Wednesday, June 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERPADUAN MELAYU TAK TERJEJAS
MASYARKAT KAMPUNG TERUSKAN TRADISI

Assalamualaikum,

Ahad lalu (1 Jun 2008) saya ke Cangkat Jering, Taiping menghadiri majlis kahwin anak angkat saya Azrai. Poster pilihanraya masih di pokok-pokok, tiang elektrik atau di mana-mana sahaja sudah mula kusam, hingga gambar calon juga tak berapa jelas. Perpaduan Melayu tetap tercerna sekalipun kononnya berlaku perpecahan masyarakat berikutan keputusan PRU12 yang serba kalut, kelabut dan karut! Masyarakat Melayu di kampung meneruskan tradisi gotong royong, dengan belia-belia menghidang makanan di samping gadis-gadis menyampaikan bunga telur. Begitulah! Bagaimanapun saya tak sempat menunggu anak angkat saya bersanding, disebabkan mahu cepat ke Bagan Datoh untuk menjengah bapa mertua yang masih kurang sihat.

Isnin (2 Jun 2008), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon mengajak teh tarik selepas beliau selesai memberikan kuliah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di samping Sdr Omar Sudi Abdul Manan memberitahu masih lagi di Port Dickson turut serta dalam seminar anjuran UMNO Selangor. Memang beliau masih aktif sekalipun usia sudah menjangkau kategori ‘warga emas’, malah mahu meneruskan agenda penubuhan ‘Telapak Budaya’ ke arah pemupukan budaya nasional berteraskan kebudayaan Melayu. Dato’ Dr Mohd Mansor pula beritahu mengenai insiden beliau gagal merebut pimpinan Dewan Persuratan Melayau Pahang (DPMP) apabila tewas tiga undi kepada Dato’ Tan Alauddin menerusi undi terbuka. Sebelumnya L Mankadir Shamsi mendesak dijalankan ‘undi sulit’ bagi pertandingan jawatan pimpinan.

Selasa (3 Jun 2008) Sdr Mohd Ezam Mohd Noor mengirim SMS dari Jakarta, di samping meminta PRIMA meneruskan cita-cita murni ‘menentang perhambaan minda manusia kepada manusia’. Sdr Mohd Ezam baru sahaja memproklamir menyertai semula UMNO yang seharusnya dihormati sebagai kebebasan intelektual dalam menentukan wadah pilihan menggerakkan kesinambungan perjuangannya menolak naratif rasuah dan salah guna kuasa. Sebagai pimpinan GERAK mungkin sahaja Sdr Mohd Ezam memang memiliki pengalaman bermakna bagi dimanfaatkan apabila beliau kembali menyertai UMNO, ketika senario politik semakin mencabar, mendebar dan membebar!

Petang (3 Jun 2008) teh tarik pula bersama Dato’ Ahmad Bujang, Dato’ Dr Mohd Mansor, Sdr Omar Sudi Abdul Manan, Sdr Said Anuar dan Sdr Zainal Alam di D’ Palma di Ampang dengan cucur cempedak, goreng pisang, goreng sukun dan cucur tepung. Aduh enaknya! Secara spontan Dato’ Ahmad Bujang yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berpendapat bagi memulihkan semula prestasi UMNO, adalah wajar dimansuh sekatan kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan Gred A aktif berpolitik. Sekatan untuk aktif berpolitik yang dikenakan kepada pegawai-pegawai Gred A seolah-olah memisah mereka dengan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PAKAR KAUNSELING BERASA KELIRU
INDUSTRI TERNAKAN BABI DIBENARKAN

Keputusan membenarkan industri ternakan babi digerakkan di Sepang, di samping langkah menghalang program ‘Islam Hadhari’ di Selangor memperlihatkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dipengaruhi parti komponennya, menurut mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Memberitahu sekretariat PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pakar kaunseling menjelaskan, program ‘Islam Hadhari’ digerakkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat kerajaan Pusat. Katanya lagi, masyarakat Islam berasa tersinggung dengan keputusan yang mengelirukan apabila kerajaan negeri membenarkan industri ternakan babi dan menolak program ‘Islam Hadhari’.

“Mungkin sahaja industri ternakan babi memberi input yang lumayan, sementara program ‘Islam Hadhari’ disalurkan kepada masyarakat Islam sahaja,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya. Bagaimanapun beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor, sekiranya konsep ‘Islam Hadhari’ itu dianggap tak menepati pemikiran Islam, ianya tetap ‘majlis ilmu’ yang digalakkan. Seterusnya beliau menjelaskan, kalau pendekatan ‘Islam Hadhari’ dianggap salah, justeru secara perundangan Islam pihak yang menuduh perlu menunjuk perkara-perkara yang ditakrif ‘salah’ itu. Sebaliknya beliau menegaskan, hasil daripada industri ternakan babi tetap salah apabila ianya disalurkan kepada ‘majlis ilmu’ yang digerakkan oleh masyarakat Islam.

INFO SASTERA & BUDAYA

SELANGOR TOLAK PENYAIR PRIMA
MALAM ‘KARYAWAN 2’ DI SHAH ALAM

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim disifatkan menolak penyair-penyair PRIMA menyertai ‘Malam Karyawan 2’ pada 7 Jun 2008 ini, menurut aktivis PRIMA Sdr Yassinsalleh. Beliau memberitahu, ketika Tan Sri Khalid menganjurkan ‘Malam Karyawan 1’ di kediamannya No 26 Jalan Setiabakti 5, Bukit Damansara sehari sebelum pembubaran Parlimen iaitu 12 Februari 2008. PRIMA diminta bekerjasama menjayakan majlis berkenaan dengan menjemput beberapa penyair PRIMA mendeklamasikan puisi. “Memang saya terbabit mendeklamasi puisi pada majlis Malam Karyawan 1 di kediaman Tan Sri Khalid atas kapisiti aktivis PRIMA yang prihatin dengan perjuangan Bahasa Melayu,” menurut Sdr Yassinsalleh.

Sebaliknya selepas PRU12 dengan membentuk kerajaan negeri bersama komponen Pakatan Rakyat, ‘Malam Karyawan 2’ bukan sahaja berhijrah dari kediaman Tan Sri Khalid di Bukit Damansara ke Dewan Jubli Perak, bangunan Setiausaha Kerajaan di Shah Alam, malah mungkin membabitkan kehadiran ahli Exco kerajaan negeri Selangor yang tak pernah dilihat kelibatnya pada ‘Malam Karyawan 1’, jelas Sdr Yassinsalleh. Seterusnya beritahu Sdr Yassinsalleh karyawan yang diundang khas oleh Tan Sri Khalid pula ialah SN Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Saddiq Fadzil dan Eddin Khoo. “Tapi PRIMA menggerakkan aktiviti tak bergantung kepada sokongan mana-mana kerajaan negeri,” beritahu Sdr Yassinsalleh seterusnya.

PENA HANTAR WAKIL MENYERTAI:
PERTEMUAN PENYAIR DI JAWA TENGAH

Persatuan Penulis Nasional (PENA) akan menyertai ‘Pertemuan Penyair di Kediri’, Jawa Tengah, Indonesia 1 – 5 Jun 2008 sebagai kesinambungan pertemuan sebelum ini yang digerakkan di Medan, beritahu aktivis PENA Sdr Ismas Saring. Setakat ini kata Sdr Ismas kepada sekretariat PRIMA, Dr Ibrahim Ghafar sudah menyatakan kesediaannya bagi menyertai pertemuan tersebut. Di samping membentangkan kertas kerja bagi pihak Malaysia, Dr Ibrahim dijangka turut mendeklamasikan puisi-puisinya, beritahu Sdr Ismas seterusnya. “Pembabitan PENA dalam aktiviti di luar Malaysia, memperlihatkan prihatin ormas (organisasi massa) itu terhadap pembangunan sastera di nusantara,” menurut Sdr Ismas yang tak dapat ikut serta dalam pertemuan tersebut.

Sdr Ismas antara aktivis PENA yang sering menjelajah ke seluruh nusantara dengan puisi-puisinya, mengalami masalah kesihatan baru-baru ini di samping sudah dua bulan tak ikut mendeklamasi puisi di laman Rumah PENA. Sejak beberapa tahun lalu PENA menganjurkan deklamasi puisi pada awal minggu pertama setiap bulan, sebagai aktiviti bulanan yang terterusan. Di samping Sdr Ismas ramai penyair-penyair PENA mengambil bahagian termasuk Yassinsalleh, M. Ashikin (Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah), Dr Ahmad Razali, S.M. Zakir, Dr Ibrahim Ghafar, Ahmad Sarju, AGI dan ramai lagi. “Insya Allah saya akan kembali mendeklamasi puisi di Rumah PENA sebagai aktiviti yang tetap berterusan,” beritahu Sdr Ismas menambah.

INFO SUARA PROLITAR

SURI RUMAH SEMAKIN KECEWA
BARANG NAIK SELEPAS BN TUMBANG

Kalangan suri rumah di sekitar Bagan Datoh melahirkan rasa kecewa berikutan kenaikan harga barang yang ketara selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan di Perak, di samping sukar menerima alasan yang diberikan mengenai kekurangan bahan makanan di peringkat global. Salah seorang suri rumah di Sungai Haji Muhammad dikenali Makngah Rahmah, 76 bertekad mahu menemui perayu-perayu undi yang memberi jaminan harga barang terkawal sekiranya BN tumbang. “Saya mahu jumpa semula perayu-perayu undi itu, kerana sekarang BN tak memerintah lagi di Perak,” katanya kesal. Beliau turut mengakui harga beras yang paling murah bagi kampit 10 kg ialah RM28, berbanding sebelum PRU12 ialah RM15.50.

HARAPAN PEKEBUN KECIL KELAPA
AGENSI SEPERTI ‘RISDA’ DIGERAKKAN

Kejatuhan harga kelapa memberi implikasi kepada pekebun-pekebun kecil kelapa berikutan kenaikan harga barang keperluan yang mendadak. Justeru mereka berharap kerajaan perlu mewujudkan agensi seperti ‘Risda’ bagi menangani masalah pekebun-pekebun kecil kelapa, terutama bantuan yang diberikan kepada pekebun-pekebun kecil getah di negara ini. Menurut mereka lagi, pekebun-
pekebun kecil getah mendapat sokongan kerajaan menerusi agensi ‘Risda’, sebaliknya pekebun-pekebun kecil kelapa terpaksa berjuang sendiri meneruskan kehidupan. “Pekebun kecil kelapa tak berpeluang mendapat rancangan tanam semula seperti pekebun kecil getah yang diuruskan oleh Risda,” beritahu seorang pekebun kecil kelapa di Bagan Datoh dikenali Pak Andak, 79.

IMPAK KEKALUTAN POLITIK MALAYSIA:
BAKAR PISANG ‘ANGUS ADE MACAM IDAK’!

Agenda CIA dah nampak impak pada senario dalam kekalutan politik Malaysia. Mereka dah berjaya 70 peratus (respon PRIMA dijadikan ‘lepas jambatan tongkat dibuang’ oleh penganjur ‘Malam Karyawan 2’). Jangan tunggu Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan! Jangan juga jadi Lebai Malang lagi malang bertambah malang; yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Lebih baik jadi Pak Pandir, harga beras naik bakar aje pisang muda – angus ade macak idak – pun tak apa. Beralas juga perut! (SMS; 1 Jun 2008 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

MINTA BERDIALOG DENGAN PENULIS MELAYU
BUKAN TAKAT PESTA-PESTAAN ‘MALAM KARYAWAN’

Itu mainan politik (respon PRIMA dijadikan ‘lepas jambatan tongkat dibuang’ oleh penganjur ‘Malam Karyawan 2’). Kontek Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) minta dia berdialog dengan penulis Melayu. Banyak isu mengenai Melayu, Islam, ekonomi, politik. Bila-bila kita boleh berbahas dengan dia, bukan takat pesta-pestaan ‘Malam Karyawan’ aje! (SMS; 1 Jun 2008 – Yahaya Ismail, Petaling Jaya, Selangor).

SUKAR TEMUI NEGARAWAN BANGSA
NAFSU KUASA MELEBIHI SEGALANYA!

Salam Pak Dharma. Saya di Jakarta bertemu kawan-kawan di sini jelaskan sikap dan pendirian saya. Akan kembali (ke tanah air) akhir minggu. Hajat nak bertemu rakan-rakan di PRIMA nanti. Saya simpati (respon PRIMA dijadikan ‘lepas jambatan tongkat dibuang’ oleh penganjur ‘Malam Karyawan 2’). Kita sukar temui negarawan bangsa. Kebanyakan nafsu berkuasa melebihi segala-galanya. Wassalam. (SMS; 2 Jun 2008 – M.Ezam, Jakarta, Indonesia).

KAYA BUKAN DI SEGI MATERIAL SAHAJA.
Oleh : ASALBAYU

MEMBACA blog Sdr Mohd Sayuti Omar (http://msomelayu.blogspot.com) berkaitan peingatan arwah ayahnya, Omar bin Othman dengan madah; hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin lantas mengingatkan saya terhadap tafsiran saya tentang miskin sebelum ini.Dulu saya menyangka bahawa jika tidak memiliki duit atau material seseorang itu dianggap miskin dan tentulah dipandang hina oleh anggota masarakat. Persepsi saya juga menyatakan kekayaan material itu membahagiakan.Namun sebenarnya ia tidak begitu tepat. Memiliki pengetahuan yang banyak juga adalah kekayaan, sementara kesihatan adalah kekayaan yang tidak ternilai harganya.Saya menydarinya selepas diserang strok pada 17.9.1999 sehingga mengakibatkan sebahagian badan lumpuh dan terlantar di rumah selama 6 bulan. Alhmdulillah kini saya semakin pulih dan berupaya memandu motokar.Sebagai di antara tanda bersyukur, saya sedang menyusun sebuah buku sepanjang 18 bab menceritakan pengalaman peribadi untuk dipasarkan selewat-lewatnya awal tahun 2009 akan datang. Sementara itu, sebahagian daripadanya bolehlah dibaca dalam blog saya dengan menjenguk http://asalbayu-bangkitsemula.blogspot.com



KOMENTAR
Bersama Pak Parjo.

SARANAN DARI SEORANG SAHABAT
WUJUDKAN RANGKAIAN KEDAI BUKU DBP

Sebermula diceritera oleh orang yang empunya ceritera, akan sahabat fakir mengakui mahu membeli kitab-kitab (yakni buku-buku seperti disebut orang banyak) yang diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Maka berasa hampalah sahabat fakir apabila tak menemui sebuah pun rumah kedai yang meletak papan tanda yang disurat ‘Kedai Buku DBP’, adanya. Syahdan akan kitab-kitab dari DBP itu kononnya dijual orang di kedai-kedai yang papan tandanya disuratkan pedagang-pedagang lain. Maka berasa hairanlah sahabat fakir kerana DBP yang menerbit kitab-kitab, tetapi tak mempunyai rumah kedai sendiri bagi menjual kitab-kitabnya. Arakian akan Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein pun sekadar menerima laporan yang molok-molok sahaja dari pegawai-pegawai, gamaknya!

Syahdan negeri Melaka makin makmurlah, masyhurlah peri kebesaran Melaka itu dari atas angin datang ke bawah angin. Maka oleh segala Arab dinamainya Malakat, tempat perhimpunan segala dagang. Adapun zaman itu sebuah negeri pun tiada menyamai Melaka, melainkan Pasai dan Haru, tiga buah negeri itu juga sama besarnya. Tua muda pun rajanya berkirim salam juga. Tetapi orang Pasai barang dari mana surat datang, jika salam pun dibacakannya sembah juga. Arakian disuratkan orang banyak ketiga-tiga negeri besar itu semuanya yang molok-molok sahaja, hingga sekalian orang-orang besar merasakan tak ada cacat cela di dalam negeri. Maka pada sekali peristiwa ada seorang Tun Bahara namanya dari Pasai, pandai ia bercatur sambil bersyair, berbait, bergurindam dan berseloka seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!