Thursday, August 23, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

NAHAS JALANRAYA MENINGKAT &
ISU JAMBATAN BENGKOK YANG CURAM

Assalamualikum,

Dalam beberapa minggu sahaja berlaku lagi kemalangan bas ekspres, sekalipun insiden di Kilometer 30.3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai tak mengorbankan banyak jiwa seperti keperihalan di Bukit Gantang. Bagaimanapun tragedi di Bukit Gantang, Perak pemandu bas ekspres berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, berbeza pula dalam insiden di Gua Musang pemandu bas dikatakan menghilangkan diri. Aduhai! Fokus sekarang ditumpukan kepada pemandu bas; apalagi salah seorang penumpang Siti Esah Mat Salleh memberitahu media, beliau menyedari pemandu terbabit dalam keadaan mengantuk. Kalaulah disebabkan mengantuk, tak tahulah!

Memang saya tak pernah melalui jalanraya di Kelantan sejak 1996 lagi di sebelah malam, tetapi kalau menggunakan lebuhraya di selatan kerapkali juga. Bas ekspres yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sering memotong kereta buruk saya, sekalipun memecut mengikut aturan 110KSJ. Kadangkala apabila mengikut lorong tengah, bas terbabit akan menegakkan lampu yakni meminta masuk ke lorong sebelah kiri. Maknanya bas-bas eskpres berkenaan mahu bergerak laju apabila melewati jam 2.00 pagi, kerana JPJ mahupun polis trafik tak akan memantau kenderaan mereka. Lainlah pada hari-hari perayaan, pemandu-pemandu bas akan sentiasa mematuhi peraturan.

Ironinya, sekalipun pihak pelesenan kenderaan meletakkan nombor telefon aduan (LPKP 39900) bagi orang ramai membuat aduan mengenai pemandu kenderaan yang memandu secara berbahaya, tetapi tak pernah diberi jawapan sama ada aduan sudah diterima atau belum menerusi (SMS). Sudah beberapa kali saya menggunakan talian tersebut melaporkan pemandu kenderaan yang memandu secara berbahaya, sebaliknya tak menerima sebarang respons daripada LPKP. Setidak-tidaknya nombor telefon pengadu yang menggunakan SMS boleh dikesan, tak sepatutnya LPKP sukar sangat mahu memberikan respons.
Makanya, seperti disebut oleh Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika wacana bersama PRIMA pada 15 Ogos 2007 lalu, alasan yang diberi apabila ‘jambatan bengkok’ dibatalkan kerana kedudukannya curam boleh menyebabkan nahas bagi kenderaan yang melaluinya. Anehlah pula, jalanraya dan lebuhraya yang tak curam pun boleh berlaku nahas, di samping mengorbankan banyak jiwa. Kita tak menuding jari kepada sesiapa, tetapi insiden ‘kecuaian manusia’ bukan beban individu, malah kerenah birokrasi terutama talian telefon 39900 untuk mengirim SMS kepada LPKP perlulah pula dikemaskini, di samping memberi maklumbalas kepada pengirim SMS.

-Muluk

INFO HAK ASASI MANUSIA

KESALAHAN SUDAH JELAS
JANGAN ‘BIAR CACING NAIK KE MATA’

Cendekiawan dan bekas ahli akademik, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mahukan tindakan tegas ke atas pelajar Malaysia di Taiwan yang menghina negara segera diambil, bukan berdolak dalih hingga ‘cacing naik ke mata’. Beliau yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM berkata, sebagai bekas pendidik beliau menyedari pelajar-pelajar yang mempunyai kesalahan sudah jelas, perlu menerima hukuman yang setimpal. Di samping enggan menyebut nama pelajar terbabit yang dikatakan berasal dari Muar, Mansor menegaskan, lirik lagu ‘Negaraku’ bukan sahaja diCinakan, malah menyentuh isu sensitif seperti meminggirkan orang Cina, memperlekeh wanita Islam bertudung, menyelitkan azan Subuh dan memburukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


“Kalau dulu Lee Kuan Yew menuduh masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan kita merasa marah, tetapi kenapa dalam isu pelajar terbabit menghina negara, pihak berkuasa masih berdolak dalih,” ujar Dr. Mansor yang mula-mula membangkitkan isu berkenaan menerusi blog PRIMA, sebaik sahaja ianya dianggap selesai selepas bapa pelajar tersebut meminta maaf menerusi media dengan ditemani Timbalan Presiden MCA Dato’ Seri Dr. Chua Soi Lek. Belaiu juga berasa hairan kenapa sukar sangat pihak berkuasa mahu bertindak, sekalipun kabinet sudah sebulat suara menolak permintaan maaf itu sebagai penyelesaian atas kesalahan pelajar terbabit.

Menurutnya, kalau pemimpin al-Arqam yang berada di luar negeri satu ketika dulu boleh diekstradisi, hebat sangatkah pelajar yang dikatakan kreatif dengan klip video itu hingga pihak berkuasa teragak-agak mahu bertindak, katanya. Dr Mansor menjelaskan, kalau mahu disiasat sekiranya perkara itu sekadar laporan atau tuduhan, tetapi isu tersebut sudah jelas disiarkan melalui laman web, dengan ditonton berjuta-juta manusia yang menggunakan laman web, di samping tertera nama pelajar terbabit. “Kalau bimbang ianya menyinggung perasaan kaum, apakah dia tak bimbang menyinggung perasaan 28 juta rakyat Malaysia, termasuk lebih 13 juta orang Melayu?” ujar Dr. Mansor.

PELAJAR-PELAJAR JADI MANGSA
SIKAP NEGATIF PENTADBIR IPTA


Sikap negatif pihak pentadbir IPTA mahupun IPTS, boleh menyebabkan pelajar-pelajar menjadi mangsa ‘perhambaan minda’, seterusnya mereka lulus sebagai graduan ‘robot bernyawa’, kata jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu, pelajar-pelajar sebuah IPTA dinafikan haknya oleh pihak pentadbiran apabila mahu membuat projek di luar bandar mengenai penggunaan IT. Sebaliknya, pihak pentadbiran tak meluluskan projek berkenaan dengan alasan ianya berunsur politik, apabila pelajar-pelajar memilih daerah Gua Musang di Kelantan sebagai sasarannya.

“Kita tak mahu pelajar-pelajar kita melakukan perbuatan seperti insiden di Taiwan yang menggunakan kreativiti laman web menghina negara, tetapi yang memahami asal usul mereka di luar bandar,” ujar Kamal mengulas isu berkenaan. Baru-baru ini pelajar-pelajar dari IPTA terbabit dianggarkan 40 orang, dikatakan sudah merancang projek penyelidikan penggunaan IT di luar bandar, dengan mensasarkan Gua Musang di Hulu Kelantan sebagai lokasi kajian kerana kedudukannya jauh di luar bandar. Sebaliknya, pihak pentadbiran IPTA berkenaan bersikap negatif hingga pelajar-pelajar yang sukar mendapat penaja, terus berhadapan dengan dilema kerana projek itu termasuk dalam pembelajaran praktikal untuk markah amalinya, kata Kamal selanjutnya.

DEBAT TERBUKA DENGAN KHAIRY
RAJA PETRA BERSEDIA BILA-BILA MASA


Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bersedia untuk berdebat dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkaitan enam perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu iaitu termasuk ekonomi, pendidikan, budaya, skandal, korupsi dan institusi raja-raja Melayu. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengakui sudah menghubungi Raja Petra, malah beliau bersedia bila-bila masa menyertai debat tersebut. Kata Kamal lagi, Raja Petra juga tak menetapkan syarat, sebaliknya terserah kepada Khairy menentukan. Di samping itu kata Kamal, Raja Petra memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam debat terbuka itu, tetapi bersedia menggunakan Bahasa Inggeris sekiranya Khairy berkehendakkan begitu.

Sementara itu Presiden Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) Sdr Feriz Omar tak menolak untuk berdebat dengan Khairy mengenai isu tuntutan 20 Perkara Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Menurut Kamal lagi, Freiz tetap mempertahan dakwaannya, Akta 664 WPI adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di samping melanggar hak asasi rakyat Johor. “Khairy tiada pilihan selain bersedia untuk berdebat dengan pengendali laman web mahupun laman blog yang dianggapnya menulis tanpa asas, malah tempoh seminggu yang diberi adalah cukup bagi beliau untuk membuat keputusan,” beritahu Kamal.

INFO SASTERA & BUDAYA

KONTROVERSI FILEM HINA NABI
APA KERJA ‘LEMBAGA PENAPIS FILEM’


Budaya Melayu diperlekeh, agama Islam dipersenda, tetapi orang Melayu masih juga berkiblat ke barat terutama berkaitan dengan karya-karya kreatif. Hasil kreativiti anak tempatan terutama filem-filem Melayu dicemuh; apalagi sekiranya menonjolkan aura kebudayaan Melayu, tetapi yang mempersenda tradisi bangsa Melayu akan diberi sanjungan, kata bekas wartawan period kegemilangan filem Melayu di Singapura, Haji Abu Bakar Ninggal. Katanya, heboh dengan isu filem Holywood ‘Evan Almighty’ lakonan Morgan Freeman dan Steve Carell yang dikatakan menghina Nabi Nuh Najiullah AH dan menggambarkan kewujudan Tuhan, apakah kerja ‘Lembaga Penapis Filem’?

“Kalau filem Melayu potong sana, potong sini, kenapa filem luar tak dipotong atau diharamkan terus?” ujar Haji Bakar yang berasa mual dengan kerenah birokrasi di dalam LPF, sambil merujuk filem ‘Ali Baba Bijang Lapok’ terbitan 1960 arahan Tan Sri P. Ramlee juga pernah menjadi mangsa pemotongan LPF. Haji Bakar mengakui belum menonton filem ‘Evan Almighty’ itu, tetapi percaya sikap ‘mengkerenyuk’ karya-karya tempatan menjadi punca LPF gelap mata dengan karya-karya luar. Beliau juga turut mempersoal LPF boleh melepaskan filem khayalan siri ‘Harry Porter’, tetapi bersikap ‘cengih’ terhadap karya-karya filem Melayu berunsur seram.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

GARA-GARA KEJAR IMPIAN
TAK PEDULI ‘APA ORANG KATA’

Kabarnya begitulah! Pilihanraya belum tentu tarikh, kerana Pak Lah belum menerima ilham, tetapi al-kisah perebutan kawasan sudah semakin rancak. Misalnya, PAS sudah optimis untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, sekalipun Dato’ Seri Najib Tun Razak tak percaya sangat. Apalagi di Kelantan, Ketua Perhubungan UMNO dikatakan mahu bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang, walhal Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah tak pernah beritahu mahu berundur dari politik. Tak tahulah kalau Dato’ Seri Anuar Musa mampu melawan gelombang pengundi Gua Musang ‘ambo mahu Ku Li’ pada pilihanraya kecil 1995 dulu (setelah calon UMNO sengaja dibatalkan kertas pencalonan, bagi mengadakan pilihanraya kecil itu).


Tak tahulah ambo politik di Kelantan, kerana dulu-dulunya ambo ke Kelantan sekadar mengikut Allahyarham Pak Sako berkelana. Tetapi Ku Li pada dekad 1970-an ketika menjadi Menteri Kewangan, memang akrab dengan Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris yang statusnya sekadar Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sembilan. Berkatalah Tan Sri Abdul Samad mengenai legenda di Negeri Sembilan pada period pemerintahan Raja Melewar hingga kepada Yamtuan Muhammad (mangkat pada 1933), ketika itu bagi rakyat di Seri Menanti sekiranya pokok pisang mereka jantungnya menghala ke Rembau hendaklah ditebang, kalau ayam jantan berkokok menghadap ke Rembau hendaklah disembelih. Entahlah! Tak fahamlah ambo mengenai cerita legenda Tan Sri Abdul Samad itu, sekalipun yang gemar akan legenda, mitos dan tragedi ialah: