Tuesday, June 9, 2009

KENYATAAN MEDIA PKR:

Spekulasi dan andaian:
PKR menunggu penjelasan

(Kenyataan media Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Petaling Jaya, pada 8 Jun 2009, mengenai isu 'Kerajaan Pepaduan' yang membabitkan pimpinan PAS Tuan Guru Dato' Seri Haji Hadi Awang dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, selepas berakhirnya Muktamar PAS pada 7 Jun 2009).

Saya bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) merakamkan ucapan tahniah kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana berjaya melangsungkan muktamar tahunan kali yang ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Syabas juga saya ucapkan kepada barisan pimpinan PAS yang baru sahaja terpilih di dalam muktamar tersebut.Muktamar PAS tahun ini menyaksikan isu kerajaan perpaduan menjadi perhatian umum. Pelbagai spekulasi dan andaian telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu berikutan dari ucapan dasar Presiden PAS.

KeADILan berpendirian adalah sebaiknya untuk kami menunggu penjelasan dari pimpinan PAS (gambar hiasan, pimpinan PAS solat) berhubung isu kerajaan perpaduan mahupun sebarang bentuk perbincangan dengan Umno. Sungguhpun begitu, kami tidak menghalang mahupun mempertikaikan hasrat mana-mana pihak untuk berbincang isu-isu yang membabitkan kepentingan nasional. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi komitmen KeADILan untuk memastikan Pakatan Rakyat sentiasa berada di dalam keadaan kuat dan utuh. Kami yakin rakan-rakan kami, PAS dan DAP juga mempunyai iltizam yang sama demi memastikan agenda perubahan terlaksana di Malaysia.

KOMENTAR

bersama Pak Parjo...

Maka diusir harakah Islam
Habis manis sepah dibuang

Sebermula tersebutlah sebuah hikayat selepas beramuk-amukan pada 13 Mei 1969, harakah Islam (PAS) itu berpakatlah ia dengan harakah Melayu (UMNO). Selang beberapa lamanya pada 1978, maka diusir harakah Islam itu macam habis sepah manis dibuang. Arakian pada 1978 itu harakah Melayu sudah kuatlah ia, maka oleh itu tak perlulah lagi ia kepada harakah Islam. Adapun hulubalang Dato' Haji Muhammad bin Nasir itu dijanjikan akan menjadi Menteri Besar Kelantan, sekonyong-konyong maka alah ia, maka jawatan Menteri Besar Kelantan diberikan kepada Dato' Muhammad bin Yaacob. (Gambar hiasan, pimpinan harakah Islam sekarang)

Arakian, turun sebuah kapal dari Judah datang ke Melaka; di dalam kapal itu ada seorang pendeta Maulana Sadar Jahan namanya. Telah sampai kepada Sultan Mahmud Shah, baginda pun berguru pada Maulana Sadar Jahan itu, ia terlalu alim, dan anakanda baginda Raja Ahmad pun disuruh baginda mengaji pada Maulana Sadar Jahan.Pada suatu malam Maulana Sadar Jahan dijemput makhdum diperjamu. Maka telah sudah, lalu kembali. Terlalu gembira Maulana Sadar Jahan kerana dipermulia oleh segala Melayu. Syahdan pada suatu malam Maulana Sadar Jahan duduk bersama Bendahara Seri Maharaja berkata-kata akan ilmu, maka Seri Rama datang dengan mabuknya.

Maka ditegur oleh Maulana Sadar Jahan, maka oleh Seri Rama berkata ia, "Tuan turun dari atas angin ke Melaka ini adalah mencari harta, janganlah berpura-pura alim." Setelah didengar orang ramai,maka diperbuatnya pantun:

Seri Rama datang mengaji
Guru Maulana duduk bertingkat
Apa nama kalau dikeji
Diburu harta dengan pangkat

Setelah itu maka disurat orang seperti dirawi dalam 'Kitab Melayu' oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Serangan mengejut ke atas masjid:
Dibunuh lelaki bersenjata ketika solat
Assalamualaikum
Tragedi pembunuhan beramai-ramai di selatan Thailand di bawah pentadbiran Perdana Menteri Thaksin Sinawarta, barangkali untuk mengambil hati George Bush di Amerika Syarikat yang jelas anti Islam. Tetapi selepas era Thaksin dan Bush masih juga berlaku pembunuhan terancang di selatan Thailand, seperti dilaporkan Oleh D.ARUL RAJOO dari Bangkok hari ini (9 Jun 2009). Sepuluh orang penduduk Islam yang sedang mengerjakan solat ditembak mati Isnin malam (8 Jun 2009) oleh lelaki bersenjata dalam satu serangan mengejutkan di sebuah masjid di wilayah Narathiwat di Thailand Selatan.

Jurucakap polis berkata kejadian itu berlaku sekitar 8.00 malam bila sekumpulan lelaki tiba-tiba melepaskan tembakan di Masjid Al Qulkon di Kampung Air Paya, di daerah ChoAirong. Beliau berkata maklumat awal dari kawasan itu menunjukkan bahawa 10 orang termasuk imam masjid, terbunuh dan 12 yang lain cedera."Kami masih mengumpul lebih banyak maklumat mengenai kejadian itu. Pada mulanya dikatakan empat mati, kemudian lapan, dan kini 10. Semua mayat diletakkan dalam masjid," katanya.

Ahad lepas (7 Jun 2009), dua orang terbunuh dan 19 cedera bila puak pemisah menyerang pengawal sukarela dan meletupkan sebutir bom kereta di daerah Jeringa, Narathiwat, empat hari selepas dua orang guru, seorang daripadanya mengandung lapan bulan, ditembak mati di Chanae.Lebih 3,500 orang terkorban sejak Januari 2004 bila kumpulan pemisah melancarkan semula kempen bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan tiga wilayah majoriti Islam Yala, Narathiwat and Pattani.

Blok barat yang menguasai media melebarkan propaganda mengenai Islam sebagai pengganas, tetapi berpura-pura tak mengetahui insiden yang berlaku di Yala, Narathiwat dan Pattani. Islam dilabel sebagai pengganas di Iraq, Afghanistan dan Palestin oleh blok barat yang dipenghulukan oleh AS, disebabkan pimpinan Islam sendiri heh heh heh! Pimpinan Islam yang lemah apabila digoda perempuan seperti Raja Farouk di Mesir, gelojoh dengan kuasa seperti Kamal Atartuk di Turki atau taksub dengan pemikiran kolot seperti puak Taliban di Afghanistan memudahkan blok barat mengeksploit Islam. Alahai!
-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


Mat Hassan tak prihatin:
Pelihara institusi adat di NS

Institusi adat di Negeri Sembilan mungkin pupus, sekiranya kerajaan negeri masih di dominasi oleh UMNO dan Menteri Besar Dato' Seri Mohamad Hassan, menurut pimpinan PKR di Rembau Badrul Hisham Saharin atau Chegu Bard (gambar, berbaju biru)dalam laman blognya http://chegubard.blogspot.com/ .UMNO terus menjadi pekak dan tuli dalam isu tanah Adat di Rembau yang akan menjadi mangsa jalan keretapi berkembar. Bukan sahaja permintaan waris terlibat tidak dilayan malah permintaan untuk berbincang juga tidak dipedulikan.

Menurutnya lagi, Regim UMNO/BN dan Mat Hassan tak pertahankan adat dan istiadat, malah turut memperkosa institusi agama hingga diperkotak katikkan. "Pengurusan wang zakat rugi... Peranan Mufti dalam mengurus wang zakat ditarik.... Tidak langsung taksub dengan Syeikh Murtadza keturunan Sheikh Ahmad keluarga mufti, namun mengapa tiba – tiba keturunan Sheikh Ahmad disingkirkan …. ? Adakah kerana 'arahan' Menteri Besar tidak dipeduli..." beliau mempersoalkan menerusi laman blognya.

Ketika istiadat mengangkat DYMM Paduka Seri Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan juga ada cerita disebaliknya. Regim ingin campur kacau namun mujur pemegang amanah adat keras kental sedikit. (Sekalipun tak dsentuh oleh YM Dato' Seri Maharaja Khalid Bonget dan Pak Dharma dalam 'Helo Malaysia' di TV Bernama (502) pada 3 dan 9 Januari 2009 mengenai isu pelantikan Yamtuan Besar kepada Tuanku Muhriz). Seterusnya kata Chegu Bard, jelas kerajaan UMNO/BN Negeri Sembilan dan Mat Hassan gagal memainkan peranan dalam memulihara kemuliaan Adat Perpatih.

JEMPUTUAN PIDATO PERDANA


INFO LUAR NEGARA:


Wartawan jadi mangsa:
Apabila dua negara bertelagah

Ketegangan dua negara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara berikutan isu pelancaran nuklear semakin meruncing, apabila dua wartawan AS dipenjarakan di Korea Utara. Wartawan berkenaan menjadi mangsa, ketika dua negara bertelagah yang membabitkan kepentingan politik dan ekonomi. PRIMA mengutuk penahanan dua wartawan berkenaan, di samping mengingatkan kerajaan AS tak mengambil tindakan bodoh untuk menghantar tentera seperti dilakukan di Iraq dan Afghanistan, atau kepongahan Israel terhadap Palestin. Bagi PRIMA kedua-dua negara baik AS maupun Korea Utara wajar menghormati profesion kewartawanan.

Pimpinan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Barrack Hussein Obama tak akan mengirim tentera bagi membebaskan dua orang wartawannya yang dipenjarakan di Korea Utara, lapor William Foreman dan Matthew Lee dari Associated Press (AP) hari ini (9 Jun 2009). Euna Lee, 36 dan Laura Ling, 32 wartawan stesen Gore's Current TV (stesen TV milik bekas Naib Presiden AS, Al Gore) dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan kerja berat oleh Korea Utara. Bagaimanapun rundingan sedang diatur bagi membebaskan kedua-dua wartawan terbabit mengikut sumber pentadbiran Rumah Putih, malah mungkin menggunakan khidmat Gabenor New Mexico, Bill Richardson.

Beliau dianggap berpengalaman dalam rundingan tersebut, kerana pernah melakukan misi yang sama pada 1990 di Korea Utara. Di samping Bill Richardson, pimpinan Rumah Putih juga menaruh keyakinan kepada Al Gore sendiri bagi merundingkan pembebasan dua wartawan itu. "Richardson dan Gore sudah dihubungi bagi mengambil langkah seterusnya untuk rundingan dan membebaskan Euna Lee dab aura Ling," menurut sumber pegawai kanan di Rumah Putih. Bagaimanapun Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton memberitahu media semalam (8 Jun 2009), pihaknya lebih percaya kepada rundingan dalam menelesaikan isu berbangkit. "Kita akan berunding di samping merayu Korea Utara segera menghantar balik dua wanita muda ini," kata Hillary Clinton kepada media.

UMNO CABAR KESABARAN MELAYU:


KerajaanUMNO mahu laksana:
SPM gagal kalau tak lulus Inggeris

Terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya, justeru kerajaan pimpinan UMNO terus melakukan 'test market' dalam isu Bahasa Inggeris, di samping mencabar tahap kesabaran bangsa Melayu. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa orang ramai mengemukakan pandangan masing-masing kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mewajibkan calon lulus mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Katanya, satu lagi perkara yang memerlukan pandangan orang ramai ialah pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah pada masa ini yang tidak melibatkan pengajaran tatabahasa tetapi hanya untuk berkomunikasi.

Muhyiddin belum menjadi Ahli Parlimen pada 1969, apabila kerajaan pimpinan UMNO hilang banyak kerusi apabila Tunku Abdul Rahman Putra menolak Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi pada 1967 (iaitu syarat kemerdekaaan negara, Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi dalam tempoh 10 tahun dari 1957-1967). Ketika itu pelajar Darjah IV sekolah Melayu dibolehkan memasuki 'remove class' ke sekolah aliran Inggeris. Tetapai apabila DAP banyak menang dalam pilihanraya 1969, bagi mengekang perkembangan parti itu serta merta diperkuatkan Bahasa Melayu, menyebabkan Ahli-AhliParlimen DAP kelam kabut kerana tak fasih berbahasa Melayu.

Disebabkan PAS memenangi banyak kerusi pada pilihanraya 1999, dipertingkatkan pula Bahasa Inggeris, kerana pada pandangan UMNO kebanyakan orang PAS tak boleh berbahasa Inggeris. UMNO cuba mempolitikkan isu Bahasa Inggeris untuk mengekang kebangkitan PAS (itu pun masih ramai orang PAS tak sedar). Pada dekad 1940-an, Jepun juga memaksa orang Melayu belajar bahasa Jepun untuk menghapuskan budaya Melayu, bagaimanapun mereka dikalahkan kerana 'budaya memaksa' itu. “Saya sekadar melontarkan perkara itu kepada masyarakat untuk mendapatkan pandangan. Saya anjurkan supaya ada maklum balas masyarakat dalam bentuk debat,” kata Muhyiddin lapor Utusan Melayu hari ini (9 Jun 2009).
Muhyiddin memberitahu pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini semalam (8 Jun 2009). Hadir sama presiden penaja persatuan alumni itu, Tan Sri Yahaya Ibrahim. Muhyiddin menambah, memandangkan beliau hanya ingin mengumpul pandangan berhubung kedua-dua perkara itu maka tiada sebarang tempoh yang ditetapkan untuk orang ramai mengemukakan pendapat. “Mempelajari bahasa Inggeris tetapi tidak mewajibkan pelajar untuk lulus subjek berkenaan dalam SPM menjadikan standard bahasa Inggeris merosot," kata Muhyiddin.