Monday, June 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U AR A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PENEROKA TAK PEDULI PETROL
MEREKA BIMBANG HARGA BERAS

Assalamualaikum,

Kenaikan harga petrol pada 5 Jun 2008, bagaikan tak memberi impak kepada rakan-rakan di kawasan Felda, sekalipun ramai yang sudah memiliki kereta dan motosikal. Sebaliknya mereka merungut berkaitan kenaikan harga beras, disebabkan ianya makanan ruji utama. Semalam (7 Jun 2008) saya menemui kawan-kawan di Felda Titi, di Jelebu, disebabkan minggu lalu (1 Jun 2008) tak sempat ke Felda Lasah, di Sungai Siput, Perak. Memang seronok bertemu kawan-kawan lama yang sudah lama menjadi peneroka Felda sejak dekad 1960-an mahupun 1970-an sebagai alternatif selepas gagal memohon tanah di bawah skim ‘tanah pinggir’ atau ‘tanah berkelompok’. Rakan-rakan terbabit pula ibu bapa mereka pernah berjuang bersama Almarhum ayah saya, Dato’ Sati Haji Daud bin Sheikh Haji Ahmad meneroka tanah hutan secara berhemah.

Sekitar penghujung dekad 1950-an dan awal dekad 1960-an, legenda penerokaan ‘tanah haram’ dipelopori Hamid Tuah di Selangor seolah-olah menjadi pendorong kepada skim Felda. Tetapi tak siapa peduli mengenai penerokaan tanah secara berhemah yang digerakkan oleh Dato’ Sati Haji Daud, sekalipun matlamatnya memberikan tanah kepada golongan prolitar. Apabila Hamid Tuah meneroka di Batu 3, Subang dengan 100 orang pengikut, Dato’ Sati Haji Daud juga meneroka di Geylang, Teriang Hilir dengan 50 orang pengikutnya. Hamid Tuah ditahan kerana meneroka tanah haram, sebaliknya Dato’ Haji Daud memohon atas kapisiti ketua adat menerusi pejabat tanah daerah Jelebu. Ketika Hamid Tuah meneroka di Kampung Sireh, Tanjung Karang, Dato’ Sati Haji Daud pula meneroka di Hulu Seperi bersama 100 orang pengikutnya.

Perjuangan yang sealiran tetapi berbeza pendekatan ini menampilkan Hamid Tuah sebagai penggerak penerokaan tanah disebabkan ianya menimbulkan kontroversi, tetapi melenyapkan sumbangan Dato’ Sati Haji Daud. Secara historikal dalam perjuangan tanah di Malaysia sekitar dekad 1960-an hanya Hamid Tuah dan Dato’ Sati Haji Daud sahaja yang menggerakkan penerokaan tanah, tetapi menerusi pendekatan yang berbeza. Justeru ketika menemui rakan-rakan di Felda Titi, naratif perjuangan Dato’ Sati Haji Daud kembali menjadi nostalgia. Setidak-tidaknya lokasi Felda Titi tak jauh dari kawasan hutan Hulu Seperi yang diteroka Dato’ Sati Haji Daud yang dikenali sebagai skim ‘tanah berkelompok’ seluas 250 ekar (atau hampir 300 hektar).

Kalangan peneroka di Felda Titi seolah-olah menolak momokan cendekiawan Melayu yang melabelkan bangsanya sebagai ‘pemalas’ bagi menghadapi kemelut ‘kenaikan harga beras’ dan ‘kenaikan harga petrol’. Beberapa orang peneroka menggerakkan penternakan ikan air tawar dengan mengorek paya dijadikan kolam-kolam ikan, di samping lokasi tepi jalan di kawasan Felda dibangunkan dengan dusun buah-buahan. Ironinya, apabila musim buah-buahan, mereka tak mampu memasarkan buah durian, rambutan, pulasan mahupun duku langsat yang harganya terlalu menyedihkan, memedihkan dan menindihkan! Sdr Roseli Deraus yag hampir berusia 60 tahun, sekadar melongo melihat buah-buah durian melambak pada musim dusun galak berbuah. Begitulah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA

GARIS PANDUAN MAJLIS FATWA
PTPTN PERLU AKUR DENGAN CAJ

(Kenyataan media pimpinan PRIMA Pak Dharmala N.S., di Kuala Lumpur pada 8 Jun 2008, mengenai isu haram mengenakan caj PTPTN melebihi kos sebenar, malah ianya tutur membebankan pelajar-pelajar di IPTA/IPTS)

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) bukan sahaja enggan mendengar rungutan ibu bapa pelajar-pelajar di IPTA/ IPTS mengenai isu pinjaman yang membebankan, malah berlawanan dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang diputuskan pada 11 Mac 2002. Kaedah yang ditetapkan oleh syariah adalah jelas iaitu PTPTN boleh menggunakan kos perkhidmatan mengikut perkiraan sebenar terhadap pinjaman yang diberikan. Justeru PRU12 pada 8 Mac 2008 sekurang-kurangnya mampu memberi satu pengajaran kepada BN, betapa perlunya keputusan Majlis Fatwa dipatuhi bagi memantau setiap urusan perbelanjaan negara mengikut kaedah syariah. Alhamdullillah!

PRIMA menyokong penuh yang menetapkan caj perkhidmatan tiga peratus yang dikenakan kepada peminjam PTPTN (iaitu pelajar-pelajar di IPTA/IPTS) adalah berunsur riba dan haram. Seterusnya PRIMA juga mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Ketua Pengarahnya, Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz memastikan caj tiga peratus yang sudah dikenakan kepada peminjam ditarik balik dan dihapuskan setelah Majlis Fatwa menetapkan ianya adalah haram. Kerajaan yang mendukung konsep ‘Islam Hadhari’ perlu memperbaiki kaedah pengiraannya bagi mengatasi kekeliruan orang ramai dengan menghapuskan di samping membayar semula caj tiga peratus yang dikenakan kepada peminjam-peminjam terdahulu.

PIMPINAN PAK LAH MAKIN TERGUGAT
PERJUMPAAN DI PERINGKAT AKAR UMBI
Pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abullah Ahmad Badawi dikatakan makin tergugat berikutan gerakan mahu mencabarnya menjelang pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO, Disember ini. Ketika pimpinan pencabar bergerak ke peringkat akar umbi, Dato’ Seri Abdullah juga turut menyusun strategi mengumpul sokongan akar umbi secara komprehensif. Menurut sumber semalam (8 Jun 2008), Dato’ Seri Abdullah mengadakan siri perjumpaan dengan 500 pimpinan di peringkat akar umbi bagi negeri Pahang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Sebelumnya pada 7 Jun 2008, beliau menggerakkan perjumpaan dengan pimpinan dari negeri Perak, diikuti dengan negeri-negeri lain sepanjang Jun 2008 ini menurut sumber berkenaan.

Bagaimanapun beritahu sumber tersebut, strategi Dato’ Seri Abdullah menggerakkan siri perjumpaan dengan pimpinan peringkat akar umbi mirip kepada gerakan yang turut dilakukan oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib iaitu dengan mengatur perjumpaan di Kuala Lumpur. Seterusnya beritahu sumber berkenaan, Dato’ Seri Abdullah sekadar menerima laporan yang ‘molok-molok’ apabila menggerakkan siri perjumpaan ‘ala Mat Taib’. Menurut sumber tersebut, Dato’ Seri Abdullah seharusnya ‘turun padang’ dengan membuat lawatan ke peringkat akar umbi bagi mendapatkan maklumat sebenar dihadapi oleh pimpinan cawangan berikutan kebobrokan yang dialami hingga prestasi buruk UMNO pada PRU12 terungkai.

KEPUTUSAN KHIR TOYO MUKTAMAD
PEMUDA UMNO PERLU ‘DIRAKYATKAN’.

Mantan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo tak berganjak dengan keputusannya yang sudah muktamad untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung, Disember 2008 ini, kata Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Sobri Ahmad. Beliau yang terbabit dalam kem Dato’ Seri Dr Mohd Khir memberitahu, Pemuda UMNO perlu ‘dirakyatkan’ dengan menghapuskan jurang perbezaan pimpinan peringkat tertinggi dengan peringkat akar umbi. Menurut Sobri, ‘merakyatkan’ pimpinan Pemuda ialah membawa mereka ‘celik minda’ seperti pernah diterapkan oleh Allahyarham Dato’ Harun Idris. “Berilah peluang kepada Dato’ Seri Dr Mohd Khir ‘merakyatkan’ Pemuda UMNO,” menurut Sobri.

Sobri yang pernah berganding bahu dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir dalam pimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengakui mereka masih bergandingan dalam pimpinan Majlis Kerjasama Belia Asian sekarang iaitu di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Justeru kata Sobri, Pemuda UMNO akan digerakkan di bawah pimpinan belia di peringkat antarabangsa apabila Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengambil alih kepimpinan. Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Dr Mohd Khir membuat lawatan ke Kelantan malam ini (7 Jun 2008) dalam siri perjumpaan dengan pimpinan akar umbi bagi misi ‘merakyatkan’ Pemuda UMNO. “Ketika memimpin MBM, Dato’ Seri Dr Khir sebenarnya yang terbabit membantu mangsa tsunami 2004, tetapi ‘lembu punya susu, sapi dapat nama,” jelas Sobri selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PAPAR BUDAYA MELAYU SONGSANG
MENONJOL KARYAWAN MANDUL IDEA


Karya-karya yang ditakrif seram tak menjejaskan kreativiti karyawan Melayu, tetapi memaparkan budaya songsang lebih buruk implikasinya, menurut aktivis budaya yang juga seorang penyair, Yassinsalleh. Menyentuh drama TV menerusi slot Astro Prima ‘Di Bawah Ketiak Isteri’, Yassinsalleh menyifatkan ianya menampilkan karya yang mandul idea apabila bangsa Melayu digambarkan dipengaruhi ‘queen control’, hidup sebagai ‘bangsat’ dan ‘tak mempunyai visi’. Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (8 Jun 2008) mengakui menonton slot berkenaan jam 10.00 pagi berasa kesal dengan sikap pengurusan TV berkenaan yang kurang bijak membuat penilaian. “Komedi yang baik ialah humor, bukan ‘false’ yang membodohkan diri sendiri untuk ditertawakan,” beritahu Yassinsalleh.

Beliau yang juga pernah dinobat selaku pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia menerusi ‘Dia Ibuku’ sekitar dekad 1980-an menjelaskan, slot drama ‘Di Bawah Ketiak Isteri’ bukan sahaja tak menghina masyarakat Melayu, malah ianya memaparkan budaya songsang yang menjijikkan. Menurut Yassinsalleh, karektor empat pasangan suami isteri Melayu dalam drama berkenaan memperlihat ‘isteri’ membodohkan ‘suami’, di samping si suami pula ‘miang’ dengan seorang janda. Secara logik beritahu Yassinsalleh lagi, bagaimana semua karektor suami dan isteri streotaip iaitu ‘miang’ dan ‘takutkan isteri’ hingga boleh ditarik telinga dan dirotan dengan ‘feather duster’. “Bagi menampilkan humor tak perlu isteri tarik telinga suami, cukup dengan dialog spontan seperti dilakukan Tan Sri P Ramlee menerusi ‘Madu Tiga’,” kata Yassinsalleh menambah.

INFO SUARA PROLITAR

KALAU SESIAPA MAHU BERCAKAP
ELOKLAH NGANGA MULUT DAHULU

Meminta orang ramai berkongsi kereta berikutan kenaikan harga petrol adalah bersifat ‘lepaskan batuk di tangga’. Malah saranan itu sama juga dengan cadangan ‘makan ubi keledek’ bagi menggantikan makanan ruji ‘beras’. Logiknya, eloklah menteri-menteri dan wakil rakyat ‘berkongsi kereta’ dulu atau makan ‘ubi keledek’ dalam jamuan-jamuan rasmi. Kalau nak suruh anak ketam berjalan betul, ibu ketam jangan jalan mengereng. Sebab itu kata orang tua-tua: ‘Kalau nak bercakap, nganga mulut dahulu’ - (SMS; 7 Jun 2008 - A. Jaafa; Gombak, Selangor).

NOSTALGIA DI PUSAT PENGAJIAN TINGGI
KETIKA MENERIMA DIPLOMA DARI PROCANSELOR

OLEH : Asalbayu

KONVOKESYEN Univertsiti Teknologi MARA (UiTM) ke-68 yang berlangsung dari 22 – 31 Mei 2008 melibatkatn anak kedua saya, Mawardi Hidayat setelah menamatkan pengajian Diploma Pengajian Perniagaan di Kampus UiTM Cawangan Sungai Petani, Kedah. Dia bersama sejumlah 666 orang mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti bidang pengajian yang sama menerima pemberian sijil diploma yang disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Haji Arshad Ayob di Dewan Sri Budiman, Kampus Induk UiTM, Shah Alam pada Sidang Ke-12 (31.5.2008).Bagi meraikannya, saya bersama isteri pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dari Alor Setar lalu menginap di rumah anak sulung, Asmarani Hidayah yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, Saiful Akmal dan bertugas di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kuala Lumpur.

Dia bersama suaminya, Yuzil Rizal yang bekerja dengan Ramly Burger serta anak tunggalnya itu tinggal di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Itulah kali pertama saya pergi ke Kuala Lumpur selepas diserang angin ahmar pada 17.9.1999.Ketika berada di Kampus Induk UiTM Shah Alam itu, tiba-tiba jiwa dan perasaan saya rasa begitu tersentuh kerana ketika berada di sekolah rendah dahulu, impian saya untuk menjejakkan kaki ke IPT begitu berkobar-kobar. Kalangan guru-guru serta seluruh masyarakat desa kelahiran saya juga berpendapat begitu berdasarkan pencapaian akademik saya boleh dikatakan setiap tahun amat memberangsangkan. Namun semuanya tidak menjadi kenyataan disebabkan terdapat halangan yang tidak wajar diungkit semula. Biarlah hal itu berlalu serta menjadi sejarah lampau yang tidak mungkin kembali.

Kini ia telah direalisasikan oleh anak-anak saya di mana sebelum ini anak sulung telah menerima Diploma Teknologi Makmal Perubatan daripada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.Sewaktu menghadiri majlis konvokesyen anak sulung saya di USM, Pulau Pinang dulu perasaan berkenaan tidaklah begitu hebat. Begitu juga ketika anak ketiga, Mustaza Hidayat menerima Sijil Automotif Kolej Komuniti yang berlangsung pada 29.3.2008 di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah.Ketika majlis sedang berlangsung, fikiran saya menerawang jauh. Termasuk yang kali ini, UiTM telah 68 kali mengadakan konvokesyen. Tanpa merujuk kepada buku cenderamata yang setebal 212 itu, saya mencongak-congak sendiri. Jika purata setiap konvokesyen ia melahirkan 2,000 orang graduan, bererti hingga kini sejumlah 136,000 telah dilahirkan. Manakala dalam setahun majlis konvokesyen berlangsung dengan kekerpan sebanyak dua kali. Ini secara kasar bererti UiTM telah melahirkan sejumlah 4,000 orang graduan setahun. Itu baru sebuah IPT.

Sedangkan di Malaysia terdapat tidak kurang dari 6 buah IPT termasuk swasta, bererti setiap tahun sejumlah hampir atau lebih 30,000 graduan berjaya dilahirkan. Persoalannya di sini, adakah pasaran kerja atau peluang-peluang meneroka bidang keusahawanan untuk para graduan yang telah dilahirkan itu?Jauh di kalbu saya dicengkam pilu mengenangkan beberapa orang individu warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antara bangsa. Mereka adalah di antara mangsa yang bernasib malang apabila ditahan di beberapa negara antaranya China, Jepun, Australia, Spanyol, Venezuela dan Pakistan. Agenda dunia tanpa sempadan dan langit terbuka, telah mengakibatkan mangsa-mangsa terbabit teengaruh dengan iklan di internet yang menawarkan pendapatan lumayan andai menerimanya. Peluang melancong ke beberapa buah negara dengan diberi sejumlah wang saku yang agak lumayan adalah di antara pakej tawaran yang menarik minat mangsa.

Kalangan graduan yang berstatus sebagai ‘penganggur’ tidak terkecuali daripada menjadi mangsanya. Apa lagi bila ditawarkan pekerjaan dengan jaminan pendapatan lumayan yang tidak termimpi itu. Dalam hati saya berdoa agar hal itu tidak berlaku ke atas anak saya itu.Andai ada pihak-pihak tertentu menawarkan peluang pendapatan siapa yang mahu menolaknya? Apa lagi bila pihak yang memberi pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengeluarkan perintah membayar ansurannya. Sedangkan pada waktu itu dia masih belum bekerja, masih belum ada pendapatan yang menjamin pendapatan bagi melunaskan bayaran tersebut. Demikian fikiran saya menerawang jauh memikirkan nasib para graduan yang lahir dari dari IPT dan kemudian menggalas gelaran graduan menganggur termasuk anak saya juga.

Ketika berada di Kuala Lumpur saya sempat bertemu dan berbual dengan Zulkifli Ismail, pelakon siri Gerak Khas terbitan Skop Production (Dato Yusof Haslam) yang memegang watak Pegawai Polis bernama Tuan Razlan. Beliau berasal dari Alor Setar dan sedikit masa lalu giat mengadakan majlis baca puisi dan turut menulis puisi dengan memakai nama Zul Isma. Kebolehan dan kesugguhannya di bidang penulisan tiba di kemuncak bila beliau di tawarkan untuk menjadi wartawan di Syarikat Utusan Melayu, Kuala Lumpur. Masih segar di ingatan saya ketika beliau menerima tawaran itu, sayalah orang yang ditemuinya semata-mata bagi meninjau pendapat.

“Patutkah saya terima tawaran itu dan pergi ke Kuala Lumpur?” tanya beliau.“Pergilah,” kata saya. “Umur Zul masih muda. Masih belum ada pekerjaan tetap. Kalau tidak menerima tawaran ini bererti menolak tuah, kerana bidang tugas ini kita minat.”Namun beberapa bulan berikutnya dalam satu majlis Temu Sastera ASASI yang dikendalikan oleh Puzi Hadi (seorang penyair) saya bersua dengannya. Jika saya tidak silap, SN Dato Dr A Samad Said juga turut hadir di majlis yang berlangsung di Balai Seni, Medan Bandar Alor Setar berhampiran Balai Besar dan Masjid Zahir itu.“Bila balik? Cuti?” tanya saya.“Baru sehari dua ni. Bukan cuti. Tapi dah berhenti,” balas beliau.“Dah berhenti?” aju saya sedikit terperanjat.Kepada saya beliau memberitahu bahawa gaya penulisannya yang seperti cerpen atau sastera kreatif kurang disenangi oleh Zam (Datuk Seri Zainuddin Maidin) yang ketika itu adalah Ketua Pengarang di Syarikat Utusan Melayu.Ada teman yang memaklumkan bahawa Zulkifli sebenarnya dipanggil pulang ke Alor Setar oleh ayahnya bagi menguruskan perniagaan mereka. Selang beberapa bulan kemudian saya terbaca sebuah rencana bahawa Zulkifli Ismail telah berlakon sebuah drama kalau tak silap judulnya ialah Basikalku.

Juga ada teman memaklumkan bahawa jiwanya terlalu menyenangi bidang seni yang ditekuninya sejak meninggalkan alam persekolahan. Saya dapat merasakannya tatkala beliau mengundang saya bersama Affrini Adham bagi menjayakan satu majlis baca puisi dalam dekad 80-an dahulu. Pada majlis tersebut saya tidak membaca puisi, sebaliknya membaca sebuah cerpen karya SN Dato Shahnon Ahmad berjudul Salam Sekeluarga yang tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat sekitar awal dekad 70-an. Dalam cerpen berkenaan diceritakan sedikit bagaimana sifat tulisan Jawi yang kini dilihat semakin pupus dan gambaran kebodohan orang Melayu mengundi. Kebodohan itu diteruskan oleh tindakan kalangan pemimpin yang memperbodohkan rakyat (pengundi) dengan beberapa siri pembohongan seperti yang akan saya ceritakan nanti.Selang tidak berapa lama kemudian, saya melihat wajah Zulkifli di kaca televisyen ketika mengacarakan salah satu program terbitan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Sewaktu ditukarkan untuk bertugas di Ibu Pejabat BSN Kuala Lumpur, secara kebetulan saya bertemu beliau bersama Ku Seman Ku Husin yang berasal dari Perlis dan bertugas di Utusan Melayu Kuala Lumpur, lalu kami berbual sehingga lewat malam sambil minum teh tarik.“Saya bergilir dengan Ahmad Tarmimi Serigar sebagai pengacaranya. Minggu ini saya dan minggu depan dia pula. Kalau saya jadi pengacara, dia buat skrip dan kalau dia pula jadi pengacara, saya buat skrip. Begitulah seterusnya,” tegas Zulkifli.Di sepanjang bertugas di Kuala Lumpur dahulu itu juga saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang personaliti antaranya penyair A Ghafar Ibrahim (AGI), Datuk Dr Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Abdul Halim Nasir (N A Halim), Ahmad Busu, Wan Hanafi Su dan Ahmad Yatim; ketiga-tiga mereka adalah pelakon drama televisyen dan teater. AGI pernah mengunjungi rumah sewa saya bersama Puzi Hadi di Alor Setar lalu menghadiahkan sebuah buku berjudul Dialog Dengan Seniman suatu ketika dahulu itu telah menghantar saya pulang ke kediaman di Rumah Pangsa Pasar Minggu, Kampung Baru.

N A Halim juga pernah menumpangkan saya pulang pada suatu malam dan bermaksud mencadangkan saya sebagai kolumnis di sebuah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tetapi saya tidak sanggup. Pernah saya berbual dengan Wan Hanfi Su di Benteng, Kuala Lumpur berkenaan topik lagu rock dan ghazal sehingga dinihari. Selepas bertugas semula di Alor Setar, beberapa kali saya menemuinya termasuk ketika penggambaran drama Hajat terbitan RTM yang ditangani oleh Zainal Abidin Asri. Dalam drama yang naskhahnya ditulis oleh Zarihah Hassan dan berjaya meraih 7 anugerah itu saya turut mengambil peranan kecil dan beliau adalah pelakon utama di samping Tamam Idris dan Asmahani Hussain. Selepas itu saya bertemu beliau sebagai pengadil di beberapa acara Pekan Teater Negeri Kedah dan Perlis (sekarang dikenali sebagai Festival Teater). Aktivis teater, Ahmad Yatim pula saya temui dan berbincang dengan beliau sewaktu berlangsung pementasan teater Imam (adaptasi novel karya SN Dato Abdullah Hussain oleh Zakaria Ariffin) di Auditorium Wisma Darul Aman lebih 10 tahun lalu. Manakala Ahmad Busu saya temui sewaktu prebiu teater Bahtera Emas Lapis Suasa (adaptasi Hikayat Terung Pipit karya dan arahan Haji Morad Ibrahim) di Auditorium Taman Budaya Negeri, Pumpong, Alor Setar pada 28.4.2008.Dalam pertemuan singkat dengan Zulkifli beberapa perkara diperbualkan.

Antaranya ialah beliau menggambarkan keinginan untuk balik ke Kedah untuk bergiat di bidang seni. Tetapi katanya anak-anak beliau tidak bersetuju kerana mereka adalah anak kelahiran Kuala Lumpur. Lalu saya menasihatkan agar beliau hanya balik ke Kedah sekali sekala cuma bila ada kegiatan. “Buat macam Ani Mayuni, Serena Chef Wan dan Zamri yang terlibat dengan produksi bangsawan Pak Morad tu,” cadang saya. “Berlatih sendiri di sini, bila ada persembahan balik.”Dengan serta merta saya teringat bahawa Allahyarham Ismail Din dan Ainina Ahmad B pernah buat begitu sedikit masa dahulu bila Haji Morad Ibrahim mementaskan teater berjudul Di Puncak Kesepian karya Motinggo Boesje.Di samping itu beliau juga ingin tahu perkembangan aktiviti seni di Kedah semenjak diterajui oleh kerajaan baru PAS. Lalu saya memaklumkan bahawa aktiviti berkenaan berterusan seperti biasa dan segala aktiviti kesenian di Alor Setar dikehendaki berlangsung di Taman Budaya Negeri, Pumpong kerana jika diadakan di luar di khuatiri kehadiran khalayak akan dianggap sebagai perhimpunan tanpa permit. “Baru-baru ini Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Dr Hamdan telah mengadakan pertemuan dengan NGO di Auditorium Taman Budaya,” beritahu saya.
Laporan akhbar berhubung dengan perkara itu ada saya laporkan dalam akhbar Siasah bertarikh 11 – 17 Mei, 2008 (Bilangan 0097).Ada beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan dengan produksi drama yang sebilangannya ditangani oleh penggiat berketurunan Melayu dan menganut agama Islam. “Ada di antaranya yang langsung tidak menghormati waktu sembahyang. Ketika azan berkumandang para crew dan sutradaranya sibuk meneruskan penggambaran. Jika mereka tak mahu bersolat pun sekurang-kurangnya hormatilah laungan azan itu. Bukannya lama sangat. Dalam bulan Ramadan pula ramai yang tidak mematuhi ibadat puasa dan makan di khalayak tanpa merasa segan silu,” ulas beliau.Berkaitan dengan soal-soal keselamatan juga turut disentuh.“Pernah dalam satu penggambaran, hampir terjadi kemalangan bila jurukamera sedang merakamkan pergerakan pelakon yang sedang memandu kenderaan. Sepatutnya sutradara atau pembantunya meminta supaya tiada sesiapa berada di laluan kenderaan terlibat. Tetapi beberapa orang masih berada di situ dan nyaris terjadi kemalangan,” ujar Zulkifli.Ada beberapa perkara lagi yang disentuhnya dan kebanyakan sutradara tidak memahami hubungan kostum dengan watak yang hendak digambarkan. Di samping itu ada juga mereka yang tidak dapat menerima pandangan yang dilontarkan oleh pelakon demi untuk meningkatkan mutu persembahan.

Beliau juga merungut tentang homework yang sepatutnya menjadi amalan pelakon atau sutradara. Sekadar contoh ialah persoalan naskhah.“Besok saya ada sesi penggambaran jam 1.00 tengah hari. Tapi sekarang dah jam 11.15 khabarnya skrip tak siap lagi. Entah-entah jadual penggambaran besok ditangguhkan,” ujarnya.“Itu sebabnya drama buatan Malaysia kurang menarik jika dibandingkan dengan yang diimport,” ulas saya.Barangkali ada produser yang kurang senang terhadap ulasan saya itu. Namun mereka harus berfikiran rasional. Biarpun tidak arif langsung berhubung dengan produksi drama, namun sebagai pengamat atau peminat saya juga ada hak bersuara. Kalangan produser sewajarnya memikirkan hal ini jika ingin melihat khalayak menikmati hidangan yang mereka sediakan itu.Sebelum berpisah sekitar jam 12.00 tengah malam Zulkifli memaklumkan bahawa sebuah akhbar yang begitu laris jualannya kerana setakat ini dilihat tidak memihak kepada mana-mana parti politik.“Menurut tinjauan saya secara rambang, edarannya kini mengatasi akhbar arus perdana,” katanya.“Akhbar apa?” tanya saya.

“Sinar Harian, cuba beli esok,” balasnya pendek.Sewaktu akan bertolak balik ke Alor Setar pada 3.6.2008 saya telah membeli senaskhah akhbar Sinar Harian di sebuah kedai runcit untuk dibaca dalam bas nanti. Pada sebelah atas di kanan muka depannya terpampang tajuk Harga minyak mungkin naik Ogos: Sharir di samping foto Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.Kenyataannya pada 2.6.2008 yang juga dipetik oleh akhbar arus perdana itu Shahrir membayangkan ‘kemungkinan harga petrol dan disel akan naik mulai Ogos depan’. Bagaimanapun ketika saya dan isteri berada di tempat biotrapi Alor Setar kami dimaklumkan oleh Encik Lim, Pengurus Jualan Sukamichi Alor Setar bahawa terdapat motokar berbaris panjang untuk masuk ke stesen pam minyak. Sejurus kemudian saya menerima pesanan ringkas (sms) daripada anak yang berada di Kuala Lumpur supaya mengisi petrol dalam ketiga-tiga tangki motokar yang dimiliki sebelum jam 12.00 kerana harga minyak akan dinaikkan pada 5.6.2008.Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah telah mengumumkan kenaikan harga bahan bakar (petrol dan disel) tanpa menunggu bulan Ogos seperti yang dibayangkan oleh Shahrir.

Tanpa membuang masa saya merujuk Kamus Dewan mencari makna istilah ‘mungkin’ seperti yang diungkapkan oleh Shahrir itu. Maksud istilah itu ialah tidak mustahil, boleh jadi dan harus. Setelah meneliti ungkapan berkenaan saya cuba menganalisa perkara tersebut secara umum.Barangkali Shahrir tidak faham maksud istilah ‘mungkin’ kerana ia adalah istilah bahasa Melayu yang kini kian terpinggir setelah subjek Matematik dan Sains diputuskan pengajarannya dengan pengantar bahasa Inggeris. Barangkali juga Perdana Menteri (Pak Lah) tidak sabar menunggu bulan Ogos atau pengurusan masa kini bukan suatu hal yang penting lagi.Berikutan dengan kenaikan harga minyak, ada cadangan agar anggota masyarakat menggunakan motosikal atau basikal untuk bergerak ke mana-mana. Bagi kebanyakan orang hal itu boleh memang boleh dilaksanakan. Namun saya tidak, kerana untuk pergi ke sana sini motokar adalah perlu. Sekalipun memiliki lesen menonggang motosikal, saya tidak berupaya menonggang motosikal atau basikal melainkan memandu motokar.

Sekitar jam 2.45 petang hari Jumaat 6.6.2008 saya menghubungi Haji Zulkifli yang ada pertalian keluarga dengan saya dan berkhidmat sebagai anggota polis di Sungai Petani. Dia memaklumkan ada demonstrasi sedang berlangsung di sana sejak lepas selesai solat fardu Jumaat bermaksud membantah kenaikan harga minyak.Di saat itu juga saya teringat slogan manifesto Barisan Nasional (BN) ketika menghadapi Pilihan Raya Umum 12 (PRU12) pada 8.3.2008; Selamat, Aman, Makmur. Jelas hal itu terus menjadi impian yang tidak dapat direalisasikan. Jika kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janji, kini janji tidak boleh dipegang lagi.

Tindakan memungkiri janji serta pembohongan telah menjadi perkara lumrah. Ketika akan menghadapi PRU12 dulu sehari dan beberapa ketika sebelum parlimen dibubarkan, Pak Lah menafikan ia akan menjadi kenyataan ketika ada wartawan bertanya mengenainya. Menjelang PRU12 budaya samseng turut diaplikasi dalam kempen oleh beberapa orang calon BN dan situasi sebegini berterusan ketika berlangsung sidang parlimen yang dapat disaksikan secara langsung menerusi radio dan televisyen.Saya lantas teringat kempen agar khalayak jangan dengar khabar angin tidak lama selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kini rasanya tiada siapa yang akan mematuhi kempen sedemikian jika dilaksanakan kerana khabar angin akan jadi berita benar tidak lama kemudian.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KHALED NORDIN JADI JURUCAKAP
MUSTAPHA HANYA TUTUP MULUT


Sebermula sekali persetua diceriterakan orang akan Menteri Pengajian Tinggi, Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Khaled Noordin mengakui kerajaan Melayu itu akan mengurangkan RM800 juta peruntukan di kementeriannya bagi menampung pelbagai bantuan kepada hamba rakyat sekalian. Syahdan akan peruntukan tambahan RM803 juta diberikan kepada kementerian pertanian bagi meningkatkan pengeluaran jangka pendek beras di dalam negeri termasuk menyediakan baja dan racun. Maka kata Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Khaled, kerajaan sudah membeli 500,000 tan beras dari benua Siam yang akan dihantar segera 100,000 tan. Berasa hairanlah fakir kerana Menteri Pertanian, Orangkaya Dato’ Mustapha Mohamad membenarkan Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Khaled bercakap bagi pihak kementeriannya. Alahai!

Arakian datanglah persalin; jika ada jadi Bendahara, lima ceper persalinannya – baju seceper, kain seceper, destar seceper, sebai seceper, ikat pinggang seceper. Jikalau anak raja-raja dan para menteri ceteria, empat ceper juga, ikat pinggang tiada. Jikalau bentara sida-sida hulubalang tiga ceper – kain seceper, baju seceper, destar seceper. Ada yang semuanya sekali seceper, ada yang tiada berceper; kain baju destar dibiru-biru sahaja, maka diampu oleh hamba raja; datang pada orang bergelar itu, disampaikan di lehernya. Demikianlah makmurnya negeri Melaka ketika itu, tiadalah rakyat jelata yang mengadu tak cukup beras untuk dimakan. Syahdan akan dagang santeri berulang aliklah dari negeri atas angin sampai ke bawah angin, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ dari:



HIDUP BAHASA MELAYU!