Monday, August 31, 2009

SAJAK


KEPALA YANG DI BAWAH


Dulu tanahair ini kita yang
punya
Semenanjung Tanah Melayu
namanya,
bumi warisan turun temurun.
Pusaka tinggalan
nenek moyang zaman berzaman.

Makanya,
nama itu diiktiraf seantero dunia
sebagai permasyhuran
taraf hak milik hakiki
suatu bangsa megah
bernama Melayu
yang gagah dan amat pemurah
yang setia dan tidak pernah
menyanggah.

Sejak Raja Melaka leka
menzinahi
Hang Lipo dalam orgy
syahwat lima ratus dayang-dayang
sogokan
maharaja besar benua besar
armada besar barua besar
maka terjadilah
Melayu itu, dulu, kini dan
akan selamanya
suatu bangsa
yang berfikir
bukan dengan kepala yang
di atas.

Makanya
dalam kealpaan tak mandi
junub
dibiarkanlah hilang Tanah
Melayu
jadi Malaya
direlakanlah Jus Soli
mendakwa hak didendangkanlah
segempita halilintar
menggenta benua
merdunya buluh perindu
menyanyikan Melayu
adalah satu bangsa yang berketuanan.

Aduhai adikku Nahar dan
Akutun Jeram Besu
esuk datang lagi hari merdeka
dan orang Melayu
1Malaysia
kian malu untuk jadi petani
kerana lumpur sawah tidak
pernah menjanjikan
mertabat
suatu bangsa yang berfikir
dengan kepala yang
di bawah.


-Yassinsalleh
2253, Ogos 2009



lebih tinggi lalang
dari berdiri
menanti datangnya lagi
hari merdeka yang
kian tambah jenaka.