Saturday, November 29, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

ORANG MELAYU KUALA TERENGGANU
MENGAJAR BAGAIMANA HARGAI PEMIMPIN!

Assalamualaikum,

Takziah! PRIMA mengucapkan belasungkawa kepada keluarga Timbalan Menteri Pelajaran Dato’ Razali Ismail. Sekalipun pimpinan PRIMA tak kenal rapat dengan Allahyarham, tetapi sebagai pimpinan negara beliau wajar diberi penghormatan. Setidak-tidaknya sumbangan beliau sama ada kecil mahupun besar adalah demi kepentingan negara Malaysia. PRIMA juga menyampaikan rasa sedih dengan kemangkatan bekas Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah Tengku Ismail apalagi pembabitan baginda dengan pasukan Pandu Puteri Tanah Melayu di samping pernah mewakili negara ke Jamburi Pandu Puteri di Australia sekitar dekad 1950-an. Pemergian tokoh-tokoh terbabit selaras dengan perbilangan orang tua-tua kita: ‘Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama terbilang!’

Dato’ Razali mungkin sahaja aktivis masyarakat terkemuka di Terengganu sebelum penampilan baliau dalam pimpinan negara. Bagaimanapun secara historikal, Terengganu juga melahirkan ramai tokoh-tokoh nasionalisme sejak pra merdeka termasuk Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tan Sri Ibrahim Fikri (Muhammad), Dato’ Wan Kadir Ismail, Daud Abdul Samad malah pada Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur 1-4 Mac 1946, Terengganu turut menghantar delegasi iaitu Dato’ Nara dan Tan Sri Ibrahim Fikri. Kehilangan Dato’ Razali yang meninggal dunia semalam (28 November 2008), menyebabkan kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang pasti akan digerakkan pilihanraya kecil.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu memang kerusi sentimental kepada parti politik pembangkang, kerana sering kali bertukar tangan antara UMNO dan PAS. Apalagi pada pilihnaraya 1974, kawasan Parlimen berkenaan hampir pula jatuh ke tangan PRSM yang mencalonkan Dr Kassim Ahmad. Ketika itu PAS menyertai BN meletakkan Dato’ Mustapha Ali menjadi calon, selepas mendominasi kawasan Kuala Terengganu pada pilihanraya 1969. Maknanya, kawasan Kuala Terengganu terdedah kepada kerapuhan UMNO, sekiranya pembangkang meletakkan calon berketerampilan. Malah Allahyarham Pak Sako mengakui, masyarakat di Terengganu lebih senang menerima pemimpin luar sekiranya aktivis tempatan ‘wal hasil balik hasal, wal hasal balik hasil’. Heh heh heh!

Pejuang nasionalisme seperti Pak Sako mengakui, ketika beliau menjadi buruan penjajah Inggeris sekitar 1930-an, orang Melayu di Terengganu melindungi beliau. Apalagi Tan Sri Ibrahim Fikri sebelum menyertai UMNO, memang tokoh radikal yang bergerak dalam PKMM. Begitulah! Tak hairanlah pada pilihanraya 1959, orang Melayu Terengganu tak teragak-agak membawa Dato’ Onn Jafaar pemimpin Parti Negara untuk bertanding di Kuala Terengganu, melawan pimpinan UMNO tempatan Dato’ Engku Mohsein Abdul Kadir. Apabila orang Melayu Johor Bahru melupakan jasa bakti Dato’ Onn, orang Melayu Kuala Terengganu mengajar mereka di Johor bagaimana menghargai pemimpin berjasa, apabila Dato’ Onn menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Sokonglah calon, bukan sokong parti (pinjam kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad)!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

NEGARA ISLAM TAK BERSUARA
KEGANANSAN MENINDAS UMATNYA

Serangan di Bombai, India semalam (28 November 2008) hampir menenggelamkan isu keganasan di selatan Thailand, Palestin, Afghanistan dan Iraq. Media barat secara gelojoh menyifatkan keganasan sebagai gerakan militan Islam, di samping menyembunyi kepongahan Israel dan Amerika Syarikat (AS). Apalagi agensi berita ‘Reuters’ tiga daripada militan yang ditahan ialah kumpulan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan. Secara tak langsung ianya menganggap Pakistan terbabit dalam serangan ganas ke Mumbai. Malah pihak militan pula mensasarkan bangunan hotel yang menempatkan pusat agama Yahudi, di samping banyak pihak tak menyangka di India juga gerakan mubaligh Yahudi begitu terancang. Ironinya, kerajaan Malaysia tak banyak bersuara mengenai isu keganasan berkenaan, tetapi sekadar usaha menyelamat warga Malaysia yang terkandas di Mumbai.

Memang kita tak mahu Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi campur tangan urusan dalam hal ehwal negeri India, tetapi setidak-tidaknya Malaysia juga wajar mempunyai pendirian dalam isu keganasan global. Apalagi Menteri Luar Dato’ Seri Dr Rais Yatim sebelum ini sekadar ‘tunggu dan lihat’ dalam isu-isu keganasan. Memang kita menolak unsur-unsur keganasan, tetapi pendirian Malaysia juga perlu jelas apabila ianya menyentuh kepentingan Islam. Kita mengutuk keganasan sama ada ianya dilakukan oleh militan Islam atau bukan Islam, sebaliknya kita tak seharusnya berdiam diri apabila negara-negara Islam dilabel sebagai ‘pengganas’. Penindasan ke atas warga Islam di selatan Thailand, Filipina, Palestin, Afghanistan dan Iraq perlu sokongan bersepadu daripada negara-negara Islam sebagai tanggungjawab bersama. OIC hampir tak berfungsi hingga aktivis Islam tak tahu mengenai hala tuju pemimpin-pemimpin negara Islam. Barangkali!
.
INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL IKRAM HAFIZ DIPILH BTP:
BAHAN BACAAN TAMBAH DI SEKOLAH

Novel sains fiksyen ‘Jauh Di Pulau Rahsia’ karya tunggal peninggalan Allahyarham Ikram Hafiz yang diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprise akan disalurkan ke sekolah-sekolah menengah tak lama lagi sebagai bacaan tambahan selepas ianya dipilih oleh Biro Teknologi Pendidikan (BTP), kementerian pelajaran menerusi skim biro berkenaan, jelas penerbitnya Haji Abu Bakar Ninggal. Beliau memberitahu pihak BTP memaklumkan novel berkenaan sudah diminta kepada pembekal-pembekal menghubungi pihak penerbit bagi urusan selanjutnya. Novel berkenaan baru-baru ini disiarkan secara bersiri di dalam blog PRIMA, selepas berpulangnya ke rahmatullah Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 berikutan terbabit dalam kemalangan jalanraya di Ijok, Kuala Selangor dalam perjalanan balik ke rumah dari kampusnya di Universiti Industri Selangor (Unisel).

Sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Teknik Gombak, Ikram Hafiz turut menulis rencana ‘human interest’ bagi majalah ‘Intisari’ yang diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises. Beliau juga membantu Haji Abu Bakar membekalkan gambar-gambar foto kepada majalah berkenaan, kerana beliau berminat dalam fotografi. Di samping majalah ‘Intisari’, Ikram Hafiz juga membantu akhbar tabloid ‘Pentas Dunia’ yang diterbitkan oleh Hajjah Fauziah Raof. Bagaimanapun ketika memasuki IPTA/IPTS, Ikram Hafiz tak memilih kursus ‘mass-com’ yang ditawarkan oleh UiTM sebaliknya cenderung kepada kursus ‘komputer industri’ daripada Unisel. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden tersebut, ketika balik ke rumah untuk mengambil buku pengajian kerana tak sempat dibawa semasa balik ke asrama sebelumnya.

Di samping novel ‘Jauh Di Pulau Rahsia’ menurut Haji Abu Bakar, buku cerita-cerita rakyat ‘Awang Kitang’ susunan Dharmala N.S. (Pak Dharma) juga turut dipilih oleh BTP bagi bacaan tambahan di sekolah-sekolah menengah. Pak Dharma yang juga ketua penyelidik dengan Jawatankuasa Penyelidik Budaya Muzium Negeri Sembilan, banyak mengumpulkan cerita-cerita rakyat Negeri Sembilan khususnya di daerah Jelebu. Awang Kitang merupakan penutur cerita-cerita rakyat dengan Awang Kitang terakhir dikenali Tok Burok yang mempunyai pertalian keluarga dengan Pak Dharma. Justeru kata Haji Abu Bakar, cerita-cerita Awang Kitang yang disampaikan oleh Pak Dharma adalah karya asli yang dituturkan oleh Tok Burok yang meninggal dunia sekitar dekad 1950-an. “Syukurlah pihak BTP prihatin dengan cerita-cerita rakyat yang seharusnya diberi ruang untuk diketengahkan,” beritahu Haji Abu Bakar.

PUISI LAMA

Puisi Adat Bernegeri


Asal kata sejak perbilangan
Tau nan kocik, dek nan godang
Tau nan godang, dek nan tuo
Tatkala buluh bilah ditanam
Bosi berdenting, puntung berasap.

Segenta hitam gagak putih
Nenek gadis, datuk bujang
Sezaman itulah adat senda menyemenda
Kemudian negeri dah lebar, orang dah ramai
Adat bertentu, bilang beratur
Duduk di dalam suku
Kok pandang ke hilir batang tak melintang
Kok pandang ke hulu pucuk tak terhampar
Maka di dalam adat, semenda menyemenda.

Duduk di dalam alam beraja
Duduk berpenghulu, berluak
Duduk dalam suku, bertua
Iaitu berlembaga memegang adat
Besar mengukuhi, buapak beradat
Anak buah berserta waris-soko mematuhi
(Bukan berebut-rebut macam UMNO
ahli akar umbi dipaksa mematuhi saja!)

-Alba,
Jelebu, N.S.
28 November 2008.


INFO SUARA PROLITAR

HARAMKAN SEKS DI KALANGAN ISLAM
1001 PERGERAKAN DALAM ‘KAMASUTRA’

The Fatwa Council has banned sex amongst Muslim as it is Hindu act sighting the 1001 positions mentioned in ‘Kamasutra’, some of which practiced by proponnents of Islam Hadhari themselves - (SMS; 29 November 2008; 00:13:15 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KETUANAN MELAYU TERUS DIPERTIKAI:
PERKONGSIAN KUASA BAGAIMANA DIMINTA?

Syahdan terlalu berang Orangkaya Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek mendengar kata-kata bekas Orangkaya Menteri Kesihatan Dato’ Seri (Tabib) Chua Soi Lek kerana menyentuh ketuanan Melayu. Sebermula akan Dato’ Seri (Tabib) Chua Soi Lek itu berkata, ketuanan Melayu tak sesuai lagi pada segala anak-anak muda. Maka ia mahukan perkongsian kuasa hendaklah sama rata dengan semua orang banyak. Sebelum itu menjadi gemparlah orang-orang Cina dalam negeri Melayu itu, apabila Dato’ Seri (Tabib) Chua Soi Lek tak terpilih menjadi menteri. Hatta ketua segala orang Cina Dato’ Seri Ong Tee Kiat sudah memberitahu, tak menjadi menteri pun Dato’ Seri (Tabib) Chua Soi Lek memang diberi tanggungjawab besar. Akan tetapi keberangan Orangkaya Dato’ Ahmad Shabery itu tak menggerunkan sesiapa.

Arakian Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Nazri Aziz itu tak senang dengan perkataan Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tengku Naqiuddin yang mahukan kekebalan raja-raja Melayu dipulihkan semula. Syahdan akan Dato’ Seri Nazri itu menyindirlah ia kerana Tengku Naqiuddin mahukan ayahandanya Tuanku Jaafar tak dikenakan hukuman membayar hutang kepada syarikat kewangan, adanya. Sebermula tersebutlah alkisah Sultan Muhammad Shah di Selangor pada 1836 hendak dipenjara baginda kerana berhutang 30,000 ringgit kepada saudara Cina di Melaka sekalipun kekebalan raja-raja dikuatkuasakan. Maka hutang baginda itu dijamin oleh Raja Jumaat dari Lukut. Selepas daripada itu jadilah Raja Jumaat itu menantu baginda, adanya.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan Raja Shahru’n-nuwi; terlalu besar kerajaan baginda itu, dan terlalu banyak hulubalangnya dan rakyat tiada terpemenai lagi. Diceriterakan orang akan perihal besarnya negeri Melayu Samudra itu. Maka diserang oleh Raja Shahru’n-nuwi atau benua Siam negeri Samudra itu, rajanya ditawan dijadikan gembala ayam. Maka pergilah menteri Sidi Ghiyathu’d-Din ke benua Siam menyamar sebagai saudagar Arab. Setelah sampai dipersembahkan kepada Raja Shahru’n-nuwi bermacam-macam emas permata. “Apa juga kehendakmu kepada aku, supaya aku beri akan kamu?”. Tiadalah Sidi Ghiyathu’d-Din itu memberitahu akan kehendaknya. Apabila sampai musim berangkat pulang, pergilah Sidi Ghiayatu’d-Din menghadap raja Shahru’n-nuwi. “Mohonlah hamba pengembala ayam itu, kerana ia orang Islam sukalah saya mengambilnya,” kata Sidi Ghiyatu’d-Din. Mendengar cakap menteri Sidi Ghiyatu’d-Din, diperkenanlah oleh raja Siam kerana sudah menerima persembahan yang mahal-mahal itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!