Sunday, August 17, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I MA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:

PERJALANAN BALIK DARI BATU PAHAT
HEBATNYA TAMAN MEMORIAL DI LEBUHRAYA


Assalamualaikum,


Dalam perjalanan balik dari menghantar anak saya berkursus ke Batu Pahat petang ini (17 Ogos 2008), bekas wartawan Zainal Abidin Rasidin menelefon ketika kenderaan meluncur laju di aspal lebuhraya. Bagaimanapun sempat juga berbual di samping beliau bertanyakan mengenai ‘Malam Deklamasi Puisi PRIMA’ 29 Ogos 2008 ini di kediaman Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Jalan Suleiman 20, Taman Tun Dr Ismail. Zainal Abidin ragu-ragu sama ada majlis berkenaan mencapai sasaran disebabkan Dato’ Kamal Amir sibuk dengan jadual membantu kempen Tengku Razaleigh Hamzah bagi persediaan menawarkan diri sebagai calon Presiden UMNO Disember 2008 nanti. Justeru saya memberi jaminan kepada Zainal Abidin, majlis deklamasi puisi tak sama dengan isu pembabitan Dato’ Kamal Amir bersama Tengku Razaleigh.



Ketika melalui Air Hitam sebelum ke lebuhraya, teringat pula fasal jiran satu kariah di Taman Seri Gombak Haji Abdullah Yusuf (Haji Lah) beritahu mengenai nenas di pekan berkenaan manis. Bagaimanapun saya tak membeli nenas (kerana nenas di Jelebu juga manis), sebaliknya memilih buah pulasan dengan harganya empat kilo RM10. (Mungkin sahaja di Kuala Lumpur sukar memperoleh harga yang murah demikian). Memang harga rambutan di kampung berkenaan juga terlalu murah hingga enam kilo RM10; berbanding dengan di hentian lebuhraya mencecah sekilo RM4. Aduhai! Dalam perjalanan dari plaza tol Air Hitam ke plaza tol Pagoh, saya mengurut dada apabila terpandang lokasi ‘taman memorial’ (perkuburan Cina) di tepi lebuhraya kelihatan hebat.



Sebelumnya memang sudah tersergam ‘taman memorial’ di Nilai yang menjadi jirat hartawan-hartawan Cina (menurut rakan saya bekas Ahli Parlimen Seputeh, Liew Ah Kim ketika pengkebumian mendiang emaknya beliau menempah jirat di taman memorial Nilai dengan kadar RM20 ribu). Tak apalah! Justeru saya teringat kepada perbualan bersama Haji Lah dan Haji Ahmad Radzi (sebelum ini ialah nazir masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak), sejak 2005 lagi permohonan bagi lokasi tanah perkuburan Islam di Taman Seri Gombak masih belum menjadi kenyataan. Sekalipun pihak jabatan tertentu sudah meluluskan, tetapi jabatan yang lain pula masih kong kalikong! Dalam tempoh tersebut orang Islam yang meninggal dunia, terpaksa menerima ihsan dari jawatankuasa masjid kariah di Taman Samudera atau Taman Ibu Kota. Aduhai!


Jaraknya memang sekadar 2-3 kilometer sahaja, tetapi kenapa sukar sangat mahu memperoleh kebenaran meluluskan tanah perkuburan bagi umat Islam di Taman Seri Gombak dengan penduduknya melebihi 50 ribu (termasuk kondo dan rumah pangsa di Pinggiran). Haji Ahmad Radzi bukan sahaja berasa bosan dengan kerenah birokarasi, hingga beberapa kali memanjat pejabat Menteri Besar Selangor (ketika itu Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo), tetapi berakhir dengan: Wal hasil balik hasal; itu fasal tak hasil! Mungkin sahaja lokasi tanah perkuburan Islam tak akan dikomersil bagaikan ‘taman memorial’ yang serba mempesona, sempurna dan berdana. Heh heh heh!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


LANGKAH CABAR MB SELANGOR
SEKADAR BAZIR MASA DAN TAK WAJAR


Langkah pihak IPTA mahu mengambil tindakan undang-undang dengan saranan menjadikan institusinya sasaran bagi membuka kuota kemasukan pelajar 10 peratus kepada bukan Melayu dianggap membazir dan kebudak-budakan, menurut bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas laporan Naib Canselor UiTM, Profesor Dato’ Seri Ibrahim Abu Shah hari ini (17 Ogos 2008) yang mahu mengambil tindakan undang-undang kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sekiranya tak meminta maaf, Dato’ Kamal Amir berkata, “Tan Sri Khalid tak mempunyai kuasa membuat keputusan selain daripada membuat cadangan sahaja, justeru Profesor Dato’ Seri Ibrahim perlu tumpukan tugasnya di UiTM sebagai penjawat awam”. Beliau juga berasa hairan kenapa Naib Canselor UiTM itu tak bangun menentang isu PTPTN yang dikritik oleh sebahagian besar ahli akademik di IPTA dan IPTS.



Isu PTPTN yang mengajar pelajar-pelajar Melayu berhutang adalah bertentangan perlembagaan yang jelas menyebut penganugerah biasiswa adalah terkandung dalam hak istimewa orang Melayu. Dato’ Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA menasihati pimpinan IPTA dan IPTS mencontohi bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dr Syed Hussein al-Attas (Allahyarham) yang berani mengkritik ‘diri sendiri’ semata-mata mahu melonjakkan martabat akademik di IPTA dan IPTS. Malah menurut Dato’ Kamal Amir, Dr Syed Hussein berani menimbulkan isu ‘profesor kangkung’ apabila kalangan akademik mencapai status kerana dorongan politik bukan disebabkan jatidiri masing-masing. “Majoriti kalangan profesor memang wajar menghasilkan buku kajian akademik secara berterusan sebagai latihan ilmiah,” katanya lagi.


INFO SASTERA & BUDAYA:


SAJAK


Dalam Masyarakat Telanjang


Apa lagilah yang tinggal
bagi suatu bangsa
yang kehilangan semalamnya?


Keris di pinggang
tak lagi diasap harum kemenyan
tak lagi diusap limau langiran
dan, setiap kali terhunus
setiap itu pula ia kembali
tersarung tanpa menikam apa-apa!


Makanya,
di manakah lagi akan tercari
erti semangat besi kursani,
erti keramat daulat pertiwi
erti keperwiraan gagah berani
suatu bangsa bernama Melayu
yang asyik menyanyikan lagu Si Luncai
yang lemas di tasik kedayusan abadi.


Duhai Melayu,
apakah keris lambang kepahlawananmu
kini cuma sekadar alat
persendaan para sida-sida
di pentas erotika bangsa,
di mana berkumpul sang bacul
memuja si pengkhianat bertakhta
di mana si bangang dan si tolol
bertemasya merayakan ketuanan
mereka sebagai rakyat tolol
yang tanahairnya kian dogol
dan mandul!


Duhai Melayu
apabila suatu bangsa
sudah tidak dapat lagi membezakan
antara kebenaran dan kepalsuan
makanya, bangsa itu sudah mula
membuangkan pakaian di tubuh
kerana di dalam masyarakat orang telanjang
yang berpakaian dianggap biadap
dan tidak sopan.


Syabas saudaraku Anwar Ibrahim
kau masih menjadi wira
yang tidak membuang pakaianmu
dan obor perjuangan masih jua tetap
benderang di tangamu!

(Semoga selamatlah engkau
dalam lindungan Allah SWT)


-Yassinsalleh
Permatang Pauh
Ogos 17, 2008.


Seloka Bangsa Melayu


Berhimpunlah semua pelajar-pelajar IPTA/IPTS
Kita berdemo di UiTM ke merata pelusuk kampus.


Limpahkan banggamu ke setiap pejuang Melayu
Simbahkan duka bangsa ke setiap adab jatidirimu.


Di mana tersisipnya lidah bangsaku ‘Utusan Melayu’
Keberanian yang tewas melawas di tengah kepantasan waktu.


Di mana dirgahayu kemegahan Keretapi Tanah Melayu
Landasan kian terbatas di atas lokamotif KTMB di hujung kalbu


Siapa melupakan kepahlawananmu wahai Askar Melayu
‘Angkatan Tentera Darat’ alternatif kepada gemilang bangsaku!


Siapa pembunuhmu Bank Bumiputera yang terbilang
Khabarkan kepada pelajar-pelajar UiTM yang memberang!


Di mana biasiswa legasi hak istimewa Melayu dalam perlembagaan
Anak-anakku di UiTM terimalah PTPTN hutangmu berpanjangan.


Di mana tangismu puteri Melayu Norita Shamsuddin
Biarkan rahsiamu terkambus dalam dakapan kelmarin.


Bagaimana perih nestapanya gadis Melayu Nurhayati
Relakan kematanganmu meneruskan perjuangan hakiki!


Mari kita berdemo di dataran UiTM ke gapura Shah Alam
Menelusuri pejuang Melayu berbakti yang kian tenggelam!


Mari tanyakan kepada UMNO tanpa rasa malu
Berikan jawapan siapa sebenarnya pembuli Melayu?


-Penyair Tua
Shah Alam, Selangor
16 Ogos 2008.




INFO SUARA PROLITAR:


JAUHI KAMI DARI LAKNAT
KERANA SUMPAH ORANG BERSUMPAH!


The future of Japan is in its technology. The future of China (Republik Rakyat China) is in its economy. The future of Malaysia is in heh heh heh! Wahai Allah lindungilah kami yang tak berdosa! Jauhilah kami daripada laknat-Mu ya Allah, disebabkan sumpah orang yang mahu bersumpah. “Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya. Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu, adalah seperti seribu tahun dari tahun-tahun yang kamu hitung” (mafhom surah al-Hajj; ayat 47) – (SMS; 17 Ogos 2008; 16:17:51 – Dr Seri Intan, Tapah, Perak).


CHONG WEI SUDAH BERUSAHA:
‘MATI AKAL’ KEHEBATAN LAWAN


Syabas kepada pemain badminton negara Lee Chong Wei! Sekalipun gagal merebut pingat emas sukan olimpik, jangan kita rakyat Malaysia mengutuknya. Saya menonton perlawanan terus menerus itu di TV. Chong Wei sudah bermain bermati-matian. Tetapi lawannya Lin Dan memang hebat. Setiap pukulan Chong Wei mampu dikembalikan. Justeru siapapun seperti Chong Wei akan berasa ‘mati akal’. Kalau smash, drop shot, placing, lob dan pukulan pancung dapat dikembalikan oleh Lin Dan, siapa yang tak ‘mati akal’. Bagaimanapun cukuplah Malaysia dengan pingat perak, pada masa akan datang usahalah lagi. Insya Allah - (emel, 17 Ogos 2008 – Elmi, Gombak, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


GEMPARLAH SEKALIAN ORANG BANYAK
AKAN DISURAT PENITIR CANANG PERDANA



Syahdan gemparlah sekalian orang banyak, kerana dititir canang berlakunya perihal keganasan di Permatang Pauh. Adapun keganasan itu kononnya dilaporkan oleh penitir canang perdana dilakukan oleh orang-orang bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, adanya. Arakian akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengakui perihal orang-orang Dato’ Temenggung (atau disebut orang banyak PDRM) berjaya mengawal ketenteraman. Maka terkelirulah fakir bagaimana laporan penitir-penitir canang perdana berbeza dengan pengakuan yang disebut Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib. Adapun ramai juga penitir canang dari rakan-rakan fakir mengakui, taklah seperti diwar-war. Syahdan disebut orang banyak tak hairan mengapa orang Melayu tak percaya lagi kepada penitir-penitir canang perdana hingga tak siapa lagi gemar membaca apa-apa yang disuratkan.


Hatta, maka Sultan Mahmud pun menyuruh mengarang surat kepada Kadi Menawar akan dikirimkan pada Chau Seri Bangsa, digelar baginda Chau Seri Bangsa Sultan Ahmad Shah. Telah sudah surat itu maka Sultan Mahmud pun menganugerahi gendang, nobat dan bingkis, dan Ukun Pola pun dianugerahi persalin. Maka surat pun diaraklah ke perahu. Maka Ukon Pola pun kembalilah ke Pattani. Telah sampai ke Pattani, maka surat dari Melaka itu pun diarak ke dalam, maka dibaca. Telah sudah, Chau Seri Bangsa pun nobatlah. Maka baginda bergelar Sultan Ahmad Shah, bagindalah beranakkan Raja Siam dan Raja Aji. Arakian, maka Raja Kedah pun datang menghadap ke Melaka, hendak memohon nobat. Begitulah dikatakan orang hingga ke akhir zaman peri mulianya mereka yang diminta mengarang surat seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, August 15, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PERIHAL SUMPAH ORANG BERSUMPAH
MALAM SEBELUM HARI PENAMAAN CALON!

Assalamualaikum,

Penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh besok (16 Ogos 2008) mungkin sahaja pertandingan ‘satu lawan satu’, antara UMNO dan PKR atau lambang ‘dacing’ dan ‘mata’. Aktivis masyarakat di Pahang, L Mankadir Shamsi memberitahu beliau masih di Kelantan bagi menghantar anak saudaranya (anak Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah) melangsungkan perkahwinan, jutseru beliau tak sempat menyertai penamaan calon di Permatang Pauh. Bagaimanapun Haji Abu Bakar Ninggal mengakui akan bertolak ke Permatang Pauh malam ini (15 Ogos 2008) bersama rakannya aktivis PKR di Gombak, Mazlan Musa. Penyokong kedua-dua parti terbabit dari luar Permatang Pauh inilah akan menggamatkan suasana hari penamaan calon dengan kibaran bendera, kobaran sepanduk dan tibaran sorak sorai. Begitulah!

Di kalangan penyokong UMNO saya difahamkan mereka yang berminat ke Permatang Pauh disediakan ‘duit petrol’ dan ‘duit plaza tol’ menerusi Ketua Cawangan (sebenarnya pemberian berkenaan tak boleh dikira rasuah, kerana dalam Adat Perpatih orang tua-tua mengungkapkan: ‘Orang disuruh diberi upah; kerbau membajak diberi makan’). Tetapi UMNO sejak pilihanraya 1955 memang tak pernah menggunakan simbol sendiri ‘keris bersilang’ apabila berhadapan dengan pengundi, sebaliknya menerusi lambang ‘kapal layar’ hingga pilihanraya 1969. Berikutan mengalami kemerosotan prestasi, pimpinan baru UMNO menukar kepada simbol ‘dacing’ pada pilihanraya 1974, malah turut juga dikongsi bersama oleh PAS, PPP dan Parti Gerakan. (Bagaimanapun PAS disingkirkan pada 1978, seterusnya menggunakan simbol ‘bulan purnama’, selepas ‘bulan bintang’ diharamkan penggunaannya).

Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam ini (15 Ogos 2008), melaporkan Saiful Bahri bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan mengakui beliau diliwat oleh Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim. (Laporan berita terancang ini berikutan besok 16 Ogos 2008 ialah hari penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh yang membabitkan Dato’ Seri Anwar, seterusnya rakyat akan disogok dengan ‘senjata’ terakhir pada malam 25 Ogos 2008 yang belum diketahui bentuknya, sekalipun Timbalan Ketua Polis Negara sudah memberi amaran akan pantau isu-isu seperti itu dalam tempoh 10 hari berkempen). Heh heh heh! Apakah Raja Putra Kamaruddin juga akan menurut jejak Saiful Bahri untuk bersumpah di masjid selepas ‘akuan bersumpah’nya dianggap ‘fitnah’?

Laporan TV3 juga cuba provokasi Presiden PAS Dato’ Seri Haji Hadi Awang dalam isu jawatan ‘Perdana Menteri’ apabila PKR membentuk kerajaan. Isu yang sama pernah diwar-warkan pada pilihanraya 1990, di samping menyenaraikan kabinet ‘Gagasan Rakyat’ yang dipimpin Parti Semangat Melayu 46 – dengan provokasi Timbalan Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu. Memang BN mampu mendominan keputusan pilihanraya pada 1990, tetapi bagaimana kesudahannya pada 1998? Mungkin sahaja keberangan rakyat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad boleh diubati pada pilihanraya 2004, sebaliknya keberangan tersebut sukar dibendung hingga pilihanraya 2008. Isu ‘salib’ dipakai Tengku Razaleigh 1990, di samping isu ‘liwat’ Dato’ Seri Anwar 1998, tak mampu menyembunyikan kebobrokan UMNO pada PRU12. Alahai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


BABI LIAR GANGGU PEKEBUN
LANGKAH POSITIF BELUM DIAMBIL

Gangguan babi liar semakin menjadi-jadi mengganggu pekebun-pekebun kecil di kawasan Felda Titi, di Jelebu, Negeri Sembilan, beritahu pekebun kecil terbabit, Roseli Deraus, 60. Beratus-ratus babi liar menceroboh kebun-kebun getah menyebabkan mangkuk dan getah-getah buku turut dimusnahkan. Sekalipun sudah diberitahu kepada pihak pengurusan, tetapi masalah gangguan babi-babi liar masih berterusan memusnah kebun pekebun-pekebun kecil, beritahu Roseli selanjutnya. Setakat ini menurut Roseli, belum berlaku lagi kemalangan jiwa, tetapi gangguan babi-babi liar itu memang tetap membimbangkan pekebun-pekebun kecil. “Di masa lalu babi-babi liar akan lari kalau disorakkan, tetapi sekarang haiwan berkenaan tak hiraukan lagi anjing yang memburu,” beliau seterusnya menambah.

Justeru pihak jabatan hidupan liar (Perhilitan) dan pengurusan Felda Titi diminta prihatin dengan masalah yang dihadapi pekebun-pekebun kecil dan peneroka-peneroka di sini berikutan gangguan beratus-ratus babi liar. Langkah positif memantau babi-babi liar berkenaan perlu diambil segera, sebelum ianya mencederakan penoreh-penoreh yang mencari sumber rezeki setiap hari. Menurut Roseli lagi, kemunculan babi-babi liar itu dianggap luar biasa, kerana kebun-kebun terbabit bukanlah bersempadan dengan hutan sekalipun sebahagian besar kawasan hutan Jelondong sudah habis dilunggah untuk pembukaan tanah Felda. “Masalah yang dihadapi peneroka-peneroka dengan gangguan babi liar ini sudah disampaikan kepada pihak pengurusan sebelum ini,” katanya lagi.

INFO SASTERA & BUDAYA

PEMBETULAN TARIKH BACA PUISI
KAMAL AMIR BERIKAN PENJELASAN

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, tarikh majlis ‘Malam Deklamasi Puisi Merdeka PRIMA’ bukan 28 Ogos, sebaliknya ialah 29 Ogos 2008 iaitu hari Jumaat. Tempatnya sama seperti dilaporkan sebelum ini iaitu di No 1, Jalan Sulaiman 20, Taman Tun Dr Ismail. Beberapa orang penyair tersohor seperti Dato’ Dr M Ashikin, Dr Seri Intan, Yassinsalleh, Zakaria Bidin dan L Mankadir Shamsi sudah menyatakan persetujuan mereka kepada sekretariat PRIMA untuk mendeklamasikan puisi-puisi terbaru mereka. Penyair Dinsman bersama rakan-rakannya dari PAKSI juga dijangka turut memberikan suntikan semangat bagi menjayakan ‘Malam Deklamasi Puisi Merdeka’ anjuran PRIMA ini.

INFO SUARA PROLITAR

MEDIA MACAM ‘IKAN BELACAK’
IKUT PASANG SURUTNYA AIR LAUT

Media arus perdana tak seharusnya menjadi ‘ikan belacak’ yang mengikut pasang surut air laut. Kalau 1960-an memuji-muji Tunku, pada 1980-an Najib (Dato’ Seri Najib) ajak Pemuda UMNO buang ‘monomen’ Tunku di depan Parlimen dan tarik balik gelaran ‘Bapa Kemerdekaan’ – media pun turut sama kutuk Tunku. Isu ‘jambatan bengkok’ media yang dok puji Tun Dr Mahtahir (Mohamad) selama 22 tahun, tumpang sekaki duk kutuk Tun Dr M. Malah nak jaga hati Tun Dr M, Najib pun sanggup kritik ayahnya (Tun Abdul Razak, Allahyarham). Sekarang kutuk pula Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), kalau dulu (sebelum 1998) apa Anwar cakap semua betul. – (SMS; 15 Ogos 2008; 18:39:02 – Orang Kampung, Felda Titi, Jelebu, Negeri Sembilan).

LAKNAT BUKAN UNTUK INDIVIDU
ALLAH TURUN KEPADA SATU NEGERI?

Masya Allah! Buletin Utama di TV3 malam ini laporkan Saiful Bahri bersumpah di masjid. Disebut oleh para ulama di masa lalu, Allah tak akan turunkan laknat kepada seseorang. Tetapi laknat Allah akan diturunkan kepada seluruh kampung, atau daerah, malah negeri! Ketika pilihanraya 1969, Tunku dan Tan Sri Asri Muda juga bersumpah di masjid kerana isu kafir mengkafir. Maka 13 Mei 1969 turunlah laknat Allah kepada seluruh negara. Tsunami pun, jangan difikirkan bencana alam, tetapi renunglah akan perbuatan menzalimi diri sendiri di kalangan manusia. Wallahualam! - (SMS; 15 Ogos 2008; 21:52:17 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

TAK BOLEH SAMPAIKAN KHUTBAH
TITAH RAJA MUDA KEPADA ORANGKAYA

Kata sahibul hikayat tersebutlah di negeri Melayu bernama Perak Darul Redzuan itu, akan baginda Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah memerintahkan Orangkaya Dato’ Seri Hadi Awang dan Orangkaya Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat janganlah sampaikan khutbah Jumaat hari ini 13 Syaaban 1429 (atau disebut orang banyak 15 Ogos 2008). Kononnya Orangkaya Dato’ Seri Hadi akan ke Masjid Sultan Azlan Shah, sementara Orangkaya Dato’ Nik Aziz di Masjid Sultan Idris Shah II, seperti dilaporkan penitir canang sebelumnya. Maka hairanlah fakir apabila disebut sanya kedua-dua Orangkaya itu berhasrat menyampaikan khutbah, bukannya kerana permintaan orang ramai. Arakian disebut orang banyak kedua-dua Orangkaya itu tidaklah rugi apa-apa, tetapi yang rugi ialah rakyat jelata sekalian kerana tak dapat berkongsi ilmu dengan mereka berdua.

Syahdan disuratkan orang banyak, maka dibunuhlah akan Haji Mat Hassan di Pasir Putih di Kelantan. Arakian Haji Abdul Rahman Limbong di Hulu Terengganu juga dihukumlah buang negeri. Maka tidaklah rugi kedua-dua mereka, tetapi yang rugi ialah bangsa Melayu itu jua, adanya. Sebermula habislah menyesal semua orang Melayu rakyat hinda dina sekalian di kemudian harinya, kerana membiarkan tuan guru-tuan guru itu dihukum oleh orang-orang di atas angin. Adapun Raja Dr Nazrin Shah itu menasihatkan kedua-dua Orangkaya dari Kelantan dan Terengganu kerana tak mahu orang Melayu bergaduh, apalagi pesona bantahan orang-orang harakah Melayu. Mereka bimbang akan rakyata jelata hina dina di negeri mereka akan terpengaruhlah dengan kedua-dua Orangkaya itu, gamaknya.

Arakian maka segala orang-orang besar dan menteri hulubalang pun semuanya berkampung kepada bendahara bermesyurat. Maka kata segala menteri hulubalang, ‘Apa hal kita ini, kerana Raja Rekanlah jadi tuan kita, bukan Yang Dipertuan?’. Maka sahut bendahara, ‘Apatah daya, kerana Raja Rekan tiada pernah bercerai dengan Yang Dipertuan’. Telah sekalian mendengar kata bendahara itu, maka sekalian orang-orang kaya itu pun berdiam dirinya, masing-masing kembali ke rumahnya. Maka Seri Nara Diraja brbicara dalam hatinya akan pekerjaan itu. Hatta beberapa lamanya, datang sebuah kapal dari atas angin. Telah kapal itu berlabuh, maka segala nelayan datang berjual ikan kepada orang kapal dengan saudagarnya bernama Maulana Jalaluddin, begitulah yang disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, August 14, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


WARTAWAN SIBUK P/RAYA KECIL
BUSH JADI BACUL BERDEPAN RUSSIA!

Assalamualaikum,

Tahniah! Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah menerima menantu lagi, berikutan perkahwinan anaknya malam ini (14 Ogos 2008). Beliau bersama aktivis PRIMA L Mankadir Shamsi sudah pun berada di Kelantan bagi majlis perkahwinan tersebut. Saya pula menghadiri majlis kenduri doa selamat di samping menyambut kedatangan Ramadan di rumah Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) Hajjah Fauziah Raof malam ini juga (14 Ogos 2008). Rakan wartawan dari Mingguan Perdana yang kebetulan pula tererempak di sebuah pasaraya di Taman Seri Gombak petang ini bertanya sama ada saya akan ke Permatang Pauh atau tidak 16 Ogos 2008 nanti, disebabkan mereka memang ke sana atas kapisiti wartawan bagi melaporkan berita. Heh heh heh!

Pimpinan Angkatan Sasterawan Indera Kayangan, Perlis (ASIK), Abdul Ahmad yang juga terkenal sebagai penulis novel kanak-kanak menelefon petang ini (14 Ogos 2008). Abdul yang juga bekas pengarang Dewan Pelajar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah lama bersara, di samping menetap di kampungnya di Perlis, memang aktivis persuratan sewaktu berkhidmat di Kuala Lumpur. Beliau dikatakan kurang selesa dengan persatuan penulis di Perlis yang dianggap seolah-olah taksub sangat dengan pimpinan GAPENA dan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein. Bagaimanapun Abdul sekadar bertanya khabar, di samping menyentuh pilihanraya kecil Permatang Pauh yang dijangka 26 Ogos 2008. Apalagi UMNO sudah pun menamakan calonnya semalam (13 Ogos 2008 – ikut tarikh kegemaran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) bagi menentang calon PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Memang rakan-rakan menyangka PRIMA menyokong PKR, berikutan pada PRU12 lalu akhbar ‘Siasah’ melaporkan saya naik ke pentas membantu calon PKR di kawasan Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. PRIMA mengambil pendekatan yang tetap konsisten iaitu ‘sokong calon, bukan sokong parti’. Justeru pada pilihanraya kecil bagi Parlimen Permatang Pauh, PRIMA juga menyeru 58,449 pengundi-pengundi di kawasan berkenaan memberikan undi berdasarkan calon, bukannya parti! Trend pemikiran rakyat Malaysia pada PRU12 perlu dikekalkan dengan menolak populariti parti, sebaliknya menyokong calon di setiap pilihanraya. Justeru calon yang menjadi prasit dengan sekadar bergantung kepada populariti parti harus ditolak, tetapi memilih calon yang benar-benar mampu melonjakkan kewibawaan negara ke peringkat antarabangsa.

Hari ini (14 Ogos 2008) juga dilaporkan kereta kebal Moscow terus menceroboh Gori, bandar strategik di Georgia iaitu lokasi terletaknya sebuah pangkalan tentera. Kemaraan tentera Russia tak pula ditakrif oleh Amerika Syarikat sebagai ‘paksi keganasan’ yang perlu dibanteras. George W Bush dan AS memperlihatkan dirinya sebagai ‘paksi pembuli antarabangsa’ menjadi bacul apabila Moscow tunjukkan ‘bisa taring’ dengan keganasan menceroboh Georgia sekadar alasan negara bekas Soviet itu menceroboh Ossetia Selatan. Apalagi Georgia yang menjadi sekutu AS, tak pula menerima bantuan George Bush bagi melawan Russia yang sememangnya ‘buku bertemu ruas’. Aduhai Bush!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

UMNO TERDESAK P/RAYA KECIL
FOKUS KEPADA MESYUARAT AGUNG

Pimpinan UMNO sudah menamakan Dato’ Arif Shah Omar Shah menjadi calon BN bagi pilihanraya kecil Permatang Pauh pada hari penamaan calon dijangka 16 Ogos 2008, di samping pengundian 26 Ogos 2008. Keceriaan di kem BN tak kelihatan seperti perihal kebiasaan pilihanraya kecil diadakan sebelum ini; sekalipun disambut tepukan gemuruh 3,000 penyokong. Khabarnya! Malah Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga pengarah pilihanraya kecil itu mengakui, “Walaupun menghadapi kesukaran, keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira keadaan setempat”. Dengan pengumuman yang dibuat Dato’ Seri Najib di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di Seberang Jaya semalam (13 Ogos 2008) menutup spekulasi ura-ura bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd Ezam Mohd Noor akan dicalonkan. Begitulah!

Bagaimanapun kesukaran yang disebut Dato’ Najib akan berterusan, berikutan pada 26 Ogos 2008 banyak cawangan UMNO menggerakkan mesyuarat agung. Menurut sumber pimpinan UMNO di negeri-negeri juga tak memberi fokus kepada pilihanraya kecil di Permatang Pauh, sebaliknya mengutamakan mesyuarat agung masing-masing bagi menentukan pimpinan sebenar menerajui parti. Barangkali! Kebanyakan cawangan UMNO di Selangor misalnya, sebelum ini menjadi ‘hulubalang utama’ pada setiap kali pilihanraya kecil, tetapi mengakui pada 26 Ogos (2008) mereka tak ke Permatang Puah kerana menumpukan mesyuarat agung. Malah UMNO di Permatang Pauh sendiri belum selesai menggerakkan mesyuarat agung cawangan mereka yang pastinya terjejas berikutan pilihanraya kecil berkenaan.

INFO SASTERA & BUDAYA

MALAM 28 OGOS DI DAMANSARA:
MAJLIS DEKLAMASI PUISI MERDEKA

Deklamasi ‘Puisi Merdeka’ akan digerakkan oleh PRIMA malam 28 Ogos 2008 di pekarangan rumah Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Jalan Dato’ Suleiman 20, Damanasara. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir memberitahu ‘deklamasi puisi merdeka’ sebagai kesinambungan aktiviti PRIMA sebelum ini dengan menjadikan medium puisi sebagai menterjemahkan suara rakyat. Puisi-puisi bertema kemerdekaan akan dijadikan sumber pertemuan penyair-penyair Melayu dalam ‘deklamasi puisi merdeka’ ini, beritahu Dato’ Kamal Amir. Katanya, penyair-penyair yang ingin turut serta dalam majlis ‘deklamasi puisi merdeka’ ini adalah dialu-alukan secara terbuka. “Setiap penyair adalah dialu-alukan untuk mendeklamasikan puisi mereka,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Penyair-penyair yang pernah terbabit bersama PRIMA sebelum ini dalam majlis deklamasi seperti M Ashikin, L Mankadir Shamsi, Zainal Abidin Rasidin, Yassinsalleh, Rozzie Kamal, Nurul Salwa, Dr Intan, Yusleh dan beberapa lagi dijangka akan turut mendeklamasikan puisi mereka. Di samping itu PRIMA juga turut mengundang penyair-penyair PAKSI di bawah pimpinan Dinsman bagi menyerikan majlis deklamasi puisi merdeka, beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Sebelum ini PRIMA dijangka terbabit dalam ‘pesta budaya Orang Asli’ di Jenderak, Pahang pada 2 Ogos 2008, tetapi terpaksa dibatalkan berikutan lanskap politik yang serba goncang, pincang dan tempang ketika itu. “Kita memilih malam 28 Ogos sebagai majlis deklamasi puisi merdeka sesuai dengan semangat kemerdekaan itu,” ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SUARA PROLITAR

DOMINASI MASAKAN THAI
APA JADI MASAKAN MELAYU?

Di mana-mana sahaja di negara ini hidangan masakan Thailand mendominasi restoran dan gerai makan. Sama ada di bandar besar, pekan kecil mahupun kampung-kampung masakan Thailand seolah-olah menjadi pilihan. Berjalanlan dari Lumut ke Teluk Intan, dari Temerloh ke Bentong, dari Taiping ke Ipoh; apalagi di utara semuanya masakan tomyam menjadi menu utama. Seolah-olah identiti masakan Melayu tak wujud. Kalau pelancong luar melalui sepanjang jalan, mereka akan disogokkan dengan masakan ala Thailand. Apa dah jadi, bangsa Melayuku! – (SMS; 13 Ogos 2008; 23:33:21 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PEMUDA TAK MAHU MUZAKARAH
TETAPI TETAP BERLANDASKAN AL-QURAN

Sebermula berhimpunlah jemaah harakah Islam (dikenali PAS) bermula semalam, 11 Syaaban 1429 (atau disebut orang banyak 13 Ogos 2008) di negeri Melayu yang dikenali Perak Darul Redzuan itu, adanya. Maka marahlah mereka semua disebabkan pemimpin jemaah harakah Islam itu mahu bermuzakarah dan bermuqabalah dengan harakah Melayu (atau disebut UMNO). Arakian akan anak-anak muda jemaah harakah Islam itu, mereka tak mahu bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba memperalatkan istilah Islam seperti syariyyah, maqasid, al-syariah, fiqh al-awlawiyyat, fiqh at-taghyir dan fiqh al-waqi bagi mencapai matlamat siasah. Syahdan wazir ketua jemaah harakah Islam itu, Orangkaya Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengingatkan, muzakarah itu berlandasakan al-Quran bukanlah percaturan siasah, adanya.

Arakian adapun Sultan Ahmad itu semuanya baik, lagi murah; tetapi suatu celanya, sebab tiada kasih akan segala pegawai dan segala orang besar-besar, melainkan orang muda-muda dan hamba raja tersebut itu juga dikasihi baginda. Apabila segala orang muda-muda itu sudah makan di dalam ayam suapan dan nasi kunyit, atau barang sebagainya, maka apabila segala orang besar-besar datang menghadap Sultan Ahmad, maka dikias-kiasnya oleh segala orang muda-muda itu katanya, ‘Mana rimah nasi kunyit dan tulang ayam suapan yang kita makan tadi?’. Maka segala kelakuan itu kedengaran kepada Sultan Mahmud. Maka tiada berkenan baginda akan pekerti ananda itu, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, August 13, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

NASIHATI RAKYAT BERJIMAT CERMAT:
MENTERI SIBUK DENGAN ‘GIMMIK POLITIK’

Assalamualaikum,

Sejak dua bulan lalu anak saya seorang guru membawa bekalan ke sekolah. Begitu juga anak saya yang berkhidmat di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bersama isterinya membawa bekalan ke pejabat. Anak saya yang menuntut di Unisel pula sekadar diperuntukan RM50 sahaja seminggu bagi ‘duit makan’. Kakaknya yang juga di Unisel pada peringkat praktikal, diperuntukkan RM50 juga seminggu bagi ‘duit makan’, kerana PTPTN tak mencukupi untuk membiyai ‘duit makan’. Memang PTPTN sekadar untuk membayar yuran, wang peperiksaan, buku-buku dan asrama (atau tempat tinggal). Tak tahulah bagaimana lagi mahu berjimat, apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Shahrir Abdul Samad meminta orang ramai berjimat, berjimat dan berjimat. Entahlah!

Ahad lalu (10 Ogos 2008), ketika singgah di Sungai Besar untuk menjengah bapa mentua di Bagan Datoh, saya memesan nasi goreng sahaja dengan air suam, harganya ialah RM4.20 (termasuk air suam dikenakan bayaran 20 sen). Seketul kuih karipap juga harganya sudah dinaikkan kepada 40 sen, berbeza sebelumnya RM1.00 bagi 3 biji. Bagaimanapun di gerai mamak, air suam masih tak dikenakan bayaran di samping harga roti canai masih RM0.80 (sekalipun dinipiskan sedikit). Sekiranya menteri-menteri turun padang, mereka tentu memahami fenomena sekarang. Justeru kalau ‘duit makan’ RM10 sehari kepada anak-anak yang sedang belajar, memang tak mencukupi (lainlah kalau tak sarapan pagi dan petang, atau kudap-kudap sebelah malam).

Maknanya menteri-menteri yang menasihati orang ramai berjimat, kenalah bertanya kepada diri sendiri ‘berjimat’ bagaimana caranya? Adakah jangan menjamah makanan langsung, hingga anak-anak yang belajar jadi bengap, bengang dan bangang! Apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sarankan UiTM dibukakan kepada anak-anak bukan Melayu, tak semena-mena dikerah pelajar-pelajar UiTM buat demonstrasi (tatacara inipun diajar oleh PKR). Pelajar-pelajar UiTM terbabit tak pernah tahu fasal kuota kemasukan ke UKM dinaikkan kepada pelajar-pelajar bukan Melayu sebagai kompromi dalam isu Kolej Tunku Abdul Rahman tak dijadikan universiti ketika itu. Pelajar-pelajar UiTM terbabit juga tak menyedari PTPTN yang menggantikan biasiswa berlawanan dengan perlembagaan yang menetapkan ‘hak istimewa orang Melayu’.

Tetapi pelajar-pelajar UiTM yang bangkit dengan demonstrasi jalanan itu digerakkan selepas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Mohd Taib bersuara menyelar kenyataan Tan Sri Khalid. Bagaimanapun logiknya UiTM di bawah kuasa kerajaan Pusat, justeru kemasukan pelajar-pelajar ‘bukan kuasa’ kerajaan negeri Selangor. (Lainlah Tan Sri Mat Taib nak buat gimmik politik, memang bolehlah dipolimikkan di samping media arus perdana yang dulu-dulunya menjauhkan diri daripada Tan Sri Mat Taib, sekarang dah mula mendekat-dekatkan diri). Sekitar dekad 1970-an dulu pun pelajar-pelajar UKM berdemonstrasi membantah Dato’ Harun Idris memindahkan pusat pengajian ke Bangi, kononnya balak di kawasan hutan berkenaan dipunggah oleh kroni-kroni Menteri Besar Selangor itu. Sekarang bagaimana dengan pengkritik-pengkritik Dato’ Harun dan pelajar-pelajar UKM selesa atau tidak di Bangi? Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


GENERASI MUDA KERABAT DIRAJA
UMNO PERLU DIGANTI PARTI MELAYU

Parti politik bagi komuniti Melayu perlu digerakkan, sekalipun UMNO tak relevan lagi meneruskan wadah perjuangan bangsa Melayu, menurut kalangan generasi muda kerabat diraja yang ditemui bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Memberitahu sekretariat PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor mengakui ditemui oleh beberapa orang generasi muda kerabat diraja dari kalangan intelektual yang melahirkan rasa bimbang dengan lanskap politik sekarang, berikutan orang Melayu turut menolak parti komuniti Melayu iaitu UMNO. Mungkin sahaja UMNO tak sesuai lagi dalam perjuangan orang Melayu sekarang, justeru parti politik komuniti Melayu perlu diwujudkan sebagai alternatif. “Generasi muda Melayu tak menerima pimpinan UMNO sekarang, oleh itu ianya memerlukan landasan baru,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor memetik saranan kerabat diraja terbabit.

Menyentuh pelan peralihan kuasa yang mahu diterjemahkan UMNO menjelang Jun 2010, menurut generasi muda kerabat diraja berkenaan, ianya sekadar proses perubahan pimpinan sahaja. Justeru dalam proses perubahan pimpinan, tak menjamin kepimpinan Melayu yang boleh jadi kebanggaan bangsanya seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Dr Ismail Abdul Rahman, jelas Dato’ Dr Mohd Mansor berdasarkan pertemuan dengan kerabat diraja terbabit. Mereka juga tambah Dato’ Dr Mohd Mansor, tak menafikan Tengku Razaleigh Hamzah perlu tampil memulihkan semula UMNO, tetapi memerlukan pendekatan baru yang boleh diterima oleh generasi muda Melayu. “Ku Li juga masih dipengaruhi oleh pagar-pagar di keliling yang menjejaskan sokongan majoriti,” beritahu golongan muda kerabat diraja berkenaan, menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

UMNO PAHANG PERLU MALU
APABILA GUNA PENGARUH ISTANA

Langkah UMNO Pahang menggunakan pengaruh istana dalam pemilihan Cawangan dan Bahagian dianggap sebagai tak berasa malu terhadap diri sendiri, beritahu bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga Jurucakap PRIMA mengakui menerima laporan kalangan pimpinan UMNO di Pahang mengguna pengaruh istana bagi menjamin pimpinan di negeri itu mengikut diskripsi yang dirancang. Katanya, UMNO Pahang perlu berasa malu apabila mengguna pengaruh istana dalam pecaturan politik yang tak memberi manfaat besar kepada bangsa Melayu, kecuali demi menjaga kepentingan beberapa orang individu. “Pengaruh istana boleh dikesampingkan apabila bangsa Melayu berhadapan dengan isu sensitif seperti agama yang dibangkitkan Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini,” jelas Dato’ Kamal Amir.

UMNO Pahang dikatakan mengguna pengaruh istana bagi menjamin pelan tindakan peralihan kuasa menjelang Jun 2010 berjalan lancar, dengan menafikan hak ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi menentukan pemimpin pilihan mereka. Menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya, ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi dipaksa menerima keputusan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menetapkan penggantinya ialah Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Katanya lagi, biarlah ahli-ahli UMNO sendiri memilih sama ada Dato’ Seri Mohd Najib sebagai pengganti Dato’ Seri Abdullah atau lain-lain calon yang difikirkan berhak dipilih. Beliau seterusnya menambah, UMNO masih mempunyai ramai tokoh seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Shahrir Samad atau Dato’ Seri Khaled Noordin yang mempunyai hak. “Jangan biarkan ahli-ahli UMNO dibelenggu perhambaan minda,” ujarnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PENDEKATAN TAK SESUAI DIUBAH:
ELAKKAN PERSATUAN ARTIS BERGADUH.

Kecoh yang membabitkan artis dalam pelbagai persatuan baru-baru ini tak memberi sebarang manfaat kepada industri hiburan, kata aktivis budaya Yassinsalleh apabila menyentuh kekecohan berkenaan. Baru-baru ini pimpinan Karyawan, Freddie Fernandez dikecam oleh beberapa buah persatuan artis kerana membuat kenyataan menimbulkan rasa tak senang di kalangan persatuan-persatuan terbabit. Menurut Yassinsalleh, dalam industri hiburan yang terbatas audiennya, adalah wajar setiap aktivis mementingkan perpaduan daripada tuduh menuduh di antara satu sama lain. “Janganlah disebabkan antan dengan lesung berkelahi, ayam di halaman tak semena-mena kenyang memakan padi yang tumpah,” beritahu Yassinsalleh menambah.

Seterusnya kata Yassinsalleh yang juga pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi filem ‘Dia Ibuku’, persatuan artis bukanlah jelmaan baru dalam industri hiburan. Malah katanya lagi, sekitar dekad 1950-an Tan Sri P Ramlee sudah memimpin warga artis di Singapura dikenal ‘Persama’ (Persatuan Artis Melayu). Tan Sri P Ramlee membawa pendekatan berkompromi dengan majikan bagi melindungi kepentingan artis, sebaliknya apabila Tan Sri Jins Shamsuddin mengambil alih berikutan penghijrahan Tan Sri P Ramlee ke Kuala Lumpur, pendekatan yang dibawa ‘Persama’ ialah enggan bekerjasama. ‘Persama’ turut melancarkan mogok sekitar dekad 1960-an, diikuti penutupan Shaw Malay Filem di Jalan Ampas. “Apa yang penting bagi fokus persatuan ialah pendekatan, jutseru pendekatan boleh diubahsuai dalam membantu artis,” jelas Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

HINGGA SEMINGGU JALAN DITUTUP
KERANA PERAYAAN AGAMA PERSATUAN?

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) perlu membuat keputusan bijak, apabila benarkan persatuan tertentu menyambut perayaan. Jalan di kawasan pekan Taman Seri Gombak ditutup kepada lalu lintas berdekatan institusi kewangan CIMB, Eon Bank, Hong Leong Bank yang sentiasa sibuk dengn urusan. Jalan ditutup kerana ‘Persatuan Amal Yee Lan Sheng Hui’ Taman Seri Gombak menyemabut perayaan agama sejak Isnin lalu (11 Ogos 2008). Sebelum ini baru sahaja ditutup lalu lintas di Fasa 3 dihadapan bangunan premis pejabat PKR selama seminggu. Apakah MPS membenarkan jalan ditutup kepada lalu lintas hingga seminggu? Bagaimana kalau umat Islam di Taman Seri Gombak mahu menyambut perayaan agama, bolehkah ditutup seminggu kepada lalu lintas? – (SMS; 12 Ogos 2008; 14:32:09 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

BAGAIMANA ANWAR LEBIH BERPENGARUH
PEMIMPIN KERAJAAN DIPERLEKEH DI LUAR NEGARA?

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera akan Orangkaya Dato’ Mukhriz Mahathir berasa kecewa dengan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadukan halnya kepada kerajaan negeri di atas angin. Adapun akan bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar itu didakwalah ia terbabit dengan pertuduhan liwat, adanya. Maka masyghollah sekalian orang banyak bagaimana Orangkaya Dato’ Mukhriz berkata demikian. Arakian berasa hairanlah fakir, bagaimana kerajaan negeri atas angin boleh percayakan bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar lebih daripada Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau lain-lain pemimpin. Takkan kerajaan negeri atas angin pun tak percaya dengan Orangkaya Dato’ Mukhriz. Maka eloklah Orangkaya Dato’ Mukhriz sendiri berjumpa dengan ketua kerajaan negeri atas angin menerangkan akan perihal bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar itu.

Syahdan baginda Mani Purindam pun malu rasanya oleh katanya tiada dituruti oleh saudaranya itu. Maka fikir ia di dalam hatinya, ‘Sedang pekerjaan sebegini lagi tiada diturut oleh saudaraku, jikalau pekerjaan yang besar berapa lagi? Jika demikian baiklah aku membuangkan diriku barang ke mana. Jika di sini pun bukan aku kerajaan di dalam negeri ini. Tetapi ke mana baik aku pergi melainkan ke Melaka, kerana pada zaman ini raja Melaka itu raja besar; patutlah aku sembah. Lagipun baginda itu daripada anak cucu Raja Iskandar Dzul-Karnain’. Telah demikian fikirnya, maka baginda Mani Purindam berlengkap ada berapa buah kapal, lalu belayar ke Melaka. Syahdan telah datang ke Jambu Air, maka angin pun turun, terlalu besar ribut seperti tersebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disurat oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, August 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


‘PAK KADUK’ DALAM KHUTBAH
MASYARAKAT MELAYU SERBA BOBROK

Assalamualaikum,

Khutbah Jumaat semalam (8 Ogos 2008) di Masjid al-Khairriyah, Taman Seri Gombak turut menyelitkan sastera rakyat mengenai ‘Pak Kaduk’ – ayamnya menang kampung tergadai! Maknanya, medium sastera sesuai diterapkan di mana-mana, asal sahaja tahu mengenai nilai dan fungsinya. Begitulah! Khatib yang menyampaikan khutbah membawa kisah ‘Pak Kaduk’, berkaitan gejala sosial dalam masyarakat Melayu yang serba bobrok, korok dan teruk. Naratif fitnah sejak kesultanan Melaka, insiden Hang Tuah dituduh bermukah dengan dayang istana, atau hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja akibat fitnah Kitul dan Raja Mendeliar – adalah berkaitan dengan kisah ‘Pak Kaduk – ayam menang kampung tergadai’!.

Tetapi khutbah Jumaat sekadar disampaikan secara naratif sahaja, tak dibuat analitikal khusus mengenai versi ‘Pak Kaduk’ berkenaan. Atau petikan ayat-ayat al-Quran sekadar diterjemah mafhomnya secara umum, di samping jemaah menerimanya dengan penuh khusuk. Fitnah juga membabitkan pembunuhan Wan Anum isteri Megat Seri Rama yang sarat mengandung dalam tragedi berdarah di Kota Tinggi pada 1699, semata-mata akibat keperongosan pembesar Melayu bernama Tun Bija Ali yang pantang melihat dahi wanita licin, tetapi kelicikannya menjadikan ia lebih rela meneruskan nasib ‘Pak Kaduk – ayam menang, kampung tergadai’. Bagaimanapun bagi jemaah pula selepas dengar khutbah eloklah rujuk kepada pelawak generasi baru, Nabil: ‘Fikirlah sendiri’. Heh heh heh!
Kebetulan pula apabila selesai solat Jumaat, terserempak Haji Abu Bakar Ninggal yang ketawanya, memang boleh dibeli! Beliau mengakui turut sama ke mahkamah pada Khamis (7 Ogos 2008) mengikut kes Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim didakwa terlibat dengan liwat buat kali kedua. Kali pertama Dato’ Seri Anwar menghadapi kes liwat pada 1999, tetapi dibebaskan oleh mahkamah; sebaliknya beliau merengkok di sel Sungai Buluh bagi tempoh enam tahun kerana salah guna kuasa dan rasuah berpunca dari kes liwat berkenaan. Aduhai! Ketika di mahkamah Haji Abu Bakar beritahu, terserempak L Mankadir Shamsi bersama Haji Suhaimi Said dari Pahang yang turut beri sokongan moral kepada Dato’ Seri Anwar.

Mankadir dan Haji Suhaimi bukanlah penyokong Dato’ Seri Anwar sejak awal, tetapi mereka berpegang kepada prinsip ‘menentang perhambaan minda’. Malah Haji Suhaimi pernah ditahan di bawah ISA sekitar dekad 1980-an ketika menjadi Penasihat Undang-Undang PAS, apabila menyibarkan gambar-gambar mangsa tragedi Mamali dan Lubuk Merbau. Mankadir pula bertanggungjawab mencetak dan menerbitkan gambar-gambar berkenaan dengan kerjasama Wak Jamari Shukor (ketika itu Dato’ Seri Anwar masih bersama UMNO dan ahli kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad). Sebelum menyertai PAS, Haji Suhaimi dan Mankadir adalah aktivis Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM); apalagi ayah Haji Suhaimi (Mohd Said), pejuang nasionalisme di Lubuk Kawah bersama Pak Sako (Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad). Begitulah!

Di samping berkirim salam menerusi Haji Abu Bakar, Mankadir memberi jaminan akan ke Permatang Pauh 16 Ogos 2008 ini bersama Haji Suhaimi pada hari penamaan calon pilihanraya kecil. Mungkin sahaja saya boleh mengimbau insiden di Seberang Jaya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, jam 3.00 pagi 27 November 1999 ketika pilihanraya yang menyaksikan pertandingan Dato’ Seri Wan Azizah Ismail melawan Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad. Apabila saya bertemu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Timbalan Perdana Menteri), sepanjang jalan seolah-olah redup dengan poster PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional), menyebabkan poster dacing tenggelam hingga santak ke Bukit Mertajam disambut pula oleh poster ‘roket’ merata-rata. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO TERUS TENGGELAM PUNCA
PELUANG ANWAR DI PERMATANG PAUH

Peluang Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil yang dijangka hari pengundian pada 26 Ogos 2008 memang cerah berdasarkan UMNO dan BN tenggelam punca dan terdesak untuk mengemukakan calon, menurut penganalisis politik. Menjelang penamaan calon 16 Ogos 2008, UMNO yang pada peringkat awalnya gagal memujuk Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin bagi menjadi calonnya. Malah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri mengakui pilihanraya kecil itu menjadi medan untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan, seolah-olah selama ini rakyat tak diberi penjelasan, beritahu aktivis masyarakat di Pahang L Mankadir Shamsi. “Dengan kenaikan harga petrol, kegelisahan peniaga dan kesukaran kerajaan membendung rasuah, peluang PKR adalah cerah,” kata Mankadir kepada sekretariat PRIMA.

Dalam PRU12 pada 8 Mac 2008, calon PKR Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada 1999 dengan memperoleh 30,338 undi menewaskan calon UMNO Dato’ Pirdaus Ismail (16,950 undi). Di samping itu Mankadir yakin kes liwat yang dihadapi Dato’ Seri Anwar tak menjejas sokongan rakyat di Permatang Pauh, berdasarkan isu berkenaan sudah dibangkitkan sejak 1999. Seterusnya kata Mankadir, pemimpin UMNO menyifatkan langkah Dato’ Seri Dr Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai menghina pengundi di Permatang Pauh. Sebaliknya, beliau menjelaskan kes yang dihdapi oleh Dato’ Seri Anwar sejak 1999 itu menunjukkan UMNO menghina pengundi di Permatang Pauh. “Sebenarnya UMNO meludah ke langit, justeru tertimpa muka sendiri,” beritahu Mankadir.

INFO SASTERA & BUDAYA

BUKAN FILEM MELAYU KLASIK:
JIKA MENOLAK UNSUR PATRIOTISME

Tayangan filem Melayu klasik di kaca TV perlu dipantau, sekiranya menolak unsur patriotisme, budaya dan moral penduduk tempatan, beritahu bekas aktivis perfileman
Yassinsalleh. Generasi Melayu alaf baru akan keliru dengan filem-filem klasik yang menolak nilai budaya dan moral bangsa Melayu, kata Yassinsalleh yang pernah memenangi anugerah pengarah terbaik menerusi filem ‘Dia Ibuku’ pada Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an. Beliau menyentuh filem ‘Aloha’ yang ditayangkan menerusi TV Astro Prima minggu ini yang dianggapnya berlawanan dengan nilai dan moral bangsa Melayu. Sekalipun filem berkenaan dianggap klasik, tetapi ciri-ciri budaya dan moral Melayu tak dikesampingkan, ujarnya. “Bagaimana kita mahu takrif sebagai filem klasik Melayu, kalau nilai budaya dan moralnya bukan Melayu,” menurut Yassinsalleh.

Filem ‘Aloha’ lakonan Mariam, Osman Gumanti, P. Ramlee dan D Harris terbitan Shaw Malay Filem sekitar dekad 1950-an memang sekadar fiksyen, tetapi ianya tak menunjukkan sikap patriotisme, beritahu Yassinsalleh selanjutnya. Beliau menjelaskan, dalam adegan orangkaya membuat laporan ke balai polis di sebuah kepulauan audien melihat bendera Amerika Syarikat ditonjolkan. Sekalipun latar belakang fiksyen tersebut di kepulauan yang dikuasai Amerika Syarikat, tetapi ianya tak wajar dipaparkan dalam filem Melayu. Malah menurut Yassinsalleh, pada period penjajah pun bendera Union Jack tak pernah dikibarkan bersama ‘Jalur Gemilang’, menyebabkan Sir Donald Mac Gillivary berasa kecewa apabila Union Jack diturunkan pada malam kemerdekaan. “Tak wajar disiarkan filem Melayu klasik yang tak patriotisme dan menolak nilai budaya dan moral bangsa Melayu,” kata Yassinasalleh menambah.

INFO SUARA PROLITAR

MAJLIS PEGUAM CABAR RAJA:
PERSOAL ISU ISLAM KETERLALUAN

Forum ‘memeluk Islam’ yang dianjur Majlis Peguam Malaysia memang isu sensitif. Orang Islam tak pernah anjur forum mempersoal agama lain. Nampaknya pihak bukan Islam sengaja mencurah minyak petrol di padang lalang kering. Kementerian Dalam Negeri tak boleh ‘tunggu dan lihat’, tapi segeralah bertindak. Janganlah nasi dah jadi bubur, baru nak dipantau. Perkara agama di bawah kuasa raja-raja Melayu. Pihak Majlis Peguam seolah-olah nak cabar raja-raja Melayu.- (SMS; 9 Ogos 2008; 10:42:56 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

BLOG WARTAWAN TAK RESPON
BANYAK MAKLUMAT TAK DISIAR

Hairan juga ya? Bila ada posting di laman http://siasahdaily.bolgspot.com berkenaan kes DSAI cepat-cepat abe mie respon. Tapi puas saya cari respon dia di blog kadirjasin dan kuda kepang tak jumpa pula. Kedua-dua blog berkenaan dikendalikan oleh tokoh wartawan terkemuka yang memiliki banyak maklumat politik dan sudah tentulah sentiasa mengikuti perkembangan semasa (tidak seperti anggapan 'budak' Ahmad Sabri Cheek terhadap Zulkifli dari akhbar SIASAH). Seorang adalah bekas ketua editor akhbar bepengaruh di Malaysia dan seorang lagi pernah menduduki kerusi parlimen. Mungkin juga posting abe mei yang penuh cacian dan kejian itu telah dibuang kerana tidak bermanfaat kepada khalayak.-(E-mail; 9 Ogos 2008-Asalbayu,Kedah)

DISEBABKAN SEBATANG POKOK
HABIS SELURUH HUTAN DIBAKAR!

Kenapa disebabkan sebatang pokok yang kerajaan BN mahu pertahankan, habis hutan belantara dibakar? Akibatnya pokok-pokok yang baik seperti leban, meranti, keruing, penak atau cengal habis dibuang sama. Sebiji pisang yang busuk, kerajaan BN sengaja busukkan pisang yang lain, kerana bimbang busuk dalam tandan pisangnya diketahui umum. Orang ramai mahukan pokok kayu yang berharga. Bukan kayu lampung tak berguna. Orang ramai juga mahukan pisang yang bernilai, bukan pisang busuk yang layak dimakan oleh kera dan tupai – (SMS; 9 Ogos 2008; 9:37:19 – Alba, Kampung Seperi, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MENTERI SEKADAR ‘AKAN’:
TAK BERTINDAK PADA NEGERI ATAS ANGIN

Sebermula tersebutlah ceritera Menteri Luar Negeri Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais Yatim terlalu marah akan perihal negeri atas angin memanggil pegawai binti-binti yang menjadi wazir (Timbalan Ketua Misi Malaysia di Washington) iaitu Ilango Karuppanan pada hari Rabu lalu, 4 Syaaban 1429 (atau disebut anak cucu fakir 6 Ogos 2008). Maka Orangkaya Dato’ Dr Rais pun memberi amaran (akan) membuat laporan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Arakian pada hari ini Sabtu, 7 Syaaban 1429 (atau ianya disebut juga 9 Ogos 2008), Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais (akan) mengutus surat kepada kerajaan negeri atas angin itu kerana mencampuri undang-undang kanun di negeri Melayu. Terlalulah masyghul segala orang banyak kerana Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais sekadar (akan, akan, akan) sahaja. Alahai!

Syahdan segala Feringgi itu baliklah ke Goa. Setelah datang ke Goa, segala perihal ehwalnyaitu semuanya dikatakan kepada wazir-wazirnya. Maka wazir-wazirnya pun terlalu marah. Maka ia menyuruh berlengkap pula hendak menyerang Melaka. Arakian kata Kapitan Mur, ‘Pada bicara kita, tiada akan alah Melaka, jikalau ada lagi Bendahara Seri Maharaja; berapa pun besar angkatan Melaka, tiada akan alah’. Kata Alfonso d’Albuquerque, ‘Mengapa maka engkau berkata demikian itu? Apa dayaku sebab aku tiada boleh meninggalkan Goa ini. Tetapi apabila aku sudah turun daripada wazir, aku sendiri pergi menyerang Melaka itu,’ seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ itu oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!