Berebut Untuk Orangkaya:
15 Bersaing Di Bukit Selambau
Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera di negeri Melayu itu, seramai lima belas orang anak tuan-tuan berebut mahu menjadi Orangkaya Bukit Selambau. Arakian pada hari ini 2 Rabiulakhir 1430 (atau disebut orang 29 Mac 2009). Adapun pada hari yang sama berebut-rebut anak tuan-tuan mahu menjadi Orangkaya di Bukit Gantang dan Orangkaya Batang Air. Maka terfikir kepada fakir selama ini tak pernah berebut-rebut hingga 15 orang mahu menjadi Orangkaya. Sebermula pada hari semalam 1 Rabiulakhir 1430, bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad, gembiralah ia kerana Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu berhentilah daripada jawatannya. Syahdan diketahui oleh orang banyak bekas Orangkaya itu tak mahu ia kembali bersama harakah Melayu (UMNO), kalau Orangkaya Dato' Seri Abdullah masih lagi menjadi Perdana Menteri.
Syahdan pada masa itu sembilan orang yang layak jadi Orangkaya Bendahara iaitu tak sampailah ramainya 15 orang seperti di Bukit Selambau pada akhir zamannya. Pertama-tama Paduka Tuan, kedua Tun Zainal Abidin (seakan-akan pula Tan Sri Muhyiddin), ketiga Tun Telanai, keempat Seri Nara Diraja, kelima Seri Maharaja, keenam Seri Wak Raja ketujuh Tun Abu Saiyid, kedelapan Tun Abdul, kesembilan Tun Bijaya Maha Menteri. Maka berdirilah berbanjar di hadapan istana Sultan Mahmud. Arakian titah baginda, "Siapa antara Orangkaya sekalian ini akan jadi bendahara?". Adapun bunda Sultan Mahmud itu adik Tun Tahir dan Tun Mutahir, ada ia di balik pintu. "Pak Mutahir itulah jadikan bendahara," katanya kepada Sultan Mahmud, kerana sejak zaman Melaka begitulah anak orang-orang besar sekalian seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!