Monday, September 29, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,

HARI RAYA TIDAK LAMA LAGI
PEJABAT SUDAH MULA LENGANG


Fenomena Hari Raya Aidilfitri sudah mula terasa hari ini (29 September 2008), apabila pejabat-pejabat lengang dengan beberapa orang kaki tangan sekadar menonton TV. Ketika ke Muzium Negeri Sembilan di Seremban pagi ini (29 September 2008), beberapa orang kaki tangan tersengih-sengih menonton TV sebaik sahaja saya menjengah masuk. Pengawal keselamatan di pintu pagar masuk pun sekadar melambai tangan ketika kereta saya melalui di depannya, tetapi terkuap-kuap kerana baru sahaja mengangkat kepala kerana menelungkup di meja. Saya ke Seremban sekadar menemui pembantu muzium, Ahmad Afian Abdul Kadir yang beritahu di Seremban sudah mula ‘mantai’ hari ini. Beliau juga turut ke Paroi membeli daging ‘mantai’ dengan harga RM15 sekilo, tetapi saya agak kecewa kerana tak menemui daging ‘mantai’ rusa yang disebut-sebut sebelum ini cukup bekalan (tak tahulah kalau besok – 30 September 2008)!



Nostalgia menjelang Hari Raya bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris (bekas Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan), biasanya apabila turun ke Seremban memang mencari daging ‘mantai’ rusa sama ada di Paroi mahupun Ampangan. Beliau juga akan membeli sayur-sayuran kampung di Paroi dari gerai-gerai di tepi jalan yang dikatakannya ‘fresh’ (kerana baru dipetik dari kebun). Kalau tak turun ke Seremban Tan Sri Abdul Samad akan menelefon dari pejabat Finas di Hulu Kelang bagi membeli daging ‘mantai’ sama ada di Hulu Kelang atau di pasar Keramat. Di Hulu Kelang sudah tentulah membeli lemang ‘Pak Ali’ sekurang-kurangnya lima batang seorang (sekalipun boleh juga dibeli di pasar Ramadan), tetapi Tan Sri Abdul Samad lebih senang berteman untuk membeli daging ‘mantai’. Heh heh heh!

Tradisi raya juga tetap diteruskan hingga ke hari ini, apabila ramai rakan-rakan balik ke kampung. Jiran-jiran juga sudah mula balik ke kampung sejak Sabtu (27 September 2008), termasuk juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah balik ke kampung isterinya di Kedah. Haji Abu Bakar Ninggal pula balik ke kampung isterinya di Kelantan, Haji Mohd Sayuti Omar juga balik ke Pasir Mas di Kelantan, tetapi Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Haji Yahaya Ismail, Zakaria Bidin dan Omar Manan masih berkumpul dengan keluarga di Kuala Lumpur pada malam raya. Ketika semua rakan-rakan merayakan Aidilfitri bersama sanak saudara, Raja Petra Kamaruddin pula terasing bersendirian di kem tahanan Kemunting di Taiping apabila didakwa di bawah ISA yang tak diketahui salahnya.



Sudah tentu belum terlambat mengucapkan syabas kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim yang melepaskan jawatan semata-mata menentang ISA. Begitu juga dengan bekas Menteri Pengangkutan Dato’ Seri Fong Chan Onn secara terbuka menolak ISA yang dipertahankan oleh kerajaan. Secara logik, sekiranya tulisan Raja Petra membahayakan keselamatan sudah berapa peratus umat Islam terpesong akidah selepas membaca laman blog Malaysiakini, justeru agensi-agensi jabatan Islam yang terbabit perlu bertanggungjawab apabila dakwaan berkenaan lebih berbentuk emosi daripada fakta ilmiah. Malah hakim-hakim Islam sendiri pada zaman kegemilangan dulu sering mengingatkan kita, biarlah membebaskan berpuluh-puluh orang bersalah daripada menghukum seorang yang tak bersalah.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:


KU LI BUKAN PILIHAN TEPAT
UMNO PERLU PIMPINAN ‘MUDA’


Kenyataan terbuka dua pimpinan Bahagian UMNO Cheras di Wilayah Persekutuan dan Besut di Terengganu mahu mencalonkan Dato’ Seri Mohd Najib Razak bagi jawatan Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden pada pemilihan Mac 2009 adalah petanda awal pergolakan UMNO semakin bobrok, beritahu penganalisis politik Haji Yahaya Ismail. Bagaimanapun menurut Haji Yahaya, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula bukanlah alternatif bagi memulihkan UMNO yang terlalu tenat sekarang. Sekalipun peralihan kuasa kepada Dato’ Seri Mohd Najib sekadar pilihan jangka pendek, tetapi majoriti di peringkat akar umbi mahukan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyegerakan pelan peralihan kuasa selewat-lewat tahun 2008. “Disember 2008 juga pimpinan di Sabah dan Sarawak mahukan keputusan dibuat bagi pelan peralihan kuasa itu,” kata Haji Yahaya yang juga bekas pengarang akhbar di Sabah pada period Dato’ Harris Salleh.


Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Haji Yahaya menjelaskan UMNO perlukan pimpinan muda yang berwibawa, bukan Tengku Razaleigh selaku alternatif dalam usaha pemulihannya. Beliau menjelaskan, era pimpinan Tengku Razaleigh sudah berlalu, malah generasi muda kurang mengenali penampilannya. Katanya lagi, sekalipun kem Tengku Razaleigh optimis dengan sokongan yang diterima, tetapi majoritinya golongan veteran yang kurang berketerampilan dalam kepimpinan di masa lalu. Justeru Haji Yahaya menambah, pimpinan muda yang boleh digilap memimpin UMNO boleh dirujuk kepada pegawai-pegawai muda yang berkhidmat di kedutaan dengan pengalaman mereka luas di peringkat global. “Di negeri-negeri maju seperti Amerika Syarikat, Jepun atau Perancis mereka juga membuat pendedahan kepada diplomat-diplomat muda dalam kepimpinan negara,” menurut Haji Yahaya.

NGO GOMBAK BUAT LAPORAN
LALUAN UNTUK TAHAN ANWAR?

Hampir 10 badan NGO di daerah Gombak akan melancarkan kempen tanda tangan pada 11 Oktober 2008 ini bagi menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terus dikekalkan dalam memantau kententeram awam, beritahu pengerusi penyelarasnya Omar Sudi bin Abdul Manan ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (28 Oktober 2008). Beliau yang juga Pengerusi Telapak Budaya Daerah Gombak (Telapak) mendesak kerajaan mengekalkan ISA, berdasarkan banyak perkara sensitif sukar dikawal dengan peruntukan akta yang lain. Katanya, pembangunan negara dan pergerakan ekonomi adalah bergantung kepada keselamatan dan ketenteram awam yang perlu dipantau dari semasa ke semasa. “Justeru NGO daerah Gombak meminta menteri berkenaan supaya tak berkompromi bagi mengekalkan ISA,” beritahu Omar Sudi menambah.

Antara badan NGO yang terbabit melancarkan kempen tanda tangan menurut Omar Sudi termasuklah GPMS daerah Gombak, badan-badan belia dan badan sukarela yang prihatin dengan tahap keselamatan negara dan ketenteraman awam berada pada peringkat maksimum. Sementara itu aktivis budaya di Pahang, L Mankadir Shamsi melahirkan rasa dukacita terhadap badan-badan NGO yang terbabit menyokong ISA di samping membuat laporan polis terhadap Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Balai Polis Gombak Batu 6 baru-baru ini yang dieksploit sebagai mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam. Menurut L Mankadir, laporan polis tersebut bertujuan memberi laluan kepada kerajaan melaksanakan akta yang tak bercirikan keselamatan dan ketenteraman untuk menahan rakyat secara bobrok, pongah dan arogan. “Raja Petra ditahan ISA selepas menerima laporan polis jabatan agama, apakah Anwar akan ditahan selepas laporan polis NGO daerah Gombak?” tanya L Mankadir.

INFO SASTERA & BUDAYA:

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(14)

4
OMBAK KIAN MENGGEGAR:

HANG KASTURI TAKUTKAN SI TONGKOL
GELAP PULAU MAKIN MEMBINGUNGKAN

MALAH emak juga tak kelihatan dalam gumpalan awan dipusar angin malam. Baik emak mahupun abah memang tak terjongol di mana-mana. Di sekeliling tetap hitam pekat macam buntut kuali tersangkut di dinding. Debaran ombak terus galak memukul kaki terumbu batu karang.

Lama saya terkebil-kebil mata dalam kegelapan malam, waktunya tak diketahui lagi. Jam tangan saya memang sudah dirampas Si Tongkol bersama kunco-kunconya. Wallet juga dipulun habis dengan semua wang di dalamnya dikebas tak bersisa. Nasib baik juga wallet berkenaan diperosok oleh Bung Hirman ke dalam laci meja di bilik kurungan di gua.

Sempat juga saya pecahkan laci berkenaan mengambil wallet yang diperosokkan ke situ. Biarlah wang yang tak seberapa itu dirampas habis, asal sahaja kad pengenalan kami tak dimusnahkan sama.

“Kalau kita tak berjaya melepaskan diri, tentu mereka akan belasah lagi,” bimbang benar Usin Sodok sewaktu merangkak keluar meninggalkan pintu gua. “Memang Si Tongkol marah sebab kita pecahkan laci meja ni,” ujarnya serba salah.

“Jangan biarkan diri kita mati kerana kelam kabut, wallet ni semua hak kita!” tegas saya ingatkan Usin Sodok yang berlagak macam Hang Kasturi.

“Hang Kasturi pun takut pada Si Tongkol?” sengaja Sahak Salai mengusiknya menyebabkan Usin Sodok mendengus marah.

“Tengok belakang Abang Din tu berbirat kena sebat tali pinggang, tak takut apa?” sahut Usin Sodok berasa bengang dengan kejadian yang menimpanya.

“Tak apalah, kalau Hang Kasturi tak mahu ambil wallet dia,” beritahu Abang Din segera mengajak keluar dari gua.

Jauh di lipatan hati saya sekiranya kawan-kawan terlepas melarikan diri, mereka tak perlu bimbang fasal dokumen penting termasuk kad pengenalan. Setidak-tidaknya kami sudah dapatkan semula semua dokumen dalam wallet berkenaan.

Semakin lama bersandar di perdu pokok, terasa juga mengantuk dan keletihan. Beberapa kali saya terkuap-kuap. Bagaimanapun sukar mahu melelapkan mata kerana masih lagi belum selamat. Pulau kecil itu memang tak boleh larikan diri ke mana-mana. Memang saya berharap akan terserempak kawan-kawan di sekitar kawasan berkenaan menjelang matahari terbit di ufuk timur keesokannya.

Apalagi di tengah belukar terpencil itu, nyamuk banyak mengiang-ngiang di telinga. Bau minyak kuda yang dilumurkan ke seluruh badan juga tak dipedulikan nyamuk yang berterbangan. Puas juga saya mengibas-ngibas tangan ke telinga, tetapi serangga tersebut macam mendapat peluang keemasan ketika itu.

Dalam masa saya hampir terlelap di perdu pokok, tiba-tiba dikejutkan bunyi bot laju membelah deburan ombak. Cepat-cepat saya bingkas bangun memerhatikan ke tengah laut. Memang jelas ternampak kilauan spot light menyuluh dari arah bot ke merata pelusuk di celah terumbu batu karang.

Segera saya berundur ke bawah lereng bukit mengelak daripada disuluh lampu spot light berkenaan. Kalau Si Tongkol menyedari kami sudah terlepas daripada kurungan, tentu dia akan bertindak lebih ganas. Tetapi Bung Hirman dan Bung Superman juga tak kelihatan di mana-mana selepas keluar meninggalkan gua sebelum itu.

Selesai sahaja berligar-ligar di sekitar pulau terpencil berkenaan, bot laju itu terus meluncur semula ke tengah ombak laut. Dalam hati saya dapat mengagak tentu bukan bot laju milik Si Tongkol dan kunco-kunconya.

“Alangkah baiknya, kalau bot laju itu dari polis marin!” keluh saya hampa sebaik sahaja bot laju berundur. Di kaki terumbu batu karang ombak kian keras menggegar.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)

RAMALAN SINIKAL NOVEL ‘SEMPERUNG’
HAMPIR TEPAT DENGAN KEBOBROKAN UMNO

Kebobrokan yang dilalui UMNO sekarang sudah diungkap menerusi novel karya sasterawan Dharmala N.S. ‘SEMPERUNG’ (Kantung Network, KL; 2008) yang diterbitkan sebelum PRU12, beritahu aktivis badan persuratan, penyair Yassinsalleh. Menurut Yassinsalleh, selepas membaca novel berkenaan ianya jelas memperlihat satu pendekatan psaikologi yang menarik mengenai ‘kerajaan hantu’ berikutan PRU11 pada 2003 seterusnya mendorong kepada merudumnya prestasi UMNO dan BN. Secara sinikal kata Yassinsalleh, beberapa istilah yang digunakan menerusi novel ‘SEMPERUNG’ seperti Betara Ningrat (BN), Merga Cura Aria (MCA), Menti Indera Cagak (MIC), Maulana Umarak (UMNO), Pendawa Anggun Sunan (PAS), Sang Pertala Raya (SPR), Panji Kesuma Ratu (PKR), Dewa Adi Petara (DAP) adalah imageri yang membina ‘kerajaan hantu’ dengan kepakaran pawang-pawang, ujar Yassinsalleh.


Secara keseluruhan memang novel berkenaan sebuah karya satira dengan penampilan warga hantu termasuk polong, jerangkung, pontianak, toyol, pelesit, bajang dan lain-lain spesies dipantu oleh Pawang Fakeh Makudum yang menggantikan Pawang Bagindo Gadang, yang mendorong kepada keruntuhan kepawangan Maulana Umarak. Justeru kebangkitan kepawangan Tok Perpatih Nan Santing yang disertai Pendeta Enam dan Duabelas Dewa menyemarakkan kesepakatan mahu menyingkirkan ‘kerajaan hantu’ yang dipantau Pawang Fakeh Makudum. Bagi memulihkan premis kepawangan Maulana Umarak inilah usaha digerakkan membawa Pawang Angko Sutan menggantikan Pawang Fakeh Makudum, beritahu Yassinsalleh. Sekalipun novel berkenaan ditulis selepas PRU11, tetapi ramalan pengarang hampir tepat berkaitan kebobrokan ‘kerajaan hantu’ selepas kejayaan gemilang 2003, beliau menambah.

PUISI LAMA

Syair Versi Baru
Dandan Setia


(apologi kepada Yassinsalleh)

Tersebutlah kisah dahulu kala
di atas kayangan ceritera bermula
raja memerintah pening kepala
dewa-dewa berperang makin menggila.

Ramai terbunuh di dalam negeri
dewa-dewa berebut seorang puteri
kononnya cantik tidak terperi
jadi pujaan Dewa Syahperi.

Raja semakin gundah gelana
rakyat jelata semakin merana
kerana dewa-dewa buat bencana
berebut puteri konon mempesona.

Puteri ditukar menjadi pauh
dicampak ke dunia terlalu jauh
macam bahtera tidak bersauh
hanyut gerangan ke Permatang Pauh.

Gemparlah UMNO di dalam negeri
buah pauh bertukar peri
reformasi dilaung bersama puteri
di Lembah Pantai Nurul Izzah berdiri.

Dewa Syahperi jadi merana
Intan Terpilih entah ke mana
Dandan Setia mencari dana
harap berjaya menjadi perdana.

Dandan Setia syair semasa
membawa kisah berebut kuasa
pemilihan UMNO luar biasa
ditangguh kerana serabut sentiasa!

-Dr Seri Intan Mokhtar
Kuala Lumpur.
28 September 2008.


INFO SUARA PROLITAR:

JANGAN INGAT PAS CUKUP KUAT
KERJASAMA LEBIH BAIK DPD EGO

Amaran PAS (Harakah) minggu ni macam tegas bunyinya. PAS akan tarik diri kalau kerajaan Pakatan Rakyat tak amalkan prinsip Islam. Astaga! Hudud sampai sekarang pun senyap aje, sekalipun PAS sudah pegang Kelantan sejak 1990. Sekarang lima negeri dalam tangan PR, sudah laksanakan prinsip Islam atau belum? Calon PAS yang menang di Wilayah Persekutuan atau di kawasan 50-50 pecahan kaum kerana PAS atau PR? Lupakah 1990, PAS dapat 27 kerusi Parlimen dan kerajaan negeri Terengganu? 2003 semua tak bertahan lama fasal apa? Sebabnya, ingat PAS dah cukup kuat. Jadi, lebih baik bekerjasama daripada nak tunjuk ego – (SMS; 28 September 2008; 18:23:42 – Haji Lobo, Keramat, KL).

TAK MUNASABAH MINYAK TANAH
HARGA NAIK APABILA PASANG PANJUT.

Pasang panjut musim Hari Raya Aidilfitri, memang tak penting. Tapi, takkan harga minyak tanah (kerosen) langsung tak munasabah. Ada kedai jual RM7.50 satu liter seperti di Taman Seri Gombak. Sebaliknya ada kedai yang jual RM10 satu liter, di Selayang. Di kedai murah (jualan barang-barang langsung dari kilang), harga minyak tanah RM3.90 setengah liter. Kalau pasang panjut guna minyak petrol (RM2.45 satu liter di BP), tentu bahaya. Al-maklumlah minyak petrol! Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad rajin-rajinlah ‘turun padang’. – (SMS; 29 September 2008; 11:37:08 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SUKAR ORANGKAYA DATO’ LAKSAMANA
MELAWAN LANUN DI LAUT MASA SEKARANG

Syahdan akan kapal tangki negeri Melayu ‘M T Bunga Melati 5’ yang ditawan lanun di perairan Somalia sudah dibebaskan. Maka tak kedengaran pula nakhoda kapal itu yang membuat pengakuan. Arakian diberitahu oleh Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, semua anak kapal di dalam selamat. Maka kata orang banyak selepas mengambil alih jawatan Orangkaya Menteri Pertahanan, dapat diselesaikan perkara lanun itu. Kalau perkara lanun di perairan negeri Melayu, memang ianya tentu dilakukan oleh Megat Alang Dilaut. Tetapi di perairan lain, tentulah sukar bagi kerajaan Melayu itu memerintahkan Orangkaya Dato’ Laksamana (Menteri Pertahanan) ke sana. Apalagi kalau lanun-lanun itu dari Mongolia (kerana tak mempunyai perairan), adanya. Sebermula bertanyalah orang banyak, di mana pula akan lanun-lanun itu bersembunyi?

Hatta, tersebutlah perihal Orangkaya Laksamana di zaman dahulu kala, kalau lanun-lanun itu bersembunyi di perairan Somalia, kenapa kerajaan negeri itu berdiam diri pula? Adapun kerajaan Mongolia itu tiadalah ia mempunyai perairan seperti di Somalia di Teluk Aden, gamaknya. Maka kata Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, akan kapal ‘M T Bunga Melati 2’ masih belum dibebaskan. Arakian diberitahu orang banyak akan tabib dan pembantu perubatan sudah dihantar ke kapal itu. Maka sah sudah, kapal itu diketahui akan lanun yang merampasnya. Syahdan di masa dahulu kala, anak-anak kapal akan dibunuh oleh lanun-lanun, sebelum Orangkaya Lakasamana datang menyelamatkan. Oleh yang demikian Orangkaya Laksamana sudah tahu mengenai lanun-lanun itu, sama ada ia anak buah Megat Alang Dilaut mahupun di mana tempat sembunyinya.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan raja benua Siam. Daripada zaman dahulu kala negeri Siam itu Syahrun-nawi namanya disebut orang, dan segala raja-raja di bawah angin ini semua takluk kepadanya, dan nama rajanya Bubunnya. Kedengaranlah ke benua Siam bahawa Melaka negeri besar tiada takluk kepadanya, maka oleh Paduka Bubunnya menyuruh ke Melaka hendak minta surat sembah. Maka Sultan Muzaffar Shah tiada mahu menyembah ke benua Siam. Maka raja benua Siam terlalu marah, lalu ia menyuruh berlengkap menyerang Melaka; Awi Cakri nama panglimanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada tepermenai lagi. Setelah mendengar khabar itu, Sultan Melaka menyuruh menghimpunkan rakyat, kerana ianya bukan perbuatan lanun-lanun tetapi sebuah kerajaan lain yang mahu menceroboh kedaulatan Melayu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, September 27, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

ADAT SUDAH DIGUNA PAKAI:
BAGI MEMANTAU ERAT KELUARGA

Assalamualaikum,

Malam semalam (26 September 2008), adik saya mengirim SMS beritahu mengenai anak kepada sepupu saya (dipanggil Jamus) di masukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dalam keadaan koma. Memang saya tak cam lagi dengannya, kerana sewaktu tinggalkan kampung sekitar 1960-an, Jamus masih kecil. Ketika sepupu saya Kak Halijah meninggal dunia sekitar 1970-an pun, Jamus masih bersekolah menengah. Apabila menyertai tentera sekitar 1980-an, kemudiannya menetap di Johor memang tak pernah pun bersua. Kalau boleh cam pun wajahnya mirip ibunya, Kak Halijah di samping bertubuh sasa. Bagaimanapun sehingga laman blog ini ditulis, saya masih belum sempat untuk menziarahnya di IJN. Apalagi semalam (26 September 2008) pembantu muzium di Mizium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir menelefon mengenai buku Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman.

Ketika selesai subuh pagi ini (27 September 2008), saya diberitahu pula mengenai berpulangnya ke rahmatullah Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Abdul Razak bin Nozin, pembesar adat di luak Jelebu semalam (26 September 2008). Mungkin sahaja Dato’ Abdul Razak belum berusia 70 tahun. Sekalipun usianya lebih tua beberapa tahun sahaja daripada saya, tetapi sewaktu remaja memang kami berkawan. Di samping Dato’ Abdul Razak saya juga berkawan rapat dengan seorang lagi Waris Negeri (pembesar adat terkanan dalam struktor pentadbiran adat luak Jelebu) Dato’ Ombi Pangkal Maharajalela Abdul Kadin Kidam. Sewaktu saya dilantik oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris menduduki jawatan setiausaha adat dalam Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan pada 1989, mereka berdua belum lagi dilantik menyandang pesaka.

Justeru ketika saya menyusun buku ‘Luak Jelebu’ pada dekad 1990-an, Dato’ Menteri Abdul Razak dan Dato’ Ombi Abdul Kadin belum tersenarai sebagai penyandang pesaka. Memang mereka berdua kawan baik saya sejak remaja, sebaliknya selepas menyandang pesaka selaku Dato’ Menteri dan Dato’ Ombi, kami tak pernah berhubungan. Sekali sekala sahaja saya singgah di gerai Dato’ Ombi Abdul Kadin kerana secara kebetulan berdekatan dengan rumah emak saya di Kampung Petaling. Bagaimanapun apabila diminta nasihat mengenai pentadbiran adat, memang saya tak keberatan untuk berkongsi pengalaman dengan semua dato’-dato’ lembaga di Negeri Sembilan termasuk juga Dato’ Menteri Abdul Razak dan Dato’ Ombi Abdul Kadin.

Disebabkan sering ke ranah Minang (Minangkabau atau propinsi Sumatera Barat) sebagai sumber rujukan bersama Tan Sri Abdul Samad Idris, saya juga turut menegur ketaksuban masyarakat berkaitan Adat Perpatih. Justeru apabila dijemput menyertai Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sekitar 2003-2004, saya pernah menegur isu ‘mas kahwin’ dengan membezakan kadar bagi ‘anak dara’ dan ‘janda’. Sekalipun dalam mesyuarat diterima sebulat suara menghapuskan perbezaan kadar yang ditetapkan menerusi ‘Adat Perpatih’ (sebaliknya surah an-Nisaa’ ayat 4, tak disebut kadar yang berbeza), tetapi apabila diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Hassan kenaikan kadar ‘mas kahwin’, perbezaan itu terus dikekalkan. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KESAL PERHIMPUNAN DITANGGUH:
KU LI SARAN TOLAK PERHAMBAAN MINDA

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meminta warga Malaysia menolak perhambaan minda yang diamalkan oleh UMNO di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO percaya, kekuatan UMNO bagi jangka panjang ialah berasaskan pemimpin yang cinta bangsa, agama dan tanah air lebih daripada dirinya sendiri. Dalam sidang akhbar di kediamannya hari ini (27 September 2008), Tengku Razaleigh mengingatkan aktivis parti perlu memberi tekanan kepada MT, bagi memulihkan semula UMNO yang semakin tenat berikutan pakej pimpinan yang bobrok, pongah dan tak prihatin. “Pelan penangguhan bagi pemilihan UMNO yang dijadualkan Disember 2008 kepada Mac 2009 adalah satu prejudis kepada hak ahli-ahli UMNO,” katanya.

Seterusnya Tengku Razaleigh menyarankan, pemulihan UMNO perlu dilakukan segera bukan menunggu kestabilan parti seperti melihat fatamorgana di tengah gurun. Beliau berkata, janji bagi kestabilan parti hanya fantasi politik yang tak akan kesampaian selagi perhambaan minda terus dijadikan modal untuk mengeksploit kejujuran, keluhuran dan keikhlasan ahli-ahli UMNO. Kebobrokan yang berlaku dalam UMNO bukan diselesaikan dengan memesongkan minda rakyat, sebaliknya memerlukan rangkaian kebijaksanaan atau kebebasan intelektual membawa rakyat menyokong setiap program yang dilaksana UMNO. “Ketika orang Melayu mula menjauhkan diri daripada UMNO, janganlah dijana langkah negatif yang menyebabkan mereka semakin menutup minda terhadap perjuangan UMNO,” beritahu Tengku Razaleigh.

UMNO SUKAR UNTUK STABIL
WALAU PEMILIHAN DITANGGUH LAGI.

Langkah menangguhkan pemilihan UMNO dari Disember 2008 kepada Mac 2009, dianggap muslihat bagi menyembunyikan kebobrokan UMNO yang semakin parah, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak sama dengan insiden 1969 antara Tunku Abdul Rahman-Tun Abdul Razak atau 1981 Tun Hussein Onn-Tun Dr Mahathir dan 2003 Tun Dr Mahathir-Dato’ Seri Abdullah, beritahu Dato’ Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA. Beliau tak menolak kemungkinan peralihan kuasa Dato’ Seri Abdullah-Dato’ Seri Mohd Najib akan mewujudkan masalah baru. “Pelan peralihan kuasa yang terbaik ialah Pak Lah tak menyertai pertandingan pada Disember 2008, seperti dilakukan oleh Tun Hussein pada 1982,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Memang keputusan itu pahit untuk ditelan, tetapi ianya memberi manfaat kepada UMNO dan perjuangan majoriti orang Melayu, menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Mengulas keputusan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam (26 September 2008), Dato’ Kamal Amir memberitahu, kalau mahu menunggu UMNO stabil ditangguhkan kepada Mac 2009 pun ianya tak akan berlaku. Pimpinan UMNO yang ada sekarang termasuk Dato’ Seri Mohd Najib tak mampu untuk menstabilkan UMNO, sekalipun ditangguhkan pemilihan pada tahun hadapan, beliau mengingatkan. Sebaliknya UMNO perlu di ‘overhaul’ seperti disarankan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi meneruskan kesinambungan. “Sukar meneruskan perjalanan kenderaan yang rosak, kalau gunakan mekanik yang sama,’ ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(13)

4
OMBAK KIAN MENGGEGAR:

KAWAN KETAWA RAMAI DI SISI:
KAWAN MENANGIS SEORANG DIRI

TAK seorang pun kawan yang ketawa bersama terconggok di sisi dalam saat terlonta-lonta seorang diri. Abang Din yang bersemangat mengajak ikut turun memancing ke laut entah ke mana! Usin Sodok, Mail Kengkang dan Sahak Salai juga tak nampak kelibat lagi memberi bantuan.

Mahu saja saya mealung memanggil mereka di tengah malam yang dingin dengan puputan angin itu. Tetapi masakan mereka mendengar laungan saya. Apalagi kami sudah berpecah sewaktu membolos keluar dari gua di celah terumbu batu karang. Entah kenapa mereka berempat tak menunggu sehingga saya tiba semula ke tempat bot tersembunyi?

“Nampaknya, Abang Din khianati aku!” gerutu saya kecewa dengan sikap kawan-kawan meninggalkan saya terlonta-lonta seorang diri di pulau kecil berkenaan.

“Tak mungkin, boleh jadi Abang Din dalam bahaya,” sahut hati kecil saya semakin mendebarkan.

“Kenapa Abang Din tinggalkan aku?” bentak saya perlahan menggertap bibir tak dapat menahan rasa marah yang meluap-luap.

“Boleh jadi Abang Din dah ditangkap semula oleh Si Tongkol,’ hati kecil saya terus mendengus tak ketahuan.

“Tapi, tak nampak pun bot laju Si Tongkol balik ke pulau!’ saya mencebek bibir kerana kesal apabila kenang keempat-empat kawan berkenaan menghilangkan diri.

“Jangan salahkan orang lain, salahkan diri sendiri!” semakin keras hati kecil saya membentak dan mengejek-ejek.

Di peringkat itu saya bertambah hiba. Asal sahaja terkenangkan emak, ari mata saya semakin banyak mengalir. Apalagi deru ombak yang menggegar di kaki terumbu batu karang seolah-olah memukul ke dada. Emak bagaikan berlari di tengah kegelapan malam itu mahu selamatkan saya.

Dalam linangan air mata terharu, saya melihat emak seolah-olah berlari meniti ombak yang bergulung menghempas ke kaki terumbu batu karang. Emak melambai-lambai tangan di kejauhan sebaik sahaja ternampak saya terperosok di perdu pokok tengah belukar berkenaan. Tak bertangguh emak melayang dari udara menyambar tangan saya yang terkial-kial harapkan pertolongan.

Emak terus mendakap saya tak mahu dilepaskan. Ketika itu saya terasa bagaikan bayi kecil harapkan perlindungan emak semata-mata! Apabila saya tersengguk-sengguk laksana bayi menangis laparkan susu, emak semakin kedap memeluk saya. Emak dodoikan seolah-olah memujuk sewaktu bayi semakin galak menangis.

Di celah gumpalan awan pekat di udara tiba-tiba abah terjongol muka. Dia mencemik memberi isyarat supaya emak tinggalkan saya terperosok di perdu pokok. Abah tak mahu emak terlalu manjakan anak-anak hinggakan mua tak terbatas. Disebabkan abah tercegat di celah rekahan awan hitam, emak terpaksa lepaskan saya saya daripada rangkulan.

Sekaligus pula angin berpusar menyedut emak bersama abah dalam gumpalan awan berlapis-lapis macam balanket dikerenyuk atas katil. Terputus-putus suara saya memanggil emak dipusar angin di udara. Tetapi emak sekadar melambai-lambai tangan bagaikan Mak Tanjung ditelan batu belah batuk bertangkup. Mak Tanjung tak peduli lagi anak-anaknya Si Melor dan Si Pekan terlonta-lonta harapkan kasih sayang seorang ibu.

“Emak, saya di sini!” laung saya mendongak ke udara memerhati awan pekat hitam bergulung sama macam ombak di permukaan laut. Tetapi laungan saya tak kedengaran di mana-mana; laungan itu sekadar bergema jauh di lubuk hati saya.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)

PUISI LAMA

Lirik Lagu Melayu Asli

(dengan apologi)

Dari mana hendak ke mana
tinggi rumput dari padi
ahli UMNO terus merana
Disember berebut tak menjadi.

Dari mana punai melayang
dari sawah turun ke padi
biar UMNO mabuk kepayang
apabila payah mendapat undi.

Tinggilah tinggi si matahari
anak kerbau mati tertambat
Najib mimpi Anwar menari
Ku Li ceridau cari pejabat.

Seri Mersing lagu Melayu
dikarang oleh biduan dahulu
UMNO runsing Mahathir sayu
mengenang nasib bangsa selalu

Sayang damak buluh sumpitan
hendak menyumpit rusa di hutan
kerana tamak lupa daratan
rasuah dan kroni jadi sebutan.

Sayang Mas Merah jangan merajuk
mari ke mari saya nak pujuk
UMNO parah semakin sejuk
Khairy tak dapat beri pertunjuk.

Sayang Sarawak sungainya sempit
nakhoda datang berjual beli
kalau Pak Lah rasa tersepit
elok bincang dengan Ku li

-Omar Yassin
Sg Besar, Selangor
26 September 2008


INFO SUARA PROLITAR

TURUN HARGA MINYAK MERUNGUT:
PERSATUAN DIAM KETIKA HARGA NAIK

Harga minyak turun mulai 25 September 2008, persatuan pengusaha stesen minyak (PDAM) pula merungut. Presidennya Mejar (B) Abdul Wahid Bidin ungkit fasal stok lama. Tapi, semasa harga minyak naik mendadak hingga RM2.70 satu liter, tak pula timbul stok lama. Maknanya, stok lama dapat beli dengan murah, jual ikut harga baru. Turun harga 10 sen satu liter pun tak bermakna stok lama harga runcitnya RM2.55 satu liter, tentu lebih murah lagi. Kalau kurang 10 sen satu liter pun tak rugi apa. Lainlah kalau nak untung huh huh huh! – (SMS; 26 September 2008; 16:41:08 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

UCAPAN TAKZIAH TERUS DITERIMA
SEMOGA ROH IKRAM DIRAHMATI ALLAH

Al-Fatihah. (Semoga belum terlambat). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya (Allahyarham Ikram Hafiz yang berpulang ke rahmatullah pada 26 Ogos 2008 akibat kemalangan motorsikal dalam perjalanan balik dari Unisel, Batang Berjuntai ke rumah di Taman Seri Gombak, bersama rakannya Allahyarham Shamsul Ariffin bin Noordin, dari kursus Komputer Industri) dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Takziah dan salam. – (SMS; 26 September 2008; 22:58:56 – Dato’ Abdul Aziz Deraman, bekas Ketua Pengarah DBP, Taman Melewar, Gombak).

CELOTEH LAGU BERSAMA PEMINAT:
SESUAI DENGAN ANDAIAN YASSINSALLEH

2008 Karaoke survey results: Mahathir’s (Tun Dr Mahathir Mohamad) favourite song ‘My Way’, Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) ‘Dream, Dream, Dream’, Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) ‘Your Cheating Heart’, IGP (Tan Sri Musa Hassan) ‘I’ll Be Watching U’, Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) ‘Winds of Change’, Saiful (Mohd Saiful Bukhari Azlan) ‘I Swear’, and the winner is Syed Hamid (Dato’ Syed Abdul Hamid bin Syed Jaafar Albar) ‘What Kind of Fool Am I’ – (SMS; 27 September 2008; 00:18:34 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

DATO’ MENTERI LUAK JELEBU
PEMBESAR ADAT MENINGGAL DUNIA

Dato’ Menteri Abdul Razak bin Nozin, meninggal dunia semalam (26 September 2008). Dalam pentadbiran adat di luak Jelebu, Dato’ Menteri adalah salah seorang daripada dua Waris Negeri (seorang lagi ialah Dato’ Ombi Pangkal Maharajalela) yang menetapkan hala tuju peraturan adat di luak ini. Apabila Undang Luak Jelebu meninggal dunia, Dato’ Ombi akan mencari benih (menentukan bakal Undang), sementara Dato’ Menteri pula menanam benih (memproklamir bakal Undang). Gelaran penuhnya ialah Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, yang akan memangku pesaka (jawatan) Undang Luak Jelebu, sementara pelantikan baru dibuat – (SMS; 27 September 2008; 07:04:06 – Abdul Latiff Haji Ahmad, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERALIHAN KUASA DIJANGKA LEBIH CEPAT
TIADA KEBAIKAN JIKA BERLAKU PEREBUTAN KUASA

Sebermula gemparlah sekalian orang banyak akan berlaku peralihan kuasa lebih cepat daripada yang dipersetujui sebelum ini daripada Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, seperti dititir canang hari ini 27 Ramadan 1429 (atau disebut orang banyak 27 September 2008). Maka terlalulah gembira Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib dengan memberitahu perjumpaan harakah Melayu (UMNO) yang dijangka Zulhijjah 1429 akan ditangguhkan kepada Rabiulawal 1430 (atau barangkali Mac 2009). Arakian berkatalah sekalian orang-orang besar, akan perihal Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu dipercayai akan meletak jawatan pada Rabiulawal 1430. Maka sekalian orang-orang besar itu tak dapat menyembunyikan perasaan mereka, peralihan kuasa pun tak akan membawa kebaikan selagi berlaku berebut-rebut kuasa itu, adanya.

Syahdan diberitahu orang banyak akan kejadian Tun Besar anak Bendahara Paduka raja dibunuh oleh Raja Muhammad. Maka sahut segala anak-anak buah bendahara, ‘Sahaya semua hendak berbalaskan kematian saudara saya semua.’ Bendahara pun berkata, ‘Hai, hai hendak derhakakah kamu sekalian? Ceh, kamu sekalian; kerana tiada adat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini.’ Segala kejadian itu disembahkan kepada Sultan Mansor Syah. Setelah baginda mendengar sembah Tun Indera segara, disuruh baginda memanggil Seri Bija Diraja datang. Arakian baginda pun menitahkan Seri Bija Diraja merajakan anakanda Raja Muhammad itu ke Pahang.

Adapun Sultan Mansor Syah di atas takhta Melaka itu adalah gelarannya, kerana nama baginda ialah Raja Abdullah. Setelah beberapa lamanya, datanglah peredaran dunia maka Sultan Mansor Syah pun geringlah. Telah diketahui baginda akan peralihan kuasa perlu berlaku, disuruh baginda memanggil Raja Husin (tak disebut pula mengenai Raja Najib). Ada seorang putera baginda, Paduka Seri Cina namanya, anak dengan Puteri Hang Li Po sudah dirajakan di Jeram, hampir Langat. Telah datang Raja Husin, maka titah baginda, ‘Ketahui oleh kamu sekalian, bahawa yang dunia ini telah lepaslah rasanya daripada kami, melainkan negeri akhirat semata-mata yang ku hadap. Adapun pertaruhkulah anak kita Husin kepada Bendahara dan segala orang besar-besar sekalian,’ seperti disebut mengenai peralihan kuasa dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, September 25, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

HARGA PETROL TURUN 10 SEN SELITER
HARGA KELAPA MELAMBUNG RM1.80 SEBIJI

Assalamualaikum,

Ketika balik dari teh tarik bersama adik angkat saya Ir Adnan Khalid semalam (24 September 2008), jam 1.30 pagi (masuklah ke tarikh 25 September 2008), beliau singgah mengisi minyak kenderaan di stesen Petronas Taman Seri Gombak, harga petrol sudah diturunkan 10 sen satu liter. Alhamdullillah! Sejak 23 Ogos 2008 harga petrol RON97 turun kepada RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40). Sebelum ini memang ramai yang menunggu tarikh 16 September 2008, bagi memastikan harga minyak turun apabila ‘kerajaan baru’ diproklamir. Ironinya, diesel yang satu ketika dulu terlalu murah dibandingkan petrol, tiba-tiba pula lebih mahal sekarang, ketika kenderaan pengangkutan sama ada bas mahupun lori menggunakan bahan bakar, diesel.

Jiran di sebelah rumah pula yang merayakan kedatangan Aidilfitri dengan memasang panjut di keliling rumah, tiba-tiba berkerut dahi apabila harga minyak tanah (minyak gas) naik ke paras RM7.50 seliter. Sekitar dekad 1960-an harga minyak tanah pada kadar 10 sen bagi botol (satu kati), tetapi sekarang lebih berharga daripada petrol. Di kampung-kampung juga seperti di Bagan Sungai Belukang, Bagan Datoh di Perak sekitar dekad 1970-an, nelayan-nelayan menggunakan minyak tanah bagi diisi ke dalam tangki motorsikal kapcai kerana murah, sekalipun asap menerusi ekzos hitam pekat, tetapi mereka terpaksa isikan kerana tak mampu menggunakan petrol. Begitulah! Alaf baru 2000 ternyata barang bernilai satu ketika dulu menjadi tak bernilai, di samping barang yang tak bernilai bertukar lebih bernilai. Aduhai!

Mungkin sahaja Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mustapha Mohamad masih belum menyedari harga kelapa siap diparut di kedai runcit sekitar Lembah Kelang menjangkau RM1.80 sebiji. Dato’ Mustapha sekadar ‘turun padang’ di Bacok, Kelantan melihat tanaman padi, di samping kamera TV tercancang bagi disalurkan berita tersebut ke media elektronik. Sekalipun Dato’ Mustapha ‘turun padang’ ke tengah bendang, beras di pasaraya masih tak turun harga. Paling murah pun jenama ‘Fadzilah’ dengan campuran 5% beras hancur bagi kampit isian 10 kilo, masih lagi pada kadar RM25.90 di pasaraya NSK Selayang, berbanding dengan sebelum PRU12 (3 Mac 2008) ialah RM15.90. Kadar kenaikan harga barang yang mendadak, meledak dan menggelodak inilah puncanya BN di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berdepan keberangan rakyat.

Apalagi kepongahan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid bin Syed Jaafar Albar hari ini (25 September 2008) menempelak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah supaya tak campur urusan kementeriannya. Kalau timbalan menteri tak boleh nak tegur, siapa pula yang boleh menegur kementerian dalam negeri. Memang pendekatan Dato’ Seri Syed Hamid jauh berbeza dengan ayahnya Almarhom Tan Sri Syed Jaafar Albar yang sanggup singsing lengan baju berhadapan dengan Menteri Pelajaran (sekitar dekad 1970-an) dalam isu membuang pelajar-pelajar Melayu di IPTA yang terbabit dengan demonstrasi Baling. Kata Tan Sri Syed Jaafar, “Kalau barah pada tubuh memang doktor boleh buang, tapi kalau anak-anak Melayu dibuang dari IPTA berapa kerat lagi yang tinggal!”. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


PERALIHAN KUASA ‘KERAJAAN BARU’
BUKAN SEMUA AHLI PARLIMEN PR SETUJU.

Bukan semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bersetuju dengan gimik politik penubuhan ‘kerajaan baru’ yang diwar-warkan selepas gagal menemui sasaran pada 16 September 2008 yang lalu, menurut sumber penganalisis politik. Sekalipun Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengakui dakwaan pertemuan pihaknya dengan wakil Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ‘tak betul’, tetapi beberapa pihak bersetuju dengan penjelasan Dato’ Abdullah ianya sebagai ‘berita gila’. Seterusnya kata sumber berkenaan, kalangan ahli Parlimen PR juga tak bersetuju dengan gimik politik hingga memperlihatkan ianya sekadar ‘main-main’. “Politik perlu serius, bukan gimik yang dilihat macam ‘main-main’ seperti budak-budak sekolah,” beritahu sumber tersebut memetik pandangan beberapa ahli Parlimen PR.

Seterusnya sumber tersebut memberitahu, langkah menjatuhkan kerajaan BN di bawah Dato’ Seri Abdullah boleh diklasifikasikan sebagai ‘rampasan kuasa’. Justeru katanya, kalau ‘rampasan kuasa’ gagal mereka yang terbabit akan berhadapan pula dengan risiko undang-undang kerana mahu ‘menggulingkan’ kerajaan yang sah. Malah kata sumber itu menambah, ‘rampasan kuasa’ tak digalakkan dalam sistem demokrasi berparlimen kecuali apabila diisytiharkan ‘undang-undang tentera’. Menurut sumber berkenaan, pelan peralihan kuasa sudah dipersetujui menerusi keputusan yang dicapai oleh pimpinan UMNO, justeru sekiranya berlaku peralihan kuasa dengan Ahli-Ahli Parlimen melompat, ianya tetap ditafsir sebagai ‘rampasan kuasa’. “Darurat wajar diisytihar apabila berlaku ‘rampasan kuasa’ yang menyalahi sistem demokrasi berparlimen,” beritahu sumber berkenaan selanjutnya.

WEE TETAP AKAN PERKUKUH MDP
MAJORITI AHLI TERUSKAN SOKONGAN

Setiausaha Agung Parti Demokrasi Malaysia (MDP) Wee Choo Keong memberitahu, partinya kekal sebagai wadah politik berbilang kaum, sekalipun beliau bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU12 yang lalu. Bagaimanapun menurutnya, MDP juga kekal bersama PKR dalam menghadapi lanskap politik sekarang kerana dasar perjuangannya yang hampir sama. Katanya, MDP tak akan dibubarkan bagi diserapkan ke dalam PKR, disebabkan majoriti ahlinya mahukan parti itu kekal dengan identiti sendiri. MDP menyertai PRU12 menerusi PKR sama seperti pembabitan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dipimpin Dr Nasir Hashim, beritahu Wee Choo Keong yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju. “MDP akan terus berjuang seperti sebelumnya demi keadilan sosial dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Menurut Wee seterusnya, MDP yang bertapak di Wilayah Persekutuan akan digerakkan ke negeri-negeri lain dengan menubuhkan cawangan-cawangannya bagi menghadapi senario politik akan datang. Buat masa ini beritahu Wee, MDP sudah digerakkan ke Sandakan di Sabah di bawah pimpinan Fung Ket Wing, yang juga bekas Ahli Parlimen Sandakan. Seterusnya beliau mengakui selepas PRU12, sokongan kepada MDP semakin menggalakkan berdasarkan permintaan banyak pihak mahu menggerakkan parti itu di kawasan di luar Wilayah Persekutuan. Wee turut memberitahu, beliau akan turun padang bersama pimpinan partinya seperti Fung Ket Wing, Chua Ku Eng dan beberapa lagi. “Majoriti ahli MDP masih setia bersama pimpinan, justeru kita akan perkukuhkan jentera parti,” beritahu Wee menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(13)

4
OMBAK KIAN MENGGEGAR:

ANAK PETANI BERJASA BESAR:
MAMPU HARUMKAN NAMA KELUARGA

SAYA tunduk mendiamkan diri. Tak sepatah pun saya menyahut sekalipun disindir berterusan. Apalagi abah sering ungkit mengenai Cyrus McComick anak petani yang mampu harumkan nama ayahnya setelah mencipta model mesen menuai gandum. Ketika ayahnya Robert McComick hampir kecewa mahu usahakan 532 ekar kawasan pertanian, dia masih berusia 15 tahun tetapi sudah mampu menggembirakan hati ayahnya.

“Masa itu tahun 1824, Cyrus tak belajar sains dan teknologi lagi, tapi dia mempunyai idea mencipta mesen menuai gunakan tenaga kuda,” beritahu abah mengenai bahan bacaan ketika habiskan masa di perpustakaan awam.

Sengaja abah sebut mengenai Cyrus McComick anak petani kelahiran di utara Lexington, Virginia di Amerika Syarikat. Abah ingatkan menjadi pencipta teknologi juga tak semestinya dari kalangan institusi pengajian tinggi, anak petani macam Cyrus pun mampu mengukir nama menjadi ‘Bapa Pertanian Moden’.

Tahu sangat abah mengenai minat saya dalam kejuruteraan mekanikal, hingga banyak radio atau peti televisyen yang mengalami kerosakan terus musnah apabila saya cuba baiki. Emak akan merungut panjang asal sahaja saya membuka habis sama ada radio, peti televisyen mahupun CPU komputer yang mengalami kerosakan.

Apalagi tiga CPU komputer abah berkecai disebabkan saya cuba membaiki. Sebab itu emak melarang saya membaiki barangan elektrik. Tetapi abah tak pernah membantah kalau saya betulkan komponen dalam CPU komputernya. Abah akan beli CPU yang lain sekiranya saya gagal baiki CPU yang rosak itu.

Malah beberapa kali kereta abah mengalami kerosakan, saya akan selongkar habis enjinnya. Memang saya cam sangat mengenai wayar starter, plug, contact point, oil filter, kabarator atau lain-lain komponen yang berkaitan. Kalau takat minyak petrol tak mengalir lancar dari kabarator, saya sudah dapat mengenalpasti punca masalahanya.

“Kamu jangan jadi anak nakal, Hafiz,” berulang kali emak ingatkan asal sahaja saya melakukan kesilapan.

Tetapi saya tak dapat mengawal emosi apabila dilarang ikut Abang Din memancing ke laut. Sekali sekala bertemu kawan-kawan di kampung kecewa juga saya fasal dilarang mengikut mereka ke laut, seolah-olah saya masih lagi anak kecil.

Sebab itu saya tak hiraukan larangan emak. Dalam diam-diam saya turun ke bilik air di dapur seolah-olah mahu solat subuh. Bukan sahaja saya tak solat subuh, malah turut melukakan hati emak. Saya terus menunggu Mail Kengkang di tepi jalan menuju ke bagan.

Memang di situlah kami berjanji untuk bertemu sebelum membonceng motorsikalnya untuk ke bagan. Abang Din, Sahak Salai dan Usin Sodok lebih awal sampai ke bagan, disebabkan mereka memang sering turun ke laut bersama. Cepat-cepat pula Abang Din menyuruh membeli bekalan makanan di gerai, kerana bimbang disedari oleh ayahnya Alang Seman.

“Oh Tuhan, di manakah aku sekarang?” bisik saya tersengguk-sengguk kerana terlalku hiba apabila kenangkan emak. Ketika itu saya merasa bersalah terhadapnya. Saya terlalu mementingkan diri sendiri mahu melakukan apa sahaja terlintas di hati. Di tengah kegelapan pulau kecil itu tak kelihatan apa-apa. Hanya deburan ombak sahaja bertambah galak menggegar di sekeliling pulau berkenaan.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)

PUISI

Apologi Syair Yatim Mustapha

Ada kepada suatu hari
Yatim Mustapa membawa diri
berjumpa naga di hutan negeri
memberi geliga berseri-seri.

Geliga hikmat terlalu sakti
kuasanya boleh menjadi bukti
segala penyakit sembuh diubati
kepada raja boleh berbakti.

Perdana Menteri turut gembira
sakti Yatim Mustapha tiada tara
segala pembesar menurut bicara
kalau melawan hiduplah lara.

Syahdan geliga sangat berguna
Perdana Menteri turut terpesona
puteri diberi harapan dilaksana
Yatim Mustapha menantu bijaksana.

Yatim Mustapha di balairong empat
di keliling pembesar setiap tempat
memberi perintah jangan melompat
kalau tak mahu hidup merempat.

Lupa Yatim Mustapha akan bencana
anak Melayu hidupnya merana
sudah lama jadi papa kedana
negara mewah, hasil entah ke mana?

Hendaklah Yatim Mustapha berhati-hati
geliga hikmat bukanlah sakti
kuasanya tak boleh dibawa mati
sampai waktu hilanglah bukti!

-Cucu Tok Azit
Kubu Gajah, Pelangai,
Pahang.
24 September 2008.

INFO SUARA PROLITAR

PUNCA LIMPAHAN AIR DIKENAL PASTI:
PENGURUSAN SEKOLAH BAIKI PARIT PECAH

Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara yang tersebut di atas (Limpahan air kotor dari Sekolah Cina Petaling ke rumah no 293, Kampung Petaling).

Adalah dimaklumkan bahawa Bahagian Khidmat Masyarakat dan Perbandaran Majlis Daerah Jelebu telah membuat lawatan dan siasatan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Petaling pada 17 September 2008 dan mendapati punca limpahan air tersebut ialah terdapat parit simen yang pecah di beberapa tempat berhampiran dengan rumah No 293 Kampung petaling. Walaubagaimanapun erkara itu sudah diatasi oleh pihak pengurusan sekolah dengan membaiki bahagian-bahagian parit yang pecah tersebut. Keprihatinan pihak tuan (PRIMA) amat kami hargai dan diucapkan terima kasih. – (Surat rasmi; 22 September 2008 – Muhammad bin Haji Abdullah, b.p. Yang Dipertua, Majlis Daerah Jelebu, Negeri Sembilan).

DUSTA MEMBUDAYA
DI ALAF 21

OLEH : Asalbayu

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek merlahirkan rasa hairan kerana rakyat masih percaya pembohongan seperti yang tersiar di Utusan Malaysia dan ia boleh dibaca di laman http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm . Sehari kemudian, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan warga kementeriannya supaya jangan mudah mendengar khabar angin kerana ia juga sejenis pembohongan dan jarang menjadi realiti seperti laporan akhbar yang sama. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm.Sebenarnya ia bukanlah perkara yang menghairankan kerana bohong atau dusta sebenarnya adalah budaya alaf 21 yang dilakukan oleh sesiapa sahaja kecuali jika seseorang itu takut untuk menjadikannya sebahagian sifat orang-orang munafik. Mengikut hadis sahih Rasulullah pernah melahirkan rasa bimbang menerusi sebuah hadis yang lebih kurang bermaksud: Sifat orang munafik itu ada tiga; apabila bercakap dia dusta (bohong), apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia khianat. Sekiranya ketiga sifat tersebut diamalkan, maka jadilah dia munafik sejati sehingga ditinggalkan semuanya. Dan jika salah satu daripadanya masih ada padanya, dia memiliki sebahagian daripada sifat-sifat orang munafik sehinggalah ditinggalkannya. Ada juga hadis yang menyatakan satu perkara lagi ialah apabila berbalah, dia melampaui batas; hendak menagang.Di luar daripada maksud menghukum sesiapa, orang ramai wajar sekali merenungi beberapa perkara yang blangsung beberapa waktu mutakhir ini. Ia diawali dengan perkara janji kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel selepas Pilihan Raya Umum 12 (PRU12) tetapi ternyata janji itu telah dikhianati di awal Jun 2008 (dua bulan lebih selepas PRU12). Pendustaan terbesar juga berlaku menjelang tarikh pembubaran parlimen, bahkan beberapa jam sebelum ia dibubarkan, masih berlangsung pendustaan yang sama. Kenaikan harga petrol dan diesel yang juga turut mempengaruhi kenaikan harga barang keperluan serupa. Mengikut kenyataan kementerian bertanggungjawab seperti dijelaskan oleh menteri terbabit pelarasan harga akan dilakukan pada bulan Ogos 2008.Itu adalah sebahagian yang nyata sedang berlaku dan mungkin banyak lagi yang bakal berlaku.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA TAK KE AMERIKA SYARIKAT:
MENJADI UTUSAN PERLULAH ORANG BIJAKSANA

Sekali persetua tersebutlah ceritera Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tidaklah jadi ia berkunjung ke negeri atas angin (iaitu Amerika Syarikat) hari ini 25 Ramadan 1429 (atau disebut orang banyak 25 September 2008). Maka diberitahu kepada segala penitir canang, adapun pembatalan itu dibuat kerana iktisad dunia memerlukan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu berada di dalam negeri, adanya. Syahdan Orangkaya Menteri Luar Dato’ Seri Dr Rais Yatim itulah dilantik menjadi ketua perwakilan negeri Melayu (Malaysia) dalam mesyuarat peringkat dunia itu (PBB) pada 29 Ramadan 1429 (atau 29 September 2008) kelak. Arakian fakir diberitahu terlalulah sesuai Orangkaya Dato’ Seri Rais itu menjadi utusan negeri Melayu kerana bijaksananya sama seperti Tun Perpatih Putih ketika ke negeri China dahulu, iaitu pada zaman nenek moyang fakir, adanya.

Arakian sekalian orang banyak bertanya sama sendiri, kenapalah gerangan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu masygol dengan kedudukan iktisad, hingga dibatalkan tugas melawat ke negeri atas angin. Maka kata sekalian anak orang-orang besar, adapun Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terlebih maklum akan bijaksana Orangkaya Dato’ Dr Rais Yatim sesuai menjadi utusan. Syahdan adapun akan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib bolehlah bercakap di dalam negeri sahaja, kerana pada masa dahulu utusan itu adalah orang bijaksana. Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan raja China. Telah kedengaranlah khabar kebesaran raja Melaka itu ke benua China, maka raja China pun mengutus ke Melaka, bingkisnya jarum sarat sebuah pilu.

Maka Tun Perpatih Putih, adik Bendahara Paduka Raja dititahkan Sultan Mansor Shah ke benua China. Syahdan Tun Perpatih Putih pun belayarlah. Telah beberapa lamanya di jalan maka sampailah ke benua China. Maka oleh raja China disuruhnya arak surat dari Melaka itu, dihentikan di rumah Perdana Menteri yang bernama Li Po. Maka ada kepada suatu hari Tun Perpatih Putih menghadap. Maka titah raja China, ‘Apa kegemaran orang Melaka makan?’ Maka sembah Tun Perpatih Putih, ‘Tuanku, kegemaran patik semua orang Melayu makan sayur kangkung; jangan dikerat, di belah panjang-panjang.’ Telah sudah masak dihantarkan di hadapan Tun Perpatih Putih dan segala orang Melaka pun makanlah, dibibitnya hujung kangkung itu seraya ia menengadah, maka dapatlah mereka menatap muka raja China di atas singgahsana itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, September 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PET DIHANTAR KE KEMUNTING, TAIPING
DITAHAN TANPA BICARA, KUASA MENTERI

Assalamualaikum,

Masuk hari ke 24 Ramadan (24 September 2008), Raja Petra Kamaruddin (Pet) mula ditahan di Kemunting bagi tempoh dua tahun di bawah Seksyen 8(1) ISA yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri menahan tanpa bicara mengikut Seksyen 73(1)ISA. Secara historikal, Menteri Dalam Negeri pada period Tun Dr Ismail Abdul Rahman dianggap hebat apabila langkah keselamatan disasarkan kepada anasir subversif dan militan komunis. Pet dihantar ke Kem Tahanan Kemunting di Taiping, menjadikan beliau kerabat diraja pertama dihantar ke sel tahanan ISA. Sebelumnya pada 1961 Dato’ Ahmad Boestamam membuka rekod sebagai Ahli Parlimen pertama ditahan di bawah ISA, apabila menentang penubuhan Malaysia yang dianggapnya ‘neo-kolonial’.

Maknanya, Pet tak merasa diletakkan selama 60 hari seperti pernah dialami oleh Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) di dalam bilik SW pada period penjajah (yang ditafsir beliau sebagai bilik ‘Sihat Walafiat’). Sekalipun tak menikmati 60 hari dalam bilik SW, tetapi penderaan rohaniah tetap diterima oleh Pet kerana seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dato’ Ahmad Boestamam ditahan pada 1961 juga ketika umat Islam menjalani ibadah puasa, justeru beliau dipisahkan dengan anak isteri menjelang Hari Raya Aidilfitri. Selepas dua tahun nanti, kita pastinya menunggu buku pengalaman Pet di Kemunting seperti pernah dilakukan oleh Dr Kassim Ahmad, Dato’ Ahmad Boestamam dan Abdul Aziz Ishak.

Berdasarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Jaafar Albar penahanan tersebut berikutan siasatan polis terhadap tulisan Pet terdapat unsur menghina Islam, menghasut dan boleh membangkitkan kemarahan serta menjejaskan ketenteraman dan keamanan negara. Andaian Dato’ Seri Syed Hamid sama seperti dakwaannya semalam (23 September 2008) mengenai kenyataan Ahli Parlimen Seputeh yang diberi makanan ala ‘makanan anjing’ ketika ditahan. Ketika Dato’ Seri Syed Hamid mendabik dada kononnya dakwaan Ahli Parlimen terbabit tak betul, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah mengakui tahanan diberi sarapan 60 sen, RM2.00 makan tengahari dan RM1.90 makan malam.

Senator T Murugiah membuat kenyataan selepas ‘turun padang’ dengan melawat Balai Polis Travers, berbeza dengan Dato’ Seri Syed Hamid setelah berbuka puasa dengan anggota PDRM Kelantan (23 September 2008) yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan, Dato’ Abd Rahim Hanafi. Sudah tentu makanan yang disediakan ketika Dato’ Seri Hamid Albar berbuka puasa tak sama dengan tahanan di lokap balai polis. Mungkin sahaja Dato’ Abdullah Ahmad (Kok Lanas) boleh berkongsi pengalaman dengan Dato’ Seri Syed Abdul Hamid berkaitan isu tahanan ISA, disebabkan beliau juga pernah ditahan pada period Tun Ghazali Shafie menjawat Menteri Dalam Negeri. Atau sebaik-baiknya Dato’ Seri Abdul Hamid berkunjung ke kediaman Tun Ghazali bagi mendalami isu ISA ini secara ‘turun padang’.

-Pak Dharma

INFO SASTERA & BUDAYA


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(12)

4
OMBAK KIAN MENGGEGAR:

TERLONTA JAUH SEORANG DIRI:
TERINGAT EMAK TEMPAT BERMANJA

MEMANG tak dapat dibayangkan kebimbangan di hati ketika terlonta-lonta seorang diri di belukar tengah pulau. Deburan ombak memukul terumbu batu karang di bawah bukit kedengaran menggetarkan. Laut di sekeliling pulau kecil itu hitam macam buntut kuali tersangkut di dinding.

Tetapi saya percaya di pulau berkenaan tak mungkin terdapat binatang buas berkeliaran kerana lokasi di situ terpencil. Binatang buas juga akan mati kebuluran kalau harapkan ikan-ikan yang bermain di terumbu batu karang menjadi makanan rutinnya. Kalaupun terdapat binatang liar, mungkin kera habitat yang mudah membiak.

Disebabkan tak bertemu lagi kawan-kawan lain, saya mengambil keputusan bersembunyi sahaja di dalam belukar menunggu siang menjelang. Di lokasi pulau yang terlalu kecil itu mudah melihat ke bawah ketika bersembunyi di puncak bukit. Malah saya sendiri tak mampu lari ke mana-mana sekiranya diburu Si Tongkol bersama kunco-kunconya!

Ketika itu seolah-olah terdengar suara emak berbisik ingatkan supaya tak ikutkan sangat emosi. Sikap keras hati saya seringkali menyebabkan emak menitiskan air mata. Apalagi ketika saya mengalami patah kaki akibat jatuh motorsikal, memang emak tak dapat menahan sebak.

“Emak dah ingatkan, jangan menipu ibu bapa!” gerutu emak sebaik sahaja saya dihantar balik ke rumah waktu tengah malam dengan kaki bersimen.

“Kakak tak perlu bimbang, Hafiz sekarang dah selamat,” pujuk Rafi wakil pejabat peguam yang uruskan rawatan perubatan saya di hospital. “Pihak peguam akan buat tuntutan insuran, kalau kakak bersetuju,” ujarnya meyakinkan.

“Perkara tuntutan insuran tu tak penting sangat,” sahut emak masih terlalu geram. “Tapi Hafiz ni, tak sudah-sudah buat perangai,” tutur emak mengesat pelupuk mata disebabkan berasa sebak sangat di dada.

“Budak-budak, begitulah kakak!” beritahu Rafi. “Sepanjang saya uruskan kes babitkan kemalangan jalanraya, majoriti memang budak-budak sebaya Hafiz ni,” katanya tersengih-sengih mengerling saya.

Kebetulan pula hingga lewat jam 1.00 pagi, abah masih belum balik ke rumah. Dia habiskan masa di gerai teh tarik bersama kawan-kawannya. Bukanlah saban malam abah keluar minum teh tarik, tetapi sekali sekala apabila mereka mahu bersembang.

Disebabkan sewaktu Rafi menghantar balik ke rumah, abah masih lagi di gerai teh tarik, terpaksalah abang saya Adang memanggilnya balik. Pada mulanya saya sangka abah akan memberang melihat keadaan saya bersimen kaki, tetapi ternyata abah memang rasional. Dia tak akan bertempik marah dalam situasi saya terlantar selepas mengalami kemalangan jalanraya.

“Harap-harap selepas ni kamu insaf, Hafiz!” tegas ayah sebaik sahaja bersetuju Rafi uruskan tuntutan insuran.

Memang abah tak akan berleter panjang macam emak. Dia sekadar menuturkan secara ringkas, tetapi memang pedih untuk didengar. Kadangkala kalau abah mengur anak-anak juga seolah-olah menyakitkan hati, tetapi sebenarnya dia bergurau. Sukar bagi anak-anak mahu menyelami sikap abah yang dianggap unik.

“Abah kamu sasterawan yang disegani, Hafiz,” perlahan emak ingatkan setelah dapat mengawal perasaan sebak. “Jangan rosakkan nama baik abah, dengan perbuatan kamu yang nakal,” jelas emak seterusnya.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)

INFO SUARA PROLITAR


BAGUSLAH HARGA MINYAK TURUN
RAKYAT NILAI PRESTASI BUKAN JANJI!

Syabas, harga minyak petrol dan disel diturunkan 10 sen satu liter mula besok (25 September 2008). Apalagi dengan strategi rangsang ekonomi oleh kerajaan. Strategi ini pacu tambah peluang pekerjaan. Harap ianya bukan publisiti macam koridor itu koridor ini. Rakyat mahu harga minyak turun, harga barangan lain juga turun. Peluang kerja bukan untuk graduan menganggur sahaja, tetapi semua anak-anak muda. Rakyat akan nilai prestasi kerja BN, bukan janji-janji BN. – (SMS; 24 September 2008; 20:10:33 – Haji Kabul, Senawang, Seremban).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BEREBUT JAWATAN DALAM UMNO
DI MASA LALU ‘SIAPA KUAT DIALAH KUDRAT’

Arakian ketua anak-anak muda harakah Melayu (UMNO) Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein itu mengingatkan segala orang banyak supaya menyokong usaha peralihan kuasa itu dengan ikhlas. Maka tak siapa pun yang hiraukan sangat ingatan itu kerana Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin pada masa dahulu mudah sangat meminta maaf setelah menghunus keris. Syahdan kata sekalian orang banyak, kalau mahu tahu ikhlas atau tidak seseorang itu, sekali menghunus keris berpantang menyerah kalah! Sebermula sahabat-sahabat fakir diberitahu akan wazir ketua anak-anak muda itu Orangkaya Rembau Khairy Jamaluddin menanglah ia dipilih anak-anak buah menjadi ketua anak-anak muda di perkampungan itu. Maka semakin gementarlah akan Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin mahu menghunus kerisnya lagi.

Syahdan akan sekalian anak-anak muda itu berebut-rebut mereka mahu menjadi ketua di tengah segala anak-anak buah masing-masing. Maka semakin hebohlah di seluruh negeri akan Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan menyerah kuasa kepada Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Arakian terkejutlah Dato’ Seri Abdullah kerana dianggapnya ‘cerita gila’ yang tak masuk akal. Sebermula kata orang banyak semakin heboh orang-orang besar harakah Melayu berebut mahu menjadi ketua, maka semakin gemparlah perihal ceritera Dato’ Seri Abdullah mahu menyerah kuasa kepada Dato’ Seri Anwar. Maka di mana-mana pelusuk mereka berebut-rebut juga mahu menjadi orang-orang besar harakah Melayu, adanya.

Sebermula gemparlah orang banyak di luar. Maka Sultan Pahang pun bertanya, ‘Apa gempar itu?’ Maka sembah orang banyak, ‘Tuanku, orang laksamana konon mengamuk, membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja.’ Maka titah Sultan Muhammad Shah pada laksamana, ‘Orang laksamana konon membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja; baiklah tuan periksa.’ Kerana adat raja Pahang memanggil orangkaya-orangkaya Melaka ‘tuan’. Maka laksamana menyuruh membawa orang yang membunuh itu masuk; dengan ikatnya ia datang. Maka ditanya oleh laksamana, ‘Sungguhkah tuan hamba membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja?’ Maka sahut orang itu, “Sungguh, tuanku.’ Maka sembah laksamana kepada Sultan Pahang, ‘Sungguh patik itu membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja, tetapi tidak patik pengapakan, kerana Seri Akar Raja membunuh Telanai Terengganu tak memberitahu ke Melaka.’ Maka berebut-rebut pangkat di masa dahulu, siapa kuat dialah kudrat seperti disebut ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, September 22, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PM PRIHATIN DENGAN RAKYAT
KEBOBROKAN UMNO PIMPINAN DIPERSOAL

Assalamualaikum,

Kira-kira jam 10.30 pagi hari ini (22 September 2008), Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Haji Yaacob menelefon berkaitan aduan yang disampaikan oleh PRIMA ke pejabat Perdana Menteri. Secara peribadi memang saya mengakui Dato’ Ahmad dan lain-lain pegawai di Jabatan Perdana Menteri sentiasa prihatin di samping segera melayani setiap aduan yang disampaikan oleh PRIMA. Maknanya berurusan dengan Jabatan Perdana Menteri di bawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, sentiasa diberi prioriti bagi diselesaikan secara bijaksana (pinjam kata-kata Dato’ Suhaimi Ibrahim, Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga aktivis belia). Sebenarnya aduan yang disampaikan kepada Perdana Menteri apabila berlaku kerenah birokrasi di kalangan jabatan tertentu yang perlu ditangani segera.

Ironinya, keperihatinan Jabatan Perdana Menteri di bawah Dato’ Seri Abdullah yang sentiasa melayani masalah rakyat disampaikan kepadanya, terpaksa pula berhadapan dengan provokasi dari pimpinan UMNO sendiri. Malah keputusan dalam mesyuarat tertutup MT UMNO juga boleh bocor kepada media, apabila kalangan pimpinan kanan UMNO dikatakan mendesak pelan peralihan kuasa disegerakan, bukan menunggu hingga Jun 2010. Aduhai! Berdasarkan buku ‘Riwayat Hidup Tunku Abdul Rahman Putra’ yang ditulis oleh Abdul Aziz Ishak (Qalam, Singapura; 1956), dalam mesyuarat ‘Jawatankuasa Agung UMNO’ (sekarang MT) sekitar dekad 1950-an, Tunku sentiasa dikritik hebat oleh Tan Sri Bahaman Shamsuddin, Tan Sri Sheikh Ahmad Hashim dan Tun Dr Ismail, malah kadangkala mereka tak bertegur beberapa ketika.

Tak pernah pula keputusan mesyuarat berkenaan bocor kepada media, sekalipun Abdul Aziz Ishak memang wartawan di Utusan Melayu. Mungkin sahaja wartawan tak berminat mahu mensensasikan isu lima pimpinan kanan UMNO mendesak disegerakan pelan peralihan kuasa ketika mesyuarat MT baru-baru ini, tetapi kalangan MT sendiri membuat pendekatan membocorkan kepada media. Barangkali! Sebelum PRU12 pun PRIMA sudah menggerakkan pertemuan khas dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai langkah mendaulat, memertabat dan mengangkat jatidiri Melayu dan raja-raja Melayu. Cukuplah dikatakan pertemuan itu amat berjaya, malah slogan PRIMA ketika digunakan menerusi laman blog ini adalah adaptasi daripada pemikiran Tun Dr M, iaitu: ‘Pilih calon, bukan pilih parti.’

Kira-kira jam 12.00 tengahari (22 September 2008), Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) pula menelefon apabila tak melihat kelibat saya pada majlis berbuka puasa di kediaman Tengku Razaleigh Hamzah semalam (21 September 2008). Haji Yahaya juga beritahu mengenai kalangan media ramai yang dijemput termasuk medium bukan Melayu, tetapi saya tak hadir apabila PRIMA tak diminta ikut serta (undangan secara peribadi memang saya terima menerusi Dato’ Kamal Amir). Bagaimanapun saya merasakan keprihatinan Pak Lah kepada masalah rakyat tak boleh dinafikan, sebaliknya kebobrokan dalam pimpinan UMNO menyebabkan beliau dikritik dari segenap penjuru. Barangkali!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


17 BAHAGIAN UMNO DI SABAH
MULAKAN SOKONG TERBUKA KU LI

Pimpinan di peringkat akar umbi UMNO semakin berani memberi sokongan terbuka kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember 2008 ini, menurut sumber penganalisis politik. Sekalipun sudah berlaku ‘gerakan senyap’ sejak Julai 2008 lalu, tetapi sumber berkenaan mengakui 17 Bahagian UMNO di Sabah bersedia memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh. Malah pimpinan dari Sabah yang menduduki kerusi MT, Dato’ Shafie Apdal yang dikatakan terbabit bersama lima lagi ahli MT yang mendesak disegerakan pelan peralihan kuasa memperlihatkan pendirian terbuka dari Sabah, kata sumber itu. “Pencalonan terbuka perlu bagi menolak sebarang kouta, di samping kebebasan minda ahli UMNO digalakkan,” beritahu sumber berkenaan.

Menurut sumber tersebut, majoriti pimpinan peringkat akar umbi mahukan perubahan drastik dalam kepimpinan tertinggi dengan memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh memulihkan ‘krisis keyakinan’ yang melanda UMNO sekarang. Pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Dato’ Seri Abdullah kepada timbalannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat terlalu sentimental seolah-olah menafikan hak majoriti ahli sebagai pemilih sebenar. Seterusnya kata sumber itu, Tun Abdul Razak sendiri pernah membuat kesilapan apabila melantik Tun Hussein Onn sebagai timbalannya menggantikan Tun Dr Ismail, dengan menolak pilihan ahli UMNO ketika itu iaitu Tun Sardon Jubir. “Bertolak daripada insiden tersebut kebobrokan dalam pimpinan UMNO semakin ketara,” jelas sumber berkenaan menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(11)

3
MERANDUK MALAM:

KAWAN HILANG DALAM GELAP
MENUNGGU CERAH DI TUBIR GUA

“KITA nak ke mana ni, di luar gelap tak ada api!” laung Usin Sodok ketika tercegat di pintu gua.

“Jangan terburu-buru,” sahut saya masih mencari botol-botol ubat di atas meja. Sebaik sahaja ternampak botol minyak kuda, terus saya lumurkan ke badan. Setidak-tidaknya bau minyak berkenaan mengelakkan gangguan nyamuk. Reptalia bisa sama ada lipan, kala jengking mahupun ular juga akan undur sekiranya terbau minyak berkenaan.

Segera saya menyuruh kawan-kawan lumurkan minyak kuda ke seluruh badan, sekalipun baunya tak menyenangkan. Puas mencari bekalan minyak petrol di dalam gua kecil itu, memang kami tak temui langsung. Kalau balik semula ke bot Abang Din pun, memang sia-sia sahaja. Bot tak akan dapat digerakkan sekiranya tak mempunyai petrol.

“Di mana kita mahu dapatkan minyak petrol?” Abang Din masih tak mengenakan bajunya. Dia sekadar sandang bajunya di bahu sahaja ketika angin malam berpuput sejuk.

“Kita tak boleh tunggu lama, nanti Si Tongkol balik,” Mail Kengkang mendesak supaya segera keluar dari gua dalam terumbu batu karang itu.

“Kalau tak ada minyak petrol, bot kita tak boleh nak ke mana,” jelas saya ingatkan kawan-kawan. “Lebih baik kita berpecah, cari bot Si Tongkol!” ujar saya selanjutnya.

“His, kamu nak cari nahas!” sahut Usin Sodok mendengus. “Kamu nak larikan bot Si Tongkol?” soalnya lagi.

“Mana aku tahu nak pandu bot laju,” jelas Abang Din lesu disebabkan menahan pedih akibat belakang disebat dengan tali pinggang.

“Kita curi minyak petrol mereka,” beritahu saya membuat keputusan.

Serba salah juga Abang Din mahu berpecah dalam saat meruncing. Tetapi kami tak ada pilihan lagi terpaksa berpecah. Setidak-tidaknya sukar dikesan oleh Si Tongkol bersama kunco-kunconya. Bagaimanapun saya sanggup menyusup masuk ke dalam bot Si Tongkol untuk melarikan minyak petrol.

Justeru saya berseorangan sahaja turun ke pesisir pantai. Abang Din bersama Sahak Salai mencari botnya yang disembunyikan. Sementara Usin Sodok dan Mail Kengkang pula mengawasi laluan Si Tongkol bersama kunco-kunconya.

Setelah berpecah teus sahaja saya menyusup di celah belukar meranduk kegelapan malam. Memang di situ tak dapat pangkalan bot berhenti, kecuali teluk kecil di celah terumbu batu karang dengan airnya cetek. Ketika saya sampai di kawasan berkenaan, tak nampak pun bot laju Si Tongkol berlabuh.

Cepat-cepat saya berpatah balik ke lorong naik ke pintu gua, tetapi Usin Sodok dan Mail Kengkang tak lagi menunggu di situ. Segera saya menyusup ke arah terumbu batu karang di bawah lereng dengan harapan kawan-kawan sudah jejak kaki naik ke bot. Puas saya memerhati di sekeliling memang tak nampak mereka di mana-mana.

“Ah, Abang Din balik naik ke gua gamakanya!” bisik saya perlahan memerhati ke arah pintu gua. Memang sukar melihat dengan jelas di dalam gelap malam, sekalipun jarak dengan pintu gua bukanlah jauh sangat. Cahaya lampu minyak tanah di dalam gua juga tak menembusi hingga ke luar.

Hairan juga saya bagaimana kawan-kawan tak kelihatan dalam masa tak sampai setengah jam. Sewaktu saya turun ke pesisir pantai, memang bot Si Tongkol tak berlabuh di situ. Ke mana pula Si Tongkol sembunyikan bot lajunya?

Ketika menjengah di tempat bot Abang Din disembunyikan, saya juga tak melihat sesiapa di situ. Bot Abang Din masih tertambat di situ ditutupi ranting-ranting bakau. Macam mana pun saya tidaklah panik, tetapi terus meranduk kegelapan malam.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung…)


PUISI

Syair Orang Lama


Alkisah tersebut zaman dahulu
S46 dan UMNO tak sehalu
Rais Yatim berkata jangan melulu
roda bulat berpusing selalu.

Jangan disangka empat persegi
roda berpusing berputar lagi
tempat di atas ke bawah pergi
pemimpin UMNO juga yang rugi.

Berlakulah sudah kehendak peri
Abdullah Badawi memerintah negeri
pengampu Dr Mahathir terpaksa lari
mencari tempat berlindung diri.

Rais Yatim jadi menteri
Shabery Cheek turut berdiri
Tengku Azlan menarik diri
semuanya S46 empunya peri.

Lupalah UMNO kisah lama
Mat Taib berlagak macam panglima
Tok Pa sangka kononnya gelama
tak sedar diri hanyalah tuma.

Sedarlah UMNO nasib bangsa
jangan Melayu menjadi mangsa
tunjuk belang berebut kuasa
hidup diperlekeh sepanjang masa!

-Man Cincai
Selayang, Selangor
22 September 2008

INFO SUARA PROLITAR

ADUAN PRIMA DIBERI PERHATIAN:
TINGKAT MUTU PERKHIDMATAN AWAM

Unit Aduan Awam telah mengambil maklum mengenai aduan pihak tuan (PRIMA). Lawatan dan siasatan telah dijalankan pada lokasi aduan tersebut pada 17 September 2008 oleh Penolong Pengarah Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Jelebu. Keprihatinan pihak tuan amat kami hargai bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pihak Majlis Daerah Jelebu. Terima kasih. – (SMS, SPANS; 22 September 2008; 10:03:42 – Majlis Daerah Jelebu, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan).

BEKALAN DAGING MEMANG CUKUP:
MACAM MANA PULA HARGA DI PASARAN?

Jaminan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Mustapha Mohamad bekalan barang-barang menjelang Hari Raya Aidilfitri mencukupi, memang bagus untuk didengar. Tetapi macam mana dengan harga sekilo daging lembu hingga RM20-RM25 di Negeri Sembilan tahun ini? Kalau dulu RM24 dah cukup maskahwin untuk ‘anak dara’ di Negeri Sembilan macam sama pula dengan sekilo daging. Kok daging rusa yang dijual ‘mantai’ tahun ini, mahu pula sampai RM70-RM80 sekilo. Barulah ‘demam tak kebah’. – (SMS; 22 September 2008; 12:41:22 – Haji Kabul, Senawang, Negeri Sembilan)

JADIKAN LOKASI MAKAM DAENG PERANI
PRODUK PELANCONGAN DI NEGERI KEDAH

Oleh : Asalbayu
Menurut buku Sejarah Kedah oleh Haji Buyong Adil (DBP,KL,1980) di halaman 34 dan 35 terdapat catatan mengenai campur tangan Pahlawan Bugis Lima Bersaudara (PBLB) dalam krisis perebutan takhta di Kedah.Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Chelak, Daeng Kemasi, Daeng Menambun dan Daeng Merewah telah berhasil menewaskan angkatan Raja Kecil dari Siak yang membantu adinda tiri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II merampas kuasa.Dalam tahun 1136H (1724M) sekali lagi Raja Kechil berhasil merampas semula takhta lalu diberikan semula kepada adinda tiri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II dan baginda sekali lagi telah meminta bantuan PBLB itu.
Biarpun Raja Kechil berjaya dikalahkan serta diusir, Daeng Parani telah terkorban akibat ditembak tetapi tidak dinyatakan di mana pula lokasi peristiwa itu berlaku dan di mana pula jenazahnya yang hanya dikatakan dimakamkan di Kedah tanpa menyebut secara khusus lokasinya.Hasil kajian Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), didapati makam berkenaan berada di Kampung Ekor Lubok, Sidam Kanan, Kulim 16 km dari bandar Sungai Petani.Sekalipun telah lanjut usia, Haji Hassan Che Awang yang lahir pada 7 September 1922 dan pernah menuntut ilmu agama Islam di Kelantan dari tahun 1949 hingga 1957, yang merupakan zuriat Daeng Parani tertua di situ masih kuat ingatan.
“Menurut cerita Allahyarham ayah saya, moyangnya Daeng Parani itu adalah seorang pahlawan yang handal selain pendakwah Islam, penegak kebenaran dan begitu mudah memberi pertolongan apabila diminta.Itulah sebabnya apabila Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II perlukan bantuannya dia terus membantu sebanyak dua kali sekalipun upah yang dijanjikan ketika meberikan pertolongan awalnya dahulu khabarnya masih terhutang,” katanya.Menurut penjelasan bapanya yang diperolehi secara lisan, Daeng Parani terkorban kerana tembakan curi di Pinang Tunggal yang terletak kira-kira 5 km dari kampung tersebut setelah gencatan senjata diumumkan.
“Jenazahnya telah dibawa dengan perahu secara sulit tanpa disedari oleh sesiapa termasuk sebilangan pengikutnya lalu dimakamkan di sini yang mana ketika itu masih dipenuhi hutan tebal,” cerita beliau. Disebabkan bimbang akan terus diburu musuh-musuhnya, mereka mengambil keputusan menghapuskan gelaran nama sekalipun mereka adalah zuriat Daeng Parani yang beristerikan Tengku Aishah iaitu adinda Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azam Shah II.“Dahulu kampung ini bernama Telok Bagan, kemudian diubah namanya kepada Pantai Sepom dan akhir sekali hingga kini dinamakan pula Kampung Ekor Lubok. Sepom adalah nama lain bagi asam kumbang yang pohonnya terdapat di sini ketika ia mula-mula diteroka dulu,” ujar Haji Hassan selanjutnya.
Ketika diadakan majlis pertemuan zuriat Daeng Perani baru-baru ini, satu pameran artifak yang pernah digunakan oleh Pahlawan Bugis antaranya keris, lembing, badik, tempayan, dokumen-dokumen penting, foto, keratan akhbar dan sebagainya telah diadakan.Pengerusi Persatuan Sejarah Cawangan Kedah (PSMCK), Dato’ Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof menyarankan agar dapat dibina sebuah muzium mini bagi menempatkan bahan-bahan tersebut dengan kaedah yang lebih selamat.Dalam merealisasikan Koridor Utara (NCER) di mana industri pelancongan dikatakan sebagai sektor penting, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) serta Kementerian Pelancongan sewajarnya tidak terlepas pandang bahawa lokasi makam Daeng Perani berpotensi untuk dijadikan di antara produk penting sementelah PBLB amat berperanan dalam pergolakan politik di Nusantara.
Dengan yang demikian sudah tentulah penduduk setempat yang berjumlah sekitar 300 orang itu turut dapat meningkatkan ekonomi menerusi pelbagai aktiviti seperti industri kampung, hasil pertanian, homestay dan sebagainya.Turut memenuhi acara ialah Warisan Tarian Tradisional Bugis yang digayakan oleh penari-penari wanita Persatuan Zuriat Almarhum Raja Abdullah (PZARA) yang dibawa dari Selangor.Hadir sama ialah Atace Kedutaan Indonesia, Kolonel M Yunus yang mengakui keturunan Bugis, Timbalan Pengerusi PZARA, Prof Dr Abdullah Ghazali Zakaria (UM) dan Che Hassan Othman (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

UMAT ISLAM PERLU DIDIKAN ILMU
SULTAN TAK DIBENAR JUMPA ULAMA
Kata sahibul hikayat sekali persetua pergilah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri Johor Darul Takzim seperti dicanang orang banyak hari ini 22 Ramadan 1429 (atau disebut anak cucu fakir 22 September 2008). Adapun Orangkaya Perdana Meteri itu dijemput ke Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran oleh harakah Melayu (UMNO) Johor yang diketuai Orangkaya Menteri Besar Dato’ Abdul Ghani Othman dikediaman rasminya di Saujana, adanya. Maka Orangkaya Perdana Menteri itu memberikan tazkirah dengan dihadiri ramai orang besar-orang besar negeri termasuklah Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Syahdan diberitahu orang banyak akan Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu tidaklah ia duduk disebelah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, akan tetapi diselangi kononnya oleh Orangkaya Menteri Besar.

Sebermula akan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu menyerulah ia supaya tak perlu jemu menuntut ilmu dalam tazkirahnya. Arakian kata Orangkaya Perdana Menteri itu, “Kita mesti mempunyai ilmu dan bagi umat Islam, ilmu dalam al-Quran begitu luas dan mesti dipelajari kerana terbukti mampu memajukan masyarakat seperti yang penah dinikmati umat Islam suatu ketika dahulu.” Maka terfikirlah oleh fakir akan negeri Melaka itu dahulunya memang kerajaan Melayu yang besar, kerana menjadi pusat ilmu Islam setanding dengan Pasai. Syahdan pada suatu masa Sultan Melaka itu berdendam akan Bendahara Seri Maharaja, kerana tak mempersembahkan anaknya Tun Fatimah untuk diperisteri baginda. Maka lupalah Sultan Melaka akan ajaran Islam, lalu dibunuh Bendahara Seri Maharaja. Wallahu’alam!

Arakian, maka Sultan Mahmud hendak pergi mengaji maklumat pada Maulana Yusof. Adapun tuan itu jenun; jika layang-layang orang lalu di atas bumbungnya disuruhnya buangi ali-ali. Makat telah dapat, disuruhnya pesuk-pesukkan, katanya, ‘Mengapa engkau biadap lalu dari atas rumahku.’ Demikianlah lakunya Maulana Yusof, bapa Kadi Menawar itu. Maka Sultan Mahmud pun naik gajah, diiringkan orang banyak pergi ke rumah Maulana Yusof. Telah datang ke luar pintu Maulana Yusof, maka kata, ‘Apa kerja Sultan datang ke rumah fakir? Tutup pintu pagar kita.’ Maka Sultan Mahmud pun kembalilah ke istana baginda. Telah hari malam, maka segala hamba raja disuruh pulang, pergilah Sultan Mahmud dua berbudak, membawa kitab maklumat, barulah diterima oleh Maulana Yusof, begitulah sukar mahu mencari ilmu di masa dahulu seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!