JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
YANG GUGUR & YANG SUBUR
MENJELANG PENAMAAN CALON
Assalamualaikum,
Aktivis PRIMA Sdr Zakaria Bidin mengirim SMS (20 Februari 2008) bertanyakan calon yang akan bertanding dalam pilihanraya ke 12 nanti, menjelang hari penamaan calon 24 Februari 2008 bagi kawasan Parlimen Gombak. Hingga 19 Februari 2008 pun Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan pun masih belum dapat memberikan maklumat. Apalagi semua peringkat masih berahsia mengenai calon-calon yang akan gugur mahupun terus subur menelusuri legasi selaku wakil rakyat dalam senario politik yang serba kalut, melalut dan berkelabut. Aduhai! Bagaimanapun berita TV jam 8.00 malam (20 Februari 2008), Melaka, Terengganu dan MIC secara rasmi memproklamir calon-calon mereka di semua peringkat.
Apalagi MIC dengan kepongahan Presidennya Dato’ Seri Samy Vellu meneruskan dominasi politiknya di Parlimen Sungai Siput, hanya akan berundur dari politik apabila mampu ditewaskan oleh calon lain. Cabaran tersebut sewajarnya diterima oleh majoriti pengundi di Sungai Siput dalam terma politik mutakhir iaitu ‘memilih calon bukannya memilih parti’. Setidak-tidaknya peluang terbaik bagi pengundi-pengundi di Sungai Siput memberi mesej kepada sesiapa calon yang enggan berundur secara terhormat, segera mencari alternatif: ‘Kalau mahu tahu lebarnya pantai tanyalah kepada camar; kalau mahu tahu tingginya awan tanyalah kepada helang, kalau mahu tahu suramnya senja tanyalah kepada tabtibau, kalau mahu tahu panjangnya kemarau tanyalah kepada bebarau.” Begitulah!
Di Melaka khabarnya Dato’ Mohd Said Yusuff digugurkan daripada mempertahan Parlimen Jasin. Spekulasi sejak awal lagi memang kelantangan suara Mohd Said ketika berbahas di Dewan Rakyat meletakkan peluang beliau terjejas, terbias dan terpulas. Heh heh heh! Tak tahulah dengan kedudukan rakan-rakannya yang juga turut bersuara lantang seperti Dato’ Muhammad Aziz (Sri Gading), Dato’ Badruddin Amiruldin (Jerai) dan Dato’ Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan). Mungkin sahaja besok (21 Februari 2008) senarai calon diproklamir akan membabitkan mereka, almaklumlah! Bukan sahaja Mohd Said Yusuff digugurkan, mungkin ramai lagi di peringkat DUN tak berpeluang meneruskan legasi YB asal sahaja ‘terlalu pantas’ mara ke hadapan (menurut Dato’ Seri Chua Soi Lek).
Keputusan pilihanraya di Pakistan (18 Februari 2008) meletakkan Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Allahyarham Benezir Bhutto mendahului majoriti, diikuti Liga Muslim (PML-Q) di bawah Nawaz Shariff di samping (PML-N) ketinggalan, iaitu sebagai mesej kepada Presiden Pervez Musharaf kepongahan pimpinannya sudah berakhir. Sekalipun PPP dikatakan pro Amerika Syarikat, tetapi rakyat Pakistan bersedia memberi laluan kepada keluarga Bhutto bagi menyingkirkan Musharaf yang dianggap ‘bayi dalam buaian AS’. Apakah bagi tempoh 18 Februari 2008 di Pakistan mampu membawa angin perubahan di Malaysia pada 8 Mac 2008 ini? Entahlah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
PROVOKASI MAJLIS BANDARAYA
SAH TERENGGANU 8 NEGERI PANAS
Provokasi penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menurunkan poster PAS di Bulatan Batu Enam (19 Februari 2008) mengesahkan kenyataan Ketua Polis Negeri, Tan Sri Musa Hassan, Terengganu antara lapan negeri dalam keadaan ‘panas’ pada pilihanraya 8 Mac 2008 nanti. Sambil mengecam tindakan ‘bacul’ MBKT, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, provokasi yang dibuat oleh MBKT adalah jelas didorong oleh keadaan terdesak UMNO dan BN di Terengganu. Pihak MBKT sepatutnya menghantar notis, atau mengambil tindakan kepada PAS membayar denda kerana melangar peraturan memasang poster bukan menurunkan poster berkenaan sebagai provokasi mahukan PAS bertindak balas, kata Dato’ Kamal Amir.
“Tindakan MBKT jelas diarahkan oleh kerajaan sementara di Terengganu, apabila Menteri Besar Dato’ Idris Jusoh dalam keadaan terdesak,” menurut Dato’ Kamal Amir mengulas insiden yang berlaku di Kuala Terangganu itu. Seterusnya beliau menambah berlaku percanggahan fakta dalam laporan media mengenai insiden tersebut, apabila TV3 menerusi ‘Buletin Perdana’ menyebut penyokong PAS tak menghalang langkah MBKT hanya diperingkat akhir berlaku sedikit kekecohan. Sebaliknya akhbar arus perdana Utusan Malaysia (selepas ranapnya ‘Utusan Melayu’) menyebut keadaan semakin kecoh apabila kehadiran Dato’ Abu Bakar Chik (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu), ujar Dato’ Kamal Amir selanjutnya.
AWANG ADEK BAKAL MB KELANTAN
PENGUNDI JANGAN HARAP GURUH DI LANGIT
Pengumuman Barisan Nasional (BN) akan melantik Dato’ Dr Awang Adek Hussin menjadi Menteri Besar Kelantan sekiranya UMNO berjaya merampas negeri itu pada pilihanraya 8 Mac ini adalah dialu-alukan, menurut aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar. Bagaimanapun beliau mengingatkan pengundi-pengundi di Kelantan tak membiarkan diri terjerumus ke dalam fenomena ‘harapkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan’. Haji Mohd Sayuti yang juga penganalisis politik memberitahu, kewibawaan Dato’ Dr Awang Adek di samping kedudukannya selaku Timbalan Menteri Kewangan, memang mampu menjadi ketua pentadbir kerajaan negeri. “Bagaimanapun kewibawaan sahaja tak cukup, kerana pendekatan yang dibawa oleh UMNO di Kelantan masih tidak telus, malah dipertikai oleh majoriti ahli UMNO sendiri,” jelasnya.
Seterusnya Haji Mohd Sayuti memberitahu, dalam beberapa siri program lawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri itu, termasuk juga pelaksanaan ‘perkampungan Hadhari’ lokasi yang dijadikan tumpuan ialah di kawasan Dato’ MustaphaMohamad, Dato’ Annuar Musa dan Dato’ Awang Adek sendiri seolah-olah pimpinan UMNO di Kelantan terletak di tangan mereka bertiga. Justeru ketua-ketua UMNO di Bahagian lain termasuk juga yang didominasi oleh PAS, merasakan mereka seolah-olah dipinggirkan dalam menggerakkan jentera parti di negeri itu, menurut Haji Mohd Sayuti lagi. “Dalam tempoh selepas pilihanraya 2004, kawasan Gua Musang tak pernah diberi perhatian dalam program lawatan Pak Lah ke Kelantan atau menggerakkan ‘perkampungan Hadhari’,” ujarnya menambah.
INFO SASTERA & BUDAYA
GLORI NAMA ‘ISTANA BUDAYA’
SEKADAR BANGUNAN TERSERGAM
Konsert ‘Penyayang Malaysia’ yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bermula 13 Februari 2008 lalu, bertempat di ‘Istana Budaya’ sekadar mengisi aktiviti kesenian di bangunan tersergam itu, kerana ianya tak mampu melestarikan minda bagi mengangkat nilai kebudayaan Melayu sebenar, kata pakar kaunseling dan aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, pengisian dalam melonjakkan Istana Budaya sebagai pusat kebudayaan nasional jauh tersasar daripada yang diungkapkan oleh bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris apabila mengumumkannya di Ipoh pada April 1980.
Pengarang novel ‘Daerah Tercinta’ tercinta itu memberitahu ketika Hari Sastera di Ipoh, Tan Sri Abdul Samad menyebut: “Panggung Negara yang tidak lama lagi diistilah kepada ‘Istana Budaya’, supaya sesuai dengan tradisi di zaman bahari – budaya dan ilmu berpusat di istana”. Sebaliknya menurut Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, sejak Istana Budaya digerakkan pengisiannya lebih cenderung kepada unsur-unsur komersil, hingga nilai ilmunya sukar dikesan. Beberapa persembahan teater sekadar mengisi aktiviti tahunan bukan membawa kesedaran budaya dan ilmu kepada masyarakat, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya. “Malah saya difahamkan teater ‘Raja Melewar’ yang pernah diilhamkan oleh Tan Sri Abdul Samad selepas beliau tak lagi jadi menteri, ditolak oleh Istana Budaya,” jelasnya.
Ketika pembinaannya menurut Dato’ Dr Mohd Mansor memang bagi program ‘Panggung Negara’ dalam perancangan mementaskan karya-karya berprestij, tetapi sekitar dekad 1960-an di Singapura sendiri sudah wujud ‘Panggung Negara’. Justeru dalam usaha tak terikut-ikut dengan pembangunan persembahan teater di Singapura, Tan Sri Abdul Samad bersama beberapa orang rakan pemikir budaya dan sastera membuat rumusan bagi menukar bangunan ‘Panggung Negara’ kepada ‘Istana Budaya’ dengan skop yang lebih bermakna, katanya lagi. “Sayangnya, Istana Budaya yang sudah gah tersergam di manipulasi untuk kepentingan memperoleh imbuhan peribadi, bukan menepati sasaran apabila ianya dibangunkan,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
PANDANGAN DI LUAR KELOMPOK
AKAN DIANGGAP RANAPKAN NEGARA
Sebermula kata sahibul hikayat akan ranaplah negara ini, asal sahaja membenarkan sebarang pandangan di luar kelompok sendiri yang disebut oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Seri Dr Rais Yatim. Kononnya dicanangkan ke seluruh pelusuk negeri, akan perihal Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang mahukan ‘perarakan jalanan’ (atau bahasa yang fakir tak faham ‘demonstrasi’) dibenarkan dalam negara yang khabarnya aman tenteram, terkawal keselamatan dan menjadi suri tauladan kepada negara-negara lain akan kemakmurannya. Heh heh heh! Maka akan menteri itu pun lalu dibukanya ‘kanun’ Akta Ketenteraman Awam 1959, Artikel 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1967, seolah-olah kelompok Hadi Awang ‘dungu sangat’ dengan kanun yang disebutkan.
Syahdan akan kanun Minangkabau itu terlalulah baiknya yang diwariskan oleh Dato’ Maharajo Dirajo di Padang Panjang Koto Pariangan yang dibantu oleh Cati Bilang Pandai. Tersebutlah akan ‘Undang-Undang Si Mumbang Jatuh’ bagi menjaga kebajikan masyarakat di Ranah Minang, maka berlakulah kejadian anjing peliharaan anak buah Sutan Basa (Dato’ Ketumanggungan) mengerkah anak buah Sutan Basa (Dato’ Perpatih Nan Sabatang), lalu mereka pun menuntut keadilan dalam perbicaraan adat. Kata sahibul hikayat dijatuhkan hukum, si polan yang dikerkah anjing itu hendaklah mengerkah anjing berkenaan. Disebabkan ‘Undang-Undang Simumbang Jatuh’ itu tak sesuai, maka Sutan Balun pun memindanya kepada ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’ atau ‘Tarik Balik’.
Adapun akan akta dikatakan menteri yang tersebut di dalam ‘Kitab Melayu’ itu samalah dengan ‘Undang-Undang Si Mumbang Jatuh’, maka ianya disebut ‘bolehlah dipinda’ kepada ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’. Oleh yang demikian maka si polan yang cedera dikerkah oleh anjing itu, dimintalah akan si pemelihara anjing berkenaan mengubati luka-lukanya. Arakian akan menteri yang maha tahu mengenai undang-undang itu sudah diberitahu oleh sahabat-sahabat fakir, sekali persetua dalam tahun 1987 undang-undang jualah yang ‘meranapkan’ UMNO itu, bukanlah Haji Hadi atau lain-lain anasir luar seperti yang disuratkan oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!