mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBP, kerana bimbang fungsinya sekadar ‘anugerah jawatan’ bukan berdasarkan ‘perkhidmatan jawatan’. Seterusnya beliau menambah, perjuangan Bahasa Melayu akan diletakkan sebagai agenda kedua, apabila usaha mencari ‘anugerah jawatan’ menjadi agenda pertama. Malah kata Mankadir lagi, sekarang pun ‘anugerah hadiah’ lebih popular di DBP daripada penilaian terhadap karya-karya sastera yang bermutu tinggi, bagi mengangkat martabat Bahasa Melayu.
INFO SUARA PROLITAR:
MAJLIS DOA ARWAH & TAHLIL
PEGAWAI MASJID LETAK SYARAT
Dakwah bukan takat beri ceramah, usrah, tazkirah dan sebagainya. Pegawai masjid juga perlu berdakwah dengan bijak. Baru-baru ini seorang rakan mahu meminta khidmat salah sebuah masjid di Gombak, untuk kenduri doa arwah dan tahlil. Pegawai masjid memberi syarat, mestilah waris keluarga terbabit menjemput, dan hendaklah turut sama berjemaah di masjid. Maknanya, yang tak solat berjemaah tak perlu dilayan. Saya juga difahamkan rakan itu tak jemput orang masjid, tapi lebih 100 orang hadir dengan ustaz lepasan al-Azhar, Mesir bertaraf al-Hafiz yang pimpin tahlil dan Ya Sin. - (SMS; 1 September 2008; 22:15:42 – Man Cincai, Selayang, Selangor).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
LANUN MAKIN MERAJALELA DI LAUT
DATO’ LAKSAMANA MASIH TERPINGA-PINGA
Sebermula gemparlah sekalian orang banyak, akan lanun-lanun bermaharajalela di laut, menyebabkan satu demi satu kapal dagang dari negeri Melayu diserang oleh suku sakat Megat Alang Dilaut. Tersebutlah akan kapal dagang ‘MT Bunga Melati Dua’ ditawan lanun tiga minggu lalu (atau disebut anak cucu fakir pada 19 Ogos 2008), ketika belayar dari Bengkalis (Dumai) ke negeri atas angin membawa 32,025 tan minyak sawit. Arakian kapal dagang itu dirampas lanun di pesisir pantai Somalia. Syahdan sebuha lagi kapal dagang yang dirampas lanun ialah ‘MT Bunga Melati Lima’ ketika belayar dari Temasik ke negara Arab (Yanbu) minggu lalu (disebut orang banyak pada 29 Ogos 2008) kerana hendak berdagang, adanya. Terlalulah masghol segala hamba rakyat di negeri Melayu dengan kejadian suku sakat Megat Alang Dilaut bermaharajalela.
Arakian Orangkaya Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Dr Rais Yatim berkatalah ia akan mengemukakan perihal kejadian itu ke mesyuarat orang besar-orang besar dunia (atau disebut orang banyak PBB) bulan depan bagi merumus kanun laut yang ketat, padat dan sendat. Barangkali. Maka tahulah fakir akan Orangkaya Menteri biasanya menyebut akan, akan, akan – hingga tak tahu berapa kalilah ia akan menyebut akan, akan, akan. Syahdan akan Orangkaya Menteri sekadar bercakap akan begitu, akan begini, maka Dato’ Laksamana pun terpinga-pinga. Apalagi suku sakat Megat Alang Dilaut merajalela ia di luar perairan Melaka. Maka
Kata sahibul hikayat akan Laksamana Khoja Hasan pun telah mati dengan percintaan, maka ditanamkan orang di Goa Pantar; itulah dikata orang Laksamana Pantar. Maka Hang Nadim dijadikan laksamana, ialah yang sangat masyhor berperang yang bertimba darah jua, tiga puluh dua kali. Akan isteri Laksamana Hang Nadim itu, anak Laksamana Hang Tuah, peraturan saudara dua pupu pada Bendahara Lubuk Batu. Maka ia beranak seorang anak laki-laki, Tun Mat Ali namanya. Adapun Laksamana Hang Nadim dititah sultan memerintahkan Bentan, duduk di Rocoh, diperbuatnya bandar; terlalu ramai bandar Rocoh pada zaman dahulu itu, rupa perahu rakyat penuh sesak, sekalian di dalam ingatan perintah Laksamana Hang Nadim. Demikianlah Laksamana Hang Nadim menjaga perairan negeri Melayu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh: