Monday, January 26, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

LEPAS JEMBATAN TONGKAT DIBUANG:
PENGUNDI WARGA EMAS TAK KECIL HATI

Assalamualaikum,

Kalau tak dikirim SMS pun, memang saya sudah membaca akhbar ‘Harakah’ dengan berita utama di muka hadapan ‘Melayu Berani Berubah’. Bagaimana pun saya tak cam siapa pengirim SMS berkenaan, sekadar nombornya ialah 019-9563438. ‘Harakah’ sebagai organ PAS, tak hairan sangat apabila ianya dijadikan propaganda parti berkenaan dengan menampilkan segala ‘kebaikan’ belaka, dengan tak dilihat sebarang kritikan. Berbeza dengan akhbar arus perdana menjadi ‘lidah tak rasmi’ kepada UMNO dan BN, hingga pimpinan komponen BN juga diangkat terlalu tinggi. Biarlah! Ironinya, puji-pujian diberikan kepada pengundi-pengundi muda berikutan kemenangan calon PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari 2009 lalu.

Maknanya, pengendali laman web dan blog tak memberi sumbangan dalam pencapaian PAS pada pilihanraya kecil berkenaan. Malah hasil PRU12 pada Mac 2008 juga seolah-olah tak memberi kredit kepada pengendali laman web dan blog. Alhamdullillah! Tetapi rakan-rakan pengendali laman web dan blog tak memerlukan puji-pujian, sebaliknya ia sekadar sumbangan kepada negara. Ketika PRIMA menganjurkan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Ogos 2007 di Yayasan Kepimpinan Perdana, memang wakil PAS dan komponen Pakatan Rakyat ikut sama terconggok. Salah seorang wakil komponan (sekarang dah jadi Exco) pun berpeluang berwacana dengan Tun Dr Mahathir, tapi tunjuk eksyen sikit. Tak apalah!

PRIMA menggerakkan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir, selepas perjumpaan dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Bezanya, pertemuan dengan Tengku Razaleigh secara tertutup di kediamannya, tetapi matlamatnya tetap sama apabila Tun Dr Mahathir mahu berwacana dengan orang ramai. Kedua-dua pertemuan itu diaturkan oleh Raja Petra Kamaruddin dan Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz bagi mewakili pengendali laman web dan blog menerusi aktiviti PRIMA. Selepas PRU12 PRIMA juga menggerakkan siri pertemuan dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang juga disertai oleh Dato’ Suhaimi Ibrahim (sekarang Setiausaha Politik Perdana Menteri) dan Dato’ Ruhanie Ahmad (terbabit sebagai pengendali laman blog).

Memang undi di hujung jari pengundi-pengundi menentukan keputusan pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, tetapi perubahan tersebut bukan sekadar ‘di permukaaan’ sahaja. Misalnya kalau membaca buku autobiografi ‘Tan Sri Abdul Samad Idris’, nikmat kemakmuran Malaysia sekarang tak dicapai semudah macam komponen Pakatan Rakyat yang berlagak selepas dilantik Exco kerajaan negeri. Tan Sri Abdul Samad terpaksa mengharung arus deras Sungai Rajang pada waktu malam menggunakan bot enjin sangkut untuk memujuk ketua-ketua suku kaum dalam pungutan suara PBB. Mungkin sahaja di kalangan pengundi muda yang dipuji-puji itu, pengundi-pengundi warga emas turut membantu hingga mencapai lebih 32,000 undi kepada PAS di Kuala Terengganu. Takkan lepas jembatan, tongkat dibuang heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


SYED NAN DIMASUKKAN KE ICU:
PENGGERAK DI BELAKANG TABIR PRIMA

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia (KPKM) Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah dimasukkan ke wad ICU, tingkat empat Hospital Temerloh sejak semalam (24 Januari 2009), beritahu aktivis sosial di Pahang, L. Mankadir Shamsi. Syed Nor Adnan (Abang Engku) yang juga tenaga di belakang tabir aktiviti PRIMA di Pahang disahkan menghidap penyakit ‘buah pinggang’, tetapi sempat menghubungi sekretariat PRIMA pada sebelah paginya memberitahu keadaan kesihatannya bertambah baik. Bagaimana pun menurut Mankadir, beliau diberitahu oleh keluarga Abang Engku keadaannya kian kritikal dan dikejarkan semula ke hospital. “ADUN Kuala Semantan sudah menziarah petang semalam di wad ICU, tetapi pelawat lain tak dibenarkan,” kata Mankadir.

Seterusnya Mankadir menjelaskan, Abang Engku dalam persiapan mengatur beberapa siri baca puisi menentang PPSMI di Pahang, termasuk yang akan digerakkan di Jenderak Utara, 7 Februari 2009 ini. Siri baca puisi di Pahang akan diadakan di pekan Temerloh sebagai kemuncak, selepas di Jenderak Utara dan di Kampung Mempatih mengikut jadual Abang Engku, kata Mankadir menambah. Sebelumnya memang Abang Engku merancang mengadakan siri baca puisi di kediamannya di Lancang, sebaik sahaja ianya bermula di kediaman Dato’ Kamal Amir di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. “Disebabkan kesihatannya tak mengizinkan, Abang Engku bersetuju ianya dibawa ke Jenderak Utara,’ beritahau Mankadir selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

BELASUNGKAWA KEPADA KELUARGA:
HILANGNYA MUTIARA SASTERA MELAYU

Aktivis sastera dan budaya merasakan pemergian Sasterawan Negara Arenawati sebagai kehilangan mutiara bagi kesusateraan Melayu, kerana karya-karya beliau memang mempunyai sentuhan yang mengangkat martabat Bahasa Melayu, kata bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansur Abdullah. Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Arenawati yang nama sebenarnya Muhammad Abdul Biang, beliau turut melahirkan rasa sedih berikutan berpulangnya ke rahmatullah sasterawan berkenaan hari ini (25 Januari 2009). “Pelajar-pelajar yang pernah menggunakan novelnya sebagai teks sastera SPM seharusnya terhutang budi kepada beliau,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

Di samping terbabit menghasilkan karya-karya sastera, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pengkaji kesusasteraan Melayu mengakui SN Arenawati antara penngarang yang teguh memegang prinsip. Menurutnya, ketika SN Arenawati ditawarkan berkhidmat dalam sebuah penerbitan dengan imbuhan lumayan, beliau menolaknya dengan sopan kerana tak mahu melukakan hati rakannya yang memberikan ruang untuk beliau berkarya di penerbitannya. Sekalipun beliau sekadar dibayar dengan imbuhan yang jauh lebih rendah, tetapi SN Arenawati tak menjual harga persahabatannya demi mempertahankan prinsip, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. “Justeru, pemergian SN Arenawati adalah kehilangan mutiara dalam persada kesusasteraan Melayu,’ ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.

PUISI

Ku Putar Jarum Arloji

Berikan aku sebutir pasir
& lontarkan ke muka Bush
laksana sepatu Iraq yang menerjah
ke pinggir kota amarah
ku putar jarum arloji -
menukar waktu di Rumah Putih
lingkaran bingkai tembaga &
bayang hitam Guantinamo.

Hulurkan laras M-16
& sangkutkan di bahuku
kita mencari limpahan pasir
di setiap penjuru Gaza
puing-puing runtuhan bangunan
menimpa bayang Ehud Olmert
di celah mimpi ngeri PBB &
kematian tamaddun manusia!

- Dharmala N.S.
Kuala Lumpur.
20 Januari 2009.


INFO SUARA PROLITAR

KESAN TAPAK TANGAN HARIMAU:
SUKAR DISEMBUNYIKAN KEPADA UMUM

Insiden luar biasa memang sukar mahu diterjemahkan kepada masyarakat umum, tetapi tak mampu untuk disembunyikan, menurut Hajjah Safiah binti Jatin, 83 dari Kampung Petaling, Jelebu di Negeri Sembilan. Dalam insiden awal Januari 2009 lalu, Hajjah Safiah diganggu kemunculan seekor ular hitam yang menghilang dalam sekelip mata. Selepas beliau meminta bantuan dari jirannya YM Dato’ Ombi Pangkal Maharajela Kadin bin Kidam iaitu Dato’ Lembaga terkanan di luak Jelebu, memang beliau mengakui raptelia berkenaan sudah membolos keluar menerusi lubang dinding. Bagaimanapun beliau masih tak mampu menyembunyikan insiden, apabila kesan tapak kaki harimau dilihat di tengah rumahnya. Kesan tapak kaki harimau itu seolah-olah tangan sebelah kanan yang jelas berbekas di atas lantai rumah berkenaan.
SOKONG HAPUSKAN PPSMI
CINTAI BAHASA MELAYU!
Assalammualaikum Saudara Abdul Muluk!

Saya amat menyokong pendirian saudara dalam hal ini. Saya amat mencintai BAHASA MELAYU! Bahasa Melayu adalah BAHASA ILMU yang amat mudah untuk rakyat kita memahami! Hapuskan PPSMI!!! Saya tetap menyokong saudara dalam menghidupkan semula kegemilangan Bahasa Melayu. Pemimpin kita sudah alpa dan leka dek kemewahan dan kuasa sampai lupa marhaen di bawah ini. Teruskanlah perjuanganmu demi bangsa ini wahai saudaraku! - (E-mail ; Joyah Sport ; 22 Jan 2009 , 22:38:15)

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

MAHU SEKALIAN MELAYU BERUBAH
BELAJARLAH DARIPADA SERI BIJA DIRAJA

Syahdan Orangkaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perusahaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (dahulunya disebut ia Haji Muhyiddin Yassin) mengingatkan akan harakah Melayu (UMNO) itu supaya berubah segera. Maka terkedu ia gerangannya apabila menyebut harakah Melayu itu telah terlalu ‘parah’. Arakian terfikirlah fakir akan Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu bercakap ketika menyampaikan sumbangan daripada ‘Yayasan Amal Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM), kerana tak berubah kepada yayasan gasing, yayasan wau, yayasan sepak raga atau yayasan yang menjadi kebanggaan Melayu jua. Sebermula semasa melawat ke negeri Arab di Bahrain, berkata juga Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu mahukan sekalian orang Melayu di dalam harakahnya segera berubah, tetapi tak disebut pula perkara yang mahu dilakukan perubahan itu.

Hatta, berapa lamanya maka datang pula orang Siam menyerang Melaka; Awi Dicu nama panglimanya. Maka kedengaran khabar ke Melaka, maka dipersembahkan orang kepada sultan. Maka baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja berlengkap akan mengeluari orang Siam. Seri Bija Diraja dan segala hulubalang sekaliannya dititahkan baginda mengiringkan Bendahara Paduka Raja. Adapun Seri Bija Diraja itu sedia asal Melayu, Tun Hamzah namanya, asalnya daripada muntah lembu; ialah dipanggil Dato’ Bongkok. Apabila berjalan atau duduk, bongkok ia. Serta ia mendengar khabar musuh datang, jadi betul ia, kerana sedia Seri Bija Diraja itu berubah serta merta, disebabkan ia memang asal Melayu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!