DARI LAMAN BLOG:
APBILA ORANG KECIL MENINGGAL
SEKADAR DIRATAPI KELUARGA TERDEKAT
Assalamualaikum,
Belum pun subuh kira-kira jam 5.30 pagi ini (25 Mei 2008) adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid menelefon beritahu bapa saudaranya, Abdul Kadir bin Abdul Rahman di Rasah, Seremban meninggal dunia. Jam 7.00 pagi pula Haji Mohd Salleh Salimin turut menelefon mengenai berpulangnya ke rahmatullah Abdul Kadir. Innalillahi wainnalillahi raji’un. (Mungkin sahaja tulisan rumi tak menepati ejaan dalam tulisan jawi, tak apalah!). Selepas lebih 30 tahun tak pernah lagi menemui Abdul Kadir, tetapi saya masih ingatkan beliau, kerana pernah menyewa rumah emaknya di Rasah apabila saya tinggal bersama Haji Salleh Salimin, Razali dan Musa pada 1973. Abdul Kadir rakan sepejabat Haji Salleh, justeru hubungna rapat terjalin apabila saling kunjung mengunjungi. Begitulah!
Abdul Kadir memang bukan orang besar, beliau sekadar ‘orang kecil’ dengan fizikal juga tak berapa besar. Sudah tentu beliau meninggal dunia sekadar diratapi saudara mara terdekat, di samping tak mendapat liputan media arus perdana. Dalam usia melebihi 70 tahun, apalagi sudah lama terkejang sakit akibat angin ahmar, tak siapa menghiraukan pemergian beliau. Abdul Kadir adalah anak Dato’ Shahbandar Abdul Rahman, antara pembesar adat yang pernah berjuang menentang British. Abangnya pula ialah Haji Mohd Tahir Abdul Rahman, bekas pejuang nasionalisme di Negeri Sembilan di samping turut mengasaskan penubuhan Persatuan Melayu Negeri Sembilan (Pemenas) bagi membentuk UMNO dalam Kongres Melayu Pertama di Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946.
Selepas Malayan Union dimansuhkan dengan diproklamir Persekutuan Tanah Melayu pada Februari 1948, Haji Mohd Tahir dilantik menjadi ahli Majlis Permesyuaratan Negeri Sembilan (atau sekarang ADUN). Bagaimanapun Abdul Kadir tak pernah berbangga dengan pencapaian abangnya Haji Mohd Tahir, mahupun kehebatan ayahnya menentang British pada period penjajahan. Malah beliau tak hiraukan mengenai keturunannya dari Tuanku Imam Tambusai, Haji Mohd Salleh bin Maulana Kadi yang diproklamir sebagai salah seorang ‘Pahlawan Nasional Indonesia’ sekalipun jasadnya dikebumikan di Rasah, Seremban. Tak hairanlah tokoh-tokoh pejuang di masa lalu dipinggirkan asal sahaja mereka boleh menjadi ‘over shadow’ kepada pihak berkepentingan.
Misalnya, beberapa bulan selepas balik ke tanah air Shamsiah Sutan Fakeh (Ibu Shamsiah) pernah berkunjung ke rumah bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Samad Idris. Memang Tan Sri Abdul Samad meminta saya datang bersarapan pagi bersama, apalagi Ibu Shamsiah sebenarnya berasal dari Kuala Pilah (atau satu daerah dengan Tan Sri Abdul Samad). Sepanjang perbualan dengan beliau, saya tak melihat ciri-ciri ganas pada diri Ibu Shamsiah selain dari sifat-sifat keibuan yang jelas terpancar dari wajahnya. Insiden beliau ditohmah membuang bayinya ke dalam sungai di Pahang sekitar dekad 1950-an, memang usaha British mahu mengeksplotasi isu berkenaan bagi menaikkan lagi suhu kebencian orang Melayu terhadap perjuangan beliau menentang penjajah. Alahai!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
WACANA ADAT TERLALU SINGKAT
PESERTA BERASA TAK SEMPAT MENGHAYATI
Majlis ‘Wacana Adat’ sempena kerjan YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol mendapat sambutan luar biasa apabila Dewan Orang Ramai di pekan Renggoh, Johol dipenuhi peserta-peserta dan peminat-peminat adat. Malah sebahagiannya turut menganggap sebagai ‘majlis ilmu’, di samping memberi banyak manfaat kepada masyarakat. Majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dipengerusikan oleh Puan Mawar Malinda Haji Zakaria itu dirasmikan oleh Undang Luak Johol dengan turut dihadiri YB Mohammad Razi Haji Kail, Exco Kerajaan Negeri, YB Roslan Mohd Yusuh, ADUN Johol dan Pengarah LMNS, Drs Shamsuddin Ahmad.
Bagaimanapun beberapa orang dato’-dato’ lembaga dari luak Rembau yang turut hadir mengakui ‘wacana’ berkenaan terlalu singkat, malah peserta-peserta tak sempat memberi penghayatan. ‘Wacana Adat’ yang difasilitor oleh Dato’ Dr Abdul Rahman Kaeh dengan panelnya Dato’ Ustaz Muhammad bin Yassin (mantan pensyarah Maktab Raja Melewar, Seremban) dari pendekatan agama, Dato’ Wira Dr Mohd Rosli Saludin (Ketua Jabatan Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan UPSI) dari pendekatan pepatah peitith dan Pak Dharmala N.S. (Ahli Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Lembaga Muzium Negeri Sembilan) dari pendekatan sejarah.
GENERASI MUDA SERING DIPERSALAH
ADAT PERPATIH DARI PERSPEKTIF SEJARAH
(Teks ceramah Pak Dharmala N.S., Ahli Jawatankuasa Penyelidik Budaya Muzium Negeri Sembilan pada ‘Wacana Adat’, 24 Mei 2008, jam 9.30 pagi di Dewan Orang Ramai Renggoh, Johol, Negeri Sembilan sempena Kerjan YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol)
MUKADDIMAH
Pemahaman adat dalam struktor kehidupan manusia harus dilihat menerusi pendekatan sejarah yang berkait-kait, berselit-selit dan beranggit-anggit. Di luak Johol misalnya, mungkin sahaja sistem adat sudah digunapakai sebelum 1723 iaitu tarikh Dato’ Setiawan 1 diproklamir menyandang pesaka Undang Luak Johol (atau sebelumnya dikenal sebagai penghulu). Justeru adat yang digunapakai sebelum tarikh 1723 melalui proses diubah suai apabila diterapkan dalam pentadbiran baru yang lebih lengkap pada ketika itu. Luak Johol pada period pra sejarah 1723 boleh dirujuk kepada cerita lisan tempatan menerusi ‘Terombo Dato’-Dato’ Johol’ berkaitan pembesar-pembesarnya bersama Tok Batin menjemput Bendahara Sekudai mentadbirkan luak mereka.
Berdasarkan cerita lisan di Johol didokumentasi semula oleh orientalis barat seperti Campbell, Harvey, R.O. Winstedt atau R.J. Wilkinson menerusi jurnal ‘Paper on Malay Subjects’, sudah tentu ianya dilengkapkan bagi kepentingan politik penjajah; justeru masih banyak yang tersirat belum tersurat seolah-olah meminggirkan dikri adat yang disebut orang tua-tua dahulu apabila berlaku krisis keyakinan: Terkilan yang besar maka memanggil; terkilan yang kecil maka menghadap!. Apalagi mitos Bendahara Sekudai pula yang dikatakan sebagai salasilah keturunan Undang Luak Johol, turut disebut juga sebagai salasilah Undang Luak Sungai Ujong, sekalipun secara historikal Bendahara Sekudai ialah pembesar Johor yang terbabit dalam perang membantu Belanda mengusir Portugis di Melaka pada 1641. Begitulah!
Dalam penulisan jurnal J.M. Gullick mengenai ‘Sejarah Negeri Sembilan’ memang luak Johol terlingkung pada period awal, dengan dibahagikan kepada tiga frasa bagi pemerintahan Melayu tradisi iaitu: (i) Period awal dengan dipecahkan kepada empat wilayah Sakai; Sungai Ujong, Kelang, Jelebu dan Johol, (ii) Period peralihan apabila empat wilayah Sakai digantikan dengan sembilan negeri Minangkabau di bawah kedaulatan Johor, dan (iii) Period moden apabila empat daripada sembilan negeri Minangkabau itu membentuk perlembagaan monarki bebas di bawah pemerintahan Yamtuan mereka sendiri. Pebentukan perlembagaan baru itu dikira sebagai transformasi budaya masyarakat Melayu dengan menggunapakai sistem adat yang diadaptasi daripada Adat Perpatih dibawa dari Paggaruyung di Minangkabau.
MENELUSUR TRANSFORMASI BUDAYA
Pelaksanaan adat dalam dikri ketuanan Melayu pula perlu diselusuri menerusi transformasi budaya sejak sistem pemerintahan berpusat di istana, sama ada pada period kesultanan Melayu Melaka sekitar tahun 1400 Masehi mahupun sebelumnya di bawah glori empayar Palembang atau Salendra. Mungkin sahaja pada period perkembangan kerajaan Melaka, wilayah yang dikenali Johol sekarang adalah diletakkan sebagai period awal yang dipecahkan kepada empat negeri Sakai, seperti disebut J.M. Gullick. Selepas kejatuhan Melaka pada 24 Ogos 1511 misalnya, rakyat keturunan Minangkabau turut berundur membuat penempatan baru di lokasi jauh dari pentadbiran Portugis di Melaka.
Misalnya ahli geografi Portugis, Goudinho de Eredia dalam buku peta pada 1613 berkaitan persempadanan pemerintahan Portugis di Melaka menyebut Naning kawasan penempatan Minangkabau adalah sebahagian wilayahnya, di samping Rembau yang juga diduduki komuniti Minangkabau di luar pentadbiran Portugis. Berdasarkan buku peta berkenaan tiga wilayah lagi yang disebut penempatan Minangkabau ialah Johol, Seri Menanti dan Sungai Ujong; sekalipun wilayah berkenaan masih didiami oleh penduduk tempatan terdiri daripada Orang Asli. Bagaimanapun fakta penulisan Belanda membuat kesilapan besar apabila menyebut Laksamana Van de Veer menandatangani perjanjian dengan Sultan Abdul Jalil II dari Johor pada 1639 bagi mengusir Portugis di Melaka.
Fakta sebenarnya Sultan Abdul Jalil II memerintah Johor pada 1571-1597 dengan bersemayam di Tanah Puteh. Pada 1639 Masehi, Johor adalah di bawah pemerintahan Raja Bujang bergelar Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677) yang bersemayam di Pulau Lingga dengan wakilnya di Johor ialah Bendahara Paduka Raja, Tun Jenal (anak kepada Tun Seri Lanang) yang dikenali sebagai Bendahara Sekudai (seperti disebut dalam epik Sejarah Melayu). Malah Bendahara Sekudai terbabit membantu Belanda memanjat kota Melaka dengan menggunakan sigai, iaitu idea yang tak pernah diduga oleh pertahanan Portugis. Justeru fakta sejarah bagi kerajaan Melayu turut memberi implikasi kepada transformasi budaya dalam pemerintahan serta pelaksanaan sistem adat Minangkabau di Johol, mahupun luak-luak yang lain di Negeri Sembilan.
Period awal yang dipecahkan kepada empat wilayah Sakai oleh orientalis barat itu, sebenarnya berdasarkan kepada terombo di Sungai Ujong yang menyebut Batin Seri Alam (ketua komuniti Sakai) mewariskan pemerintahan kepada anak-anaknya Batin Bercanggai Besi di Sungai Ujong; Tok Jelondong (perempuan) di Jelebu dan Nenek Kerbau (perempuan) di Johol. Anak perempuan Batin Bercanggai Besi dikenali Puteri Mayang Selida berkahwin dengan Sultan Johor memperoleh empat orang anak iaitu (i) Bendahara Sekudai, (ii) Tok Engku Kelang, (iii) Tok Mantri Akhirzaman dan (iv) Tok Johan Pahlawan. Tok Engku Kelang dihantar sebagai pemerintah di Kelang, berdasarkan terombo yang menjadi asas kepada pra sejarah pemerintahan Melayu di Negeri Sembilan.
Secara logik memang fakta sejarah bertulis dengan terombo di setiap luak di Negeri Sembilan mempunyai perbezaan tarikh yang ketara, tetapi ianya tetap memiliki ciri-ciri persamaan yang boleh diselaraskan bagi menelusuri dikri ketuanan adat itu: Kok cicir dipungut, kok hilang dicari, kok hanyut dipintasi, kok tenggelam diselami. Begitulah! Misalnya tarikh memproklamir Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Setiawan 1 memegang pesaka Undang Luak Johol pada 1723, adalah bertepatan dengan insiden Raja Kecil atau Sultan Abdul Jalil Rahmad Shah diusir ke Siak oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang disokong anak raja Bugis lima bersaudara diketuai oleh Daeng Merewa.
Susur galur keturunan Dato’ Setiawan I berdasarkan ‘Terombo Dato’-Dato’ Johol’ adalah anak perempuan Bendahara Sekudai yang mempunyai kesaktian luar biasa bernama Puteri Kanun. Apabila memegang pesaka Undang Luak Johol pada 1723, Puteri Kanun digelar Dato’ Setiawan bagi mentadbirkan pemerintahan di Johol. Sejarah lisan di Johol ini selaras dengan pergolakan lanskap politik di Johor ketika itu apabila anak-anak raja Bugis mendominasi pengaruh istana, di samping Daeng Merewa sendiri menuntut jawatan Yang Dipertuan Muda Riau (atau setara dengan status Perdana Menteri) dalam pemerintahan Johor, menyebabkan etnik Minangkabau sama ada di Johol, Sungai Ujong, Jelebu mahupun Rembau mencari alternatif baru bagi ketuanan Melayu.
FRASA PENYUSUNAN MASYARAKAT ADAT
Apabila Raja Melewar diproklamir menaiki takhta selaku Yamtuan di Seri Menanti pada 1773, ianya dianggap sebagai frasa awal penyusunan masyarakat adat di Negeri Sembilan. Sebaliknya dalam ‘terombo Jelebu’ juga mengakui insiden memutus ‘tali ke Johor’ yang digerakkan oleh Dato’ Moyang Salleh pada 1757, sebagai frasa awal dalam penstruktoran adat di luak Jelebu atau lebih awal daripada penampilan Raja Melewar menaiki takhta. Johol yang turut mengangkat Dato’ Setiawan memegang pesaka Undang Luak Johol pada 1723 juga melaksanakan penyusunan masyarakat beradatnya pada period tersebut iaitu 50 tahun lebih awal daripada tarikh Raja Melewar dijemput bagi menjadi Yamtuan di Seri Menanti.
Pemilihan nama ‘Negeri Sembilan’ pada frasa penyusunan masyarakat adat juga, mungkin sahaja berasaskan kepada model yang ditiru di Pagarruyung ketika Cati Bilang Pandai membentuk ‘Kerajaan Dusun Tuo Limapuluh Koto’ kira-kira 2000 tahun dahulu, apabila berkahwin dengan isteri mentornya Dato’ Maharajo Dirajo, bernama Maharatu Indo Jolito. Kerajaan berkenaan meliputi Dusun Tuo (iaitu Limo Kaum Tujuh Koto) dan IX Koto Di Dalam (mengandungi sembilan koto atau negeri), kemudiannya menampilkan anaknya Sutan Balun selaku pemerintah bergelar Dato’ Perpatih Nan Sabatang. Apabila dipilih selaku pemerintah Sutan Balun turut membuat transformasi adat dengan menukar sistem ‘Undang-Undang Si Mumbang Jatuh’ yang dipraktikkan oleh Dato’ Maharajo Dirajo kepada sistem ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’ atau ‘Undang-Undang Tarik Balik’. Maknanya, peraturan adat juga boleh dirombak dan dipinda selaras dengan perbilangan yang disebut: Ibu adat, muafakat.
Model pembentukan ‘Negeri Sembilan’ pada 1773, mungkin sahaja ianya mengikut pelaksanaan IX Koto Di Dalam yang diasaskan oleh Cati Bilang Pandai sebagai saingan kepada kerajaan Pasumayam Koto Batu yang diwarisi oleh Sutan Basa daripada ayahnya Maharajo Dirajo, kemudiannya dikenali Pariangan Padang Panjang dengan melestarikan sistem adat Minangkabau ‘Koto Piliang’. Sutan Basa pula memilih gelaran kebesarannya bergelar Dato’ Ketumanggungan. Sutan Balun pula melaksanakan pentadbiran adatnya dikenali ‘Bodi Caniago’ tetapi sumber rujukan tetap berpaksa kepada sistem adat yang diwarisi dari Pasumayam Koto Batu iaitu ‘Adat Minangkabau’.
Imigrasi pengaruh Dato’ Perpatih Nan Sabatang ke Tanah Melayu dianggarkan sudah beransur-ansur masuk ketika pemerintahan kerajaan Melayu Melaka. Malah dalam krisis penduduk tempatan dan pedagang-pedagang India pada period pemerintahan Sultan Mansor Shah sekitar dekad 1450-an, Sungai Ujong (Sening Ujong) sudah mempunyai penghulunya sendiri, Tun Tuakal. Dalam insiden tersebut Tun Tuakal memberi sokongan kepada Tun Perak, apabila pedagang-pedagang terbabit dilindungi oleh Seri Nara Diraja Tun Ali. Berikutan krisis tersebut Tun Tuakal dihukum bunuh atas tuduhan menderhaka, dengan Sening Ujong diletakkan di bawah dominasi pengaruh Seri Nara Diraja Tun Ali.
Penstruktoran adat sudah dilaksanakan di istana Melaka, tetapi ianya berbeza daripada yang digunapakai di Minangkabau, sebaliknya lebih condong kepada tata cara pemakaian Palembang. Misalnya dalam ‘Sejarah Melayu’ diungkapkan aturan menghadap di istana: “Adapun apabila raja dihadap orang di balairong, maka bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang-orang besar segala sida-sida duduk di seri balai. Maka segala anak raja itu duduk di kelek-kelekan balai kiri kanan, dan segala sida-sida yang muda-muda duduk di selang-selang antara bentara, dan hulubalang-hulubalang muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang".
“Dan kepala bentara yang kiri itu daripada anak cucu menteri yang patut akan menjadi bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung, dan kepala bentara yang di kanan itu daripada anak cucu hulubalang yang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija Diraja; dan sekali hulubalang duduk di selasar balai; dan barangsiapa bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja, dan barangsiapa bergelar Sang Guna bakal Laksamana, dan barangsiapa bergelar Tun Pikrama bakal Bendahara.” Struktor adat Melayu dalam pentadbiran kerajaan Melaka itu selaras dengan ungkapan etnik di Negeri Sembilan yang berpaksa kepada adat Minangkabau ketika itu: Dari nenek turun ke Mamak/dari Mamak ke kemanakan/patah tumbuh hilang berganti/pesaka tetap begitu jua!
NARATIF IBU ADAT IALAH MUAFAKAT
Paksi kekuatan adat sama ada di Minangkabau mahupun di Negeri Sembilan; apatah lagi di setiap luak ialah ‘MUAFAKAT’. Misalnya di luak Jelebu dan Sungai Ujong ianya disebut: Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana mufakat, tetapi bagi luak Johol dan Rembau pula diungkapkan: Bulat air kerana gopong, bulat manusia kerana muafakat. Fungsinya tetap sama sekalipun membawa pendekatan yang berbeza apabila masyarakat beradat lebih mementingkan ‘muafakat’. Tak hairanlah sebelum kedatangan Islam, pemuka-pemuka adat di Minangkabau mempertahankan dikri ketuanan mereka menyebut: Adat bersendi hukum, hukum bersendi alur dan patut, alur dan patut bersendi benar, benar berdiri dengan sendirinya!
Sebaliknya sekitar dekad 1820-an dan 1830-an, reformis masyarakat di Sumatera Tengah dipimpin Imam Bonjol menolak kebobrokan sistem adat yang disalahgunakan oleh pemuka-pemuka adat hingga menjadikan masyarakat berkasta-kasta. Selepas kebangkitan Imam Bonjol, pemuka-pemuka adat mengambil pendekatan baru dengan merombak ‘Undang-Undang 20’ yang diwarisi daripada legasi ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’ kepada ‘Piagam Malipialam’ dengan lebih berciri Islam iaitu ‘adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah’. Maknanya, ketika Raja Melewar menaiki takhta pada 1773, baiah adat yang dibawa bersama ke Tanah Melayu masih lagi ‘adat bersendi hukum, hukum bersendi alur dan patut’. Barangkali!
Penyebaran adat Minangkabau di Negeri Sembilan juga tetap mengikut landasan: ‘Beruang-ruang bak durian, berlopak-lopak bak sawah, berompok-ompok seorang satu’ yakni tak seragam digunapakai di setiap luak. Misalnya, peraturan melantik peyandang pesaka Undang Luak Johol berbeza dengan yang digunapakai bagi luak Sungai Ujong, luak Jelebu atau luak Rembau. Di luak Johol pelantikan penyandang pesaka Undang Luak adalah berdasarkan ‘berundang berteromba bersalasilah’ – yakni ketuanan Undang mengikut teromba dan salsilah, bukan tertakluk kepada perbilangan ‘bulat Lembaga menjadikan Undang’. Berbeza dengan luak Sungai Ujong yang mempraktikkan aturan ‘berundang berkeadilan berteromba bersalasilah’ atau di luak Jelebu dengan ‘berundang berkeadilan berlembaga’, begitu juga di luak Rembau ‘berundang berlembaga’ semua mengikut aturan: Bulat anak buah menjadikan buapak/bulat buapak menjadikan Lembaga/bulat Lembaga menjadikan Undang/bulat Undang menjadikan Raja.
Maknanya fungsi Adat Perpatih yang diadaptasi dari Adat Minangkabau carak Bodi Caniago di Pagarruyung apabila diamalkan di Johol, tak berlawanan dengan kaedah pelantikan penyandang pesaka Undang Luak, asal sahaja merujuk kepada persepakatan yang dituntut iaitu: ‘Ibu adat muafakat’. Dari perspektif sejarah juga luak Johol sudah melalui frasa perubahan pemikiran masyarakat menerusi naratif ‘ibu adat muafakat’ dalam insiden memansuhkan pesaka Dato’ Muda selaku bakal Undang pada dekad 1890-an, dengan dipindah kepada pesaka Dato’ Baginda Tan Mas. Persepakatan dibuat oleh pemuka-pemuka adat luak Johol ketika itu berikutan moral Dato’ Pilih iaitu penyandang pesaka Dato’ Muda dikatakan berlawanan dengan dikri ketuanan Melayu yang sepatutnya dipertahankan sebaik-baiknya.
RUMUSAN
Secara umum di Negeri Sembilan sudah sinonim dengan pemakaian adat bersumber Adat Perpatih yang dirujuk kepada pemerintahan beraja di Pagarruyung iaitu berasaskan kepada ‘Raja Nan Tigo Selo’ dan ‘Basa Ampek Balai’. Sekalipun pemerintah awal raja Minangkabau di Pariangan apabila Sang Sapurba dijemput dari Palembang oleh pemuka-pemuka tempatan bagi menghapuskan kekacauan yang ditimbulkan oleh Sikumambang, tetapi imigrasi adat ke Negeri Sembilan dibawa oleh pewaris-pewaris adat di luhak Tanah Datar atau istana Pagarruyung (sekarang ibu negerinya ialah Batusangkar). Dalam epik ‘Sejarah Melayu’ juga disebut Sang Sapurba mudik Batang Kuantan (Sungai Kuantan) di Inderagiri ke Pariangan bagi membunuh ular ‘saktimani’ yang menggangu tanaman petani-petani tempatan. Apabila ular ‘saktimani’ ditetak dengan pedangnya, dikatakan sumbing 99 akibat sisik ular berkenaan tak lut dengan senjata biasa.
‘Rajo Nan Tigo Selo’ di Minangkabau ialah (i) Raja Alam, (ii) Raja Adat dan (iii) Raja Ibadat, dengan diperkuat oleh ‘Basa Ampek Balai’ iaitu (i) Pamuncak di Sungai Tarab, (ii) Makudum di Sumanik, (iii) Indomo di Saruaso, dan (iv) Tuan Gadang di Batipuh kemudiannya selepas kedatangan Islam ditambah kepada Tuan Kadi di Padang Genting. Pemerintahan di Minangkabau dengan kerajaan yang besar ialah di Pasumayam Kota Batu yang diasaskan oleh Maharajo Dirajo, di samping Kerajaan Bukit Batu Patah Pagarruyung adalah sebahagian daripada pemerintahan Pasumayam Kota Batu. Di bawah pemerintahan kerajaan Bukit Batu Patah Pagarruyung inilah merangkumi Dusun Tuo Lima Kaum dan IX Koto Di Dalam, yang memungkinkan pula pembentukan ‘Negeri Sembilan’ dalam imigrasi adat ke Tanah Melayu.
Begitu juga kedudukan ‘Undang Yang Empat’ mungkin sahaja berasaskan kepada model ‘Basa Ampek Balai’ di Minangkabau iaitu disebut ‘Raja Adat’ sebagai pentadbir dalam heiraki ketuanannya. Secara umum tak semua pelaksanaan adat Minangkabau di Negeri Sembilan diterima 100 peratus, sebaliknya diselaraskan dengan pemakaian adat tempatan Orang Asli yang disebut oleh orientalis barat sebagai pengasas kepada ‘empat negeri Sakai’ pada period awal. Bendahara Sekudai yang mendominasi teromba komuniti Melayu di Negeri Sembilan pula berdasarkan fakta penulisan Belanda, pernah membuat lawatan ke Sungai Ujong pada 1644 iaitu selepas kejayaan membantu Belanda mengusir Portugis di Melaka pada 1641. Wallahu’alam!.
INFO SASTERA & BUDAYA:
KAYU UKUR JAHANAMKAN BAHASA
PENGENDALI PRORAGM TAK BERETIKA
Penggunaan bahasa bercelaru bagi pengendali program ‘Akademi Fantasia’ di Astro dianggap ‘menjahanamkan’ keindahan bahasa Melayu, menurut bekas guru yang juga aktivis filem Sdr Yassinsalleh. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Sdr Yassinsalleh memberitahu, “Akademi Fantasia adalah kayu ukur kejahanaman Bahasa Melayu hasil sistem pendidikan kebangsaan yang falsafah dan semangatnya didukung atau lebih tepat ‘dipekungkan’ oleh UMNO”. Seterusnya Sdr Yassinsalleh melahirkan rasa bimbang dengan penggunaan bahasa yang bercelaru, bukan sahaja ianya mencemar jatidiri Bahasa Melayu, malah meletakkan nilainya tak lagi berkeperibadian.
Justeru Sdr Yassinsalleh meminta pihak pengendali program berkenaan lebih beretika di masa hadapan, memandangkan ianya ditonton oleh generasi muda. Menurutnya lagi, generasi muda mungkin sahaja tak memikikan implikasi daripada program berkenaan, kerana mereka menilai menerusi fakta hiburan semata-mata. Di samping penggunaan SMS dalam menentukan pemenang dalam program realiti tersebut, isu Bahasa Melayu tak boleh dipandang remeh disebabkan ianya menggunakan medium Bahasa Melayu. “DBP mahupun Gapena perlu tampil mengambil inisiatif memantau isu Bahasa Melayu apabila ianya ditonton secara langsung di TV, bukan sekadar tersengih-sengih ketika menontonnya,” kata Sdr Yassinsalleh seterusnya.
INFO SUARA PROLITAR:
AKAL BUDI ORANG MELAYU
SAMBUT SEORANG NEGARAWAN
Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan kembali ke tanah air pada 27 Mei 2008 jam 5.00 petang di Lapanganterbang Sultan Abdul Aziz Salahuddin (lapanganterbang lama di Subang). Marilah sama-sama kita menyambut Tun Dr Mahathir. Rakyat Malaysia @ orang Melayu ada akal budi dan Tun Dr M adalah negerawan terkemuka negara. Ajak kawan-kawan, sahabat-sahabat dan semua rakan seperjuangan, sibarkan maklumat ini. (
SMS; pagi 25 Mei 2008 – Suara Orang Kecil, Kuala Lumpur).
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo
MAHKAMAH LUAR SELESAI PERTIKAIAN
PULAU BATU PUTIH BERTUKAR ‘BATU HITAM’
Sekali persetua tersebutlah akan negeri Melayu itu berebutkan Pulau Batu Putih, maka dibawalah ke mahkamah luar negeri di atas angin. Arakian diputuskan oleh mahkamah di atas angin akan pulau yang direbutkan itu diserahkan kepada Singapura yang dahulukala memang negeri Melayu juga, adanya. Maka disuratkan orang banyak akan Pulau Batu Putih itu sudahlah menjadi Pulau Batu Hitam kepada negeri Melayu dengan memanda Perdana Menterinya adalah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Syahdan diberitahu kepada fakir bahawa 43 tahun dahulu menangislah Orangkaya Tan Sri Syed Jaafar bin Hassan Albar apabila Singapura itu dikeluarkan dari negeri Melayu oleh memanda Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra. Aduhai!
Syahdan Sang Nila Utama itu pergi berburu, datanglah pada suatu batu, terlalu besar dengan tingginya, maka baginda naik ke atas batu itu memandang ke seberang. Maka dilihat baginda tanah seberang itu pasirnya terlalu ptuih, seperti kain terhampar. Baginda pun bertanya pada Indera Bupala, “Pasir yang kelihatan itu tanah mana?”. Maka sembah Indera Bupala, “Itulah hujung tanah besar, Temasek namanya”. Maka titah Sang Nila Utama, “Mari kita pergi ke sana”. Setelah datang ke tengah laut, ribut pun turun; maka kenaikan itupun keairan. Ketika kenaikan itu hampir Teluk Belanga, makin sangat air naik. Maka sembah penghulu, “Tuanku, pada bicara patik sebab mahkota itu kenaikan kita keairan, eloklah buang mahkota itu ke laut.” Mahkota ketuanan Melayu itu dibuang ke laut, ribut pun teduh, sampailah Sang Nila Utama ke Temasek, ditukarlah namanya kepada Singapura seperti disebut ‘Kitab Melayu’ oleh: