Saturday, June 12, 2010

MACAM-MACAM...

EMPAT ORANG KEHILANGAN GELARAN
SETELAH DITARIK BALIK SULTAN JOHOR

Assalamualaikum,

Kali ini AW ingin menyentuh kisah empat orang yang ditarik balik pangkat "Datuk" dan "Datin Paduka" oleh Sultan Johor. Mereka yang ditarik balik pangkatnya ialah adik ipar Sultan Johor, Komander Shaftdean Lufty Rusland, wanita pertama yang menjelajah Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Chua Jui Meng dan pengamal undang-undang, Hassan Yunos.

Hal ini disahkan oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan yang diterima dan bersetuju menasihatkan Sultan Johor untuk melaksanakan kuasa baginda.Demi melindungi maruah mereka, jumaah tidak mendedahkan sebab penarikan itu dibuat. Menurut kata Abdul Rahim, tiga kriteria dipertimbangkan ketika pengurniaan darjah kebesaran iaitu ketaatan kepada raja, semangat berusaha dan sumbangan terbaik. Menurutnya lag, pihak yang terbabit perlu tanya diri sendiri mengapa penarikan pangkat itu dibuat.

Hai, entahlah!

-ANAK WARISAN...

Monday, June 7, 2010

ISU SEMASA

PENGALAMAN SUKARELAWAN MALAYSIA
KETIKA MERASAI SENDIRI KEKEJAMAN ISRAEL

Assalamualaikum,


Kali ini AW hanya ingin menulis sedikit sahaja mengenai sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel. Sebelum AW menyentuh mengenai tajuk di atas, AW ingin memberikan pendapat mengenai tahanan dari kapal Rachel Corrie. Semasa menonton Berita Terkini pukul 4.00 petang tadi, AW hanya dapat memanjatkan kesyukuran apabila sukarelawan Malaysia dari kapal Rachel Corrie dijangka tiba di KLIA hari ini. Mereka bernasib baik kerana tidak diapa-apakan. Cuma AW terfikir sendiri, apa yang Israel dapat dengan menahan kapal-kapal yang menghantar bantuan kepada rakyat Gaza dan membunuh sebahagian sukarelawan tersebut?Dunia, dunia!

Berbalik kepada tajuk di atas, AW merasa gentar sedikit ketika membaca pengalaman sukarelawan Malaysia ketika berada di bawah tahanan tentera Israel di Harian Metro. Menurut Ketua Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Shamsuddin, tentera Israel memang berniat untuk membunuh. Hal ini kerana sekumpulan sukarelawan berjaya menangkap tiga orang tentera Israel yang tersilap langkah. Apabila diperiksa, mereka mendapati senarai nama dan gambar individu di atas kapal Mavi Marmara ada pada mereka. Seterusnya mereka mendapati kebanyakan mereka yang terbunuh terdapat dalam senarai itu. Manakala mereka yang terselamat tidak ada dalam senarai itu. Pelikkan?

Menurutnya lagi, sepanjang berada di bawah tahanan tentera Israel, mereka diikat hampir 15 jam, tidak dibenarkan ke tandas, tidak diberi makan hampir 24 jam dan sentiasa diacukan senapang. Walaupun misi mereka untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza terbantut, sekurang-kurangnya peristiwa ini telah membuka mata dunia untuk mengecam tindakan Israel. Seperti contoh, masyarakat di Eropah sudah mula melakukan demontrasi mengecam kekejaman Israel yang menghalang misi bantuan ke Gaza dan membunuh sebahagian sukarelawan yang terlibat.

Malaysia akan memfailkan petisyen untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Diharap usaha Malaysia akan berjaya. Kesimpulannya, seluruh masyarakat dunia khususnya umat Islam perlu bersatu padu untuk menunjukkan bahawa Israel semakin dibenci. Israel semakin melampau berikutan kejadian yang menimpa sukarelawan dari kapal Mavi Marmara. Teringat pula kata-kata bonda AW, "Sepatutnya, sukarelawan Malaysia 'tu patut diberi anugerah Datuk ke, disambut dengan kalungan bunga ke sebab dia orang 'tu bertarung nyawa nak sampaikan bantuan, bukannya beri pangkat atau penghormatan pada orang yang tak bagi apa-apa sumbangan pun!"Fikir-fikirkan lah ye.Heh heh heh!


-ANAK WARISAN...

Sunday, June 6, 2010

RAGAM DUNIA...

MISI BANTUAN MALAYSIA KE GAZA DITAHAN:
ISRAEL SEMAKIN KEJAM "MENGHIRUP" DARAH!

Assalamualaikum,


Sudah lama AW tidak menulis di sini. Sebenarnya AW sibuk dengan jadual belajar AW. Baru sekarang AW dapat meluangkan masa menaip di blog. Perkara pertama yang AW nak sentuh di sini ialah mengenai kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie yang ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel ketika ingin menyampaikan bantuan kemanusian ke Semenanjung Gaza.


AW pun tak dapat nak kata apa. Nampaknya Israel semakin kejam.Nasib baik tahanan dari kapal Mavi Marmara sudah dibebaskan, cuma tahanan dari kapal Rachel Corrie sahaja belum dilepaskan lagi, tapi mereka difahamkan dalam keadaan selamat.


Menurut kata wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, beliau terpaksa merangkak dalam darah mangsa yang mengalir akibat ditembak oleh tentera Israel.Ada yang parah, tak kurang juga yang mati.Tambah Ashwad lagi, kapal Mavi Marmara diserang pada lebih kurang pukul 2.45 pagi.Beliau terkejut kerana kapal yang dinaiki hanya membawa mereka yang terlibat dengan misi bantuan itu dan aktivis keamanan.Hai, entahlah!


Selain itu, AW difahamkan kebanyakan mereka yang ditembak berasal dari Turki. Mungkin mereka lebih banyak melawan daripada berdiam diri seperti yang dilakukan oleh rakyat kita yang ditahan oleh Israel.Tangan mereka diikat, ada juga yang ditendang.Betapa kejamnya Israel!Menurut mereka yang ditahan, kesemua barang mereka termasuk pen dirampas.Pihak Israel seolah-olah tidak mahu sebarang rekod mengenai penahanan mereka sama ada secara bertulis atau visual dirakam.Setelah dibebaskan, satu-satunya barang yang dikembalikan adalah, pasport antarabangsa.


Sekurang-kurangnya, rakyat kita tidak "dihirup" darahnya oleh Israel. Mereka dapat kembali kepada keluarga masing-masing dalam "keadaan yang baik". Semoga tahanan dari kapal Rachel Corrie dapat kembali ke tanah air dengan selamat dan diharap, semakin ramai yang akan meluat dengan propaganda Israel yang semakin rakus membunuh rakyat Palestin dan masyarakat global yang lain.Ish Ish Ish...


-ANAK WARISAN...