Sunday, October 4, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Kelahiran Si Kembara

KISAH mitos dalam buku-buku sastera lama seperti ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’, ‘Malim Deman’ dan beberapa lagi peristiwa kelahiran bayi boleh memberi impak kepada masa depan mereka. Misalnya dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’ digambarkan ketika ianya dilahirkan berlaku peristiwa ganjil menyebabkan tujuh keping lantai patah, tujuh batang gelegar patah, dan bayi berkenaan tercampak ke tanah hingga terbenam tujuh hasta ke dalam bumi, menjadikan Awang Sulung melalui pahit getir hidup sebelum mencapai kejayaan.

Ketika aku dilahirkan peristiwa seperti digambarkan dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’ atau ‘Malim Deman’ tidaklah berlaku, sebaliknya kisah mitos tersebut persis bagaikan sastera Melayu klasik itu seakan-akan menimpa dalam kejadian sewaktu aku dilahirkan. Nenek Kibah (iaitu ibu kepada emakku – Kibah binti Sudin; 1904 - 1976) merupakan bidan tradisional di kampungku secara kebetulan pula membidankan kelahiranku.

Sekitar dekad 1930-an, 1940-an dan 1950-an, masyarakat di kampung bergantung kepada kemahiran bidan-bidan tradisional bagi membidankan kelahiran bayi, disebabkan mereka tidak yakin kepada rawatan di hospital. Malah bagi pesakit-pesakit kronik sama ada barah, lemah jantung atau angin ahmar mereka masih bergantung kepada rawatan secara tradisional menerusi bomoh, dukun atau pawang. Bagi mereka di kampung-kampung pada masa tersebut menganggap barah (dikatakan ‘balan’); lemah jantung (dikatakan ‘kelintasan’ akibat hantu tinggi) dan angin ahmar atau stroke (dikatakan ‘badi’ akibat puaka dan penunggu).

Ketika itu Nenek Kibah merupakan bidan tradisional yang menjadi pilihan utama di kampungku kerana pengalaman dan kemahirannya yang dianggap penduduk-penduduk ‘serasi’ semasa merawat. Dia juga dikenali sebagai tukang urut bagi ibu-ibu yang baru bersalin disebabkan mereka berasa selesa selepas diurut oleh Nenek Kibah. Jutseru di kampungku ketika itu setiap keluarga yang memerlukan rawatan perbidanan, memang Nenek Kibah menjadi pilihan mereka.

Memberitahu pengalamannya ketika membidankan kelahiranku, Nenek Kibah mengakui berlaku insiden luar biasa yang belum pernah dilaminya sebelum itu. Dia tak menganggap peristiwa tersebut persis seperti kisah ‘Awang Sulung Merah Muda’ (dia juga merupakan penutur cerita rakyat), sebaliknya merumuskan sebagai ‘kenan’ akibat kesilapan ayahku semasa emakku sedang mengandung. Sudah menjadi pantang larang penduduk-penduduk kampung si suami dilarang membunuh binatang liar semasa isteri mengandung bagi mengelakkan berlaku ‘kenan’ terhadap bayi dalam kandungan.

Disebabkan ayahku tidak percaya kepada pantang larang masyarakat Melayu yang dianggapnya ‘tahyol’, dia membunuh seekor biawak semasa emak mengandungkan aku. Reptilia itu dibunuh setelah menceroboh masuk ke dalam reban ayam menyebabkan ayahku terpaksa merejam dengan besi perejang (atau disebut juga tiruk). Ayahku pula memang mempunyai kemahiran melontarkan lembing, parang atau besi perejang tepat menyinggahi sasaran.

Kalau ular masuk ke reban ayam pada waktu malam pun, ayahku mampu membunuh reptilia itu dengan hanya merejam dengan keris panjang menyinggahi ke kepala ular. Keris panjang dua hasta itu adalah pesaka peninggalan arwah datukku (ayah kepada ayahku –Haji Ahmad bin Haji Salim) seorang guru agama berasal dari Kapur Sembilan, Kota Bangun di Kuok (sekarang ini dalam kabupaten Kampar, propinsi Riau, Indonesia). Sebelumnya wilayah berkenaan dikira sebagai sebahagian dari Minangkabau atau sekarang propinsi Sumatera Barat.
-bersambung

-Waris Pak Dharma

p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.

Monday, September 28, 2009

DARI LAMAN BLOG...

ANAK NORLIA GHANI MAUT
KETIKA INGIN MEMBERKAS PENCURI

Assalamualaikum,



Semalam (27 September), Edi Rizal Ramli, 33, (gambar kecil atas), maut setelah terjatuh dari tingkat 7 pangsapuri Pangsa Murni Titiwangsa di Jalan Gurney ketika ingin menangkap pencuri yang disyaki memecah masuk rumah seorang jiran yang masih belum pulang dari kampung sempena Aidilfitri.Edi yang merupakan anak ketiga pelakon veteran Norlia Ghani dan adik kepada pelakon Rusdi Ramli dilihat memanjat pada balkoni pangsapuri sambil memegang kayu hoki setelah diberitahu terdapat pencuri bersembunyi di situ sebelum terjatuh.


Saksi yang melihat kejadian itu, Faisal Rizal, 35, berkata penduduk-penduduk di situ mendakwa melihat kelibat seseorang yang mencurigakan kira-kira jam 12 tengah hari cuba memecah masuk rumah salah seorang penghuni di situ.Faisal bersama penduduk-penduduk lain yang berada di bawah pangsapuri ketika itu hanya mampu menjerit kepada Edi yang ingin juga cuba untuk memberkas pencuri itu.


Nyata, niat murni arwah Edi untuk memberkas pencuri tidak kesampaian kerana Tuhan lebih menyayanginya.Arwah sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk menangkap pencuri yang semakin berleluasa ketika ini.Diharap keluarga Norlia Ghani tabah menghadapi dugaan ketika semua umat Islam gembira menyambut Syawal.Al-Fatihah untuk Allahyarham Edi.



-ANAK WARISAN...

Tuesday, September 22, 2009

DARI LAMAN BLOG

OPS SIKAP BAGAI TIADA KESAN
KEMALANGAN TETAP JUGA BERLAKU

Assalamualaikum,

Semalam (21 September 2009), kami sekeluarga pulang ke kampung di Perak selepas beraya di kampung Allahyarham Pak Dharma di Jelebu, Negeri Sembilan.Setibanya kami di Bukit Darah yang berhampiran dengan Sungai Buloh, satu kemalangan berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah teksi.Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang agak teruk.

Walau bagaimanapun, setibanya di hadapan kawasan kemalangan, penunggang motosikal tersebut telah dihantar ke hospital berdekatan.Boleh dikatakan kemalangan tersebut agak teruk berdasarkan keadaan teksi tersebut dan tompokan darah di situ.Sehingga sekarang, kami tidak mengetahui nasib penunggang motosikal berkenaan.


Telah banyak poster-poster dan iklan-iklan keselamatan jalan raya dipaparkan.Namun, statistik kemalangan terus meningkat.Di mana salahnya?Kerajaan atau pengguna jalan raya itu sendiri?Semoga di Aidilfitri 2009 ini kita tidak akan menjadi sebahagian daripada statistik tersebut dan semoga semua rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dan pulang semula ke kota dengan selamat.


-ANAK WARISAN...

Saturday, September 19, 2009

SETITIS TINTA

SALAM LEBARAN 1430 H
DARIPADA WARGA PRIMA


Assalamualaikum,

Sedar tak sedar, sudah sebulan Ramadhan berlalu, dan Syawal pun menjelma.Begitu pantas masa meninggalkan kita.Yang pasti, sudah ramai warga K.L. yang meninggalkan kesibukan di kota untuk merasai kemeriahan beraya di desa.Walaupun begitu, kami di PRIMA masih lagi merasai kehilangan pengasas blog ini, Allahyarham Pak Dharma yang menghadap Ilahi pada 12 Ogos 2009 yang lalu.

Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.Kami memohon maaf sekiranya ada terlanjur kata ketika memperjuangkan isu-isu semasa di blog PRIMA ini dan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.Sekian...

-ANAK WARISAN...

Thursday, September 17, 2009

INFO DARI JAKARTA

NORDIN MOHD TOP DISAHKAN MATI
DALAM OPERASI GEMPUR BESAR-BESARAN
Assalamualaikum,
Hari ini, pengganas yang paling dikehendaki kerana terlibat dengan banyak siri pengeboman di Indonesia, Noordin Mat Top telah telah disahkan mati dalam operasi gempur besar-besaran di Jawa Tengah.Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri telah mengesah perkara itu dan menganggap itu adalah kejayaan terbesar kerana berjaya menumpaskan penjenayah paling dikehendaki di negara itu.
Bambang Hendarso beriya-iya mengatakan bahawa itu adalah mayat Noordin berdasarkan pengesahan cap jarinya.Noordin yang dilahirkan di Malaysia itu pernah dikatakan 'mati' semasa penyerbuan di sebuah rumah di Jawa Barat, malangnya mayat yang dijumpai itu adalah mayat Ibrohim, seorang suspek yang disyaki telibat sama dalam pengeboman di Hotel Ritz-Carlton.

Noordin yang merupakan salah seorang ahli kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) telah mengetuai beberapa siri pengeboman seperti di Bali, Jakarta dan Hotel JW Marriott termasuk di Ritz-Carlton dan telah mengorbankan puluhan nyawa.Tamatnya riwayat Noordin di tangan polis Indonesia.Bermakna kita tidak akan lagi mendengar berita pengeboman yang dilakukan olehnya.Tapi diharap mayat Noordin tidak lagi bertukar seperti kisah Ibrohim tadi.

Heh heh heh!
-ANAK WARISAN...

Wednesday, September 16, 2009

SASTERA DAN BUDAYA

SAJAK

Sunyi-sunyi begini terasa ingin saja
aku menompang sayap angin terbang
ke puncak sepi melihat awan
mendandan biru langit tak bernyanyi.

Sepi-sepi begini terasa mau saja aku terbang
lepas dan bebas di saujana maya
lepas tak bertepi
mencari dan mencari dan mencari
entah apa.

Kalaulah kau ternampak dalam mencari itu
aku rebah lelah di rumpun kaktus
akan kau pelawakah aku singgah di kaki tanggamu?

Yassinsalleh
2151 hrs sept 14. 09
Hotel Sri Malaysia, Kuantan

Monday, September 7, 2009

DARI LAMAN BLOG

BANJIR BESAR DI KG BACANG MANTING
PEMBANGUNAN MENYUSAHKAN RAKYAT


Ketika masyarakat menjalani ibadah puasa disamping persediaan untuk menyambut hari kemerdekaan yang ke-52, jangan kita pinggirkana isu yang melanda penduduk di Kg Bacang Manting, Jelebu, Negeri Sembilan. Sukar untuk diramalkan perubahan cuaca yang kadangkala tidak diduga namun pembangunan yang sedang diratah di kawasan perkampungan Gagu telah mengakibatkan ekosistem berlaku perubahan besar dalam sejarah perkampungan Kg Bacang Manting.



Menurut salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai nek Safiyah, memberitahu pada malam 27 Ogos 2009 (Jumaat) selepas waktu berbuka puasa keadaan sekeliling rumah mula dinaiki air. Sehingga lewat pukul 9.00pm air mula naik sehingga ke paras dada. "Selepas berbuka nek megerjakan solat maghrib, selepas itu air mula naik di bahagian dapur dan naik sehingga ke tingkat atas. Nek suruh anak perempuan nek telepon bomba untuk dapatkan bantuan," keluh nek Safiyah. Menurut anak perempuan nek Safiyah, hujan pada ketika itu tidaklah selebat hujan sebelum ini yang dulunya pernah berlarutan selama seminggu. Ketika itu, keadaan banjir hanya pada paras buku lali dan surut beberapa jam selepas itu.



Namun banjir yang berlaku ini, turut diakui oleh penduduk yang dikenali sebagai Pak Tam. Menurut beliau, banjir yang berlaku pada Kg Bacang Manting adalah disebabkan oleh pembangunan yang dijalankan di Kg Gagu untuk membina empangan. Keadaan tanah yang tidak seimbang menyebabkan air yang datangnya dari Kg Gagu melimpah ke perkampungan Bacang Manting. "Orang lain sibuk sambut merdeka, kita pula dalam darurat. Kena bersihkan rumah yang disalut lumpur, malam terpaksa bergelap sebab plug dah dimasuki air. Telepon pun tak berfungsi", rungut Pak Tam.




Apa yang menghairankan pihak PRIMA, tidak ada berita dicanangkan di media cetak mahupun media elektronik mengenai banjir besar yang berlaku di perkampungan Bacang Manting. Kampung Bacang Manting juga hampir lupus, kerana namanya sudah tak tercatat dalam peta di daerah Jelebu (sekadar disebut dalam buku daftar Suruhanjaya Pilihanraya sahaja), kerana generasi sekarang mengenalinya sebagai ‘Kampung Teriang’ (sebenarnya Teriang atau Hulu Teriang ialah sebuah mukim merangkumi Kampung Gagu, Kampung Sungai Legom, Kampung Cenderak, Kampung Durian Gasing, Kampung Sepam, Kampung Tengah, Kampung Bacang Manting, Kampung Petaling, Kampung Seperi, Kampung Cempedak, Kampung Pianggu dan Kampung Durian Daun). Tak hairanlah, pengkritik sastera Drs Ramli Isin mengandaikan ‘Kampung Bacang Manting’ mungkin sahaja wujud dalam imaginasi pengarang.

Selepas seminggu perkara ini berlalu, kesannya pada penduduk amat dirasai kerana tidak ada seorang pemimpin dari kalangan orang politik sanggup turun menjengah ke kediaman penduduk yang dilanda banjir. Hanya sekadar memberi sumbangan dimana penduduk Kg Bacang Manting turun ke Kg Gagu untuk menerima wang tersebut. Hairan bukan kepalang, memikirkan gelagat 'mereka' yang berpakaian kot, bersepatu kilat takut mencalitkan lumpur di kaki seluar. Sumbangan satu hal, projek masih diteruskan. Apakah tindakan yang akan menyusul selepas banjir ini? Takkan sampai Kg Bacang Manting bertukar menjadi Tasik Bacang Manting? Astaga!


-Waris Pak Dharma