Saturday, October 20, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

‘PUASA ENAM’ SELEPAS RAYA
MENJADI AMALAN WARGA EMAS


Assalamualaikum,

Tak terasa lagi meriah masuk seminggu berpuasa, kalau dibandingkan sekitar dekad 1950-an mahupun 1960-an, seolah-olah sebulan Syawal menikmati suasana Hari Raya. Di kalangan warga emas sekarang, sebaik sahaja hari raya ketiga mereka sudah mulakan ‘puasa enam’ menyebabkan anak-anak dan cucu-cucu sahaja menjamah juadah apabila berkunjung ke rumah mereka. Di masa lalu warga emas memilih hariraya ke 15 untuk memulakan ‘puasa enam’, setelah semua anak cucu kembali bersekolah atau yang berusia 18 tahun memasuki tentera yang menjadi kebanggaan keluarga kerana ‘dahi bertomen, betis berbebat, minum air dalam besi, api dalam kaca, petik di tepi tengah menyala’.


Memang saya balik ke kampung di Jelebu hari raya pertama bagi mengucup dahi ibu yang sudah berusia lebih 82 tahun, tetapi Alhamdullillah masih sihat di samping mampu melayani kerenah anak, cucu dan cicit. Hariraya kedua bersama keluarga ke Bagan Datoh di Perak mengunjung ibu dan bapa mertua pula. Mereka juga sudah berusia hampir 80 tahun, tetapi masih sihat sekalipun kadangkala diganggu dengan demam-demam biasa apabila cuaca tak berapa baik. Hariraya kelima, sekali lagi balik ke Jelebu menziarahi pusara ayahanda saya Dato’ Sati Haji Daud bin Haji Ahmad antara pejuang prolitar di daerah kecil yang terbabit dalam gerakan nasioanalisme sekitar dekad 1940-an.


Sebagai pejuang prolitar, beliau terbabit dalam gerakan meneroka tanah untuk petani-petani miskin sekitar dekad 1950-an, tetapi secara berhemah (bukan secara haram) atas kapisitinya ketua adat di daerah Jelebu. Beliau berhasil meneroka tanah di Geylang dan Lakai di Teriang Hilir kepada 50 petani, diikuti di Kampung Seperti, Hulu Teriang untuk 100 petani dengan memperoleh 2 ¾ ekar setiap orang. Ketika kemuncak menuntut kemerdekaan, beliau memegang jawatan Setiausaha UMNO Cawangan Kuala Klawang, dengan menjemput Tunku Abdul Rahman menghadiri rapat raksasa di padang pekan Kuala Klawang. Beliau yang mengkagumi perjuangan prolitar Aziz Ishak yang prihatin dengan isu petani dan orang Melayu tak bertanah, turut meninggalkan UMNO pada 1961 bagi memberi sokongan moral kepada menteri pertanian dan syarikat kerjasama itu.


Sekalipun disisihkan oleh generasi muda UMNO, beliau tetap dikenang menjelang Hari Raya kerana sekitar dekad 1950-an, suasana di kampung meriah dengan takbir dan tahmid pada malam raya. Beliau memimpin kumpulan jemaah surau berkunjung rumah ke rumah disekitar Kampung Petaling, Kampung Mengkan dan Kampung Pianggu pada malam raya bertakbir dan bertahmid. Orang Melayu di sekitar tiga kampung berkenaan memang merasakan kemeriahan berkunjung rumah ke rumah pada dekad 1950-an dan 1960-an ketika malam raya, tetapi imbauan suasana tersebut sudah lama berakhir kerana tiada kesinambungan meneruskan tradisi tersebut.


KUBUR DENGAN TIGA NESAN
MENJADI TANDA TANYA KELUARGA


Pagi ini (20 Oktober 2007), bapa saudara saya Abdul Latiff Haji Ahmad beritahu menerusi telefon mengenai sebuah kubur keluarga di Bukit Perah, Batu Kikir di daerah Jempol ditemui dengan tiga batu nesan. Entahlah! Disebabkan belum lagi menziarah keluarga di Batu Kikir, memang tak tahu mengenai kubur yang dikatakan mempunyai tiga batu nesan itu. Beliau hubungi saya, mungkin sahaja sekitar 2003 saya pernah turut menghadiri mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi membincangkan isu kenaikan ‘mas kahwin’. Dalam mesyuarat tersebut keputusan sebulat suara diambil bagi menghapuskan perbezaan ‘mas kahwin’ wanita berstatus ‘anak dara’ dan ‘janda’, tetapi apabila kenaikan ‘mas kahwin’ diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad bin Hassan, perbezaan status ‘anak dara’ dan ‘janda’ dikekalkan. Aduhai!


Batu nesan bagi kubur pula tak pernah ditetapkan sama ada satu, dua, tiga atau lebih daripada jumlah tersebut. Malah dibeberapa tempat, batu nesan kubur sekadar satu sahaja sebagai tanda pengenalan kepada keluarga yang menziarah. Dua batu nesan bagi kubur pula perkara biasa, kerana di mana-mana pun menjadi kelaziman, begitulah! Abdul Latiff juga mengakui tak menjadi kesalahan kubur diletakkan tiga batu nesan, tetapi bimbang ianya menjadi kemusykilan masyarakat. Sewaktu menghadiri mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003 dulu, memang wakil pejabat agama daerah Jempol turut hadir; bagaimanapun tak sempat pula berkenalan kerana dalam mesyuarat wakil-wakil pejabat agama daerah lebih banyak mendiamkan diri daripada bersuara.

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


JAWATAN EXCO KERAJAAN NEGERI
PERAK MAHUKAN ADUN BERIJAZAH


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Tajol Rosli Mohd Ghazali melatah bagi mempertahankan kedudukannya di Perak apabila membuat kenyataan mahukan Exco Kerajaan Negeri Perak akan datang perlu mempunyai ijazah. Beliau turut meramalkan Tajol Rosli berhadapan dilema dengan isu menteri besar akan digugurkan, berasa hairan bagaimana Menteri Besar Perak boleh membuat kenyataan tersebut, dalam masa dirinya sendiri belum pasti mengekalkan kerusi Menteri Besar Perak. “Mungkin sahaja Menteri Besar Perak yang akan datang tak mahu meletakkan syarat ADUN berijazah bagi menduduki kerusi Exco,” katanya.


Kamal mengulas laporan berita radio petang ini (20 Oktober 2007), yang menyebut Menteri Besar Perak Dato’ Seri Tajol Rosli Mohd Ghazali memberi syarat, Exco kerajaan negeri Perak selepas pilihanraya nanti dipertimbangkan dari kalangan ADUN berijazah. Bagaimanapun kriteria bagi pemilihan calon yang bertanding kerusi ADUN tak pula ditetapkan daripada kalangan pemimpin yang berijazah. Seterusnya Kamal yang pernah terbabit sebagai aktivis Pemuda UMNO ketika di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Tajol Rosli, seolah-olah mahu mendahului pimpinan UMNO termasuk Pak Lah dan Najib dalam menetapkan hala tuju perjuangan parti.



“Perkara menetapkan Exco adalah dasar parti, justeru tak seharusnya Tajol Rosli boleh membuat kenyataan sebelum keputusan dibuat oleh pimpinan Pusat,” beritahu Kamal sambil menunjukkan ‘perlembagaan UMNO’. Di samping itu Kamal juga turut menyebut Perdana Menteri Britain, Winston Churchill yang lebih hebat dari Tajol Rosli pun, bukan individu yang berijazah. Malah Perdana Menteri Britain, John Major yang terbabit dalam isu pencerobohan pertama ke atas Iraq pada 1990 bukan dari kalangan pemimpin Parti Konservatif yang berijazah. Katanya lagi, Ronald Reagan yang pernah dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat sekadar lulus diploma kewartawanan sahaja.

LOGIKNYA PUTERI BN DITUBUH
NORAINI SASAR BELIA BUKAN MELAYU


Ketua Pergerakan Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad dilaporkan mahu Barisan Nasional (BN) menubuhkan Pergerakan Puteri bagi mensasarkan belia-belia bukan Melayu menyertai parti komponen BN. Ketika merasmikan mesyuarat Puteri Parti Progresif Penduduk (PPP) di PWTC hari ini (20 Oktober 2007), saranan Noraini segera mendapat respons Presiden PPP Dato’ M. Kayveas yang mahukan BN mempunyai Pegerakan Puteri secepat mungkin. Tak tahulah logiknya penubuhan Pergerakan Puteri BN, kalau sekadar mahu mensasarkan kepada belia-belia bukan Melayu menyertai mana-mana komponen parti BN.


Memang saranan Noraini mempunyai agenda yang selaras dengan perjuangan Puteri UMNO, bagi menarik minat belia-belia bukan Melayu berpolitik. Sebaliknya dalam pelaksanaan agenda tersebut belum tentu ianya memberi banyak manfaat kepada legasi perjuangan Melayu. Misalnya, hak ketuanan politik Melayu terpaksa diagih bersama hingga kawasan pilihanraya yang majoriti pengundi Melayu belum tentu ditandingi oleh calon UMNO. Presiden PPP juga tak mungkin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Ipoh dan Menglembu (Ipoh Barat dan Ipoh Timur) yang menjadi kawasan tradisi parti berkenaan sejak pilihanraya 1959, sebaliknya mengharapkan kawasan pilihanraya yang majoritinya pengundi Melayu.

Puteri UMNO pula mungkin terjebak dengan naratif kerjasama seperti kontrak sosial yang diwar-war parti komponen BN, apabila menghadapi pilihanraya sama seperti dialami Pergerakan Wanita UMNO sebelum ini. Setiap kali menjelang pilihanraya umum mahupun pilihanraya kecil, Wanita UMNO bertungkus lumus di kawasan calon-calon komponen BN bertanding. Sebaliknya pergerakan wanita parti komponen BN entah di mana membawa diri, apabila Wanita UMNO merayu undi di pondok-pondok perayu. Justeru PRIMA melihat pembentukan Pergerakan Puteri BN akan memberi beban kepada Noraini, ketika komponen dalam Puteri BN ‘goyang kaki’ dan ‘lenggang kangkung’.


INFO SASTERA & BUDAYA:


MANSOR BENTANG KERTAS KERJA
NARATIF PERSURATAN DARUL MAKMOR


Aktivis PRIMA yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah akan membentangkan kertas kerja mengenai sejarah persuratan Darul Makmor (negeri Pahang) pada majlis perjumpaan penulis di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena), 28 Oktober 2007. Menurutnya, penghormatan yang diberikan oleh Pena kepadanya, memberi ruang kepada beliau untuk memperkatakan kedaulatan bahasa Melayu dalam sejarah persuratan Darul Makmor sama ada karya-karya penulis di zaman silam, mahupun surat menyurat rasmi antara pembesar-pembesar Melayu dengan pedagang-pedagang Inggeris. “Urusan dagang dan perniagaan di masa lalu pada asasnya seratus peratus menggunakan Bahasa Melayu,” beritahu Mansor.


Sementara itu bekas wartawan Wak Ismas Saring aktivis penulis di Selangor ketika menelefon pada malam 18 Oktober 2007, memberitahu perjumpaan tersebut bermula pada 26 Oktober hingga 28 Oktober 2007. Katanya, pada 27 Oktober 2007 perbincangan menyangkut mengenai penulis-penulis muda yang memberi fokus kepada keterlibatan mereka dalam sastera Melayu. Pemilihan bulan Syawal bagi menganjurkan perjumpaan tersebut, mungkin sahaja mahu mengambil sempena hariraya yang masih diraikan oleh masyarakat Islam. Apalagi pada hari Sabtu, 27 Oktober 2007 Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz turut mengadakan ‘rumah terbuka’ mulai jam 8.30 malam di kediamannya No 1, Lorong Dato’ Sulaiman 8, Taman Tun Dr Ismail.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KEMUNCAK PENCAPAIAN ANAK MELAYU
RAMAI BERCITA-CITA MAHU JADI ANGKASAWAN


Arakian akan media arus perdana melaporkan ramai anak-anak Melayu mula bercita-cita mahu menjadi angkasawan, selepas penampilan Dr Sheikh Muszaphar Shukor Dato’ Sheikh Mustapha di Stesen Angkasa Antarbangsa (ISS) menjadi pencapaian anak Melayu pertama dalam bidang penerokaan angkasa. Sebermula teringatlah fakir di zaman nenek moyang yang lampau, akan keperihalan Laksamana Hang Tuah itu menjadi anak Melayu pertama belayar hingga ke Benua Keling dan ke Benua China, maka ramailah juga anak-anak Melayu mahu menuruti jejaknya belayar ke seluruh pelusuk dunia. Perihal belayar macam Laksamana Hang Tuah, tak dituruti oleh anak-anak Melayu itu, tetapi akan membunuh sahabat sendiri memanglah ramai, apalagi ‘yang menikam dari belakang’.


Adapun Dr Sheikh Muszaphar itu dijangka akan balik semula ke bumi esok hari (21 Oktober 2007), malah ketika dilihat di kaca TV malam semalam (19 Oktober 2007), beliau bukan sahaja bermain gasing malah turut bertutur dalam Bahasa Melayu. Maka tahulah fakir akan Bahasa Melayu itu taklah mempunyai cacat celanya dalam bidang sains dan teknologi, apabila berkumandang dalam jarak lebih 350 kilometer dari bumi. Sayugia, eloklah ramai anak-anak Melayu bercita-cita mahu menjadi angkasawan, tetapi bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, seperti diberitahu kepada fakir pada dekad 1970-an, apabila Misbun Sidek menjadi idola peminat-peminat badminton.


Syahdan akan Misbun Sidek itu menggegar dunia badminton apabila menumbangkan satu demi satu juara ternama sama ada Morten Frost Hansen (Denmark), Lim Swee King (Indonesia) dan Prakash Padukone (India) yang menjadi legenda badminton, ketika di Malaysia sukan berkenaan merudum jatuh. Makanya, banyaklah gelanggang badminton dibina di merata pelusuk kampung, apalagi di bandar-bandar kerana anak-anak Melayu bercita-cita mahu menjadi juara badminton dunia seperti keperihalan Misbun Sidek itu. Akan fakir juga bercita-citalah mahu mengikut jejak nenek moyang dahulukala untuk menjadi ‘Mamak Bandaro’ yang sudah lupus dalam sejarah bangsa Melayu sama seperti catatan-catatan yang ditulis oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, October 18, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:
CORAT CORET HARI RAYA
GEMA BAHASA MELAYU DI ANGKASA


Assalamualaikum,


Cukuplah! Setidak-tidaknya malam raya pada (12 Oktober 2007) jam 9.00 malam bergema juga Bahasa Melayu di angkasa (di ISS), apabila angkasawan Malaysia Dr Sheikh Muszaphar Shukor Dato’ Sheikh Mustapha mengungkapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’. Sekalipun tiga patah sahaja, tetapi sudah memadai Bahasa Melayu diungkap lebih 300 kilometer di angkasa. Aduhai!




Apalagi bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS), ketika diwawancara di TV berbangga menyebut ‘Terima Kasih’ dengan ditonton berjuta-juta rakyat Malaysia. Begitu juga rancangan slot ‘Macam-Macam Aznil’ yang menampilkan belia dari Sweden, sekalipun tak tahu berbahasa Melayu tetapi masih mampu juga menyebut ‘Terima Kasih’ berbanding majoriti belia Melayu sama ada lelaki mahupun perempuan akan menyebut ‘Thank You’. Bagaimanapun Pak Lah sempat juga berkomunikasi dalam Bahasa Melayu campur Inggeris. Es es es!



Malam raya yang diserikan dengan takbir dan tahmid menerusi TV dan radio, tiba-tiba Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menghantar SMS mempelawa ke rumahnya di No 1 Lorong Sulaiman 8, Taman Tun Dr Ismail ‘sembang-sembang’ sambil menikmati ketupat (bukannya nasi impit), tetapi aktivis PRIMA Peguam Mohd Radzi Mustapha sudah balik ke Sungai Petani, Mohd Sayuti Omar balik ke Kelantan, Haji Abu Bakar Ninggal juga ke kampung isterinya di Kelantan, pengkritik sastera Yahaya Ismail (Pak Ya) balik ke Perak, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula ke Kuantan, Norzah Haji Kepol ke Melaka dan rakan-rakan semacam lebih selesa beraya di kampung. Begitulah!


Bukan Dato’ Kamal sahaja memeriahkan takbir dan tahmid malam raya dengan ‘sembang-sembang’ bersama ketupat, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan pula dikatakan menyediakan ‘kambing golek’. Sekalipun Hari Raya jatuh pada 13 Oktober 2007, tetapi Dato’ Kamal dan Omar Sudi seolah-olah ikut sama negara-negara Islam lain termasuk di Asia Barat menyambut Aidilfitri pada 12 Oktober 2007. Sukarnya kita di Malaysia menentukan tarikh Aidilfitri hingga tak sama dengan negara-negara Islam yang lain, misalnya sekitar dekad 1960-an apabila kerajaan ikut negara-negara Islam lain, terdapat pula kelompok tertentu masih berpuasa berdasar kiraan rukyah sendiri. Entahlah!


PERIHAL IMAM BACA KHUTBAH
JEMAAH BERGEGAS MAHU BALIK


Solat sunat Hari Raya masjid penuh sesak dengan jemaah. Misalnya di Masjid al-Khiriyah Taman Seri Gombak, jemaah melimpah hingga ke luar di samping di tingkat atas berasak-asak. Setahun sekali gamaknya! Biasanya, apabila hari Jumaat tak pula melimpah jemaah, apalagi pada lima waktu fardhu sekalipun jawatankuasa masjid sering menggerakkan kuliah subuh, tazkirah maghrib di samping lain-lain aktiviti. Ironinya, selesai sahaja memberi salam solat sunat Aidilfitri, ramai pula jemaah meninggalkan masjid dengan tak mengira ‘khutbah’ menjadi sebahagian daripada rukun. Sebahagian daripada jemaah bergerak meninggalkan masjid, seolah-olah mahu segera balik ke rumah atau balik ke kampung. Tak tahulah!


Mungkin sahaja konsep ‘khutbah’ tak sesuai dengan majoriti jemaah, kerana teks disediakan oleh jabatan agama, bukan mengikut aliran pemikiran imam yang membaca khutbah. Gamaknya! Apalagi yang disebut berulang kali ialah kemajuan negeri Selangor, seolah-olah rakyat tak tahu mengenai pembangunan. Siapa sahaja menjadi Menteri Besar Selangor, negeri berkenaan tetap diberi prioriti untuk pembangunan oleh kerajaan Pusat, kerana lokasi Kuala Lumpur selaku ibu negara di samping Shah Alam pula selaku pintu masuk bagi pelabur-pelabur, disebabkan lapanganterbang KLIA dan Subang (Sultan Salahuddin Abdul Aziz) berdekatan lokasi berkenaan.


Di tengah kebanggaan Selangor negara maju, terdedah pula kebobrokan sosial paling tinggi di Selangor termasuk mencatat status anak luar nikah paling tinggi di Malaysia, di samping jumlah perceraian mengatasi negeri-negeri lain di negara ini. Sejumlah 179 anak luar nikah dari 500 di Malaysia berlaku di Selangor, di samping perceraian pula mencatat angka 3,029, seperti disebut menerusi khutbah Aidilfitri. Tak termasuk lagi dengan isu kemunculan ‘nabi palsu’ dan ‘rasul Melayu’, ketika Exco kerajaan negeri Selangor, Dato’ Abdul Rahman Palil mahu menjadi juara menentang al-Ruffaqaa dan al-Arqam habis-habisan (yang tak disebut dalam khutbah). Aduhai!


-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:


SERI MERSING & FERI MERSING
TRAGEDI PELAYARAN HARI RAYA


Tragedi pelayaran Hari Raya membabitkan kebakaran feri Seagull Express pada Sabtu (13 Oktober 2007) berhampiran perairan Pulau Tioman mengingatkan kita kepada lirik lagu ‘Seri Mersing’ iaitu: Seri Mersing lagu Melayu/dinyanyi oleh biduan dahulu/ hati runsing bertambah pilu/mengenang nasib dagang piatu. Terasalah pelik, bagaimana feri berkenaan boleh terbakar kira-kira setengah jam berlepas di perairan yang jaraknya 11 kilometer dari Pulau Tioman. Tak hairanlah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan kementerian pengangkutan mengambil langkah tegas termasuk menarik balik lesen pengusaha feri tegar, sekalipun arahan diberi selepas tragedi berkenaan mengorbankan mangsanya. Astaga!


Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Abdul Ghani Othman pun bersuara menyebut feri Seagull Express yang membawa 100 penumpang dari Mersing ke Pulau Tioman itu beroperasi secara haram (tetapi dinafikan oleh pihak Seagull Express). Maknanya, feri terbabit tak mendapat pengesahan Jabatan Laut mengenai ciri-ciri keselamatan yang perlu dipatuhi. Kenyataan Dato’ Ghani itu sekaligus pula mendedahkan ‘unsur-unsur misteri’ berkaitan kementerian terbabit hingga ianya membolehkan pengusaha feri tegar beroperasi. Kalau boleh diambil iktibar, rujuklah kepada pengusaha feri yang pernah beroperasi, sama ada masih menerusikan operasinya mahupun terkandas di pertengahan jalan akibat: pak pong pak mustape!


Sekitar dekad 1990-an bekas aktivis belia Dato’ Laksamana Ismail Abdul Kadir, pernah menjalankan operasi feri Port Dickson (Negeri Sembilan)-Dumai (Propinsi Riau, Indonesia) dikenali 'Loyal Limbang’. Beliau terpaksa mengeluar kos lebih RM4 juta bagi membeli feri second hand dari Labuan, di samping bersaing dengan pengusaha feri di Melaka. Bukan sahaja berhadapan dengan kerenah birokrasi dalam Jabatan Laut dengan status ‘syahbandar’, malah terpaksa pula menangani kerenah pekerja-pekerja kononnya berpengalaman sebagai pelaut (kebanyakan dari Inodnesia), akhirnya ‘Loyal Limbang’ gagal meneruskan operasinya yang sukar dijawab oleh Dato’ Ismail sendiri. O lal laaa!


KEMPEN KESELAMATAN GAGAL
MEMANG BUKAN SALAH KERAJAAN


Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengakui kegagalan kempen keselamatan jalanraya, berikutan kadar kemalangan jalanraya pada musim perayaan ianya meningkat dri setahun ke setahun. Justeru tak seharusnya menuding jari kepada kerajaan apabila kempen berkenaan gagal, seperti kenyataan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner 11 Hamza Taib (Utusan Malaysia, 15 Oktober 2007) catatan kemalangan bagi jalan bandaran (319), jalan Persekutuan (238), jalan negeri (166), lebuh raya (113) dan lain-lain jalan (61), iaitu jumlah yang semakin meningkat berbanding ketika Ops Sikap IX digerakkan pada 5 November 2005.



Siapapun tak pernah menyalahkan kerajaan, apabila kemalangan jalanraya sukar dibendung, begitu juga dalam isu-isu lain yang membabitkan pentadbiran. Kalau dikaji secara rasional, kritikan terhadap kerajaan ialah membabitkan ‘orang-orang’ dalam kerajaan, bukannya kerajaan secara total. Kesilapan dilakukan oleh ‘orang-orang’nya bukan kerajaan; apalagi kempen keselamatan sekadar kempen yang diwar-war bukan usaha positif. Kempen sekadar propaganda, bukan langkah-langkah yang membawa kepada usaha mengurangkan kadar kemalangan. Misalnya, sebuah lori membawa bekalan ikan terbalik di jalan Sitiawan-Teluk Intan di Perak berdekatan Teluk Rebana pada hariraya ketiga (15 Oktober 2007, jam 9.30 malam dan ianya turut disaksikan oleh wakil PRIMA).


Memang pemandu mungkin disalahkan berikutan lori yang dipandu boleh terbalik di jalan lurus akibat memecut laju ketika hujan turun dengan permukaan jalan yang licin. Tak tahulah apa berlaku di sebalik insiden terbabit, tetapi biasanya pemandu lori mahupun bas perlu mengejar ‘trip’ bagi memperoleh pendapatan lebih. Gaji yang tak seberapa, mampu memperoleh input yang lebih sekiranya mampu mengejar ‘trip’ yang dijadikan intensif oleh majikan atau pengusaha kenderaan. Kempen dan peraturan sekadar propaganda menunjukkan ‘orang-orang’ kerajaan ‘buat kerja’, tetap ianya tak pernah menyelsaikan isu kebobrokan sosial yang tenat, penat dan parah!




TRADISI RUMAH TERBUKA RAYA
TUN DR M RAIKAN KAKITANGAN IJN


Laporan Institut Jantung Negara (IJN) hari ini (16 Oktober 2007), bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamad dijangka keluar dari hospital minggu hadapan. Alhamdullillah! Tun Dr Mahathir semakin pulih, sekalipun tak dibenarkan bertemu pelawat-pelawat. Malah dilaporkan juga pada hari raya pertama (13 Oktober 2007), keluarga Tun Dr M mengadakan tradisi rumah terbuka di IJN bagi kakitangan di situ, di samping menerima sambutan meriah. Maknanya, Tun Dr M terus diberi penghargaan oleh semua pihak, walaupun beberapa tahun sebelum ini reputasi beliau dianggap terjejas sebagai pemimpin negara, sebaliknya sekarang sumbangan dan jasanya mula diberi perhatian semula sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’. Apalagi kejayaan angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Dato’ Sheikh Mustapha menjejakkan kaki ke ISS adalah idea yang dirintis oleh Tun Dr M sendiri sejak 2003.



Presiden penaja Persatuan Peguam Islam (PPI) Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang juga turut mempelawa rakan-rakan dan orang ramai menghadiri ‘rumah terbuka’ beliau sempena Hari Raya Aidilfitri pada 20 Oktober 2007, di No 26 Jalan Setiamurni 6, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur. Di samping itu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz akan mengadakan ‘rumah terbuka’ pada Sabtu, 27 Oktober 2007 di No 1, Lorong Sulaiman 8, Taman Tun Dr Ismail. Tradisi ‘rumah terbuka’ menurut Dato’ Kamal sebagai alternatif, apabila pada hari raya pertama ramai kawan-kawan balik ke kampung menziarah saudara mara. Justeru kesempatan untuk bertemu semula dengan kawan-kawan bagi menjalin silaturrahim lebih erat, di samping meraikan hari raya ialah dengan mengadakan ‘rumah terbuka’, katanya.


AKTIVIS BELIA KENA RAGUT
MUSIBAH SEWAKTU SIDANG DI GENEVA


Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asean, Sobri Ahmad kerugian AS$6 ribu apabila diragut ‘pencopet saku’ profesional ketika berada di Geneva, Switzerland iaitu seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri. Beliau menghadiri sidang belia di negara tersebut sebagai aktiviti di peringkat antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan singgah di Paris dan London sebelum ke Geneva. Menurut Sobri, beliau tak membuat aduan kepada konsulat Malaysia, setelah diberitahu pihak polis di negara berkenaan sukar bertindak ke atas ‘pencopet saku’ profesional yang terlalu licik, malah mengelirukan pihak berkuasa tempatan.




Bagaimanapun beliau melahirkan rasa kesal, kerana di negara yang berbangga dengan peranannya menjadi model kepada keamanan dunia, tetapi dicemari oleh aktiviti sosial yang membabitkan kelicikan ‘pencopet saku’ profesional. Katanya lagi, bukan sahaja delegasi aktivis belia dunia yang terdedah dengan kelicikan ‘pencopet saku’, kalangan diplomat asing juga sering terjebak dengan kegiatan mereka. Ironinya, pihak berkuasa tempatan menjadi bingung dengan kelicikan mereka, menyebabkan ‘pencopet saku’ profesional lebih ditakuti orang ramai di bandar Geneva daripada polis yang sering di perkotak-katik oleh mereka, beliau menjelaskan.


PUTERI BERI JAMINAN
BANTU PELAJAR-PELAJAR UNISEL


Ketua Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad memberi jaminan hari ini (17 Oktober 2007) akan membantu projek akademik pelajar-pelajar Universiti Industrial Selangor (Unisel) Bestari Jaya, berikutan kelambatan setelah pihak pentadbiran Unisel menolak projek asal memperkasa aktiviti IT di luar bandar. Projek akademik yang diletakkan sebagai ‘praktikal’ bagi membolehkan mendapat markah pengajian membabitkan pelajar-pelajar bidang Sains Komputer yang perlu dilaksanakan dalam Oktober ini. Dato’ Noraini ketika menghubungi ketua projek pelajar berkenaan menerusi emel mengakui akan berusaha membantu pelajar-pelajar terbabit mendapatkan ‘penaja’ bagi melaksanakan projek tersebut.



Sebelum itu pelajar-pelajar terbabit mensasarkan aktiviti IT di luar bandar dengan memilih ‘Gua Musang’ di Kelantan sebagai lokasi menggerakkan projek. Bagaimanapun pihak pengurusan Unisel dikatakan menolak projek tersebut, menyebabkan pelajar-pelajar menghadapi masalah mencari ‘penaja’ bagi meneruskan projek akademik yang penting sebagai markah pengajian. Menerusi jasa baik pengarang akhbar ‘Buletin Rakyat’, Norzah Haji Kepol projek akademik pelajar-pelajar terbabit dikemukakan kepada Puteri UMNO. “Dato’ Noraini sudah memberi jaminan menerusi emel akan memberi bantuan secepat mungkin,” beritahu wakil pelajar berkenaan yang enggan memberitahu identitinya.


INFO SASTERA & BUDAYA:

LAGU RAYA SEPANJANG DEKAD
BAKAT BESAR KARYAWAN MELAYU


Dalam tempoh lima dekad sejak 1950-an, karyawan Melayu memperlihat bakat besar mencipta lagu-lagu berunsur ‘Hari Raya’, malah berkumandang ke udara pada menjelang Aidilfitri setiap tahun. Bermula dengan lagu ‘Selamat Hari Raya’ ciptaan Ahmad Jaafar yang dinyanyikan oleh Puan Sri Saloma, karyawan Melayu terus menghasilkan lagu-lagu bertema ‘Hari Raya’ seperti Tan Sri P Ramlee dengan ‘Dendang Perantau’ dan ‘Dengar Takbir Berbunyi’. Pada dekad 1960-an, Kassim Masdor juga tak ketinggalan mencipta lagi ‘Selamat Hari Raya’ dengan liriknya ditulis Tan Sri Jins Shamsuddin, kemudian dinyanyikan oleh Fazidah Junid. Melodi dan irama lagu-lagunya juga menarik perhatian seolah-olah ‘Hari Raya Aidilfitri’ menjadi milik komuniti Melayu, berbanding karyawan di Indonesia kurang berminat dengan lagu-lagu bertemakan ‘raya’.


Sekitar dekad 1970-an, penyanyi Sharifah Aini juga turut membawakan lagu ‘Selamat Hari Lebaran’, di samping Aman Shah diikuti oleh M. Nasir pada dekad 1980-an. Malah lagu-lagu bertema ‘raya’ dinyanykan juga oleh penyanyi-penyanyi lain termasuk juga Sudirman Haji Arshad dengan matlamatnya bagi memeriahkan suasana Aidilfitri, sama ada menerusi kaset mahupun media elektronik. Lambakan lagu-lagu bertema ‘raya’ memang persaingan sihat dalam industri muzik, tetapi karyawan Melayu sahaja seolah-olah meneruskan tradisi memperaga bakat mencipta lagu-lagu berkenaan berbanding dengan karyawan asing di luar negara. Entahlah!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PRASARANA DI NEGERI KELANTAN
TOK PA KENA BACA KITAB MELAYU


Maka disebutlah ceritera mengenai Pelaksanaan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang merentangi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing di Johor membabitkan pelaburan RM112 bilion. Kononnya! Syahdan tersebutlah akan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapha Mohamed atau ‘Tok Pa’ (bukannya Tak Pa) ketika majlis sambutan Aidilfitri pemimpin bersama rakyat di Darul Falah di Jeli pada 15 Oktober 2007 memberitahu rakyat jelata hina dina mengenai negeri Kelantan sudahlah tertangguh prasarana sejak 17 tahun lalu. Gerangannya negeri Kelantan itu bukanlah di dalam Malaysia dan rakyatnya tak membayar cukai, menyebabkan tak dilaksana pula prasarana sejak 17 tahun lalu oleh Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia.


Arakian akan Tok Pa kenalah membaca banyak-banyak kitab Melayu akan perihal prasarana itu, seolah-olah menghina rakyat Melayu di Kelantan tak menikmati prasarana sejak 1959-1978, kerana fakir pernah juga menjejakkan kaki ke bumi Kelantan hingga masuk ke pasar pesebannya. Maka fakir melihat sendiri akan bangsa berkulit sawo matang, berhidung pisek dan bermata bundar jua yang berniaga di pasar peseban, malah kebanyakannya Kaum Ibu yang ramah-ramah belaka. Sejak 1978-1990 prasarana tak banyak sangat berbeza, kerana jambatan Yahaya Putra sudahpun dibina pada period 1959-1978. Begitulah!


Kalaupun Tok Pa bersaing dengan Dato’ Anuar Musa akan keperihalan keketuaan di Kelantan itu, janganlah lupa akan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang fakir dengar disebut-sebut orang sejak dahulu beliaulah ‘arkitek penggerak ekonomi’ di Malaysia. Adapun Ku Li tak pernah melupakan prasarana di Kelantan pada 1978-1990, malah beliau terbabit sama meneruskan pembangunan prasarana selepas 1990-1996. Gamaknya, Ku Li bukanlah Raja Mandeliar yang menjadi Syahbandar di Melaka pada period nenek moyang fakir dahulukala, atau Laksamana Khoja Hussin yang tak tahu fasal prasarana di Melaka ketika itu hingga sukar membezakan akan Benggali Putih dengan orang Feringgi seperti keperihalan:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, October 10, 2007

JAWATANKUASA AD-HOD WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


SELAMAT HARI RAYA BUAT DR M:
DIIRINGI DOA SEMOGA SEGERA SEMBUH


Assalamualaikum,


Kabar yang disampaikan oleh Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz hari ini (9 Oktober 2007) ialah kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semakin memberangsangkan. Beliau sudah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Jantung Negara (IJN) ke wad ‘Bunga Raya’, beritahu Kamal ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Memang laman blog PRIMA mengikuti perkembangan kesihatan Tun Dr M berdasarkan laporan IJN dan laman blog anaknya Datin Paduka Marina. “Semenjak Tun menjalani pembedahan di IJN pada 4 September dan diikuti 23 September, PRIMA sentiasa mengiringkan doa semoga Tun segera sembuh,” ujar Kamal menambah seterusnya.



Serentak dengan itu Kamal mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada Tun Dr M sekeluarga menjelang Hari Raya AidilFitri dijangka 13 Oktober ini. Bagaimanapun menerusi setiausaha khasnya Sdr Sufi Yusoff, Tun Dr M sudah mengedarkan kad ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kepada rakyat Malaysia, termasuk juga sekretariat PRIMA sejak seminggu lalu. Apalagi sebagai pemimpin yang sentiasa prihatin dengan rakyat, Tun Dr M tak melupakan sokongan orang ramai terhadapnya, sekalipun masih memerlukan rawatan di IJN menjelang Hari Raya Aidilfitri. Disebabkan belum dibenarkan melawat Tun Dr M, PRIMA mengambil kesempatan mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada beliau dan keluarga di samping mendoakan kesihatannya segera pulih. Insya Allah.


MENJELANG HARI RAYA
UCAPAN SELAMAT KEPADA PAK LAH



PRIMA juga turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, sekalipun dalam kesibukan tanggungjawab beliau sempat juga meraikan wartawan-wartawan dalam majlis berbuka puasa sebelum ke luar negeri baru-baru ini. Pak Lah yang baru balik menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan menerima sokongan Iran, apabila menolak sebarang usaha mahu membahagi dua negara Palestin, semata-mata untuk memenuhi agenda politik Israel dan Amerika Syarikat. Pendirian Malaysia pula dilihat sebagai suara Persidangan Negara Islam (OIC) atas kapisiti pengerusi pertubuhan berkenaan.


Apalagi kejayaan Malaysia dalam misi menghantar angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mutspha, 35 di samping Kapten Dr Faiz Khaleed, 27 (pilihan kedua) menerusi kapal angkasa Soyuz 15-S ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan jam 9.21 (waktu Malaysia) malam ini (10 Oktober 2007), adalah memberi kredit kepada Pak Lah selaku pentadbir negara. Justeru Hari Raya Aidilfitri tahun ini turut membanggakan Malaysia, berikutan sumbangan dua orang angkasawan negara yang sudah diiktiraf sebagai angkasawan atau ‘cosmonaut’ oleh Agensi Angkasa Lepas Russia (Roskosmos) yang akan berlegar mengelilingi orbit pada purata kelajuan 27,744 km sejam dengan ketinggian 350 kilometer. Aduhai!

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:



GALERI SAMAD IDRIS DI SERI MENANTI
KELUARGA BERSETUJU SERAH KEDIAMAN



Keluarga bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (1976-1980) Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris bersetuju menyerahkan kediaman mereka di pekan diraja Seri Menanti, Kuala Pilah kepada Muzium Negeri Sembilan bagi dijadikan ‘Galeri Abdul Samad Idris’. Ketika menghubungi pihak Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan, sasterawan Dharmala N.S. semalam (8 Oktober 2007), anak lelakinya yang tua Mohd Fadzil Abdul Samad memberitahu, setelah berbincang dengan keluarga mereka bersetuju menyerahkan kediaman berkenaan bagi dipulihara oleh Muzium Negeri Sembilan sebagai ‘warisan’ dan peninggalan sejarah.



Mohd Fadzil yang juga seorang ahli perniagaan menyambut baik tawaran Muzium Negeri Sembilan mahu memulihara kediaman keluarganya di Seri Menanti sebagai premis ‘Galeri Samad Idris’. Beliau bersama kakaknya bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Noraini Abdul Samad serta adik-adiknya Mohd Marzuki dan Mohd Syukri melahirkan rasa gembira apabila jasa-jasa dan sumbangan ayahanda mereka diberi pengiktirafan. Tan Sri Abdul Samad yang meninggal dunia pda 15 Oktober 2003 pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Negeri Sembilan (1964-1965), sebelum memegang beberapa jawatan timbalan menteri di peringkat Persekutuan.


Sebagai penggerak nasionalisme di Negeri Sembilan, di samping memimpin rapat raksasa bantahan ketika lawatan dua orang Ahli Parlimen British, Kapten L. D. Gammans dan Leftenan Kolonal D. Rees William ke Seri Menanti pada Mei 1946, Tan Sri Abdul Samad juga terbabit dalam gerakan budaya dan sastera. Pada 1956 beliau memimpin ‘Kongres Kebudayaan Melayu Ke 2’ di Seremban atas kapisiti selaku Ketua Angkatan Sasterawan Negeri Sembilan (ASAS Negeri), bagi kesinambungan ‘Kongres Melayu Pertama’ di Johor Bahru sebelum itu, yang menganugerahkan gelaran ‘Pendeta’ kepada tokoh persuratan Tan Sri Zaaba.


Tan Sri Abdul Samad juga berhasil membongkar sejarah kedatangan Raja Melewar pada 1773 bagi menaiki takhta dengan memproklamir ‘kerajaan Negeri Sembilan’ di Astana Raja, Rembau. Berdasarkan kajian Tan Sri Abdul Samad, tiga buah makam lama yang ditemui di Astana Raja, diiktiraf sebagai milik Raja Melewar, Raja Hitam dan Raja Lenggang yang bersemayam di lokasi berkenaan. Pemindahan lokasi persemayaman ke Seri Menanti, dijangka pada period pemerintahan Yamtuan Raden sekitar 1824 yang masih belum dibuat kajian mengenai fakta-fakta perpindahan tersebut. Justeru, Tan Sri Abdul Samad bukan sahaja ahli politik berketerampilan di Negeri Sembilan, malah beliau juga pemikir budaya dan aktivis sastera Melayu.


PENAFIAN YANG DIPERCAYAI UMUM
TAK SEMESTI IANYA ‘TAK BERLAKU’


Berikutan laporan agensi berita Reuters mengenai kerajaan Indonesia menghantar bantahan keras (9 Oktober 2007) dalam insiden isteri Atase Pendidikan dan Kebudayaan Kedutaan Besar Republik Indonesia ditahan oleh pihak imigresen dan Rela, tentu sudah menerima arahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Kerajaan Indonesia tak akan meminta penjelasan dari Malaysia, kalau ianya bukan berkaitan dengan kedaulatan dan maruah sesebuah negara. Penafian pihak imigresen dan Rela dalam laporan media hari ini (10 Oktober 2007) ketika menjalankan operasi di Jalan Chow Kit, Sabtu lalu (6 Oktober 2007), di katakan sengaja dibesar-besarkan.


Mungkin sahaja penafian tersebut dipercayai oleh pihak umum, tetapi tak semestinya perkara itu ‘tak berlaku’. Membuat penafian memang mudah, malah boleh dieksploitasi hingga orang ramai percaya dengan ‘penafian’ tersebut, sebaliknya bukan penyelesaian bijak apabila kerajaan Indonesia membuat protes. Sebelum ini sudah berlaku jurulatih karate dari Indonesia dibelasah oleh pihak keselamatan negara ini di Seremban, hingga berlaku kekalutan di Jakarta apabila rakyat negara itu bertindak balas di hadapan kedutaan. Imigresen dan Rela seharusnya mengambil langkah segera menyiasat tingkah laku pegawai terbabit, bukan menafikan setelah pemerintah Indonesia membantah!



Sebagai sebuah negara yang maju dan bertamadun, di samping mampu menghantar angkasawan melakar sejarah, janganlah dibiarkan jabatan-jabatan tertentu bersikap negatif hingga merosakkan nama baik Malaysia yang maju dan bertamadun itu. Lebih berhemah sekiranya imigresen atau Rela menghubungi kedutaan Indonesia, dengan tak memerlukan anak isteri atase terbabit datang membawakan dokumen. Tak malukah? Bagaimana kalau diplomat Malaysia diperlakukan sebagai ‘pendatang tanpa izin’ di negara orang, seolah-olah kepongahan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap masyarakat antarabangsa yang berkunjung ke negaranya? Jabatan-jabatan tertentu tak seharus ‘menafikan’ tetapi meminta maaf, sebagai ‘negara yang maju dan bertamadun’.


TAKRIF MUNDUR DISASAR KE KELANTAN
‘PERHAMBAAN MINDA’ MASIH DIAMALKAN


Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, masyarakat Melayu harus membebaskan diri dari ‘perhambaan minda’, apabila menyentuh propaganda yang mentakrifkan Kelantan sebagai negeri yang mundur di Malaysia. Mengulas isu mangsa tsunami di Pulau Pinang yang menunggu masa hingga lebih dua tahun baru menerima rumah yang dijanjikan kepada mereka (menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini), Kamal mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai mundur, kerana tak prihatin dengan kesengsaraan mangsa tsunami terbabit. “Kerajaan yang tak prihatin dengan kesengsaraan rakyat, adalah kerajaan yang sebenar-benarnya mundur,” beritahu Kamal.


Beliau juga berasa hairan, bagaimana isu bantuan perumahan kepada mangsa tsunami di Pulau Pinang hanya selesai, selepas Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersuara. Katanya, kalau proses pemberian rumah berkenaan belum selesai lagi, kenapa apabila Pak Lah bersuara dalam sekelip mata semuanya ‘beres’. Malah berlaku pula sandiwara, kononnya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak akan menyerahkan kunci rumah kepada mangsa, sebaliknya pada tarikh berkenaan janji berkenaan tak dipenuhi, seolah-olah Najib pula yang disalahkan, ujar Kamal mahukan siasatan dibuat segera berkiatan dengan isu pemberian rumah kepada mangsa tsunami di Pulau Pinang itu.



Menyentuh laporan akhbar hari ini (10 Oktober 2007) mengenai rungutan warga emas, Puan Jah Hashim, 72 di Gopeng, Perak, Kamal mensifatkan kerajaan negeri Perak juga ‘mundur’ dari segi keprihatinan hingga isu berkenaan didedahkan di media. Katanya, kerajaan negeri seharusnya berasa malu apabila Puan Jah yang dijanjikan rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak 2005, terus sahaja ‘macam menunggu buah tak gugur’. “Kalau penghulu yang merobohkan rumahnya dan berjanji untuk dapatkan PPRT sudah bertukar, takkan penghulu baru yang bertugas di situ mahu ‘cucu tangan’ pula,” kata Kamal menambah.


INFO SASTERA & BUDAYA:


BUKU ‘100 TOKOH MALAYSIA’
BUKAN BERDASARKAN ‘ANAK GEMILANG’


Proses menyediakan buku ‘100 TOKOH MALAYSIA’ sudah dibuat sejak Januari 2007, bagi menyambut sempena ’50 Tahun Merdeka’, justeru ianya tak mempunyai kaitan dengan pemilihan ‘Anak Gemilang Malaysia’ yang dianjurkan salah sebuah stesen TV baru-baru ini. ‘100 Tokoh Malaysia’ akan diterbitkan oleh Kantung Network Sdn Bhd, memang memilih Dato’ (Sir) Onn Jaafar sebagai ‘tokoh penggerak nasionalisme’, di samping Tunku Abdul Rahman Putra ‘Bapa Kemerdekaan’; diikuti semua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selaku ‘tokoh pentadbir negara’. Buku setebal 350 muka surat itu akan diterbitkan akhir bulan Oktober ini, iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri dijangka 13 Oktober 2007.



‘100 Tokoh Malaysia’ ialah memperkatakan tokoh-tokoh utama dalam kerjaya mereka termasuk Menteri Besar pertama pra merdeka, Menteri Besar pertama pasca merdeka, menteri kabinet pertama pada 31 Ogos 1957, tokoh pimpinan Pemuda, Wanita, Ulama, Sukan, budaya dan korporat. Bagaimanapun ramai tokoh-tokoh popular tak dimuatkan bukan disebabkan mereka tak diiktiraf, tetapi seperti disebut menerusi ‘kata pendahuluan’ buku ini, pada zaman Rasullullah 14 tokoh dilantik menganggotai ‘majlis fatwa’. Sebaliknya bukan semua 14 tokoh ‘majlis fatwa’ itu menjadi popular, di samping para sahabat ternama seperti Bilal bin Rabah, Zubair bin al-Awwam, Saad ibnu al-Waqas dan beberapa lagi tak tersenarai bagi menyertai ‘majlis fatwa’. Begitulah!

PENERBITAN BUKU ‘REVOLUSI MENTAL’
IDEA TAN SRI SENU YANG KONTROVERSI



Pertemuan dengan setiausaha khas Tun Dr Mahathir Mohamad, Sdr Sufi Yusuf di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya ketika Majlis Perjumpaan PRIMA 15 Ogos 2007 lalu, tak banyak diketahui latar belakangnya. Beliau sekadar seorang yang peramah, di samping pergaulannya mesra disebabkan pengalaman pernah berkhidmat di luar negara. Memang tak disangka pula Sufi rupa-rupanya cucu penggerak nasionalisme yang berwibawa, Tan Sri Senu Abdul Rahman. Secara historikal, Tan Sri Senu dianggap tokoh radikal UMNO yang dilabel oleh penjajah Inggeris ‘berbahaya’, justeru beliau terpaksa berlepas ke luar negeri bagi mengelakkan diri daripada diberkas.



Buku ‘Revolusi Mental’ yang diterbitkan pada dekad 1960-an, adalah idea Tan Sri Senu iaitu kompilasi kertas kerja cendekiawan Melayu yang dibentangkan di ‘khemah kerja’ Pemuda UMNO di Morib, Selangor apabila beliau dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO. Di bawah Tan Sri Senu pimpinannya cenderung kepada ‘Pemuda Tahan Lasak’, yang bertindak agresif menangani isu-isu berbangkit. Misalnya, ketika krisis Lee Kuan Yew memuncak pada 1965, Tun Razak dikatakan membuat pertemuan dengan tokoh politik Singapura itu, menyebabkan Tan Sri Senu membawa delegasi Pemuda bersama Setiausaha Agung Tan Sri Jaafar Albar bersemuka dengan Tun Razak, mempersoal relevannya pertemuan tersebut.


Penerbitan buku berkenaan memang menimbulkan kontroversi, kerana idea Tan Sri Senu sentiasa diselubungi kontroversi. Ketika mewakili SBERKAS dalam gabungan UMNO pada 1947, Tan Sri Senu juga menimbulkan isu kontroversi apabila membawa usul jawatan ‘Timbalan Pesuruhjaya Tinggi’ diwujudkan untuk anak Melayu. Usul berkenaan menimbulkan kemurkaan Sultan Kedah (Almarhum Sultan Badli Shah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah) yang dianggap meletakkan kedudukan ‘rakyat biasa’ melebihi kedaulatan raja-raja Melayu. Ketokohan Tan Sri Senu bolehlah dikatakan aset UMNO juga, sayangnya tak diberi perhatian oleh pimpinan UMNO sendiri. Alahai!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


BIARLAH PERHIMPUNAN SECARA AMAN
SUHAKAM MINTA HAPUSKAN AKTA POLIS



Syahdan diberitahu kepada orang ramai akan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N Siva Subramaniam mahu menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagi menyampaikan keputusan sebulat suara semua 18 Pesuruhjaya Suhakam meminta dihapuskan Seksyen 27 Akta Polis 1997, bagi membolehkan mana-mana pertubuhan mengadakan perhimpunan dan perarakan secara aman. Apalagi pihak polis sendiri mengakui negara dalam keadaan aman sentosa, sejahtera dan selesa, maka tak perlulah bimbang akan keselamatan yang sentiasa terjamin. Tahniah kepada Suhakam yang prihatin dengan isu yang berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai mengenai insiden perhimpunan di Batu Buruk, Terengganu baru-baru ini.


Sebermula diberitahu kepada fakir oleh orang tua-tua UMNO sendiri di masa lalu iaitu di bawah kuasa penjajah Inggeris pada 19 Januari 1946, satu perjumpaan besar di Alor Setar, Kedah membabitkan lebih 50,000 orang Melayu menentang Malayan Union, tak pula berlaku insiden seperti keperihalan di Batu Burok, Terengganu. Di Kota Bharu, Kelantan juga rapat raksasa digerakkan pada 1 Februari 1946, dengan dihadiri kira-kira 36,000 orang, di samping tak termasuk lagi di Kuala Lumpur, Ipoh, Seberang Perai, Seri Menanti, malah di seluruh negara, tak pula dilaporkan berlaku rusuhan. Kalau dibanding masyarakat masa itu belum ramai yang terdidik dengan pendidikan tinggi, takkan bangsa Melayu sekarang sudah tak bertamadun.


Makanya akan fakir bersetujulah dengan Datuk Pesuruhjaya Suhakam itu, perkara aman sentosa, sejahtera dan selesa macam tak kena mengenai dengan akta polis tersebut, kerana sudah terbukti pada zaman penjajah dulu semuanya baik-baik belaka. Syahdan akan tabiat mahu sembunyi perkara yang busuk, tak sesuai lagi seperti insiden seorang perajurit di kem Syed Sirajuddin di Gemas dilaporkan mati kerana kemalangan, rupa-rupanya terdapat kesan di belasah mengikut laporan hospital (yakni laporan secara santitifik), di samping bekas tapak kasut (dihentak) pada bahu si mangsa. Aduhai! Begitu juga kes di Jakarta apabila pembunuhan menggunakan arsenik kepada pejuang hak asasi negara berkenaan, dibicarakan selepas Suharto hilang kuasa.


Adapun menyembunyi perkara yang busuk itu, nenek moyang fakir percaya sangat dengan naratif ‘telur tembelang’ yang disorok-sorok lambat laun baunya akan tengit, lengit dan bengit ke seluruh pelusuk. Maka disebut dalam hikayat nenek moyang fakir, akan sekali persetua Sultan Mahmud mahu ke rumah Tun Dewi, diketahuinya Tun Ali Sandang bercengkerama dengan perempuan itu. Bersamanya seorang ‘pengawal raja’ bernama Tun Isap, mahu mengampu raja, maka dibunuhnya Tun Ali Sandang itu. Berita itu sampailah kepada Seri Dewa Raja (anak bongsu Tun Perak), lalu dicambuk kepala Tun Isap dengan tak mampu diselamatkan oleh raja, kerana percayalah fakir setiap orang mempunyai haknya di sisi undang-undang seperti juga:



HIDUP BAHASA MELAYU!